You are on page 1of 14

BERITA | MALAYSIA

Kes denggi minggu ke-26 meningkat, tiada laporan jangkitan Zika


Bernama |

Julai 09, 2016 13:31 MYT

Orang ramai perlu peka terhadap gejala dan tanda-tanda demam denggi seperti demam, sakit
otot dan tulang, ruam, sakit di belakang mata serta sakit kepala. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Kes demam denggi di seluruh negara bagi tempoh dari 26 Jun hingga 2 Julai
(minggu ke-26) mencatat peningkatan sebanyak 2,017 kes atau 13.5 peratus berbanding 1,777
kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata sembilan negeri
menunjukkan peningkatan kes denggi berbanding minggu sebelumnya iaitu Selangor dengan
1,145 kes, Johor (165), Perak (75), Sarawak (68), Kelantan (51), Kedah (42), Pahang (39), Pulau
Pinang (31) dan Perlis (5).
"Jumlah kumulatif kes demam denggi dari Januari hingga 2 Julai 2016, adalah sebanyak 57,782
kes berbanding 59,365 kes bagi tempoh yang sama tahun 2015, iaitu berkurangan sebanyak 2.7
peratus (1,583 kes)," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Dr Noor Hisham berkata 10 kematian dilaporkan pada minggu ke-26 menjadikan kumulatif
kematian adalah sebanyak 132 berbanding 165 kematian bagi tempoh sama tahun lepas.
Jumlah lokaliti wabak juga meningkat dari 647 lokaliti kepada 660 lokaliti bagi tempoh 26 Jun
hingga 2 Julai, manakala lokaliti 'hotspot' pula menurun dari 74 lokaliti pada minggu sebelumnya
kepada 73 lokaliti pada minggu yang sama.
Mengambil maklum bahawa kes demam denggi akan meningkat selepas musim perayaan,
beliau menasihatkan orang ramai supaya peka terhadap gejala dan tanda-tanda demam denggi
seperti demam, sakit otot dan tulang, ruam, sakit di belakang mata serta sakit kepala.
"Ini juga termasuk tanda-tanda amaran demam denggi seperti sakit perut, kerap muntah, resah,
sangat lemah dan pendarahan gusi atau hidung.
"Sekiranya menghidap gejala dan tanda-tanda tersebut, segera mendapatkan rawatan di klinik
atau hospital yang berhampiran kerana pengesanan dan rawatan awal dapat menyelamatkan
nyawa," katanya.
Dalam pada itu, sebanyak 507 sampel darah diuji oleh Makmal Kesihatan AwamKebangsaan
dan Institut Penyelidikan Perubatan sehingga 2 Julai ini bagi mengesan jangkitan Zika di negara
ini, namun tiada jangkitan virus berkenaan dikesan.
Di samping itu, tiada pelawat yang dikesan dijangkiti virus Zika semasa saringan dilakukan di
pintu masuk antarabangsa di negara ini, katanya.

BERITA | MALAYSIA
Dilema orang muda - beli mana dahulu, rumah atau kereta?
Tan Su Lin, Astro Awani |

Julai 08, 2016 19:53 MYT

Menjawab dilema yang sering melanda, Faizul menasihatkan golongan muda supaya
membeli rumah lebih dahulu berbanding kereta. - Astro AWANI / Tan Su Lin
KUALA LUMPUR: Beli mana dahulu? Rumah atau kereta? Itu antara dilema anak
muda yang baru menceburi alam pekerjaan dan menerima gaji pertama.
Dengan hanya RM2,000 dalam akaun banknya, seorang anak muda membuktikan
dia mampu memiliki rumah pertamanya pada usia 24 tahun.
Sebelas tahun kemudiannya, Faizul Ridzuan, 35, kini seorang hartawan, sudah
berjaya membeli lebih 40 unit hartanah.
Bermula sebagai pekerja "makan gaji", Faizul mula berkecimpung dalam bidang
hartanah selepas pembelian rumah pertamanya.
"Pada ketika itu, niat saya mudah sahaja. Sebelum kahwin kena ada rumah dan
sebuah kereta. Jadi apa-apa hal, rumah kena beli.
"Dari situ, saya mencari ilmu mengenai hartanah dan belajar sendiri untuk tempoh
18 bulan," katanya kepada Astro AWANI.
"Selepas itu, bila ada modal sedikit, saya cuba menambah modal secara kreatif dan
beli rumah yang pertama.
"Selepas membeli rumah pertama, saya rasa seronok pula, terus tidak jadi membeli
kereta dan sebaliknya beli rumah kedua."
Pembelian rumah kedua itu sekali gus membuka mata Faizul kepada pulangan
lumayan dalam bidang hartanah.
"Rumah kedua itu yang buat saya terfikir, hartanah ini betul-betul boleh buat duit.
Sebab, apabila saya beli rumah itu, saya bayar kepada bank cuma RM800 sebulan,
tetapi saya dapat sewakan dan mendapat pulangan sebanyak RM2,400 sebulan.
"Dengan tambahan RM1,500 sebulan bagi seseorang yang memperolehi pendapatan
sebanyak RM3,000 sebulan, bagi saya, wow!
"Sejak itu, saya terus tidak jadi membeli kereta. Beli sampai rumah ke-13, baru beli
kereta yang pertama," katanya.

