You are on page 1of 2

TEKAD PERANGI DADAH

LEE LAM THYE | 14 Julai 2016 6:00 PM


0 0 Google +0

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik PDRM, Datuk Seri Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff (tengah)
mendedahkan taktik licik pengedar menggunakan coklat untuk menyembunyikan dadah pada sidang
akhbar di Bukit Aman, 24 Jun lalu. UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

TIDAK dapat dinafikan dadah antara isu serius di negara ini yang masih belum dapat diselesaikan
sepenuhnya. Kerajaan telah membelanjakan beratus juta ringgit untuk menanganinya tetapi
masalah ini masih berleluasa. Kemenangan belum berpihak kepada kita.
Rakyat Malaysia yang menjadi penagih dadah, bukan lagi aset sebaliknya menjadi liabiliti kepada
negara, masyarakat dan keluarga. Kerajaan pula terpaksa menggunakan sumber kewangan dan
tenaga manusia untuk proses pemulihan penagih dadah serta menangani masalah jenayah
berkaitan.
Oleh itu, kita harus bertekad untuk memerangi musuh nombor satu negara ini sebelum menjadi
semakin berat sehingga melumpuhkan kemajuan negara.
Semua pihak perlu bekerjasama dengan penuh iltizam supaya punca penagihan dadah dapat
dihapuskan, jenayah berkaitan dadah dikurangkan dan rangkaian pengedarannya dilemahkan.
Hasrat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk merangka dan menguatkuasakan Pelan Strategik
Memerangi Dadah Kebangsaan bagi menangani ancaman dadah secara menyeluruh adalah amat
bertepatan.
KDN dilaporkan sedang mengumpul segala maklumat yang perlu khususnya daripada Polis Diraja
Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Ini menepati azam kerajaan untuk memastikan ancaman dadah di negara ini dibanteras secara
habis-habisan seperti diisytiharkan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid
Hamidi sebelum ini bahawa 2016 adalah tahun untuk memerangi dadah secara besar-besaran.
Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri mengumumkan bahawa kerajaan akan menggunakan
pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang menggabungkan lapan kementerian,
semua agensi serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

Usaha ini harus mendapat sokongan padu semua pihak kerana dadah masih menjadi musuh
nombor satu negara walaupun kerajaan telah mengisytiharkan perang terhadap najis itu sejak
1980-an lagi.
Walaupun polis terutamanya Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan Pasukan Khas Taktikal
Perisikan Narkotik serta pihak Kastam dan Imigresen berjaya membongkar, merampas dan
menahan orang yang terlibat dalam penyeludupan, pengedaran dan pemprosesan dadah, namun
tidak ada tanda-tanda aktiviti tersebut berkurangan. Malah, semakin banyak makmal haram dadah
yang beroperasi di negara ini, sesetengahnya didalangi oleh warga asing yang pakar dalam
memproses dadah.
Kita bimbang kalau Malaysia dijadikan sebagai hab serantau atau pusat transit bagi pengedaran
dadah antarabangsa.
Penagihan dan penyalahgunaan dadah adalah antara punca utama pelbagai kejadian jenayah
seperti ragut, pecah rumah dan lain-lain lagi. Tahun lalu, 51 peratus daripada jumlah banduan
disabitkan atas jenayah berkaitan dadah, meningkat daripada 48 peratus pada 2014.
Satu hakikat yang menyedihkan ialah hampir tiga perempat daripada banduan yang dipenjarakan
kerana jenayah berkaitan dadah berusia antara 19 dan 39 tahun. Golongan inilah yang diharapkan
menjadi pemimpin bangsa dan negara pada masa depan.
Selagi masalah penagihan dadah tidak dapat diatasi, banyak jenayah berkaitan dengan dadah
akan terus berlaku.
Fenomena penagihan kini juga semakin serius apabila menular dalam kalangan remaja bahkan
turut melibatkan pelajar sekolah rendah. Malah, bekalan dadah semakin banyak di pasaran dan
jumlah penagih baru juga meningkat termasuk mereka yang menghidu gam, ketagih ketum dan pil
kuda.
Natijahnya, penyalahgunaan dadah di Malaysia bukan sahaja satu ancaman kepada negara,
keselamatan dan pembangunan sosioekonomi bahkan kini menjadi masalah masa depan apabila
kanak-kanak di bawah umur 10 tahun sudah ketagihan dadah.
Sepanjang tahun lalu sahaja, seramai 26,660 penagih direkodkan dengan 76.1 peratus penagih
baharu. Lebih kurang 73.4 peratus daripada penagih yang berdaftar adalah golongan muda. Ini
menjadikan jumlah penagih dadah berdaftar pada ketika ini lebih 280,000 orang. Harus diingatkan
bahawa jumlahnya mungkin jauh lebih besar berikutan kebanyakan penagih dadah tidak dapat
dikesan oleh pihak berkuasa.
Rakyat amat berharap dengan adanya pelan strategik KDN itu kelak, masalah penagihan dapat
dihapuskan, pemprosesan dan pengedaran dadah dapat dibanteras, dan para penagih dapat dipulihkan dan seterusnya diterima oleh masyarakat.
Pelan komprehensif yang sedang dirangka oleh KDN perlu mampu mencapai sasaran ancaman
dadah seperti di kawasan luar bandar, kampung-kampung terpencil, penempatan peneroka,
kawasan perumahan Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan juga di sekolah.
KDN tidak harus teragak-agak merombak pendekatan dan strategi sedia ada serta menyusun
semula struktur agensi-agensi bertanggungjawab supaya ancaman dadah dan jenayah berkaitan
dapat ditangani secara berkesan. Jangan gentar mencuba pendekatan baru.
Selain itu, peranan ibu bapa menjadi semakin penting. Ibu bapa harus mendidik anak-anak dengan
betul dan pastikan mereka tidak menjadi mangsa penagihan dadah. Ambil tahu dengan siapa
anak-anak berkawan dan bercampur, terutamanya di luar waktu sekolah.
Jika ada ahli keluarga yang terjerumus dalam penagihan dadah, ambil tindakan cepat dan wajar
dengan membawa mereka ke pusat pemulihan dadah secara sukarela. Tidak perlu rasa malu. Apa
yang penting, penagih ini dipulihkan dengan segera supaya mereka tidak hanyut dalam masalah
jenayah berkaitan dadah dan menjadi beban kepada keluarga dan masyarakat.
Kita perlu gerakkan semua pihak di negara ini termasuk masyarakat, NGO, pertubuhan belia,
majikan dan pekerja, pihak sekolah, institusi pendidikan, segala bentuk media daripada cetak,
penyiaran dan media sosial, serta institusi keluarga untuk bekerjasama dengan kerajaan
menentang ancaman dadah sekali gus menyelamatkan generasi muda kita daripada dibelenggu
olehnya.
Jika kita gunakan strategi untuk mengurangkan permintaan, maka bekalan dadah juga akan
berkurangan. Oleh itu, kita perlu komited mengelakkan rakyat daripada terjebak dengan najis
dadah, memulihkan penagih dan memastikan bekas penagih tidak terlibat semula dengan dadah.
Tingkatkan didikan dan pupuk kesedaran dalam kalangan kanak-kanak, remaja dan belia tentang
kesan negatif dan kebinasaan disebabkan oleh penyalahgunaan dadah.
TAN SRI LEE LAM THYE ialah Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
- See more at: https://www.utusan.com.my/rencana/tekad-perangi-dadah-1.353150#sthash.0XKZZLPb.dpuf

You might also like