You are on page 1of 2

7. Bincangkan Kerjasama Awam-Swasta PPP sebagai alternatif projek mega kerajaan.

Berikan contoh yang sesuai dalam penjelasan anda.

Kerjasama Awam Swasta (Public Private Partnership) (PPP) merupakan suatu perkiraan
yang wujud antara pihak awam iaitu kerajaan dengan syarikat swasta berhubung dengan
penyampaian suatu projek kepada kerajaan di mana semua projek kos bagi tujuan tersebut
akan ditanggung sepenuhnya oleh syarikat swasta melalui pembiayaan yang akan diperolehi
oleh syarikat swasta dengan mana-mana institusi kewangan yang berkaitan.

PPP melibatkan pemindahan kepada sektor swasta tanggungjawab untuk membiaya


dan mengurus satu pakej pelaburan modal dan perkhidmatan termasuk pembinaan,
pengurusan, penyenggaraan, pembaikan dan penggantian aset sektor awam seperti bangunan,
infrastruktur, peralatan dan kemudahan lain yang mewujudkan stand alone business. Bagi
projek PPP, sektor swasta diikat secara kontrak dan dikehendaki menyediakan perkhidmatan
berasaskan infrastruktur awam dalam jangka masa panjang. Sektor swasta akan menjana
dananya sendiri untuk membiayai keseluruhan atau sebahagian aset seterusnya memberikan
perkhidmatan tersebut berdasarkan tahap prestasi yang telah dipersetujui. Sebagai balasan,
Kerajaan atau dalam sesetengah projek orang awam akan membuat bayaran kepada pihak
swasta untuk perkhidmatan tersebut. Walaupun pemilikan aset tidak ditekankan di dalam PPP,
pemindahan aset kepada sektor awam di akhir tempoh konsesi adalah sebagai suatu
kelaziman. Projek-projek PPP yang tidak melibatkan aset pula biasanya melibatkan
kemudahan atau fasiliti yang mempunyai nilai yang minimum di akhir tempoh konsesi
disebabkan teknologi yang usang.

Contoh pelaksanaan projek secara PPP adalah pembangunan beberapa Universiti


Teknologi Malaysia (UiTM) di beberapa lokasi dan kaedah PPP yang diguna pakai adalah
bina pajak senggara pindah (build lease maintain transfer) (BLMT). Melalui kaedah ini,
syarikat swasta akan membina kampus berkenaan dalam tempoh masa yang ditetapkan dan
Kerajaan tidak akan bertanggungan untuk membuat sebarang bayaran sepanjang tempoh
pembinaan berkenaan. Apabila kampus telah siap dibina, UiTM akan mula membuat tiga (3)
jenis bayaran yang dikenali sebagai Availability Charges, Maintenance Charges dan Asset
Management Programme Charges. Sebaliknya, jika pembinaan kampus gagal disiapkan maka
Kerajaan tidak bertanggungan untuk membuat sebarang bayaran kepada syarikat swasta dan
segala kos dan perbelanjaan yang telah ditanggung oleh syarikat swasta adalah risiko syarikat
swasta berkenaan.

Sebagai contoh projek mega kerajaan yang lain iaitu projek Pan Borneo. Menurut
Menteri Kerja Raya Malaysia, kaedah Kerjasama Awam dan Swasta akan mempercepatkan
lagi pelaksanaan projek Lebuh Raya Pan Borneo. Menurut beliau, bagi mempercepatkan

pelaksanaan Lebuh Raya Pan Borneo ini maka kerajaan memperkenalkan kaedah baharu iaitu
PPP dan perkara ini sedang diperincikan di Jabatan Perdana Menteri melalui Unit Kerjasama
Awam dan Swasta (PPP). Hal ini membuktikan di mana PPP mampu meningkatkan tahap
kemampuan dalam menjimatkan masa pembinaan dan pembangunan.

Selain itu, pembinaan terowong SMART E38 di tengah-tengah Kuala Lumpur


menggabungkan keperluan dizahirkan kerajaan dengan kepakaran kejuruteraan sebuah
syarikat swasta. Projek laluan dwifungsi itu bukan sahaja membantu menghasilkan rangkaian
pengangkutan lebih baik tetapi turut terbukti berkesan menyelamatkan pusat bandar daripada
banjir limpahan air sungai. PPP boleh membantu merapatkan jurang, dalam keperluan untuk
bekalan tenaga mampan dan pembangunan sambungan fizikal, yang sering terikat bersama
dalam dunia yang semakin ke arah digital.

Kerajaan mempunyai pilihan dalam melaksanakan suatu projek sama ada melalui
kaedah PPP atau konvensional. Sekiranya suatu projek melibatkan jumlah yang banyak dan
peruntukan perbelanjaan pembangunan Kerajaan adalah terhad maka pelaksanaan
pembangunan projek secara PPP wajar dipertimbangkan. Walau bagaimanapun,
memandangkan tanggungan kewangan di pihak Kerajaan untuk tujuan pembayaran balik
projek kos tersebut kepada syarikat swasta berkenaan akan melibatkan suatu jangka masa
yang panjang, agensi Kerajaan yang terlibat perlu memastikan rundingan perkara teknikal
dan kewangan adalah teratur dan tidak akan membebankan kedudukan kewangan Kerajaan.

You might also like