You are on page 1of 8

Proposal Kajian

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda berbantukan komputer ke atas pencapaian murid dalam mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kajian ini berbentuk kuasi-eksperimen yang melibatkan 70 orang murid tahun empat di Sekolah
Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, dalam Daerah Kota Setar, Kedah. Sampel kajian dipilih secara bertujuan terdiri daripada dua kumpulan
murid yang mempunyai tahap pencapaian yang hampir sama, dikelompokkan kepada kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Pengkaji
terlibat secara langsung dalam kajian ini, dengan kumpulan rawatan diajar dengan kaedah peta minda berbantukan komputer sementara
kumpulan kawalan pula diajar secara konvensional. Instrumen kajian yang digunakan ialah satu set ujian pencapaian yang mengandungi 30
soalan objektif aneka pilihan. Kedua-dua kumpulan murid akan menduduki ujian pra dan ujian pasca..

BAB I
MASALAH KAJIAN
1.1 PENDAHULUAN
Mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merupakan salah satu bidang ilmu yang penting untuk membentuk sahsiah dan jati diri
setiap orang murid. Melalui pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang diajar dalam mata pelajaran ini, adalah diharapkan murid-murid
akan menjadi warganegara yang sihat sahsiah dan tingkah lakunya. Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan juga diharapkan dapat melahirkan
insan yang seimbang seperti yang terangkum di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Justeru guru-guru yang terlibat secara langsung
dalam proses pengajaran dan pembelajaran adalah digalakkan menggunakan kreativiti untuk memilih, menyusun dan mengolah aktiviti
pengajaran dan pembelajaran mengikut kesesuaian murid.
Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pelajaran, YB Puan Komala Devi semasa menjawab soalan YB Chong Eng, Bukit Mertajam semasa
persidangan Dewan Rakyat Kesebelas, pada 12 April 2005, murid-murid tahun 4, 5 dan 6 diwajibkan belajar mata pelajaran Pendidikan Sivik
dan Kewarganegaraan adalah untuk pembentukkan akhlak, kerana Kementerian Pelajaran berpendirian bahawa proses pembentukkan akhlak
harus dilakukan secara berterusan bermula di peringkat sekolah rendah hingga ke peringkat menengah melalui proses pengajaran dan
pembelajaran di bilik darjah, aktiviti harian sekolah dan juga kegiatan ko-kurikulum. Sehubungan itu, kemahiran penyelidikan dan pembangunan
dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu diberi perhatian dan penekanan di semua peringkat. Usaha kementerian
pelajaran melalui Pusat Perkembangan Kurikulum untuk mempekenalkan semula mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan ini
amatlah bertepatan masanya, memandangkan berlakunya masalah keruntuhan akhlak dan moral generasi muda masa kini. Kadar jenayah
yang sedang melanda generasi muda hari ini amat membimbangkan. Oleh itu segala kelemahan yang dihadapi oleh murid-murid semasa
mempelajari Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan perlu dikaji bagi mengenalpasti punca-punca serta mencari alternatif untuk mengatasinya.
1.2 LATAR BELAKANG MASALAH KAJIAN
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah suatu mata pelajaran teras yang telah diperkenalkan semula pada tahun 2005, secara
berperingkat-peringkat bagi tahap dua di sekolah rendah dan bermula dari tingkatan satu hingga ke tingkatan lima bagi sekolah menengah.
Kandungan sukatan pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan merangkumi aspek-aspek pengetahuan sivik, kemahiran sivik, dan nilainilai sivik. Tema utama bagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi sekolah rendah ialah sayangi diri, sayangi keluarga,
hidup bersama di sekolah dan masyarakat, kenali budaya Malaysia, Malaysia negaraku dan sedia hadapi cabaran.
Berhubung dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara di bawah tema Malaysia negaraku, didapati ramai murid tidak dapat
menguasainya tajuk tersebut dengan baik. Di samping kebanyakan guru yang mengajar secara kaku, iaitu hanya menggunakan kaedah
tradisional yang kurang sesuai dengan tuntutan zaman. Kaedah chalk and talk, penggunaan buku teks adalah contoh yang kerap digunapakai
oleh guru-guru di dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Sedangkan bagi murid-murid kaedah tradisional ini tidak menarik dan
membosankan. Apatah lagi mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bukanlah mata pelajaran yang terlibat dengan peperiksaan.
Keadaan inilah yang menyumbangkan kepada murid-murid tidak menguasai pengetahuan, kemahiran serta nilai-nilai sivik yang akan
mewatakkan mereka sebagai generasi yang berhemah dan berakhlak mulia.
Faktor berikutnya, guru-guru dan pentadbir di sekolah-sekolah juga memandang mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
sebagai mata pelajaran ringan yang tidak perlu diberi penekanan. Biasanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diagihkan
kepada guru-guru sekadar mencukupkan bilangan masa mengajar seminggu, supaya seimbang dengan rakan guru yang lain. Malah tidak
menjadi perkara pelik dan aneh apabila didapati semua kelas Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan diajarkan oleh guru besar atau penolong
kanan. Hal demikian berlaku kerana mereka beranggapan mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan adalah mata pelajaran yang
mudah dan tidak merugikan murid-murid sekiranya guru besar atau penolong kanan tidak dapat masuk ke kelas disebabkan kesibukan masa
dengan tugas-tugas pentadbiran.
