You are on page 1of 3

MOHD FAZRIN BIN HAMDAN

JABATAN PENGAJIAN AM
POLITEKNIK IBRAHIM SULTAN

Akhlak Mahmudah Asas Ajaran Islam

Menurut perspektif Islam, akhlak menduduki tempat yang penting dalam hubungan dengan keseluruhan binaan Islam itu.
Secara dasarnya, Islam tertegak di atas tiga asas terpenting iaitu aqidah, syariah dan akhlak. Sekiranya tiada salah satu
daripada asas-asas tersebut, maka tidak sempurnalah binaan Islam itu. Dengan erti lain, kesempurnaan beragama individu
menurut perspektif di atas terletak kepada pelaksanaan dan penghayatan terhadap ketiga-tiga asas tersebut secara
menyeluruh. Namun apa yang ditekankan di sini ialah akhlak pada pandangan Islam berdasarkan al-quran, hadith dan tokohtokoh ulama seperti Ibn Kathir dan Imam Al-Ghazali dalam membina akhlak yang unggul di dalam kehidupan setiap umat
Islam supaya dapat menuju al-falah (kejayaan duniawi dan ukhrawi).
Persoalan mengenai akhlak sering mendapat perhatian dari pelbagai pihak. Ia sering kali menjadi tajuk perbahasan
penting kerana perbahasannya menyentuh respon dan tingkah laku manusia dalam kehidupan. Ukurannya adalah
bersumberkan kepada ajaran agama iaitu suatu ukuran yang bersifat suci dan kekal. Oleh kerana ia berkait rapat dengan
manusia dan hubungannya dengan Tuhan, maka persoalan ini juga perlu dilihat menerusi hubungannya dengan kesempurnaan
beragama seseorang.
Kedatangan Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ialah untuk menjadi sumber rahmat kepada seluruh
alam semesta. Al-Quran telah mengungkapkan hal ini menerusi ayat 107, surah al-Anbiyaa' :


Maksudnya :
Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat
bagi sekalian alam.
Ibn Kathir sewaktu menafsirkan ayat di atas telah mengatakan bahawa Allah telah menjadikan Nabi Muhammad
s.a.w. sebagai suatu rahmat kepada alam seluruhnya, iaitu dengan pengertian bahawa Allah s.w.t mengutus baginda s.a.w.
sebagai rahmat kepada seluruhnya. Oleh itu sesiapa yang menerima rahmat ini serta mensyukuri nikmat beroleh rahmat
tersebut, maka dia akan memperolehi kebahagiaan di dunia dan akhirat. Manakala orang yang menolak dan mengingkarinya
akan menerima kerugian di dunia dan di akhirat.
Konsep utama yang mendasari ayat di atas, yang menjadi semacam piawai penentu untung rugi di dalam kehidupan
sama ada di dunia ataupun di akhirat ialah konsep rahmat. Rahmat dalam hubungan ini pula adalah merujuk kepada
kedatangan baginda s.a.w. bersama dengan Risalah yang dibawa baginda s.a.w. dalam erti kata lain, Risalah Nabi Muhammad
s.a.w. iaitu agama Islam merupakan satu Risalah rahmat daripada Tuhan kepada kalangan orang yang mahu menerima dan
mengamalkannya. Dalam sebuah hadith, kebangkitan atau kedatangan Rasulullah s.a.w. bersama dengan Risalah baginda
s.a.w. di dunia ini adalah semata-mata untuk menyempurnakan akhlak yang baik.
Apabila dipadukan di antara ayat al-Quran di atas dengan hadith Rasulullah s.a.w. maka wujud suatu hubungkait di
antara persoalan rahmat dengan persoalan akhlak yang baik, kerana kedua-dua hal tersebut merupakan tugas dan
tanggungjawab kepada kebangkitan atau kehadiran Rasulullah s.a.w. di alam ini, di mana yang satunya lebih bersifat
konseptual dan yang satu lagi pula lebih bersifat praktis.
Manakala dalam hadith lain yang diriwayatkan oleh An Nawwas Ibnu Saman daripada Rasulullah s.a.w. yang
bermaksud:
1486. An Nawwas Ibnu Saman r.a. telah menceritakan : Aku pernah bertanya kepada Rasulullah
s.a.w. mengenai kebajikan dan dosa. Maka baginda s.a.w. menjawab : Kebajikan ialah akhlak yang
baik dan dosa ialah sesuatu yang bergejolak di dadamu, sedangkan kamu tidak suka bila ada orang lain
yang mengetahuinya. Hadtih diketengahkan oleh Muslim.

