You are on page 1of 10

HUKUM PEMBEDAHAN PERTUKARAN JANTINA

DARI PERSPEKTIF ISLAM


Oleh : Ustaz Zahazan Bin Mohamad
Pendahuluan
Kemajuan dunia perubatan pada hari ini telah banyak memberi manfaat kepada kehidupan
manusia sejagat. Banyak penemuan baru telah dicapai di dalam kaedah rawatan melalui
pelbagai cara serta penciptaan peralatan yang canggih. Ia dianggap sebagai satu pencapaian
yang gemilang dan menakjubkan serta membuktikan kebijaksanaan manusia.

Dari sudut yang lain pula, pencapaian ini merupakan satu cabaran kepada para ilmuan dan
mujtahid yang terdiri daripada sarjana perundangan Islam yang seharusnya melihat
fenomena ini dengan penuh kepekaan dan rasa tanggungjawab.

Justeru itu, para Ulama hari ini perlu tampil ke hadapan untuk menjawab pelbagai
persoalan yang dikemukakan oleh masyarakat berkenaan hukum dan perkara-perkara yang
berkaitan dengannya.

Kertas kerja ini bukanlah bertujuan untuk memberi fatwa berkaitan isu-isu tersebut, tetapi
sekadar mengumpulkan kajian para Ulama terhadap perkembangan yang berlaku di dalam
dunia perubatan moden.

2.0

Fenomena Pembedahan Pertukaran Jantina

Isu pembedahan pertukaran jantina ini bukanlah suatu penemuan moden yang wujud di
dalam arus kemajuan masa kini. Isu ini telah wujud sejak tahun 1930 lagi. Individu pertama
yang menjalankan pembedahan ini ialah Lili Elbe dari Denmark yang menjalankan
pertukaran dari lelaki kepada wanita. Kemudian isu ini semakin mendapat perhatian
apabila media cetak di Amerika Syarikat mendedahkan tentang kejayaan seorang rakyat
Amerika Syarikat iaitu Christine Jorgensen melakukan pembedahan pertukaran jantina
sekitar tahun 1952. Pada lewat tahun 50 an, seorang pakar bedah plastik Perancis, Dr.

Georges Burou telah mencipta satu kaedah moden bagi melakukan pembedahan pertukaran
jantina ini. Hal ini menjadikan isu ini semakin mendapat perhatian khususnya bagi
golongan transeksual sehingga merebak ke Negara-negara di seluruh dunia termasuklah
Malaysia.
Secara umumnya, pembedahan pertukaran jantina ini adalah operasi pembedahan yang
melibatkan pertukaran jantina wanita kepada lelaki atau sebaliknya. Jantina mereka itu telah
jelas lelaki ataupun wanita namun disebabkan kecenderungan mereka yang inginkan jantina
yang diimpikan atau kebencian kepada jantina asal serta dikuasai dengan keinginan untuk
menjalani kehidupan seks songsang maka berlakulah isu ini.
Pembedahan pertukaran jantina daripada wanita kepada lelaki dilakukan dengan
menghilangkan buah dada dan membuang saluran kelamin perempuan serta membina
organ alat kelamin lelaki yang dibentuk dari daging paha dengan menggunakan kaedah
mekanikal agar alat kelamin itu berfungsi.1 Bagi golongan lelaki yang ingin menukar jantina
kepada wanita pula, mereka akan melalui proses membuang zakar dan membentuk faraj
serta membesarkan buah dada.

3. Jenis-Jenis Pembedahan Pertukaran Jantina


Jenis Pertama
Pembedahan yang dilakukan bagi menukar jantina lelaki kepada wanita atau sebaliknya.
Perkara ini merupakan seburuk-buruk amalan yang bercanggah dengan fitrah semulajadi
manusia. Hal ini berlaku disebabkan dorongan hawa nafsu yang inginkan jantina yang
diidamkan serta ceteknya pengetahuan agama terhadap individu berkenaan. Kaedah
perubatan sudah tidak mampu lagi merawat sebahagian dari golongan ini yang mana hasil
dari kajian yang dijalankan ke atas golongan ini membuktikan rawatan ke atas mereka
adalah suatu perkara yang mustahil. Mereka tetap dengan keputusan untuk melakukan
pembedahan demi merealisasikan impian mereka memiliki jantina yang diidamkan.

