You are on page 1of 11

Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur, MALAYSIA

Inap Desa dan Pembangunan Sosioekonomi Masyarakat


Luar Bandar: Kuala Kedah sebagai Destinasi Baharu Pelancongan

Mohamad Zaki Ahmad

Johan Afendi Ibrahim

Norria Zakaria

a&b
Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar
Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa
Universiti Utara Malaysia,
06010 Sintok, Kedah.

c
Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan
Kolej Perniagaan,
Universiti Utara Malaysia,
06010 Sintok, Kedah.

Abstrak

Dengan status sebagai antara industri paling progresif dan berdaya maju, perkembangan industri pelancongan yang

amat besar saban tahun memberikan indikasi bahawa pelancongan adalah satu industri yang amat signifikan untuk

dipertimbangkan sebagai pemangkin terhadap pembangunan sosioekonomi sejagat. Malahan, impak-impak yang

tercetus daripada pembangunan pelancongan turut menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat

luar bandar. Pelbagai usaha dan perancangan sedang dan telah direncanakan terutamanya oleh pelbagai agensi

2508-0001 2016. Published by ECoFI.


Selection and/or peer-review under responsibility of the Organizing Committee of Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup.
2 Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N. / Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

kerajaan bagi terus memajukan industri ini terutamanya dalam meningkatkan sumbangannya terhadap aspek

pembangunan sosioekonomi masyarakat Malaysia. Inap desa atau lebih dikenali sebagai homestay merupakan salah

satu daripada produk pelancongan desa yang terdapat di Malaysia dan menjadi satu program yang sering mendapat

perhatian kerajaan dan agensi berkaitan sejak kebelakangan ini. Dengan sumber warisan dan tarikan semulajadi

yang pelbagai di samping kemudahan infrastruktur berkaitan yang baik, Kuala Kedah mempunyai potensi yang

amat besar untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan dengan memberikan fokus utama terhadap program

inap desa. Malahan ianya mampu menyumbang manfaat dan faedah yang dapat membantu penduduk terutamanya

dalam meningkatkan taraf sosioekonomi mereka. Perbincangan dalam kertas seminar ini difokuskan terhadap

aspek-aspek seperti perkembangan dan impak pelancongan, definisi, konsep dan sumbangan inap desa serta

beberapa cadangan bagi mewujudkan satu bentuk pembangunan pelancongan yang bakal memberikan manfaat dan

sumbangan kepada masyarakat hos di Kuala Kedah.

Katakunci: impak sosioekonomi masyarakat, inap desa, Kuala Kedah, pelancongan

1. Pengenalan

Industri pelancongan terus kukuh menjadi antara penyumbang terbesar kepada pendapatan negara sejak lebih
sedekad yang lalu. Pelbagai usaha dan perancangan sedang dan telah direncanakan oleh pelbagai agensi kerajaan
bagi terus memajukan industri ini terutamanya dalam meningkatkan sumbangannya terhadap aspek pembangunan
sosioekonomi masyarakat termasuklah menyumbang terhadap pembangunan sosioekonomi masyarakat luar bandar.
Malahan, dapat dilihat bahawa masyarakat luar bandar atau masyarakat desa pada hari ini semakin membangun dan
berusaha meningkatkan taraf hidup dengan melibatkan diri dalam aktiviti dan pembangunan pelancongan di tempat
mereka. Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah melalui Model Baru Ekonomi Luar Bandar (2011)
mensasarkan untuk membangun dan memperluaskan potensi Inap Desa di 500 buah kampung sebagai langkah
penjenamaan pelancongan luar bandar dan memeta Inap Desa sebagai ikon pelancongan negara. Langkah dan
inisiatif ini telah dapat mencipta lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk luar bandar dan seterusnya dapat
mengurangkan pengaliran keluar guna tenaga anak-anak muda kampung ke bandar-bandar.

Pembangunan pelancongan dilihat sebagai aktiviti ekonomi yang penting dalam meningkatkan ekonomi
penduduk tempatan. Banyak kajian yang mencadangkan bahawa pembangunan dan promosi pelancongan
merupakan sumber baru bagi pendapatan, pekerjaan, pendapatan cukai tambahan, faedah pertukaran asing, dan
peningkatan infrastruktur masyarakat tempatan. Pembangunan pelancongan dapat menarik dan mampu
menyumbang untuk memajukan industri-industri lain (Lankford dan Howard, 1994). Sehingga hari ini,
pembangunan dan usaha penggalakan industri pelancongan telah diterima ramai sebagai satu langkah ekonomi yang
positif terutamanya di negara-negara maju (Cooke, 1982). Malahan, Huang dan Stewart (1996) mendapati bahawa
pembangunan pelancongan dapat mengubah hubungan penduduk antara satu sama lain dan hubungan penduduk
sesuatu petempatan dengan petempatan yang lain. Secara umum, didapati bahawa tanggapan dan sikap penduduk
terhadap impak-impak pelancongan dijadikan pertimbangan penting bagi perancangan dan polisi untuk menjamin
kejayaan pembangunan pelancongan, pemasaran dan pengoperasian program pelancongan sedia ada dan yang akan
datang (Ap, 1992).

Inap desa atau lebih dikenali sebagai homestay merupakan salah satu daripada produk Pelancongan Desa yang
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 3

terdapat di Malaysia dan menjadi satu program yang sering diberikan perhatian oleh kerajaan dan agensi berkaitan
sejak kebelakangan ini. Fokus pihak kerajaan bagi membangunkan inap desa ini adalah amat wajar dan tepat pada
masanya memandangkan industri pelancongan negara tidak hanya tertumpu kepada bandar-bandar besar, pulau,
tasik dan pantai semata-mata. Hal ini disebabkan sumberjaya alam semulajadi dan warisan budaya yang terdapat di
kawasan luar bandar juga mempunyai keunikan dan nilai yang tinggi untuk dihargai dan berpotensi menarik lebih
ramai pelancong untuk ke sana. Melalui pelaksanaan program yang berkaitan, komuniti setempat atau masyarakat
luar bandar diberi peluang untuk sama-sama terlibat dalam menjayakannya dan secara tidak langsung hasil
pendapatan yang dijana dapat membantu mereka menghadapi senario kenaikan kos sara hidup pada masa kini. Di
samping dapat menjana ekonomi masyarakat setempat, Pelancongan Desa juga membantu kerajaan dalam usaha
membasmi kadar kemiskinan dan pengangguran. Justeru, dalam konteks ini, inap desa boleh memainkan peranan
bagi membantu pihak-pihak terlibat mencapai aspirasi dan hasrat yang tersebut.

