You are on page 1of 7

PEMBUKTIAN CERAI TAKLIK DI MAHKAMAH SYARIAH

Ammar Badruddin Romli & Che Maryam Ahmad

Abstrak
Cerai taklik adalah suatu bentuk perceraian yang selalu diamalkan di negara ini. Maka
tidak hairanlah apabila pelbagai masalah yang timbul sama ada berkaitan teknikal
atau penghakiman kes yang menyebabkan kes dibuang atau tertangguh dalam tempoh
yang lama. Kenyataan oleh Yang Arif Tuan Burhanudin Ismi Bin Adam selaku
Hakim Syarie Mahkamah Rendah Syariah Ipoh Perak bahawa 40 peratus daripada kes
perceraian taklik terpaksa dibuang setiap tahun kerana tidak menepati syarat
pembuktian yang ditetapkan oleh pihak mahkamah dilihat sebagai isu yang perlu
dikaji dan diteliti bagi mengelakkan timbul masalah ketidakadilan khususnya kepada
pihak isteri. Selain itu, terdapat kekeliruan dalam peruntukan Seksyen 130 (2) Akta
Keterangan Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang bersifat
terlalu umum sehingga menyebabkan para hakim akan menggunakan kefahaman
mereka sendiri sehingga menyebabkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.
Kata kunci: Perceraian; Taklik; Pembuktian; Keterangan; Kesaksian

Pengenalan
Perceraian taklik merupakan suatu kaedah perceraian yang telah dibincangkan oleh
para ulama sejak sekian lama. Kaedah perceraian ini akan berlaku selepas syarat yang
terkandung dalam lafaz taklik yang diucapkan oleh suami benar-benar terjadi
sebagaimana yang diungkapkannya. Amalan ini sungguhpun tidak wajib mengikut
hukum syarak kerana sudah terdapat peruntukan dalam perceraian melalui fasakh dan
tidak ada nas yang mewajibkannya tetapi ia boleh diterima pakai berdasarkan
persetujuan antara suami dan isteri. Musaf al-Bugh dan Musaf al-Khn (1998)
telah mentakrifkan cerai taklik sebagai perbuatan suami yang menggantung talak
isteri dengan sesuatu sifat atau syarat yang dikaitkan dengan isteri atau orang lain.
Kebiasaannya, selepas akad nikah seseorang suami perlu melafazkan ucapan taklik
dan menandatangani surat taklik di hadapan jurunikah. Ia bertujuan untuk membela
nasib wanita daripada ditindas dan dizalimi oleh suami terutama dalam kes
pengabaian nafkah, mencederakan dan meninggalkan isteri dalam tempoh yang lama.
Hal ini bertepatan dengan implikasi taklik memberi kesan besar iaitu perceraian
apabila syarat taklik tersebut berlaku (Muhammad 1998). Justeru, bagi mengelakkan
perlanggaran syarat taklik tersebut, suami akan berhati-hati dalam tindak-tanduk
mereka dalam memastikan kebahagiaan rumah tangga yang dibina sentiasa kekal dan
terjamin.
Perceraian Taklik Di Malaysia
Dalam konteks semasa di Malaysia, cerai taklik adalah suatu bentuk perceraian yang
biasa diamalkan. Berdasarkan kepada pemerhatian awal, penulis mendapati perceraian

