You are on page 1of 15

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN, MATLAMAT, OBJEKTIF

DAN ORGANISASI KANDUNGAN

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN, MATLAMAT, OBJEKTIF

DAN ORGANISASI KANDUNGAN

Pengenalan

Sistem pendidikan format atau moden di Tanah Melayu bermula sejak zaman
penjajah Inggeris. Sekolah pertama dibina ialah Penang Free School. Walau
bagaimanapun, usaha Inggeris itu sebenarnya bukan bertujuan untuk
memajukan orang Melayu, melainkan untuk menghalalkan penjajahan.
Selain itu, ia bertujuan untuk mengelakkan tuduhan penindasan terhadap
rakyat Malaysia daripada parti-parti politik di Britain dan pertubuhan dunia.
Usaha menjadikan sistem pendidikan ke arah membentuk negara bangsa
bermula selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Penyata Razak
(1956) telah menjadi asas pengubalan Ordinan Pelajaran 1957. Ordinan ini
menyarankan satu sistem pelajaran yang memenuhi keperluan negara
diwujudkan. Bahasa Melayu (bukan bahasa Malaysia atau bahasa Inglish)
telah dijadikan Bahasa Kebangsaan dan bahasa pengantar utama di sekolah.
Laporan Penyata Razak, ... hendak menyatukan budak-budak daripada
semua bangsa di dalam negeri ini dengan memakai satu peraturan pelajaran
yang meliputi semua bangsa dengan menggunakan bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar yang besar .... Laporan Penyata Rahman Talib
(1960) menyarankan agar laporan Penyata Razak dipertingkatkan. Ia menjadi
asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang menghendaki sistem pendidikan
negara diperkemaskan agar lebih berkesan.

Cadangan Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib yang menghendaki satu
sistem pendidikan kebangsaan yang seragam untuk semua kaum dengan
menggunakan bahasa sama sebagai bahasa pengantar terbukti sangat
penting apabila pada 13 Mei 1969 berlaku rusuhan kaum. Kebaikan utama
peristiwa berdarah itu ialah memberi kesedaran kepada kerajaan, khususnya
pemimpin politik, agar mengutamakan kepentingan rakyat daripada
kepentingan peribadi. Sejak itu kerajaan menggubal banyak dasar yang
bertujuan merapatkan hubungan kaum dan perpaduan. Pelbagai dasar telah
diperkenalkan, termasuk Rukun Negara yang bertujuan;
Mencapai perpaduan erat rakyat pelbagai kaum;

Memelihara satu cara hidup demokratik;

Mencipta satu masyarakat adil dan menikmati kemakmuran secara bersama dan
saksama;

Menjamin satu masyarakat liberal terhadap kebudayaan; dan

Membina satu masyarakat progresif yang menggunakan Sains dan Teknologi


moden.

Usaha mencapai cita-cita di atas adalah berlandaskan lima prinsip,


sebagaimana yang berikut;

Kepercayaan kepada Tuhan;

Kesetiaan kepada raja dan negara;

Keluhuran perlembagaan;

Kedaulatan undang-undang; dan

Kesopanan dan kesusilaan.

Kesan positif lain peristiwa 13 Mei 1969 ialah pengisytiharan Dasar Ekonomi
Baru. Dasar ini bertujuan membina perpaduan dan kemajuan rakyat melalui
serampang dua mata, iaitu;

Membasmi kemiskinan dengan meninggikan taraf pendapatan dan menambahkan


peluang-peluang pekerjaan untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum;
dan

Mempercepatkan proses penyusunan masyarakat Malaysia untuk membaiki


keadaan ekonomi yang tidak seimbang agar dapat mengurangkan dan akhirnya
menghapuskan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi ekonomi.

