You are on page 1of 4

Isu Semasa :Prefesionalisme Perguruan

Isu pertama adalah berkenaan penyalahgunaan masa. Di Malaysia, waktu bagi satu sesi
persekolahan yang umum adalah dari pukul 7.30 pagi hingga 1.15, iaitu lebih kurang enam
jam tidak termasuk aktiviti kokurikulum pada sebelah petang. Sepanjang tempoh ini, murid
murid dan guru terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Walau
bagaimanapun, sejak kebelakangan ini timbul isu penyalahgunaan masa di kalangan guru di
sekolah. Memang benar isu penyalahgunaan ini jarang tersiar di media massa kerana ianya
lebih menjurus kepada hal ehwal dalaman sekolah, tetapi adalah penting bagi kita untuk
membendung isu ini daripada terus menular. Antara contoh penyalahgunaan masa di
sekolah adalah guru tidak menepati masa memasuki kelas, guru tidak menyampaikan isi
pengajaran dengan bersungguh-sungguh, guru mengajar tidak mengikut sukatan pelajaran
yang telah ditetapkan oleh kementerian, guru tidak menepati masa keluar daripada kelas,
guru menggunakan masa di sekolah dengan melakukan kerja yang tidak berkaitan dengan
pendidikan misalnya melayari facebook, berchatting, bergosip, melepak di kantin, guru
melakukan kerja sambilan di malam hari (misalnya mengajar tuisyen, berniaga di pasar
malam) hingga menjejaskan produktivitinya dalam menyampaikan P&P di siang hari dan
banyak lagi.
Sehingga hari ini, isu membabitkan guru dan profesionalisme keguruan terus mendapat
perhatian dan sering dibahaskan secara meluas sama ada di media massa, dalam kalangan
masyarakat umum malah dibincangkan sehingga peringkat nasional dan universal. Saban
hari dan waktu, pihak media massa secara berterusan menyediakan laporan yang
sesetengahnya berbaur sentimen mempersendakan guru dan profesionalisme keguruan.
Walaupun laporan dan gambaran yang diberikan tidak menyeluruh, namun tindakan ini
berjaya memetakan suatu prejudis masyarakat umum terhadap guru dan profesionalisme
keguruan. Lantas, fenomena ini turut melakarkan rasa kekecewaan, gangguan mental dan
emosi guru, sementelahan bila berhadapan dengan bebanan tugas yang semakin
bertambah.
Senario ini semakin serius apabila terdapat guru novis yang berkhidmat kurang daripada 10
tahun mulai berasa bosan dan tidak mahu lagi bertugas sebagai guru (Chester, 1997; Keller,
2000; Sandham, 2001). Mutakhir ini, wujud kegemaran guru menjalankan tugas
berkepentingan peribadi semasa waktu persekolahan sehingga boleh menjejaskan
profesionalisme keguruan (Mohd Yusof, 2002; BPG, 1998; BPPDP, 1998). Dalam masa
yang sama, terdapat sejumlah 98% responden guru sekitar Lembah Kelang berhasrat
memilih untuk bersara awal, manakala seramai 1,045 orang guru telah menceburi sektor
swasta kerana menjangkakan prospek yang menarik bakal diperoleh daripada terus kekal
dalam skim perguruan yang dikatakan jumud di negara ini (Nor Azlina, 2005).
Anggapan tugas mengajar mudah dan remeh, tidak bersemangat, sentiasa murung dan
bersikap acuh tidak acuh semakin meningkat di kalangan guru sejak akhir-akhir ini (Mohd
Yusof, 2002). Guru bermasalah dapat diklasifikasikan kepada tiga jenis iaitu bersikap
negatif, sakit mental dan sakit fizikal. Sikap seperti malas, degil, berpakaian tidak kemas,
melawan pentadbir, ponteng sekolah dan kelas, tidak berminat untuk mengajar, tidak
menyediakan rancangan pengajaran, keluar waktu persekolahan atas urusan peribadi,
sering mengambil cuti sakit sudah tentu memberikan kesan yang serius terhadap minat dan
prestasi pembelajaran pelajar mereka. Dapatan kajian Jamil (2002), menerusi sesi temu
bual terhadap guru terlatih di Terengganu menjelaskan guru mulai bosan, tidak lagi berminat
menjadi guru, tidak berpuas hati dengan sistem yang diamalkan, mendapati ketidakadilan
dalam pengurusan sekolah, berasa tidak mendapat apa-apa dengan jawatan yang di
sandang setelah berkhidmat selama 20 tahun dan lebih.

Masyarakat umum mulai mempersoalkan kewibawaan guru dan profesionalisme keguruan,