Dan dalam hadith yang diriwayatkan oleh Abu Darda r.a. yang bermaksud:

1569. Abu Darda r.a. telah menceritakan bahawa Rasulullah s.a.w. pernah bersabda: Tiada suatu amal
perbuatanpun memiliki timbangan yang lebih berat di dalam mizan selain daripada akhlak yang baik.
Hadtih diketengahkan oleh Abu Daud dan Tirmizi.
Menurut tulisan Ibn Miskawayh di dalam kitab beliau, Tahdhib al-Akhlak, akhlak adalah keadaan sesuatu jiwa yang
menggerakkan seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa pertimbangan fikiran terlebih dahulu, di mana keadaan
jiwa tersebut, menurut Ibn Miskawayh terbahagi dua bahagian iaitu keadaan jiwa yang bersifat tabii dan keadaan jiwa yang
dibentuk melalui latihan dan kebiasaan.
Manakala menurut al-Ghazali di dalam Ihya Ulum al-Din mencatatkan takrif akhlak sebagai sifat yang tertanam di
dalam jiwa seseorang yang darinya muncul perbuatan dengan mudah tanpa memerlukan pertimbangan fikiran terlebih
dahulu. Kalau keadaan jiwa tersebut boleh melahirkan laku perbuatan yang baik, yang diiktiraf oleh akal dan syarak, maka ia
dinamakan akhlak yang baik (mahmudah) dan sebaliknya jika ia melahirkan laku perbuatan yang jahat, maka ia dinamakan
akhlak yang buruk (mazmumah).
Mesej utama yang dibawa oleh Islam merupakan mesej penyempurnaan akhlak yang mulia. Oleh kerana itu Islam
telah menyediakan suatu bentuk rangkaian mekanisme yang cukup ampuh untuk memungkinkan kelahiran daripada
rahimnya peribadi-peribadi muslim yang berakhlak mulia dan selaras pula dengan tuntutannya. Mekanisme yang disediakan
itu adalah dalam bentuk kewajipan atau kemestian yang perlu dilaksanakan oleh setiap seorang selama mana dia adalah
seorang muslim. Dalam kata lain, mekanisme itu merupakan bahagian yang cukup asasi dan amat penting daripada
keseluruhan kerangka keagamaan Islam, bukan suatu aspek tempelan atau sampingan semata. Di sinilah terletaknya
keindahan dan keharmonian pertautan landasan logik yang menghubungkan di antara matlamat mesej Islam (penyempurnaan
akhlak yang mulia) dengan penyediaan wadah untuk merealisasikan matlamat daripada mesej tersebut.
Mekanisme yang dasarnya melalui perisytiharan dua kalimah syahadah iaitu suatu kesaksian secara tegas dan
mutlak bahawa tiada Tuhan melainkan Allah s.w.t. dan Nabi Muhammad s.a.w. itu pesuruh Allah. Menurut perspektif Islam,
kepentingan perisytiharan ini terletak pada peranan utamanya sebagai ciri pembeza dan sempadan pemisah di antara seorang
yang berhak digelar muslim dengan seseorang lain yang dikategorikan sebagai bukan muslim. Cetusan keimanan yang
dihasilkan melalui pengucapan penuh sedar dua kalimah syahadah dapat menjadi daya atau motor penggerak yang cukup
berkesan untuk mengarahkan pengisian program hidup dan matlamat kehidupan seseorang dengan nilai-nilai hidup yang
positif dan bermakna menurut perspektif agama.
Keyakinan terhadap apa yang diistilahkan dalam tradisi Islam sebagai rukun iman iaitu percaya kepada Allah,
percaya kepada malaikat, percaya kepada kitab, percaya kepada rasul, percaya kepada hari akhirat dan percaya kepada qada
dan qadar akan tumbuh di dalam diri seseorang itu sejumlah rasa yang diistilahkan sebagai al-khauf (takut) dan al-raja
(harap). Islam menyediakan sejumlah mekanisme yang dapat melahirkan personaliti manusia yang berkualiti tinggi dan
berakhlak mulia melalui Rukun Islam. Kehebatan Rukun Islam iaitu solat, zakat, puasa dan haji selain daripada mengucapkan
dua kalimah syahadah dalam melaksanakan fungsinya sebagai mekanisme kukuh untuk membentuk peribadi yang berakhlak
mulia.
Firman Allah s.w.t. di dalam al-Quran surah at-Tin ayat 4-6 :



