You are on page 1of 16

PENGURUSAN BILIK DARJAH: SATU KAJIAN LITERATUR RINGKAS.

2.1 Pengenalan

Tinjauan literatur dijalankan bertujuan untuk mengkaji proses dan prosedur dalam aspek
pengurusan bilik darjah yang diamalkan di sekolah-sekolah di Malaysia. Telah banyak kajian
yang dijalankan oleh pelbagai pihak antaranya oleh para guru yang menyambung pelajaran di
bawah Program Pensiswazahan Guru(PPG) sama ada secara jarak jauh atau sepenuh masa.

2.3 Konsep Bilik Darjah

Semasa di sekolah, para guru menghabiskan sebahagian besar masa mereka di dalam bilik
darjah. Pernahkah kita terfikir apa itu sebenarnya bilik darjah? Besar kemungkinan ada yang
akan mengatakan bahawa bilik darjah ialah bilik buru mengajar dan murid belajar. Ya, itulah
gambaran paling mudah tentang bilik darjah. Ia merupakan tempat proses pengajaran dan
pembelajaran berlaku.

Secara rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid
diajar oleh seorang guru. Menurut Akta Pendidikan, murid atau pelajar merupakan seseorang
yang menerima pendidikan atau latihan. Sebaliknya, guru bermakna seseorang yang:

(a) Mengajar murid-murid di sekolah atau di institusi pendidikan,


atau
(b) Menyediakan bahan pelajaran atau menanda skrip jawapan di sesebuah sekolah gaya pos.

Suasana fizikal bilik darjah adalah penting bagi pembelajaran sebab ia boleh menggalakkan atau
menghalang pembelajaran. Suasana bilik darjah yang teratur merupakan sebahagian daripada
pengajaran yang berkesan. Menurut Marland (1975), suasana fizikal dalam bilik darjah mungkin
merupakan kawan atau musuh dalam pengajaran. Susunan fizikal biluk darjah boleh memberi
sumbangan dari segi kawalan, pembelajaran, perhubungan guru dan murid, juga antara murid
dengan murid dan keseronokan bekerja bersama-sama.
2.4 Konsep Pengurusan Bilik Darjah
Pengurusan bilik darjah adalah satu proses untuk memastikan pelajaran dalam bilik darjah dapat
berjalan dengan lancar walaupun pada masa yang sama berlaku gangguan daripada timgkah laku
murid. Ramai yang mengatakan pengurusan bilik darjah merupakan aspek yang paling sukar.
36% guru di Amerika menyatakan bahawa mereka tidak akan menjadi guru sekiranya mereka
tahu akan menghadapi masalah dalam pengurusan bilik darjah. (laporan Pertubuhan Pendidikan
Kebangsaan Amerika Syarikat, 1981).

Malah Maskowitz dan Hayman (1976) pernah menyatakan sekali guru kehilangan kawalan ke
atas bilik darjah, akan menjadi lebih sukar untuk dapat dikawal semula. Secara umumnya
pengurusan bilik darjah bolehlah diumpamakan seperti pengorkestraan kehidupan dalam bilik
darjah: merancang kurikulum, mengorganisasi prosedur dan sumber, menyusun atur persekitaran
untuk memaksimumkan kecekapan, memantau kemajuan pelajar, dan menjangka kemungkinan
masalah. (Lemlech, 1988).

Namun begitu pengurusan bilik darjah yang berkesan dan berjaya menurut Anderson (1989)
ialah tingkah laku yang menghasilkan penglibatan pelajar yang maksimum dalam aktiviti
pembelajaran dan meminimumkan tingkah laku pelajar yang mengganggu tugas guru dan pelajar
lain serta penggunaan masa pembelajaran yang efisen.

