You are on page 1of 13

SISTEM PERSEKOLAHAN SATU ALIRAN

Topik tentang sistem pendidikan negara sentiasa mengundang pelbagai pandangan


daripada semua pihak dalam masyarakat Malaysia. Walau bagaimanapun, ke mana sahaja
arah perbahasan ini, kenyataannya adalah rangka tindakan pendidikan kita telah digubal
dari sudut pandangan bahawa semua rakyat Malaysia mempunyai hak untuk memilih
pendidikan mereka di negara ini. Hal ini telah menjadi satu harapan rakyat selaras
dengan kemerdekaan negara. Kerajaan telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya
berhubung hasrat itu. Mungkin kita patut melihat sokongan wakil-wakil rakyat sebagai
satu permulaan yang positif untuk membuka ruang perbincangan dan tindakan
selanjutnya bagi pelaksanaan sistem sekolah satu aliran di Malaysia.

MATLAMAT PENUBUHAN
Matlamat utama penubuhan sekolah satu aliran adalah jelas iaitu untuk perpaduan
nasional yang tulen, sejati dan harmoni selari dengan gagasan 1Malaysia. Bukan hanya
bersemangat apabila bercakap tentang gagasan 1Malaysia dan terdiam apabila terpaksa
berkorban untuk melaksanakan satu agenda yang jauh lebih besar dari itu.
Sekolah satu aliran perlu diterima sebagai satu wahana untuk membentuk identiti
dan jati diri rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Identiti dan jati diri setiap kaum di
negara ini akan terus wujud sebagai komponen yang penting yang mewarnai dan
mewujudkan perpaduan sejati di Malaysia. Melalui sekolah satu aliran, murid kaum lain
masih berhak mempelajari bahasa ibunda masing-masing di samping membolehkan
mereka memupuk dan mencapai matlamat perpaduan dan integrasi nasional menerusi
pendidikan.
PANDANGAN TOKOH...

Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim

Beberapa ahli Parlimen Barisan Nasional dan pembangkang dilaporkan sepakat


menyokong cadangan tokoh sejarah, Prof Emeritus Tan Sri Khoo Kay Kim agar sistem
persekolahan yang seragam diwujudkan untuk semua pelajar sebagai satu usaha
mewujudkan perpaduan nasional. Alasannya ialah sistem yang ada sekarang tidak
membantu merealisasikan perpaduan di kalangan pelbagai kaum selaras dengan gagasan
1Malaysia. Sekolah pula dilihat sebagai antara acuan yang penting untuk membina
generasi muda yang memahami dan saling menghormati antara satu dengan yang lain
tanpa mengira bangsa dan agama.
Tan Sri Aminuddin Wahid,
Sekolah satu aliran sepatutnya dilaksanakan sebelum merdeka lagi seperti yang
dicadangkan 48 tahun lalu oleh Allahyarham Aminuddin Baki yang menjadi Penasihat
Pelajaran Negara. Beliau menjangkakan masalah perkauman pasti akan timbul di
kemudian hari berikutan setiap kaum mendapat pendidikan di sekolah berlainan.

FAKTOR-FAKTOR PELAKSANAAN
Sekolah merupakan tempat yang terbaik untuk memulakan hubungan integrasi pada
peringkat awal. Oleh demikian, pihak kerajaan berusaha untuk melaksanakan sekolah
satu aliran untuk memupuk perpaduan kaum. Pada masa yang sama, banyak pihak
menentang pelaksanaan sekolah satu aliran tersebut kerana bimbang bahasa dan identiti
kaum mereka terhakis. Justeru itu, nilai dan kepentingan tidak seharusnya menjadi
perbalahan kerana pendidikan merupakan landasan terbaik dalam mewujudkan perpaduan
di kalangan generasi muda.
Faktor yang seterusnya ialah sekolah satu aliran akan menyediakan satu
persekitaran di mana remaja berbilang kaum bukan sahaja boleh melalui proses
pembelajaran dengan selesa tetapi juga menyediakan ruang yang secukupnya untuk
mereka berinteraksi dan memahami di antara satu sama lain. Ini merupakan satu proses
menuju ke arah sebuah negara maju dalam erti kata saling memahami perasaan dan
sensitiviti di kalangan rakyat yang berbilang kaum serta menjamin kestabilan politik,
ekonomi dan sosial.

