You are on page 1of 10

RUU 355: Hanya pinda akta, bukan

perlembagaan

ROOS NIZA MOHD SHARIFF


07 Disember 2016 7:50 PM
8
RASANYA ramai yang masih keliru berhubung rancangan Pas Kelantan
mengusulkan pindaan Rang Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah
(Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355). Perkara utama yang perlu difahami
di sini ialah, usul ini bukan untuk meminda Perlembagaan, tetapi sekadar
meminda satu akta yang bertujuan memantapkan kedudukan Mahkamah
Syariah.

Sebab itu, untuk meluluskan akta ini hanya memerlukan majoriti mudah di
Parlimen dan bukanya majoriti dua pertiga.

Kekeliruan timbul kerana ramai yang salah erti akan pindaan akta ini sebagi
pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan. Sebenarnya isu ini hanya
membabitkan usul pindaan Akta 355 dan Mahkamah Syariah, dan bukannya
membabitkan perlembagaan.
Majoriti mudah (simple majority) bermaksud jumlah undi yang diperolehi
mestilah sama atau melebihi jumlah undi yang menentang.

Manakala untuk tujuan meminda Perlembagaan Persekutuan pula diperlukan


persetujuan dua pertiga ahli Dewan Rakyat. Ini bermaksud jumlah
persetujuan yang lebih banyak daripada majoriti mudah, iaitu undi majoriti dua
pertiga ahli parlimen. Maknanya pertiga 148 daripada 222 orang ahli parlimen
mesti bersetuju atau menyokong.

Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua ahli Parlimen beragama Islam
dari UMNO, Pas, PKR, Amanah, PBB dan DAP jumlah mereka hanya 135
orang. Ini tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda Perlembagaan.

Persoalannya sekarang ialah apakah yang sebenarnya yang dicadangkan


oleh Pas Kelantan?

Pas Kelantan mencadang untuk meminda akta berhubung Mahkamah


Syariah dan bukannya meminda Perlembagaan Persekutuan. Perkara
utamanya adalah cadangan meminda Akta 355 supaya bidang kuasa
Mahkamah Syariah dapat dipertingkatkan dan diperluaskan sejajar dengan
peningkatan janayah keganasan masa kini.

Secara tidak langsung, ini dapat menaikkan taraf Mahkamah Syariah yang
masih di takuk lama dengan hukumannya yang paling tinggi jauh lebih rendah
dari Mahkamah Majistret iaitu maksimum tiga tahun penjara, enam kali
sebatan, denda RM5000 atau kombinasi antaranya.

Secara realiti, kesalahan-kesalahan jenayah syariah sudah termaktub dalam


undang-undang sedia ada Malaysia, sama ada di dalam Kanun Keseksaan
atau Enakmen Jenayah Syariah negeri-negeri.

Namun, hukumannya tidak selari dengan hukuman sebenar yang disediakan


oleh syariah kecuali kesalahan yang membawa hukuman takzir. Sekiranya
pindaan Akta 355 ini diluluskan, empat daripada enam kesalahan syariah itu
sudah boleh dilaksanakan.

Apabila berlaku pertentangan di antara undang-undang negeri yang


diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) dan undang-undang
persekutuan yang diluluskan oleh Parlimen, maka Perlembagaan
memperuntukkan bahawa undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen
yang dikira sah. Ini bermakna, dalam kes jenayah Kanun Keseksaan akan
terpakai. Di sinilah perlunya kepada usul untuk menggunapakai
Perkara76A(1). Usul ini bukan bermaksud meminda Perlembagaan.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kanun Jenayah Syariah II, Datuk


Dr Mohamed Fadzli Hassan pada 29 Mei 2016 berulangkali mengingatkan
bahawa hanya Perkara 76A(1) digunapakai dan bukannya meminda
Perlembagaan.

Perkara 76A(1) memberi kuasa kepada Parlimen untuk membenarkan mana-


mana negeri membuat undang-undang untuk dilaksanakan dalam negeri
tersebut walaupun ia adalah di bawah bidang kuasa Parlimen.

Untuk meluluskan usul pindaan Akta 355 dan usul di bawah Perkara 76A(1)
ini pula hanya memerlukan undi majoriti mudah sahaja dan bukannya majoriti
mutlak dua pertiga.