2.4.1 Peranan Guru Dalam Pengurusan Bilik Darjah


Di dalam mengurus bilik darjah seseorang guru berperanan besar bagi memastikan suasana bilik
darjahnya bersifat kondusif dan selesa sesuai untuk dijalankan proses pengajaran dan
pembelajaran. Menurut Ee Ah Meng (1995), peranan guru adalah begitu rumit. Dia perlu
mewujudkan suasana yang penuh kemesraan dan dan kasih sayang di dalam bilik darjah.
Seorang murid memerlukan kasih sayang. Seseorang guru yang cekap pengajarannya tetapi tidak
berupaya menunjukkan kemesraan dan kasih sayang masih tidak dapat memenangi hati murid-
muridnya.
a) Seseorang guru perlu mempelajari atau mengenali tentang murid yang ada di dalam bilik
darjahnya. Ia bukan sekadar mengetahui nama muridnya sahaja tetapi lebih dari itu ia perlu
mengetahui latar belakang muridnya, tahu siapa ibubapa mereka serta mengenali mereka.
Dengan memiliki maklumat ini, akan memudahkan bagi guru untuk merancang dan
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

b) Guru juga merancang persekitaran bilik darjah dan rutin harian bagi tempoh satu-satu sesi
pengajaran dan pembelajaran. Persekitaran fizikal bilik darjah mestilah menarik dan kondusif.
Usah dipandang remeh soal lampu atau kipas yang tidak berfungsi, kerana ia sedikit sebanyak
akan mengganggu tumpuan murid untuk menerima pelajaran. Begitu juga dengan hiasan bilik
darjah dan soal kebersihan perlu diberi perhatian. Dan lebih penting ialah susunan atau susun
atur bilik darjah mestilah sesuai kerana ia akan mempengaruhi keberkesanan pengajaran guru.
Kecekapan guru dalam mengurus penggunaan rutin di dalam bilik darjah akan menjamin
kelancaran aktiviti-aktiviti seperti menanda jadual kedatangan, menyemak keadaan fizikal bilik
darjah, mengeluar dan menyimpan bahan bantu mengajar, mengutip dan memulangkan buku
latihan, mengutip yuran, menyediakan berbagai rekod, menguruskan Skim Pinjaman Buku Teks,
Rancangan Makan Tambahan dan sebagainya. Dengan adanya rutin ini, segala aktiviti di dalam
bilik darjah akan dijalankan dengan lebih teratur. Proses pembelajaran tidak akan terganggu dan
proses pengajaran akan dapat disampaikan dengan lebih berkesan.

Bagi menjamin pengajaran dan pembelajaran yang berkesan di dalam bilik darjahnya, seseorang
guru hendaklah merancang objektif serta aktiviti pengajaran dan pembelajaran. Guru,
sebagai perancang hendaklah memikirkan objektif satu-satu pelajaran serta kaedah pengajaran
yang akan digunakan. Guru hendaklah mengambil kira kebolehan dan minat murid-murid ketika
membuat perancangan pengajaran. Di peringkat ini, guru juga merancang tentang cara menilai
muridnya sama ada menggunakan ujian, lembaran kerja atau pun projek.

d) Malah guru juga berperanan sebagai pegawai perhubungan awam semasa di dalam kelas
apabila berkomunikasi dengan ibu bapa atau penjaga murid yang datang untuk bertanya tentang
pencapaian anak-anak mereka. Guru perlu melayan ibu bapa atau penjaga murid sebagai
pelanggan yang inginkan maklumat tentang pencapaian anak-anak mereka selepas sesuatu ujian
atau peperiksaan diadakan.

e) Terkini, guru perlu merefleksi akan amalan pengajaran dan pembelajaran yang telah
mereka
jalankan bagi mencari kelemahan untuk diperbaiki dan dipertingkatkan lagi supaya
hasilnya benar-
benar menepati objektif yang telah ditetapkan.

2.5 Amalan Pengurusan Bilik Darjah


2.5.1 Merancang
Seseorang guru perlu merancang perjalanan sesi pengajaran dan pembelajaran atau sesuatu
aktiviti yang dijalankan di dalam bilik darjah. Dalam membuat perancangan pengajaran guru
akan menentukan tajuk pelajaran, objektif yang hendak dicapai, serta jenis bahan pengajaran dan
alat bantu mengajar yang akan digunakan bagi menghidupkan suasana pengajaran dan
pembelajaran.
Selain perancangan pengajaran, guru juga merancang disiplin dan pengurusan bilik darjah yang
baik agar pengajaran dan pembelajaran dapat berlangsung dalam keadaan yang tenteram. Guru
perlu memikirkan cara-cara untuk mengurangkan masalah disiplin seperti menggalakkan aktiviti
yang bermakna serta menyeronokkan. Aktiviti-aktiviti baru boleh menimbulkan unsur suspens
dan mengagumkan.
Sebagai kesimpulan, bolehlah dikatakan bahawa kejayaan atau kegagalan satu-satu pelajaran
atau kegiatan di dalam bilik darjah amat bergantung kepada perancangan teliti yang dibuat oleh
seseorang guru.