1 Jarahah al-Tajmil, Dar al-Qalam,hlm. 424

Jenis Kedua
Pembedahan yang dilakukan ke atas golongan khunsa. Khunsa merujuk kepada seseorang
yang dilahirkan secara semulajadi yang diragui jantinanya sama ada mempunyai dua alat
kelamin (zakar dan faraj), tiada langsung alat kelamin atau telah jelas mempunyai alat
kelamin lelaki atau wanita namun pembentukan dalaman mereka didominasi oleh kelenjar
atau hormon jantina lain.
Ulama Fiqh membahagikan khunsa dibahagikan kepada dua :
Pertama : Khunsa Wadhih (jelas). Pakar perubatan akan meninjau kepada kelenjar kelamin
berpandukan kepada ujian pemeriksaan dan penyelidikan yang teliti, jika saluran kelenjar
adalah ovum dan organ kelamin yang kelihatan ialah lelaki (zakar), maka ianya
dikategorikan sebagai khunsa 2. Maka perlunya kepada pembedahan untuk menzahirkan
organ kelamin wanita yang hakiki.
Ianya terjadi kesan daripada pengeluaran hormon lelaki daripada kelenjar di atas ginjal dan
kemudiannya organ kelamin akan membentuk organ lelaki serta tumbuh biji kelentit
(clitoris) dengan cepat dan membesar seperti bentuk batang zakar dan kemudiannya
melekat pada bibir kemaluan wanita (faraj) yang akhirnya membentuk seperti kantung yang
berisi buah zakar. Perbezaannya ialah kantung biasanya mengandungi buah zakar tetapi
kantung ini berisi cairan lemak.
Terdapat juga kes apabila bayi perempuan yang dilahirkan namun disangkakan lelaki,
tetapi setelah kelihatan tanda-tanda baligh menunjukkan ianya perempuan dan selepas
pemeriksaan pakar perubatan mereka juga berpendapat sedemikian, maka nyatalah
perlunya dijalankan pembedahan untuk memulihkan kembali alat kelamin tersebut kepada
asalnya. 3
2 Ibn Qudamah, al-Mughni, jil 2, hlm 552
3 Zuhair Muhammad al-Sibai dan Muhammad Ali al-Bar, al-Tobib Adabuhu wa
Fiqhuhu, hlm 319-320

Kedua : Khunsa Musykil (tidak jelas). Golongan ini mengandungi organ seksual, alat
kelamin atau sistem reproduksi yang berupa buah testis dan telur ovari dan air kencing
keluar serentak dari kedua-dua alat tersebut. Identiti jantina golongan ini sukar dibezakan
atau hanya dapat dibezakan setelah mencapai akil baligh. Keadaan ini amat jarang terjadi
dan para doktor belum lagi mencatatkan wujudnya khunsa hakiki yang mempunyai dua
alat hubungan seksual yang berpasangan sama ada yang jelas kelihatannya hanya alat lelaki
atau wanita sahaja ataupun kedua-duanya sekali. Pada kebiasaannya salah satu dari kelenjar
kelaminnya (buah testis atau telur ovari) akan dimatikan setelah dikenalpasti sama ada
memiliki ciri-ciri kewanitaan (seperti kedatangan haid) atau kelakian (seperti tumbuh
janggut dan misai) 4
4.0 Hukum Pertukaran Jantina
1)

Sesungguhnya Fiqh Islam telah bersepakat bahawa haram untuk melakukan

pembedahan pertukaran jantina semata-mata kerana keinginan dan mengikut hawa nafsu.
Ini kerana perbuatan ini adalah sia-sia kerana mengubah struktur badan manusia tanpa ada
sebarang hajat. Perbuatan ini merupakan salah satu kemusnahan kepada sistem seksual
manusia. Pendapat ini bersandarkan kepada firman Allah SWT yang berbunyi :


Maksudnya : Dan demi sesungguhnya aku akan menyesatkan mereka (dari kebenaran), dan demi
sesungguhnya aku akan memperdayakan mereka dengan angan-angan kosong, dan demi
sesungguhnya aku akan menyuruh mereka (mencacatkan binatang-binatang ternak), lalu menyuruh