Bagi menyokong usaha-usaha kerajaan di atas, pada tahun 1974, kerajaan


menubuhkan Jawatankuasa Kabinet bagi mengkaji sistem pelajaran negara.
Laporan Jawatankuasa Kabinet agar sistem pendidikan negara dapat
melahirkan masyarakat bersatu padu, berdisiplin dan terlatih. Ciri-ciri
masyarakat yang dikehendaki ialah;
Mempunyai keazaman, kesanggupan dan kesediaan untuk hidup bersama
dengan rukun dan damai serta mempunyai kesedaran, keperibadian dan
nilai-nilai rakyat Malaysia;
Menghormati dan mematuhi undang-u ndang serta perraturan,
berdasarkan bekerja atau membuat sesuatu hingga sempurna,
menghormati hak-hak individu, mengamalkan ti ngkah laku yang baik dan
tidak menjejaskan kepentingan orang lain, menghhormati dan
mempunyai semangat memperbaiki keadaan secara membina, dan
bersedia berkhidmat untuk negara; dan
Mendapat pendidikan dan latihan supaya boleh menyertai dengan
berkesan dalam kegiatan pembangunan negara.

Untuk mencapai cita-cita di atas, Jawatankuasa Kabinet mengemukakan


beberapa perakuan yang bertujuan meningkatkan mutu pendidikan negara.
Perakuan tersebut ialah;

Pendidikan peringkat asas memberikan penegasan dalam bidang membaca,


menulis dan mengira;

Memenuhi kehendak pendidikan ke arah perkembangan individu secara


menyeluruh;

Memenuhi pendidikan negara ke arah perkembangan bakat kanak-kanak;

Meningkatkan pengetahuan, nilai disiplin, kemahiran yang pelbagai dan


berdedikasi;

Berfikir dan bertindak dengan baik berpandukan akhlak yang mulia; dan

Individu yang dihasilkan dalam sistem pendidikan negara adalah selaras dengan
pembanugnan kemanusiaan.

Laporan Jawatankuasa Kabinet menjadi asas Kementerian Pendidikan


Malaysia menggubal dan melaksanakan Kurikulum Baru Sekolah Rendah
(KBSR) yang dilaksanakan mulai tahun 1982, dan Kurikulum Bersapadu
Sekolah Menengah (KBSM) yang dilaksanakan mulai tahun 1988.
Berlandaskan hasrat dan cita-cita yang terkandung dalam Penyata Razak,
Penyata Rahman Talib, Akta Pelajaran 1961, Laporan Jawatankuasa Kabinet,
Rukun Negara dan dasar-dasar kerajaan, maka Kementerian Pendidikan telah
merangka satu falsafah pendidikan sebagai pegangan dan arah tuju
pendidikan nasional.

Penyataan Falsafah Pendidikan, Matlamat dan Objektif Pendidikan


(a) Falsafah Pendidikan Kebangsaan

Pendidikan merupakan tonggak kemajuan, sama ada kemajuan individu, masyarakat


mahupun negara. Pendidikan juga menentukan corak manusia dan masyarakat.
Manusia yang berpendidikan lebih berdisiplin berbanding manusia yang tidak
mendapat pendidikan sempurna. Pendidikan yang sempurna dan berkesan dapat
diperoleh apabila wujud satu sistem yang teratur. Dalam sistem itu digarisi visi dan
misi, matlamat, peraturan dan undang-undang. Antara aspek pendidikan sempurna
dan bersistem ialah apabila digubal satu falsafah pendidikan yang seragam untuk
semua bangsa dalam sebuah negara berdaulat. Pada awalnya, falsafah pendidikan
dalam sistem pendidikan Malaysia dinamakan Falsafah Pendidikan Negara,
sebagaimana di bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah


lebih memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh
dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan
harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani,
berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha
ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

Sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan


dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan,
sebagaimana di bawah.

Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah


lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan
bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis
dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan
kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah
bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia,
bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan
diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.

(b) Matlamat Pendidikan

Bagi mencapai pelaksanaan falsafah, Kementerian Pendidikan telah


merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah.
Untuk Bahasa Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah
Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala
Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa
Melayu untuk kegunaan di sekolah menengah. Dalam sukatan berkenaan
digarisi satu matlamat pendidikan, iaitu;

Matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk


melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan
berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh
ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian.

(c) Objektif Pendidikan

Setiap sukatan mata pelajaran bagi sekolah rendah dan menengah


mempunyai objektif masing-masing. Objektif ini akan berubah-ubah setiap
kali semakan dilakukan. Hal ini bagi memenuhi keperluan semasa dan demi
satu sistem pendidikan yang berkesan. Objektif Sukatan Pelajaran Kurikulum
Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu (edisi semakan) cetakan tahun
2003 ialah sebagaimana di bawah.