2.5.2 Mengurus
Guru juga boleh bertindak sebagai seorang pegurus yang cekap.Ini penting bagi mewujudkan
keadaan yang tenteram, kerana keadaan yang tenteram adalah selesa untuk pembelajaran. Sebagai
pengurus guru akan memastikan segala kegiatan harian seperti menanda kedatangan dan mengedar
serta mengumpul buku-buku latihan dijalankan dengan teratur.
Sebagai pengurus, guru juga menentukan bahawa susunan meja dan kerusi adalah sesuai bagi murid-
muridnya. Masalah seperti halangan kepada penglihatan murid-murid yang lain hendaklah dielakkan.
Penyusunan tempat duduk murid-murid mengikut kumpulan akan memudahkan interaksi antara guru
dengan murid serta antara murid dengan murid.

Selaku pengurus yang baik, guru hendaklah mendengar masalah murid dan sentiasa memotivasikan
orang yang dijaganya. Dia hendaklah berusaha untuk menggerakkan muridnya supaya mereka
terdorong untuk belajar dengan lebih tekun lagi. Pengurus yang cekap lazimnya berjaya membentuk
disiplin kendiri individu-individu di bawah jagaannya. Oleh itu, sebagai pengurus guru juga berusaha
untuk menimbulkan disiplin kendri di kalangan murid-muridnya. Situasi ini akan meningkatkan lagi
mutu pengajaran-pembelajaran.

2.5.3 Mengelola
Selain mengajar, peranan guru sebagai pengelola tidak kurang juga pentingnya. Sebagai pengelola,
guru menjalankan tugas-tugas berikut di dalam bilik darjah:

1- Memastikan penyusunan kerusi meja adalah sesuai untuk pengajaran dan pembelajaran.
2- Menyediakan keadaan bilik darjah yang menggalakkan penyertaan murid-murid.
3- Memastikan segala bahan, peralatan serta kelengkapan mencukupi.
4- Menyediakan kumpulan-kumpulan yang senang mengambil bahagian dalam perbincangan seperti
sesi buzz dan sumbangsaran.
5- Memastikan masalah disiplin tidak timbul agar pengajaran dan pembelajaran dapat berjalan dengan
lancar.
6- Menyediakan jenis penilaian dan melaksanakannya untuk mendapatkan hasil yang sah serta boleh
dipercayai.

Sebagai pengelola yang cekap, guru akan berjaya menyediakan suasana bagi menjamin pengajaran-
pembelajaran berlaku dengan berkesan.

2.5.4 Mengarah
Dalam pengurusan bilik darjah, para guru tidak dapat lari dari memimpin dan memberi arahan. Guru
perlu menonjolkan dirinya sebagai seorang pengarah yang berjaya dan berkesan bagi memastikan
bilik darjah yang dijalankan proses pengajaran dan pembelajaran benar-benar memberi erti kepada
muridmurid yang diajarnya.
Field (2004) menyamakan peranan guru dengan peranan kapten sebuah kapal. Menurut beliau,
bilik darjah boleh disamakan dengan sebuah kapal di mana guru adalah juru kemudi yang
memimpin sekumpulan murid-murid yang mempunyai pelbagai personaliti. Kejayaan
kepimpinan guru akan menentukan kejayaan sesebuah organisasi kecil yang dipimpinnya.

2.5.5 Mengawal
Kebolehan atau kemahiran mengawal yang dimiliki oleh guru turut memberi peranan yang besar
dalam menjayakan misi mencapai target atau objektif pembelajaran. Keupayaan seorang guru untuk
mengawal bilik darjahnya dari sebarang salah laku disiplin adalah satu kejayaan yang tidak kurang
hebatnya. Tidak sedikit usaha yang dijalankan bagi mengawal bilik darjah benar-benar kondusif dan
selesa bagi sesi pengajaran dan pembelajaran yang berkesan dan bermakna.
Pembelajaran yang bermakna selalu dikaitkan dengan kualiti kepimpinan guru sarna ada berjaya
mengawal dan mendorong, bertindak sebagai perujuk dan berkebolehan mempengaruhi pelajar
untuk berusaha mencapai sesuatu objektif umpamanya objektif pembelajaran.

