You are on page 1of 6

UNIT 4

LINGUISTIK STRUKTURAL

Pengenalan

Aliran struktural boleh dikatakan bermula dengan Ferdinand de Saussure,


seorang ahli linguistik berbangsa Swiss. Dan strukturalisme yang dipelopori oleh de
Saussure ini mempengaruhi pemikiran dalam bidang-bidang lain seperti antropologi,
sosiologi, pengkajian kesusasteraan dan psikoanalisis. Di Eropah, strikturalisme
paling berpengaruh di negeri Perancis, tetapi tidak begitu di Britain dan negara-
negara lain. Dalam mengkaji bahasa, dasar pemikiran strukturalisme ini diambil oleh
Leonard Bloomfield di Amerika Syarikat, yang kemudian memperkembangkannya
dengan karya-karyanya. Bukunya yang terkenal, Language, yang pertama kali
diterbitkan dalam tahun 1933, masihi merupakan buku asas dalam kursus-kursus
linguistik di seluruh dunia.

Objektif

1. Mengetahui ciri-ciri pemikiran pendekatan linguistik struktural.

2. Mengetahui kaedah huraian bahasa berdasarkan linguistik struktural.

3. Mengenali tokoh-tokoh linguistik struktural dan sumbangannya dalam


perkembanganlinguistik moden.

Ciri-Ciri Pemikiran Linguistik Struktural

Menurut aliran struktural ini bahasa tidak lain daripada sistem lambang
(a system of signs). Lambang dianalisis oleh de Sausure kepada dua komponen.
Yang pertama ialah komponen bunyi yang dinamakan signifiant dalam bahasa
Perancis (iaitu signifier dalam bahasa Inggeris) dan yang kedua ialah komponen
mental atau konseptual atau makna, yang dinamakan signifie dalam bahasa
Perancis (iaitu signified dalam bahasa Inggeris). Makna tidak sama dengan benda
yang dirujuk, tetapi hanya merupakan rujukan kepada benda itu, sedang signifier itu
adalah bunyi-bunyi yang dituturkan atau didengar, yang mendukung makna. Bunyi
atau urutan bunyi yang tidakmendukung makna tidak dianggap sebagai signifier.

Dalam pengwujudan bahasa tidak ada pemisahan antara signifier dengan


signfied. Pemisah seperti itu hanya berlaku dalam pengkajiannya di tangan ahli-ahli
linguistik. Unsur-unsur yang berfungsi dalam sistem lambang ini dikenal sebagai
kod. Dengan demikian, sesuatu perkataan itu merupakan satu kod kerana
mempunyai signifier dan signifiednya. Demikian juga frasa dan ayat.

Dari segi analisisnya, kod-kod dianggap mewakili unit-unit tertentu dalam


bahasa. Dengan demikian terdapat unit bunyi, unit morfem, unit kata, unit frasa, unit
klausa dan unit ayat. Tiap-tiap unit itu mempunyai unsur-unsur yang mempunyai
hubungan mendatar atau sintagmatik (syntagmatic) dan juga hubungan menegak
(paradigmatic atau associative) di antara satu sama lain. Hubungan sintagmatik
itulah yang melahirkan struktur. Misalnya, pada perkataan rumah terdapat struktur
yang terdiri dari dua suku kata, iaitu ru + mah. Jadi struktur untuk rumah, dilihat dari
segi suku kata, ialah S1 + S2. Dilihat dari segi fenom-fenom satuan-satuan bunyi
yang mendirikannya, perkataan rumah mempunyai striktur KVKVK (K = konsonan,
v = vokal).

Prinsip yang sama diterapkan dalam menganalisis frasa dan ayat. Misalnya,
bunga biru, rumah besar dan orang kaya semuanya terdiri dari struktur KN + KS (KN
= kata nama, KS = kata sifat). Ayat saya hendak makan terdiri dari struktur KN KKB
KK ( KN = kata nama, KKB = kata kerja bantu, KK = kata kerja).

Dalam menganalisis struktur nuit-unit itu, unsur-unsur itu boleh juga dilihat dari
segi tugasnya. Misalnya, frasa-frasa bunga biru, rumah besar dan orang kaya boleh
dianalisis kepada struktur Inti + Kerangan; yakni rumah, bunga dan orang adalah
nukleus atau inti bagi frasa-frasa tersebut, sedangkan biru, besar dan kaya
merupakan keterangan bagi unsur-unsur inti itu.

