You are on page 1of 12

BAB 6: PEMBENTUKAN MALAYSIA

PENDAHULUAN
Malaysia yang wujud pada hari ini mempunyai sejarah pembentukan yang panjang
lebar. Pada peringkat awal, ia dikenali sebagai Tanah Melayu atau Malaya. Setelah
mencapai kemerdekaan, Parti Perikatan yang memerintah Tanah Melayu mendapati
keadaan politik yang tidak tenteram di negara-negara jiran boleh memberi kesan
kepada kemerdekaan Tanah Melayu. Justeru, Perdana Menteri Tanah Melayu yang
pertama pada waktu itu, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj telah menyuarakan idea
pembentukan Gagasan Malaysia yang melibatkan Tanah Melayu, Singapura, Borneo
Utara (Sabah), Sarawak dan Brunei.

6.1

FAKTOR-FAKTOR PEMBENTUKAN MALAYSIA

6.1.1 MENGELAKKAN ANCAMAN DAN PENGARUH KOMUNIS


Pengaruh komunis yang semakin meluas di Asia Tenggara, terutama Singapura
membimbangkan Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Pengaruh komunis mula
menyusup masuk ke dalam parti yang memerintah Singapura sejak tahun 1959, iaitu
Parti Tindakan Rakyat (PAP) pimpinan Lee Kuan Yew. Kegiatan dan pengaruh
komunis semakin kuat apabila bekas anggota PAP berhaluan kiri menubuhkan
Barisan Sosialis yang dipimpin oleh Lim Chin Siong. Kekalahan calon PAP dalam
dua pilihanraya kecil
Pada tahun 1961 bagi kawasan Hong Lim dan Anson memperlihatkan pengaruh
komunis semakin merebak di Singapura. Perkembangan ini membimbangkan Tunku
Abdul Rahman kerana beliau khuatir Singapura akan dikuasai oleh pihak komunis
dan keadaan ini boleh mengancam keselamatan Tanah Melayu. Oleh itu, Tunku
berpendapat penubuhan Malaysia akan dapat menyekat pengaruh komunis daripada
merebak di Singapura.

6.1.2 MEMBERI KEMERDEKAAN KEPADA SABAH, SARAWAK, BRUNEI DAN


SINGAPURA
Menerusi penubuhan Persekutuan Malaysia, negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak,
Brunei dan Singapura akan mendapat kemerdekaan lebih awal daripada yang
dijangkakan. Ini memandangkan negara-negara berkenaan masih lagi berada di
bawah penjajahan British semasa cadangan ini ditimbulkan. Dalam hal ini, Sabah
dan Sarawak diletakkkan dalam status negeri jajahan, manakala Singapura
dan Brunei diletakkan sebagai negeri naungan.
Dalam perancangan penubuhan Persekutuan Malaysia, Malaysia akan ditubuhkan
dalam tempoh dua tahun. Tetapi jika Sabah dan Sarawak cubamencapai
kemerdekaan secara berasingan, besar kemungkinan kemerdekaan itu tidak akan
tercapai biarpun dalam tempoh lima tahun ataupun sebaliknya. Jadi, dengan
menyertai Malaysia, Kemerdekaan Sabah dan Sarawak boleh disegerakan.
Dalam tahun-tahun 1960-an, kerajaan British sebenarnya sedang dalam
pertimbangan untuk memberi kemerdekaan kepada tanah-tanah jajahannya. Namun
Sabah dan Sarawak merupakan wilayah jajahan British yang belum bersedia untuk
merdeka apatah lagi untuk berdikari kerana suasana ekonomi dan politiknya yang
kurang memuaskan. Tunku Abdul Rahman berpendapat kerajaan British tidak
bercadang untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak walaupun
dalam masa lima tahun. Oleh itu, Tunku percaya dengan membawa masuk Sabah
dan Sarawak ke dalam Malaysia akan lebih memudahkan dan mempercepatkan
kemerdekaan dua wilayah ini disamping dapat mengelakkan hasrat komunis untuk
membentuk tampuk pemerintahannya.
Sekiranya kemerdekaan tidak diberikan kepada wilayah tersebut, pihak British
khuatir wilayah tersebut akan dipengaruhi oleh komunis dan akan menyebabkan
British akan hilang kepentingan ekonomi dan sosial pada masa yang akan datang.
Disamping itu, terdapat juga pengaruh-pengaruh luar seperti Filipina
dan Indonesia yang berminat terhadap negeri Sabah, Sarawak dan Brunei.
6.1.3 PERKONGSIAN FAEDAH EKONOMI
Melalui Persekutuan Malaysia, negara-negara anggota akan dapat mengadakan
kerjasama ekonomi dan perdagangan untuk faedah bersama. Secara tidak langsung,
negara-negara anggota yang kaya dengan sumber ekonomi boleh membantu
negara-negara anggota yang miskin dan kekurangan sumber ekonomi sekaligus ia
dapat meningkatkan pembangunan ekonomi, terutama di Sabah dan Sarawak yang
masih belum maju dari segi ekonominya. Manakala Tanah Melayu, Singapura
dan Brunei pula akan menjadi penyumbang kepada negara-negara berkenaan. Ini
kerana Tanah Melayu kaya dengan sumber bahan mentah, Brunei pula kaya dengan
sumber minyaknya. Manakala Singapura pula akan lebih selamat dari segi ekonomi
sekiranya menyertai Persekutuan Malaysia.

