You are on page 1of 11

FAEDAH-FAEDAH MENYERTAI KEGIATAN KOKURIKULUM

Berilah aku seratus orang tua,aku hanya mampu menggoncangkan perahu


yang tertangkup. Jika aku diberi sepuluh orang pemuda,aku mampu
menggoncangkan dunia". Memetik kata-kata Soekarno,mantan Presiden
Indonesia,jelaslah bahawa pemuda-pemudi khususnya mereka yang masih
berada di bangku sekolah merupakan harapan bangsa dan negara pada masa
hadapan.Justeru,menyedari akan hakikat sistem pendidikan hari ini tidak
hanya mementingkan pencapaian akademik semata-mata tetapi juga
pencapaian dalam bidang kokurikulum, kerajaan melalui Kementerian
Pelajaran Malaysia (KPM) telah mewajibkan aktiviti kokurikulum kepada
semua pelajar di seluruh negara. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum
bukan sahaja memberi banyak faedah kepada pelajar tetapi dalam masa
yang sama mendatangkan pelbagai kemaslahatan kepada negara. Kegiatan
kokurikulum sememangnya mendatangkan pelbagai faedah kepada pelajar.
Aktiviti kokurikulum dapat menyihatkan dan mencergaskan tubuh badan
pelajar. Dalam hal ini,para pelajar berkemungkinan bebas daripada masalah
obesiti yang dialami oleh sesetengah remaja.Sebagai bukti,perangkaan yang
dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan di Amerika Syarikat,membuktikan bahawa
60 peratus kanak-kanak di negara itu menghadapi masalah perut yang
gendut kerana kurang senaman.Bagaimana kegiatan kokurikulum dapat
memberikan kecergasan? Hal ini kerana melalui kegiatan kokurikulum yang
dijalankan,pelajar memerlukan ketangkasan dan ketahanan fizikal. Sebagai
contoh,aktiviti merentas desa dan ekspidisi mendaki gunung boleh
meningkatkan daya tahan dan stamina pelajar.Dalam masa yang sama
juga,peluh dan bahan-bahan kumuh yang berbahaya akan dibuang.Di
samping itu,daya tahan pelajar terhadap serangan penyakit juga
meningkat.Oleh itu,berbekalkan tubuh badan yang sihat,mereka akan dapat
menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran,bak
kata pepatah "otak yang cerdas lahir daripada badan yang cergas".Oleh
itu,jelas bahawa kegiatan kokurikulum mampu menjamin kesihatan serta
mencerdaskan otak pelajar sekali gus membantu mereka mencapai
kecemerlangan dalam peperiksaan.
Seterusnya,kegiatan kokurikulum telah dijadikan salah satu syarat untuk
melanjutkan pelajaran ke pusat-pusat pengajian tinggi.Hal ini kerana KPM
telah mengambil langkah drastik dengan menetapkan sepuluh peratus
daripada syarat untuk melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi
melalui penglibatan dan pencapaian yang baik dalam aktiviti kokurikulum di
sekolah. Menurut Dato' Hishamuddin Tun Hussin,Menteri Pelajaran Malaysia
dalam Berita Harian 21 Jun 2006,keputusan tersebut bertujuan untuk
melahirkan graduan yang serba boleh dalam pelbagai bidang.Berdasarkan
keputusan itu,para pelajar diwajibkan menyertai pelbagai badan kokurikulum
yang terdapat di sekolah.Dalam hal ini juga,segelintir pelajar yang aktif akan