Bagi ayat Saya hendak makan, saya berfungsi sebagai Pelaku atau Subjek,
sedangkan hendak makan adalah perbuatan atau Predikat. Dengan itu timbullah
struktur Pelaku-Perbuatan, atau Subjek-Predikat.

Salah satu lagi prinsip asas yang terdapat dalam Linguistik. Struktural ialah
prinsip yang melihat peranan bahasa dari dua segi. Dari segi individu ini dinamakan
parole (yang sebenarnya bermakna bercakap atau bertutur). Denagn pengertian ini,
apabila seseorang itu bercakap, apa-apa yang lahir ialah parole. Sesuatu paorle itu
akan berbeza dengan parole yang lain, kerana dua orang tidak mungkin seratus
peratus sama. Bagaimanapun, seperti yang ternyata dalam suatu masyarakat
bahasa, pengguna-pengguna bahasa yang begitu banyak mematuhui peraturan-
peraturan yang sama, yang rata-rata diketahui oleh mreka semua. Peraturan-
peraturan itu ada dalam kepala semua pengguna bahasa yang berkenaan. Tidak
semua peraturan itu lahir dalam satu-satu pengwujudan parole. Hanya yang relevan
pada parole-parole pada ketika-ketika tertentu sahaja yang dilahirkan. Dengan
demikian, peraturan-peraturan itu dilihat sebagai satu satuan kumpulan langue, dan
dalam langue ini termaktub segi sosial dan psikologi dalam bahasa.

Berdasarkan linguistik struktural ini, bahasa adalah bentuk, bukan barang:


Language is a form, not a substance. Dengan itu, apa-apa yang dianalisis atau
disuguhkan ialah bentuknya. Dari itu juga, kita lihat bahawa makna tidak memainkan
peranan yang besar dalam aliran ini, sungguhpun de Saussure mempostulasikan
makna. Komponen bahasa yang diutamakan dalam aliran ini ialah signifiernya
bukan signifiednya.

Aliran struktural ini sangat berpengaruh dalam pertengahan pertama abad


kedua puluh ini, bukan sahaja dalam analisis bahasa bahkan juga dalam pengajaran
bahasa. Kaedah audiolingual yang mementingkan latih tubi dengan cara pemilihan
pola-pola dan secara beransur-andur menggantikan unsur-unsur dalanm pola-pola
tertentu, dan kemudian secara beransur-ansur menggantikan pola itu dengan pola
yang lain. tidak lain dan tidak bukan adalah penerapan kaedah struktural ini,
Aliran struktural ini juag memberi keutamaan kepada bahasa lisan diatas
tulisan, baik dalam analisis mahupun dalam pengajaran bahasa. Kajian sesuatu
bahasa berdasarkan aliran ini adalah bersifat empiris, yakni bahan yang dikaji dan
kesimpulan-kesimpulan yang dibuat adalah berdasarkan apa-apa yang nyata
disaksikan, dandalam bahasa yang didengar.

Strukturalisme de Saussure telah mempengaruhi kajian dalam ilmu-ilmu lain


seperti antropologi, sosiologi dan kesusasteraan, terutama sekali kajian ahli-ahli
berbangsa Perancis. Tetapi dalam masa yang sama terdapat pengaruh falsafah ilmu-
ilmu lain ke dalam linguistik. Teori Darwin berhubung dengan organisme tabii dan
pencabangan benda-benda hidup ke dalam keluarga dan subkeluarganya juga
mempunyai pengaruhnya ke atas kajian bahasa, khususnya dalam ilmu
perbandingan bahasa. Maka timbullah teori pohon atau Stammbaumtheorie yang
dipelopori oleh ahli bahasa Jerman, August Schleicher. Menurut teori ini, bahasa
bercabang-cabang dalam evolusi dari satu bahasa ke satu bahasa, dan berlakunya
itu adalah secara mendadak dan tanpa sebab yang khusus. Sesudah bercabang,
anggota dari satu cabang itu tidak lagi berhubung dengan cabang yang lain. Teori ini
disangkal oleh teori yang lain yang lebih dikenali sebagai teori gelombang (die
wellentheori) yang menerangkan bahawa evolusi dalam bahasa bukanlah seperti
cabang-cabang pada pokok, tetapi lebih menyerupai riak gelombang. Teori yang
dipelopori oleh Wilhelm Schmit ini mengatakan bahasa berubah secara beransur-
ansur dan perubahan-perubahan disebabkan oleh hal-hal yang berlaku dalam
masyarakat. Penurunan dari satu bahasa kepada bahasa yang lain bukanlah
disebabkan pencabangan tetapi disebabkan oleh pemisahan yang makin lama makin
jauh jaraknya. Hanya denagn teori ini sahaja kita dapat menerangkan wujudnya
pelbagai dialek dalam satu-satu bahasa tertentu.

