You are on page 1of 2

Kementerian Pendidikan Malaysia telah memberi penekanan yang baru terhadap

peranan sukan dan aktiviti kokurikulum bagi melahirkan pelajar-pelajar yang seimbang
dari segi jasmani, emosi dan intelek. Maka, sekolah sukan mula ditubuhkan. Sekolah
Sukan ini memberi tumpuan kepada konsep-konsep seperti pembangunan atlet murid
bertaraf dunia, penggunaan tenaga jurulatih professional dan pengkhususan Sains
Sukan merentasi kurikulum serta penekanan sukan sebagai kerjaya.
Landasan yang dibina ini telah menghasilkan atlet murid yang cemerlang dan
berpotensi tinggi bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah di peringkat
antarabangsa. Maka saranan Kerajaan dalam dasarnya menjelaskan pendidkan sukan
dapat membina dan menjana modal insan yang berguna kepada bangsa dan negara.
Memang tidak dapat dinafikan bahawa pendidikan sukan secara tidak langsung dapat
membentuk sahsiah, jati diri, disiplin dan nilai murni dalam kalangan murid-murid di
sekolah. Dalam hal ini, guru menjadi agenda utama kementerian dalam memperkasakan
pendidikan sukan. Guru-guru dalam pendidikan sukan dilatih semula melalui pusat
latihan di sekolah tertentu sebagai langkah awal untuk memastikan objektif dasar ini
tercapai. Selain ini, Program Diploma Antarabangsa Pendidikan Jasmani dan
Kejurulatihan Sukan (DAPJKS) bagi Guru-guru Pendidikan Jasmani dan Guru-guru
Sukan Sekolah Rendah dan Menengah di Malaysia ini merupakan satu program yang
diadakan bertujuan dalam meningkatkan ilmu pengetahuan dan kefahaman tentang
aspek sains dan pendidikan jasmani serta meningkatkan kemahiran pengajaran dan
pembelajaran dalam bidang pendidikan jasmani dalam pendidikan sukan bagi guru-
guru. Ini secara tidak langsung meningkatkan professional keguruan bagi seseorang
guru dalam proses pengajaran dan pembelajarannya dimana ilmu sukan itu dapat
membantu guru-guru menjadikan murid-murid sebagai seorang model insan syumul dan
holistik.
Saranan yang seterusnya adalah tentang kelestarian, kemajuan dan
kemakmuran negara yang terletak pada keupayaan guru untuk memupuk perpaduan
dan keharmonian kaum yang berkekalan. Bagi meningkatkan lagi penghayatan murid
pelbagai kaum terhadap nilai patriotisme, guru perlu melaksanakan pelbagai program
yang menjurus ke arah penghayatan prinsip-prinsip Rukun Negara. Usaha
memperkenalkan dan mempopularkan lagu-lagu patriotik dalam kalangan murid
merupakan satu langkah yang baik untuk mewujudkan integrasi nasional di semua jenis
sekolah. Selain ini, murid-murid juga hendaklah didedahkan kepada jasa-jasa serta
pengorbanaan pejuang tanah air kita agar golongan remaja kita sedar dan insaf, bak
kata pepatah Tak kenal maka tidak cinta.Kalau generasi muda tahu akan pahit maung
dan susah payahnya tokoh-tokoh pada zaman silam memperjuangkan kemerdekaan
negara , tentunya mereka tidak tergamak menghancurkan keamanan dan kemakmuran
yang dikecapi kini dengan tindakan-tindakan negatif. Saranan ini meningkatkan
kewibawaan atau profesionalisme guru kerana guru dapat mengukuhkan nilai
profesional dengan meningkatkan kefahaman diri dan murid-murid tentang pengorbanan
pejuang tanah air seiring dengan aspirasi negara.
Saranan ini juga menyeru para guru dalam meningkatkan perpaduan kaum
dengan mengadakan lawatan ke tempat-tempat bersejarah. Pemerhatian murid-murid
kepada kesan-kesan peninggalan sejarah akan melahirkan semangat juang untuk
mempertahankan negara daripada ancaman musuh. Misalnya, kunjungan ke tempat-
tempat yang bersejarah seperti Bandar Hilir, Melaka akan mengingatkan mereka kepada
sejarah hitam negara ketika dijajah oleh Portugis, Belanda dan Inggeris. Selain ini guru-
guru juga boleh mendedahkan kepada anak murid tentang Jalur Gemilang yang berkibar
megah pada sepanjang masa dan perayaan Hari Kebangsaan setiap tahun itu
sepatutnya dijadikan wadah untuk memperbaharui azam mempertahan kemerdekaan
pada masa depan. Murid-murid perlu diberi kesedaran betapa pentingnya erti
kemerdekaan terhadap sesebuah negara. Saranan-saranan seumpama ini membantu
meningkatkan kesedaran guru kepada kaedah dan strategi pengajaran dan
pembelajaran yang lebih efisyen bagi merealisasikan objektif kelestarian, kemajuan dan
kemakmuran negara.

You might also like