You are on page 1of 9

Pengenalan

Perkembangan dunia Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) telah


memberikan banyak impak positif kepada pelbagai bidang perindustrian
termasuklah dunia pendidikan. Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia yang
menjadikan penggunaan pelbagai bahan bantu mengajar seperti komputer riba,
cakera padat, penggunaan pelbagai perisian pendidikan pembelajaran dan
pelbagai alat bantu mengajar yang lain. Oleh yang demikian, adalah perlu untuk
setiap pendidik menggunakan pelbagai alat bantu mengajar sama ada yang
berbentuk peralatan mahupun perisian bagi membantu merangsang dan
meningkatkan minat dan kecenderungan Murid terhadap sesuatu topik
pembelajaran. Pengajaran dan pembelajaran adalah fokus utama pihak
pengurusan pendidikan kebangsaan sama ada di peringkat sekolah rendah
mahupun di peringkat sekolah menengah. Justeru, pihak pengurusan pendidikan
baik di peringkat negeri mahupun di peringkat kebangsaan sentiasa mencari
alternatif atau kaedah pengajaran dan pembelajaran terbaik dalam usaha untuk
meningkatkan keupayaan sesuatu proses pengajaran dan pembelajaran
(Baharuddin, 2005). Latihan aplikasi dan integrasi teknologi maklumat dan
komunikasi atau juga dikenali dengan gelaran ICT adalah antara usaha yang
telah diperkenalkan di kebanyakan sekolah rendah dan menengah.

Pelaksanaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran terhadap Murid


yang mengikuti Program Pemulihan Khas merupakan satu perkara yang tidak
hanya mampu memberikan rangsangan pembelajaran kepada murid, malah
dapat meningkatkan pencapaian akademik mereka (Abd. Rahman, 1992). Koh
Boh Boon (1982) menyatakan bahawa pendidikan pemulihan sekiranya diteliti
dengan lebih mendalam, sifatnya adalah lebih terbatas dan lebih khusus kerana
ianya bertujuan untuk membaiki kelemahan pembelajaran murid. Pelaksanaan
program ini melibatkan murid-murid lambat iaitu mereka yang lembap atau
lambat mencapai matlamat pembelajaran jika dibandingkan dengan murid-murid
lain yang sebaya dengan mereka. Oleh yang demikian, selaras dengan
perkembangan dan kemajuan teknologi semasa, Teknologi Maklumat dan
Komunikasi (ICT) digunakan untuk membantu murid-murid ini dalam usaha untuk
meningkatkan pencapaian akademik dan memajukan diri seperti mana yang
dicapai oleh Murid-Murid lain khususnya yang sebaya dengan mereka.
Kepentingan Internet Kepada Guru

Teknologi pengajaran adalah satu konsep pembelajaran yang mengaplikasikan


kemajuan dan kemudahan teknologi semasa dalam aktiviti pengajaran dan
pembelejaran di dalam bilik darjah. Menurut Abdul Rahim Mohd Saad(1996),
abad ke 21 mengundang pelbagai cabaran dan perubahan berkaitan dengan
keperluan pendidikan dan latihan di sekolah, institusi pengajian tinggi, industri
dan sektor perdagangan. Kewujudan teknologi maklumat dan teknologi
multimedia telah meninggalkan impak yang kuat. Penggunaan internet adalah
aktiviti pengajaran dan pembelajaran mampu memberikan banyak manfaat
kepada guru khususnya dalam mempengaruhi cara seseorang guru menjalankan
aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Penggunaan internet ini juga mampu
membentuk satu suasana pengajaran dan pembelajaran yang lebih efektif dalam
mencapai setiap matlamat dan objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah
dibentuk. Antara kelebihan penggunaan internet dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran kepada guru adalah seperti mana yang berikut:-

o Mengubah Peringkat Membuat Keputusan : Kebiasaannya, penggunaan media


dirancang semasa kurikulum dilaksanakan, bukan semasa peringkat merancang
dan menentukan kurikulum. Oleh itu terjadilah penggunaan media secara sesuka
hati tanpa berdasarkan perancangan yang sistematik. Dengan penerimaan
teknologi pengajaran pada peringkat perancangan kurikulum, perancang
kurikulum dapat bekerjasama dengan pereka pengajaran untuk menentukan
penggunaan teknologi pengajaran dalam kurikulum sekolah. Cara ini akan lebih
menjamin keberkesanan perlaksanaan pengajaran dan kurikulum yang telah
digariskan.