34
jenis ini merupakan di antara kes yang banyak dibicarakan di mahkamah di samping
kes-kes perceraian biasa yang lain. Justeru tidak hairanlah apabila pelbagai masalah
yang timbul sama ada berkaitan teknikal atau penghakiman kes yang menyebabkan
kes dibuang atau tertangguh dalam tempoh yang lama. Perkara ini diakui sendiri oleh
Yang Arif Tuan Burhanudin Ismi Bin Adam selaku Hakim Syarie Mahkamah Rendah
Syariah Ipoh Perak yang menyatakan sebanyak 40 peratus daripada kes perceraian
taklik terpaksa dibuang setiap tahun kerana tidak menepati syarat pembuktian yang
ditetapkan oleh pihak mahkamah khususnya berkaitan pengabaian nafkah kepada
isteri. Pada pandangan penulis, jumlah tersebut adalah besar dan ia perlu dikaji dan
diteliti bagi mengelakkan timbul isu ketidakadilan khususnya kepada pihak isteri.
Kajian yang dilakukan oleh Siti Zubaidah (2011) menunjukkan perceraian taklik di
Mahkamah Syariah Negeri Perak mencatat peningkatan di antara tahun 2005 hingga
tahun 2010 di mana terdapat bilangan yang agak tinggi dalam kes yang tertangguh
iaitu 214 kes pada tahun 2006 dan 181 kes pada tahun 2009. Menurutnya, kes cerai
taklik mengambil masa yang agak lama untuk diselesaikan iaitu di antara 8 hingga 11
bulan daripada tarikh pendaftaran. Hasil temu bual beliau bersama seorang peguam
bernama Ridhwan Hussin mengakui pernah berdepan dengan kes cerai taklik yang
mengambil tempoh sehingga enam tahun untuk diselesaikan di mana punca utamanya
ialah syarat pembuktian yang perlu dikemukakan oleh pihak peguam bagi menepati
keperluan mahkamah.
Peningkatan jumlah kes cerai taklik yang tertangguh dapat dilihat di beberapa negeri
lain sebagaimana kajian yang dibuat oleh Raihanah Abdullah (2009) di Mahkamah
Syariah Kota Bharu. Kajian menunjukkan peningkatan jumlah kes yang tertangguh
melibatkan perceraian taklik iaitu sebanyak 459 kes pada tahun 1999 dan 558 kes pula
pada tahun 2000 dan ia merupakan kedudukan kedua tertinggi dalam jumlah kes-kes
tertangguh yang dibicarakan di mahkamah. Penangguhan ini adalah disebabkan oleh
beban pembuktian (burden of proof) yang berat dan ditambah pula dengan kurang
kesedaran dan pemahaman masyarakat mengenai isu ini.
Peruntukan Undang-Undang
Peruntukan undang-undang yang telah digubal adalah berperanan sebagai panduan
rasmi bagi memastikan perbicaraan kes berjalan dengan lancar dan diadili dengan
baik tanpa menafikan hak mana-mana pihak. Namun tanpa disedari, peruntukan
undang-undang sedia ada juga boleh menimbulkan kerenah yang menyulitkan pihak
tertentu terutama isteri. Beberapa kajian yang telah dibuat mendapati bahawa di antara
punca utama kelewatan penyelesaian dalam proses tuntutan cerai taklik di mahkamah
adalah disebabkan masalah pembuktian saksi yang sukar didapati. Mahkamah akan
menangguhkan perbicaraan sekiranya bukti yang dikemukakan tidak mencukupi
sebagaimana yang terkandung dalam Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah
(Perak) 2004, iaitu:
Seksyen 47 (1) Dalam segala hala apa jua pun, keterangan lisan hendaklah diberikan
secara langsung, iaitu:a.

Jika ia merujuk kepada fakta yang boleh dilihat, maka ia mestilah keterangan
saksi yang mengatakan dia telah melihat fakta itu.

35
b.

Jika ia merujuk kepada fakta yang boleh didengar, maka ia mestilah saksi
yang mengatakan dia telah mendengar fakta itu.

c.

Jika ia merujuk fakta yang boleh ditanggap melalui apa-apa deria rasa yang
lain atau dengan apa cara lain, maka ia mestilah keterangan saksi yang
mengatakan dia telah menganggapnya dengan rasa deria itu atau dengan cara
itu.