Program Inap Desa atau homestay merupakan salah satu daripada program yang dijalankan untuk memajukan
kawasan luar bandar yang amat memerlukan penglibatan komuniti bagi menjayakannya. Sejajar dengan
pembangunan dan pelaksanaan Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar dan, Program Pembangunan Pelancongan di
Luar Bandar, Program Inap Desa diwujudkan bagi menggalakkan penglibatan masyarakat luar bandar menyertai
sektor pelancongan negara. Menurut Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, sehingga Oktober 2010, sejumlah
138 inap desa, 2,987 pengusaha inap desa dan 4,042 bilik di 225 kampung seluruh negara sudah didaftarkan secara
sah bagi menjalankan perniagaan inap desa berdasarkan peraturan dan syarat yang ditetapkan. Untuk tempoh yang
sama, seramai 128,000 pelancong yang datang ke Malaysia, terutamanya dari Singapura, Jepun, Korea dan Eropah,
telah memilih untuk mengikuti Program Inap Desa kerana tertarik dengan budaya hidup di kampung (Zunaidah
Zainon, 2010). Sehingga Ogos 2015 pula, kementerian telah mendaftarkan 175 kluster homestay dengan 3,561
pengusaha yang menawarkan 4,932 bilik kepada pelancong di seluruh negara. Untuk tempoh yang sama, sebanyak
48,626 pelancong antarabangsa memilih tinggal di inap desa, berbanding 44,871 orang bagi tempoh sama pada
2014. Jumlah pelancong yang mengikuti program itu sehingga Ogos 2015 ialah 228,883 orang manakala jumlah
keseluruhan bagi 2014 pula ialah 367,473 orang. Pendapatan homestay untuk tempoh Januari sehingga Ogos 2015
juga telah meningkat sebanyak 3.7 peratus dari RM15.9 juta ke RM16.5 juta.

Statistik yang amat positif ini berterusan sehingga suku pertama 2016. Seperti yang dinyatakan oleh Timbalan
Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, jumlah pendapatan pengusaha
perkhidmatan inap desa di negara ini meningkat sebanyak lima peratus kepada RM8.7 juta dalam tempoh Januari
hingga April tahun ini berbanding tempoh sama tahun lepas. Program Inap Desa negara telah melibatkan 3,723
pengusaha inap desa daripada 187 kluster berdaftar yang menyediakan 5,236 bilik, manakala pendapatan bagi
seorang pengusaha inap desa yang berdaftar dianggarkan antara RM2,000 dan RM3,000 sebulan, dan jumlah
tersebut memberi impak yang cukup besar kepada pengusaha dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan
mereka.

Hakikatnya, Program Inap Desa ini merupakan salah satu daripada program yang bertujuan untuk menggalakkan
penglibatan masyarakat luar bandar untuk menyertai sektor pelancongan. Sewajarnya, pihak-pihak berkepentingan
perlu memanfaatkan impak-impak positif pelancongan terutamanya dari sudut ekonomi dan sosiobudaya bagi
mencapai agenda pembasmian kemiskinan di kalangan masyarakat di sesebuah destinasi. Justeru, penglibatan
masyarakat dalam pembangunan inap desa di Kuala Kedah bukan sahaja dapat membantu usaha untuk
mentransformasikan pekan kecil nelayan ini sebagai destinasi baharu pelancongan, malahan ianya bakal membantu
masyarakat menangani kenaikan kos sara hidup yang dilhat agak sukar dibendung sejak kebelakangan ini.

2. Inap Desa: Definisi dan Pendekatan Konsep

Sebelum istilah inap desa digunakan secara rasmi, istilah homestay telah lama digunakan secara meluas
malahan ianya masih digunakan sehingga hari ini. Pada dasarnya, inap desa merupakan istilah yang dipersetujui
dalam konteks pelancongan bagi merujuk kepada konsep homestay mengikut acuan negara ini. Namun, istilah
inap desa atau homestay bagi negara ini mempunyai maksud dan tafsirannya yang tersendiri dan berbeza dengan
homestay dalam konteks negara-negara lain. Dalam hal ini, bukan hanya konsep, definisi dan fokus homestay yang
berbeza, fungsi homestay juga adalah berbeza mengikut negara-negara berkenaan; sebagai contoh konsep homestay
4 Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N. / Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

di Australia dan New Zealand lebih memfokuskan kepada penginapan rumah perladangan manakala di United
Kingdom dan Amerika Syarikat homestay selalu dikaitkan dengan motivasi untuk meningkatkan kemahiran Bahasa
Inggeris di kalangan pelajar antarabangsa. Sebahagian daripada konsep-konsep homestay yang berbeza di beberapa
buah negara adalah seperti yang ditunjukkan dalam Jadual 1. Walaubagaimanapun, idea keseluruhan berkenaan
homestay ini masih lagi sama iaitu ianya berkaitan dengan penyediaan kemudahan penginapan kepada pelancong.
Secara umumnya, homestay adalah berbeza berbanding kemudahan penginapan lain seperti hotel, motel atau bed
and breakfast yang dibina dan dibangunkan di lokasi-lokasi yang sememangnya menjadi tumpuan ramai seperti di
bandaraya-bandaraya, pusat-pusat bandar atau di lokasi berhampiran lebuhraya utama, sedangkan lokasi umum bagi
homestay pula adalah di kawasan luar atau pinggir bandar di mana masyarakat setempat masih lagi mengamalkan
cara hidup dan budaya tempatan.