o Mengubah Sistem atau Pendekatan Pengajaran : Teknologi pengajaran boleh


mempengaruhi sistem atau pendekatan proses pengajaran dan pembelajaran. Ia
boleh menukar sistem atau pendekatan pengajaran konvensional, menerima
sistem pembelajaran jarak jauh, sistem kelas terbuka atau sistem sekolah bebas.
Teknologi pengajaran boleh mengubah cara pengajaran dirancang dan disusun.
Sebagai contoh, kurikulum pengajaran literasi komputer. Dalam perancangan
pengajaran, ia melibatkan penggunaan komputer, pembinaan pengetahuan
melalui pembelajaran usaha sama, penyelesaian masalah dan penggunaan
strategi pembelajaran penguasaan. Penggunaan teknologi pengajaran
terutamanya teknologi maklumat, mungkin mengubah cara jadual waktu
dirancang dan dilaksanakan di sekolah, maktab dan di universiti. Proses
pengajaran dan pembelajaran pula berpusatkan pelajar dan berasaskan
pengetahuan dan maklumat. Guru hanya mengurus aktiviti pembelajaran dan
menyediakan sebanyak mungkin pengalaman dan pencarian maklumat
menggunakan teknologi baru untukpembelajaran. Pengenalan kepada jadual
waktu anjal oleh KPM pada tahun 1993 memberikan fleksibiliti dalam
perancangan kurikulum dan strategi pengajaran. Ini membolehkan guru
merancang pelajaran dengan lebih berkesan dan memberi lebih masa bagi guru
menyemak buku latihan dan menangani masalah pembelajaran, sedangkan
jumlah waktu mengajar adalah sama (Yusuf Hashim, 1998).

o Mengubah Pengalaman Pembelajaran : Tanggapan masa kini terhadap


pengalaman pembelajaran terjadi bukan secara tidak sengaja tetapi sengaja
diadakan. Oleh itu, pengalaman ini perlu diadakan melalui perancangan yang
rapi. Penggunaan atau aplikasi teknologi pengajaran secara teratur boleh
membantu setiap pelajar mendapat pengalaman pembelajaran yang khusus
(sudah tentu melalui proses tertentu) bagi menguasai sesuatu perkara.

Secara amnya, menyifatkan teknologi pengajaran sebagai satu bidang yang


berusaha ke arah meningkatkan kualiti atau keberkesanan pengajaran dan
pembelajaran. Semenjak permulaan tercetusnya bidang ini, usaha ke arah ini
jelas kelihatan. Misalnya, pada tahun 1930an, penghasilan bahan-bahan visual
seperti filem, gambar, slaid dan realia giat diadakan bagi membantu guru dalam
pengajaran di bilik darjah.

Implementasi PPBK Di Malaysia

Pengaplikasian penggunaan komputer dalam sistem pendidikan di Malaysia telah


lama berlaku. Lebih dari itu, penggunaan komputer ini tidak hanya terhad di
peringkat pendidikan tinggi sahaja, malah turut mencakupi pendidikan pada
peringkat prasekolah. Pengunaan Cakera Padat Interaktif untuk tujuan
pengajaran dan pembelajaran, penggunaan talian internet untuk tujuan capaian
data dan pelbagai alat bantu mengajar yang lain telah menjadikan sistem
pendidikan negara semakin berkembang maju. Perubahan positif ini telah
mendorong ramai penyelidik untuk melihat keberkesanan penggunaan komputer
dan teknologi maklumat ini dalam sistem pengajaran dan pembelajaran seperti
mana yang akan dibincangkan kemudian.