Maksudnya :
Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian
Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka). Kecuali orang-orang yang
beriman dan mengerjakan amal soleh; maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.
Ayat tersebut secara jelas menyatakan bahawa dua unsur utama yang dapat melepaskan manusia daripada api
neraka ialah keimanan dan amal-amal soleh atau kebaikan. Ia bermakna bahawa unsur kerohanian di dalam diri manusia itu
mestilah dikembang dan disuburkan kehidupannya dengan kedua-dua unsur tersebut (keimanan dan amal-amal soleh) untuk
memastikan bahawa manusia nantinya terlepas daripada terjerumus ke dalam api neraka. Jika diperincikan lagi, maka
keimanan yang disebutkan di sini tentunya merangkumi seluruh rukun iman. Ini bermakna bahawa unsur kerohanian atau diri
dalaman manusia yang disuburkan hidupnya dengan keimanan itu akan dikawal oleh suatu kawalan metafizik yang akan
menentukan arah segala perlakuan dan akhlak diri manusia.
Dalam erti kata lain, bahawa proses melaksanakan kewajipan-kewajipan agama apabila ia dilaksanakan dengan
penuh sedar dan sempurna maka seseorang individu pada waktu yang sama telah menumbuhkan ciri-ciri akhlak yang mulia
pada dasar dirinya. Ini bermakna bahawa kalangan orang yang beragama dengan agama Allah dalam pengertiannya yang
tepat adalah kalangan orang yang berakhlak mulia yang berupaya menyumbangkan kebaikan dan kedamaian kepada
kehidupan bermasyarakat. Akhlak sangat penting di dalam kehidupan manusia sehingga tanpanya kedudukan manusia lebih
rendah daripada binatang ternakan.

Berdasarkan huraian di atas, dapatlah disimpulkan bahawa suatu rahmat atau kebaikan di dalam agama Islam itu
mestilah diterjemahkan ke dalam kehidupan nyata melalui tingkah laku perbuatan manusia yang baik. Manusia berfungsi
sebagai agen untuk menyebarluaskan unsur kebaikan dan rahmat kepada alam seluruhnya. Fungsi ini dilaksanakan olehnya
menerusi wadah akhlak yang baik di dalam dirinya. Di sinilah bertautnya unsur konseptual (rahmat) dengan unsur praktis
(akhlak). Dengan ini ternyatalah bahawa mesej Islam itu sesungguhnya merupakan mesej akhlak yang baik yang mahu
ditegakkan di dalam kehidupan bermasyarakat supaya kedua unsur tersebut menjadi sebati dan meresap ke dalam jiwa
seluruhnya.

Rujukan
Al-Quran
Al-Ghazali, Abu Hamid. (t.t.) Ihya Ulum al-Din. Jilid 3. Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi.
Al-Zarqani. 1962. Sharh Muwata al-Imam Malik. Jilid 5. Mesir: Matbaah Mustafa al-Babi al-Halabi.
Ibn Hajar Al-Asqalani As-Syafie.(t.t) Bulughul Maram min Jami Adilati al-Ahkam. Mesir: Dar al-Aqidah.
Ibn Kathir. (t.t.) Tafsir Ibn Kathir. Jilid 3. Beirut: Dar al-Qalam.
Ibn Miskawayh. Ed. C.K. Zurayk. (1996). Tahdhib al-Akhlak. Beirut: American University of Beirut.
Zakaria Stapa. 1995. Akhlak dan Tasawwuf Islam. Kuala Lumpur: Berita Publishing Sdn. Bhd.

You might also like