You are on page 1of 8

KECEMERLANGAN SEKTOR PERTANIAN DAN

DASAR PERTANIAN NEGARA KETIGA (DPN3) 1998-2010)

1. Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di


dalam pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Di
peringkat awal, penanaman tanaman makanan seperti padi,
sayur-sayuran, buah-buahan serta kegiatan menangkap ikan
dan menternak telah menyediakan sumber makanan,
mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan pada
penduduk-penduduk tempatan. Kegiatan pertanian pada
masa itu adalah pertanian sara diri dan tradisional. Tanaman
industri iaitu getah mula diperkenalkan pada tahun 1887
apabila benih getah ditanam di Kuala Kangsar, Perak.
Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926
telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai
pengeluar utama getah asli di dunia untuk beberapa abad
sehinggalah akhir tahun 1980an. Tanaman kelapa sawit
mula diperkenalkan dan dimajukan pada awal 1960an diikuti
dengan koko pada tahun 1970an. Seterusnya penubuhan
Institut Penyelidikan Kelapa Sawit (PORIM) pada tahun 1979
telah menjadikan kelapa sawit sebagai satu tanaman
strategik kepada ekonomi Malaysia. Sumbangan terhadap
Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah meningkat
kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6
bilion pada tahun 1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6
peratus. Jumlah kawasan tanaman sawit telah meningkat
daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985 kepada 2.5 juta
hektar pada tahun 1995. Penubuhan Lembaga Koko
Malaysia pada tahun 1988 untuk menjalankan penyelidikan
mengenai pengeluaran pemerosesan, penyimpanan dan
penggunaan mengukuhkan lagi kedudukan tanaman koko
sebagai tanaman selingan dalam sektor pertanian Malaysia.

2. Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan,


penyatuan dan pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA,
RISDA dan agensi-agensi pembangunan wilayah telah
mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru untuk tanaman
industri di samping mencapai matlamat membasmi
kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu,
penubuhan agensi-agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank
Pertanian Malaysia (BPM) (1969), MARDI (1969), Lembaga
Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga Kemajuan
Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian
Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu
(KADA) (1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973)
dan beberapa agensi yang lain telah menyediakan
kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit dan khidmat
sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi
pembangunan sektor pertanian.

3. Semenjak pertengahan tahun 1980an, Malaysia telah


mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sekali di
mana ia telah mencapai pertumbuhan KDNK melebehi 8
peratus setahun selama sembilan tahun berturut-turut.
Pertumbuhan yang pesat ini yang telah diterajui oleh sektor
pembuatan dan perkhidmatan sementara sektor pertanian
telah mengalami kadar pertumbuhan yang kecil dan
sederhana 2-3 peratus setahun. Pada tahun 1987 sektor
pembuatan telah mengatasi sektor pertanian dari segi
sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK),
peluang pekerjaan dan pendapatan eksport akibat daripada
dasar menggalakkan perindustrian.

4. Sejak pelaksanaan DPN1 mulai 1984 dan DPN2 mulai


1992, sektor pertanian telah mencatat kadar pertumbuhan
purata tahunan sebanyak 3.2%. Jumlah nilai-ditambah
pertanian telah meningkat dari RM11.9 bilion pada tahun
1985 kepada RM16.2 bilion pada tahun 1995. Nilai eksport
barangan pertanian pula telah meningkat daripada RM 13.9
bilion tahun 1985 kepada RM 35.4 bilion pada tahun 1995
yang merupakan pertumbuhan purata tahunan sebanyak
9.8%. Sungguhpun demikian, perkembangan pesat dalam
ekonomi sejak tahun 1991 dan kegawatan ekonomi yang
dihadapi sekarang telah menimbulkan cabaran baru dalam
pengurusan sektor pertanian. Cabaran tersebut melibatkan
masalah dan kekangan yang lazimnya berhubungkait
dengan ekonomi yang berkembang pesat secara berterusan,
terutamanya ekonomi yang mencapai tahap gunatenaga
penuh serta menghadapi masalah defisit imbangan
perdagangan. Di antara cabaran-cabaran baru yang
dihadapi oleh sektor pertanian adalah seperti berikut:-