6.1.4 MEMBELA MASYARAKAT BUMIPUTERA DI SABAH DAN SARAWAK.


Sebelum penyertaan Sabah dan Sarawak ke dalam Malaysia, nasib penduduk di
wilayah ini tidak sama dengan nasib penduduk di Semenanjung Tanah Melayu,
terutama golongan Bumiputera. Kebanyakan jawatan dan kegiatan ekonomi di
wilayah-wilayah tersebut dipegang oleh bangsa asing. Sebahagian besar penduduk
pula terlibat dalam sektor pertanian dan penggunaan tanah untuk sistem penanaman
tetap hanya pada kadar 3% sahaja. Jika kedua-dua wilayah tersebut digabungkan ke
dalam Persekutuan Malaysia, Kemungkinan layanan istimewa akan diberikan
kepada penduduk Bumiputera Sabah dan Sarawak adalah lebih besar. Malahan,
kedudukan dan keistimewaan Bumiputera telah termaktub dalam Perlembagaan
Persekutuan Malaysia.
Sistem perhubungan di kedua-dua wilayah ini juga daif, infrastrukturnya masih
bergantung pada sungai-sungai dan perjalanan udara. Adalah sukar untuk
mewujudkan perhubungan darat secara besar-besaran. Selain itu, golongan
Bumiputera di kedua-dua wilayah ini juga tidak mendapat layanan yang baik
daripada kerajaan British manakala orang-orang luar yang datang ke wilayah ini
diberi perhatian. Justeru, tahap pendidikan, penguasaan ekonomi, kadar celik huruf
dan pengisian jawatan kerajaan lebih tinggi di kalangan orang luar. Kaum
Bumiputera yang mempunyai pendidikan tinggi sangat sedikit dan faktor ini
membataskan peluang mereka untuk menjawat sebarang jawatan dalam kerajaan.
6.1.5 MENJAGA KEPENTINGAN DAN HAK KAUM BUMIPUTERA
Menurut Tunku Abdul Rahman, gagasan pembentukan Malaysia perlu
menggabungkan wilayah-wilayah Borneo seperti Sabah, Sarawak dan Brunei bukan
hanya terhad kepada Tanah Melayu dan Singapura sahaja. Jika Tanah Melayu dan
Singapura sahaja bercantum, ini akan menghilangkan majoriti penduduk Melayu. Ini
kerana Singapura mempunyai 80% penduduk bukan Melayu dan apabila
dicantumkan dengan penduduk Persekutuan Tanah Melayu, penduduk bukan Melayu
akan menjadi golongan terbesar.
Apabila pencantuman berlaku antara Tanah Melayu dan Singapura sahaja, bilangan
masyarakat Cina akan menjadi 43.5%, sementara orang Melayu menjadi 43%. Ini
kerana anggaran penduduk Tanah Melayu pada tahun 1960, orang Melayu kira-kira
50% dan orang Cina 36.9%. Justeru, apabila penduduk Sabah dan Sarawak diambil
kira, bilangan kaum Bumiputera termasuk Melayu akan menjadi 46.3%, sementara
orang Cina menjadi 42.4%. Ini bermaksud untuk menjamin kedudukan orang Melayu
dan Bumiputera tidak terancam, kemasukkan Sabah dan Sarawak membolehkan
kumpulan Melayu dan Bumiputera kekal sebagai kumpulan terbesar.