1.3 PERNYATAAN MASALAH

Melalui mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan, adalah diharapkan dapat membentuk keperibadian murid yang seimbang serta
dapat memberi sumbangan terhadap kesejahteraan keluarga, masyarakat dan negara. Seterusnya, usaha ini akan dapat melahirkan generasi
yang peka tentang hak dan tanggungjawab mereka sebagai warganegara, menghargai perpaduan dan mengapresiasi kepelbagaian budaya
masyarakat Malaysia. Matlamat yang ideal ini adalah untuk melahirkan modal insan dalam masyarakat seperti yang dicita-citakan oleh pihak
kerajaan. Namun, sekiranya aspek pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah dikesampingkan oleh guru-guru Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan, harapan dan matlamat tersebut tidak mungkin akan menjadi kenyataan.
Seterusnya, matlamat Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan secara umumnya ingin memberi kesedaran kepada murid tentang peranan, hak
dan tanggungjawab murid dalam masyarakat dan negara untuk melahirkan anggota masyarakat dan warganegara yang bersatu padu, patriotik
serta boleh menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat, negara dan dunia. Matlamat seterusnya ialah untuk melahirkan murid yang setia
pada negara, cinta akan tanahair, prihatin dan berbangga sebagai rakyat Malaysia serta boleh berinteraksi ke arah mewujudkan masyarakat
yang bersatu padu dan sejahtera. Untuk memastikan matlamat tersebut dapat dicapai, murid-murid sepatutnya terlebih dahulu perlu menguasai
pengetahuan sivik, kemahiran sivik dan nilai-nilai sivik. Bagaimanapun, melalui pemerhatian dan tinjauan yang dilakukan, pengkaji mendapati
murid-murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, tidak dapat menguasai pengetahuan sivik pada tahap yang sepatutnya.
Hal demikian dapat dibuktikan melalui keputusan peperiksaan pertengahan tahun yang menunjukkan hanya 64% sahaja murid lulus (6%
mendapat gred A, 25% mendapat gred B dan 33% mendapat gred C) manakala 36% murid gagal dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan.
Justeru, pengkaji mengambil langkah untuk melihat kembali perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan di peringkat sekolah rendah khususnya di sekolah pengkaji sendiri. Apakah terdapat kaedah yang sesuai untuk
melaksanakan pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran tersebut secara lebih berkesan supaya murid-murid dapat belajar dengan
berkesan ke arah menguasai pengetahuan sivik. Penggunaan kaedah yang sesuai dan berkesan dalam proses pengajaran dan pembelajaran
adalah menjadi perkara yang amat penting. Oleh itu, pengkaji merasa perlu diberikan penekanan tentang penggunaan kaedah peta minda
dengan berbantukan komputer semasa mengajarkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.
Beberapa kajian lepas mendapati bahawa penggunaan kaedah peta minda dalam pengajaran dan pembelajaran dapat meningkatkan
pencapaian murid-murid dalam sesuatu mata pelajaran (Altablig bt Ali 2006, Asma binti Ishak 2005, Rusilah Jais et. al 2004, dan Sim Ah Hock
et. al 1997). Pengkaji mengharapkan penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran bagi tajuk
Berbangga Dengan Identiti Negara akan dapat meningkatkan pencapaian dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Seterusnya
pengkaji juga mengharapkan kajian yang akan dijalankan ini akan memberikan hasil yang positif, untuk memartabatkan mata pelajaran
Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan di kalangan murid-murid.
1.4 TUJUAN KAJIAN
Tujuan kajian ini ialah untuk mengkaji keberkesanan penggunaan peta minda yang dibantu oleh komputer dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam
Sukatan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa
Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan.
1.5 SOALAN KAJIAN
i. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang signifikan antara kumpulan yang menggunakan
kaedah peta minda berbantukan komputer dan kumpulan yang belajar secara konvensional?
ii. Adakah terdapat perbezaan min pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan yang signifikan antara murid lelaki dan murid
perempuan dalam kumpulan yang belajar menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer?
1.6 HIPOTESIS KAJIAN
Ho1: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan dalam ujian pasca di antara kumpulan yang belajar menggunakan kaedah peta
minda berbantukan komputer dengan min pencapaian kumpulan yang belajar menggunakan kaedah konvensional.
Ho2: Tidak terdapat perbezaan min pencapaian yang signifikan dalam ujian pasca di antara murid lelaki dan murid perempuan dalam kumpulan
yang belajar menggunakan kaedah peta minda berbantukan komputer.
1.7 KEPENTINGAN KAJIAN
Kajian seperti ini penting kerana dapatan hasil kajian nanti dijangka dapat membantu guru membuat refleksi tentang pengajarannya serta
memperbaiki kaedah dan teknik pengajaran agar sesuai dengan tahap kesediaan dan minat murid. Dalam proses pembelajaran Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan guru seharusnya menggunakan kaedah pengajaran yang boleh meransang pembelajaran murid. Kaedah peta
minda dengan berbantukan komputer akan dapat mengekalkan tumpuan dan perhatian murid kepada pengajaran guru dan seterusnya akan
meningkatkan pencapaian.

