You are on page 1of 2

KUALA LUMPUR 6 Sept.

- Tranformasi pendidikan negara seperti yang terkandung


dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 akan dilaksanakan
dalam tiga gelombang.
Gelombang 1 (2013-2015) memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan
mempercepat perubahan kaedah pelaksanaan program.
Dalam tempoh pelaksanaan itu, tumpuan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti
pengajaran dengan meningkatkan kualiti guru sedia ada, meningkatan kualiti kepimpinan
sekolah dan meningkatkan kadar literasi Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan numerasi.
"Menjelang akhir Gelombang 1, kementerian akan memastikan semua guru,
pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang
dihasratkan," menurut pelan yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri yang juga
Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.
Dalam Gelombang 2 (2016-2020), kementerian akan melaksana perubahan struktur
pendidikan negara untuk mempercepat perjalanan perubahan kepada semua inisiatif yang
bermula semasa Gelombang 1, antaranya pergerakan kesemua 410,000 guru dan 10,000
pengetua/guru besar kepada pakej kerjaya baharu dan penstrukturan semula kementerian.
Kurikulum standard sekolah rendah dan menengah yang disemak semula juga akan
diperkenal dalam usaha menangani kebimbangan mengenai pengetahuan, kemahiran dan
nilai untuk maju sesuai dengan perkembangan ekonomi dunia hari ini.
Gelombang 3 (2012-2025) akan memfokus kepada anjakan ke arah kecemerlangan
dengan peningkatan keluwesan operasi, di mana pada permulaan gelombang ini, semua
sekolah, guru dan pengetua/guru besar perlu menunjukkan prestasi melebihi standard
minimum.
Kementerian juga akan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan
berasaskan sekolah dan membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi
dalam pengajaran, dalam usaha membangunkan sistem pengekalan kemajuan kendiri
yang mampu untuk mencetuskan inovasi dan meningkatkan pencapaian yang lebih tinggi.
Bagi memastikan objektif PPPM terlaksana, kementerian juga akan melaksanakan
beberapa tindakan, termasuk mengekalkan komitmen dan tumpuan dari kepimpinan
atasan terhadap pelan ini, serta penubuhan satu unit kecil iaitu Unit Pelaksanaan dan
Prestasi Pendidikan (Padu) untuk memacu pelaksanaan PPPM.
Padu akan mempunyai kuasa eksekutif dan berperanan memantau kemajuan,
menyelesaikan isu pelaksanaan dengan pegawai bertanggungjawab dan berkomunikasi
dengan pihak berkepentingan tentang transformasi.
Kementerian juga akan mewujudkan sistem pengurusan prestasi melalui KPI yang jelas,
selain terus melibatkan pegawai kementerian dengan pihak berkepentingan yang lain

untuk mendapatkan maklum balas dan input bagi memastikan keseluruhan sistem
pendidikan terlibat dalam proses transformasi ini. - BERNAMA

Artikel Penuh:
http://ww1.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130906/dn_28/Transformasipendidikan--dilaksana-dalam-3-gelombang#ixzz4JMDKVHvf
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like