You are on page 1of 3

Pendidikan khas Di Malaysia, kategori murid yang berkeperluan khas merangkum

murid yang mempunyai masalah penglihatan, masalah pendengaran, kesukaran

bertutur, kurang upaya fizikal, kurang upaya pelbagai, dan masalah pembelajaran

seperti autisme, Sindrom Down, ADHD (Attention Deficit Hyperactivity Disorder), dan

disleksia. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan secara purata 10%

daripada populasi negara membangun mempunyai individu yang diklasifikasi

sebagai kurang upaya. Di Malaysia, hanya 1% populasi di negara ini telah dikenal

pasti sebagai individu berkeperluan khas dan berdaftar dengan program pendidikan

khas. Kadar ini adalah di bawah anggaran jumlah murid dalam negara yang

sepatutnya berkeperluan khas, kerana mereka yang kurang upaya jarang-jarang

mendaftarkan diri di mana-mana agensi. Selaras dengan dasar sedia ada, murid

berkeperluan khas pada masa ini mempunyai akses kepada pendidikan dan boleh

memilih satu daripada tiga opsyen persekolahan berikut: Sekolah pendidikan khas:

Sekolah khas dengan semua murid diklasifikasikan sebagai kurang upaya (seperti

sekolah untuk masalah penglihatan atau murid kurang upaya yang lain); Program

Integrasi Pendidikan Khas (SEIP): Sekolah arus perdana yang mempunyai kelas

khusus untuk murid berkeperluan khas; dan Program pendidikan inklusif: Sekolah

arus perdana yang mengintegrasi satu hingga lima murid berkeperluan khas dalam

kelas arus perdana. Hanya segelintir murid berkeperluan khas, iaitu sebanyak 6%

yang diletakkan di dalam program inklusif. Sebanyak 89% mengikuti program

integrasi dan hanya 5% mendaftar di sekolah pendidikan khas. Walaupun murid

mendapat akses kepada pelbagai opsyen persekolahan, kualiti pendidikan yang

diberikan mempunyai beberapa kelemahan. Pertama, kekurangan guru yang

berkelayakan dan sokongan profesional seperti pakar pendengaran dan ahli terapi.

Kedua, walaupun kurikulum khusus untuk kumpulan berkeperluan khas telah


dibentuk (misalnya, Kemahiran Asas Individu Masalah Penglihatan untuk murid

bermasalah penglihatan, Bahasa Isyarat Komunikasi untuk murid masalah

pendengaran), tetapi kurang sokongan dan bantuan untuk murid bermasalah

pembelajaran seperti autisme. Terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian,

iaitu pertama, murid ini mungkin lebih sesuai untuk kurikulum vokasional bagi

menyediakan mereka dengan kemahiran hidup berbanding kurikulum akademik arus

perdana. Kedua, kurangnya kemudahan di sekolah arus perdana seperti kemudahan

mesra orang kurang upaya dan alat bantuan teknologi seperti alat pendengaran dan

mesin taip Braille. Pelan Tindakan: Meningkatkan kualiti pendidikan khas dan

program inklusif Berdasarkan Salamanca Statement and Framework for Action on

Special Needs Education (1994), kebanyakan sistem pendidikan berprestasi tinggi

sudahpun mengamalkan pendekatan inklusif untuk pendidikan khas. Pernyataan ini

menyebut bahawa murid keperluan khas perlu mendapat akses kepada sekolah

arus perdana. Sekolah arus perdana yang berorientasikan pendidikan inklusif ini

merupakan cara 4-19 yang terbaik untuk mengatasi masalah diskriminasi,

mewujudkan komuniti yang lebih terbuka terhadap pendidikan khas, dan masyarakat

inklusif. Artikel 28 Akta Orang Kurang Upaya Malaysia 2008 menegaskan bahawa

murid berkeperluan khas perlu diberikan sokongan bagi membantu mereka

mencapai kesamarataan dalam pendidikan. Berdasarkan amalan terbaik peringkat

antarabangsa dan dasar sedia ada, Kementerian komited untuk menambah bilangan

murid berkeperluan khas dalam model pendidikan inklusif, dan meningkatkan kualiti

keseluruhan seperti yang diperuntukkan. Kementerian akan melaksanakan

beberapa siri inisiatif untuk mencapai objektif ini. Gelombang 1 memberikan

tumpuan kepada pengukuhan program sedia ada. Gelombang 2 memberikan

tumpuan kepada peningkatan inisiatif, dan penambahan jumlah pakar bagi


menangani pertambahan jumlah murid kurang upaya dan juga pelbagai jenis

keperluan. Gelombang 3 menilai inisiatif yang dijalankan dan menggabungkan

inisiatif yang berjaya. Dalam melaksanakan inisiatif ini, Kementerian akan

menjalinkan kerjasama dengan organisasi seperti Southeast Asian Ministers of

Education Organisation Regional Centre for Special Education (SEAMEO-SEN).

You might also like