Jadual 1: Konsep Homestay di Beberapa Negara


NEGARA KONSEP HOMESTAY
Canada Cultural Homestay, Farmstay, Heritage Homestay
Amerika Syarikat Agricultural Homestay, Educational Homestay
Australia Farmstay
Japan Home Visit, Educational Homestay
Korea Selatan Educational Homestay
Afrika Selatan Leisurestay
NewZealand Cottage Homestay, Farmstay
Filipina Cultural Homestay
Thailand Student Homestay, Cultural Homestay, Volunteer Homestay
Singapura Urban Homestay
Indonesia Cultural Homestay, Leisure Homestay
Sumber: Pazin (2004) di dalam Amran Hamzah (2010)

Dalam konteks yang berkenaan, antara pengertian konsep homestay antarabangsa ialah:
Pilihan penginapan yang melibatkan tinggal di sebuah rumah persendirian, di mana tetamu membayar sewa
kepada pemilik rumah. Pilihan ini sering ditawarkan kepada mereka yang mengembara dengan tujuan
untuk mempelajari bahasa asing. (www.ytrip.org.ph/resources/so-you-know-and-you-dont-get-lost)
Sebuah rumah tempat tinggal pemilik yang menawarkan penginapan kepada tetamu berbayar; sistem di
mana pelajar antarabangsa dari luar negara tinggal bersama keluarga pemilik kediaman pada harga yang
berpatutan. (en.wiktionary.org/wiki/homestay)
Homestay merupakan satu bentuk pelancongan yang melibatkan pelajar program pengajian luar negara
menyewa bilik dari sebuah keluarga tempatan untuk mempelajari cara hidup masyarakat setempat dengan
lebih baik di samping meningkatkan keupayaan bahasa asing mereka. (en.wikipedia.org/wiki/Homestay)
Satu pilihan penginapan di mana pelajar antarabangsa tinggal bersama sebuah keluarga Amerika di rumah
milik keluarga berkenaan. Pelajar antarabangsa berpeluang meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dan
membolehkan mereka didedahkan dengan cara hidup sebenar di Amerika Syarikat.
(www.usaeducationguides.com/guidance/articles/080707-glossar)

Menurut Amran Hamzah (2010), di Malaysia definisi rasmi bagi inap desa mengikut Kementerian Kebudayaan,
Kesenian dan Pelancongan (MOCAT, 1995) ialah: ...di mana pelancong tinggal bersama dengan keluarga tuan
rumah dan mempelajari gaya hidup serta budaya mereka samada secara langsung atau tidak langsung. Definisi
rasmi ini masih terus diguna pakai sehingga ke hari ini sebagaimana yang terdapat dalam Garis Panduan Pendaftaran
Program Pengalaman Homestay Malaysia (Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, 2016) iaitu:
adalah merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah pengusaha
homestay yang telah berdaftar dengan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia. Inap desa juga
merupakan satu bentuk pengalaman di mana pelancong tinggal bersama keluarga tuan rumah yang telah didaftarkan
di bawah kementerian berkenaan yang menawarkan peluang kepada para pelancong untuk berinteraksi serta
mengalami gaya hidup seharian masyarakat kampung serta dapat mempelajari warisan budaya masyarakat setempat.
Malahan, pelancong bukan sahaja berpeluang untuk menikmati suasana perkampungan tradisional tetapi juga dapat
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 5

mengetahui serta mempelajari gaya hidup dan rutin harian masyarakat tempatan. Dalam konteks ini, inap desa tidak
boleh dikategorikan sepenuhnya sebagai kemudahan penginapan semata-mata memandangkan tumpuan utamanya
adalah terhadap aspek cara hidup dan pengalaman, merangkumi aspek budaya dan kegiatan ekonomi komuniti
setempat.

Antara elemen yang terdapat dalam program ini ialah penyediaan makanan kepada tetamu, memasak dan
melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti bersama dengan keluarga angkat demi mewujudkan keserasian antara tuan
rumah dan tetamu yang berbeza latar belakang kehidupan dan kebudayaan. Melalui interaksi yang mesra, tuan
rumah dan tetamu akan lebih saling kenal-mengenali antara satu sama lain serta dapat mempelajari sesuatu yang
baru mengikut perspektif masing-masing. Malahan, program inap desa juga membolehkan tetamu untuk menyertai
kegiatan harian atau aktiviti rutin tuan rumah di samping memberikan peluang kepada mereka untuk menikmati
keindahan dan keunikan alam semulajadi di samping dapat menjalankan pelbagai aktiviti kebudayaan tradisional
masyarakat tuan rumah. Umumnya inap desa yang berbeza pastinya menawarkan bentuk-bentuk aktiviti yang
berlainan bergantung kepada aspek-aspek setempat seperti lokasi, budaya, kepelbagaian makanan dan kegiatan
ekonomi. Antara aktiviti yang boleh dilakukan dan disertai oleh para tetamu inap desa di seluruh negara adalah
seperti di Jadual 2. Sebagai sebuah negara yang dihuni oleh pelbagai bangsa dan keturunan etnik, setiap sebuah
negeri di Malaysia sememangnya mempunyai keunikan dan tarikannya tersendiri; dari Tarian Canggung di negeri
Perlis hinggalah keindahan Kinabalu dan keasyikan Tarian Sumazau di Sabah serta Tarian Ngajat dan keunikan
hidup di Rumah Panjang Sarawak.