Keperluan untuk menjamin bekalan makanan yang


mencukupi, selamat, berkhasiat serta bermutu tinggi pada
harga yang berpatutan.

ii. Keperluan untuk mengurangkan penggunaan buruh dalam


kegiatan pertanian.

iii. Keperluan untuk memaksimakan penggunaan sumber-


sumber terhad yang sedia ada seperti tanah dan air.

iv. Keperluan untuk memperkukuhkan daya saingan sektor


pertanian negara.
v. Keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam
pengeluaran makanan.

vi. Keperluan untuk merubah sektor pekebun kecil .

vii. Keperluan untuk menyokong perindustrian negara dan


pelaburan luar negara.

viii. Keperluan bagi memastikan pembangunan pertanian


dan perhutanan yang mampan.

5. Untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut dasar


pertanian negara yang baru (DPN3) telah digubal bagi
menjamin pembangunan pertanian dan perhutanan yang
dapat disesuaikan dengan perkembangan-perkembangan
terbaru yang berlaku di dalam dan di luar negara. Strategi
pembangunan sektor pertanian dan perhutanan
disepadukan untuk mengatasi masalah kekurangan sumber,
terutamanya tanah dan buruh: menggalakkan petani-petani
mengamalkan teknik-teknik pertanian moden melalui sistem
bersepadu yang menggabungkan tanaman, perikanan dan
ternakan serta dilengkapi dengan aktiviti agropelancongan.

6. Di samping itu, dasar-dasar bagi pengurusan ekonomi


makro sektor-sektor lain perlu diambilkira bagi mempastikan
dasar pertanian adalah konsisten, melengkapi, relevan dan
selari dengan dasar-dasar pembangunan yang dilaksanakan
oleh pelbagai Kementerian. Dasar-dasar tersebut ialah dasar
perindustrian, sains dan teknologi, kepelbagaian biologi dan
alam sekitar. DPN3 melengkapkan pendekatan
pembangunan berkelompok industri berasaskan pertanian
yang telah dikenalpasti dalam Pelan Induk Perindustrian 2
(1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan
antara sektor ekonomi yang akan merangkumi
pembangunan dan peluasan industri sokongan dan
perantaraan. Pembangunan industri baru seperti
bioteknologi, produk kimia semulajadi yang dihasilkan
daripada sumber biologi dan produk biomass kelapa sawit
adalah selaras dengan dasar pembangunan sains dan
teknologi. Strategi untuk pemuliharaan sumber biologi dan
semulajadi seperti hutan, marin dan air pula akan
memenuhi kehendak dasar kepelbagaian biologi dan alam
sekitar. Rantaian pertanian dengan sektor industri dan
penekanan kepada pemuliharaan sumber semulajadi akan
mengukuhkan lagi sektor pertanian dan menjamin
pembangunan mampan. Oleh itu, DPN3 telah digubal
dengan tujuan menjadikannya satu dasar yang
komprehensif, melengkapi dasar-dasar yang lain
(complementary), pragmatik serta fleksibel.

Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), 1998-2010

7. Objektif utama DPN3 adalah untuk memaksimakan


pendapatan melalui penggunaan sumber secara
optima dalam sektor ini. Ia meliputi usaha
memaksimakan sumbangan sektor pertanian kepada
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport
serta pendapatan petani, penternak dan nelayan. Secara
spesifik, objektif DPN3 adalah untuk:

i Meningkatkan sekuriti makanan (food security)

ii Meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian

iii Mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain

iv Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru untuk


sektor pertanian

v Memulihara dan menggunakan sumber-sumber asli secara


mampan

8. Semua ini memerlukan pendekatan dan teras strategik


yang baru untuk mempertingkatkan sumbangan sektor
pertanian dan perhutanan kepada petumbuhan ekonomi.
Justeru itu, DPN3 memperkenalkan dua pendekatan
strategik yang baru iaitu pendekatan perhutani
(agroforestry approach) dan pendekatan berasaskan
produk (product-based approach).