CABARAN DALAM MELAKSANAKAN...

SISTEM PENDIDIKAN YANG BERASINGAN


Di Malaysia,terdapat empat jenis buah sekolah yang terdiri daripada sekolah Melayu,
Cina, Tamil dan Inggeris. Keempat-empat buah sekolah ini menggunakan sukatan

pelajaran yang berbeza. Hal ini menyebabkan ketidakseragaman bahasa, identiti dan
fahaman. Keadaan ini,menimbulkan dampak dalam memupuk perpaduan rakyat
Malaysia.

PERBEZAAN AGAMA DAN BUDAYA


Keseluruhan masyarakat Melayu di Malaysia menganuti agama Islam, masyarakat Cina
pula menganuti agama Buddha, manakala masyarakat India menganuti agama Hindu.
Bumiputra Sabah dan Sarawak tidak terkecuali kerana mereka mempunyai pelbagai
kepercayaan. Perbezaan latar belakang rakyat sebegini menyukarkan perpaduan di
bentuk, Namun masalah ini bukanlah terletak pada agama tetapi sikap manusia yang jahil
menyebabkan perselisihan faham berlaku.

MENGAPA WUJUDNYA MASALAH PERPADUAN KAUM?


i)

Masyarakat
Ibu bapa di Malaysia boleh memilih sama ada mahu menghantar anak-anak mereka ke
sekolah kebangsaan atau jenis kebangsaan. Tidak ada sesiapa yang boleh memaksa atau
menghalang mereka dalam membuat keputusan. Bagaimanapun, apa yang kita lihat
sekarang, terdapat ramai di kalangan ibu bapa kaum Cina dan India lebih berminat
menghantar anak mereka ke sekolah jenis kebangsaan bahasa ibunda masing-masing.
Jika pengasingan pendidikan mengikut kaum ini berterusan, ia akan menghasilkan
masyarakat yang terpisah di antara satu sama lain, mengakibatkan satu suasana segrasi
dengan memiliki bibit perpecahan yang berbahaya.
ii) Pihak Sekolah
Pendidikan telah lama dianggap sebagai satu elemen dalam menyatupadukan rakyat.
Namun begitu, sekolah jenis kebangsaan yang menggunakan bahasa pengantar bukan
Melayu masih terus kekal bagi menjaga identiti kaum Cina dan India. Sehingga kini, kita
masih lagi berhadapan dengan kekangan untuk memupuk integrasi nasional di kalangan
rakyat Malaysia. Walaupun di peringkat sekolah menengah, kaum Melayu, Cina dan
India serta kaum-kaum lain sama-sama mengikuti pembelajaran, tidak wujud semangat
kekitaan yang menyeluruh. Masih wujud budaya prejudis dan stereotaip di negara ini.
iii) Media massa
Pengaruh yang sangat mudah meresapi jiwa rakyat adalah media massa seperti
televisyen, radio dan surat khabar. Elemen ini sepatutnya memainkan yang besar dalam
menyatupadukan rakyat yang berbagai kaum ini. Didapati setiap kaum lebih suka kepada
rancangan atau program televisyen dan radio yang menggunakan bahasa ibunda masingmasing. Begitu juga dengan akhbar-akhbar yang dijual, permintaannya juga mengikut