Bagi menjawab dilema yang sering melanda golongan muda, sama ada harus
membeli kereta atau rumah terlebih dahulu, ini nasihat Faizul:
"Kalau disuruh pilih kereta atau hartanah dulu, saya nasihatkan beli rumah dulu,
kerana pinjaman hartanah susah nak dapat. Pinjaman kereta lebih senang. Kereta itu
bila-bila masa boleh beli."
Menurut penulis buku "23 Hartanah Sebelum Berumur 30" itu, isu modal bukan
perkara utama, sebaliknya, pengurusan kewangan yang bijak.
Apa yang lebih penting, kata Faizul, adalah melengkapkan diri dengan ilmu
pengetahuan secukupnya, sebelum membeli mana-mana hartanah.
Astro AWANI turut melakukan undian dalam talian untuk bertanyakan kepada
netizen: "Apakah yang akan anda beli dahulu? Rumah atau kereta?"

Undian Astro AWANI


Daripada lebih 4,500 undian atas talian, sebilangan besar iaitu 70 peratus memilih
rumah, manakala, hanya 30 peratus memilih kereta.
Pastinya, dilema rumah atau kereta bagi orang muda, boleh diselesaikan selagi ada
kemahuan.

BERITA | MALAYSIA

Nelayan hilang, bot ditemukan hanyut di perairan Pulau Redang


Bernama |

Julai 10, 2016 18:28 MYT

35 anggota terdiri daripada PDRM, Jabatan Taman Laut, JPAM dan penduduk
tempatan terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat sejak semalam. - Gambar
hiasan
KUALA TERENGGANU: Seorang nelayan dikhuatiri hilang selepas keluar menangkap
ikan di sekitar perairan Pulau Redang, semalam.
Baharuddin Muhamod, 58, dilaporkan keluar menangkap ikan seorang diri kira-kira 9
pagi semalam namun sehingga petang gagal pulang ke rumah.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Supt Suffian Sulaiman berkata pada
2.30 petang isterinya menghubungi mangsa menerusi telefon bimbit namun tiada
jawapan.
Katanya dua jam selepas itu anaknya memaklumkan menemukan bot kayu
milik ayahnya yang hanyut berhampiran perairan Pulau Redang namun bapanya
tiada di dalam bot tersebut.
"Bimbang dengan keselamatan mangsa dan penemuan bot tanpa pemiliknya
itu anggota keluarganya membuat laporan polis pada 5 petang semalam.
"Sejurus menerima maklumat, gerakan mencari mangsa dilancarkan di
kawasan sekitar namun gagal mengesan mangsa sebelum operasi diteruskan pagi
tadi.
Difahamkan kebiasaannya mangsa akan pulang selepas waktu zohor namun
semalam sehingga 5 petang mangsa masih tidak pulang ke rumahnya di Kampung
Baru Pulau Redang.
Suffian berkata 35 anggota terdiri daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan
Taman Laut, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) dan penduduk tempatan
terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak semalam.
"SAR kemudian ditangguhkan pada 7.30 malam semalam dan bersambung hari
ini, SAR bermula 9 pagi membabitkan 19 orang termasuk anggota PDRM,
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Taman Laut, JPAM dan
penduduk," katanya.
Menurutnya lokasi pencarian merangkumi kawasan unjam berhampiran lokasi
bot ditemukan dan lima bot nelayan turut menyertai operasi tersebut.

