You are on page 1of 2

Keunikan Sains dalam Tradisi Islam Silam

Mohd Syahmir Alias


Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV)
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia
11800 Pulau Pinang
Ketokohan sarjana sains Muslim sewaktu zaman kegemilangan Islam telah menarik minat
para sarjana Muslim kontemporari membongkar rahsia sains yang diasaskan oleh mereka.
Kesedaran untuk menerapkan Islam dalam sains ini diperdebatkan secara kritis oleh para
cendekiawan Muslim kontemporari baik di peringkat tempatan mahupun antarabangsa. Hal
ini kerana, sains yang berasaskan Islam ini mempunyai tasawur (pandangan alam atau
worldview) dan sumber pengetahuan yang berbeza dengan sains yang acuannya dari Barat.
Terdapat tiga asas penting untuk mengembalikan semula sains berasaskan Islam ini. Pertama,
peradaban sesuatu masyarakat itu mempengaruhi perkembangan sainsnya; kedua, sains
berasaskan Islam mempunyai tasawur yang khusus dan ciri-ciri yang unik; dan ketiga, sains
Barat lebih banyak membawa kerosakan dan memberikan ancaman kepada kesejahteraan
manusia. Ketiga-tiga asas ini merupakan pandangan yang dikemukakan oleh Prof. Dr.
Ziauddin Sardar dalam bukunya Explorations in Islamic Science.
Secara khususnya, pengenalan kepada konsep ketuhanan sememangnya dijumpai dalam
kebanyakan karya ilmiah para ilmuwan Islam kurun ke-10 dan ke-11 Masihi seperti karya
gerakan Ikhwan al-Safa, al-Biruni, Ibn Sina dan Ibn al-Haytham. Sungguhpun mereka
mengolahnya dengan cara yang tersendiri, namun ilmuwan-ilmuwan Islam ini bersependapat
bahawa kuasa yang menghubungkan ilmu-ilmu sains tersebut ialah Allah SWT.
Ibn al-Haytham misalnya, menjalankan kajian saintifiknya berasaskan kerangka tauhid.
Sungguhpun orientalis Barat mengatakan Ibn al-Haytham seorang saintis Muslim yang
sekular pemikirannya, namun hujah itu dapat ditolak kerana Ibn al-Haytham turut menguasai
bidang teologi terlebih dahulu walaupun selepas itu penyelidikannya mengkhusus kepada
bidang optik. Malah, beliau pernah menegaskan dalam sebuah karyanya: Kita tidak boleh
melepaskan diri daripada sebarang kelemahan sebagai suatu fitrah, namun kita perlu
berusaha dengan kudrat yang dikurniakan. Daripada Allah SWT kita memohon pertolongan
dalam setiap pekerjaan.
Selain itu, tradisi Islam juga memperakui kedudukan sumber ilmu melalui ilham (atau intuisi)
daripada Allah SWT sebagai sebahagian daripada kaedah menyelidiki sains. Hal ini kerana,
proses berfikir dalam Islam adalah berdasarkan akal dan juga hati (al-qalb). Justeru,
perbezaan antara sains Barat dengan sains Islam adalah dari sudut sumber pengetahuannya
yang turut mementingkan aspek ilham. Antara cara memperoleh ilham ini adalah dengan
sentiasa melakukan aktiviti penyucian jiwa (tazkiyah al-nafs).
Sepertimana firman Allah SWT yang bermaksud: Demi diri manusia dan (Tuhan) yang
menyempurnakan kejadiannya serta mengilhamkannya (mengenal) jalan yang membawa
kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang
yang menjadikan dirinya yang sedia bersih bertambah-tambah bersih, dan sesungguhnya
rugilah orang yang menjadikan dirinya yang sedia bersih itu susut dan terbenam
kebersihannya. (Surah al-Syams ayat 7-10).

Di samping itu, keunikan tradisi ilmuwan-ilmuwan Islam silam juga terletak pada matlamat
akhir penyelidikan mereka iaitu untuk menyingkap rahsia kebesaran Tuhan dan mencapai
keredhaan-Nya. Dalam perkataan lain, ia berperanan untuk membangunkan aspek rohani
mereka. Perkara ini memberi kesan juga kepada pemahaman para ilmuwan silam terhadap
alam semula jadi yang berbeza daripada pemahaman masa kini. Alam semula jadi sebagai
suatu ayat Allah SWT yang terbuka untuk dikaji, bukan untuk diekploitasi semata-mata
manfaatnya. Hal ini kerana, pemahaman kini telah didominasi dengan pengaruh pemikiran
sekular tamadun Barat moden.
Jelasnya, penerokaan sains berasaskan Islam oleh ilmuwan-ilmuwan Muslim silam didasari
oleh falsafah yang sama sekali berbeza dengan falsafah Barat. Oleh itu, sains berasaskan
Islam ini perlu dikaji dan diteliti dengan sebaik-baiknya supaya dapat diterapkan pada semua
peringkat pengajian. Para pelajar Muslim juga seharusnya didedahkan dengan pandangan
sains yang menekankan unsur tauhid kepada Allah SWT agar pengajian ilmu sains itu akan
mendekatkan diri para pelajar dengan Allah SWT.

You might also like