6.2

REAKSI NEGARA-NEGARA JIRAN

Terdapat tentangan yang perlu dihadapi dari 2 negara iaitu Filipina dan Indonesia.
Filipina memprotes pembentukan Malaysia dan Indonesia pulacuba menghalang
pembentukan Malaysia.
6.2.1

FILIPINA

Presiden Macapagal mendakwa Sabah adalah sebahagian daripada milik


negaranya.Jadi, pembentukan Malaysia akan menyulitkan lagi tuntutan Filipina
terhadap Sabah. Filipina terus membantah walaupun rakyat Sabah memilih untuk
menyertai Malaysia. Filipina kemudianya memutuskan hubungan diplomatik
dengan Malaysia.
6.2.2

INDONESIA

Presiden Sukarno mengumumkan dasar konfrantasinya pada 20 Januari 1963


dengan slogan Ganyang Malaysia. Alasan Sukarno ialah kerana Tanah Melayu
membelakangkan Indonesia semasa penubuhan Malaysia. Tindakan ini adalah
kerana penubuhan Malaysia mengancam idea pembentukan empayar Indonesia
Raya. Ianya juga merupakan taktik mengalih perhatian rakyatnya daripada beberapa
masalah dalaman.
Dasar konfrantasi Sukarno memuncak dengan penghantaran
Tentera Indonesia sempadan Sabah dan Sarawak. Tentara Indonesia juga mendarat
di pantai barat Johor untuk pengintipan. Tindakan ini dapat dibendung sehingga
rancangan konfrantasi ini menjadi semakin lemah. Pada tahun 1965, Sukarno telah
digulingkan oleh Jeneral Suharto. Menteri Luar Indonesia, Adam Malik membuat
perjanjian damai bagi mengakhiri konfrantasi pada bulan ogos 1966.
6.3

PROSES PEMBENTUKAN MALAYSIA

Proses perbincangan dan perundingan kearah pembentukan Malaysia ini


sebenarnya sangat panjang dan kompleks. Banyak perkara yang perlu
dipertimbangkan dan diatasi sebelum cadangan ini dapat direalisasikan. Beberapa
tindakan juga perlu diambil bagi memastikan pembentukanini memuaskan hati
semua pihak.
6.3.1 JAWATANKUASA PERUNDINGAN PERPADUAN MALAYSIA (MSCC)
Pada bulan Julai 1961, satu mesyuarat Persatuan Parlimen Komanwel (PKK)
cawangan Tanah Melayu dan Borneo telah diadakan di Singapura. Semasa
mesyuarat ini, pemimpin-pemimpin Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura telah
mengambil peluang ini untuk menjelaskan konsep Malaysia kepada perwakilan
Sabah, Sarawak dan Brunei yang hadir ke mesyuarat tersebut.