Ashinida, Afendi dan Mohd. Shabri (2004) adalah antara penyelidik yang ingin
melihat keberkesanan penggunaan Pembelajaran Bahasa Berbantukan Komputer
(PBBK) dalam pengajaran dan pembelajaran bahasa asing. Kajian yang
dijalankan mendapati bahawa kesemua 40 respondan yang dikaji menyatakan
bahawa program PPBK boleh membantu meningkatkan kemahiran pelajar dalam
Bahasa, menjimatkan masa dan tenaga semasa proses pengajaran dan
pembelajaran berjalan serta memudahkan pelaksanaan proses pengajaran guru.
Sementara itu, 90 peratus daripada respondan yang dikaji juga menyatakan
bahawa program PPBK dapat meningkatkan mutu pengajaran guru dan
pembelajaran murid. Statistik ini menunjukkan bahawa para guru mempunyai
persepsi yang sangat positif dalam pengajaran dan pembelajaran Bahasa Arab
dengan berbantukan komputer. Statistik ini dapat dirumuskan seperti dalam
jadual di bawah:-

Data yang ditunjukkan membuktikan bahawa persepsi guru terhadap


pelaksanaan program ini amatlah baik dan galakan yang diberikan menunjukkan
pelaksanaan program ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar yang
mengalami kesukaran dalam memahami pendidikan Bahasa.

Walau bagaimanapun, pelaksanaan program ini tidak hanya terhad kepada


pendidikan Bahasa semata-mata. Program yang mempunyai potensi untuk
meningkatkan keupayaan dan kemahiran murid-murid yang mempunyai tahap
dan pencapaian akademik yang rendah perlu diperluaskan penggunaannya
khususnya terhadap murid-murid yang menerima pendidikan khas. Rentetan
daripada statistik yang ditunjukkan ini, pengkaji telah membuat keputusan untuk
melihat keberkesanan prorgam Pengajaran dan Pembelajaran Berbantukan
Komputer dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran membaca pelajar yang
menghadapi masalah menguasai aktiviti membaca. Hasil kajian yang akan
dibentuk kelak adalah suatu yang perlu dikaji dengan lebih mendalam sama ada
pelaksanaan program ini dapat meningkatkan pencapaian dan kemahiran
membaca pelajar yang menghadapai masalah pembelajaran atau sebaliknya.

Dalam kajian yang dilakukan oleh Baharudin (2005) mendapati bahawa


penggunaan teknologi dalam bilik darjah harus diberi keutamaan bagi
menghasilkan pengajaran dan pembelajaran yang berkesan. Penggunaan alat
beteknologi seperti komputer dalam proses pembelajaran dan pengajaran adalah
alternatif yang produktif dalam proses perpindahan maklumat dan kemahiran.
Selain itu, ekses guru dan pelajar dapat ditingkatkan melalui penggunaan
komputer. Hal ini kerana penggunaan komputer dapat meningkatkan penyerapan
maklumat kerana ia melibatkan media grafik bergambar, video dan sistem
pemprosesan maklumat yang pantas dan teratur. Kelebihan ini membawa
kepada pengatasian had masa dan ruang.

Walau bagaiamanapun, menurut kajian yang dilakukan oleh lapan orang pengkaji
iaitu Rosen dan Weil (1995), Winnans dan Brown (1992), Dupagne dan Krendl
(1992) serta Hadley dan Sheingold (1993), walau begitu sekali canggihnya
komputer, namun ia perlu dilengkapkan dengan pelbagai perisian yang berguna
seperti hardware dan software yang dapat membantu guru meningkatkan
kecekapan mereka dalam memaksimumkan proses memanipulasikan keupayaan
komputer. Dengan ini, keyakinan guru meningkat dan mudah bagi mereka untuk
mencurahkan pengalaman mereka dan seterusnya membantu para pelajar untuk
bersedia menggunakan komputer.