Hasil kajian ini juga penting kepada murid-murid yang berpencapaian rendah dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Kemungkinan
faktor ini disebabkan oleh kaedah pengajaran guru secara tradisional dan membosankan. Dengan penggunaan kaedah peta minda yang
memaparkan imej, warna, frasa serta garisan anak panah yang sesuai akan membantu murid-murid untuk menguasai kemahiran yang
dipelajari dan menghindarkan rasa bosan semasa pembelajaran. Murid-murid akan lebih mudah mengingati isi pelajaran kerana tidak perlu
membaca ayat yang panjang serta sukar difahami. Imej, warna, frasa, dan sebagainya itu tidak terlalu abstrak berbanding dengan syarahan
guru. Tony Buzan (2006) berpendapat, secara nyata peta minda merupakan penggunaan grafik. Kata kunci dalam peta minda selalunya
dihasilkan dalam bentuk gambaran atau pola kerana otak manusia lebih mudah menerima ransangan yang berbentuk pola.
Selanjutnya kajian ini juga dapat meransang guru-guru Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk lebih bersedia, kreatif dan sentiasa peka
dengan tugas mendidik di dalam bilik darjah. Penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer menuntut seseorang guru itu membuat
persediaan yang rapi sebelum memulakan pengajaran. Guru-guru juga akan lebih kreatif untuk menghasilkan peta minda yang menarik, padat
dan mudah untuk difahami oleh murid-murid.
Selain itu, hasil kajian ini juga mungkin mempunyai kepentingan kepada pihak pentadbiran sekolah, yakni guru besar yang ingin tahu kaedah
yang sesuai untuk digunakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran, terutamanya mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan. Kaedah peta minda dengan berbantukan komputer dapat dilaksanakan oleh guru-guru kerana kebanyakan guru-guru telah
menguasai kemahiran asas menggunakan komputer.
1.8 BATASAN KAJIAN
Kajian ini melibatkan 70 orang murid daripada dua buah kelas tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar, Kedah. Sampel dipilih
secara bertujuan untuk maksud kajian. Oleh itu, dapatan kajian ini tidak boleh digeneralisasikan mana-mana kumpulan lain.
Kajian ini hanya melibatkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terkandung dalam Sukatan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
tahun empat. Tajuk ini meliputi Rukunegara, Negaraku, Jalur Gemilang, Jata Negara, Bahasa Kebangsaan dan Bunga Kebangsaan. Tajuk ini
akan diajarkan dalam masa empat minggu sahaja.
Semasa kajian dijalankan, pengkaji sendiri yang akan mengajar kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Langkah ini mungkin
akan memberi kesan ke atas keputusan kajian.
1.9 DEFINISI ISTILAH
1.9.1 Ujian pra ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan sebelum kajian
dijalankan
1.9.2 Ujian pasca ialah ujian pencapaian yang diduduki oleh semua sampel bagi kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan diakhir kajian
dijalankan
1.9.3 Ujian rintis ialah satu ujian yang diberikan kepada kumpulan murid yang tidak terlibat dalam kajian untuk menguji kesahan dan
kebolehpercayaannya.
1.9.4 Kumpulan rawatan ialah kumpulan murid yang diajarkan dengan menggunakan kaedah peta minda
1.9.5 Kumpulan kawalan ialah kumpulan murid yang diajar dengan kaedah konvensional
1.9.6 Peta minda merupakan satu pembinaan yang dibuat di atas sehelai kertas, idea penting diletakkan di tengah-tengah pusat utama dan
idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah geometri, warna dan
sebagainya. Dalam kajian ini, peta minda yang digunakan dipaparkan melalui skrin, berbantukan komputer dan Liquid Crystal Display (LCD).
1.9.7 Berbantukan komputer ialah penggunaan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran sebagai alat (tool) untuk membantu pelajar
mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran.
1.10 RUMUSAN
Bab ini menghuraikan tentang masalah kajian, tujuan dan persoalan kajian yang hendak dijawab, kepentingan kajian, batasan kajian serta
beberapa definisi istilah yang menjadi komponen penting dalam setiap kajian. Pengkaji ingin membuat kajian mengenai keberkesanan
penggunaan peta minda berbantukan komputer dalam pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat bagi
tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.

BAB II
TINJAUAN LITERATUR
2.1 PENDAHULUAN
Tujuan kajian ini dijalankan antara lain adalah untuk menggunakan satu kaedah yang sesuai serta boleh membantu murid meningkatkan
pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan. Pengkaji menggunakan kaedah peta minda dengan berbantukan
komputer untuk mengajarkan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara yang terdapat dalam sukatan pelajaran tahun empat. Dalam bab ini
juga pengkaji mengutarakan literatur-literatur berkaitan mengenai peta minda, teori-teori yang berkaitan serta beberapa kajian berkaitan yang
telah dijalankan mengenai peta minda dan pembelajaran berbantukan komputer.