komposisi penduduk di mana setiap kaum cenderung memilih versi bahasa ibunda.
KESAN PENUBUHAN SEKOLAH SATU ALIRAN
Kewujudan sekolah satu aliran ini melangkaui sempadan kaum dan budaya. Hal ini akan
menimbulkan beberapa implikasi dalam pelbagai aspek terutamanya di kalangan pelajar
sendiri.
Antara kesan positif kewujudan sekolah satu aliran ialah dapat menyemai dan
memupuk semangat perpaduan di kalangan pelajar, membuka ruang masa dan tempat
untuk saling mengenali dan memahami etika kemanusiaan tersendiri dan dapat perpaduan
nasional dapat dicapai melalui sistem pendidikan satu aliran yang sistematik.
Antara kesan negatif kewujudan sekolah satu aliran ialah masalah pertukaran
agama kerana sekolah satu aliran terdiri daripada pelajar yang berlainan agama. Masalah
ini mungkin berlaku kepada pasangan yang berlainan agama. Terutama kepada pelajar
perempuan yang beragama Islam. Jika masalah ini tidak dibendung dari awal mungkin
akan menjatuhkan imej penganut agama Islam. Penghapusan etnik dan budaya yang
memungkinan kelab kebudayaan dari sekolah Cina ataupun Tamil sebelum ini akan
dihadkan apabila sekolah dan kaum telah bergabung kerana mereka terpaksa
mencantumkan kebudayaan antara tiga kaum menjadi satu.

CONTOH SEKOLAH SATU ALIRAN


Sekolah Victoria Institution (sekolah VI) yang merupakan contoh terbaik sekolah satu
aliran di negara ini. Lihat sahaja semua ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India
berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu. Lihat sahaja
bagaimana mesranya pelajar-pelajar dari ketiga-tiga kaum bergaul mesra dan bersaing
secara sihat dalam pelajaran. Kerajaan terutamanya Menteri Pelajaran wajar mengkaji
model sekolah VI ini dan menjadikannya sebagai asas atau model untuk membentuk
sekolah satu aliran di negara ini. Setakat ini sekolah VI amat popular dan menjadi rebutan
pelajar serta ibu bapa daripada semua kaum.

ISU YANG TERCETUS..!


Bantahan daripada pelbagai pihak terhadap cadangan penubuhan sekolah satu aliran
memperlihatkan mentaliti perkauman di negara ini. Hakikatnya, Perdana Menteri
menyatakan bahawa sistem pendidikan satu aliran sebenarnya telah pun diamalkan tetapi
kebanyakan daripada kita tidak faham peranan sistem sekolah kebangsaan. Mereka yang
menentang cadangan sekolah satu aliran ini adalah mereka yang tidak mengutamakan

cita-cita dan rakyat Malaysia untuk membentuk sebuah negara yang bersatu padu.
Sebelum ini pun terdapat pihak yang menentang dan membantah penubuhan Sekolah
Wawasan dan meminta pihak kerajaan menarik balik cadangan membina sekolah itu di
Subang Jaya, Selangor dan Johor Jaya, Johor. Alasan mereka menolak Sekolah Wawasan
kerana bimbang penggunaan bahasa Cina dan bahasa Tamil akan dihapuskan manakala
sekolah itu juga dilihat tidak boleh menyatupadukan kaum. Walau bagaimanapun
kerajaan tidak akan menghalang dasar sekolah pelbagai aliran sekarang diubah kepada
satu aliran jika itu yang rakyat mahukan dan mendapat sokongan rakyat pelbagai
kaum. Rakyat terutamanya kaum India dan Cina tidak harus bimbang dengan cadangan
ini kerana kerajaan akan mendengar suara rakyat sebelum memutuskan sesuatu.
KESIMPULAN
Kesimpulan yang dapat kita lihat, walaupun sekolah satu aliran merupakan satu usaha
yang sukar malah mendapat tentangan dari sesetengah pihak tetapi tidak mustahil untuk
dilaksanakan jika terdapat sokongan moral daripada semua pihak yang terlibat sama
dalam melaksanakannya. Pendidikan telah lama dianggap sebagai satu elemen penting
bagi menyatupadukan rakyat. Generasi awal terutamanya para pelajar sekolah rendah
perlu didedahkan betapa pentingnya perpaduan dalam arus masyarakat Malaysia yang
besifat majmuk ini. Mahu atau tidak, perkara ini turut melibatkan sistem pendidikan
negara kerana melalui pendidikan, generasi pelajar dapat membentuk dan mencorakkan
masyarakat Malaysia pada masa hadapan. Matlamat ini selaras dengan pepatah Melayu
iaitu melentur buluh biarlah dari rebungnya.Sistem persekolahan yang seragam
mampu mewujudkan perpaduan nasional selaras dengan gagasan satu Malaysia.
"1Malaysia, rakyat didahulukan, pencapaian diutamakan".
Disediakan oleh: Noor Shahieda bt. Mohd Hishamuddin (128425)

Sekolah Satu Aliran-Wajarkah?