Jika perlembagaan yang hendak dipinda sudah tentu memerlukan


persetujuan majoriti dua pertiga. Namun apa yang diusulkan oleh Pas
Kelantan bukannya untuk meminda perlembagaan. Sebaliknya, Pas Kelantan
hanya memohon kebenaran Parlimen untuk menggunakan perkara 76 (A) 1
bagi meminda Akta 355 memandangkan ia di bawah bidang kuasa
Persekutuan.

Sekiranya usul ini diluluskan dan pindaan dibuat terhadap Akta 355, ia akan
terpakai kepada kesemua Mahkamah Syariah di Malaysia. Dengan itu semua
Mahkamah Syariah boleh menggunakan pakai semua jenis hukuman
melainkan hukuman mati dengan syarat kesalahan-kesalahan itu
diperuntukkan di dalam enakmen masing-masing.

Kenapa pindaan ini perlu dibuat di Parlimen? Walaupun kerajaan negeri


mempunyai kuasa dalam urusan agama Islam,ini tidak bermakna kerajaan
negeri mempunyai kuasa eksklusif untuk membuat undang-undang dalam
semua perkara berkaitan dengan Islam.

Keadaan ini berlaku kerana Perlembagaan hanya menghadkan kuasa


kerajaan negeri di dalam perkara yang berkaitan dengan undang-undang
keluarga, wakaf, zakat dan jenayah-jenayah syariah, sedangkan hukum Islam
adalah luas mencakupi segala bidang kehidupan.

Isu ini timbul buat pertama kalinya ketika Dewan Undangan Negeri Kelantan
meluluskan dengan sebulat suara Enakmen Jenayah Syariah II, 1993 pada
25 November 1993. Seterusnya Dewan Undangan Negeri Terengganu pula
meluluskan Enakmen Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) 2002 bagi
menguatkuasakan undang-undang jenayah Islam pada tahun 2002.

Pada ketika itu enakmen-enakmen ini tidak dapat dilaksanakan kerana


beberapa faktor di antaranya halangan perundangan dan tidak mendapat
persetujuan dari kerajaan Persekutuan walaupun pada dasarnya enakmen-
enakmen ini adalah sah dan boleh dikuatkuasa sebagai undang-undang
negeri.

Antara halangan perundangan yang berkaitan ialah enakmen ini merangkumi


kesalahan-kesalahan yang sebahagian besarnya bertindih dengan kesalahan-
kesalahan yang termasuk di dalam Jadual Kesembilan Senarai Persekutuan.
Oleh kerana kesalahan-kesalahan ini terdapat dalam undang-undang
Persekutuan iaitu Kanun Keseksaan, ia juga bercanggah dengan butiran 1,
Senarai Negeri yang menghadkan kuasa membuat undang-undang jenayah
Islam setakat mana ia tidak berkaitan dengan perkara-perkara yang termasuk
dalam Senarai Persekutuan.

Berikutan itu, Prof. Ahmad Ibrahim mencadangkan dua tindakan yang boleh
dilakukan oleh Parlimen iaitu, pertama, meluaskan kuasa kerajaan Negeri
Kelantan melalui Perkara 76A serta meminda atau memansuhkan Akta 355
1965; atau kedua, meminda Senarai Negeri dengan meluaskan bidang kuasa
perundangan negeri-negeri.

Sejajar dengan itu, Pas Kelantan memohon usul untuk mengguna pakai
Perkara76A(1) dan meminda Akta 355 dan ini hanya memerlukan persetujuan
majoriti mudah di Parlimen bagi membantu memperkasakan Mahkamah
Syariah.

Penulis merupakan Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Undang-undang,


Universiti Utara Malaysia, email: roosniza@outlook.com

Tag Berkaitan
Parlimen

Rencana
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/ruu-355-hanya-pinda-akta-
bukan-perlembagaan-1.417411#ixzz4b0EGh6i8
Utusan Melayu (M) Bhd
Salah faham Akta 355

25 November 2016 5:04 PM

Menjawab 10 salah faham mengenai pindaan Rang Undang-undang (RUU)


Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) @ Akta 355.

Berikut adalah jawapan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri,


Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dalam sesi dialog dan soal jawab dengan
pemimpin-pemimpin bukan Islam khususnya MCA dan Gerakan Kelantan di
Kota Bharu sebelum ini.