diberi jaminan dan kemudahan untuk memohon dan mendapatkan sesuatu


pekerjaan.Oleh itu, para pelajar tidak lagi boleh memandang remeh terhadap
aktiviti kokurikulum yang dilaksanakan di sekolah kerana berkemungkinan
akan menjejaskan peluang mereka melanjutkan pelajaran sekali gus
mendapatkan pekerjaan selepas menamatkan pelajaran.
Selain itu,pelajar dapat memenuhi masa senggang dengan berfaedah
melalui penglibatan dalam kegiatan kokurikulum.Hal ini kerana dengan
menyertai pelbagai kegiatan kokurikulum penglibatan pelajar dalam gejala
sosial dapat dikurangkan ke tahap yang paling minimum.Dalam masa yang
sama juga,pelajar akan bersikap lebih menghargai masa yang terluang dan
sentiasa berpegang kepada kata-kata bahawa masa itu emas.Sebagai
contoh,sekumpulan pelajar yang menyertai aktiviti perkhemahan akan
memperoleh banyak pengetahuan tentang cara terbaik berinteraksi dengan
alam.Mereka akan ditanamkan dengan perasaan cinta akan alam sekitar,di
samping mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing dengan peserta
perkhemahan yang lain.Dengan mengikuti aktiviti-aktiviti yang berfaedah
remaja akan kurang berhadapan dengan risiko dipengaruhi oleh gejala yang
bertentangan dengan norma-norma masyarakat timue seperti budaya
'punk',hedonisme,vandalisme dan lain-lain lagi.Pada masa yang sama,pelajar
tidak akan mudah kehilangan arah atau petunjuk hidup sekiranya masa yang
terluang diuruskan secara efektif dan efisien.Justeru,remaja akan lebih
bersikap positif dan cenderung untuk melakukan pelbagai aktiviti yang
mendatangkan pelbagai faedah kepada diri,keluarga dan masyarakat
sekeliling.
Seterusnya,kegiatan kokurikulum yang dijalankan dapat menjalin hubungan
silaturahim serta menyemai nilai-nilai murni dalam diri para pelajar,Hal ini
kerana melalui sesuatu aktiviti,mereka akan berganding bahu melaksanakan
tugasan yang diberikan.Mereka akan bergaul mesra dan mengenali pelajarprlajar lain yang terdiri daripada pelbagai etnik.Para pelajar juga berpeluang
memahami adat resam dan kepercayaan kaum-kaum lain.Dengan ini
perpaduan dapat diwujudkan dan impian Malaysia untuk mempunyai
masyarakat majmuk yang harmoni tidak akan menjadi angan-angan Mat
Jenin.Di samping itu,aktiviti kokurikulum juga merupakan satu wahana untuk
menyemai nilai-nilai murni dalam sanubari pelajar supaya menjadi insan
yang kamil dan soleh.Melalui aktiviti berpasukan,nilai-nilai murni seperti
bekerjasama hormat-menghormati,kesopanan dan sebagainya dapat
diterapkan dan disebatikan dalam diri para pelajar. Dalam masa yang
sama,mereka juga diterbiah untuk mengamalkan nilai-nilai murni dalam
kehidupan seharian.Secara tidak langsung,mereka juga turut melalui proses
pembentukan peribadi yang sempurna seperti peribahasa Melayu,sambil
menyelam minum air.
Selain itu,mungkin tidak pernah terlintas dalam kotak fikiran para pelajar

bahawa penglibatan dalam aktiviti kokurikulum dapat mengharumkan nama


sekolah dan negara.Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum merupakan
titik permulaan untuk para pelajar mengembangkan bakat yang terpendam
dalam diri mereka.Sebagai contoh,atlit-atlit negara seperti Nicol David,Shalin
Zulkifli dan Lim Keng Liat dicungkil dan digilap melaui aktiviti kokurikulum
yang dijalankan di sekolah.Bermula dengan bakat yang semakin terserlah
kebolehan mereka seterusnya digilap oleh jurulatih-jurulatih yang
berpengalaman.Oleh itu,untuk membolehkan negara berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang
sukan,maka lebih banyak bakat harus dicungkil bagi mengharumkan nama
Malaysia.Hari ini,kita tidak harus terus bergantung kepada atlet veteran
sahaja yang semakin menuju ke kemuncak kerjaya mereka.Sebailiknya
sebagai persediaan banyak usaha harus dilakukan supaya bakat-bakat
pelajar yang berpotensi dapat dicungkil dan dikembangkan.
Konklusinya,tanggapan sesetengah ibu bapa bahawa aktiviti kokurikulum
tidak membawa kebaikan dan membuang masa sahaja haruslah dikikis,Demi
mencapai visi kudsi Wawasan 2020 dan Pelan Induk Pembangunan
Pendidikan (PIPP)2006-2010,Malaysia memerlukan generasi penggerak
wawasan yang berkaliber,berwibawa dan berintelek selari dengan modal
insan yang memiliki minda kelas pertama.Amalan peribahasa sesal dahulu
pendapatan,sesal kemudian tidak berguna haruslah dihayati dan direnungi
bersama kerana peribahasa ini mempunyai konotasinya yang
tersendiri.Justeru,sama-samalah kita berganding bahu dan menggembleng
tenaga menjayakan visi ini.