Guru juga dikaitkan dengan orang yang berkebolehan merancang, memberi arahan, mengawal
perjalanan proses dan membentuk strategi bagi mencapai tujuan. Oleh itu, guru harus
berkebolehan dan berupaya menukar tindakan atau sikap agar sesuatu matlamat tercapai.

2.6 Model Pengurusan Bilik Darjah


Pengurusan bilik darjah ialah suatu aspek yang penting dalam melaksanakan sesuatu pengajaran.
Seseorang guru itu perlu tahu cara menyusun tempat duduk pelajar dan peralatan bilik darjah,
mengurus pergerakan pelajar didalam kelas, dan mengawal disiplin pelajar di dalam kelas supaya
pengajaran dapat berjalan dengan lancar. Ada guru yang menekankan penyediaan bilik darjah
yang selesa untuk belajar serta mewujudkan hubungan dua hala yang mesra.

Terdapat beberapa model yang dapat diaplikasikan dalam pengurusan bilik darjah. Antaranya
yang akan dibincangkan ialah:

2.6.1 Modifikasi Tingkah Laku


Mengikut kamus Dewan Edisi ke-4 modifikasi ertinya proses (perbuatan atau tindakan)
mengubah sedikit sesuatu (keadaan atau sifat) supaya sesuai dengan keperluan. Guru mengubah
tingkah laku pelajar dari tingkah laku negatif kepada tingkah laku positif.

Pengurusan bilik darjah adalah satu set aktiviti yang menggalakkan lahirnya tingkah laku positif.
Cth: jadual tugas harian yang disediakan dapat memupuk sikap tanggungjawab dan

mendisiplinkan murid. Secara tak langsung murid akan melibatkan diri secara aktif mengikut
jadual yang telah ditetapkan.

2.6.2 Model Disiplin Asertif Canter


Model ini menekankan hubungan yang positif antara guru dan pelajar. Di mana guru
menerangkan kehendak dan peraturan yang diingini kepada pelajar. Penerangan ini penting
kerana setiap tingkah laku pelajar ada memberi kesan sama ada positif atau negatif. Dengan kata
lain model ini mengutamakan kepentingan disiplin di dalam bilik darjah.

Matlamat utama model ini adalah berlandaskan kepentingan pematuhan pelajar di dalam bilik
darjah supaya dapat membentuk satu suasana belajar yang kondusif serta berkesan untuk
pembelajaran. Aspek pengurusan bilik darjah perlu dilakukan secara asertif (berkeyakinan dan
tegas) oleh itu guru perlu bertindak menjadi guru asertif.

Terdapat beberapa prinsip model yang dilaksanakan dalam model Canter:


Guru perlu memberi peneguhan terhadap tindakan pelajar dengan wajar.
guru harus merangka sistem dendaan dan ganjaran yang boleh dijadikan rujukan murid mengenai
tingkah laku yang baik dan buruk.

Pandangan Canter adalah untuk mengawal dan mengajar dengan berkesan, seseorang guru
perlulah bersifat tegas. Mengikut disiplin Canter guru ada kuasa untuk menetapkan peraturan di
dalam bilik darjah dan mengorganisasikan satu perjumpaan dengan pelajar untuk jelaskan
peraturan yang perlu dipatuhi. Jika terdapat peraturan bilik darjah yang dilanggar, guru perlu
mengambil tindakan bilik darjah dengan serta merta.
2.6.3 Model Akibat Logikal oleh Rudolf Dreikurs
Model ini menekankan kepentingan guru memberikan kepercayaan dan tanggungjawab kepada
murid-murid untuk bersama-sama menjaga disiplin di dalam bilik darjah. Guru perlu
mengenalpasti punca salah laku murid, disamping itu murid perlu dibimbing untuk memahami
peraturan di dalam bilik darjah. Murid juga perlu dilatih untuk mendapatkan kawalan kendiri
terhadap pengurusan disiplin bilik darjah. Secara keseluruhannya, murid dan guru bersama-sama
memikul tanggungjawab dalam pengurusan disiplin bilik darjah agar amalan demokrasi dapat
diaplikasikan.