Sekolah merupakan tempat pertemuan anak-anak; tempat mereka menimba ilmu dan belajar erti
persahabatan serta mula membina rangkaian sosial. Kanak-kanak di Malaysia, secara umumnya,
memulakan persekolahan ketika berumur 5 atau 6 tahun di peringkat tadika atau pra-sekolah,
diikuti dengan 6 tahun di sekolah rendah sebelum meneruskan 5 tahun pengajian sekolah
menengah. Maka, tempoh keseluruhan persekolahan mengambil masa yang lama iaitu
menjangkau 12 ke 15 tahun. Tempoh ini juga melibatkan peringkat umur yang kritikal dalam
proses pembetukan dan pembesaran seseorang individu.
Oleh itu, institusi persekolahan bukan sahaja tempat pembelajaran, sebaliknya ia juga medan
untuk anak-anak belajar berinteraksi dan memahami antara satu sama lain. Di situlah titik awal
dan utama berlakunya hubungan integrasi antara kaum; satu proses yang penting untuk
mewujudkan keharmonian di kalangan rakyat berbilang kaum. Integrasi nasional ini sangat
penting demi menjamin kestabilan dan kematangan politik, ekonomi dan sosial.
Menurut Tan Yao Sua dalam bukunya yang bertajuk, Pendidikan Cina di Malaysia: Sejarah,
Politik dan Gerakan Perjuangan terbitan Penerbit USM pada tahun 2014, kemasukan imigran
Cina secara besar-besaran pada abad ke-19 telah mengubah struktur penduduk Tanah Melayu
yang sebelum itu terdiri daripada penduduk Melayu. Pada tahun 1911 sahaja, terdapat 693,000
(29.6%) orang Cina dari 2,339,000 penduduk di Tanah Melayu ketika itu.
Sejajar dengan kemasukan besar-besaran imigran Cina ke Tanah Melayu, sekolah Cina
ditubuhkan bagi menawarkan pendidikan kepada anak-anak mereka. Sekolah Cina tradisional
bersifat persendirian ditubuhkan dan dijalankan dalam bahasa dialek, dan ada juga ditubuhkan
oleh klan tertentu. Di Pulau Pinang, contohnya, Sekolah Xin Jiang (ditubuhkan oleh klan Khoo
pada tahun 1906), Sekolah Yang Shi (oleh klan Yeoh pada tahun 1907) dan Sekolah Lin Shi (oleh
klan Lim pada tahun 1908).
Penubuhan sekolah Cina menunjukkan kegigihan orang Cina untuk mendidik anak-anak mereka
dengan sebaik-baiknya agar menjadi ahli masyarakat yang berguna. Walau bagaimanapun, bukan
semua sekolah Cina tradisional menawarkan mutu pembelajaran yang memuaskan. Ini
menyebabkan ramai juga ibu bapa Cina menghantar anak mereka ke sekolah Inggeris.
Namun, dengan tertubuhnya sekolah Cina moden pada awal abad ke-20, kedudukan pendidikan
Cina bertambah kukuh dan akhirnya menjadi pilihan utama orang Cina di Tanah Melayu.
Sekolah Cina moden yang pertama, iaitu Sekolah Chung Hwa, ditubuhkan di Pulau Pinang pada
tahun 1904. Ia menawarkan pendidikan kepada semua kanak-kanak tanpa mengambil kira suku
dialek.