I. mendengar dengan teliti serta memahami dan menghayati pengucapan dalam


konteks perbualan harian dan situasi formal;
II. bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang betul dalam
pelbagai situasi;
III. berbincang dan berkongsi pendapat untuk menyelesaikan masalah, mencapai
persetujuan, dan membuat keputusan tentang sesuatu perkara;
IV. membaca pelbagai bahan sastera dan bahan berunsur pengetahuan dengan
menggunakan teknik membaca yang sesuai dan berkesan untuk
memperoleh ilmu dan memproses maklumat secara kritis;
V. menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam kehidupan ke arah
membina budaya pembelajaran berterusan;
VI. memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti, pemikiran kritis dan
penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan
menulis;
VII. mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan
berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis
serta proses penulisan yang sesuai dan betul;
VIII. menggunakan bahasa baku yang meliputi ejaan, kosa kata, tatabahasa, dan
sebutan yang betul dalam aktiviti mendengar, bertutur, membaca,
dan menulis;
IX. menghargai dan menghayati keindahan bahasa melalui karya sastera dan
karya berunsur ilmu; dan
X. menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme,
dan perasaan cinta akan negara.

Pengenalan Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa


Melayu Sekolah Rendah

Organisasi Kandungan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah


mempunyai beberapa bahagian,iaitu Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran,
Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum.

(a) Kemahiran Bahasa

Kemahiran Bahasa meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan


menulis. Kemahiran Bahasa ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa
baku. Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar
dengan teliti, memberikan maklum balas dan memahami perkara yang
didengar dalam pelbagai situasi pengucapan. Kemahiran Bertutur merujuk
kepada keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan
menyampaikan pendapat, perasaan, maklumat serta idea yang bernas
dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan
pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
Lazimnya Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur dijalankan serentak
dan dikenali sebagai Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Hal ini disebabkan,
dalam Kemahiran Mendengar akan melibatkan pertuturan.

Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca ayat


dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Penekanan perlu
diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara
kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Manakala, Kemahiran
Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan
mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan
ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan
menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta
tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan
kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan
pengetahuan dan penulisan imaginatif.

(b) Hasil Pembelajaran

Hasil Pembelajaran ialah pernyataan yang ditafsirkan daripada objektif


kurikulum bahasa. Pernyataan hasil pembelajaran merupakan petunjuk yang
jelas tentang kemahiran yang perlu dicapai oleh murid. Oleh itu, murid perlu
menguasai kemahiran bahasa yang terdapat dalam setiap hasil
pembelajaran. Justeru, hasil pembelajaran dapat membantu guru memilih
kandungan, kaedah, sumber, dan prosedur pengajaran yang relevan dan
berkesan. Dalam konteks pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah, hasil
pembelajaran dapat dicapai dengan menggabungjalinkan keempat-empat
kemahiran bahasa, sistem bahasa dan pengisian kurikulum. Pendekatan
yang berfokus pada gaya pembelajaran yang pelbagai juga dapat membantu
murid mencapai hasil pembelajaran. Selain itu, hasil pembelajaran juga
dapat membantu dalam membuat pengukuran dan penilaian pencapaian
murid.

(c) Sistem Bahasa

Sistem Bahasa dalam pengajaran dan pembelajaran merujuk kepada bahasa


Melayu baku yang terdiri daripada tatabahasa, kosa kata, peribahasa, ejaan,
dan sebutan dan intonasi. Aspek tatabahasa merangkumi morfologi dan
sintaksis manakala aspek kosa kata terdiri daripada kosa kata umum dan
istilah yang terdapat mata-mata pelajaran di peringkat rendah.

(d) Pengisian Kurikulum

Pengisian Kurikulum terdiri daripada elemen yang menggabungkan aspek ilmu, nilai
murni, kewarganegaraan, peraturan sosio-budaya, dan kemahiran bernilai tambah.

Setiap bahagian (a) (d) akan dibincangkan secara lebih khusus di bawah tajuk masing-
masing.

