You are on page 1of 2

Terima kasih saya ucapkan kepada Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Pengetua

Sekolah Tun Sham al-Johori, Bandar Baharu Sri Makmur, Tangkak, Johor, Guru-guru Penolong
Kanan, Guru-guru, serta adik-adik pelajar sekalian. Salam sejahtera dan selamat pagi.
Hadirin yang dihormati sekalian,
Pada pagi yang indah dan mulia ini, izinkan saya menyampaikan syarahan yang bertajuk
Cintailah Sungai Kita. Sebagaimana yang kita sedia maklum, negara kita merupakan sebuiah
negara beriklim khatulistiwa. Iklim seperti ini mempunyai keindahan alam sekitar yang indah
seperti kehijauan hutan dan jalinan sungai yang banyak. Sebagai manusia yang dikurniakan akal
fikiran dan perasaan, kita perlu bertanggungjawab untuk memelihara khazanah alam ini. Namun
begitu, yang menyedihkan kita hari ini ialah sebahagian daripadanya telah mengalami
pencemaran yang teruk. Manakala sebahagian yang lain telah musnah oleh sikap manusia itu
sendiri. Oleh itu, atas dasar kesedaran inilah kita perlu mencari sebab-sebab kita perlu mencintai
sungai kita. Kita juga perlu mencari jalan untuk menanamkan kesedaran ini dalam kalangan
anggota masyarakat, khususnya diri kita sendiri.
Kempen Cintailah Sungai Kita amat penting kerana air merupakan sumber terpenting
dalam kehidupan manusia. Sedarkah kita apakah yang akan terjadi sekiranya dunia ini tiada air?
Sudah tentu semua makhluk yang bernyawa akan mati. Oleh itu, jika kita tidak
bertanggungjawab menjaga sungai sudah pasti kita semua akan hidup dalam derita. Menyedari
hakikat inilah setiap masyarakat perlu mengakui betapa pentingnya sungai kepada kehidupan
kita. Sungai merupakan sebahagian daripada keperluan harian. Justeru, kesedaran tentang
kepentingan sungai dalam kehidupan manusia tidak boleh dinafikan.
Hadirin sekalian,
Di samping sungai menjadi sumber kepada manusia, sungai juga berfungsi sebagai pusat
rekreasi berasaskan air di negara kita. Sebagai pusat rekreasi, sungai perlu dipelihara daripada
sebarang pencemaran agar dapat mengekalkan keindahan seterusnya menarik minat pengunjung.
Tanpa kawalan terhadap pencemaran sungai yang kian berleluasa, peranan sungai sebagai salah
satu kawasan rekreasi di negara kita akan terjejas. Sebagai rakyat Malaysia, kita juga tidak mahu
mendengar peribahasa indah khabar dari rupa itu menjadi buah mulut pelancong asing.
Sungai merupakan kawasan tadahan air paling penting dan menjadi sumber bekalan air
negara pada masa hadapan. Oleh itu, seandainya pencemaran sungai terus dibiarkan,
kemungkinan besar suatu hari nanti bekalan air kita akan terjejas dengan teruk. Hal ini perlu

diberikan perhatian serius supaya negara kita tidak menghadapi masalah yang kritikal pada masa
hadapan.
Hadirin sekalian,
Menyedari punca sungai lazimnya berpunca daripada kelalaian dan kecuaian manusia,
maka suatu langkah yang pantas perlu diambil untuk menaganinya. Pihak yang tidak
bertanggungjawab serta kerap melakukan aktiviti pencemaran perlu dikenakan tindakan yang
setimpal oleh pihak berwajib. Suatu bentuk penguatkuasaan yang tegas perlu diambil sebelum
perkara yang tidak diingini berleluasa. Hukuman seperti menarik balik permit dan mengenakan
denda yang tinggi kepada pengusaha-pengusaha kilang yang didapati menggunakan sungai
sebagai tempat pembunagan sisa kilang mereka perlu dilaksanakan segera. Dengan cara ini ,
kebersihan dan keindahan sungai akan terpelihara.
Hadirin yang dikasihi sekalian,
Peribahasa melentur buluh biarlah dari rebungnya wajar dijadikan iktibar untuk
menggambarkan betapa pentingnya kita mendidik dan memupuk generasi muda agar menghargai
sungai sebagai sumber alam yang penting. Melalui pendidikan awal yang berterusan, generasi
muda dapat membentuk sikap mencintai sungai dalam diri mereka. Di samping itu, dasar
Kementerian Pendidikan Malaysia memperkenalkan mata pelajaran baharu seperti Pendidikan
Alam Sekitar di peringkat rendah merupakan usaha murni ke arah budaya sihat. Dengan cara
ini, kita akan dapat memastikan generasi akan datang sentiasa memelihara sungai untuk
keperluan mereka.
Kesimpulannya, sungai ialah sumber alam yang amat penting kepada kehidupan manusia.
Sekiranya ditakdirkan kita kehilangan sumber ini, suatu malapetaka kepada setiap warganegara
Malaysia akan berlaku. Tiada gunanya kita menagisi kehilangan alam yang paling berharga ini
jika langkah-langkah pencegahan tidak dimulakan dari sekarang.
Saya ingin menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf jika dalam ceramah saya
tadi terdapat sebarang kesilapan yang tidak disengajakan. Akhir kata, hayatilah pepatah Melayu
ini, sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Sekian, terima kasih

You might also like