Penerangan ini didapati telah mengurangkan salah faham, terutama di kalangan


pemimpin tiga wilayah tersebut tentang penubuhan Malaysia. Kesan daripada
persefahaman ini, mesyuarat telah bersetuju untuk menubuhkan Jawatankuasa
Perundingan Perpaduan Malaysia. Jawatankuasa ini dianggotai oleh wakil-wakil dari
semua wilayah yang terlibat dalam pembentukan, sementara Donald Stephens
dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa tersebut. Namun,
perwakilan Brunei menganggap diri mereka hanya sebagai pemerhati kerana
ketidaksediaaan Brunei menyertai gabungan.
Secara amnya, jawatankuasa ini berfungsi untuk menerangkan dengan lebih jelas
akan konsep Malaysia kepada orang ramai, khususnya penduduk Sabah, Sarawak
dan Brunei. Untuk tujuan ini, jawatankuasa akan mengumpul dan membandingkan
idea-idea serta pendapat yang dikemukakan berhubung Malaysia. Keteranganketerangan dan perbincangan akan dilaksanakan dengan lebih giat untuk
menyegerakan rancangan pembentukanMalaysia ini. Selain itu, jawatankuasa juga
seboleh mungkin berusaha mendapatkan kata sepakat daripada pemimpin-pemimpin
politik di semua daerah terbabit. Semenjak pembentukan jawatankuasa ini, mereka
telah mengadakan perjumpaan sebanyak empat kali, iaitu pertamanya di Jesselton
(Kota Kinabalu sekarang) pada 21 Ogos 1961, kedua di Kuching pada 18 Disember
1961, ketiga di Kuala Lumpur pada 6 Januari 1962 dan keempat di Singapura pada 1
Februari 1962.
Dalam perjumpaan-perjumpaan jawatankuasa dan usaha-usaha yang dilaksanakan,
ramai tokoh dari Tanah Melayu dan Singapura seperti Tunku Abdul Rahman sendiri,
Ismail Yusoff, Datu Ong Yoke Lim dan Lee Kuan Yew memainkan peranan yang
sangat penting. Perjumpaan-perjumpaan yang mereka adakan dengan pemimpinpemimpin Sabah dan Sarawak telah mendatangkan hasil yang baik.
6.3.2 SURUHANJAYA COBBOLD
Suruhanjaya Penyiasat Borneo Utara atau Suruhanjaya Cobbold telah ditubuhkan
setelah satu rundingan dibuat antara kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dengan
kerajaan British pada bulan November 1961. Suruhanjaya ini dilantik secara rasmi
pada 16 Januari 1962. Suruhanjaya ini dipanggil Suruhanjaya Cobbold sempena
nama ketuanya, iaitu Lord Cobbold seorang berbangsa Inggeris. Ahli-ahli
suruhanjaya ini ialah Lord Cobbold, iaitu bekas Gabenor Bank England sebagai
ketua, Anthony Abell dan David Waterson yang mewakili kerajaan British, sementara
Dato Wong Pow Nee dan Tan Sri Mohd. Ghazali Shafie sebagai wakil kerajaan
Persekutuan Tanah Melayu.
Kerajaan United Kingdom dan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu bersetuju
bahawa dengan memasukkan Borneo Utara dan Sarawak (bersama-sama dengan
lain-lain negeri) ke dalam Persekutuan Malaysia yang dicadangkan itu, banyak
faedah diperoleh rakyat Negara-negara yang berkenaan. Matlamat penubuhan
Suruhanjaya Cobbold adalah untuk menyiasat fikiran rakyat Borneo Utara
5