Perkaitan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dengan Matlamat dan Objektif

Terdapat 13 tuntutan atau hasrat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan


Kebangsaan. Kesemua tuntutan atau hasrat itu mempunyai perkaitan dengan Matlamat
Pendidikan dan Objektif Pendidikan.

(a) Pendidikan Suatu Usaha Berterusan

Dalam Islam, pendidikan seseorang bermula sejak menjatuhkan benih hingga seseorang
itu tamat hayat usianya. Islam menuntut benih yang halal melalui hasil perkahwinan.
Ibu yang hamil (juga bapa) dituntut berkelakuan sopan, membaca al-Quran dan
bercakap-cakap dengan janin dalam kandungannya. Perbuatan itu dipercayai boleh
mempengaruhi pembesaran janin. Setelah dilahirkan, kanak-kanak diasuh dengan
didikan agama, budi perkerti, mengenal adab budaya bangsa hingga menerima
pendidikan secara formal. Walaupun sudah tamat alam persekolahan, manusia masih
dituntut untuk terus belajar, meningkatkan pengetahuan, kematangan dan kepakaran.
Sebenarnya, proses pendidikan terus berlangsung dalam diri seseorang. Hal ini selaras
dengan Matlamat pendidikan agar manusia terus menimba ilmu, dan Objektif
Pendidikan ke V, iaitu menyemai budaya membaca sebagai satu amalan dalam
kehidupan ke arah membina budaya pembelajaran berterusan;

(b) Perkembangan Potensi Individu secara Menyeluruh dan Bersepadu

Dalam al-Quran Surah At-Tiin ayat 4 Allah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya
Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk sebaik-baiknya. Ayat ini merupakan
pengakuan Allah bahawa setiap manusia telah dicipta dengan sempurna dan setiap
individu mempunyai potensi untuk maju. Yang tinggal kini ialah usaha menggerakkan
potensi individu dalam diri seseorang. Oleh sebab itu, Matlamat Pendidikan Bahasa
Melayu adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan
berkomunikasi. Bahasa merupakan salah satu alat yang dapat menggerakkan potensi
individu. Peguam menang bicara kerana kepetahan menggunakan bahasa. Demikian
murid berjaya dalam peperiksaan kerana kemampuan menggunakan bahasa untuk
menyampaikan maksud yang dikehendaki soalan. Menyedari potensi individu boleh
dimajukan, maka sistem pendidikan di Malaysia memberi peluang secukup dan sama
rata kepada semua individu untuk memajukan dirinya. Hal ini banyak ditegaskan
sebagai Objektif Pendidikan misalnya, memperkembang kekuatan imaginasi, kreativiti,
pemikiran kritis dan penghayatan nilai murni melalui aktiviti bertutur, membaca dan
menulis; atau mengenali dan menghasilkan pelbagai jenis penulisan bentuk kreatif dan
berunsur pengetahuan dengan menggunakan kemahiran menulis serta proses
penulisan yang sesuai dan betul. Sesetengah individu mempunyai bakat dan keupayaan
untuk memajukan dirinya. Namun, bakat dan keupayaan itu tidak mampu digerakkan
sendirian, melainkan perlu sokongan daripada individu-individu lain. Justeru, guru dan
masyarakat perlu berganding bahu mencungkil, memupuk, memperkembangkan dan
mempertingkatkan bakat dan keupayaan individu seseorang. Walau bagaimanapun,
terdapat juga individu yang tidak dapat dikembangkan potensi dirinya, sebagaimana
maksud pantun di bawah.

Berburu di padang datar,

Dapat rusa berbelang kaki;

Berguru kepalang ajar,

Bagai bunga kembang tak jadi.

Mengapakah hal ini terjadi? Dalam al-Quran Surah Asy-Syura ayat 30 Allah
berfirman yang bermaksud, Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu
kesusahan, maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan. Ertinya,
bunga kembang tak jadi bukan disebabkan sistem pendidikan atau guru,
melainkan diri individu itu sendiri yang tersalah menjana pendidikan dirinya.