TOKOH LINGUISTIK STRUKTURAL

Sarjana berbangsa Swiss, Ferdinand de Saussure (1857-1913), yang hasil-hasil


kuliahnya diterbitkan pada tahun 1916 dengan judul Cours de Linguistique Generale
(terjemahan dalam bahasa Inggerisnya (Course in General linguistics:1959) telah
membuat beberapa perbezaan tentang sifat-sifat semula jadi bahasa. Kita boleh
memendekkan idea beliau itu seperti yang berikut:

a. Konsep ialah sesuatu yang non-verbal, dan psikologis secara tulen. Tanpa
sebarang hubungan dengan konsep ini, pertuturan adalah semata-mata
penyuaraan percakapan secara sembarangan. Bahasa bertugas sebagai
penghubung antara fikiran dan bunyi. Konsep adalah sesuatu yang
ditandai atau yang dimaksudkan (signified) dan pengucapan adalah
pelambangnya (signifier).

b. Linguistik merupakan kajian tentang tanda linguistik (linguistic sign) yakni


perkaitan signifier dengan signified. Perkaitan ini adalah arbitrari.
Disebabkan tanda itu arbitrari, ia tidak mungikuti sebarang peraturan
kecuali yang ditentukan oleh tradisi. Tanda linguistik dikatakan arbitrari
dalm hubungannya dengan konsep. Pemilihan kata onomatopoeia pun
dikatakan arbitrari, sebab ia berbeza daripada bahasa ke bahasa (seperti
bahasa Inggeris bow-bow atau bahaa Tamil Lol-Lol).

c. Pertuturan seseorang itu ialah parole. bahasa ini berbeza daripada


seorang dengan seorang yang lain. Terdapat juga sistem abstrak selain
bahasa individu, ini dinamakan language. Bahasa bukan ucapan setiap
individu tetapi bersifat supraindividualistik iaitu suatu fenomena sosial.

d. Linguistik sinkrinik (statik) merupakan kajian peristiwa bahasa pada aras


masa yang sama iaitu pada suatu titik waktu yang tertentu yang dinamakan
juag linguistik deskriptif. Linguistik diakronik (evolusi) pula merupakan
kajian peristiwa bahasa pada suatu jangka masa tertentu yang turut
dikenali sebagai linguistik historis.

e. Dalam bahasa, terdapat hanya perbezaan. Dengan kata lain, nilai yang
dikaitkan kepada unsur bahasa semata-mata bergantung pada
pertentangannya dengan unsur-unsur lain, atas hakikatnya yang berbeza
daripada unsur-unsur lain. Unsur-unsur itu tidak dicirikan oleh sebarang
kualiti yang positif yang dimilikinya tetapi oleh kualiti yang bertentangan
dan berbeza-beza.

Pandangan yang ditemukan oleh De Saussure meninggalkan kesan yang


wajar. Penerbitan Cours de Linguistique Generale telah dinggap oleh para sarjana
Barat dan Eropah sebagai sijil kelahiran linguistik moden. Semenjak Saussure
memasukkan perkaitan imej secara psikologis dengan konsep yang berkenaan
sebagai sebahagian daripada deskriptis linguistik, idea yang dikemukakannya itu
menjadi unsur pertikaian. Sesetengah sarjana lebih cenderung mengaitkan
hubungan perkaitan ini dengan bidang semantik atau psikologi.

Bloomfield

Bloomfield adalah ahli antropologi yang berpengaruh dalam kajian bahasa di


Amerika. Minatnya yang pertama adalah tentang hukum perubahan bunyi dalam
bahasa-bahasa Indo-Eropah. Dua tahun lamanya beliau di Minich, pusat ahli nahu
Neo-grammarian, untuk mengkaji apa yang kemudiannya dianggap di Eropah
sebagai tanggungjawab utama ahli bahasa, iaitu perubahan bunyi dalam baasa-
bahasa Indo-Eropah. Sebagai seorang yang percaya akan teori, dan terbuka kepada
aliran baru, beliau telah berjaya meletakkan asas tentang sains bahasa secara
keseluruhan.

Beliau memanggil kajian bahasa sebagai suatu sains, sebab itu merasai
bahawa ia hanya boleh menghasilkan keputusan hanya apabila dianggap suatu
sains. Beliau cuba menubuh asas untuk sains ini dalam A Set of Postulates nya
dan belian telah menjelaskan semua ini dengan panjang lebar dalam bukunya
bertajuk language. Beliau berminat menubuhkan suatu model dengan tujuan bahasa
manusia dapt dihuraikan dengan lebih mendalam.