BERITA | DUNIA
12 mati dalam kesesakan jalan raya Aidilfitri melampau di Indonesia
AFP |

Julai 08, 2016 15:52 MYT

Berpuluh ribu orang terkandas di dalam kesesakan yang teruk di sebuah lebuhraya
utama di Brebes. - Twitter/@TMCPoldaMetro
BREBES: Dua belas orang terkorban selepas terperangkap dalam kesesakan lalu
lintas yang berpanjangan selama tiga hari.
Kesesakan lalu lintas sepanjang 20 kilometer itu menyebabkan berpuluh ribu orang
terkandas.
Kesesakan yang teruk itu di sebuah lebuhraya utama di Brebes, sebuah bandar di
Java, adalah terlampau teruk sehingga warganegara Indonesia telah memanggil
pintu tol itu sebagai 'Brexit' dari perkataan 'Brebes exit'.
Jalan-jalan raya di negara majoriti penduduk Islam itu kebiasaannya sesak pada akhir
bulan Ramadan, kerana jutaan orang balik ke kampung masing-masing untuk
sambutan Aidilfitri.
Namun demikian, jurucakap Kementerian Pengangkutan negara itu, Hemi
Pramuraharjo, memberitahuAFP kesesakan di 'Brexit' pada tahun ini adalah parah
kerana kerana puluhan ribu kereta masuk ke lebuhraya tersebut.
Kesesakan yang 'parah' sepanjang 20km di Brebes, Indonesia. Twitter/@SindotrijayaFM
"Dalam kes 'Brexit' ini, terdapat 12 mangsa meninggal pada hari-hari yang berbeza,"
katanya. Beliau berkata kematian itu berlaku antara 3 Julai dan 5 Julai, dan bukannya
dalam sehari seperti yang dilaporkan sebelum ini. Pramuraharjo berkata beberapa
mangsa yang meninggal adalah orang tua, di mana ada yang meninggal kerana
kepenatan melampau atau masalah kesihatan lain.
Media tempatan melaporkan terdapat juga kes seorang kanak-kanak berusia satu
tahun yang meninggal akibat keracunan asap. Lebih daripada 400 pengguna jalan
raya telah terkorban di Indonesia semasa musim perayaan ini, termasuk kejadian
'Brexit', tambah Pramuraharjo. Katanya, gerai tepi jalan dan pasar menambah
kepada kesesakan yang sedia ada.
"Terdapat kesesakan di sana, di mana ada sebuah stesen minyak sangat

berhampiran dan ramai orang beratur.


"Tidak ada ruang di jalan raya. Kami tidak mempunyai jalan penyelesaian," katanya.
Kementerian Kesihatan juga turut menafikan laporan sebelum ini bahawa mangsa
'Brexit' meninggal dunia dalam satu hari, dan menggesa pengguna jalan raya
merancang perjalanan yang panjang untuk berehat dan mengambil segala langkah
berjaga-jaga.
BERITA | MALAYSIA
Warga asing ditangkap selepas menyamun
Bernama |

Julai 10, 2016 18:38 MYT

Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek menetap di
kawasan flat berhampiran lokasi kejadian.
ALOR SETAR: Seorang warga Indonesia tidak sempat menikmati wang samunnya
apabila dia ditahan orang ramai tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin berkata suspek yang berusia 33
tahun itu sebelum itu dilapor menyamun seorang wanita berusia 29 tahun di Taman
PKNK di sini pada pukul 12.30 tengah malam.
Beliau berkata suspek meragut beg mangsa dari arah belakang dan terus melarikan
diri menyebabkan mangsa menjerit meminta tolong.
"Orang awam dan suami mangsa yang berada di kawasan berkenaan yang
mendengar jeritan itu berjaya menangkap suspek dan menyerahkannya kepada
polis," katanya.
Di dalam beg itu terdapat wang tunai RM200.
Mohd Rozi berkata suspek menetap di kawasan flat berhampiran lokasi kejadian.