Pendapat di atas disokong oleh seorang pengkaji yang bernama Pedretti (1999).
Kajian yang dilakukan olehnya menunjukkan bahawa guru yang bijak
mengaplikasikan komputer mampu membuat pelbagai pembaharuan dalam
menjalankan tugasnya sebagai perantara keilmuan kepada sasarannya.
Manakala Cox (1999) pula menyatakan bahawa guru-guru yang sering
menggunakan komputer dalam melaksanakan tanggungjawabnya mempunyai
keyakinan yang tinggi dalam mengunakan ICT dan lain-lain alat seperti projektor,
LCT CD dan sebagainya. Hal ini adalah kerana mereka percaya bahawa
penggunaan alat berteknologi seperti itu dapat meningkatkan proses
pembelajaran dan pengajaran menjadi lebih menarik, mudah dan lebih seronok.

Seperti mana yang telah dinyatakan, teknologi pengajaran adalah satu konsep
pengajaran dan pembelajaran yang menjadikan kemudahan dan peralatan ICT
sebagai salah satu medium utama dalam pelaksanaan aktiviti di dalam bilik
darjah. Penggunaan komputer, laptop, LCD projektor, cakera padat dan pelbagai
elemen ICT lain dijadikan sebagai bahan bantu mengajar yang dapat menarik
dan meningkatkan kecenderungan pelajar untuk menjalankan sesuatu aktiviti
pembelajaran. Melalui integrasi ICT beberapa perubahan dan pendekatan proses
pengajaran dan pembelajaran berlaku. Antaranya ialah perubahan fokus
daripada pengajaran berpusatkan guru kepada pengajaran berpusatkan pelajar.
Dalam hal ini pelajar menjadi fokus kepada aktiviti pembelajaran yang
berorientasikan kepada proses penerokaan dan penemuan berdasarkan kepada
teori konstruktivisme. Bill Gates (1999), dalam bukunya Business @ The Speed of
Thought yang menyatakan komputer peribadi dapat mengubah kaedah
pembelajaran tradisional yang memerlukan guru memberi arahan kepada
pendekatan hands on dan menggunakan sepenuhnya sifat inkuiri yang ada
dalam diri pelajar. Komputer peribadi membolehkan mereka meneroka maklumat
mengikut kapasiti masing-masing.

Satu kajian (Bahrudin, Mohamad Bilal & Muhammad Kasim 2001), menunjukkan
bahawa ICT dapat membantu mengatasi kelemahan pendidikan sains yang diajar
secara tradisional serta penglibatan guru dalam penggunaan komputer secara
lebih produktif. Guru harus mengintegrasi kemahiran teknologi dan peluang
pembelajaran secara konstruktivis untuk melihat keberkesanan penggunaan
teknologi. Peranan ICT dalam P&P akan membawa kepada kaedah-kaedah yang
baru dan inovatif dalam pembelajaran dan penilaian. Namun begitu kehadiran
ICT sahaja tidak dapat membantu proses transformasi ini. Perkara yang penting
dalam integrasi ICT ialah setiap strategi itu harus menjurus kepada keperluan
P&P dan sebagai satu cara untuk guru dan pelajar menyelesaikan masalah
semasa proses pembelajaran serta memperolehi hasil yang bertepatan dengan
isi kandungan.

Dalam keadaan ini terdapat peranan ICT dari segi meningkatkan mutu dan
mempelbagaikan penyampaian dan pengajaran melalui penggunaan internet,
bahan-bahan multimedia disamping bahan pengajaran yang sedia ada. Bahan-
bahan multimedia interaktif dibangunkan dengan dengan menggunakan bahan
visual grafik, teks, muzik, video serta animasi yang membantu mengukuhkan
lagi kefahaman pelajar terhadap sesuatu konsep. Penggunaan internet dapat
menyediakan sumber yang begitu luas kepada guru dan juga murid untuk
meneroka, mencari bahan pengajaran atau rujukan serta penyelidikan. Melalui
portal-portal pendidikan yang disediakan sama ada portal tempatan atau luar,
guru dan murid dapat memanafaatkan sebaik mungkin. Portal pendidikan dapat
memberi kefahaman yang lebih kepada murid-murid dalam sesuatu mata
pelajaran contohnya dalam eksperimen sains, guru hanya menunjukkan satu-
satu eksperimen sekali sahaja tetapi melalui portal pendidikan mereka boleh
berulang kali mencubanya. Tambahan pula setiap bahan di dalam portal sentiasa
dikemaskini dan murid mendapat banyak bahan baru berbanding dengan buku
teks yang diperbaharui lima tahun sekali.(Zalina Yahaya, 2001).