Kandungan enakmen tersebut secara terperinci menjelaskan syarat keterangan lisan


yang ketat dan perlu dipatuhi oleh saksi. Sekiranya ia tidak dipenuhi maka kes akan
ditangguh atau implikasi yang lebih besar iaitu kes akan dibuang seterusnya
menafikan hak isteri untuk mendapatkan keadilan yang sewajarnya (Siti Juariah
2007).
Pandangan Ulama Mengenai Konsep Pembuktian
Hasil penelitian terhadap beberapa teks karangan fuqaha dan pakar perundangan
Islam mendapati perbahasan mengenai kaedah pembuktian telah dibincangkan secara
umum meliputi isu-isu jenayah dan perkahwinan. Abdul Karim Zaydan (2000) di
antaranya telah menerangkan secara terperinci berkaitan kaedah-kaedah perbicaraan
dalam Islam dengan menghuraikan lapan saluran yang boleh digunakan untuk sabitan
pendakwaan antaranya ialah pengakuan (al-Iqrar), kesaksian (al-Syahadah), Sumpah
(al-Yamin), pengetahuan hakim (Ilm al-Qadi), qarinah-qarinah (al-Qarain), alQasamah, al-Qiyafah dan secara undian (al-Qurah). Beliau menggariskan beberapa
prosedur ketat yang perlu dipatuhi oleh para hakim bagi memastikan tahap kesaksian
yang betul dan adil serta tidak mengambil saksi daripada orang fasiq. Beliau turut
mengemukakan hujah yang berbeza daripada pelbagai mazhab dan perbezaan
pandangan fuqaha berkaitan kaedah pendakwaan dalam Islam.
Perkara sama turut dibincangkan oleh Ibn Qayyim al-Jauziyah (1961) yang
menekankan bahawa pihak hakim perlu menerima apa sahaja bentuk keterangan atau
bahan bukti selama mana ia boleh membantu, menjelas, menerang atau membuktikan
kes-kes yang dibicarakan atau perkara yang dipertikai selagi ia boleh menegakkan
keadilan.
Selain itu, Ahmad Ibrahim Bik (1985) telah menerangkan bahawa konsep pembuktian
mempunyai persamaan ciri-ciri dengan konsep keterangan dan kesaksian. Hal ini
berbeza dengan pandangan Ibn Qayyim al-Jauziyah yang menyatakan bahawa
Bayyinah adalah lebih umum mencakupi semua jenis keterangan sedangkan kesaksian
adalah lebih khusus dan tertakluk kepada syarat-syarat yang tertentu. Pandangan
tersebut telah disokong oleh Mahmud Saedon Awang Othman (2001) dengan
menyatakan pandangan tersebut adalah relevan dengan perkembangan sosial dan
kepentingan umum serta selari dengan prinsip hukum syariah yang sentiasa sesuai
dengan keperluan manusia pada setiap masa, keadaan dan tempat.
Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail (2007) telah memberi penekanan akan peri penting
para hakim membuat keputusan dalam kes-kes talak termasuk secara taklik
berdasarkan konsep al-Yamin al-Muddaa alaih atau al-Yamin al-Mardudah mengikut
mana yang berkenaan. Menurutnya, kes perceraian amat sesuai untuk diselesaikan
dengan cara al-Yamin dan disokong oleh bukti lain seperti saksi dan sebagainya. Hal
ini kerana agak sukar untuk memastikan setiap pihak bertikai dapat hadir ke