dan Sarawak berkenaan hal ini dan membuat syor-syor setelah menimbangkan
fikiran itu.
Suruhanjaya ini menjalankan tugasnya selama dua bulan bermula pada 19 Februari
1962 dan berakhir pada bulan April 1962. Dalam tempoh dua bulan tersebut,
Suruhanjaya Cobbold telah mengadakan 50 perjumpaan di 35 buah tempat, iaitu 20
di Sarawak dan 15 di Sabah serta telah menemui lebih daripada 4000 orang yang
mewakili kira-kira 690 buah kumpulan. Selain itu, suruhanjaya ini juga mempelawa
dan menerima surat-surat atau memorandum daripada orang ramai untuk
menyuarakan pandangan mereka. Semasa menjalankan tugasnya, suruhanjaya
telah menerima lebih daripada 2000 (lebih kurang 600 pucuk surat dari Sabah dan
selebihnya dari Sarawak ) memorandum yang dikemukakan sama ada oleh
lembaga-lembaga bandaran, ketua-ketua kaum, Majlis Daerah, parti-parti politik,
persatuan-persatuan, dewan-dewan perdagangan, pemimpin-pemimpin agama
mahupun orang perseorangan. Daripada keseluruhan kerja atau tugas yang
dilaksanakan oleh Suruhanjaya Cobbold ini, jelas mereka membuat tinjauan serta
penyiasatan secara menyeluruh dan mewakili sebahagian besar penduduk di keduadua wilayah tersebut.
Suruhanjaya Cobbold menamatkan penyiasatannya pada 18 April 1962 dan
kemudian mengemukakan sebuah laporan penyiasatan kepada kerajaan British
kerajaan Persekutuan Tanah Melayu pada bulan Jun 1962. Menurut laporan
suruhanjaya ini, lebih kurang 80% daripada penduduk Sabah dan Sarawak
menyokong pembentukan ini dan sebahagian besar daripada mereka ialah kaum
Bumiputera. Secara keseluruhan, bentuk sokongan masyarakat Sabah
dan Sarawak terbahagi kepada tiga golongan iaitu:
a.
syarat

1/3 daripada dua buah negeri ini menyokong penuh penggabungan tanpa

b.

1/3 lagi turut menyokong, tetapi dengan syarat-syarat dan jaminan tertentu.

c.
1/3 lagi separuhnya mahukan kemerdekaan dahulu sebelum bergabung dan
separuhnya yang menentang kerana mahu kekal dalam pemerintahan British.
Bilangan yang menentang ini dicatatkan hanya lebih kurang 20% sahaja.
6.3.3 JAWATANKUASA ANTARA KERAJAAN
Selepas Suruhanjaya Cobbold membuat laporan yang agak memuaskan, tugas
untuk merangka syarat-syarat Persekutuan secara terperinci telah dilakukan oleh
sebuah jawatankuasa yang dipanggil Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) yang
diketuai oleh Lord Landsdowne yang bertindak sebagai Pengerusi, Tun Abdul Razak
Hussein sebagai Timbalan Pengerusi, wakil-wakil kerajaan British dan wakil-wakil
negeri Sarawak, Sabah dan Singapura.

Jawatankuasa ini telah membentuk satu perlembagaan khususnya yang melibatkan


permintaan Sabah dan Sarawak berdasarkan memorandum yang diterima daripada
parti-parti politik di Sabah dan Sarawak.
Laporan yang dibuat oleh jawatankuasa ini menggunakan Perlembagaan
Persekutuan Tanah Melayu 1957 dan Laporan Suruhanjaya Cobbold serta cadangan
yang dibuat oleh Jawatankuasa Perundingan Perpaduan Malaysia sebagai asas.
Perlembagaan yang dibentuk ini telah disahkan oleh kerajaan British pada 9 Julai
1963. Antara perkara yang menjadi teras utama dalam perlembagaan tersebut ialah :
a.
Agama Islam dijadikan agama rasmi bagi seluruh Persekutuan Malaysia,
kecuali Sabah dan Sarawak.
b.
Bahasa Melayu telah dijadikan bahasa rasmi Persekutuan Malaysia, tetapi
kelonggaran diberikan kepada Sabah dan Sarawak untuk menggunakan bahasa
Inggeris dalam perkara-perkara rasmi selama 10 tahun selepas kemasukan ke
dalam Persekutuan.
c.
Kuasa kawalan imigresen di Sabah dan Sarawak akan diserahkan kepada
kerajaan negeri masing-masing walaupun peruntukan tersebut di bawah kawalan
kerajaan pusat. Ini adalah untuk memberi keyakinan kepada Sabah
dan Sarawak bahawa tujuan Tanah Melayu bukanlah untuk menjajah negara
tersebut.
d.
Sistem pendidikan masih dikekalkan sehingga Majlis Negeri membuat
pindaan.
e.
Sabah diberikan 24 perwakilan Parlimen, manakala Sarawak 16 dan
Singapura 15 buah kerusi.
6.3.4 REFERENDUM SINGAPURA
Jika peristiwa di Sabah dan Sarawak melibatkan penyiasatan oleh Suruhanjaya
Cobbold, Singapura turut membuat satu pungutan suara yang dipanggil Referendum
Singapura. Kerajaan Singapura membuat keputusan untuk mengadakan referendum
sebagai satu cara meninjau pendapat penduduk Singapura untuk mendapatkan
kepastian dan pendirian rakyat Singapura berhubung penubuhan Malaysia. Secara
keseluruhan, pungutan suara ini bukan bertujuan untuk membenarkan rakyat
Singapura menolak penubuhan Malaysia, tetapi menerima cadangan ini dengan
pendirian mereka yang tertentu.
Kerajaan Singapura membuat keputusan ini kerana yakin sebahagian besar parti
politik di Singapura menyokong cadangan Malaysia, cuma pandangan dan pendirian
mereka juga perlu diambilkira. Soal menolak sudah tidak wujud, tetapi soal
penubuhan perlu dibincangkan. Dalam pungutan suara ini, rakyat Singapura diberi
tiga pilihan, iaitu :

