You are on page 1of 7

Mahatma Gandhi merupakan seorang tokoh politik dan tokoh nasionalisme yang

sangat penting dalam sejarah India. Perkara yang unik tentang Mahatma Gandhi adalah
beliau telah menggabungkan nilai moral yang baik dalam sifat kepimpinannya yang luar
biasa. Perjuangan anti keganasan beliau telah membawa kepada kemerdekaan India
daripada cengkaman British. Ketokohan beliau merupakan inspirasi yang menjadi teladan
di seluruh dunia. Perjuangan Mahatma Gandhi dalam membangkitkan semangat
nasionalisme di India sememangnya merupakan sumbangan yang tidak ternilai harganya
bagi rakyat India. Beliau terlibat secara langsung dalam politik India walaupun beliau
tidak memegang sebarang jawatan kerajaan semasa pemerintahan British.
Nasionalisme di India berlaku dalam tempoh yang sangat panjang iaitu tahun
1858 sebagai titik tolak permulaan dan tahun 1947 sebagai pengakhiran perjuangan
tersebut. Secara umumnya terdapat beberapa peringkat perkembangan nasionalisme yang
dimulai dengan gerakan sosioekonomi dan kemudiannya dituruti oleh nasionalisme
liberal, nasionalisme militan dan gerakan menuju kemerdekaan. Terdapat pelbagai sebab
berlakunya

nasionalisme

di

India

iaitu

pengenalan

undang-undang

British,

perkembangan perhubungan yang membawa kepada penyatuan rakyat India, pemulihan


sosiokeagamaan, pendidikan Barat dan sebagainya. Mahatma Gandhi berperanan penting
dalam gelombang nasionalisme yang keempat iaitu gerakan menuju kemerdekaan dan
kehadiran beliau telah memberi nafas baru kepada perjuangan rakyat di India.
Sejarah hidup Mahatma Gandhi sememangnya perlu untuk diketahui kerana
terdapat beberapa episod penting yang menjadi asas kebangkitan beliau sebagai
pemimpin agung di India. Kehidupan awal Mahatma Gandhi tidak membayangkan
peranan beliau yang begitu besar dalam sejarah India. Beliau merupakan seorang budak

biasa yang dilahirkan pada 2 Oktober 1869 di Porbandar. Mahatma Gandhi merupakan
anak lelaki termuda pasangan Karamchand dan Putlibai Gandhi. Karamchand merupakan
ayah Mahatma Gandhi dan ahli politik yang tidak mempunyai pendidikan manakala
Putlibai merupakan ibu Mahatma Gandhi yang sangat taat kepada ajaran Hindu. Putlibai
merupakan pengaruh besar dalam seluruh hidup Mahatma Gandhi dalam soal keagamaan.
Mahatma Gandhi menerima pendidikan awal di Porbandar. Beliau kemudiannya
berpindah ke Rajkot mengikut keluarganya dan meneruskan pendidikan di Alfred High
School. Mahatma Gandhi merupakan seorang pelajar pasif dan tidak menunjukkan
sebarang minat dalam pendidikan. Pada usia yang muda dan masih bersekolah, beliau
telah berkahwin dengan Kasturbai. Berkahwin pada usia yang muda sememangnya tidak
begitu baik dan membantutkan perkembangan Mahatma Gandhi. Namun demikian,
pengajaran besar yang diterima oleh Mahatma Gandhi melalui peristiwa tersebut adalah
perkahwinan muda sememangnya menghalang kemajuan rakyat India. Beliau sedar
bahawa perubahan harus dilakukan sekiranya rakyat India ingin mencapai kemajuan.
Pada tahun 1888, Mahatma Gandhi telah melanjutkan pelajaran ke England.
Pendidikan di England banyak membantu Mahatma Gandhi dalam perkembangan
pemikirannya. Beliau lulus cemerlang dalam pepriksaan pada 10 Jun 1891 dan kembali
ke India pada 12 Jun 1891. Walau bagaimanapun, kurangnya pemahaman dalam sistem
undang-undang India menyebabkan beliau sukar mendapat pekerjaan. Beliau akhirnya
mendapat pekerjaan apabila dipelawa oleh Dada Abdula and Co. untuk bekerja di Afrika
Selatan. Mahatma Gandhi mula dikenali melalui kempen beliau di Afrika Selatan
sebelum Perang Dunia Kedua iaitu gerakan anti keganasan menentang undang-undang
diskriminasi.