2.2 LITERATUR BERKAITAN PETA MINDA
Peta minda telah diperkenalkan oleh Tony Buzan pada tahun 1960an sebagai kaedah yang boleh membantu pelajar, mencatat nota dengan
ringkas dan berkesan. Menurut Subadrah (2001), penggunaan peta minda semakin penting sebagai satu kemahiran mengorganisasi maklumat
dan menghuraikan konsep atau objektif secara teratur. Shahabudin Hashim, Mahani Razali dan Ramlah Jantan (2007) menyatakan, peta minda
membolehkan kita merangka, mencatat nota, merekodkan maklumat atau peristiwa, merancang aktiviti atau membuat sesuatu persembahan.
Peta minda yang dibentuk biasanya pelbagai dan bergantung kepada kreativiti seseorang.
Peta minda merupakan kaedah yang berkesan untuk mendapatkan semua maklumat daripada ingatan untuk ditukarkan menjadi bentuk yang
boleh dilihat. Menurut Poh Swee Hiang (2006), peta minda dibentuk berdasarkan bagaimana otak manusia merakam dan memproses
maklumat secara linear dan dalam masa yang sama membuat pengelolaan yang menyeluruh seperti menghubungkait, membanding,
menganlisa dan sebagainya. Peta minda adalah kebiasaannya dibina di atas sehelai kertas. Idea penting atau idea utama diletakkan di tengahtengah pusat utama dan idea lain yang berkaitan dikembangkan di luar idea utama dengan menggunakan pusat kecil, garisan, bongkah
geometri, imej, underlining, anak panah, warna dan sebagainya. Peta minda juga boleh menjimatkan masa dalam mempelajari sesuatu mata
pelajaran. Dalam proses pembelajaran, seseorang murid itu perlulah menyusun strategi agar segala isi pelajaran dapat diproses oleh otak
dengan lebih mudah. Menurut Dilip Mukerjea (1996), melalui peta minda seseorang itu dapat .... learn more, remember more, use less paper,
invest less effort ... yang membawa maksud penggunaan peta minda dapat memperolehi ilmu pengetahuan yang lebih banyak,
mempertingkatkan daya ingatan tanpa merugikan terlalu banyak kertas serta tenaga.
Semasa membina peta minda, maklumat penting yang disusun dan dikelolakan dengan cara keseluruhan. Susunan sedemikian dapat
menghasilkan struktur pola yang kreatif selaras dengan cara otak seseorang memproses maklumat. Penggunaan peta minda lebih mudah
untuk dirakamkan dalam ingatan jangka panjang. Poh Swee Hiang (2006) berpendapat, peta minda membantu anda mencatat nota dengan
pantas dan mengelakkan pengulangan perkataan. Nota tersebut wujud sebagai satu gambaram mental yang lengkap, bermakna dan senang
diingati.
Penggunaan peta minda dalam Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan boleh membantu mencapai beberapa matlamat. Menurut Ab Fatah
Hassan (1994), antaranya mengorganisasi maklumat, membantu kepada pengekalan ingatan, membuat perkaitan antara pengetahuan yang
baru dengan pengetahuan sedia ada, membantu kepada pengekalan konsep baru, memperjelas dan mengvisualisasikan struktur kognitif
pelajar dan menggalakkan kreativiti. Faktor tersebut juga boleh menarik minat murid terhadap proses pengajaran dan pembelajaran guru.
Keberkesanan peta minda ini telah diakui oleh pelajar cemerlang SPM 2006, Nadia Rohani Malik Panter-Brick, pelajar Sekolah Menengah
Kebangsaan Agama Nurul Ittifaq, Besut, Terengganu. Beliau mendapat pangkat 1A dalam kesemua 14 mata pelajaran yang diambil dalam
peperiksaan tersebut. Pejabat Pendidikan Daerah Besut (23 Mac 2007) melaporkan, Nadia yang bercita-cita menjadi seorang doktor pakar
menggunakan kaedah peta minda Tony Buzan bagi memudahkannya mengulangkaji dan menghafal pelajaran.
Sasterawan terkenal tanahair, A. Samad Said telah mengadakan pameran Daerah Samad 100 lakaran oleh A. Samad Said di Galeri
Petronas, Suria KLCC. Menurut Johanna A. Sobrey (25 Jun 2007), manuskrip-manuskrip itu hasil tulisan tangan Pak Samad sendiri berperanan
sebagai peta minda yang mengungkapkan secara intim, telus dan langsung sejarah pembentukkan karya-karya sasteranya dari mula sampai
tamat. Selanjutnya dijelaskan, disebalik tompokan dan garisan-garisan halus mahupun cakaran liar, turut tersisip kata-kata puitis dan mesej
mendalam yang meneropong kehidupan, keadaan serta perkara yang berlaku di persekitaran dan pelbagai perkara yang bermain di minda Pak
Samad. Ini menunjukkan kelebihan penggunaan peta minda dalam membuat catatan idea sebelum dikembangkan dalam bentuk penulisan
naratif.
2.3 PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN BERBANTUKAN KOMPUTER
Penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah amatlah digalakkan, kerana penggunaan komputer dapat
menarik minat murid-murid untuk mengikuti pembelajaran dengan lebih sistematik. Menurut Nor Hayati (2002), salah satu kaedah yang sesuai
digunakan untuk menarik minat murid-murid ialah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer, iaitu satu pengajaran yang dibantu oleh
komputer dengan melibatkan perisian-perisian yang sesuai samada dicipta sendiri atau telah dicipta oleh orang lain untuk tajuk-tajuk tertentu.