TAJUK 5 : CARA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN


Dalam mendepani era modenisasi pada abad-21 kini, dunia
menyaksikan iktisad (ekonomi) negara membangun seperti cendawan
tumbuh selepas hujan. Negara yang semakin pesat membangun seperti
tenggelam sama basah, timbul sama hanyut seiringan dengan negara maju
lain. Namun begitu, isu memupuk semangat kejiranan masih menjadi
polemik dalam kalangan marhaen (golongan bawahan) di Malaysia. Dewasa
ini, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat kita semakin hari
semakin terpinggir. Maasyarakat pada hari ini lebih mementingkan diri sendiri
dan membudayakan hidup bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk
masing-masing. Dari segi konsepnya semangat kejiranan boleh ditakrifkan
sebagai suatu perasaan yang harus dipupuk oleh setiap masyarakat di
Malaysia tanpa mengira warna kulit bangsa dan agama dalam usaha untuk
mengukuhkan perpaduan kaum demi negara yang tercinta. Biasanya
semangat kejiranan merangkumi semua lapisan masyarakat tidak kira muda
ataupun tua yang perlu kita amalkan. Menurut Dato Dr. Fadzillah Kamsah

jiran merupakan orang yang tinggal di sekeliling kita sama ada di depan,
belakang, kiri , atau pun kanan dan merupakan orang pertama yang
membantu kita ketika kita berada dalam kesusahan. Hal ini boleh
dianalogikan seperti awan yang melindungi bumi daripada cahaya matahari.
Oleh itu, langkah yang signifikan harus diambil bagi menerapkan semangat
kejiranan kepada semua lapisan masyarakat.
Cara yang afdal untuk memupuk semangat kejiranan ialah ibu bapa
perlu menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini kerana ibu bapa
merupakan guru pertama dan guru terbaik kepada anak-anak. Jika ibu bapa
menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak maka mereka akan
mencontohi teladan yang ditunjukkan kerana bagaimana acuan begitulah
kuihnya. Sekiranya ibu bapa menunjukkan suri teladan yang buruk kepada
anak-anak maka mereka akan menjadi anak-anak yang jahat malah lebih
teruk lagi. Hal ini boleh dianologikan seperti anak burung yang baru belajar
terbang daripada ibunya. Sebagai contoh, ibu bapa haruslah mengunjungi
atau menziarahi jiran tetangga walaupun mereka berada dalam keadaan
yang baik atau tidak. Selain itu, ibu bapa haruslah tidak sombong dengan
jiran dan sering bertegur-sapa agar dapat memupuk semangat kejiranan.
Kesannya, semangat kejiranan dapat dipupuk antara jiran dalam kalangan
anak-anak dan ibu bapa sekali gus dapat mewujudkan masyrakat yang
harmoni. Sekiranya cara memupuk semangat kejiranan dapat dipupuk oleh
ibu bapa maka negara dapat melahirkan generasi yang bijaksana dan
bekerjasama dalam mentadbir membangunkan negara ke arah kemajuan
negara pada masa akan datang. Tegasnya, contoh teladan yang terbaik
daripada ibu bapa mampu memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
anak-anak.
Memetik wasitah nirmala seterusnya, minhaj (cara) untuk
memupuk semangat kejiranan dalam masyarakat setempat di Malaysia ialah
program rukun tetangga di kawasan perumahan mesti dihidupkan semula.
Hal ini kerana program rukun tetangga berfungsi sebagai perisai untuk
mengawal keselamatan kawasan perumahan terutama pada malam hari.
Anggotanya membabitkan semua pihak tanpa mengira kaum kerana masingmasing bertanggungjawab menjaga keselamatan kendiri dan keluarga.
Sebagai contohnya, anggota rukun tetangga akan bergilir-gilir bertugas
meronda kawasan tanpa mengira usia, agama dan status. Secara ghalibnya
(lazimnya), senario ini akan mewujudkan jalinan hubungan yang mesra bagai
isi dengan kuku sekali gus memupuk semangat kejiranan yang hakiki
(sebenar). Menurut Tun Dr. Mahathir, jiran yang muafakat akan membentuk
masyarakat yang harmoni. Oleh itu, kita perlu mengaktifkan program rukun
tetangga bagi melahirkan semangat kejiranan yang utuh dan bersatu padu.
Meninjau dari skop yang lain, langkah yang seterusnya adalah dengan
mengadakan aktiviti gotong-royong. Melalui aktiviti gotong-royong, jiran