4 Zuhair Muhammad al-Sibai dan Muhammad Ali al-Bar, al-Tobib Adabuhu wa


Fiqhuhu, hlm 319-320

mereka mengubah ciptaan Allah, dan (ingatlah) sesiapa yang mengambil syaitan menjadi pemimpin
yang ditaati selain daripada Allah, maka sesungguhnya rugilah ia dengan kerugian yang nyata.5
Ayat di atas menjelaskan haram mengubah kejadian Allah SWT dengan alasan menurut
hawa nafsu semata-mata. Mengubah kejadian wanita kepada lelaki atau sebaliknya
merupakan perbuatan yang mengubah kejadian Allah SWT tanpa sebarang keperluan dan
rawatan yang dibenarkan. Maka jelas perbuatan ini sememangnya diharamkan oleh syariat.

Pendapat ini juga disokong dengan sabda Nabi SAW yang berbunyi :
:

Maksudnya : Daripada Abdullah bin Abbas R.A katanya : Rasulullah SAW melaknat orang-orang
lelaki yang menyerupai diri seperti kaum wanita dan orang-orang perempuan yang menyerupai diri
seperti kaum lelaki.6
Hadis ini menunjukkan dilaknat kaum lelaki yang menyerupai wanita dan sebaliknya
dengan apa jua bentuk penyerupaan yang dilakukan. Sebagaimana yang telah dijelaskan
bahawa lafaz laknat menunjukkan bahawa haramnya perbuatan tersebut.
Ulama Fiqh Kontemporari juga bersepakat menyatakan perbuatan ini diharamkan yang
mana ianya telah diputuskan di dalam Persidangan Fiqh Islam kali ke-11 melalui resolusi
mereka yang ke-6 yang diadakan di Mekah pada 19 Feb-26 Feb 1989.7
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam Malaysia kali ke-4
yang bersidang pada 13-14 April 1982 juga telah memutuskan bahawa pertukaran jantina
dari lelaki kepada wanita atau sebaliknya adalah haram dari segi syarak. Ini kerana
5 Surah al-Nisa : 119
6 Al Imam al-Nawawi, jilid 10,hlm 253
7 Al-Majma al-Fiqh al-Islami, Mekah, Kali ke-11,13-20 Rejab 1409 H

seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya menukar
jantinanya. Begitu juga dengan golongan wanita.8
2)Fiqh Islam juga telah berijmak sesungguhnya dibolehkan untuk melakukan pembedahan
untuk mengesahkan jantina bagi golongan khunsa musykil yang tidak tahu sama ada
mereka itu lelaki ataupun wanita. Ini kerana ianya merupakan kaedah rawatan mengikut
kaedah semulajadi. Jika mengikut fitrah semulajadi manusia, manusia itu dilahirkan sama
ada lelaki ataupun wanita. Hal ini bertepatan dengan firman Allah SWT yang berbunyi :



Maksudnya : Bagi Allah jualah hak milik segala yang ada di langit dan di bumi; Ia menciptakan apa
yang dikehendaki-Nya; Ia mengurniakan anak-anak perempuan kepada sesiapa yang dikehendakiNya, dan mengurniakan anak-anak lelaki kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya. 9
Di dalam hal ini, tidak wujud unsur mengubah kejadian Allah kerana adanya keperluan
bagi melakukan pembedahan dan ianya adalah pengecualian daripada nas-nas yang
mengharamkan mengubah kejadian Allah. Ini kerana keadaan sedemikian jika dibiarkan
akan membawa kepada kemudharatan dan kesukaran kepada perempuan dan syariat Islam
didatangkan dengan tujuan untuk mencapai maslahah dan menolak kemudaratan yang
berlaku berpandukan kepada kaedah fiqh ( ( yang bermaksud kemudharatan
dihindarkan dan kaedah (( yang bermaksud kesukaran membawa
kepada kesenangan.10 Tiada unsur-unsur penipuan, pembohongan atau pemalsuan pada
kedua-dua keadaan di atas kerana motif dijalankan pembedahan tersebut adalah bertujuan
untuk mengembalikan semula kepada kejadian asal yang normal dengan melakukan
sesuatu rawatan, maka ianya adalah diharuskan.

