You are on page 1of 3

PUNCA DAN LANGKAH MENANGANI

JENAYAH
Definisi jenayah ialah sesuatu tindakan yang bertentangan dengan undang-undang negara.
Terdapat dua jenis jenayah, iaitu jenayah ringan dan jenayah berat. Jenayah ringan
merangkumi perbuatan mencuri, samun, dan meragut. Jenayah berat pula termasuklah
membunuh, merogol, mendera, mengedar dadah serta menyeludup barangan haram. Dewasa
ini, media massa sering melaporkan pelbagai kes jenayah yang berlaku di seluruh negara.
Kita sering digemparkan dengan kes rogol dan bunuh, gengsterisme, meragut, menyamun,
rasuah, dan penyeludupan. Peningkatan jenayah di negara ini lebih ketara di kawasan bandar
berbanding dengan kawasan luar bandar. Contohnya, bandar raya Kuala Lumpur dan Ipoh
mempunyai rekod jenayah yang paling tinggi setiap tahun. Ada dalam kalangan kita mungkin
tertanya-tanya tentang punca yang menjadi dalang peningkatan kes jenayah di negara kita,
terutamanya di bandar-bandar utama. Oleh itu, punca-punca yang menunjangi masalah ini
perlu diperincikan demi kebaikan bersama.
Banyak laporan menjelaskan bahawa punca utama kes jenayah meningkat ialah kurangnya
didikan agama dalam kalangan masyarakat hari ini. Hal ini disebabkan generasi hari ini
sudah mula mengabaikan ajaran dan didikan agama kerana mereka berpendapat bahawa
ajaran agama adalah jumud dan sudah ketinggalan zaman. Natijahnya, wujudlah kelompok
masyarakat yang mempunyai keimanan yang rapuh dan nipis senipis kulit bawang dalam diri
mereka. Golongan inilah yang akan terlibat dalam pelbagai jenayah kerana mereka tidak berpegang teguh kepada ajaran agama. Contohnya, kes rogol dan bunuh Canny Ong Lay Kian
menunjukkan bahawa terdapat segelintir masyarakat yang sanggup bertindak mengikut hawa
nafsu mereka. Mereka yang melakukan perbuatan terkutuk ini tidak berasa takut mahupun
gentar apabila mereka mengambil sesuatu tindakan yang salah dan bertentangan dengan
ajaran agama. Dengan kata lain, mereka tidak dapat membezakan antara intan dengan kaca.
Mereka tidak dapat menghayati dan mengamalkan peribahasa yang baik dijadikan teladan,
yang buruk dijadikan sempadan. Golongan ini juga gagal menghayati Islam Hadhari yang
mementingkan aspek lahiriah dan rohaniah untuk melahirkan insan yang seimbang. Jadi,
mereka mudah terpengaruh dengan pelbagai anasir negatif seperti melibatkan diri dalam
aktiviti jenayah. Tegasnya, kegoyahan iman akan lantaran kurangnya pegangan agama yang
mantap mendorong seseorang itu terjebak dalam kancah jenayah.
Di samping itu, media massa turut menjadi punca peningkatan masalah jenayah di negara
ini. Perkara ini disebabkan penyiaran rancangan-rancangan berunsur keganasan dan seks
yang melampau telah menyebabkan minda masyarakat dipengaruhi oleh aksi-aksi negatif
tersebut. Senario ini berlaku disebabkan oleh sikap sesetengah penerbit yang lebih
mementingkan keuntungan diri sendiri daripada kepentingan melahirkan masyarakat yang
berkeperibadian yang luhur dan unggul. Sikap penerbit ini dapat dikatakan umpama enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing. Sebagai contoh, stesen televisyen swasta