a.
Pilihan A rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat-syarat yang
telah ditetapkan oleh kerajaan Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu melalui
Kertas Putih pada bulan November 1961 (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat
397 626 undi).
b.
Pilihan B rakyat bersetuju untuk bergabung tanpa syarat dan kedudukan
Singapura akan menjadi seperti negeri-negeri Melayu lain di dalam Persekutuan
Tanah Melayu (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 9442 undi).
c.
Pilihan C rakyat bersetuju untuk bergabung dengan syarat dan faedah
yang hampir sama seperti yang diperoleh wilayah-wilayahBorneo dengan penyertaan
ini (secara keseluruhan, pilihan ini mendapat 144 077 undi).
Referendum Singapura ini telah diadakan pada 1 November 1962. Barisan Sosialis
dan pihak komunis yang tidak bersetuju untuk bergabung dengan Persekutuan
Tanah Melayu telah memulau pungutan suara dengan membuang undi kosong.
Namun selepas referendum selesai, laporan menunjukkan 71% pengundi
menyokong pembentukan Malaysia.
Penganalisis sejarah mendakwa sokongan Singapura ini adalah ekoran kejayaan
kerajaan PAP meyakinkan rakyat berhubung tiada kemungkinan taraf kerakyatan
mereka akan dilucutkan dengan penggabungan, perdagangan antarabangsa
Singapura mungkin merosot jika mereka tidak bergabung dan ancaman komunis
akan dapat dibendung dengan jayanya dengan pembentukan ini. Secara
keseluruhannya, keputusan ini menunjukkan rakyat Singapura bersetuju untuk
menyertai Malaysia dengan memilih syarat A, iaitu pilihan yang dicadangkan oleh
kerajaan Singapura sendiri.
6.4

PEMISAHAN SINGAPURA

Semenjak Singapura menyertai Malaysia, banyak perselisihan yang timbul antara


kerajaan Singapura dengan kerajaan Persekutuan di Kuala Lumpur. Perselisihan ini
menjadi semakin rumit dan melibatkan banyak isu yang tiada akhirnya. Malahan
tidak mungkin untuk Singapura terus kekal dalam Malaysia tanpa suasana tegang
yang boleh mencetuskan keganasan. Para pemimpin Malaysia, terutamanya Tunku
Abdul Rahman berpendapat lebih wajar Singapura berpisah daripada Malaysia
sebagai jalan keluar terbaik untuk mengatasi pelbagai krisis yang timbul, demi
kepentingan perpaduan kaum, kestabilan ekonomi dan menghindarkan konflik politik
yang berterusan. Akhirnya Singapura berpisah dari Malaysiapada Ogos 1965.

6.4.1 FAKTOR YANG MENYEBABKAN PEMISAHAN SINGAPURA DARI


MALAYSIA.
a.

Perlembagaan.