Jadual 2: Aktiviti untuk Tetamu Inap Desa


AKTIVITI UNTUK TETAMU INAP DESA
Budaya dan Cara Hidup Kegiatan Ekonomi
Sejarah Menoreh getah
Tarian, lagu dan makanan tradisional Penternakan ikan
Permainan dan sukan rakyat Pertanian: padi, koko, kelapa sawit, buah-buahan
Budaya: perkahwinan, acara keramaian, kenduri

Leisure Pemuliharaan Alam Sekitar


Sightseeing Program Plant a Tree (PAT): Setiap pelancong
Jungle tracking digalakkan untuk menanam sebatang pokok di inap
White water rafting desa yang mereka lawat untuk menyumbang
Melawat tarikan berdekatan memulihara alam sekitar di samping mengindahkan
lanskap inap desa yang dikunjungi

Sumber:http://www.virtualmalaysia.com/destination/top%205%20malaysia%20homestays.html

3. Kuala Kedah sebagai Destinasi Pelancongan Baharu

Terletak di bahagian utara negeri Kedah Darul Aman, Kuala Kedah merupakan sebuah kawasan petempatan
dalam daerah Kota Setar yang lebih dikenali sebagai sebuah pekan nelayan yang turut mempunyai peninggalan
sejarah silam. Dipisahkan hanya 11 kilometer dari Pusat Bandaraya Alor Star, Kuala Kedah merupakan sebuah
kawasan tanah pamah yang terletak di kawasan pinggir laut yang menghala ke Selat Melaka. Perikanan merupakan
kegiatan ekonomi utama di Kuala Kedah sejak sekian lama memandangkan kedudukannya berhampiran pinggir
pantai. Selain itu, aktiviti pertanian terutamanya penanaman padi juga giat diusahakan di Kuala Kedah.
Kuala Kedah turut mempunyai pelbagai tarikannya yang tersendiri. Daripada aspek sejarah warisan budaya
hinggalah kepada aktiviti menyusuri Sungai Kedah (riverine) dan peninggalan Kota Kuala yang masih utuh
dipulihara, sebenarnya banyak lagi tarikan yang boleh ditawarkan kepada pelancong mahupun pengunjung.
Makanan laut segar dan laksa serta pulut sambal Kuala Kedah sememangnya amat dicari oleh mereka yang datang
dari luar pekan ini. Namun ikon yang begitu sinonim dengan Kuala Kedah adalah Kota Kuala Kedah itu sendiri
yang terkenal dengan rumah api dan beberapa meriam lagenda yang mempunyai mitos yang tersendiri dan masih
gagah dipelihara dan dipulihara oleh pihak berwajib. Dengan jarak yang berdekatan serta kemudahan pengangkutan
yang baik, pengunjung tidak akan menghadapi banyak masalah untuk melawat tarikan-tarikan pelancongan di
Bandaraya Alor Star seperti Balai Besar, Muzium Di Raja, Masjid Zahir, Menara Telekom, Balai Nobat, Balai Seni
6 Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N. / Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

Negeri, Muzium Negeri, Rumah Kelahiran Mahathir dan Pekan Rabu.

Kuala Kedah juga merupakan pintu masuk ke Pulau Langkawi melalui jalan laut. Memang tidak dapat dinafikan
bahawa majoriti pelancong Kuala Kedah merupakan pelancong transit yang dalam perjalanan ke Langkawi.
Memandangkan trend peningkatan kedatangan pelancong yang positif ke Langkawi, adalah menjadi satu kerugian
kepada pekan ini kerana tidak dapat mengambil peluang menjadikan atau mengekalkan pelancong-pelancong transit
tersebut sebagai pelancong Kuala Kedah itu sendiri. Ataupun, sekurang-kurangnya, usaha menarik lebih ramai
pelancong berpotensi termasuk pelancong-pelancong transit bermalam dan seterusnya menggalakkan mereka
berbelanja di pekan ini akan menjadikan aktiviti dan pembangunan pelancongan di Kuala Kedah akan lebih
bermakna.

Di samping tarikan warisannya seperti cara hidup nelayan dan pesawah, makanan uniknya yang tersendiri seperti
Laksa Kuala Kedah atau turut dikenali sebagai Laksa Teluk Kechai dan pulut sambal serta hidangan makanan
lautnya yang segar, tarikan dominan yang seringkali dikaitkan dengan sejarah negeri Kedah adalah Kota Kuala
Bahang atau lebih dikenali sebagai Kota Kuala Kedah. Walaupun tidak segah atau begitu tua jika dibandingkan
dengan Kota A Famosa yang amat terkenal di Melaka, Kota Kuala Kedah yang amat berjasa ini mempunyai
peninggalan sejarah dan elemen warisan yang amat tinggi nilainya. Antara peninggalan warisan yang masih kekal
sehingga hari ini ialah rumah api berbentuk istana catur yang masih berfungsi dan dapat beroperasi menggunakan
kuasa solar, tembok asal yang bertindak sebagai kubu, beberapa pucuk meriam termasuklah dua meriam lagenda
yang dikenali sebagai Tok Badak Berendam dan Katak Puru, Pintu Malim, Pintu Kota Alor Melaka dan
bangunan istana lama yang telah diubahsuai menjadi sebuah muzium yang mempamerkan artifak dan bahan-bahan
bersejarah lain yang ditemui di kawasan kota berkenaan dan kawasan yang berhampiran. Makam Tok Pasai yang
terletak di kawasan letak kereta Terminal Penumpang Kuala Kedah juga merupakan satu lagi peninggalan sejarah
yang dikaitkan dengan pembukaan pekan Kuala Kedah sekarang.

Kuala Kedah Yacht Marina serta kawasan pantai dan perkampungan Melayu yang dihiasi landskap sawah padi
yang luas terbentang turut menawarkan satu pemandangan yang indah menawan terutamanya pada awal pagi dan
lewat petang di kala malam menjelang. Sesungguhnya kawasan ini akan menarik minat mereka-mereka yang
mencintai pemandangan indah terutamanya bagi penggemar fotografi. Satu lagi tarikan yang dikaitkan dengan
warisan semulajadi di Kuala Kedah yang ramai tidak menyedarinya adalah mengendap burung (bird watching).
Menurut Hymeir Kamarudin (wildasia.net), berdasarkan pengalaman beliau menjalankan aktiviti ini di perairan
antara Kuala Kedah dan Kuala Sala (antara latitud 6 06' dan 5 57) sejak 1997, terdapat banyak spesis burung yang
dapat dilihat di sini. Antara spesis-spesis burung berkenaan adalah Raja Udang, Leher Putih, Jambul Hitam,
Bangau, Helang Laut Perut Putih, Layang-layang Bahu Hitam dan Layang-layang Brahminy. Kedudukan Kuala
Kedah yang tidak berapa jauh dengan tarikan-tarikan pelancongan yang lain seperti Pantai Murni, Air Terjun Seri
Perigi dan Batu Hampar di Yan serta tarikan-tarikan di sekitar Alor Star juga turut memberi nilai tambah untuk
membangun sebagai satu destinasi pelancongan yang menarik dan lebih terkenal.