sering menyiarkan rancangan dari Barat yang menonjolkan unsur-unsur negatif seperti rock,
punk, dan black metal. Terdapat juga sesetengah rancangan televisyen yang menggunakan
pelakon-pelakon yang berpakaian tidak senonoh serta mencolok mata seperti rancanganrancangan dari Amerika Latin. Hal ini dapat merangsang hawa nafsu penonton lantas
menyebabkan mereka terlibat dalam aktiviti seks seperti pelacuran dan sumbang mahram.
Maka, tidak hairanlah kadar jenayah khasnya jenayah rogol dalam kalangan orang yang
dikenali meningkat. Masyarakat turut digemparkan dengan kes rogol dan bunuh Norita
Shamsuddin dan Haserawati Saridi yang berumur sembilan tahun di Menggatal, Sabah. Di
Johor, Nurul Huda Abdul Ghani dirogol secara bergilir-gilir oleh beberapa orang lelaki
sebelum dibunuh. Jenayah yang berlaku ini menyebabkan keadaan hidup masyarakat awam
tidak tenteram dan mampu menggugat ekonomi negara disebabkan peningkatan kadar
jenayah. Deduksinya, peningkatan kadar jenayah juga didorong oleh pengaruh media massa.
Tiada penyakit yang tiada penawarnya, maka langkah-langkah yang konkrit, sistematik dan
pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah jenayah dapat dibasmi hingga
akar umbi. Salah satu pendekatan yang paling signifikan termasuklah penguatkuasaan
undang-undang secara tegas dan hukuman setimpal dikenakan terhadap penjenayah.
Contohnya, Akta 302 Kanun Keseksaan perlu dikuatkuasakan dengan tegas terhadap
penjenayah yang didapati membunuh atau merogol mangsanya. Penjenayah akan dijatuhi
hukuman mati mandatori. Serbuan dan tangkapan kini diadakan lebih kerap dan secara
rambang untuk menangkap penjenayah. Hal ini dapat menyedarkan masyarakat yang ingin
berjinak-jinak dengan jenayah. Kerajaan juga telah bertindak tegas terhadap ceti haram atau
ah long kerana mereka akan mengancam keselamatan mangsa dan keluarga mangsa.
Tindakan pihak berkuasa menahan dan menghadapkan pendera seorang pembantu rumah
Indonesia, Nirmala Bonat ke mahkamah adalah amat wajar. Hal ini membuktikan bahawa
kerajaan bersungguh-sungguh dalam membanteras jenayah. Oleh itu, ketelusan dan ketegasan
undang-undang negara mampu menghalang peningkatan kadar jenayah negara.
Di samping hukuman dan penguatkuasaan undang-undang secara tegas, kempen untuk
memerangi jenayah secara besar-besaran perlu dilancarkan agar masyarakat sedar tentang
keburukan jenayah. Oleh itu, mereka tidak akan bersikap bagai enau dalam belukar,
melepaskan pucuk masing-masing sehingga aktiviti jenayah semakin berleluasa. Sebaliknya,
mereka akan menyahut seruan kerajaan untuk membanteras jenayah bersama-sama dengan
pihak berkuasa. Sebagai contoh, seorang insan kerdil yang prihatin, Rosli Mohamad Saad
sanggup menggadai nyawanya untuk menangkap peragut beg tangan seorang wanita
Indonesia. Kesedaran juga dapat dipupuk dalam diri masyarakat, khasnya golongan muda
melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di sekolah. Golongan muda
perlu dididik untuk berkelakuan baik dan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang
sejak muda lagi agar mereka tidak mudah terpengaruh untuk melibatkan diri dalam aktiviti
jenayah apabila mereka dewasa kelak. Sememangnya mendidik mestilah sejak kecil lagi
kerana melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Kempen yang dijalankan ini perlulah
dilaksanakan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hanya hangat-hangat tahi
ayam. Pendek kata, peranan kempen turut dapat mengurangkan peratusan kes jenayah di nusa
tercinta ini.

Sudah terang lagi bersuluh bahawa kes jenayah di negara kita semakin menghantui diri kita
disebabkan oleh dua faktor yang telah dibincangkan di atas dan kemelut sosial ini dapat
diatasi dengan beberapa langkah yang diambil. Api sekadar meranapkan bangunan namun
peningkatan kadar jenayah akan mengacaubilaukan minda segenap lapisan masyarakat kita.
Andai kata kita menyingkap lembaran sejarah Malaysia, setiap permasalahan yang dihadapi
akan dapat diselesaikan dengan penggemblengan kudrat antara pelbagai pihak. Begitu juga
dengan usaha menyelesaikan masalah kes jenayah. Semua pihak perlu menggembleng tenaga
dan bersinergi supaya masalah jenayah di negara ini dapat diatasi. Pendekatan yang diambil
haruslah dijalankan dengan bijaksana dan berhati-hati bagai menarik rambut di dalam tepung,
rambut tidak putus, tepung tidak berselerak. Jenayah dapat diibaratkan sebagai musuh dalam
selimut kepada negara. Sekiranya jenayah tidak ditangani secara bijaksana, adalah mustahil
untuk rakyat negara ini hidup dalam keadaan yang harmoni dan tenteram. Marilah kita
bersama-sama membanteras kegiatan jenayah agar impian untuk melahirkan masyarakat
madani dapat direalisasikan.

(a)
1.
2.
3.
(b)
1.
2.
3.
4.

Cadangan isi
Punca:
Kurangnya didikan agama
Pengaruh media massa yang memaparkan unsur-unsur negatif
Sikap masyarakat yang mementingkan diri sendiri
Langkah:
Penguatkuasaan undang-undang yang tegas
Kempen kesedaran
Peranan masyarakat yang menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa
Memberikan didikan agama yang teguh

You might also like