Kehidupan Mahatma Gandhi berubah ketika beliau berada di Afrika Selatan.


Beliau merupakan peguam yang disegani dan diangkat sebagai pemimpin yang
berwibawa. Mahatma Gandhi telah melaksanakan kempen menentang diskriminasi yang
membezakan warga British berkulit putih dengan komuniti India yang bermigrasi ke
Afrika Selatan. Beliau telah memimpin komuniti India yang tidak aktif untuk berhubung
dengan pemimpin Afrika Selatan iaitu Generul Smuts dan wizurai India iaitu Lord
Hardinge untuk mendapatkan sokongan.
Kerajaan Afrika Selatan akhirnya bersetuju untuk berkompromi dengan Mahatma
Gandhi pada tahun 1914. Persetujuan ini dibuat berikutan perjuangan dan desakan yang
dibuat oleh Mahatma Gandhi melalui konsep satyagraha iaitu protes tanpa kekerasan
sejak tahun 1906. Idea ini akhirnya dibawa oleh Mahatma Gandhi ke India sebagai
senjata perjuangan dalam perjuangan nasionalisme. Perjalanan hidup berliku Mahatma
Gandhi di Afrika sememangnya mematangkan beliau untuk menghadapi situasi politik di
India.
Mahatma Gandhi terlibat aktif dalam parti politik yang paling berpengaruh di
India iaitu Kongress Kebangsaan India. Kejayaan terbesar beliau sepanjang terlibat
dengan parti ini adalah keupayaannya untuk mengubah dasar parti tersebut yang bersifat
elit kepada parti fleksibal yang dianggotai oleh pelbagai lapisan masyarakat India. Parti
ini juga berubah menjadi sebuah gerakkan massa yang disertai oleh golongan atasan dan
golongan bawahan. Parti ini pada mulanya disertai oleh golongan yang berpendidikan
Inggeris. Atas usaha Gandhi, golongan yang tidak berpelajaran juga turut sama menyertai
parti ini terutamanya golongan petani dan buruh yang kerap tertindas oleh sistem yang
tidak adil dan hanya mementingkan golongan elit sahaja. Sejak tahun 1917 dan 1918,

objektif utama yang ingin dicapai oleh Kongress Kebangsaan India ini adalah untuk
memberikan manfaat kepada pebagai lapisan masyarakat dan tidak tergolong dalam
kumpulan tertentu sahaja.
Sumbangan Mahatma Gandhi dalam Kongress Kebangsaan India sememangnya
jelas tersurat dari sudut pergerakan massa dan kejayaan meraih sokongan besar yang
tidak dapat dibayangkan sebelumnya. Namun demikian, sumbangan Gandhi dalam parti
tersebut juga boleh dilihat secara tersirat yang mungkin tidak disedari secara tidak
langsung. Mahatma Gandhi sebenarnya telah menyumbang kepada politik India secara
keseluruhannya dengan menyelamatkan masyarakat India daripada dunia pembohongan
dalam pelbagai sistem berat sebelah terutamanya perbezaan kelas di India. Perbezaan
inilah yang sebenarnya menjadi penghalang kepada penyatuan rakyat India. Gandhi juga
secara tersirat berjaya memperkenalkan metod unik iaitu mempreskripsikan bahawa
peperangan merupakan perjuangan yang salah. Beliau telah memberi pengajaran kepada
penduduk India bahawa tentangan kepada British boleh berjaya tanpa peperangan.
Satyagraha adalah salah satu perjuangan Mahatma Gandhi di India. Satyagraha
merupakan gabungan dua perkataan sanskrit iaitu satya yang bermaksud kebenaran dan
agraha yang bermaksud berpegang teguh kepada. Konsep satyagraha ini boleh
dikatakan sebagai perjuangan berpaksikan kebenaran atau protes tanpa kekerasan.
Perjuangan yang berkonsepkan satyagraha ini sebenarnya telah diwujudkan oleh
Mahatma Gandhi sebagai asas perjuangan semasa berada di Afika Selatan dan telah
diaplikasikan di India. Beliau telah memimpin masyarakat India yang masih terikat
dengan gejala kemunduran dan tidak berupaya menentang empayar yang besar iaitu
British untuk turut sama berjuang dengannya. Mahatma Gandhi mendesak rakyat India