4. Potensi Impak dan Perkembangan Inap Desa

Dipercayai bahawa evolusi Program Inap Desa atau homestay negara bermula seawal tahun 1970-an di Kampung
Cherating Lama, Pahang apabila seorang wanita kampung berkenaan yang dikenali sebagai Mak Long Teh telah
menawar dan menyediakan kemudahan penginapan di rumah kampungnya kepada sekumpulan pelancong drifter
atau hippies (Hamzah (1997). Di samping penginapan, Mak Long Teh juga turut menyediakan sarapan dan makan
malam ala kampung kepada para tetamunya. Pada awal kemunculannya, kebanyakan peletakan atau lokasi asal
homestay adalah di sepanjang pantai dan berlatar belakangkan suasana perkampungan tradisi. Kejayaan dan
perkembangan positif program homestay peringkat awalnya juga telah menarik banyak pihak sehinggakan ianya
diletakkan di bawah pengawasan dan penyeliaan Kementerian Pertanian, dan seterusnya telah dijadikan pemangkin
untuk pembangunan ekonomi luar bandar bersesuaian dengan konsep pelancongan agro.

Program Homestay kemudiannya telah diperkenalkan pada tahun 1988 sebagai satu usaha mempelbagaikan
produk pelancongan bukan sahaja kepada pelancong domestik malahan kepada pelancong antarabangsa. Pada
tahun 1995, Program Homestay Malaysia secara rasminya telah dilancarkan di Desa Murni Kerdau, Temerloh
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 7

Pahang oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan pada ketika itu. Program ini yang juga merupakan
salah satu program di bawah Pelan Induk Pelancongan Luar Bandar bermatlamat untuk menggalakkan penyertaan
masyarakat luar bandar dalam sektor pelancongan di samping mempromosikan keunikan warisan budaya serta
sumberjaya alam negara kepada pelancong. Seperti yang dijelaskan sebelum ini, bagi tahun 2016 Program Inap
Desa kebangsaan melibatkan 3,723 pengusaha inap desa daripada 187 kluster berdaftar yang menyediakan 5,236
bilik (Jadual 3), manakala pendapatan bagi seorang pengusaha inap desa yang berdaftar dianggarkan antara
RM2,000 dan RM3,000 sebulan. Malahan, jumlah tersebut memberi impak yang cukup besar kepada pengusaha
dalam meningkatkan taraf hidup dan pendapatan mereka; manakala jumlah pendapatan pengusaha perkhidmatan
inap desa negara telah meningkat sebanyak lima peratus kepada RM8.7 juta dalam tempoh Januari hingga April
tahun ini berbanding tempoh sama tahun sebelumnya.

Dapat dilihat bahawa inap desa mempunyai potensi yang besar untuk dibangunkan berdasarkan reputasinya yang
mampu memberi impak positif kepada komuniti setempat terutamanya dari segi ekonomi. Dalam hal ini, Kuala
Kedah sewajarnya mengambil peluang membangunkan program inap desa dengan memberi peluang untuk
masyarakat setempat menjadi peserta. Hal ini secara tidak langsung dapat membantu usaha memerangi masalah
sosioekonomi terutamanya masalah kemiskinan di kalangan penduduk. Penganjuran inap desa di kawasan luar
bandar bukan sahaja mampu menawarkan peluang kepada penduduk tempatan untuk menjana pendapatan tambahan,
malahan ianya dapat meningkatkan pendapatan isi rumah penduduk. Melalui penglibatan ini juga, kawasan luar
bandar dapat dibangunkan dan dimajukan terutamanya dalam meningkatkan kualiti kemudahan asas serta
penyediaan dan pembinaan baru kemudahan-kemudahan lain yang berkaitan. Justeru, dalam usaha untuk
membangunkan program ini dengan lebih bermakna, penglibatan secara menyeluruh pelbagai pihak (stakeholders)
adalah amat diperlukan memandangkan perkara yang penting dalam pembangunan program ini bukanlah berkisar
kepada persoalan apakah tetapi bagaimanakah untuk membangunkannya. Tanpa garis panduan yang jelas
dikhuatiri pembangunan inap desa tidak dapat mencapai objektif dan matlamat yang telah ditetapkan.

Jadual 3: Statistik Homestay Sehingga 31 Mei 2016

Sumber: http://www.motour.gov.my/muat-turun/category/11-homestay

Dalam kes-kes tertentu pembangunan pelancongan tidak semestinya sesuai untuk setiap komuniti. Namun, kerap
kali telah dibuktikan bahawa pelancongan merupakan satu industri dinamik yang dapat menawarkan komuniti dalam
semua bentuk dan saiz termasuklah komuniti luar bandar yang terlibat dengan inap desa, peluang-peluang
pembangunan yang unik. Secara umumnya, impak pelancongan adalah sama ada ianya positif atau negatif
bergantung kepada ciri-ciri kawasan berkaitan (jenis dan sejauh mana pelancongan telah dimajukan) dan ciri-ciri
8 Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N. / Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

masyarakat setempat (penerimaan terhadap kesan-kesan berkenaan). Dalam membincangkan potensi impak-impak
pelancongan daripada pembangunan inap desa, tidak terkecuali ianya turut dibincangkan dari sudut ekonomi,
sosiobudaya dan persekitaran (alam sekitar). Malahan, bagi kebanyakan impak pelancongan, secara umumnya saiz,
sifat dan had bagi impak pelancongan adalah bergantung kepada faktor-faktor berikut:
Persamaaan atau perbezaan antara masyarakat tempatan dan pelancong
Jumlah aktiviti pelancong berbanding aktiviti masyarakat setempat
Bagaimana baik pelancongan dirancang, dikawal dan diuruskan.
Tahap kepadatan atau keselerakan aktiviti pelancong di kawasan berkaitan
Kestabilan atau sensitiviti struktur ekonomi, sosial dan persekitaran setempat
Tempoh dan sifat hubungan pelancong dengan komuniti