BERITA | MALAYSIA
Wisma Putra belum dimaklum mengenai pemeriksaan ke atas rakyat
Malaysia
Astro Awani |

Julai 10, 2016 16:33 MYT

ANIFAH: Ancaman dadah rentas sempadan perlu terus ditangani secara bersama di
antara pihak berkuasa kedua-dua negara. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Kementerian Luar akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada
Indonesia berhubung laporan media bahawa akan diadakan pemeriksaan
menyeluruh secara rawak di lapangan terbang negara tersebut ke atas rakyat asing,
termasuk dari Malaysia.
Menterinya Datuk Seri Anifah Aman berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum
dimaklumkan secara rasmi mengenai cadangan pelaksanaan pemeriksaan
keselamatan tersebut.
"Kementerian Luar sedia maklum bahawa pihak berkuasa lapangan terbang sentiasa
menjalankan pemeriksaan keselamatan secara rawak ke atas penumpang dari luar
negara," kata Anifah dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, Malaysia dan Indonesia sudah mempunyai kerjasama yang baik
dalam menangani jenayah rentas sempadan, termasuklah ancaman dadah.
"Ancaman dadah rentas sempadan perlu terus ditangani secara bersama di antara
pihak berkuasa kedua-dua negara," katanya lagi.
Anifah berkata demikian sebagai respon kepada laporan media pada Sabtu
bahawa rakyat dari Malaysia dan Singapura yang memasuki Indonesia bagi sebarang
tujuan akan dikenakan pengawasan ketat dan pemeriksaan menyeluruh secara
rawak.
Kenyataan itu dikeluarkan Direktor Utama PT Angkasa Pura II Budi Karya Sumadi
yang berkata pihaknya menunggu surat rasmi arahan dari Kementerian Perhubungan
Indonesia untuk menguatkuasakan peraturan tersebut.

PT Angkasa Pura II ialah syarikat pengendali lapangan terbang di Indonesia.


Budi berkata tindakan itu diambil ekoran kebanyakan kes penyeludupan dadah ke
negara itu membabitkan rakyat dari kedua-dua buah negara berkenaan. Pergerakan
rakyat Malaysia dan Singapura di lapangan terbang akan dipantau pasukan peronda
khas yang tidak memakai seragam dan menahan sesiapa sahaja yang mencurigakan
untuk pemeriksaan secara tertutup.
Sebelum ini, Menteri Perhubungan Ignasius Jonan mengarahkan pihak berkuasa di
lapangan terbang membuat pemeriksaan menyeluruh secara rawak terhadap rakyat
asing yang memasuki Indonesia.
BERITA | MALAYSIA
Cermin gelap kereta bukan aksesori, tetapi keperluan - pengguna
Syah Hairizal Kamalul Arifin, Astro Awani |

Julai 09, 2016 16:39 MYT

Pemilik kenderaan mempunyai alasan berbeza berhubung pemasangan filem


penghadang haba.
KUALA LUMPUR: Penggunaan cermin gelap dan filem penghadang haba kenderaan
kini tidak lagi dilihat sebagai aksesori tambahan, malah lebih kepada keperluan, oleh
pemilik kenderaan.
Justeru, wujud pandangan dan saranan di kalangan pengguna kenderaan agar pihak
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menaikkan had maksimum kegelapan cermin
kepada 80 peratus berbanding 70 peratus ketika ini.
JPJ menetapkan kenderaan bercermin gelap adalah salah di bawah kaedah-kaedah
kenderaan motor (Larangan Mengenai Jenis-Jenis Kaca Tertentu) 1991. Kadar