Ahmad Nizar (1997) pula berpendapat, pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi pembelajaran di mana murid-

murid dapat berinteraksi dan dibimbing oleh komputer melalui satu program pembelajaran terancang yang bertujuan untuk mencapai matlamat
pembelajaran.
Menurut Kanagambal (1977), pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer ialah satu situasi di mana komputer digunakan untuk
mengajar dan mengasah sesuatu kemahiran. Selain itu beliau menyatakan bahawa melalui pengajaran dan pembelajaran berbantukan
komputer, adalah usaha untuk menyampaikan maklumat, membimbing, melatih dan menilai prestasi murid-murid. Pengajaran dan
pembelajaran berbantukan komputer juga dapat menghasilkan suasana pembelajaran yang menarik dan lebih efektif kerana pelajaran dapat
disampaikan dengan cara yang lebih menghiburkan. Menurut Kanagambal lagi, antara matlamat yang dicapai oleh pelajar melalui pengajaran
dan pembelajaran berbantukan komputer ialah mempelajari sesuatu dengan lebih cepat, lebih mudah serta lebih banyak mengingati kembali
bahan yang dipelajari, merperoleh sikap positif terhadap alat komputer, dapat berinteraksi dengan komputer dengan lebih aktif dan fleksibel
dalam pembelajaran, iaitu pelajar menentukan cara menggunakan bahan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.
Seterusnya, menurut Mohamad Hasan (1998), penggunaan komputer dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah mempunyai
banyak kelebihan. Antaranya ialah (i) komputer mampu mendorong pembelajaran dilaksanakan secara interaktif dan secara tidak langsung
akan menimbulkan suasana seronok belajar, (b) kecanggihan bahan grafik pada program komputer boleh menambahkan lagi daya kreativiti
pelajar dan memperbaiki kemahiran penulisan murid, (c) terdapat beberapa program komputer yang mencabar, yang mendorong kepada
kemahiran berfikir di kalangan murid, (d) guru-guru dapat berperanan sebagai fasilitator dan mampu membantu murid sepenuhnya dari segi isi
pelajaran, (e) pelajar boleh mengikuti pelajaran pada bila-bila masa dan merasa kurang tertekan, dan (f) komputer dapat membekalkan
maklumat terkini, mengambil semua maklumat, menyalin maklumat, menyimpan maklumat dan memaparkan maklumat untuk perbincangan
atau persembahan.
Mengenai konsep pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer pula, Zoraini Wati Abas (1992) berpendapat, langkah pertama
penggunaan komputer di dalam kurikulum sekolah menjurus kepada pembelajaran berbantukan komputer yang boleh dianggap sebagai alat
(tool) untuk membantu pelajar mempelajari sesuatu topik, idea atau kemahiran. Komputer yang digunakan di sekolah boleh diaplikasikan
melalui pelbagai cara untuk menarik perhatian pelajar terhadap pengajaran guru. Perhatian yang diberikan semasa proses pembelajaran
sangat penting, kerana melalui perhatian tersebut akan menatijahkan sesuatu yang diharapkan.
2.4 TEORI-TEORI BERKAITAN
Selain daripada bukti-bukti kejayaan penggunaan peta minda dan kelebihan-kelebihan pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer,
terdapat juga beberapa teori serta pandangan yang sesuai atau yang menyokong penggunaan peta minda dapat memberi manfaat kepada
proses pembelajaran. Antaranya Teori Pembelajaran Gestalt /Kognitif, Teori Ausubel, dan Teori Pelbagai Kecerdasan (Gardner). Ahli-ahli
psikologi gestalt atau kognitif berpendapat, dalam proses pembelajaran, pelajar membentuk struktur kognitif dalam ingatannya. Ragbir Kaur
(2006) menyatakan, setiap kali seseorang individu itu belajar, dia akan menyusun segala pengalaman yang dipelajari dan menyimpannya di
dalam ingatan. Penggunaan peta minda adalah selari dengan pendapat mazhab gestalt yang berpendapat bahawa setiap manusia mempunyai
keupayaan mental untuk mengelola, menyusun, menyimpan dan menggunakan semula segala pengalaman yang tersimpan untuk
membolehkan dia menghubungkaitkan pertalian antara pengalaman tersimpan dengan masalah dihadapi.
David Ausubel seorang ahli psikologi kognitif yang menekankan penguasaan maklumat melalui penggunaan bahasa yang bermakna. Menurut
Ragbir Kaur (2006), maklumat yang dipelajari secara bermakna dapat diingat dengan lebih lama berbanding dengan apa yang dipelajari secara
hafazan. Dr Ismail Zain (13 Jun 2005) Utusan Malaysia, telah menyatakan pembelajaran secara hafalan tidak dapat membentuk insan yang
kritis dan kreatif, malah tidak sesuai dengan zaman yang serba maju ini. Selanjutnya beliau berpendapat penggunaan peta minda dan
pengurusan grafik adalah sesuai ke arah memudahkan otak membuat analisis untuk menghasilkan sesuatu yang bermakna.