untuk menentang tetapi bukan dalam bentuk keganasan sebaliknya tidak berkerjasama
dengan British. Menurut beliau, perjuangan berdasarkan keganasan hanya merugikan
rakyat India. Satu-satunya senjata yang boeh digunakan oleh rakyat India adalah senjata
rohani iaitu satyagraha.
Satyagraha ini digunakan oleh Mahatma Gandhi sebagai metod untuk menentang
Rowlatts Act iaitu undang-undang yang mengongkong nasionalisme terutamanya
penafian hak terhadap organisasi awam untuk mengadakan protes. Perjuangan Mahatma
Gandhi untuk menentang Rowlatt Act sememangnya mendapat perhatian daripada
pelbagai pihak dan rakyat India menyokong kempen yang dijalankan untuk menentang
undang-undang tersebut. Namun demikian, kempen yang dilaksanakan tidak berjalan
lancar seperti yang diharapkan. Keganasan meletus di beberapa kawasan seperti Delhi,
Lahore dan Ahmedabad. Mahatma Gandhi menegaskan bahawa keganasan bukanlah
tindakan yang sesuai dengan konsep satyagraha namun keadaan tersebut tidak dapat
dikawal dan dihentikan.
Keganasan paling buruk berlaku di Amritsar apabila rakyat India menyerang
sekolah dan gereja British. Mereka menyerang guru wanita dan membunuh lima
warganegara British. Selain itu, hampir enam ribu rakyat India berhimpun di Armitsar
untuk menentang Rowlatt Act pada 19 April 1919. British akhirnya bertindak balas dan
menggunakan senjata api untuk menentang protes tersebut. Peristiwa tersebut membawa
kepada kematian 379 rakyat India dan hampir seribu yang lain mengalami kecederaan.
Mahatma Gandhi sememangnya sangat kecewa dengan tindakan British tersebut.
Beliau bagaimanapun tidak berputus ada dan berusaha untuk menerapkan prinsip
satyagraha kepada rakyat India. Mahatma Gandhi juga telah menggalakkan rakyat India

untuk memboikot barangan British seperti pakaian dan sebagainya. Selain itu, beliau
mendorong rakyat India untuk tidak membayar cukai, tidak menghadiri sekolah dan tidak
berkerja di pejabat-pejabat British. Rakyat India menyokong penuh saranan Mahatma
Gandhi kerana beliau dianggap sebagai penyelamat India. Sumbangan Gandhi terhadap
rakyat India terbukti sangat besar kerana beliau merupakan peimpin yang sangat prihatin
terhadap kehidupan rakyat India. Hal ini secara tidak langsung meningkatkan semangat
nasionalisme rakyat India untuk menentang penjajah di tanah air mereka.
Satyagraha kemudiannya dituruti oleh Ahimsa yang menjadi senjata Mahatma
Gandhi sejak berada di Afrika. Ahimsa merupakan ajaran yang menyeru rakyat India
untuk menjunjung tinggi semangat anti-keganasan. Jika diteliti dengan lebih mendalam,
ahimsa mengutamakan sikap tidak menyerang, tidak melukai dan tidak membunuh.
Selain itu, nilai-nilai positif turut disemai dalam ajaran ini iaitu kasih sayang dan
kemurahan hati. Ajaran ini merupakan prinsip-prinsip kehidupan klasik yang terdapat
dalam agama Hindu yang digunapakai oleh Mahatma Gandhi. Ahimsa telah digunakan
oleh Mahatma Gandhi sebagai gabungan dan kesinambungan terhadap satyagraha
sebagai salah satu cara untuk menentang British di India.
Mahatma Gandhi sememangnya tokoh agung yang banyak berjasa dalam sejarah
nasionalisme India. Usaha beliau jelas terpapar melalui peranan yang dimainkan dalam
Kongres Kebangsaan India, pembelaan terhadap golongan Harijan, gerakan Khilafat dan
perarakan garam. Selain itu, beliau juga menunjukkan kebijaksanaan dalam gaya
kepimpinannya dengan mewujudkan idea-idea baru seperti satyagraha, ahimsa dan
swadeshi. Idea-idea Mahatma Gandhi sangat unik kerana beliau tidak menggunakan
kekerasan untuk menentang penjajah. Bukti-bukti sumbangan Mahatma Gandhi

memperlihatkan keprihatinan beliau terhadap rakyat India yang meliputi pelbagai aspek
seperti politik, sosial dan ekonomi. Sumbangan Mahatma Gandhi sememangnya tidak
ternilai kerana beliau telah berjaya membawa perubahan kepada nasionalisme India ke
satu tahap yang lebih baik.

You might also like