Tingkah laku bermasalah berpunca daripada motif-motif berikut:


mendapatkan perhatian
mencabar kuasa
membalas dendam
mempamerkan kekurangan

Cara komunikasi guru yang berkesan untuk menangani salah laku


berkomunikasi perkara yang positif
galak peningkatan murid
kenal pasti kelemahan murid
belajar daripada kesilapan
percaya kebolehan murid
bekerjasama
rasa bangga pencapaian murid
optimis
beri galakan dan motivasi

2.6.4 Terapi Realiti Glasser


Model Terapi Realiti ini diasaskan oleh William Glasser(ahli psikologi) pada tahun 1950-an.
Beliau telah banyak menulis serta mengemukakan pendapat mengenai isu-isu pendidikan dan
disiplin. Buku pertama beliau bertajuk Reality Theraphy: A New Approach to Psychiatry yang
memperkatakan tentang terapi realiti.

Asas utama kepada model ini ialah setiap tingkah laku yang ditunjukkan oleh individu
berasaskan pilihan yang dibuat. Pilihan yang dibuat oleh individu pula berdasarkan keperluan-
keperluan asas mereka. Menurut Glasser, masalah tingkah laku yang berlaku di dalam bilik
darjah adalah akibat dari rasa bosan atau tidak puas hati dengan jangkaan guru di dalam bilik
darjah, keadaan persekitaran yang menyebabkan murid gagal memenuhi keperluan asas mereka
di sekolah. Antara keperluan asas murid ialah :

a) kasih sayang
b) mempunyai kuasa dan kawalan
c) kebebasan
d) keseronokan

Model terapi realiti yang merupakan satu teknik kauseling untuk membantu individu meneroka
kemahuan diri, membuat refleksi tentang apa yang sedang dilakukan dan membuat perancangan
tentang kehendak sebenar mereka pada masa akan datang. Melalui terapi realiti, guru dapat:

- membantu murid kenal pasti akibat tingkah laku yang ditunjukkan.


- pastikan akibat realiti atau dipilih oleh murid.
- kemukakan pelan perancangan untuk membantu murid mengurus tingkah laku.
- bertindak sebagai pembimbing murid.

Terapi realiti membantu murid mengenal realiti kehidupan dalam memenuhi keperluan mereka
mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

Kurikulum yang berkualiti


akan meningkatkan mutu pendidikan
kurikulum ini bermula dengan perancangan yang berkesan, permulaan pengajaran yang
memotivasikan murid, perbincangan yang berpusatkan murid dan beri peluang kepada murid
untuk memahami dan meneroka apa yang diajar.

Kualiti pengajaran
persekitaran bilik darjah yang tenang dan kondusif
guru perlu lebih sifat sebagai pembimbing bukan pengarah
tugasan-tugasan pengajaran dan pembelajaran perlu yang berkaitan dengan kehidupan
seharian murid
berikan galakan kepada murid untuk memberikan yang terbaik
beri peluang kepada murid untuk menilai kerja masing-masing dan memperbaikinya

Guru yang membimbing akan:


memahami murid
menyediakan aktiviti p&p yang menyeronokkan
berbincang dengan murid
menggalakkan murid meneroka p&p
menyediakan bahan bantu belajar yang berkesan
menunjukkan kaedah yang terbaik untuk mendapat hasil pembelajaran

Membina bilik darjah yang berkualiti


tabiat - elakkan mengamal tabiat buruk ganti dengan tabiat yang boleh kekalkan hubungan baik
mesej- sampaikan mesej kepada murid tentang hasrat dan pendirian
bina hubungan dengan guru murid
peraturan kelas
elakkan daripada menggunakan kawalan luaran seperti mendenda, mengarah atau mengancam
murid apabila timbul masalah
pengetahuan
kompentensi
kualiti
penilaian
kefahaman dan penggunaan

2.6.5 Model Pengurusan Kelompok Kounin (1970)


Model pengurusan kelompok kounin bergantung kepada pengawasan dan penyeliaan guru yang
teliti terhadap aktivit-aktiviti dalam bilik darjah. Ia mencadangkan teknik dan strategi yang
proaktif bagi menggalakkan dan mengekalkan tingkah laku sosial dan akademik yang baik.
Diperkenalkan supaya pelajar melibatkan diri dan mengurangkan ganguan dalam kelas dan
membuktikan bahawa teknik atau pendekatan yang digunakan oleh guru lebih penting
berbanding personaliti guru dalam aspek pengurusan bilik darjah.