dapat berkumpul dan bekerjasama sambil berbincang tentang aktiviti yang


akan dilakukan. Sebagai contoh, aktiviti yang boleh diadakan secara
bergotong-royong adalah seperti membersihkan kawasan taman,
menyediakan hidangan untuk kenduri-kendara dan sebagainya. Apabila
berkumpul dan berbincang, mereka akan dapat berkenal-kenalan antara satu
dengan yang lain yang sekali gus membolehkan seseorang itu mengenal hati
budi jiran mereka dengan lebih dekat. Hal ini dapat digambarkan melalui
pepatah Melayu yang mengatakan bahawa tak kenal maka tak cinta. Selepas
mengenali hati budi antara satu sama lain barulah benih-benih kasih sayang.
Melalui cara ini, masyarakat yang penyayang dapat dilahirkan di samping
dapat menerapkan pelbagai nilai murni. Tun Dr. Mahathir, Mantan Perdana
Menteri pernah menegaskan bahawa dengan melibatkan diri dalam kegiatan
bergotong-royong, kita berupaya menerapkan pelbagai nilai murni dalam diri.
Bukan itu sahaja, kawasan kediaman juga akan menjadi bersih dan
terpelihara daripada penyakit demam denggi. Jelaslah bahawa aktiviti
gotong-royong dapat memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat.
Jika dilihat dari perspektif yang lain, kita juga hendaklah mengadakan
majlis-majlis rumah terbuka semasa sesuatu sambutan perayaan. Amalan ini
dapat membentuk ikatan silaturahim dan memperkukuh semangat kejiranan
dalam kalangan jiran setempat. Melalui acara rumah terbuka, jiran dapat
bertanyakan khabar dan bercerita tentang pengalaman masing-masing
dengan lebih dekat. Seterusnya, melalui majlis rumah terbuka ini, semua ahli
dalam masyarakat berpeluang untuk berkumpul dan berbincang sambil
menikmati juadah yang disediakan oleh tuan rumah. Sebagai contoh, semasa
perayaan Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina, Krismas, Deepavali, dan
sebagainya majlis-majlis rumah terbuka hendaklah dijadikan acara tahunan.
Maka, dengan adanya pengimplimentasian program seperti Rumah Terbuka
Kebangsaan bagi setiap sambutan perayaan, rakyat dapat diterapkan
dengan nilai hormat-menghormati dan sayang-menyayangi antara satu sama
lain ibarat kata bidalan, serumpun seperti serai, seikat seperti sirih. Hal ini
dikuatkan lagi dengan kajian dari Universiti Sains Malaysia yang
menunjukkan keberhasilan penganjuran program Rumah Terbuka
Kebangsaan dalam mewujudkan institusi kejiranan yang kukuh di sembilan
buah kawasan perumahan di sekitar Pulau Pinang. Pendek kata, majlis rumah
terbuka mampu mengeratkan hubungan kejiranan dan memupuk semangat
kejiranan dalam kalangan masyarakat.
Lontaran idea yang seterusnya ialah kita mestilah menyemarakkan
budaya kunjung-mengunjung dalam kalangan rakyat sebagai langkah untuk
memupuk dan mengekalkan semangat kejiranan. Dalam hidup
bermasyarakat, kita digalakkan menziarahi jiran kita. Melalui aktiviti ini, kita
akan mengetahui masalah dan kesusahan yang dialami oleh jiran kita.