peratusan yang dibenarkan masih kekal buat masa ini iaitu 70 peratus untuk cermin
belakang, 50 peratus bagi 4 cermin sisi dan 30 peratus bagi cermin hadapan.
Dalam tinjauan di sebuah kedai aksesori kereta di Ampang, Selangor, pemilik
kenderaan mempunyai alasan berbeza berhubung pemasangan filem penghadang
haba. Menurut Saifulddin Osman, pemasangan cermin gelap atau tinted adalah
bertujuan mengelakkan bahang dan sinaran cahaya matahari daripada menembusi
tingkap kereta selain bertujuan melindungi barangan peribadi.
"Kalau hendak ikutkan spesifikasi, memang tidak ikut spesifikasi sebenar, sebab dia
gelap. Kalau kita pasang yang diiktiraf oleh JPJ, masih boleh nampak barang di
dalam. "Dan kalau pakai yang diluluskan JPJ, kalau orang pecah cermin kereta kita,
cermin akan pecah terus. "Tapi kalau kita pasang yang gelap dan tebal, kalau cermin
dipecahkan, ia tidak akan retak terus," ujarnya.
Pemasangan cermin gelap mampu mengelak dari bahang sinaran matahari dan
melindungi barangan peribadi.
Bagi pengguna kenderaan jenis Sport Utility Vehicle (SUV), Nizam Mohd Tahir,
keadaan but SUV yang boleh dilihat dari luar membimbangkan pemiliknya.
"Sebab panas, dan satu lagi, sebab but belakang kereta SUV tiada penutup. Itu
sebabnya saya memasang penghadang haba tinted sehingga 80 peratus," ujarnya.
Bagaimanapun ramai juga yang memilih untuk mengikut spesifikasi yang ditetapkan
JPJ bagi mengelak dari dikenakan tindakan undang-undang.
Menurut Uliah Harun, beliau terpaksa menambah aksesori lain bagi menampung
sinaran matahari walaupun telah memasang penghadang haba yang diluluskan JPJ.
"Sebab, pukul 11 dan 12 tengahari, silau sangat. Saya tak tahan panas, sebab itu
saya pasang (aksesori). Tetapi, saya takut gelap sangat, nanti kena saman.
"Jadi, saya tampallah dengan aksesori tambahan seperti sunshade dan yang lain.
Tetapi, masa gelap, saya buka semula, saya tidak mahu lebih-lebih, tetapi panas itu
tetap terasa walaupun pasang tinted," terangnya.
Pengguna berpendapat perlu aksesori tambahan sekiranya kegelapan cermin kereta
tidak ditingkatkan.
Sementara itu, permintaan terhadap pemasangan filem penghadang haba dan skrin
gelap menyebabkan kedai aksesori kereta tumbuh bagaikan cendawan di bandarbandar utama seluruh negara.
Pemilik kedai aksesori kenderaan di Ampang, Alex Yap berkata, susulan fenomena El
Nino yang melanda negara, selain suhu sedia ada pada 35 hingga 37 darjah Celcius,
mendorong ramai pemilik kenderaan kini memilih memasang penghadang haba
dengan peratusan lebih tinggi berbanding yang ditetapkan JPJ.
"Sekarang perniagaan tinted bagus, sebab Malaysia sekarang cuaca panas. Jadi,
ramai orang pasang tinted dan semua mahu gelap, sebab tidak mahu kena panas.
"Semua pelanggan akan kami nasihatkan mengenai undang-undang JPJ, iaitu
belakang dibenarkan sebanyak 70 peratus, tepi 50 peratus dan hadapan 30 peratus,
dan kalau pelanggan mahu pasang gelap kita akan beritahu mereka perlu tanggung
risiko sendiri jika dikenakan tindakan undang-undang," katanya. Ramai pengguna
kenderaan menganggap cermin gelap satu keperluan, JPJ perlu tingkatkan peratusan
maksimum kegelapan. Tambah Yap, berdasarkan kepakarannya selama hampir 10
tahun dalam penjualan aksesori, beliau mengakui sekiranya pemasangan hanya
dibuat dengan penghadang haba 50 peratus, sinaran dan haba panas masih boleh

membahayakan sesetengah pesakit kulit. "Kalau 50 peratus, serupa macam tidak


pakai tinted. Lagi satu sebab, Malaysia memang panas, kalau kereta tiada tinted,
pakai kereta apa pun, tetap akan kena panas walaupun sistem penghawa dingin
dinaikkan kelajuan kipasnya," katanya.
Rata-rata pengguna yang ditemui berpendapat, timbul keperluan untuk menaikkan
peratusan maksimum tahap kegelapan cermin, serta ia diseragamkan bagi
keseluruhan kenderaan.
Langkah ini dianggap mampu menangani masalah yang sering didepani pengguna.
Bulan lalu, dalam satu temubual bersama Pengarah Penguatkuasa JPJ Datuk V
Valluvan Veloo, beliau menegaskan buat masa ini kerajaan masih belum membuat
sebarang penetapan baharu berhubung perkara berkenaan.
BERITA | MALAYSIA
JPJ akan bincang dengan KPDNKK, SIRIM untuk tentukan piawai kualiti
tayar
Harits Asyraf Hasnan, Astro Awani |