36
mahkamah terutamanya kes talak dan membuat keputusan berdasarkan saksi dan
bukti.
Secara keseluruhannya, para fuqaha dan ahli perundangan bersepakat bahawa kaedah
pembuktian yang terbaik mestilah berpaksikan kepada kaedah yang telah terdapat di
dalam hadis Rasulullah SAW yang bermaksud;
Keterangan hendaklah diberi oleh pihak pendakwa dan sumpah oleh pihak
yang kena dakwa.
Kaedah ini jelas menggariskan bahawa beban pembuktian adalah ditanggung oleh
pihak pendakwa dan dakwaan yang tidak disokong oleh keterangan atau hanya
keterangan yang lemah akan ditolak. Justeru, di dalam apa jua tuntutan yang
dikemukakan oleh orang yang menuntut di mahkamah, hakim hendaklah memintanya
menyatakan dengan jelas tentang tuntutannya terhadap orang yang kena tuntut.
Kemudian hakim perlulah mengemukakan tuntutan itu kepada orang yang kena tuntut
untuk mendapatkan jawapan.
Isu Pembuktian Dalam Kes Cerai Taklik
Secara kebiasaannya, lafaz taklik disebut selepas akad perkahwinan sebagaimana
yang tercatat dalam borang nikah atau borang tertentu yang disediakan oleh pendaftar
dan ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak iaitu suami dan isteri. Amalan ini
telah diterima pakai walaupun bukan perkara wajib yang ditetapkan syarak kerana
tiada nas jelas yang mewajibkan. Sabitan perceraian taklik hanya boleh dilakukan jika
suami ada melafazkan taklik. Namun begitu terdapat juga keadaan suami yang
melafazkan taklik, tetapi tidak menandatangani lafaz tersebut atau hanya
menandatangani tetapi tidak melafazkannya.
Perkara ini menjadi lebih berat apabila pemohon iaitu isteri yang berdepan dengan
keadaan suami yang tidak menghadirkan diri ke mahkamah pada tarikh yang telah
ditetapkan. Tambahan pula, antara alasan yang membolehkan tuntutan cerai taklik
dibuat ialah melibatkan suami yang meninggalkan isteri dan sudah tentu
ketidakhadiran suami di mahkamah ialah perkara yang boleh dijangkakan. Keadaan
ini tentu merumitkan pihak isteri kerana beban pembuktian terletak di tangan isteri.
Pengakuan suami bahawa beliau ada melafazkan taklik adalah penting dalam
mempercepatkan proses permohonan. Jika tidak, kes boleh dibuang sekiranya tidak
dapat dibuktikan dengan keterangan saksi.
Pemakaian konsep pembuktian yang tepat (selain syahadah semata-mata) adalah perlu
terutama bagi menyelesaikan kes cerai taklik. Pendekatan ini penting kerana di dalam
perkara yang melibatkan rumah tangga, memberi keterangan sebagai syahadah
semata-mata bukanlah mudah kerana ia perlu menepati syarat-syaratnya yang ketat.
Sebagai contoh, kes suami yang telah hilang dan tidak memberikan nafkah dan hanya
isteri yang menyara keluarga sepanjang ketiadaan suami sudah tentu kes ini hanya
diketahui oleh keluarganya yang terdekat sahaja. Sekiranya diketahui oleh orang lain
sekalipun, mungkin hanya sekadar dengar cakap sedangkan mahkamah memerlukan
saksi-saksi yang boleh menyokong tuntutan isteri. Dalam keadaan ini, sekiranya ibu
bapanya adalah orang yang tidak adil (cuai dalam melaksanakan suruhan Allah) atau
yang ada hanya anak-anak yang belum baligh sahaja, maka sudah tentu kesaksian
mereka tidak boleh diterima dan akibatnya permohonan isteri tersebut terpaksa