Gardner yang terkenal dengan teori kecerdasan pelbagai menyatakan bahawa kecerdasan adalah kebolehan seseorang untuk menyelesaikan
masalah. Menurut Ramlan Hamzah dan Lily Mastura Harun (2006) dalam penyelesaian masalah terdapat pelbagai cara bukan hanya tertumpu
kepada satu cara tertentu sahaja dan Gardner telah mengenalpasti sembilan jenis kecerdasan yang ada dalam diri individu. Dalam proses
pembelajaran menggunakan peta minda adalah amat sesuai terutamanya bagi murid-murid yang mempunyai kecerdasan visual dan ruang,
kecerdasan bahasa dan kecerdasan interpersonal. Dalam sesuatu kumpulan pembelajaran yang dibentuk mungkin terdapat ahli kumpulan yang
berbeza kecerdasan. Perbezaan tersebut dapat membantu murid-murid untuk menghasilkan peta minda yang kreatif dan asli.
2.5 KAJIAN BERKAITAN
Kajian-kajian berkaitan dengan penggunaan peta minda telah banyak dijalankan oleh pengkaji-pengkaji di kalangan pendidik sendiri. Antaranya
ialah Altablig bt Ali (2006), Asma binti Ishak (2005), Rusilah Jais et. al (2004), dan Sim Ah Hock et.al (1997). Begitu juga terdapat kajian yang
berkaitan dengan pembelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berbantukan komputer oleh Kam Foo Kong (2006).
Altablig bt Ali (2006) telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda dalam mengingati konsep atau fakta sejarah ke atas 35 orang
pelajar tingkatan 4 di Sekolah Menengah Pekan Baru, Parit Buntar. Hasil dapatan kajian tersebut menunjukkan pelajar yang berpencapaian
sederhana telah meningkat sebanyak 60% manakala pelajar yang lemah hanya 6% sahaja. Beliau merumuskan bahawa penggunaan peta
minda dapat membantu pelajar-pelajar sederhana mengingat fakta sejarah bagi mendapat markah terutamanya dalam soalan struktur Kertas 2.
Asma binti Ishak (2005), telah menjalankan kajian ke atas 30 orang murid tahun 4 Arif di Sekolah Kebangsaan Jelempok. Kajian beliau,
penggunaan peta minda dapat meningkatkan kemahiran mencatat nota. Dapatan kajian beliau menunjukkan berlaku peningkatan kumpulan

pencapaian tinggi dalam ujian pasca menjadi 40% berbanding ujian pra 7%. Bagi kumpulan pencapaian rendah pula menurun kepada 3%
dalam ujian pasca berbanding 40% dalam ujian pra. Sehubungan itu beliau berpandangan bahawa penggunaan peta minda dalam mencatat
nota adalah berjaya.
Seterusnya Rusilah Jais et. al (2004) juga telah menjalankan kajian tentang penggunaan peta minda bagi mata pelajaran matematik di
kalangan pelajar perakaunan. Kajian tersebut melibatkan seramai 158 responden di kalangan pelajar-pelajar matrikulasi. Hasil dapatan kajian
tersebut menunjukkan berlakunya peningkatan pelajar yang mendapat gred A sebanyak 26.6% dalam ujian pasca berbanding 7% dalam ujian
pra. Pelajar yang mendapat gred B juga meningkat daripada 7.6% dalam ujian pra kepada 12% dalam ujian pasca. Bagi gred C menunjukkan
penurunan peratus dalam ujian pasca iaitu 3.2% berbanding 10.1% dalam ujian pra. Rusilah Jais et. al (2004) merumuskan bahawa
penggunaan peta minda dalam mata pelajaran matematik adalah berkesan.
Sim Ah Hock et.al (1997), telah menjalankan kajian tentang kesan strategi pemetaan konsep terhadap pemprosesan maklumat Sains dengan
berbantukan komputer ke atas 141 orang pelajar semester 3 di lima buah maktab perguruan. Dapatan kajian tersebut dirumuskan bahawa,
terdapat perbezaan min dalam ketiga-tiga pemboleh ubah bersandar antara kumpulan eksperimen dan kumpulan kawalan adalah signifikan,
dengan kumpulan eksperimen memperolehi skor yang lebih tinggi daripada kumpulan kawalan. Oleh itu dapatan kajian menyokong
pengintegrasian strategi pemetaan konsep untuk memproses maklumat dengan pembelajaran berbantukan komputer.
Kam Foo Kong (2006), menjalankan kajian ke atas 42 orang pelajar tingkatan 1L di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Keledang. Kajian
beliau tentang meningkatkan minat pelajar kepada mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan melalui kaedah pembelajaran
berbantukan komputer. Hasil dapatan kajian beliau menunjukkan pelajar yang memperolehi skor 40% ke atas (lulus) dalam ujian pasca
meningkat kepada 86% berbanding 47.6% dalam ujian pra. Pelajar yang memperolehi skor 40% ke bawah (gagal) pula menurun kepada 14%
dalam ujian pasca berbanding 52.4% dalam ujian pra. Dengan demikian Kam Foo Kong merumuskan bahawa kaedah pengajaran Pendidikan
Sivik dan Kewarganegaraan menggunakan komputer telah menunjukkan peningkatan pencapaian yang ketara.