(c) Insan yang Seimbang dan Harmonis Intelek

Yang dimaksudkan seimbang dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan ialah memberi


tempat yang sewajar dan adil kepada semua keperluan pendidikan manusia khususnya
dari segi pertumbuhan akal, perkembangan sahsiah secara sihat dan bersepadu.
Harmonis pula ialah wujudnya keserasian antara pertumbuhan dan perkembangan
fizikal dengan pertumbuhan dan perkembangan rohani. Keserasian itu merupakan
makanan intelek. Menurut Kementerian Pendidikan Malaysia (1990) insan yang
seimbang dan harmonis dapat mengamalkan ilmu pengetahuan, berakhlak mulia,
mempunyai kepercayaan teguh kepada Tuhan, berfikiran tenteram, sihat tubuh badan,
hidup bermasyarakat dan cergas. Hal ini sangat mempengaruhi pembentukan intelek.
Antara ciri-ciri individu yang seimbang dan harmonis inteleknya ialah;

Sempurna kemahiran asas iaitu membaca, menulis dan mengira,

Sentiasa berusaha mencari, membaiki, meningkat, mengamal dan menyebarkan ilmu,

Sentiasa berfikir keatif dan kritis, dan mencerakinkan pemikirannya untuk menghasilkan
idea-idea bernas dan menjawab permasalahan masyarakat,

Berupaya memanfaatkan ilmu untuk kemajuan diri dan orang lain.

(d) Insan yang Seimbang dan Harmonis Rohani

Yang dimaksudkan rohani ialah merujuk pembentukan dan pembinaan watak dan
kejatidirian manusia. Sebagai warga Malaysia, seharus sistem pendidikan melahirkan
watak dan kejatidirian watak yang sesuai dengan agama, adat dan sosio budaya
Malaysia, sebagaimana termaktub dalam Rukun Negara. Ciri-ciri individu yang
mempunyai rohani seimbang dan harmonis ialah;

Menyedari adanya Pencipta dan mempercayai-Nya,

Menyedari dan mengamalkan sikap bertanggungjawab kepada agama, diri, masyarakat,


bangsa dan negara,

Menghargai dan mensyukuri anugerah Tuhan, pemberian negara, masyarakat dan


keluarga,

Memumpuk dan membina disiplin diri, dan

Membentuk akhlak mulia dan tingkah laku sopan.


(e) Insan yang Seimbang dan Harmonis Emosi

Seimbang dan harmonis emosi dapat menjana tingkah laku dan pemikiran sihat,
matang dan bertolenrasi antara individu. Memang pendidikan mengasuh perasaan dan
pemikiran sihat. Allah menegaskan dalam diri manusia ada seketul daging, jika sihat
daging itu makan akan sihatlah pemiliknya. Yang dimaksudkan daging itu, dalam
worlview Melayu ialah hati. Sebenarnya, daging itu merujuk juga kepada kalbu atau
jiwa. Dalamnya terkumpul budi fikir dan budi rasa manusia. Ciri-ciri emosi yang
seimbang dan harmonis ialah;

Berperasaan tenang dan tingkah laku terkawal,

Mempunyai rasa kasih sayang terhadap semua makhluk,

Memiliki semangat kekitaan dan perpaduan dan menghormati orang lain,

Menghargai dan menyayangi keindahan alam,

Menghargai dan menghormati keindahan buatan manusia selagi ia tidak bertentangan


dengan agama dan adat budaya, dan

Selalu bersikap matang dan terbuka.

(f) Insan yang Seimbang dan Harmonis Jasmani

Keseimbangan dan keharmonian jasmani merujuk kesihatan tubuh badan. Walaupun


merujuk tubuh badan, kesihatannya bukan bergantung pada penjagaan tubuh badan
semata-mata, melainkan juga perlu penjagaan emosi. Hal ini kerana emosi juga
mempengaruhi kesihatan tubuh badan. Dalam ilmu perubatan Cina, tubuh badan yang
sakit kerana tiada keseimbangan Yang dengan Ying dalam badan manusia. Demikian
juga dalam sistem perubatan Melayu seperti pembomohan, Bageh, Main Puteri adalah
berkenaan memulihkan ritual dalam diri manusia. Dalam hal ini, yang dikatakan jasmani
yang seimbang dan harmoni ialah;

Sihat badan dan sihat emosi,

Sentiasa melakukan riadah, yoga atau bermeditasi,

Sentiasa sedar, mencungkil, mengembangkan dan memanfaatkan bakat dan keupayaan


diri,

Sentiasa amal sikap mencuba dan berdikari,

Menggunakan bakat dan keupayaan diri untuk kesejahteraan diri dan masyarakat, dan
Berusaha meningkatkan daya pengeluaran.