Potensi impak ekonomi yang besar telah menyumbang kepada penjanaan lebih banyak peluang pekerjaan kepada
penduduk dan penjanaan pendapatan yang lebih baik melalui aktiviti-aktiviti inap desa yang ditawarkan kepada
pelancong. Malahan, melalui pembangunan inap desa yang terancang, pelancongan secara tidak langsung dapat
membantu melindungi alam sekitar, menjaga dan memulihara aspek warisan budaya serta meningkatkan kualiti
hidup masyarakat setempat. Namun, sekiranya inap desa dibangunkan secara ad hoc tanpa perancangan yang
berkesan dan menyeluruh, pembangunan pelancongan ini juga berupaya menyumbang impak-impak negatif.
Inskeep (1991) menyenaraikan impak-impak ekonomi, sosiobudaya dan persekitaran berkaitan pembangunan dan
aktiviti pelancongan secara umum seperti di Jadual 4.

Pembangunan Program Inap Desa perlu diteruskan memandangkan ianya banyak menyumbang impak yang
positif bagi sesuatu kawasan di samping ianya memerlukan penglibatkan dan penyertaan penduduk tempatan bagi
tujuan pengurusan dan pelaksanaannya. Tambahan pula, Program Inap Desa merupakan Pelancongan Berasaskan
Komuniti atau Community-Based Tourism (CBT). Program Inap Desa di Malaysia yang berasaskan komuniti
adalah antara program pelancongan yang berpotensi untuk mencapai objektif pembangunan lestari sekiranya
dirancang dengan baik (Kalsom Kayat & Nor Ashikin, 2006).

Mantan Pengerusi Homestay Pulau Pinang, Haji Muhammad Farid Saad menjelaskan bahawa: Inap desa
merupakan program pelancongan yang fleksibel, berskala kecil serta diusahakan sendiri oleh penduduk tempatan di
mana keuntungan yang dinikmati adalah terus kepada komuniti tanpa menjejaskan nilai dan cara kehidupan seharian
mereka. Justeru, di kebanyakan inap desa di seluruh negara, kewujudan Program Inap Desa ini turut dapat
membantu penduduk setempat untuk memajukan aktiviti pertanian mereka seperti galakan dan khidmat nasihat
untuk aktiviti penternakan atau penanaman dan promosi tanaman seperti ubi kayu, keledek, pisang serta buah-
buahan tempatan yang lain. Selain itu, penduduk juga boleh menceburi bidang perniagaan seperti Perusahaan
Industri Kecil dan Sederhana (IKS) melalui penjualan produk hasil pertanian seperti kerepek ubi dan pisang, ikan
pekasam, belacan, tempoyak dan sebagainya. Dalam hal ini, IKS bukan sahaja menjadi tarikan baru inap desa yang
berkenaan malahan ianya juga turut membuka peluang pekerjaan bagi penduduk tempatan dan membantu menjana
pendapatan tambahan masyarakat setempat. Dengan keupayaan IKS menembusi pasaran global, Program Inap
Desa dilihat mampu menjana kesan pengganda (multiplier effects) kepada banyak pihak terutamanya komuniti
setempat.

Dengan wujudnya Program Inap Desa, masyarakat kampung yang sebelum ini hanya bergantung kepada aktiviti
pertanian sebagai sumber ekonomi mereka, bakal dilimpahkan peluang untuk mereka menceburi dan
mengusahakan aktiviti ekonomi baru yang berkaitan sektor pelancongan. Melalui pendekatan ini, mereka mampu
untuk mendapatkan pendapatan sampingan dan tidak lagi hanya bergantung kepada aktiviti pertanian atau perikanan
semata-mata. Malahan, melalui program ini juga kemudahan asas serta infrastruktur lain akan dapat ditingkatkan
untuk memberi keselesaan bukan sahaja kepada pelancong malahan masyarakat setempat sebagaimana diperkatakan
oleh Clayton dan Jose (1999): komuniti setempat akan turut menerima faedah daripada pembangunan hasil dari
pelaksanaan aktiviti pelancongan. Menurut Haji Muhammad Farid lagi: Faedah inap desa bukan sahaja berbentuk
kewangan malah ianya juga dalam bentuk bukan kewangan (non-monetary benefit). Contohnya adalah seperti dapat
merapatkan hubungan antara anggota masyarakat, meningkatkan rasa bangga, semangat kerjasama, keceriaan
kampung serta dapat mengurangkan gejala sosial di kalangan remaja. Ia juga merupakan satu kaedah membasmi
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 9

kemiskinan yang efektif.

Berbicara tentang kelestarian sumberjaya pelancongan khususnya, Program Inap Desa juga diyakini mampu
untuk memelihara dan memulihara sumber alam semulajadi serta warisan budaya sekiranya kaedah pembangunan
mampan diterap dan dilaksanakan dalam keseluruhan peringkat pembangunannya. Secara dasarnya konsep
pembangunan pelancongan lestari atau mampan turut menerapkan elemen keprihatinan dan kesedaran terhadap
penggunaan sumber warisan alam semulajadi dan budaya secara berhemah dalam setiap bentuk pembangunan
pelancongan (Wanhill,1997). Justeru, bagi menjayakan gagasan pembangunan inap desa yang mampan agar
kerosakan dan kemusnahan alam semulajadi dan elemen warisan budaya dapat dikurangkan atau dielakkan,
penglibatan dan komitmen tinggi daripada penduduk setempat amatlah diperlukan. Nilai keaslian dan pengalaman
yang bermakna adalah merujuk kepada nilai budaya dan adat resam yang masih lagi dipegang, diamal dan dipelihara
oleh sesuatu masyarakat yang sudah pastinya agak sukar untuk ditemui di kawasan bandar. Maka pengalaman
bermakna di sini bermaksud pengalaman mengenai gaya hidup masyarakat yang pelbagai yang amat sukar dan
tidak mungkin ditemui di tempat asal pelancong, manakala budaya pula secara ringkasnya merupakan sesuatu
nilai yang perlu dipelihara agar ia dapat dikekalkan untuk generasi akan datang. Oleh itu, dengan wujudnya
Program Inap Desa, secara tidak langsung budaya masyarakat setempat di negara ini dapat terus dipelihara dan
dikekalkan.