1 Apa keperluan dipinda Akta 355?

Cadangan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965


(Akta 355) adalah untuk memperkasa Mahkamah Syariah yang ketika ini
dibataskan kuasa hukuman kepada kadar maksimum penjara tiga tahun,
denda RM5,000, enam kali sebatan syarie. Kali terakhir dipinda pada 1984
peningkatan penjara enam bulan dan denda RM1,000. Justeru hukuman yang
ada sudah lapuk dan tidak langsung menggerunkan pesalah. Apa yang
dicadangkan hanyalah meningkatkan hukuman maksimum kepada hukuman
yang selaras dengan hukum syarak selain hukuman mati. Jumlah hukuman
denda, penjara dan sebatan bakal ditentukan oleh Dewan Undangan Negeri.

2 Sebatan 100 kali adalah agak melampau?

Kaedah sebatan Syariah jauh berbeza dengan sebatan Sivil. Syarat sebatan
Syariah tidak boleh mencederakan iaitu kaedah hayunan sebatan seolah-olah
meletakkan buku di bawah ketiak yang tidak boleh jatuh tatkala menghayun.
Justeru 100 kali sebatan Syariah tidak sama dengan satu kali sebatan Sivil
yang boleh mencederakan.

3 Akta 355 memberi kesan secara tidak langsung kepada orang bukan
Islam?
Orang bukan Islam tidak mungkin boleh dibicarakan di Mahkamah Syariah
kerana Perlembagaan Persekutuan menetapkan bidang kuasa Mahkamah
Syariah hanya untuk umat Islam dan Akta 355, Seksyen 2 juga menjelaskan
hanya orang Islam yang boleh dibicarakan dan dihukum di Mahkamah
Syariah.

4 Akta 355 adalah pintu belakang ke arah melaksanakan hudud?

Akta 355 tiada perkaitan dengan pelaksanaan hukum hudud. Pelaksanaan


hudud hanya berkait rapat dengan pindaan kepada Perlembagaan
Persekutuan. Contohnya bagi melaksanakan hudud di Malaysia, sekurang-
kurangnya tiga pindaan kepada beberapa bahagian dalam Perlembagaan
perlu dilakukan dan bukan dengan meminda Akta 355 yang terhad kepada
bidang kuasa Mahkamah Syariah yang merujuk kepada kuasa-kuasa yang
disenaraikan dalam Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan
Perlembagaan Persekutuan

5 Apakah Perlembagaan boleh dipinda?

Boleh dengan syarat undi majoriti iaitu 2/3 ahli Parlimen Dewan Rakyat
bersamaan 148 daripada 222 orang ahli Parlimen bersetuju menyokong satu-
satu pindaan. Realiti politik hari ini kalau digabungkan semua ahli Parlimen
beragama Islam daripada UMNO, Pas, PKR, Amanah, PBB dan DAP hanya
berjumlah 135 orang; tidak memenuhi bilangan majoriti untuk meminda
Perlembagaan. Bermakna ahli-ahli Parlimen bukan Islam juga mempunyai
hak dan kuasa bagi membolehkan hukuman hudud dilaksanakan.

6 Apakah bahagian-bahagian penting dalam Perlembagaan Persekutuan


yang perlu dipinda untuk laksana hudud di Malaysia?

Sekurang-kurangnya tiga bahagian Perlembagaan Persekutuan yang perlu


dipinda:

(i). Senarai II Jadual Kesembilan untuk memasukkan tambahan bidang kuasa


Jenayah ke dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah seperti yang terkandung
dalam Butiran 1. Sebagai contoh undang-undang jenayah seperti mencuri,
merompak, merogol, bunuh, dan menyebabkan kecederaan (kesalahan yang
wujud dalam Penal Code) terletak di bawah kuasa Persekutuan dan dalam
bidang kuasa Mahkamah Sivil dan polis, penjara juga terletak di bawah
Persekutuan.

(ii). Selain daripada pindaan pada Butiran 1, kebenaran Parlimen di bawah


Perkara 76A juga perlu diperolehi bagi membolehkan negeri menggubal dan
melaksanakan undang-undang Jenayah yang termaktub dalam senarai kuasa
Persekutuan.

(iii). Perkara 8 juga perlu dipinda supaya tidak timbul isu pendiskriminasian
dan ketidakadilan dan kesamarataan hak warga Malaysia yang dibezakan
peruntukan undang-undang kerana berbeza agama. Dengan kata lain bagi
membolehkan ada dua set undang-undang jenayah kepada orang Islam dan
bukan Islam.