2.6 RUMUSAN
Berdasarkan literatur berkaitan dan kajian-kajian yang berkaitan telah menunjukkan bahawa kaedah penggunaan peta minda serta peta minda
dengan berbantukan komputer dalam sesuatu pengajaran dan pembelajaran akan memberikan kesan yang positif terhadap pencapaian muridmurid. Peta minda yang digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran juga seiring dan sesuai dengan pandangan dan teori-teori
pembelajaran seperti Teori Gestalt / Kognitif , Teori Ausubel dan Teori Kecerdasan Gardner.

BAB III
KAEDAH KAJIAN
3.1 PENDAHULUAN
Kajian ini adalah mengenai kaedah penggunaan peta minda dengan berbantukan komputer dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan bagi tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara. Dalam bab ini, pengkaji menyatakan kaedah kajian yang akan digunakan
dalam kajian ini. Kaedah kajian yang akan digunakan dalam kajian ini pula akan menerangkan reka bentuk kajian, populasi dan sampel, alat
kajian yang digunakan, tatacara pengumpulan data dan seterusnya tatacara penganalisaan data.
3.2 REKA BENTUK KAJIAN
Kajian ini menggunakan reka bentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan kelas tahun empat, iaitu kumpulan pertama yang disebut
sebagai kumpulan rawatan, dan kumpulan kedua disebut sebagai kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan
akan diberi ujian pra sebelum kajian dijalankan, manakala ujian pasca pula akan diberikan diakhir kajian dijalankan. Jangka masa kajian ini
dicadangkan selama empat minggu dan pengkaji akan menjalankan pengajaran bagi kedua-dua kumpulan, agar dapat mengurangkan ralat
dalam kajian ini.
Untuk menjalankan kajian kuasi eksperimen ini, pengkaji memilih dua buah kelas yang telah sedia ada, di mana kumpulan rawatan menerima
pembelajaran dengan menggunakan kaedah peta minda untuk mempelajari tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara sementara kumpulan
kawalan akan menerima pembelajaran tajuk yang sama dengan menggunakan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et.al (2007),
kumpulan rawatan biasanya menerima atau mengalami satu layanan baru yang sedang dalam kajian, sementara kumpulan kawalan menerima
layanan yang berbeza ataupun dikekalkan dalam bentuk biasa. Kedua-dua kumpulan tersebut akan diberi ujian pra dan ujian pasca sebelum
dan selepas kajian dijalankan. Walaupun pemilihan sampel tidak dilakukan secara rawak, pengkaji akan mengenalpasti bahawa sampel bagi
kedua-dua kumpulan tersebut mempunyai kebolehan pencapaian yang hampir sama berdasarkan peperiksaan pertengahan tahun bagi mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Tujuan reka bentuk kuasi eksperimen ini dipilih ialah untuk mengenalpasti perbezaan pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk
tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara bagi kedua-dua kumpulan, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan. Di dalam reka bentuk
kuasi eksperimen ini terdapat dua pemboleh ubah yang dikaji, iaitu pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tak bersandar (bebas). Di
dalam kajian ini pemboleh ubah bersandar ialah pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan untuk tajuk Berbangga Dengan Identiti
Negara yang diperolehi melalui ujian pra dan ujian pasca, manakala pemboleh ubah tak bersandar ialah kaedah pengajaran dengan
menggunakan peta minda dengan berbantukan komputer dan kaedah konvensional. Menurut Azizi Yahaya et. al (2007), satu bahagian
daripada persekitaran yang dimanipulasikan adalah pemboleh ubah tak bersandar, manakala kesan tingkah laku manipulasi adalah pemboleh
ubah bersandar, iaitu apa yang diukur.
Selain pemboleh ubah bersandar dan pemboleh ubah tidak bersandar, terdapat pemboleh ubah-pemboleh ubah luaran atau pemboleh ubah
ekstranus yang mungkin mengganggu keputusan kajian, seperti kaedah pemilihan sampel, interaksi antara kumpulan, jangka masa kajian dan
penyediaan soalan. Bagi mengawal pemboleh ubah-pemboleh ubah ekstranus tersebut, beberapa langkah wajar diberi perhatian. Antaranya,
pemilihan sampel yang terdiri daripada dua kumpulan pelajar mestilah berada pada tahap pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
yang hampir sama. Selain itu, min ujian pra untuk kedua-dua kumpulan akan dianalisis melalui ujian-t untuk melihat bahawa tiada wujud
perbezaan yang signifikan dari segi kebolehan atau pencapaian Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan sebelum kajian dijalankan. Ujian
keseragaman varians juga akan dijalankan bagi menentukan kehomogenan kumpulan.
3.3 POPULASI DAN SAMPEL KAJIAN
Populasi dalam kajian ini ialah semua murid tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Semua murid telah mengikuti mata
pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan berdasarkan Huraian Sukatan Pelajaran yang telah disediakan oleh Pusat Perkembangan
Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia. Dua buah kelas telah dipilih daripada empat buah kelas tahun empat secara bertujuan bagi
maksud kajian ini sebagai sampel. Sampel terdiri daripada 70 orang pelajar yang hampir sama pencapaian. Mereka ini dikelompokkan kepada
dua kumpulan, 35 orang dikelompokkan ke dalam kumpulan rawatan, manakala 35 orang lagi dikelompokkan ke dalam kumpulan kawalan.