Model ini memberi fokus kepada pencegahan disiplin dengan menggunakan strategi dan teknik
untuk mengelakan kesalahan tingkah laku pelajar. Ia direka untuk mencegah masalah di
peringkat permulaan. Kounin menyatakan pengurusan kelas yang baik bergantung pada
pengurusan kelas yang berkesan. Kajian ini telah menemukan istilah ripple effect. Ripple effect ialah
teguran dan tindakan guru terhadap pelajar yang melakukan kesalahan akan mempengaruhi
pelajar lain. Beliau menjelaskan guru yang efektif adalah guru yang menghalang dari berlakunya
masalah pengurusan bilik darjah.

Teori Kounin :
2.6.5.1 Kesedaran dan kepekaan (Withitness)
Kesedaran dan kepekaan guru dalam mengawasi pergerakan dalam bilik darjah.
guru bertanggunjawab memerhatikan sikap pelajar dalam kelas.
guru mesti mengetahui perkara asas berkenaan murid.
( contoh: nama, hobi, kekuatan dan kelemahan)
Guru perlu menggunakan teknik non-verbal (bahasa badan).

2.6.5.2 Pertindanan (Overlapping)


Menangani lebih daripada satu situasi dengan serentak (pertindihan).
Guru boleh mengawal kelas dalam 2 situasi berbeza dalam satu masa.
Contoh: Mariam, teruskan dengan pembacaan awak, Azizah sila beri perhatian dan
jangan bercakap.

2.6.5.3 Kelicinan (Smoothness)


Guru memberi peluang kepada pelajar untuk bertanya soalan atau member pendapat berkenaan
dengan pengajaran.
Guru dapat menilai tahap pengajaran berdasarkan soalan dan komen yang diberikan.
Guru sebagai fasilitator semasa kerja berkumpulan dan memberi cadangan kepada pelajar jika
diperlukan.

2.6.5.4 Momentum
Guru memulakan pengajaran yang menarik, lancar serta membuat rumusan di akhir pengajaran
dengan berkesan.
Mengambil kira aspek minat, kebolehan dan perkembangan pelajar.
Menerangkan konsep terlebih dahulu supaya pelajar faham.

2.6.5.5 Kepekaan Kelompok/Kumpulan


Perhatian kumpulan(Group alerting) :
Pelajar lain memberi perhatian semasa rakan memberi penerangan.
Menggalakkan akauntabiliti(Encouraging accountability) :
Memberitahu pelajar bahawa mereka diperhatikan dan akan dinilai.
Format penyertaan tinggi(High participation format)
Mentakrifkan tingkah laku pelajar apabila mereka tidak menjawab soalan guru secara langsung.

2.7 Masalah dan Halangan Pengurusan Bilik Darjah

Bilik darjah merupakan tempat yang paling penting proses pengajaran dan pembelajaran. Hal ini
kerana murid banyak menghabiskan masa di dalam bilik darjah untuk menimba ilmu. Secara
rasmi, bilik darjah boleh ditakrifkan sebagai sebuah bilik di mana sekumpulan murid diajar oleh
seorang guru. Kemahiran guru dalam memanipulasi saiz dan ruang bilik darjah akan menjadikan
ruang yang sedia ada relevan dan menarik untuk keperluan pelajar. Pengurusan bilik darjah
merupakan salah satu elemen yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran kerana ianya
dapat meningkatkan motivasi pelajar untuk terus berjaya dalam pelajaran.

Namun terdapat beberapa masalah dan halangan yang sering mengganggu dalam pengurusan
bilik darjah. Masalah dan halangan ini dapat dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu masalah
disiplin, tingkah laku, komunikasi dan interaksi. Disamping itu terdapat beberapa faktor yang
menjadi halangan kepada pengurusan disiplin bilik darjah iaitu hubungan ibu bapa, pengaruh
rakan sebaya, keadaan persekitaran bilik darjah, masalah perkembangan murid dan salah laku
yang tidak dijangka.