Sebagai contoh, kita perlu berkunjung ke hospital jika kita mendapat berita
bahawa jiran kita dimasukkan ke hospital kerana menghidap sesuatu
penyakit atau kemalangan. Walaupun pepatah Melayu ada mengatakan
bahawa berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya, namun sebagai
jiran, kita mestilah berpegang pada prinsip cubit paha kiri, paha kanan terasa
juga. Maksudnya ialah jika kita mempunyai semangat kejiranan yang tinggi,
kita akan dapat merasai segala kesusahan dan keperitan yang dialami oleh
jiran kita. Dengan ini, kita dapat meringankan penderitaan dan kesusahan
yang dialami oleh jiran kita. Izharlah bahawa amalan ziarah-menziarahi
mampu menyemarakkan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat
kita.
Sebagai menggulung segala lontaran idea yang telah dinyatakan,
dapatlah disimpulkan bahawa terdapat beberapa cara yang dapat
dipraktikkan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan
masyarakat kita. Dalam era globalisasi ini, sikap mementingkan diri sendiri
dan sikap tidak mempedulikan orang lain semakin menebal. Jika hal ini
dibiarkan, semangat kejiranan akan luntur dan seterusnya akan menjejaskan
perpaduan negara kerana bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Oleh itu,
kita perlu memupuk semangat kejiranan bermula daripada sekarang. Cogan
kata Jiran Sepakat Membawa Berkat perlu terus diamalkan dalam
kehidupan kita sehari-hari. Golongan remaja seharusnya menyuburkan
semangat kejiranan kerana mereka merupakan pemimpin yang akan
mewarnai corak pemerintahan pada masa hadapan. Namun begitu, kita tidak
seharusnya meletakkan usaha ini pada bahu satu pihak kerana bertepuk
sebelah tangan tak akan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi
ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing untuk menghidupkan
semangat kejiranan di negara kita. Allah berfirman yang maksudnya, Wahai
manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan
seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersukusuku supaya kamu kenal-mengenali. Semoga Malaysia menjadi sebuah
negara yang mempunyai perpaduan yang utuh dan kukuh.

Kepentingan Teknologi Maklumat


Teknologi maklumat merupakan agenda baharu yang begitu diberikan oleh
negara kita. Kerajaan telah mengambil langkah yang serius untuk
menerapkan budaya teknologi maklumat kepada masyarakat. Berbagai-bagai
kempen dijalankan untuk menjelaskan kepada masyarakat tentang
pentingnya teknologi maklumat. Sejumlah peruntukan yang besar telah
dilaburkan untuk tujuan itu. Berdasarkan usaha dan iltizam kerajaan yang
tinggi itu, nyatalah bahawa bidang teknologi maklumat mempunyai manfaat
yang sangat besar kepada masyarakat dan negara ini.

Teknologi maklumat mampu menjadikan masyarakat negara ini sebagai


sebuah masyarakat yang sentiasa peka dengan perkembangan dan
pergolakan dunia. Melalui kemajuan dalam bidang penyebaran maklumat,
masyarakat negara ini tidak ketinggalan untuk mengikuti perkembangan.
Maklumat yang disalurkan amat pantas. Hanya dengan memiliki sebuah
komputer peribadi yang disambung dengan perkhidmatan internet,
masyarakat boleh mendapatkan maklumat dari seluruh dunia. Mereka hanya
perlu menggerakkan tetikus untuk mendapatkan maklumat terkini dalam
sesuatu bidang. Contohnya masyarakat Malaysia boleh mengikuti pergolakan
politik di Timur Tengah melalui skrin komputer mereka. Oleh itu penguasaan
teknologi maklumat mampu menjadi masyarakat Malaysia sebagai
masyarakat berinformasi.