(g) Kepercayaan dan Kepatuhan kepada Tuhan

Malaysia sebuah negara berkonsepkan teologi. Setiap warganya mempunyai


kepercayaan masing-masing. Hal ini termaktub dalam Rukun Negara dan menjadi
prinsip pertama. Malaysia percaya peranan agama sebagai pembentuk dan pembina
watak manusia berharmonis. Manusia yang patuh dan percaya kepada Tuhan akan
dipercayai menjadi tonggak kedamaian, keamanan dan keharmonian masyarakat. Ciri-
ciri manusia yang percaya dan patuh kepada Tuhan ialah;

Mengakui dan percaya tentang wujudnya Tuhan,

Mengakui bahawa manusia dan alam tidak wujud dengan sendiri,

Mengakui bahawa segala tabii, kejadian dan fenomena alam ditetapkan oleh Tuhan,

Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab memakmurkan alam,

Menyedari bahawa manusia bertanggungjawab terhadap perbuatannya,

Sentiasa berusaha memperkukuhkan amalan keagamaan, dan

Sentiasa berusaha melakukan kebaikan dan menghindari kejahatan.

(h) Rakyat Malaysia yang Berilmu Pengetahuan

Pendidikan percuma dari tahun satu hingga tingkatan enam yang diberikan kepada
setiap warganegara adalah bukti kesedaran kerajaan terhadap kepentingan ilmu.
Pelbagai usaha dilakukan untuk membina insan berilmu dan berdaya saing. Ciri-ciri
insan berilmu ialah;

Mencintai ilmu pengetahuan,

Gemar membaca dan menimba ilmu,

Sentiasa berusaha menambahkan ilmu pengetahuan,

Bersedia untuk diajar dan belajar,

Berfikiran luas, terbuka, kritis dan matang,

Berusaha mengamal dan menyebarkan ilmu pengetahuan yang ada, dan

Sentiasa menggalakkan orang lain menambah ilmu pengetahuan.


(i) Rakyat Malaysia yang Berketerampilan

Kamus Dewan mencatatkan maksud terampil sebagai cekap (dalam melaksanakan


sesuatu, menyelesaikan masalah dsb), mampu dan cekatan. Manakala maksud
keterampilan ialah kecekapan, dan kemampuan yang tinggi. Oleh sebab itu, rakyat yang
berketerampilan adalah merujuk kepada mereka yang mempunyaikecekapan dan
kebolehan tinggi melaksanakan tanggungjawab dan tugas. Antara ciri-ciri rakyat yang
berketerampilan ialah;

Mempunyai kelayakan dan kebolehan yang sepadan dengan jawatan dan tugas,

Mempunyai pengetahuan luas untuk melaksanakan sesuatu tugas,

Dapat melaksanakan tugas dengan cepat, cekap, dan sempurna, dan

Hasil kerjanya memuaskan pengguna dan pelanggan.

(j) Rakyat Malaysia yang Berakhlak Mulia

Akhlak atau moral sangat penting bagi setiap individu. Walaupun perlakuan berakhlak
tidak boleh diwarisi,namun amalan akhlak boleh dipelajari dan diamalkan. Orang yang
berakhlak akan dipandang mulia dan dihormati. Antara ciri-ciri rakyat yang berakhlak
mula ialah;

Mempunyai pengetahuan tentang nilai-nilai murni, tatasusila dan adab,

Mempunyai kesedaran tinggi terhadap perbuatan baik dan perbuatan buruk, dan

Sentiasa mengamal dan mengutamakan nilai-nilai murni, tatasusila dan beradab dalam
setiap perlakuan,