Jadual 4: Impak Umum Pelancongan


Impak Ekonomi Impak Sosiobudaya

Peluang pekerjaan Pemuliharaan warisan budaya


Meningkatkan pendapatan Kesan demonstrasi (Demonstration effect)
Pertukaran matawang asing Gangguan kepada struktur dan pengagihan
Pendapatan Kerajaan melalui cukai populasi
Kos infrastruktur Pertukaran silang budaya
Peningkatan harga barangan Peluang pendidikan
Gangguan struktur ekonomi dan gunatenaga Aspek keselamatan dan kawalan
Kebocoran ekonomi (leakages) ke luar Masalah social
Negara Kualiti hidup masyarakat
Kesesakan
Impak Persekitaran

o Pemuliharaan sumberjaya alam semulajadi dan buatan


o Memperbaiki kualiti alam sekitar dan infrastruktur
o Meningkatkan daya tarikan alam sekitar
o Meningkatkan kepekaan kepada alam sekitar
o Pencemaran air, udara, bunyi dan pemandangan
o Masalah pembuangan sisa
o Gangguan ekologi
o Masalah kegunaan tanah

Sumber: Inskeep (1991).

5. Cadangan Pembangunan

Konsep pembangunan pelancongan lestari perlu diterapkan dalam setiap peringkat perancangan dan aspek
pembangunan pelancongan di Kuala Kedah bagi menenuhi aspirasi menjadikan pekan nelayan ini sebagai destinasi
baharu pelancongan. Pembangunan pelancongan ini bakal memberikan sumbangan dan faedah kepada semua pihak
terutamanya penduduk tempatan (host) di samping memelihara dan mengekalkan survival sumberjaya warisan di
destinasi. Dalam konteks ini, pandangan para pakar dan tokoh akademik dalam bidang yang berkaitan perlu
diberikan perhatian dan pertimbangan yang sewajarnya. Untuk menjadi sebuah destinasi yang berjaya, beberapa
pakar dan tokoh akademik seperti Edgell dan Swanson (2013), Lickorish dan Jenkins (1999), Swarbrooke (1999),
Davidson dan Maitland (1997), Inskeep (1991) serta Pearce (1989) berpendapat bahawa pihak yang
bertanggungjawab dalam pembangunan destinasi berkenaan perlu memberikan penekanan kepada lima elemen yang
10 Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N. / Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian

berikut: tarikan (attractions), kemudahan (facilities), infrastruktur (infrastructure), pengangkutan (transportation)


dan sumber hospitaliti (hospitality resources). Tarikan (termasuk acara) merupakan aspek utama yang menarik
pelancong dan pelawat datang ke sesuatu destinasi, manakala kemudahan, infrastruktur, pengangkutan dan sumber
hospitaliti pula diperlukan bagi menyokong tarikan dan acara.

Para tokoh akademik berkenaan juga bersetuju agar lima A bagi pelancongan [five A's of tourism
Accessibility (kemudahsampaian), Accommodation (penginapan), Attractions (tarikan), Activities (aktiviti) and
Amenities (kemudahan)] perlu diberikan perhatian dan diambil tindakan yang sewajarnya oleh pihak yang
bertanggungjawab dalam usaha mewujudkan sebuah destinasi pelancongan yang berdaya saing dan mampu memikat
dan akhirnya menarik pelawat atau pelancong untuk datang ke destinasi tersebut. Hakikatnya, faktor-faktor inilah
yang amat diperlukan dalam membangunkan sebuah destinasi yang berjaya dan secara langsung akan dapat
membantu meningkatkan sosioekonomi sesebuah destinasi. Dalam konteks Kuala Kedah, memang tidak dapat
dinafikan bahawa kepelbagaian tarikan terutamanya yang berunsurkan warisan serta elemen-elemen dan aspek-
aspek lain yang berkaitan sebenarnya berkemampuan untuk memancing dan menarik lebih ramai pelancong dan
pelawat untuk ke sana.

Pautan yang luas dengan sektor-sektor lain merupakan antara ciri-ciri pelancongan yang dominan. Semakin
hubungan ini dapat diperkukuhkan melalui integrasi dalam agenda pembangunan sosioekonomi, lebih besar manfaat
pembangunan ekonomi untuk dicapai dan peluang untuk pembasmian kemiskinan masyarakat setempat juga
semakin tinggi. Manfaat bagi membantu pembangunan sosioekonomi masyarakat juga boleh diperoleh daripada
sektor-sektor utama berkaitan pelancongan. Bolwell dan Weinz (2008) telah menggariskan bahawa sektor-sektor
utama yang berkaitan dengan pelancongan ialah pembinaan, pertanian, perikanan, pemprosesan makanan,
pembuatan perabot, pengangkutan, utiliti dan perkhidmatan. Penyediaan infrastruktur juga boleh menjadi penting
untuk masyarakat setempat dan juga untuk tujuan pertumbuhan ekonomi. Malahan, sektor tidak formal termasuk
pembuatan dan penjualan kraftangan, serta aktiviti-aktiviti pembiayaan mikro serta hiburan dan kebudayaan juga
mempunyai hubungan yang kukuh dengan industri pelancongan.

Pelancongan juga terdedah kepada perubahan ekonomi dan politik global serta perubahan sosial dan politik di
destinasi. Punca-punca dan ciri-ciri kemiskinan setempat juga boleh menjadi faktor penghalang untuk pelancongan
membantu kepada usaha pembasmian kemiskinan ini. Justeru, pihak berkepentingan perlu bersedia untuk
menghadapi dan seterusnya mencari penyelesaian kepada faktor-faktor penghalang tersebut. Antara halangan-
halangan yang perlu diberi perhatian sebagaimana yang dikenal pasti oleh Jamieson et.al. (2002) ialah: kurang
pendidikan dan latihan; kekurangan akses kepada kredit untuk membiayai pembangunan pelancongan; kekurangan
organisasi untuk menyelaraskan aktiviti; akses yang kurang baik kepada infrastruktur dan aset pelancongan pada
masa yang tepat; kurang pengetahuan tentang pasaran pelancongan; peraturan dan karenah birokrasi; akses sedia ada
yang tidak mencukupi; pasaran pelancongan yang berpotensi; dan kekurangan program kerajaan yang disasarkan
kepada sektor berkaitan pelancongan.