3.4 ALAT KAJIAN
Alat kajian yang digunakan dalam kajian ini ialah satu set ujian pencapaian ( ujian pra dan ujian pasca). Ujian pencapaian ini terdiri daripada 30
soalan objektif aneka pilihan dengan tiga pilihan jawapan (A, B dan C), yang berkaitan dengan tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara.
Semua item ujian pencapaian ini telah dibina sendiri oleh pengkaji berdasarkan Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan
(2003), Huraian Sukatan Pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan Tahun 4, (2004) dan Buku Teks Pendidikan Sivik dan
Kewarganegaraan, KBSR Tahun 4, (2004).

Bagi menentukan kesahan kandungan, pengkaji telah membina item-item dalam alat kajian ini berdasarkan jadual penentu ujian (JPU)
mengikut aras Taksanomi Bloom. Bagi meningkatkan lagi kesahan kandungannya pengkaji juga telah merujuk kepada beberapa orang guru
yang berpengalaman dalam pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan bagi mendapatkan
pandangan dan komen mereka. Berdasarkan ulasan guru-guru pakar tersebut pengkaji telah membaiki dan menggantikan beberapa item yang
kurang sesuai.
Pengkaji telah menjalankan ujian rintis ke atas ujian pencapaian menggunakan kaedah uji-ulang-uji untuk mendapatkan pekali
kebolehpercayaan alat kajian. Dua ujian yang sama ditadbirkan ke atas 34 orang pelajar yang tidak terlibat dalam kajian ini dalam jarak masa
tiga minggu bagi melihat ketekalan alat kajian. Menurut Mohd Majid Konting (2004), markat-markat yang didapati daripada pengukuran pertama
dan pengukuran kedua dikorelasikan. Pekali korelasi yang terhasil merupakan indeks kebolehpercayaan, sekiranya pekali korelasi positif dan
teguh maka indeks kebolehpercayaan bagi alat ukur tersebut adalah tinggi.
Berdasarkan data skor ujian kali pertama dan skor ujian kali kedua, analisis korelasi Pearson telah dijalankan ke atas skor-skor tersebut.
Keputusan analisis korelasi Pearson menunjukkan nilai pekali korelasi, r = 0.861 (p < 0.05). Ini menunjukkan bahawa skor ujian pertama dan
skor ujian kedua mempunyai korelasi yang tinggi dan signifikan. Oleh itu, alat kajian yang dibina untuk mengukur pencapaian murid dalam ujian
pra dan ujian pasca mempunyai kebolehpercayaan yang tinggi dan sesuai digunakan.
3.5 TATACARA PENGUMPULAN DATA KAJIAN
Kajian akan dijalankan di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar melibatkan 70 sampel yang dibahagikan kepada kumpulan rawatan dan
kumpulan kawalan. Kedua-dua kumpulan dikehendaki menduduki ujian pra. Pengkaji menguruskan sendiri ujian pra tersebut dan pengkaji
menyemak skor yang diperolehi oleh sampel bagi kedua-dua kumpulan. Pengkaji melibatkan diri secara terus dengan mengajar kedua-dua
kumpulan tersebut. Kumpulan kawalan diajar menggunakan kaedah konvensional sementara kumpulan rawatan menggunakan kaedah peta
minda dengan berbantukan komputer. Kedua-dua kaedah pengajaran ini akan dijalankan dalam masa empat minggu. Pada hari terakhir kajian,
semua pelajar dalam kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan akan menduduki ujian pasca, dengan menggunakan set soalan yang sama
dengan ujian pra. Seterusnya skor ujian pasca akan dikumpulkan untuk dianalisis oleh pengkaji.
3.6 TATACARA PENGANALISAAN DATA KAJIAN
Keputusan ujian pra dan ujian pasca yang telah dikumpulkan akan dianalisis dengan menggunakan sistem perisian Statistical Packages for
Social Science, SPSS Windows Release 14.0. Untuk menjawab persoalan kajian, pengkaji menggunakan ujian-t dan ujian-F. Ujian-t digunakan
untuk melihat perbezaan min pencapaian, manakala ujian-F digunakan untuk melihat keseragaman varians kumpulan.
3.7 RUMUSAN
Kajian ini adalah kajian berbentuk kuasi eksperimen yang melibatkan dua kumpulan sampel, iaitu kumpulan rawatan dan kumpulan kawalan.
Sampel kajian terdiri daripada 70 orang pelajar tahun empat di Sekolah Kebangsaan Jalan Datuk Kumbar. Kedua-dua kumpulan tersebut akan
menduduki ujian pra sebelum kajian dijalankan dan ujian pasca diakhir kajian dijalankan. Data-data dari kedua-dua ujian tersebut dikumpulkan
dan dianalisiskan dengan menggunakan ujian-t dan ujian-F. Hasil daripada penganalisaan statistik ke atas data yang diperolehi akan
memberikan pengkaji keputusan samada proses pengajaran dan pembelajaran menggunakan peta minda dengan berbantukan komputer bagi
tajuk Berbangga Dengan Identiti Negara dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan tahun empat berkesan atau tidak bagi
meningkatkan pencapaian dalam mata pelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan para pelajar.

You might also like