walaupun mereka sebenarnya terlatih dan mempunyai kepakaran dalam bidang
pengkhususan masing-masing, mampu menjadi pemimpin dan pengurus pendidikan (JNSP,
2000). Laporan JNSP (2000) menjelaskan seolah-olah guru terkeliru untuk memahami
situasi sebenar budaya dan iklim sesebuah sekolah, bersifat fanatik terhadap fahaman
politik, gagal memahami kehendak pihak pengurusan sekolah dan pelbagai fenomena lain
yang menyebabkan masalah ini wujud. Dapatan kajian JNSP (2000), melabelkan guru
bersikap presentism dalam tugas seharian, bersikap defensif terhadap pembaharuan, gemar
situasi kerja familiar dan menolak corak kerja penuh persaingan seperti dunia korporat yang
sentiasa inginkan pembaharuan. Mekanisme Early Warning System (EWS) yang digunakan
bagi mengesan guru yang tidak efisien menjadi disfungsi sehinggakan guru yang
mencemari profesion dan tidak efisien terlepas tanpa sebarang tindakan.
Guru perlu mempunyai tatasusila yang tinggi dan berkomitmen menjalankan tugas sebagai
pendidik dengan baik. Menurut Setiausaha Parlimen Kementerian Pendidikan, Datuk
Mahadzir Mohd. Khir memberitahu bahawa daripada tahun 1995 hingga tahun 2008,
sebanyak 41 kes keruntuhan moral membabitkan guru dilaporkan (Utusan Malaysia, 18
September 2008). Antara kes keruntuhan moral disebutkan beliau adalah perbuatan
sumbang mahram dan bersekedudukan. Media juga turut melaporkan kes-kes lain seperti
guru memukul murid, guru besar menyembunyikan kes-kes disiplin, guru menyebarkan
ajaran anti kerajaan dan sebagainya yang telah menarik perhatian umum serta menguji
kredibiliti profesion perguruan.
Pendedahan-pendedahan salah laku guru-guru boleh mengakibatkan kewibawaan profesion
keguruan tergugat pada mata umum. Hal ini bertentangan dengan peranan dan tatasusila
perguruan di Malaysia yang menyatakan guru perlu mematuhi kod etika perguruan iaitu
menjalankan tanggungjawabnya guru kepada pelajar, ibu bapa pelajar, rakan sejawat dan
masyarakat dan Negara, bukannya mengambil kesempatan di atas apa yang berlaku
terhadap pelajar tetapi sebaliknya membantu mereka menyelesaikan masalah yang
dihadapi. Begitu juga dengan guru yang menyebarkan ajaran anti kerajaan di mana
bertentangan dengan tanggungjawab guru terhadap masyarakat dan Negara yang
sepatutnya tidak menyebarkan sesuatu ajaran yang boleh merosakkan kepentingan pelajar,
masyarakat atau Negara (Utusan Malaysia, 18 September 2008)

Di Samping itu, bebanan tugas yang berat yang terpaksa dipikul oleh guru-guru juga telah
menyebabkan mereka tidak menyempurnakan tugas mereka dengan baik dan seterusnya
ditegur atau dimarahi oleh majikan boleh menyebabkan seseorang itu mengalami
stress.Ketegangan yang berpanjangan boleh mempengaruhi psikologi seseorang seperti
hilang keyakinan, cepat meradang, agresif dan hilang daya konsentrasi.Ini menyebabkan
seseorang guru itu kurang bersemangat dan tidak bermotivasi di dalam menjalankan
tugasnya (Abdul Malik, 2000).Ini turut diakui oleh Zubaidah Aman (1999) yang mendapati
bebanan waktu mengajar, jumlah mata pelajaran dan bebanan tugas di sekolah
mempengaruhi keletihan emosi guru.
Isu Penilaian dalam Pendidikan yang tidak adil dan sambil lewa juga merupakan salah satu
isu yang boleh meruntuh kredibiliti guru yang dianggap oleh masyarakat umum sebagai
pekerjaan yang profesional. Selain itu sikap profesionalisme yang diterapkan dalam diri guru
selama ini tercalar dek sikap guru itu sendiri yang tidak serius dalam menilai pendidikan
generasi muda yang boleh menggelapkan masa depan mereka. Walaupun isu ini agak
terpencil tetapi ia memberi kesan yang besar kepada imej seorang guru sebagai pekerjaan
yang mulia.
Namun, berlaku juga gejala yang tidak sihatapabila penempatan guru tidak mengikut opsyen
dan keperluan sekolah. Siva Subramaniam (1995) dalam kertas kerjanya bertajuk
Mempertingkatkan Martabat Profesion Keguruan menyatakan, dalam sesi penempatan
dan pertukaran guru, terdapat kes-kes opsyen guru tidak diambil kira. Ini mengakibatkan
guru mengajar mata pelajaran yang di luar bidang pengkhususannya. Amalan ini juga
adalah pembaziran tenaga yang akan merugikan guru dan pelajar dan menimbulkan
tekanan kepada guru. Persepsi status amat penting dalam menentukan tahap
keprofesionalan. Sungguhpun demikian, status ini seringkali menimbulkan rasa
ketidakpuasan hati di kalangan guru. Sebagai contoh, apabila timbul situasi kekurangan
guru dalam sesebuah sekolah, guru yang tiada pengkhususan sesuatu mata pelajaran
diminta mengajar mata pelajaran tersebut (Rahmad & Norani, 1995). Fenomena ini
dibuktikan melalui kajian Norani, Wan Hasmah, Chang Lee Jon dalam Profesionalisme
Guru Baru di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak 1991 1995. Guru diarah untuk
mengajar mata pelajaran bukan opsyen mereka dengan alasan tiada guru. Ini menyebabkan
status seseorang guru menjadi tercemar kerana mengajar tanpa pengetahuan dan
kemahiran yang tinggi.
Selain itu, terdapat satu lagi isu yang menggugat kredibiliti guru iaitu keadilan dalam
penyampaian ilmiah kepada anak didik mereka. Adalah tidak wajar seseorang guru
melakukan tindakan yang sedemikian terhadap pelajar-pelajar. Ini seperti menidakkan hak
asasi golongan muda untuk menuntut ilmu. Apabila ketidakadilan ini berlaku adakah wajar
seseorang itu digelar sebagai pendidik yang selama ini dianggap sebagai lilin yang
membakar diri sendiri untuk menerangi daripada kegelapan. Isu ini agak berat kerana
tugasan utama seorang guru adalah menyampaikan ilmu pengetahuan kepada setiap
pelajar tanpa mengira bangsa, pangkat, sosioekonomi dan sebagainya. Jadi adalah tidak
wajar seorang guru itu melakukan perkara tersebut terhadap para pelajar.

You might also like