Kebanyakkan soal yang berkaitan dengan perlembagaan berkisar tentang isu


ekonomi dan kewangan. Mengikut perjanjian Malaysia, Singapura diberi kuasa untuk
memungut cukai kastam, cukai eksais dan cukai pendapatan. Selain beberapa
kekecualian, semua hasil yang dikutip akan dibahagikan berasaskan 60% untuk
Singapura dan baki 40% lagi untuk kerajaan Persekutuan. Oleh sebab beban cukai
Singapura paling ringan dan bertambahnya perbelanjaan pertahanan, akibat
konfrontasi, kerajaan Persekutuan bercadang mengkaji semula agihan hasil dan
Singapura perlu menyerahkan 60% daripada jumlah hasilnya dan bukanya 40%
seperti yang dipersetujui sebelumnya. Cadangan ini dibantah oleh Singapura kerana
mengikut perjanjian Malaysia, terdapat satu persetujuan bahawa sehingga bulan
Disember 1968, kerajaan Persekutuan perlu mendapat kebenaran kerajaan
Singapura sebelum mengenakan cukai import yang baharu. Kebenaran itu boleh
ditangguhkan, jika sesuatu jenis cukai itu boleh menjejaskan perdagangan bebas
Singapura.
Pada bulan Disember 1964, apabila kerajaan Persekutuan membentangkan
belanjawan bagi tahun 1965, terdapat pelbagai cukai baharu yang dikenakan.
Kerajaan Singapura membantah pengenalan cukai-cukai baharu kerana mereka
dikatakan tidak dibawa berunding terlebih dahulu. Pada akhir bulan Februari 1965,
Menteri Kewangan, Tan Siew Sin mengarahkan para pengusaha di Singapura
berunding dahulu dengan kerajaan Persekutuan tentang perlindungan tarif, sebelum
membuka kilang. Arahan ini menimbulkan kemarahan para pengusaha di Singapura
sehingga mendapat liputan media yang meluas.
b.

Persaingan Politik Antara PAP dan MCA

Keadaan ini dapat dilihat apabila pada 9 September 1963, Lee kuan Yew telah
menyatakan bahawa kegiatan politik PAP hanya terbatas di Singapura dan PAP tidak
bercadang untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya di anah Melayu dalam
tempoh lima tahun selepas penyatuan. Kemudianya, PAP mengubah keputusan itu
dan bertanding dalam pilihanraya umum di Tanah Melayu pada tahun 1964. Pada
masa tersebut Tunku Abdul Rahman menegaskan bahawa PAP tidak diperlukan di
Tanah Melayu atas sifatnya sebagai sebuah parti perkauman Cina. Penglibatan PAP
yang terlalu awal dalam kegiatan politik di Tanah Melayu juga menjejaskan
perpaduan kaum, terutama hubungan UMNO dengan MCA. Malahan, PAP dikatakan
berminat untuk mengantikan MCA bagi mewakili kaum Cina dalam Kerajaan
Perikatan.

c.