Julai 02, 2016 22:59 MYT

Nadzri (dua, kiri) menunjukkan tayar yang tidak menepati piawaian selepas
mengadakan Pemantauan Trafik Melalui Udara Bersama Projek Lebuhraya UtaraSelatan (PLUS). -fotoBERNAMA
TAPAH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengadakan perbincangan dengan
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK)
berhubung kualiti serta piawai tayar kenderaan.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Nadzri Siron berkata pihaknya mendapati banyak
kenderaan berat seperti lori dan bas menggunakan tayar yang tidak mengikut piawai
SIRIM.
"Supaya syarat pengeluaran tayar lebih ketat, selalunya kita dapat pengesahan
SIRIM, tetapi kali ini kita akan bincang perkara ini dan PLUS juga membangkitkan
perkara ini kepada kita.
"Kita akan bincang dengan KPDNKK termasuk pengurusan lori supaya kita boleh
ambil tindakan supaya tayar-tayar lori ini berkualiti," katanya selepas melakukan
tinjauan udara bersama Pengarah Urusan PLUS Malaysia Berhad, Datuk Noorizah
Abdul Hamid.
Mengulas Op Hari Raya 2016, beliau berkata 20,463 kenderaan diperiksa JPJ sejak
Rabu lalu hingga hari ini. Daripada jumlah itu, 5,636 kenderaan diambil tindakan

dengan 8,247 kompaun dan saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan.


Antara kesalahan paling banyak dilakukan pengguna jalan raya sepanjang operasi
yang memasuki hari keempat itu adalah tidak mempunyai lesen memandu, cukai
jalan tamat tempoh dan tiada insurans kenderaan.
"Kita telah dapat menangkap pemandu bas yang didapati positif dadah. Kita amat
khuatir kerana semua syarikat bas telah diingatkan (tentang perkara ini). "Di setiap
terminal, kita buat pemeriksaan (ujian air kencing) secara rawak kerana bukan kita
dapat buat semua," katanya. Nadzri berkata, bagi kesalahan yang dikesan
menggunakan lorong kecemasan, dua pendekatan penguatkuasaan digunakan iaitu
anggota rondaan penguatkuasaan JPJ akan menahan dan keluarkan sama kepada
pemandu yang guna lorong kecemasan. Pendekatan kedua melalui aduan bergambar
yang dihantar orang awam melalui emel aduantrafik@jpj.gov.my terhadap pengguna
jalan raya yang melakukan kesalahan menggunakan lorong kecemasan.
Saman yang dikeluarkan akan terus dibawa ke mahkamah dan tidak ditawarkan
kompaun.
Sejumlah 302 kenderaan ronda JPJ digunakan sepanjang op yang dijalankan di semua
lebuh raya dan jalan raya persekutuan membabitkan 1,000 anggota.
BERITA | MALAYSIA
Seekor ayam RM30 di Kota Baharu - KPDNKK
Bernama |

Julai 09, 2016 18:25 MYT

KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam sejak


Khamis lepas dan pihaknya menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung kes
berkenaan. - Gambar fail
KOTA BAHARU : Segelintir peniaga ayam di Pasar Siti Khadijah di sini mengambil
kesempatan sempena sambutan Aidilfitri dengan menjual ayam sehingga RM30
seekor tanpa menggunakan alat penimbang.
Perbuatan itu dikesan dalam pemeriksaan oleh Kementerian Perdagangan
Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan di pasar berkenaan
hari ini.
Pengarahnya Datuk Abdul Ghani Harun berkata hasil pemeriksaan itu mendapati ada
peniaga meletakkan tanda harga RM8 bagi sekilogram ayam namun
menjualnya dengan harga RM12 sekilogram.
"KPDNKK Kelantan mengesan kebanyakan peniaga menaikkan harga ayam

sejak Khamis lepas dan kita menerima 16 aduan dari seluruh negeri berhubung
kes berkenaan," katanya kepada pemberita selepas operasi tersebut.
Justeru, katanya, pihaknya mengeluarkan 17 notis tunjuk sebab kepada
peniaga ayam di pasar tersebut mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan
Antipencatutan 2011.
Beliau berkata peniaga yang diberikan notis diminta memberi jawapan dalam
tempoh dua minggu berhubung kesalahan yang dilakukan bagi mengelak
mereka dikenakan tindakan mahkamah.
Beliau berkata siasatan awal mendapati peniaga mendakwa terpaksa menaikkan
harga ayam kerana dibeli dengan harga yang tinggi daripada pemborong.
Katanya kesemua cawangan KPDNKK termasuk di Pasir Mas, Gua Musang, Kuala Krai,
Tanah Merah turut diarah supaya menjalankan pemeriksaan harga ayam.
Sebelum ini, KPDNKK menyenaraikan 21 jenis barangan termasuk ayam
dengan harga RM7.90 sekilogram di bawah Skim Kawalan Harga Musim Perayaan
sempena Aidilfitri berkuat kuasa dari 16 Jun hingga 6 Julai ini.