Bloomfield menerangkan penggunaan bahasa melalui cerita terkenal berjudul


Jack and Jill. Dalam cerita itu, Jill mahukan sebiji epal. Lalu dia pun pergi
mengambil epal. Ini dapat dilambangkan dengan S _ R. Penggerak [stimulasi] (S)
(dalam peristiwa ini ialah rasa lapar jack) tetal menyebabkan reaksi (R) (usaha Jill
mendapatkan epal) Akan tetapi Jill mahukan Jack mendapatkan epal untuknya. Oleh
sebab itu Jill menggunakan, bukanya reaksi R tetapi gantian reaksi (t) aiatu Jill
menyuruh Jack melakukannya. Reaksi gantian mendorong kepada gantian
penggerak (stimulus) (S) pada jack iaitu jack mendengar permintaan Jill. Dan reaksi
gantian ini menyebabkan reaksi benar (R) dalam diri jack sebab dia pergi
mendapatkan epal. Dengan menggunakan formula ini, dapat dilambangkan sebagai
S _ r..... s _ R. Ketiadaan kesinambungan (discountinuity) ini disambung oleh
gelombang bunyi. Penuntut linguistik hanya berminat pada peristiwa bahasa
(r.......s)

Pembelajaran bahasa, menurut Bloomfield, ialah belajar menafsir hubungan


antara S-r dan s-R dalam komuniti bahasa. Bloomfield, yang benar-benar
menghargai perbezaan yang di buat oleh De Saussure: telah pun menubuh
hubungan parole dengan bahasa.

Bloomfield merasakan bahawa kajian linguistik tidak dapat berdasarkan pada


makna, mengikut definisi nasional dan yang seumpama, sebab ia tidak menjadi
dasar bagi pembentukan nahu. Misalnya, jika kita mengatakan suatu kata nama
nama seseorang, tempat atau benda, ia tidak mengandungi sebarang maklumat
tentang bentuk kata tersebut. Dalam pada itu pun, beliau juga percaya bahawa
makna tidak dapat ditinggalkan. Makna hendaklah digunakan dalam analisis untuk
mencari apakah bentuk mempunyai makna yang sama atau berbeza.

Makna hanya digunakan sebagai alat dalam analisis tetapi ia tidaklah menjadi
sebahagian daripada deskripsi linguistik, sebab makna tidak mempunyai laluan
dalam analisis saintifik. Seorang ahli bahasa harus memulakan sesuatu yang dapat
dilihatnya iaitu, bentuk, yang tentunya mempunyai makna. Dengan menubuhkan
kategori dan strukturnya berdasarkan bentuk beliau kemudiannya meneruskan
pemeriksaan tentang fungsi dan maknanya. Makna fungsian jenis ini hendaklah
dinyatakan berdasarkan penyebarannya dalam kaitan dengan bentuk-bentuk lain
dalam bahasa.

Minat dan kecenderungan utama Bloomfield ialah untuk membentuk linguistik


menjadi suatu sains iaitu prinsip yang dapat dilakukan ialah, pengetepian psikologi
daripada linguistik, penggunaan keterangan deskriptif saintifik dan penggunaan
makna pada tahap setakat mempertimbangakan hubungan bentuk-bentuk tuturan
dengan bentuk-bentuk lain dalam tatabahasa. Bagi Bloomfield, keterangan deskriptif
hendaklah dengan istilah-istilah fizikal iaitu istilah yang hanya diperoleh daripada
definisi tepat daripada set istilah harian tentang kejadian fizikal. Kecenderungan dan
kemahuan pendekatan saintifik telah membawa kepada klasifikasi yang terikat oleh
data. Pandangan Bloomfield tentang sains, dari sudut ilmu linguistik menjelaskan
bahawa data semestinya didekati dengan fikiran yang terbuka, dan generalisasi
hendaklah dibuat berdasarkan induksi tulen.

Kesimpulan
Pemikiran linguistik struktural telah membawa pemikiran baru dari sudut
huraian bahasa yang mementingkan bentuknya. Apa sahaja yang dilihat dalam
bahasa harus didasarkan kepada bentuknya sama ada perkataan atau ayat.
Pemikiran struktural juga telah membawa disiplin sains dalam ilmu linguistik, iaitu
kepentingan data dalam huraian bahasa.

You might also like