Sistem pendidikan Cina ini bukan sahaja merangkumi sekolah rendah, malahan sekolah
menengah, dan memuncak dengan tertubuhnya sebuah universiti aliran Cina, iaitu Universiti
Nanyang pada tahun 1953 di Singapura. Walau bagaimanapun, bahasa Mandarin hanya kekal
sebagai bahasa pengantar di sekolah rendah jenis kebangsaan Cina manakala sekolah menengah
jenis kebangsaan Cina menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sehingga kini.
Isu bahasa dan pendidikan merupakan isu yang sensitif, terutamanya di kalangan masyarakat
Cina. Persekutuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina (Dong Zong) dan Gabungan Persatuan
Guru-Guru Sekolah Cina (Jiao Zong) yang dikenali secara kolektif sebagai Dong Jiao Zong,
berjuang mempertahankan kepentingan pendidikan Cina di negara ini sejak awal 1950an lagi.
Pendidik Cina menganggap dasar pendidikan negara yang menjurus kepada dasar keseragaman
bahasa dan budaya dengan mengutamakan bahasa Melayu sebagai teras pembinaan negara
bangsa sebagai bersifat asimilasi bahasa dan budaya serta wujud diskriminasi perkauman.

Sebenarnya, sekolah satu aliran sudah dicadangkan sejak sebelum merdeka lagi oleh Laporan
Barnes (1950) tetapi ditentang oleh Laporan Fenn Wu (1951) yang mengatakan kononnya
budaya dan bahasa Cina bakal terhapus jika sekolah-sekolah vernakular dihentikan. Hasil kedua
laporan tersebut akhirnya membentuk Ordinan Pelajaran (1952) dan Penyata Razak (1956) yang
menjadi asas kepada sistem pendidikan kita sekarang.

Cadangan-cadangan Penyata Razak telah diperkemaskan di dalam Laporan Rahman Talib (1960)
yang kemudiannya diterjemahkan ke dalam Akta Pelajaran 1961. Antara yang ditakuti oleh
masyarakat Cina ialah kuasa Menteri untuk menutup sekolah Cina atau Tamil melalui seksyen
21(1)(b).
Ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Menteri Pelajaran, Akta Pendidikan 1996 telah
diperkenalkan bagi menggantikan Akta Pelajaran 1961. Akta baru ini dilihat memberikan
perlindungan yang sewajarnya kepada semua sekolah jenis kebangsaan, serta memberikan
signifikan yang agak besar kepada pendidikan Cina. Kerajaan secara langsung mengiktiraf
kewujudan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Cina
(SJMKC) dan Sekolah Persendirian Cina (SPC) sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan
kebangsaan yang bersifat kekal.

Isu pelaksanaan sekolah satu aliran kembali timbul dan


menjadi perbualan hangat setelah ditimbulkan semula oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri,
Datuk Seri Abdul Wahid Omar. Menurut Abdul Wahid, keharmonian kaum di negara ini perlu
bermula seawal sekolah rendah lagi. Katanya, sekolah satu aliran mampu menjamin
pertumbuhan ekonomi melalui perpaduan kaum yang lebih kukuh dan meyakinkan.
Beliau memberi jawapan itu untuk menjawab soalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air
Asia, Tan Sri Tony Fernandes, tentang prospek Malaysia mencapai pertumbuhan ekonomi di
sebalik pelbagai isu perkauman yang dibangkitkan kebelakangan ini.
Lanjutan itu, pelbagai pihak, baik dari kalangan ahli akademik, tokoh sejarah, orang politik
mahupun di kalangan rakyat, mula tampil memberi berbagai-bagai reaksi. Ramai yang
menyokong dan ada juga yang menentang. Jika diambil kira beberapa insiden dan konflik
perkauman yang tercetus baru-baru ini, sudah sampai masanya kerajaan dan pemimpin politik
dari semua kaum memberi perhatian serius terhadap sekolah satu aliran ini.
Bermula dengan peristiwa Low Yat yang hampir mencetus pergaduhan besar di antara dua kaum
terbesar di Malaysia semata-mata kerana seunit telefon bimbit, diikuti dengan perhimpunan
Bersih 4.0 yang dihadiri oleh ramai kaum Cina, seterusnya perhimpunan balas yang dikenali