BERITA | MALAYSIA
Kemalangan maut 7 sekeluarga: Anak mangsa enggan tanggal baju
dipakaikan arwah ibu
Muhafandi Muhamad, Astro Awani |

Julai 07, 2016 18:30 MYT

Aqil seolah-olah tidak mahu berpisah dengan kenangan baju yang dipakaikan oleh
ibunya. - Foto Astro AWANI
GUA MUSANG: Muhammad Aqil Aliuddin Mohammad Amin Firdaus tidak langsung
memanggil nama ibu bapanya seolah-olah memahami dia kini yatim piatu.
Dalam usia semuda tiga tahun, Aqil Aliuddin begitu matang dalam pemikirannya.
Beliau seolah-olah mengerti apa yang menimpa kelurganya dalam kemalangan tragik
4 Julai lalu.
Aqil Aliuddin merupakan anak pasangan Allahyarham Mursyida Ahmad Latfi, 29 dan
Mohamed Amin Firdaus Zakaria, 29, adalah mangsa tunggal yang terselamat dalam
kemalangan yang mengorbankan tujuh sekeluarga, dua hari sebelum warga Islam di
negara ini menyambut kedatangan Syawal.

Dalam kemalangan tragik itu, adiknya, Nurhana Jannati yang berusia lima bulan turut
meninggal dunia.
Lebih menyayat hati apabila Aqil atau mesra disapa Abe Long tidak mahu berpisah
dengan baju yang dipakainya sewaktu kemalangan seolah-olah hendak melepaskan
rindu terhadap keluarganya.
Ingin Aqil berbaju baharu sempena Hari Raya Aidilfitri, bapa saudaranya terpaksa
bertindak menggunting baju berkenaan semalam.

Tiada siapa tahu apa yang bermain dalam benak fikiran si anak kecil ini. - Gambar
Astro AWANI
"Cuma baju dia tak mahu pakai lagi, semalam suami saya terpaksa gunting baju
yang dipakai dari hari kejadian sebab dia tak mahu tanggalkan.
"Baju itu kami gunting dan tanggalkan semasa dia tidur. Bila dia bangun dia sudah
tidak mahu baju itu. Seluar pun dia tak izinkan kami tanggalkan, cuma masa nak
tukar lampin, dia bagi juga," katanya ketika ditemui Astro AWANI di sini hari ini.
Menurut ibu saudaranya Anis Arifah Ahmad Latfi, 25, anak saudaranya ini sudah
mula menunjukkan perkembangan positif dan sudah mahu bercakap dengan ahli
keluarga.
Ketika kunjungan Astro AWANI ke rumahnya di sini, kaki Abe Long masih lagi berbalut
akibat keretakan susulan kemalangan tersebut.
Datuknya, Ahmad Latfi Mat bertekad memegang amanah menjaga cucu tunggalnya
itu dan memastikan Aqil mendapat kasih sayang seperti yang diberi ibu bapanya.
"Kesanggupan saya dia anak yatim, kalau Allah bagi kesihatan (yang baik), saya
boleh jaga dia insyaAllah.
"Dia akan duduk rumah ini selagi dia tidak sembuh sepenuhnya. Saya tak akan
hantar dia ke pusat penjagaan kecuali, sekolah dan tadika. Jabatan Kebajikan
Masyrakat ada datang beri bantuan," katanya.

Menurut ahli keluarganya, Abe Long kini lebih banyak berdiam diri. - Gambar Astro
AWANI

Dalam kemalangan 4 Julai itu, tujuh terkorban dalam satu kemalangan jalan raya
melibatkan empat buah kenderaan di KM 11, Jalan Gua Musang-Kuala Krai ketika
dalam perjalanan pulang menyambut hari lebaran.
Setibanya di tempat kejadian, kereta mereka dirempuh oleh sebuah lori dari arah
bertentangan.

You might also like