You are on page 1of 4

Aspirasi dan perubahan sistem pendidikan

dengan pelaksanaan PPPM


Bernama | Kemas kini: September 06, 2013

Hasil
Orang ramai dijangka dapat melihat perubahan ketara dalam kaedah pelaksanaan sistem
pendidikan negara tidak lama selepas pelaksanaan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025.
Antara hasil awal yang dijangka dilihat ialah syarat pengambilan guru diperketat dan
dikuatkuasakan di semua institut pendidikan guru dan institusi pendidikan tinggi awam.
Ia turut menyasarkan 100 peratus sekolah mempunyai sambungan Internet dengan kelajuan
sekurang-kurangnya 4Mbps melalui 1BestariNet, menurut PPPM 2013-2025 yang dilancarkan
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, di sini
hari ini.
Satu lagi hasil awal yang dijangka diraih susulan pelaksanaan pelan pendidikan itu ialah semua
guru opsyen bahasa Inggeris di bawah tahap penguasaan, dilatih untuk meningkatkan kemahiran.
Daripada segi ujian, 20 peratus daripada soalan peperiksaan akan digunakan untuk mentaksir
kemahiran berfikir aras tinggi dalam kalangan pelajar.
Prestasi guru turut diberi keutamaan dengan 410,000 guru akan dinilai melalui apa yang
disifatkan sebagai instrumen bersepadu, dan 61,000 guru bahasa Inggeris dinilai pada tahap
kecekapan berbahasa mengikut standard antarabangsa.
"Perubahan ini akan menjadi asas hasil yang dihasratkan untuk masa depan," kata pelan
pembangunan berkenaan.
Pelan itu melakarkan visi sistem pendidikan dan aspiasi pelajar yang dapat memenuhi keperluan
negara pada masa depan.
Ia mencadangkan 11 anjakan strategik dan operasi yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian
Pendidikan untuk mencapai visi yang dihasratkan.

Aspirasi
Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 berhasrat untuk mencapai lima
keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia secara keseluruhan merangkumi akses, kualiti,
ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Menurut pelan itu yang dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
merangkap Menteri Pendidikan, kementerian berhasrat memastikan kadar akses sejagat dalam
kalangan kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga ke peringkat menengah atas (Tingkatan
5) menjelang tahun 2020.
Dari segi kualiti, kementerian berharap kedudukan sistem pendidikan negara diletakkan dalam
kelompok sepertiga teratas dalam pentaksiran antarabangsa mengikut pengukuran Kajian Trend
Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa (TIMSS) dan Program Penilaian Pelajar
Antarabangsa (PISA) yang menguji bacaan, Matematik dan Sains dalam tempoh 15 tahun.
Selain itu, jurang pencapaian antara murid bandar dengan luar bandar, tahap sosioekonomi dan
pencapaian antara gender sehingga 50 peratus menjelang 2020 juga diharap dapat dirapatkan
serta menjana suatu sistem pendidikan yang memberi peluang kepada murid berkongsi
pengalaman berinteraksi dengan pelbagai etnik bagi memperkukuh asas perpaduan rakyat.
Dari segi kecekapan, walaupun kerajaan terus mengekalkan tahap pelaburan semasa,
kementerian berhasrat untuk memaksimum keberhasilan murid mengikut tahap peruntukan
semasa.
Selain keberhasilan sistem pendidikan, setiap murid juga perlu berupaya untuk bersaing pada
peringkat global.
Oleh itu, sebanyak enam ciri utama membabitkan pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran
memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, dan identiti nasional perlu ada pada
setiap murid sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Dari segi pengetahuan, setiap kanak-kanak perlu menguasai sepenuhnya kemahiran literasi dan
numerasi di peringkat paling asas serta pelbagai kemahiran kognitif termasuk penaakulan dan
pemikiran kritis, kreatif serta inovatif dari segi kemahiran berfikir.
Mereka juga perlu menguasai bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan serta bahasa Inggeris
sebagai bahasa komunikasi antarabangsa serta digalakkan untuk mempelajari bahasa lain sebagai
bahasa tambahan.
Di samping itu, setiap murid akan dibantu untuk mencapai potensi mereka dengan sepenuhnya
melalui bekerja dalam pasukan dan mengamalkan ciri kepimpinan yang merangkumi
keusahawanan, berdaya tahan, kecerdasan emosi, dan kemahiran berkomunikasi secara berkesan
serta dibentuk sebagai individu penyayang yang dapat menyumbang kepada kesejahteraan
komuniti dan negara dari segi etika dan kerohanian.