Masalah Perkauman

Masalah perkauman ini dapat dilihat pada hubungan antara UMNO dengan PAP
yang menjadi semakin renggang akibat beberapa peristiwa yang berlaku di
Singapura. Setelah menyertai Malaysia, orang Melayu di negeri itu berasa diri
mereka diabaikan dan kerajaan Singapura tidak mengambil tindakan untuk
membaiki kedudukan mereka. Oleh itu, beberapa buah pertubuhan yang mewakili
orang Melayu menemui Tunku Abdul Rahman untuk melaporkan perkara itu.
Keadaan menjadi semakin rumit selepas Setiausaha Agong UMNO, Syed Jaafar
Albar menuduh pemimpin PAP, Lee Kuan Yew cuba memecahkan perpaduan
masyarakat Melayu di Singapura. Kerajaan Singapura sering mengencam golongan
yang disifatkan sebagai pelampau dalam kerajaan Persekutuan, terutama Syed
Jaafar Albar yang dituduh oleh para pemimpin PAP sebagai bertanggungjawab
menyebabkan tercetusnya rusuhan kaum di Singapura pada bulan Julai dan
September 1964.
Sikap para pemimpin politik di Singapura yang memperjuangkan konsep Malaysian
Malaysia juga kurang disenangi oleh para pemimpin UMNO. Konsep ini seolah-olah
mengenepikan institusi dan mencabar kedudukan istimewa orang Melayu. Pada
bulan Mei 1965, Lee Kuan Yew menubuhkan Malaysian Solidarity
Convention sebagai satu pakatan dikalangan parti pembankang dengan slogan A
democratic Malaysian Malaysiauntuk menandingi parti Perikatan. Beliau menyeru
diwujudkan satu persamaan hak bagi semua melalui satu ideologi politik, sosial dan
ekonomi yang sama untuk semua kaum.
Kedudukan negeri-negeri di Tanah Melayu, Singapura, Sabah dan Sarawak dalam
Persekutuan Malaysia juga ditimbulkan oleh para pemimpin Singapura. Mereka
menggalakkan negeri-negeri itu menimbulkan soal perbezaan taraf ekonomi dan
prinsip-prinsip perlembagaan yang telah dipersetujui sehingga sesetengah pemimpin
di Sarawak, Sabah dan negeri-negeri lain bertindak balas. Memandangkan
sebahagian besar pihak pembangkang terdiri daripada bukan Melayu, keadaan ini
seolah-olah mencerminkan penentangan mereka terhadap orang Melayu yang
menguasai kerajaan. Keadaan yang berlaku bukan lagi berbentuk pertikaian antara
PAP dengan UMNO, tetapi lebih menjurus rebutan kuasa politik antara kaum Melayu
dengan bukan Melayu
d.

Perbezaan Pendekatan Parti Perikatan Dan PAP

PAP berhasrat untuk mewujudkan masyarakat bukan perkauman secara sertamerta dan berpendapat konflik timbul akibat wujudnya dua bentuk masyarakat yang
berlainan. PAP berminat untuk berdebat secara terbuka dalam hampir semua isu
politik dan melaksanakan dasar-dasar baharu dengan segera. Parti Perikatan
terutama UMNO merupakan parti yang dibentuk dengan struktur perkauman
berdasarkan masyarakat majmuk yang sedia wujud di Malaysia. Parti Perikatan
berpendapat perbincangan secara terbuka tentang perbezaan kaum boleh
mencetuskan ketegangan dan kekacauan. Perbezaan pendekatan dalam
10

menghadapi isu-isu perkauman ini mencetuskan pergeseran antara Parti Perikatan


dengan PAP.

11

Kesimpulan
Hubungan yang tegang antara Singapura dengan Kerajaan Persekutuan akhirnya
tiba dikemuncaknya menjelang Mei 1965 sehingga menimbulkan kebimbangan
Tunku Abdul Rahman yang berpendapat Singapura perlu disingkirkan dari Malaysia.
Pada 9 Ogos 1965, Tunku Abdul Rahman membuat pengumuman rasmi di Parlimen
dan membentangkan rang undang-undang pemisahan Singapura. Rang undangundang tersebut diluluskan dan tiada yang menentang atau berkecuali dan
keputusan itu diambil tanpa dihadiri oleh perwakilan Singapura. Pemisahan ini
menamatkan pertikaian politik yang berlarutan antara kerajaan Persekutuan dengan
kerajaan Singapura. Pertikaian itu jika dibiarkan berterusan boleh memburukkan lagi
keadaan sehingga mencetuskan rusuhan kaum dan pertumpahan darah. Setelah
pemisahan Singapura, Malaysia hanya terdiri daripada Persekutuan Tanah Melayu,
Sabah dan Sarawak.

RUJUKAN
1.

Ruslan Zainudin et. al.(2005), Kenegaraan Malaysia, Fajar Bakti Sdn. Bhd.

2.
Mardiana Nordin & Hasnah Hussiin (2004), Pengajian Malaysia, Fajar Bakti
Sdn. Bhd
3.

Saujana berhad (2009), Pengajian Malaysia , Fajar Bermula Sdn,Bhd

12

You might also like