sebagai Himpunan Rakyat Bersatu atau Perhimpunan Baju Merah yang dianjurkan oleh
kelompok yang kononnya memperjuangkan serta mempertahankan hak kaum Melayu.
Poster yang berbunyi, Hapuskan SJKC yang ada dibawa semasa Perhimpunan Baju Merah
telah menimbulkan perasaan tidak puas hati serta mengguris perasaan kaum Cina. Parti MCA
melalui Ketua Pemuda, Chong Sin Woon, tidak berpuas hati dan menganggap ianya
menyinggung perasaan kaum Cina. Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, juga turut
mengatakan bahawa MCA tidak akan membenarkan SJKC ditutup.
Namun begitu, bukan semua tokoh Cina yang menentang sekolah satu aliran. Malah, saranan
sekolah satu aliran itu sendiri telah dibuat oleh tokoh sejarah, Prof. Emeritus Tan Sri Khoo Kay
Kim. Menurut beliau, sistem pendidikan negara perlu disusun semula termasuk melaksanakan
sekolah satu aliran bagi memastikan matlamat gagasan 1Malaysia tercapai. Pelaksanaan sekolah
satu aliran akan menjadi medium terbaik untuk memupuk semangat perpaduan di kalangan
pelajar sejak mereka kecil lagi. Beliau berpandangan sekolah satu aliran amat sesuai untuk
jangka panjang kerana perpaduan nasional hanya boleh dicapai melalui pendidikan dan bahasa
sahaja.
Cadangan sekolah satu aliran ini turut disokong oleh Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong, Felo
Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Beliau berpendapat kewujudan sekolah vernakular hanya akan memburukkan keadaan kerana
berterusan melahirkan generasi yang cenderung mengamalkan polarisasi dalam kehidupan.

Pensyarah Kesusasteraan Melayu di Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Lim
Swee Tim juga turut menyokong. Beliau yang juga aktivis bahasa Melayu, mengatakan bahawa
masalah utama orang Cina tidak dapat menguasai bahasa Melayu adalah kerana kekangan
persekitaran di sekolah vernakular yang tidak membantu mereka berkomunikasi dalam bahasa
kebangsaan.
Pensyarah UNISZA, Professor Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah pula berpendapat, sistem
sekolah satu aliran perlu diwujudkan segera demi melahirkan sebuah negara bangsa serta
melahirkan generasi muda yang fasih berbahasa Melayu. Menurut beliau, sekolah satu aliran
tidak akan membunuh kewujudan masyarakat majmuk di negara ini kerana Bahasa Cina dan
Tamil masih boleh dipelajari sebagai subjek pilihan di sekolah.
Walau bagaimanapun, Professor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah Institut Kajian
Etnik UKM (KITA), dalam wawancara di akhbar Mingguan Malaysia bertarikh 19 Julai 2015,
berpendapat sekolah satu aliran tidak boleh dilaksanakan di Malaysia kerana Malaysia

berasaskan konsep integrasi, bukannya konsep asimilasi seperti di Indonesia, Thailand, Filipina
dan Myammar.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa SJKC
akan kekal walaupun terdapat gesaan dari pelbagai pihak supaya sekolah vernakular
dimansuhkan untuk memberi laluan kepada sekolah satu aliran. Beliau berkata demikian ketika
merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan ke-62 MCA di Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2015.
Sememangnya Bahasa Melayu boleh dijadikan bahasa perpaduan, bahasa yang menghubungkan
semua kaum dan etnik. Bagaimanapun, sebelum berfikir ke arah sekolah satu aliran, kita perlu
memikirkan usaha memperkasakan sekolah kebangsaan terlebih dahulu.
Jika sekolah kebangsaan sudah hebat, dengan sendirinya ibu bapa akan berbondong-bondong
menghantar anak-anak mereka ke sekolah kebangsaan, bukannya SJKC atau SJKT. Contohnya,
sebuah sekolah bukan berasrama penuh yang ternama, iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan
Victoria atau dikenali sebagai Victoria Institution (VI), merupakan sekolah kebangsaan yang
berjaya dan mendapat sokongan semua kaum. Ibu bapa dari kaum Melayu, Cina dan India
berlumba-lumba mahu menghantar anak-anak mereka belajar di sekolah itu. VI juga cemerlang
dalam bidang sukan dan akademik.
Contoh sekolah berasrama penuh pula ialah Maktab Tentera Diraja (MTD), Sungai Besi atau
juga dikenali sebagai Royal Military College (RMC). Tidak seperti sekolah berasrama penuh lain
yang mempunyai komposisi Melayu yang amat besar, MTD mempunyai ramai pelajar Cina,
India dan lain-lain. Latihan ketenteraan berjaya mendisiplinkan pelajar-pelajar MTD dan
merapatkan jurang perkauman. Hubungan antara kaum amat rapat. Keakraban ini boleh dilihat di
mana walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berpisah setelah tamat persekolahan, mereka masih
berhubung rapat melalui kegiatan persatuan bekas putera atau Old Putera Association (OPA).
Sebagai kesimpulan, apa sahaja perubahan kepada sistem pendidikan negara, termasuk sama ada
untuk mewujudkan sekolah wawasan atau sekolah satu aliran, memerlukan kajian yang
menyeluruh dan teliti sebelum ia boleh memungkinkan penambahbaikan kepada yang sedia ada
dan agar matlamat integrasi nasional itu boleh tercapai. Antara usaha awal adalah
memperkasakan sekolah-sekolah kebangsaan terlebih dahulu dengan mengambil sekolah-sekolah
terpilih seperti VI dan MTD sebagai contoh atau model.