8 www.e-fatwa.gov.my
9 Surah as-Syura : 49
10 Ibn Nujaim, al-Aysbah wa al-Nazoir, hlm 85

Akademi Fiqh Islam melalui persidangan yang diadakan di Mekah pada tahun 1989 juga
telah memutuskan bahawa harus menjalankan pembedahan yang munasabah bertujuan
menghilangkan kesamaran pada khunsa supaya ianya kembali normal seperti insan lain.11
3)Namun para Fuqaha kontemporari telah berselisih pendapat berkaitan hukum pertukaran
jantina bagi golongan yang mengalami gangguan psikologi akibat inginkan jantina yang
diimpikan iaitu golongan lelaki yang mengalami gangguan psikologi kerana ingin menukar
kepada wanita dan sebaliknya. Fuqaha juga berselisih pendapat berkaitan hukum
pengesahan jantina bagi golongan khunsa yang jelas iaitu golongan lelaki yang telah jelas
kelakiannya tetapi terdapat baginya rahim dan juga ovum (Congenital Adrenal
Hyperplasia)12. Begitu juga golongan perempuan yang jelas kewanitaannya tetapi terdapat
baginya testis (Testicular Feminization Syndrome)13. Perselisihan ini terbahagi kepada
dua pendapat iaitu :

Pendapat Pertama :
Dibolehkan untuk melakukan pembedahan pertukaran jantina tersebut. Ini kerana pada
hakikatnya ianya dilakukan untuk mengesahkan jantina mereka dan merawat penyakit
psikologi yang dialami sama kepentingannya dengan merawat kesakitan anggota. Allah
SWT telah berfirman :


Maksudnya : Sesiapa yang menjaga keselamatan manusia, maka seolah-olah dia telah menjaga
keselamatan hidup manusia semuanya.14

11 Al-Majma al-Fiqh al-Islami, Mekah, Kali ke-11, 13 Rejab 1409 H


12 Golongan yang mempunyai genetik wanita tetapi membesar menjadi seorang
lelaki
13 Golongan yang mempunyai genetik lelaki tetapi membesar menjadi seorang
wanita

Sesungguhnya kelakian atau kewanitaan itu adalah satu tabiat semulajadi penciptaan
manusia. Apabila berubah salah satu kepada jantina yang lain ianya tidak dikira terkeluar
dari tabiat tersebut.
Pendapat Kedua :
Haram untuk lakukan pembedahan pertukaran atau untuk mengesahkan jantina. Ini
merupakan pendapat dari kebanyakan Fuqaha. Ini kerana pertukaran jantina tidak akan
mengubah fungsi sistem semulajadi manusia malah akan menghilangkan fungsinya dan
sesiapa yang melakukan pertukaran jantina ini tidak akan memperolehi fungsi jantina yang
lain. Pembedahan pertukaran jantina ini akan mendatangkan konflik kepada fungsi
semulajadi manusia terutamanya apabila ianya mengganggu kestabilan imbangan
masyarakat dan hak-hak yang berkaitan dengan lelaki dan wanita seperti hak warisan,
ibadat, aurat dan sebagainya. Wajib bagi golongan ini melakukan apa jua rawatan bagi
meringankan beban mereka tanpa ada sebarang penyelewengan terhadap status jantina
mereka yang zahir. Setiap pihak hendaklah sentiasa member sokongan kepada golongan ini
bagi membolehkan mereka menjalani gaya hidup sihat secara berperingkat.

5.0Hukum Pertukaran Jantina Dari Segi Perundangan


Menurut perundangan di Malaysia, status golongan transeksual ini masih lagi tidak jelas.
Jika diperhatikan di bawah Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan ia menjelaskan berkaitan
kesamarataan semua orang di sisi undang-undang dan tidaklah boleh adanya perbezaan
oleh sebab agama, kaum, keturunan, tempat lahir atau jantina. Peruntukan ini menyebut
jantina merujuk kepada perbezaan lelaki dan perempuan sahaja manakala golongan yang
melakukan pembedahan pertukaran jantina ini atau transeksual masih wujud ketidakjelasan
daripada segi jantina. Malah golongan khunsa juga tidak disebut dengan jelas dalam
peruntukan tersebut.
Perlu diingat bahawa kebanyakan undang-undang di Malaysia membezakan antara lelaki
dan perempuan berdasarkan kepada butir-butir peribadi yang tercatat dalam surat beranak
14 Surah al-Maidah : 32