Selain itu teknologi maklumat dapat meningkatkan mutu pendidikan negara


kita. Kerajaan telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan sekolah-sekolah
bestari yang menjadikan teknologi maklumat sebagai teras pendidikan.
Apabila terlaksana kelak, sumber rujukan yang utama bagi pelajar bukan lagi
guru mereka. Guru akan dianggap sebagai pemudah cara. Segala proses
pembelajaran dan pengajaran akan dikendalikan oleh komputer. Sumber
rujukan pula adalah dari sumber-sumber multimedia. Pelajar perlu memiliki
kemahiran untuk mengendalikan komputer dan mereka sendiri yang akan
meneroka segenap bidang ilmu yang dipelajari oleh mereka. Malah seseorang
pelajar boleh melanjutkan pelajaran sehingga ke peringkat tertinggi
menggunakan media komputer. Contohnya penubuhan Universiti Tun Abdul
Razak merupakan satu langkah ke arah penerokaan ilmu di ruang siber tanpa
menghadiri kuliah secara lumrah. Dengan penubuhan universiti maya ini,
mutu pendidikan negara meningkat setahap lagi ke arah kemajuan.
Teknologi maklumat juga mampu meletakkan negara kita setanding dengan
negara-negara maju. Dalam zaman ini kemajuan sesebuah negara diukur
dengan pencapaian dalam bidang teknologi. Oleh yang demikian sebagai
sebuah negara yang ingin mencapai status negara maju, Malaysia mestilah
menitikberatkan bidang ini dan menjadikan kita berdiri sama tinggi duduk
sama rendah dengan negara-negara maju. Oleh sebab itulah negara kita
mengeluarkan belanja yang banyak untuk meningkatkan segenap aspek
yang berkaitan dengan teknologiu maklumat. Contohnya negara kita telah
melancarkan satelit telekomunikasi kita sendiri yang dikenali dengan nama
MEASAT 1 dan MEASAT 11. Baru-baru ini pula saintis Malaysia berjaya
menghasilkan satelit ringan yang dikenali sebagai Tiongsat-1. Dengan
pelancaran satelit-satelit ini, kita mampu menempatkan diri setanding
dengan negara-negara maju dalam bidang telekomunikasi. Jadi, jelaslah
teknologi maklumat menjadikan negara kita setanding dengan negara maju.

Penekanan dalam kemajuan teknologi maklumat akan menggalakkan


pemindahan teknologi secara langsung dan tidak langsung. Pembinaan
Koridor Raya Multimedia telah membuka peluang pelaburan kepada syarikatsyarikat antarabangsa untuk beroperasi di sini. Dengan ini mereka akan
memindahkan teknologi canggih ini untuk dipelajari oleh rakyat negara kita.
Kerajaan tidak perlu membelanjakan wang yang banyak untuk menghantar
pegawai untuk berkursus di luar negara. Selain itu dengan pemindahan
teknologi ke negara kita lebih banyak pihak yang mendapat manfaat. Selain
kerajaan mendapat hasil cukai, peluang pekerjaan telah disediakan untuk
dimanfaatkan oleh penduduk tempatan. Oleh yang demikian, kemajuan
teknologi dapat menggalakkan pemindahan teknologi ke negara kita.
Teknologi maklumat juga dapat meningkatkan ekonomi negara. Perniagaan
hari ini dijalankan melalui kaedah e-dagang atau perdagangan elektronik.
Melalui kaedah ini peniaga tidak lagi perlu menyediakan ruang niaga yang
besar dan memerlukan kos yang tinggi. Hal ini kerana pasaran dapat
diperluas melalui internet. Pembeli dari dalam dan luar negara dapat melihat
produk dengan hanya menekan tetikus, di samping membuat pesanan.
Perdagangan cara ini ternyata lebih berkesan kerana menjimatkan masa dan
tenaga pembeli. Peniaga pula hanya perlu meneliti skrin komputer untuk
menjual barangan mereka. Contohnya Amazon.com merupakan sebuah
syarikat penjualan bahan bacaan yang sangat terkenal dan telah
membuktikan kejayaan dalam e-dagang ini. Natijahnya, teknologi maklumat
dapat meningkatkan ekonomi negara.
Kesimpulannya, kita tidak harus ketinggalan untuk menguasai kemahiran
teknologi maklumat kerana bidang ini akan terus berkembang dari semasa ke
semasa. Sistem hidup manusia masa depan akan lebih bergantung kepada
kemajuan dalam bidang ini. Malah pada masa kini pun, pergantungan
manusia terhadap teknologi maklumat sememangnya tidak dapat dinafikan.
Oleh itu, untuk memastikan wawasan negara untuk menjadi sebuah negara
maju boleh direalisasikan dengan penguasaan dalam bidang teknologi
maklumat. Sebagai rakyat Malaysia, kita perlu menyokong usaha ini di
samping menyediakan diri untuk mempelajari pengetahuan baru berkaitan
teknologi maklumat agar kita tidak dianggap seperti katak di bawah
tempurung.