Johari Yap,
Pengerusi Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Cawangan Kelantan
.

Laksanakan segera sekolah satu aliran


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED | 29 September 2015 1:05 AM (UTUSAN
ONLINE)

ISU pelaksanaan sekolah satu aliran kembali menarik perhatian khalayak dan menjadi topik
perbualan hangat. Kali ini dicetuskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul
Wahid Omar yang mengutarakan betapa perlunya pihak kerajaan mengutamakan sistem persekolahan satu aliran.
Menurut Abdul Wahid, keharmonian kaum di negara ini perlu bermula seawal sekolah rendah
lagi, selain sekolah satu aliran mampu menjamin pertumbuhan ekonomi melalui perpaduan kaum
yang lebih kukuh dan meyakinkan.
Beliau memberi reaksi ini ketika menjawab persoalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Air
Asia, Tan Sri Tony Fernandes yang bertanyakan tentang prospek Malaysia mencapai
pertumbuhan ekonomi di sebalik banyak isu perkauman yang dibangkitkan kebelakangan ini.
Ironinya ramai yang mula tampil memberi reaksi positif kepada cadangan dan pandangan Abdul
Wahid ini walaupun ia bukanlah suatu cadangan baharu.
Pelbagai pihak baik dalam kalangan ahli akademik, tokoh sejarah mahupun orang politik mula
memandang serius cadangan ini malah ramai juga secara terus terang menyatakan sokongan.
Andai sebelum ini kita kurang memberi perhatian kepada cadangan ini, maka setelah mengambil
kira reaksi positif pelbagai pihak serta mengambil kira beberapa insiden dan konflik perkauman
yang tercetus sejak kebelakangan ini, penulis berpandangan sudah tiba masanya kerajaan dan
pemimpin politik dari semua kaum memberi perhatian serius mengenainya.
Menurut Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara serta Felo
Utama Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Datuk Dr. Teo
Kok Seong, masih belum terlewat untuk kerajaan campur tangan melalui sekolah satu aliran
menggunakan bahasa kebangsaan bagi memecahkan sentimen perkauman yang semakin menebal
khususnya dalam kalangan generasi muda.
Sementara itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid pula berkata, sistem
persekolahan satu aliran hanya boleh dilaksanakan jika adanya keberanian politik dengan
mengambil kira soal integrasi nasional dan memerlukan perbincangan membabitkan wakil
pemimpin semua kaum sebelum dapat dilaksanakan.