Berikut pecahan atau huraian tentang masalah disiplin yang bersifat disruptif seperti tidak
memberikan perhatian, menganggu rakan, bercakap, makan dan tidur didalam kelas, keluar dari
bilik darjah tanpa kebenaran, lewat masuk kelas, tidak membawa buku latihan/teks,
menunjukkan sikap biadap terhadap guru, membuli, melepak, berlari, menjerit di
koridor. Termasuk juga dalam kategori kesalahan disiplin ialah masalah masalah kekemasan diri
contohnya tidak memakai lencana, tanda nama, stoking, kuku panjang, warna rambut dan pelajar
lelaki berambut panjang.

Selain dari disiplin, soal tingkah laku di dalam bilik darjah juga merupakan masalah dan
halangan dalam pengurusan bilik darjah. Menurut Shrigley (Levin & Nolan, 2004) apa jua
tingkah laku yang mengganggu pengajaran guru atau bersifat tidak selamat dari segi psikologi
mahupun fizikal ditakrifkan sebagai tingkah laku distruptif. Justeru perbuatan seperti kurang
memberikan perhatian, hiperaktif, pendiam, sensitif, apati (tidak kisah kepada arahan guru),
sikap melengahkan dan sambil lewa, gemar bercakap, menganggu rakan, membuli, berbohong,
menipu, menimbulkan kekecohan dalam bilik darjah, kurang sopan, mencuri, merosakkan harta
benda dan mudah marah dan agrasif. Manakala tingkah laku distruktif pula ialah permusuhan
nyata, vandalisme, kumpulan liar, klik atau geng.

Masalah gangguan atau halangan dalam komunikasi antara pelajar dengan guru juga berlaku
mungkin disebabkan suasana kelas yang bising menyebabkan pelajar sukar mendengar pelajaran
yang disampaikan. Terdapat juga pelajar yang kurang berminat terhadap sesuatu subjek telah
menyebabkan pelajar itu mempunyai pemikiran tertutup terhadap subjek tersebut. Pelajar enggan
mendengar pengajaran guru dan mengehadkan aktiviti pembelajaran terhadap subjek tersebut.
Contohnya pelajar itu tidak suka kepasa subjek Sains. Guru sains mempunyai masalah kerana
terpaksa menanamkan minat kepada setiap pelajar untuk mendapatkan pengajaran dan
pembelajaran yang berkesan. Selain itu masalah bahasa juga menyumbang masalah komunikasi.
Contohnya seorang guru Melayu mengajar di sekolah kebanyakan pelajarnya majoriti Cina atau
India. Pelajar tersebut tidak dapat memahami bahasa Melayu yang digunakan oleh guru dengan
sepenuhnya.

Pembelajaran dan pengajaran juga tidak dapat berlangsung dengan efektif sekiranya terdapat
masalah dalam cara mewujudkan interaksi yang berkesan dalam bilik darjah. Interaksi boleh
berlaku antara objek atau organisma yang tidak bertindak balas. Sebagai contoh, bila guru
berkomunikasi secara lisan atau melalui media, interaksi berlaku. Seorang pelajar berkomunikasi
bersama guru manakala dia hanya berinteraksi dengan sebuah komputer. Pelajar mengalami
masalah takut untuk berbincang dalam bilik darjah atau pun mereka tidak berminat dengan topik
perbincangan guru. Selain itu guru tidak dapat memadankan bahan bahan pelajaran yang sesuai
dengan umur kognitif para pelajar. Guru terlalu mengikut sukatan pelajaran dan mengabaikan
tahap pembelajaran Masteri. Ini ialah kerana bahan pembelajaran terlalu sukar, pelajar tidak
dapat menyertai dalam proses interaksi yang efektif dalam proses pembelajaran dan pengajaran

Masalah lain yang dihadapi di dalam bilik darjah ialah suasana bilik darjah yang kurang selesa.
Keadaan bilik darjah yang tidak terurus, kerusi meja yang banyak dan nampak berselerak,
cahaya yang tidak mencukupi, panas, bekalan elektrik tidak ada atau sudah tidak berfungsi
menimbulkan ketidakselesaan kepada pelajar menyebabkan mereka gelisah. Oleh sebab itu,
mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada pelajaran sepenuhnya dan ini memungkinkan
berlaku gangguan kepada pengajaran dan pembelajaran.