Persediaan Selepas SPM


Era penyejagatan pada masa ini semakin hari semakin berkembang pesat
ekoran sikap manusia yang sentiasa berusaha untuk mencapai dan
mendominasi kejayaan dalam kehidupan. Manusia juga sanggup melakukan
apa-apa sahaja tanpa berputus asa untuk memperoleh kejayaan, bak kata

pepatah Melayu, genggam bara api biar sampai jadi arang. Saya meminati
sesuatu bidang kerjaya yang amat mencabar dan berisiko. Oleh itu,
persediaan awal adalah amat penting sebelum saya dapat menceburi bidang
pekerjaan ini. Saya perlulah melakukan beberapa persediaan yang
sewajarnya kerana yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang
melayang.

Persediaan yang afdal yang wajar saya lakukan termasuklah melengkapkan


diri saya dengan kemahiran insaniah yang meliputi beberapa aspek, iaitu
kemahiran berkomunikasi, mempunyai pemikiran kritis dan kemahiran
menyelesaikan masalah, kemahiran kerja berpasukan, pembelajaran
sepanjang hayat dan pengurusan maklumat, kemahiran keusahawanan, etika
dan moral profesional serta kemahiran kepimpinan. Kemahiran insaniah
sangat penting untuk melahirkan modal insan yang kamil dan yakin untuk
berhadapan dengan sebarang cabaran yang mendatang. Sebagai contoh,
semasa berada di alam persekolahan dan pengajian tinggi, saya perlulah
menggunakan peluang yang ada untuk bergerak aktif sama ada dalam
aktiviti kemasyarakatan, sukan atau kebudayaan. Hal ini adalah kerana
kemahiran insaniah dapat mempersiapkan diri saya dengan kemahiran yang
boleh diaplikasikan pada masa hadapan terutamanya semasa berada dalam
alam pekerjaan. Oleh itu, usaha untuk memiliki kemahiran insaniah amat
penting agar saya dapat berkecimpung dalam bidang yang saya minati itu.

Jika dilihat dari dimensi yang lain pula, saya perlu mempunyai daya saing
yang tinggi kerana saya merupakan golongan pemuda-pemudi yang bakal
berhadapan dengan dunia yang kian mencabar ini. Sesungguhnya remaja di
Malaysia amat berbeza dengan remaja di negara lain. Mereka sememangnya
sudah diajar berdikari sejak kecil lagi manakala remaja di negara kita masih
ditatang bagai minyak yang penuh. Jadi, tidak hairanlah mereka lebih matang
dan daya saing mereka lebih tinggi daripada remaja di negara kita.
Menyedari hakikat ini, saya perlu kental dan tidak mudah berputus asa
apabila berhadapan dengan pelbagai rintangan. Sebagai contoh, Abraham
Lincoln pernah mengalami 13 kegagalan besar dalam bidang politik sebelum
beliau dipilih menjadi Presiden Amerika Syarikat yang ke-16 pada usia 51.
Kecekalan Abraham Lincoln ini perlu saya contohi kerana di mana ada
kemahuan, di situ ada jalan. Saya juga mesti membekalkan diri saya dengan
semangat juang yang tinggi untuk mencapai matlamat saya. Saya perlu
berupaya untuk menghasilkan teknologi dan robotik yang setanding dengan
remaja yang lain. Jelaslah membuktikan bahawa seseorang yang ingin
mencapai kejayaan dalam bidang yang diceburi perlulah memiliki daya saing
yang tinggi.