Melalui penggunaan komunikasi elektronik (e mail), net meeting, chat room dan
sebagainya guru dan murid dapat bertukar-tukar idea sesama sendiri atau
dengan guru dan pelajar dari sekolah yang lain. Pertukaran maklumat dengan
sekolah dari luar negara akan lebih digalakkan memandangkan faedah dari segi
meningkatkan komunikasi guru dan murid disamping mendapat ilmu baru
mengenai kebudayaan dan negara masing-masing. Melalui penggunaan ICT
pelajar dapat menguasai pelbagai kemahiran manipulatif seperti kemahiran
pemprosesan perkataan, pangkalan data dan pembentangan dengan
menggunakan alat-alat teknologi. Kemahiran dan penguasaan dalam teknologi
akan melahirkan pelajar yang lebih bersedia dan yakin untuk memasuki alam
pekerjaan.
Penggunaan ICT sebagai alat komunikasi merupakan serampang dua mata
dalam perkongsian maklumat dan komunikasi. Guru boleh mengambil peluang
daripada keupayaan ini untuk menjalankan pembelajaran kolaboratif di dalam
kelas. Kaedah ini digunakan untuk membolehkan murid dan guru daripada lokasi
yang berbeza menghantar, menerima dan berkongsi maklumat dalam pelbagai
bentuk elemen multimedia seperti teks, grafik, audio video dan animasi. ICT
dalam P&P merupakan perkara yang penting dan memerlukan sokongan serta
usaha yang bersungguh-sungguh di antara pemimpin sekolah, guru, pelajar dan
semua pihak. Teknologi multimedia dan juga internet menyediakan satu kaedah
pengajaran dan pembelajaran yang berlainan daripada kaedah pengajaran dan
pembelajaran yang tradisi. Menerusi penggunaan teknologi moden ini, para
pelajar dapat menguasai sesuatu pembelajaran mengikut kaedah pembelajaran
yang mereka minati dan gemari. Di samping itu, teknologi maklumat dan
Internet juga menyediakan kebolehan interaktiviti. Berikut merupakan antara
kaedah pengajaran dan pembelajaran berbantukan komputer.

Dalam melihat perkembangan positif yang berlaku dalam sistem pendidikan


kebangsaan, kita juga perlu melihat sama ada tenaga pendidik kini telah
bersedia mengaplikasikan sepenuhnya penggunaan komputer dan teknologi
maklumat dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Contohnya kajian yang
dijalankan oleh Rosseni (2002) ke atas 40 orang guru. Kajian beliau mendapati
bahawa masih terdapat lagi di kalangan tenaga pendidik yang masih tidak tahu
menggunakan cakera padat interaktif (salah satu bahan banatu mengajar dalam
pembelajaran berasaskan komputer) dalam pelaksanaan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Daripada kajian beliau, sebanyak 42 peratus guru tersebut yang
mempunyai tahap pengetahuan terhadap penggunaan cakera padat yang
rendah. Sementara itu, sebanyak 48 peratus daripadanya hanya tahu meneroka
dan menilai cakera padat untuk penggunaan pendidikan. Daripada hasil kajian
yang dijalankan oleh Rosseni ini menunjukkan bahawa tahap dan pengaplikasian
cakera padat pendidikan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran masih
berada pada tahap yang rendah. Kebanyakan daripada pendidik ini hanya
menggunakan buku teks sebagai asas utama dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran mereka.