(k) Rakyat Malaysia yang Bertanggungjawab

Sikap bertanggungjawab merupakan antara ciri-ciri insan yang dituntut oleh agama.
Insan yang bertanggungjawab dapat membina kejayaan diri, masyarakat dan negara.
Masyarakat juga mempunyai kepercayaan dan keyakinan tinggi apabila berurusan
dengan individu yang bertanggungjawab. Antara ciri-ciri rakyat yang bertanggungjawab
ialah;

Menyedari dan faham bahawa setiap tugas adalah amanah,

Menyedari dan faham bahawa setiap tugas perlu dilaksanakan dengan cekap, cepat dan
sempurna,
Sentiasa berusaha meningkatkan kualiti mutu kerja,

Sentiasa berusaha meningkatkan kuantiti pengeluaran,

Sentiasa mematuhi peraturan, undang-undang, adab dan adat bangsa, dan

Berusaha memajukan diri, keluarga,masyarakat, agama, bangsa dan negara.

(l) Rakyat Malaysia yang Berkeupayaan Mencapai Kesejahteraan Diri

Kesejahteraan diri meliputi kesejahteraan fizikal dan mental. Sihat fizikal ditandai
keceriaan dan kelincahan diri, manakala sihat mental meliputi pemikiran dan perlakuan
yang harmonis. Antara ciri-ciri kesejahteraan diri ialah;

Mempunyai fikiran yang waras, jiwa yang tenang dan badan yang sihat,

Mempunyai daya ketahanan diri yang kuat untuk menghadapi sebarang cabaran,

Sentiasa mewujudkan perhubungan yang harmonis dengan orang lain,

Matang bertindak dalam apa jua situasi, dan

Berkelakuan tenang dan tidak terburu-buru.

(m) Rakyat Malaysia yang Dapat Memberi Sumbangan terhadap

Keharmonian dan Kemakmuran Masyarakat dan Negara.

Setiap rakyat dituntut memberi sumbangan ikhlas ke arah keharmonian, kemakmuran


dan pembinaan masyarakat dan negara. Masyarakat Melayu menganggap sumbangan,
material dan nonmaterial, sebagai jasa atau budi. Orang berjasa atau orang berbudi
dipandang tinggi dan dihormati. Hal ini banyak dijelaskan dalam pantun-pantun,
misalnya pantun di bawah.

Di sana padi di sini padi,

Baru bernama sawah dan bendang;

Di sini budi di sana budi,

Baru sempurna menjadi orang.

Antara ciri-ciri rakyat yang dapat memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran masyarakat dan negara ialah;

Sentiasa berusaha memupuk perpaduan rakyat melalui pelbagai aktiviti sihat,


Sentiasa berusaha memajukan membangunkan diri, masyarakat, agama, bangsa dan
negara,

Sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang, dan

Sentiasa patuh pada prinsip dan Rukun Negara, dll.

Kesimpulan

Berasaskan maklumat di atas, kita dapati kerajaan bersungguh-sungguh memajukan


rakyat dan negara. Usaha melaksanakan kemajuan itu digerakkan melalui pelbagai
dasar dan perancangan, termasuklah melalui pembinaan falsafah pendidikan dan
kurikulum pembelajaran di sekolah. Usaha itu digerakkan seawal usia dan dalam
pelbagai bidang yang bersesuaian dengan kebolehan diri masing-masing. Langkah itu
adalah sesuai, bak kata pepatah Cina, perjalanan beribu batu bermula dari langkah
pertama. Maksud langkah pertama, dalam konteks ini, ialah memajukan insan seawal
usia melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Rujukan

Kementerian Pendidikan Malaysia, 1983. Kurikulum Baru Sekolah Rendah

Buku Panduan Am. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kementerian Pendidikan Malaysia, 1990. Pukal Latihan Kurikulum

Bersepadu Sekolah Menengah Falsafah Pendidikan Negara. Kuala Lumpur:


Dewan Bahasa dan Pustaka.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2001.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan Misi Kementerian Pendidikan


Malaysia. Kuala Lumpur: kementerian Pendidikan Malaysia.

Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pelajaran Malaysia 2003.

Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah Bahasa Melayu. Kuala


Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

You might also like