Selain itu, saya juga perlu mempunyai ilmu pengetahuan yang mendalam
terhadap bidang pekerjaan yang bakal saya ceburi itu. Hal ini adalah kerana
ketinggian ilmu yang saya miliki dapat memastikan jati diri saya tidak mudah
rapuh. Sejak kecil lagi, rakyat Jepun telah didedahkan dengan amalan
membaca kerana mereka percaya bahawa membaca itu jambatan ilmu.
Hanya dengan membaca, mereka berupaya memajukan negaran mereka
dengan pelbagai teknologi moden yang canggih. Jadi, saya perlu banyak
membaca buku-buku yang berkaitan dengan bidang yang saya minati. Saya
percaya bahawa ilmu pengetahuan yang tinggi mampu mematangkan saya
untuk mengatur setiap langkah kehidupan. Sememangnya pelangi hari ini
tidak mampu berjanji untuk muncul pada hari keesokan. Oleh hal yang
demikian, saya perlulah meningkatkan pengetahuan dan keyakinan saya bagi
merealisasikan impian saya untuk menceburi bidang kerjaya yang mencabar
dan berisiko.

Seperkara lagi, saya perlulah sentiasa sensitif dan prihatin terhadap isu
semasa. Saya tidak mahu menjadi seperti katak di bawah tempurung. Hal ini
adalah supaya saya lebih peka terhadap masalah yang kian menular seperti
cendawan yang tumbuh selepas hujan sama ada di negara kita atau di luar
negara. Dewasa ini, banyak jenayah yang berlaku di negara kita. Sebagai
contoh, kes pembunuhan Datuk Sosilawati, seorang jutawan dan rakanrakannya yang telah dibunuh tanpa perikemanusiaan. Sebagai iktibar, saya
perlu lebih berhati-hati dalam mengharungi kehidupan yang penuh
pancaroba ini terutamanya ketika menceburi bidang kerjaya yang lebih
mencabar dan berisiko. Jadi, saya mestilah memiliki semangat inkuiri yang
kuat dan tinggi supaya saya sentiasa lebih sensitif dan peka terhadap isu-isu
yang berlaku di sekeliling saya. Hal ini dapat dicapai sekiranya saya rajin
membaca surat khabar dan melayari internet untuk mengetahui isu-isu
semasa. Dengan cara ini, saya berupaya untuk menangkis sebarang cabaran
ketika saya bekerja dalam dunia pekerjaan yang berisiko dan mencabar.

Persediaan yang seterusnya ialah saya perlu mempunyai minda yang kreatif
dan inovatif. Hal ini dikatakan demikian kerana seseorang yang dapat berfikir
di luar kotak dan berani melakukan anjakan paradigma mampu untuk
menongkah arus dan mendepani cabaran semasa. Sebagai seorang pelajar,
kejayaan akademik memang merupakan satu kepentingan untuk berjaya
dalam kehidupan tetapi tidak dapat disangkalkan juga bahawa mempunyai
nilai tambah diri seperti nilai kepimpinan dan berfikir secara kreatif serta
kritis juga signifikan untuk berjaya dalam kerjaya yang mencabar dan

berisiko. Oleh itu, pemikiran saya yang kreatif dan inovatif dapat menangani
cabaran-cabaran yang bakal saya tempuhi kelak terutamanya pada era
globalisasi ini. Saya juga dapat mengemukakan idea-idea yang bernas yang
dapat meningkatkan kualiti kerja saya kelak. Tuntasnya, kemampuan untuk
berfikir secara kreatif dan inovatif dapat membantu saya ketika melibatkan
diri dalam kerjaya yang saya idamkan.

Konklusinya, persediaan-persediaan inilah yang wajar saya lakukan sebagai


prasyarat untuk mencapai kejayaan dalam pekerjaan saya nanti. Oleh itu,
saya perlulah menitikberatkan kemajuan diri saya dalam semua aspek sama
ada dalam aspek jasmani, rohani, emosi, intelek dan sosial. Dengan cara ini,
saya pasti dapat menangkis segala dugaan yang mendatang kerana saya
percaya bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Semoga
impian saya akan menjadi realiti dengan keizinan Tuhan yang Maha Esa.

You might also like