Dalam kajian yang dijalankan oleh Sathiamoorthy (2000) terhadap kemampuan


mengurus inegrasi komputer di kalangan guru-guru Sekolah Bestari, didapati
bahawa sebanyak 9.8% daripada 205 guru yang dikaji tidak mempunyai
kemampuan dalam merancang integrasi komputer dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Keadaan ini menunjukkan bahawa kemampuan dan kesediaan
guru dalam menggunakan teknologi semasa seperti komputer, cakera padat dan
seumpamanya berada pada tahap yang tinggi.
Dalam pada itu, kajian yang dilakukan oleh Wan Noraini (2002) juga melihat
kemahiran guru terhadap penggunaan komputer, sebanyak 42% daripada 40
orang guru yang dikaji tidak mempunyai pengetahuan yang tinggi terhadap
penguasaan dan penggunaan teknologi CD/DVD dalam aktiviti pengajaran dan
pembelajaran. Walaupun kadar ini tinggi, namun ramai respondan yang tahu
mengaplikasikan teknologi CD/DVD dalam menjalankan aktiviti pengajaran dan
pembelajaran.

Kesimpulan

Kemajuan dan perkembangan yang pesat dalam bidang teknologi maklumat


perlu dimanfaatkan sepenuhnya dalam melahirkan masyarakat dan generasi
yang berilmu pengetahuan dan bijak dalam mentadbir negara pada masa akan
datang. Walaupun ada pendapat yang mengatakan bahawa penggunaan
komputer pada peringkat pendidikan awal adalah kurang perlu ekoran daripada
ketidak sediaan para pelajar menerimanya, namun pandangan seperti ini perlu
diperbetulkan agar semua pihak sama ada ibu bapa, penjaga, guru dan
masyarakat secara keseluruhannya perlu melihat kepentingan penguasaan
kemahiran ini pada masa akan datang.

Adalah menjadi tanggung jawab institusi pendidikan untuk mendidik masyarakat


untuk menjadi pelapis yang benar-benar dapat mentadbir negara dengan baik
pada masa akan datang. Oleh yang demikian, pendidikan ini perlu dilaksanakan
pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak. Penggunaan komputer dan
teknologi maklumat dalam sistem pengajaran dan pembelajaran adalah suatu
yang perlu bagi menarik minat kanak-kanak ini untuk terus menuntut ilmu tanpa
mengira sempadan dan segala halangan yang boleh menghalang mereka
dariapda menuntut ilmu.

Bibliografi
Amnon Shabo, Mark Guzdial dan John Stasko. 1997. An Apprenticeship-ased
Multimedia Cuorseware for Computer Graphics Studies Provided on The World
Wide Web. Journal of Science. 29: 2/3. 103-116

Baharudin Husin (2005). Kesediaan Guru Menggunakan Komputer Dalam


Pengajaran dan Pembelajaran di Sekolah Menengah Daerah Pasir Putih. Seminar
Penyelidikan Pendidikan Guru Kebangsaan 2005, Kota Kinabalu, 1-3 Ogos,
Anjuran Bahagian Pendidikan Guru

Kementerian Pelajaran Malaysia, 1999

P. A. Brett dan M. Nash (1998). Multimedia Language Learning Courseware: a


design Solution ti the production of a series of CD-ROMs. Journal of Computer and
Education. 32. 19-33

Rosseni Din. (2002). Kemahiran Komputer Guru Sains Dan Matematik, Universiti
Kebangsaan Malaysia, Selangor

Sathiamoorthy Kannan. (2002). Kajian kemampuan Mengurus Integrasi Komputer


Di Kalangan Guru-Guru Sekolah Bestari, Jurnal Pendidikan Dan Kepimpinan
pendidikan, Jilid 12, Bil.02, Disember 2002

Wan Noraini binti Wan Daud (2005). Kemahiran Komputer Guru-guru Sains dan
Matematik. Universiti Kebangsaan Malaysia

www.ftem.ukm.my/programming/bengkelC/18-zamlinal

www.usm.my/km/24-06

http//www.usm.my/km/24-06/KMART

You might also like