Selain itu, setiap murid dipupuk dengan semangat patriotik dengan cara memahami sejarah
negara dan berkongsi aspirasi yang sama untuk masa depan negara kerana identiti nasional akan
dapat dicapai bukan hanya belajar memahami dan menerima kepelbagaian tetapi juga
menghayati kepelbagaian.
Soalan UPSR dan SPM
Sebanyak 40 peratus soalan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan 50
peratus soalan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) akan berbentuk pemikiran aras tinggi menjelang
2016.
Perubahan dalam reka bentuk peperiksaan itu bermaksud guru tidak lagi perlu meramal soalan
dan topik yang akan diuji dan melaksanakan latih tubi bagi mengingati kandungan pelajaran.
"Sebaliknya murid akan dilatih untuk berfikir secara kritis dan mengaplikasi pengetahuan dalam
situasi berbeza," demikian menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 20132025.
Pelan itu dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri
Muhyiddin Yassin di sini hari ini.
Dalam menerapkan kemahiran berfikir aras tinggi, kurikulum peperiksaan dan pentaksiran untuk
mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) juga akan dikaji semula.
Untuk itu, murid akan mendapat tambahan masa pengajaran dan penekanan terhadap aplikasi
pengetahuan yang praktikal melalui amali makmal dan pembelajaran berasaskan projek, khusus
bagi mata pelajaran Sains dan Matematik.
Dalam usaha memastikan setiap murid menguasai kemahiran bahasa Inggeris, Kementerian
Pendidikan menetapkan bahasa Inggeris sebagai kertas wajib lulus di peringkat SPM bermula
2016.
Bagi membantu murid memenuhi keperluan itu, Kementerian Pendidikan akan melaksanakan
Sistem Set iaitu membahagikan guru kepada kumpulan atau set tertentu bagi membolehkan
mereka merangka pendekatan pedagogi yang sesuai dengan tahap kemahiran dan keperluan
pembelajaran murid.
Bagi meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris, semua 61,000 guru bahasa Inggeris juga
diwajibkan mengikuti Ujian Penempatan Cambridge (CPT) dalam tempoh dua tahun.
Berhubung usaha melahirkan rakyat yang menghayati nilai sejagat, pelan itu menggariskan
bahawa Pendidikan Agama Islam dan Pendidikan Moral perlu diperkukuh dengan tumpuan
diberikan kepada perpaduan dan memupuk persefahaman yang erat antara murid.
Dengan itu, setiap murid sekolah rendah dan menengah perlu melibatkan diri dalam khidmat

komuniti di mana elemen komuniti akan dijadikan prasyarat untuk kelulusan bagi sekolah
menengah.
Selain itu, keperluan penyertaan murid dalam 1Sukan, 1Kelab dan 1Badan Beruniform juga akan
diperkukuh, dan bagi meningkatkan kualiti aktiviti yang ditawarkan di sekolah, guru penasihat
aktiviti akan diberi latihan bersasaran oleh kementerian.
"Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan mewajibkan penglibatan ini sebagai syarat
tamat pengajian dan pemberian biasiswa di peringkat pengajian tinggi," menurut pelan itu.
Pencapaian
Walaupun prestasi murid di Malaysia meningkat sejak beberapa dekad lalu, namun terdapat
risiko jurang pencapaian sistem pendidikan Malaysia dengan negara lain semakin lebar.
Menurut Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, risiko itu boleh dilihat
melalui pentaksiran antarabangsa terbaharu dikeluarkan oleh Program Penilaian Pelajar
Antarabangsa (PISA) dan Kajian Trend Pendidikan Matematik dan Sains Antarabangsa
(TIMSS).
Berdasarkan keputusan TIMSS 2011, 35 peratus dan 38 peratus murid Malaysia gagal mencapai
tahap kemahiran minimum dalam Matematik dan Sains, iaitu kenaikan dua hingga empat kali
ganda berbanding tujuh dan 13 peratus pada 1999.
Keputusan tidak memberansangkan juga dicatatkan oleh pelajar Malaysia dalam keputusan pada
kitaran pentaksiran untuk 2009 PISA (PISA 2009+), penyertaan kali pertama Malaysia, yang
mana kedudukan negara terletak di kelompok ketiga terbawah dalam kalangan 74 negara
peserta, iaitu di bawah pencapaian purata antarabangsa dan Pertubuhan Kerjasama dan
Pembangunan Ekonomi (OECD).
"Hampir 60 peratus murid berumur 15 tahun yang menyertai PISA 2009 gagal mencapai tahap
kemahiran minimum dalam Matematik, manakala 44 peratus dalam Bacaan dan 43 peratus
dalam Sains," menurut pelan itu.
Pelan itu dilancarkan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan Tan Sri
Muhyiddin Yassin di sini hari ini.

You might also like