atau kad pengenalan. Sebarang pertukaran nama pada kad pengenalan adalah dibolehkan
namun apabila ia melibatkan pertukaran status jantina, maka ia akan melibatkan soal
bidang kuasa perundangan yang perlu diputuskan oleh mahkamah.
Jika dilihat kepada status golongan transeksual menurut perundangan Islam di Malaysia
pula, ternyata ianya merupakan satu kesalahan di bawah Akta Jenayah Syariah yang boleh
dikenakan tindakan di Mahkamah Syariah. Semua negeri di Malaysia mempunyai beberapa
peruntukan khusus yang melibatkan golongan ini. Akta Kesalahan Jenayah Syariah
Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 misalnya memperuntukkan berkaitan dengan kesalahan
lelaki berlagak seperti perempuan (Seksyen 25), liwat (Seksyen 25) dan juga musahaqah iaitu
persetubuhan antara perempuan dan perempuan (Seksyen 26).
Malah, umat Islam di setiap negeri di Malaysia terikat dengan fatwa yang dikeluarkan oleh
negeri atau Majlis Fatwa Kebangsaan (sekiranya digazetkan di negeri). Dalam hal ini, pada
tahun 1982 telah diputuskan bahawa pembedahan pertukaran jantina adalah haram dari
segi syarak. Dengan ini, maka dengan sendirinya jika seseorang itu cuba untuk melakukan
pembedahan pertukaran jantina, perbuatan itu adalah haram dan boleh dikenakan tindakan
kerana melanggar fatwa yang telah diwartakan sepertimana yang telah diperuntukkan di
dalam Seksyen 12 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997.

Kesimpulan
Perbuatan menukar jantina sama ada dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya akan
melibatkan implikasi hukum dari segi syarak berkaitan perkahwinan, perwalian, ibadat,
kematian dan hal-hal yang berkaitan kerana perbuatan menukar jantina tersebut telah jelas
dilarang dan diharamkan oleh Islam. Seorang lelaki yang menukar jantinanya melalui
pembedahan alat kelaminnya kepada alat kelamin perempuan tidak diiktiraf sebagai
perempuan dan sekiranya berkahwin, maka perkahwinan tersebut adalah tidak sah. Namun
bagi golongan khunsa musykil pula, adalah diharuskan melakukan pembedahan bagi
mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi mengikut keadaan yang
sesuai. Bagi ibu bapa yang mempunyai bayi yang dilahirkan khunsa, jalan yang terbaik ialah

redha dan meminta pakar perubatan mengesahkan jantina bayi mereka sebelum melakukan
pembedahan membuang satu alat kelamin itu. Jika khunsa itu menjalani pemeriksaan
perubatan dan mengetahui organ seks mana yang berfungsi, maka dia tidak boleh pula
menyalahkan naluri dan perasaan untuk menjadi individu yang bertentangan dengan
jantinanya. Inilah sebab utama berlakunya masalah pertukaran jantina ini.
Apa yang jelas di sini ialah konflik-konflik sebegini perlulah dipandang serius. Ini kerana,
sehingga kini Malaysia tidak mempunyai dasar yang jelas berkaitan status golongan
transeksual ini. Dasar yang khusus perlu dipinda bagi memutuskan status mereka yang
telah melakukan pertukaran jantina ini. Selain itu, satu peruntukan khusus perlu digubal
bagi mengenakan tindakan undang-undang terhadap mereka yang melakukan pembedahan
pertukaran jantina ini. Ini kerana isu ini memberi kesan yang besar khususnya kepada
masyarakat Islam kerana ia akan melibatkan perkara-perkara yang berkaitan dengan hukum
dan juga sistem kehidupan manusia. Keadaan ini dikhuatiri boleh menyebabkan runtuhnya
institusi kekeluargaan selain memupuk generasi masa depan yang tidak mampu memahami
erti hubungan mahram mahupun perkahwinan.

You might also like