37
ditolak. Keadaan sebegini menyebabkan ketidakadilan kepada isteri serta kezaliman
yang berterusan kepadanya.
Menurut Najibah (2012) Undang-undang Keluarga Islam tidak mempunyai
peruntukan yang khusus untuk mengemukakan saksi dalam mensabitkan cerai taklik.
Walau bagaimanapun, setiap permohonan untuk cerai taklik mestilah disokong oleh
saksi sebagaimana yang diperuntukkan dalam hukum Syarak dan juga Akta
Keterangan 1997 untuk membuktikan alasan-alasan yang dikemukakan dalam
mensabitkan cerai taklik. Keperluan kepada saksi juga dapat dilihat daripada kes-kes
yang telah diputuskan di Mahkamah Syariah. Oleh itu, terdapat juga permohonan
cerai taklik ditolak oleh mahkamah kerana pihak yang memohon gagal membawa
saksi untuk menyokong dakwaannya. Timbul juga persoalan dari sudut beban
pembuktian sama ada pemohon mesti mengemukakan dua orang saksi lelaki ataupun
seorang lelaki dan dua orang perempuan untuk menyokong permohonannya.
Daripada pemerhatian awal penulis terhadap kes-kes yang telah diputuskan di
Mahkamah Syariah, terdapat pendekatan yang berbeza-beza daripada satu kes kepada
kes yang lain. Dalam kes Zubaidah lwn Abdul Rahim ([1983-84] 4 JH 235), dakwaan
oleh pemohon bahawa, beliau telah ditinggalkan oleh suaminya selama lima bulan,
telah ditolak kerana kegagalannya mengemukakan dua orang saksi. Suami, iaitu pihak
yang kena tuntut telah bersumpah syarie menafikan dakwaan itu dan selepas ia
bersumpah, kes ini telah dibuang.
Perkara yang sama juga turut berlaku terhadap kes yang telah dibicarakan di
Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan dalam kes Nor Azwah bt Kamaruddin lwn
Shahrulzaman b. Musally (Fail kes Mal, Bil 270 (1999)), di mana dakwaan plaintif
yang beliau telah ditampar, dipukul dan ditumbuk oleh defenden telah ditolak pihak
mahkamah kerana beliau telah gagal mengemukakan dua orang saksi bagi
mengukuhkan pendakwaannya.
Huraian mengenai keperluan untuk mengemukakan dua orang saksi lelaki pernah
disebut secara jelas dalam kes Hajah Zainon bt Muda Yusof lwn Irwan Shah (D.J
Dave. Hakim dalam kes yang disebut di Mahkamah Syariah Petaling Jaya itu telah
berpendapat bahawa permohonan cerai taklik melibatkan suatu pengesahan terhadap
lafaz yang telah dibuat semasa akad nikah dan ia mestilah disokong oleh dua orang
saksi yang mampu memberikan keterangan yang tidak bercanggah antara satu sama
lain.
Alasan yang diberikan hakim tersebut jelas bercanggah dengan alasan penghakiman
kes yang hampir serupa iaitu kes Fakhariah bte Lokman lwn Johari bin Zakaria
([1994] 9 JH 69). Mahkamah Rendah Syariah Selangor telah menjelaskan bahawa
tidak diperlukan dua saksi lelaki dalam permohonan kes tersebut kerana hadis
Rasulullah SAW iaitu Bayyinah (keterangan) ke atas orang yang mendakwa dan
sumpah ke atas orang yang menafikan menyebut mengenai keperluan bayyinah di
sini tidak semestinya sampai ke tahap syahadah. Tambahan pula, seksyen 125(5)
Enakmen Pentadbiran Undang-undang Islam Selangor 1952 tidak memperuntukkan
bahawa saksi-saksi yang diperlukan hendaklah lelaki.
Dari sudut yang lain, persoalan pembuktian dalam kes cerai taklik ini juga menjadi
suatu isu perundangan yang memerlukan penyelesaian. Walaupun kaedah pembuktian
kes cerai taklik ada dinyatakan dalam Arahan Amalan No. 8 Amalan Perceraian

38
Taliq yang dikeluarkan oleh Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada tahun 2007,
namun peruntukan itu dilihat masih kabur sehingga menyukarkan pembuktian dalam
kes-kes di Mahkamah Syariah. Arahan tersebut adalah seperti berikut:
Hakim hendaklah memastikan rekod keterangan antara lain mengandungi
perkara-perkara berikut:
(c) Keterangan pihak-pihak yang hadir yang disokong sekurang-kurangnya
oleh dua orang saksi lelaki; dan
(d) Dalam kes di mana mudaaalaih tidak hadir, keterangan muddai yang
disokong oleh keterangan dua orang saksi lelaki dan sumpah Istizhar.
Kenyataan dalam Arahan Amalan tersebut hanya menyatakan keperluan sekurangkurangnya dua orang saksi lelaki sahaja sebagai syarat pembuktian kepada pihak
mahkamah. Secara tidak langsung timbul persoalan mengenai bagaimana pula dengan
kes-kes yang tidak cukup saksi atau langsung tiada saksi? Kekaburan yang timbul
dalam Arahan Amalan ini dilihat gagal berperanan sebagai panduan yang
memudahkan perbicaraan seterusnya secara tidak sedar ia telah menafikan hak pihak
isteri yang sukar mendatangkan saksi sebagaimana yang ditetapkan.
Wan Abdul Fattah Wan Ismail (2007) turut menjelaskan bahawa terdapat kekeliruan
dalam peruntukan seksyen 130 (2) Akta Keterangan Mahkamah Syariah (WilayahWilayah Persekutuan) 1997 yang menyatakan:
Jika terdapat apa-apa perkara yang tidak diperuntukkan atau tidak dinyatakan
dengan jelas dalam Akta ini, Mahkamah hendaklah merujuk Hukum Syarak.
Peruntukan tersebut adalah bersifat terlalu umum dan kadangkala membawa
kecelaruan dalam kaedah pembuktian kerana hakim akan menggunakan kefahaman
mereka terhadap teks-teks kitab turath yang besar kemungkinan tersilap faham
maksudnya seterusnya membuat kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.
Punca lain yang menjadi faktor kekeliruan timbul dalam isu perundangan ini adalah
kerana undang-undang yang dipakai berdasar kerangka Akta Keterangan 1950, justeru
beliau menggesa agar beberapa modifikasi tertentu perlu dilakukan seperti
memasukkan tafsiran istilah keterangan yang merangkumi al-Bayyinah dan alSyahadah di samping keterangan lisan atau dokumentar dan syarat tambahan kepada
keterangan dengar cakap (al-Syahadah ala al-Syahadah) bagi menjelaskan lagi
keperluan dalam proses pembuktian tersebut (Ruzman 2007).
Penutup
Oleh sebab itu, bagi merungkai permasalahan tersebut, satu kajian yang terperinci dan
lengkap perlu dilakukan segera bagi melihat semula tahap pembuktian dalam kes
cerai taklik yang telah diguna pakai oleh mahkamah Syariah di Malaysia dan
seterusnya mencadangkan penambahbaikan yang sewajarnya bagi memastikan ia
berada di landasan yang betul sebagai badan perundangan dan keadilan negara.
Perkara ini penting sebagai langkah bagi mengelakkan timbulnya isu ketidakadilan
khususnya kepada isteri.