7 Pindaan RUU 355 ini membolehkan undang-undang berbaur hudud


diperkenalkan.

Hudud melibatkan hukuman yang menyentuh enam jenis kesalahan; empat


bersifat individu atau dosa peribadi iaitu zina; menuduh zina (qazaf); minum
arak dan murtad;, manakala dua lagi melibatkan kesalahan jenayah awam
seperti mencuri dan merompak. Sekarang ini pun empat jenis kesalahan ini
yang melibatkan dosa peribadi (zina, qazaf, minum arak dan murtad) sudah
ada peruntukan undang-undang di bawah kuasa negeri-negeri. Akta 355 tidak
melibatkan kesalahan jenayah awam seperti mencuri dan merompak yang di
bawah bidang kuasa Persekutuan. Jadi pindaan RUU hanya melibatkan
peruntukan kesalahan sedia ada dalam enakmen jenayah negeri-negeri.

8 Ketidakadilan akan berlaku jika terjadi kejadian rogol yang melibatkan


orang Islam dan bukan Islam. Orang Islam dihukum di Mahkamah
Syariah manakala bukan Islam di Mahkamah Sivil.

Rogol bukan kesalahan jenayah di bawah bidang kuasa negeri kerana


terletak di bawah kuasa Persekutuan khususnya undang-undang Penal Code
atau Akta Kanun Jenayah Persekutuan.
9 Pelaksanaan hudud akan mewujudkan situasi rakyat berhadapan
dengan dua set perundangan berkaitan jenayah yang bertentangan
Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

Soalan ini tidak relevan kerana pindaan RUU Akta 355 tiada kaitan dengan
hudud mahupun hukuman jenayah di bawah Bidang Kuasa Persekutuan. Jadi
tiada isu pertentangan dengan mana-mana Bahagian dalam Perlembagaan
Persekutuan.

10 Kenapa bukan pihak kerajaan yang membentangkan RUU untuk


meminda Akta 355?

Kerajaan terikat dengan proses dan tertib apabila melibatkan pemerkasaan


Mahkamah Syariah. Keutamaan ketika ini adalah untuk menaikkan taraf
Mahkamah Syariah daripada tiga peringkat kepada lima peringkat
sebagaimana Mahkamah Sivil.

Untuk itu, menteri perlu mengadap semua sultan atau raja Melayu untuk
mendapat perkenan kerana kuasa agama terletak di bawah kuasa raja-raja
Melayu. Setakat ini ada negeri yang belum bersetuju. Jika semua bersetuju
baharulah boleh dibentangkan di peringkat Majlis Raja-Raja Melayu sebelum
dibawa ke Parlimen.

Dengan kata lain, walaupun Akta 355 adalah undang-undang Persekutuan,


namun ini berkait secara langsung dengan bidang kuasa Mahkamah Syariah
yang terletak di bawah Kuasa Sultan/ Raja-Raja.

Terdapat banyak tertib langkah yang perlu dilalui oleh Menteri termasuk
meyakinkan Jemaah Menteri yang terdiri daripada parti-parti bukan Islam.

Justeru bagi mengelakkan kesukaran yang mungkin boleh menjejaskan


perjalanan proses pindaan Akta 355 itu, adalah lebih mudah prosesnya jika
dimulakan sebagai Usul Persendirian. Jika Dewan Rakyat meluluskannya
untuk dibahaskan adalah atas kemahuan majoriti rakyat dan bukannya
kemahuan kerajaan semata-mata.
Kemahuan ini tidak sekali-kali menyentuh kuasa raja kerana apa pun tahap
maksimum hukuman yang diluluskan, pindaan muktamad masih perlu
dilakukan di peringkat DUN.

Dalam konteks tertib yang sama berkaitan peningkatan Kuasa Hukuman


Mahkamah Syariah yang hendak diperkasakan, kerajaan terikat dengan
prosedur serupa. Walau bagaimanapun Pas dalam konteks ini tidak terikat
dengan prosedur ini dan mereka bersungguh-sungguh mahu dipercepatkan
RUU ini dibentangkan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/rencana/utama/salah-faham-akta-


355-1.411987#ixzz4b0HuUW4D
Utusan Melayu (M) Bhd

You might also like