Selain itu, bilangan pelajar yang terlalu ramai juga merupakan faktor yang mendorong kepada
masalah di dalam bilik darjah. Guru tidak akan dapat mengawal kelasnya dengan baik apabila
bilangan pelajar terlalu ramai lebih-lebih lagi terdapat berbagai-bagai tahap kebolehan pelajar.
Ada pelajar yang lemah, sederhana dan tinggi tahap kebolehan menerima apa yang diajar oleh
guru. Guru tidak mampu melayan semua karenah pelajar di dalam kelas tersebut. Jadi, pelajar
yang tertinggal atau tidak berminat mengikuti pengajaran guru akan melakukan aktiviti-aktiviti
yang mengganggu pengajaran dan pembelajaran. Contohnya membuat bising, mengganggu
rakan dan bergerak ke sana sini.

sumber: pengurusan bilik darjah dan tingkah laku oleh Haliza Hamzah, Joy Nesamalar Samuel)

2.8 Kesimpulan
Pengurusan bilik darjah yang baik tidak akan berlaku tanpa perancangan. Setiap aktiviti
pengajaran akan berlaku dengan lancar sekiranya bilik darjah mempunyai aktiviti pembelajaran
yang tidak ada gangguan tingkah laku yang tidak menyenangkan. Jelaslah bahawa pengurusan
bilik darjah merupakan tugas penting yang memerlukan pengetahuan, kemahiran, kesabaran dan
komitmen yang optimum bagi memperoleh kesan yang maksimum. Harus diingat bahawa guru
perlu mendapat maklumat secukupnya tentang bilik darjah dan pelajar-pelajarnya terlebih dahulu
sebelum menjejakkan buat pertama kali ke dalam bilik darjah berkenaan. Persediaan JERISAH
(Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek, Sosialisasi, Alam, Hamba-Allah) guru yang lengkap akan
membolehkan pengajaran dan pembelajaran dijalankan dengan jaya, ceria dan cemerlang.

Kepimpinan bilik darjah yang diamalkan oleh guru bukan sahaja boleh menentukan pencapaian
matlamat sebuah bilik darjah malah memberi kesan ke atas semua individu yang ada dalam bilik
darjah tersebut. Guru harus bertindak termasuk merefleksi diri; cuba melaksanakan pembelajaran
secara kolaboratif dan penyelesaian masalah dalam menuju ke arah kepimpinan bilik darjah yang
berkesan.

Timbul satu persoalan di sini: Patutkah kepimpinan bilik darjah ini diperluas dan dikembangkan
di kalangan guru untuk menjayakan program pendidikan kita? Ini adalah persoalan yang belum
dijawab lagi, yang membuka ruang yang luas kepada setiap individu guru untuk membuat kajian
lanjut.

RUJUKAN
Banathy, B. H. (1991). Systems design of education: Ajourney to create the future.Englewood.

Ahmad Zabidi Abdul Razak, Jurnal Pendidikan 31 (2006) 3 - 19 3, Ciri Iklim Sekolah Berkesan:
Implikasinya Terhadap Motivasi Pembelajaran, 128- Masalah Pendidikan 2005, Universiti Malaya.

hew Fong Peng & Abdul Jalil Othman, 2008, Pengabaian Kemahiran Mendengar dan Bertutur dalam
Bilik Darjah di Sekolah Menengah: Punca, Masalah dan Kesannya di Malaysia.

Dr. Ragbir Kaur Joginder Singh (Phd), 2012 Panduan Ilmu Pendidikan Untuk DPLI Pedagogi,
Kumpulan Budiman Sdn Bhd.

Mohd Hasani Dali & Mohamad Johdi Salleh (2009). Pengurusan Bilik Darjah. Dalam Noraini
Idis dan Shuki Osman, Pengajaran dan Pembalajaran: Teori dan Praktis. Kuala Lumpur: McGraw
Hill. Pps 161 188. ISBN 978-983-3850-54-9.
Dicatat oleh b.tan di 12:21:00 PTG
E-melkan IniBlogThis!Kongsi ke TwitterKongsi ke FacebookKongsi ke Pinterest

You might also like