6. Kesimpulan.

Kuala Kedah berada di landasan yang terbaik untuk dibangunkan menjadi sebuah destinasi baharu pelancongan.
Dengan tarikan serta keunikan dan kemudahan berkaitan yang dimiliki, pelancongan bakal membantu meningkatkan
sosioekonomi masyarakat setempat. Dalam usaha transformasi ini, program inap desa dicadangkan untuk diberikan
tumpuan yang paling utama memandangkan perkembangan, impak, sumbangan dan masa hadapan yang amat positif
dalam menyediakan platform terbaik kepada masyarakat terutamanya dalam menangani kenaikan kos sara hidup
yang semakin sukar dibendung pada hari kini. Maka, penglibatan semua pihak berkepentingan terutamanya
masyarakat itu sendiri adalah amat diperlukan bagi mencapai dan memenuhi hasrat serta aspirasi memperkasakan
aspek sosioekonomi mereka melalui pelancongan.

Rujukan

Allen, L. R., Long, P. T., Perdue, R. R. and Kielselbach, S. (1988). The impacts of tourism development on residents perceptions of community
life. Journal of Travel Research, 26(1), 16-21.
Ahmad, M. Z., Ibrahim, J. A, & Zakaria, N./ Prosiding Seminar Menangani Kenaikan Kos Sara Hidup: Isu dan Penyelesaian 11

Amran Hamzah. (2010). Malaysian Homestays From the Perspective of Young Japanese Tourist: the Quest for Furusato. CIPD Monograf 2.
Universiti Teknologi Malaysia : Skudai.
Ap, J. (1992). Residents perceptions on tourism impacts. Annals of Tourism Research, 19(4), 665-690.
Bolwell, D. & Weinz, W. (2008). Reducing poverty through tourism, International Labour Office, ILO Sectoral Activities Programme Geneva,
p-22.
Clayton, C., Jose, G.D.S. (1999). Tourism in Rural Area As a New Opportunity For Small farmers. UNICAMP. Campinas.
Cooke, K. (1982). Guidelines for socially appropriate tourism development in British Columbia. Journal of Travel Research, 21(1), 22-28.
Davidson, R. & Maitland, R. (1997). Tourism destination. London: Hodder & Stoughton.
Edgell, D. & Swanson, J. (2013). Tourism policy and planning: yesterday, today and tomorrow. London: Routledge
Huang, Y. and Stewart, W. P. (1996). Rural tourism development: shifting basis of community solidarity. Journal of Travel Research, 36(4), 26-
31.
http://www.umno-online.my/2016/06/29/pendapatan-pengusaha-inap-desa-meningkat-5-peratus-kepada-rm8-7-juta/
Inskeep, E. (1991). Tourism planning: an integrated and sustainable development approach. New York: Van Nostrand Reinhold.
Jamieson, W. & Pallavi, M. (2002). Exploration of the National Policy Issues Related to the Use of Tourism Development in Poverty Reduction
in Southeast Asia, Conference proceedings, Tourism in Asia, Hong Kong Polytechnic University, Hong Kong.
Kalsom Kayat dan Nor Ashikin. (2006), Penglibatan Ahli Komuniti Dalam Program Pembangunan Komuniti: Satu Kajian Ke Atas Program
Homestay Di Kedah. Tesis Tidak Diterbitkan. Fakulti Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Alam Sekitar, Universiti Utara Malaysia :
Sintok.
Kamarudin, H. (2003) Coasting down the Bund: Birding in Northern Peninsular Malaysia (article retrieved from wildasia.net)
Ko, D.-W. and Stewart, W. P. (2002). A structural equation model of residents attitudes for tourism development. Tourism Management, 23,
521-530.
Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (2011). Model Baru Ekonomi Luar Bandar.
Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia (2016). Garis Panduan Pendaftaran Homestay Malaysia.
Lankford, S. V. and Howard, D. R. (1994). Developing a tourism impacts attitude scale. Annals of Tourism Research, 21(1), 121-139.
Lickorish, L. J. and Jenkins, C. L. (1999). An introduction to tourism. London: Butterworth-Heinemann.
Malaysia (1995) Garis panduan Penyediaan Homestay, Ministry of Culture, Arts and Tourism: Kuala Lumpur.
Malaysia (2001) Rural Tourism Master Plan. Ministry of Culture, Arts and Tourism: Kuala Lumpur
Mathieson, A. and Wall, G. (1982). Tourism: economic, physical and social impacts. Singapore: Longman Singapore Publishers (Pte) Ltd.
MOCAT. (1995). Garis Panduan Penyediaan Homestay, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan: Kuala Lumpur.
Muhammad Farid. (2009). Pengurusan Homestay Sebagai Satu Produk pelancongan. Bengkel Pembangunan Destinasi Pelancongan 2009,
Universiti Sains Malaysia.
Nickerson, N. P. (1996). Foundations of Tourism. New Jersey, Prentice Hall.
Nuchnard, R. (1998). Rural Tourism The Impact on Rural Communities II Thailand. Universiti Kasetsart.
Pearce, D. G. (1989). Tourism development. Essex: Longman.
Swarbrooke, J. (1999). Sustainable tourism development. Wallingford: CABI.
Wanhill, S. (1997). Introduction Tourism Development: Environment and Community Issues. John Wiley & Sons : New York.
Yahaya Ibrahim & Abdul Rasid. (2009). Homestay Program and Rural Community Development in Malaysia. vol 2. Universiti Malaysia
Terengganu.
Zunaidah Zainon. (2010). Galak Khidmat Homestay Terbaik. Artikel Utusan Malaysia.

You might also like