Hakikatnya, semua pihak cukup sedar dan mengakui betapa inilah masa terbaik untuk mengorak
langkah secara serius bagi melaksanakan sekolah satu aliran demi masa depan generasi yang
akan datang dan negara secara keseluruhannya. Tetapi sekali lagi persoalan klise di sini adakah
kita mempunyai keberanian politik yang dituntut dan diperlukan itu?
Sejauh mana pihak kerajaan mampu bertindak dengan berani mengetepikan segala desakan
politik dari pihak yang terlalu sukar untuk berkompromi dan kononnya memperjuangkan hak dan
warisan kaum masing-masing? Masih sukar untuk kita mencari jawapan kepada persoalan ini.
Ternyata masih ada kumpulan yang dilihat terlalu kebal dan sukar digugat apabila dikaitkan dengan kuasa, pengaruh dan sokongan politik demi survival politik parti masing-masing.
Kelompok ini lebih mementingkan kepentingan kaum masing-masing dan sekali lagi gagal
melihat isu dan masalah perkauman yang tercetus mutakhir ini dalam konteks yang lebih luas
dan terbuka. Bagi mereka apa yang penting adalah menonjolkan diri sebagai hero di mata kaum
masing-masing dengan cuba menegakkan benang yang basah.
Ambil saja contoh insiden di Plaza Low Yat dan pertembungan kumpulan baju kuning dan baju
merah. Apakah kita mahu perkara seumpama ini berterusan dan secara konsisten mengganggu
gugat keharmonian kaum dan perpaduan nasional?
Kenapa kita masih sukar untuk menerima kenyataan dan hakikat bahawa selepas 58 tahun
merdeka tahap perpaduan rakyat sebenarnya masih tidak begitu baik.
Perpaduan yang ada pada masa sekarang lebih berbentuk kosmetik dan permukaan sahaja. Ia
jelas tidak kuat dan utuh seperti yang kita harapkan. Sedikit saja provokasi sudah cukup untuk
mencetuskan konflik dan pertelingkahan kaum secara serius.
Rata-rata masyarakat mengakui masalah perpaduan kaum yang longgar ini berpunca daripada
kegagalan untuk menyatukan anak-anak kita dari peringkat sekolah rendah lagi.
Pengasingan dan pemisahan yang berlaku di peringkat sekolah rendah selama enam tahun
memberikan kesan yang cukup mendalam kepada kehidupan anak-anak kita. Mereka hanya
bergaul dengan kelompok masing-masing untuk satu tempoh masa yang cukup panjang.
Maka kita tidak boleh salahkan mereka apabila tiba-tiba kita berharap mereka akan bergaul
mesra dengan kelompok lain ketika memasuki alam sekolah menengah. Bak kata pepatah,
melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Maka bagi penulis segalanya sudah terlewat pada ketika itu. Dan percayalah kesilapan ini terus
berlaku sekian lama dan kita masih belum mampu membetulkannya.

Percayalah hanya sekolah mampu menjadi platform dan wadah terbaik untuk memupuk
perpaduan nasional dan semangat Saya Bangsa Malaysia. Anak-anak kita yang bakal mewarisi
negara ini perlu dididik dari sekarang supaya mereka benar-benar dapat menghayati konsep dan
erti sebenar perpaduan di antara pelbagai kaum yang telah terbina sekian lama.
Penulis mencabar semua pemimpin politik dari pelbagai latar belakang kaum sekurang-kurangnya untuk kali ini lupakan sejenak soal kepentingan etnik masing-masing.
Percayalah identiti kaum anda tidak akan lenyap begitu saja hanya kerana sekolah satu aliran dan
menggunakan bahasa kebangsaan. Penulis percaya dalam sistem sekolah satu aliran itu sendiri
kita boleh mewujudkan segala peluang yang diperlukan seperti meneruskan mata pelajaran
ibunda masing-masing.
Apa yang penting sekarang ialah semua pemimpin politik yang mewakili kaum masing-masing
perlu memasang tekad dan iltizam untuk mencetuskan fenomena keberanian politik yang kita
cari selama ini bagi melakukan perubahan dan transformasi yang drastik.
Pemimpin politik ini perlu memainkan peranan untuk menerangkan kepada kelompok kaum
sendiri tentang kebaikan dan kelebihan sekolah satu aliran serta betapa ia tidak akan sama sekali
melenyapkan identiti kaum masing-masing.
Agenda dan matlamat utama dalam soal ini hanyalah menjurus kepada kepentingan nasional dan
perpaduan kaum demi masa depan negara ini.
Sampai bila kita mahu hidup dalam suasana dan persekitaran yang kurang kondusif dan kukuh
seperti ini. Apakah kita mahu terus membiarkan anak-anak kita bercakaran sesama sendiri
sampai bila-bila?
PENULIS ialah Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM).

You might also like