39
Rujukan
al-Bukhari. 1998. a al-Bukhr bi-shiyat al-imm al-Sind. Jil. 2. Mesr: t.pt.
al-Khn, Musaf & al-Bugh, Musaf. 1998. al-Fiqh al-Manhajiyy Ala Madhhab alImm al-Shfiiyy. Jil.2. Beirut: Dr al-Shmiyyah.
Md. Salleh Hj. Md. 2001. Pendakwaan di Mahkamah Syariah, Kertas kerja Seminar
Pendakwaan di Mahkamah Syariah. Anjuran IKIM, 23-24 Julai.
Muhammad Ibnu Ahmad. 1996. Misykah al-Misbah Fi Syarhil Icddah wal Silah fi
Ahkam al-Nikah. Beirut: Dar Ibn Hazm.
Najibah. 2012. Semakan Semula Undang-undang Keluarga Islam, Dlm. Korpus
Undang-undang Islam di Malaysia. Hlm. 5-9. Kuala Lumpur : Penerbit IKIM
Raihanah Abdullah. 2009. Penangguhan kes di Mahkamah Syariah: Cabaran dan
Penyelesaian, Jurnal Syariah. 17(1): 1-30
Ruzman Md. Noor. 2007. Kesaksian Dalam Konteks Undang-Undang Keterangan
Mahkamah Syariah Di Malaysia : Analisis Dari Perspektif Mazhab SyafiI,
Kertas kerja Seminar Jabatan Fiqh. Anjuran Universiti Malaya. Kuala Lumpur,
22-23 Ogos.
Ruzman Md. Noor. 2001. Pembuktian Di Mahkamah Syariah. Jurnal Syariah. 5(2):
15-18
Siti Juariah Bt Tarmuji. 2007. Kelewatan Prosiding Taliq Di Mahkamah Syariah :
Satu Kajian Di Negeri Perak. Disertasi Sarjana Pengajian Islam. Universiti
Kebangsaan Malaysia.
Siti Zubaidah Ismail et al., 2011. Justice Delayed Is Justice Denied?: Divorce Case
Management In Malaysian Shariah Court, Dlm. International Conference On
Management Proceeding, hlm. 38-39
Yang Arif Tuan Burhanuddin Ismi Bin Adam. 2014. Perceraian Taklik Di Mahkamah
Syariah Ipoh. Temu bual, 15 April.
Wan Abdul Fattah Bin Wan Ismail et al., 2007. Konsep Sumpah (Al-Yamin) Dan
Pelaksanaannya Di Mahkamah Syariah. Penerbitan USIM.
Zaydan, Abdul Karim. 2000. Nizam al-Qada fi al-Syariaat al-Islamiyyah, Beirut:
Muassasah al-Risalah.

You might also like