9. Pendekatan perhutani bertujuan untuk memberi


perhatian kepada masalah kekurangan sumber-
sumber termasuk tanah, buruh dan bahan mentah. Di
bawah pendekatan ini, kegiatan pertanian dan
perhutanan dilihat sebagai dua kegiatan yang serasi
dan saling melengkapi, justeru, membuka peluang
untuk dibangunkan bersama. Integrasi pertanian dan
perhutanan juga adalah bertujuan membentuk asas
pengeluaran yang lebih luas bagi kedua-dua sektor tersebut.
Pendekatan ini akan memberi manfaat-manfaat berikut:

mewujudkan ruang yang lebih luas kepada pelbagai


gabungan perusahaan perhutanan dan pertanian,
mengoptimakan penggunaan sumber terutama tanah dan
meningkatkan potensi penjanaan pendapatan dari
pelaburan-pelaburan perhutani;

membolehkan pengeluaran hasil pertanian dan


perhutanan daripada tanah yang sama dan dengan ini
mengurangkan tekanan permintaan untuk tanah pertanian
yang baru;

menyokong pelbagai perhubungan simbiotik seperti


penanaman spesis pokok hutan dengan tanaman industri
untuk mengoptimakan penggunaan tanah dan
memaksimakan pulangan; dan

memberikan peluang hasil pulangan yang awal dan


berterusan daripada komponen pertanian di dalam
perusahaan campuran tersebut. Ini akan menggalakkan
penyertaan sektor swasta di dalam kegiatan tanaman
hutan komersil dan dengan demikian meningkatkan
bekalan balak untuk industri berasaskan kayu.

10. Pendekatan strategik baru yang kedua ialah


pendekatan berasaskan produk. Melalui pendekatan
ini, produk-produk dan pasaran-pasaran utama
dikenalpasti berdasarkan permintaan, potensi
pasaran dan cita rasa pengguna. Pendekatan
berasaskan komoditi yang diamalkan sekarang telah
menghadkan keupayaan dan keberkesanan sektor pertanian
untuk menembusi pasaran yang bersegmen dan bernilai
tinggi. Dengan menggunakan pendekatan berasaskan
produk, ia akan memberi penekanan kepada keperluan dan
cita rasa pengguna serta pasaran khusus di seluruh dunia.
Permintaan dan keperluan pasaran ini digunakan untuk
menggubal strategi-strategi pengeluaran pertanian huluan.
Ini akan mewujudkan peluang untuk menambah
pengeluaran dan meningkatkan keupayaan pemasaran
hasil-hasil pertanian. Pendekatan ini akan dapat :-

melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok


industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti di
dalam Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui
pengukuhan pertalian dalam dan antara sektor ekonomi
yang akan merangkumi pembangunan dan peluasan
industri sokongan dan perantaraan.

meningkatkan pengeluaran pertanian yang lebih khusus


melalui penyampaian petunjuk-petunjuk pasaran serta
pola citarasa pengguna kepada pengeluar di peringkat
ladang. Ini akan menggalakkan pengeluaran produk-
produk pertanian yang bermutu dan bernilai tinggi,
membantu penghasilan perbezaan produk dan
meningkatkan nilai ditambah produk-produk pertanian
bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran
tempatan dan antarabangsa.

mengenalpasti dan memperluaskan peluang-peluang


pasaran. Penggunaan petunjuk-petunjuk pasaran yang
disalurkan kepada pengeluar akan memudahkan mereka
membuat keputusan mengeluarkan bahan-bahan mentah
yang diperlukan untuk menyokong aktiviti pengeluaran
berasaskan pertanian dan aktiviti ekonomi yang lain. Ini
akan meluaskan lagi skop pembangunan pertanian dan
perhutanan serta mewujudkan peluang-peluang
perniagaan dalam bidang-bidang perniagaan yang lebih
luas melalui satu sistem rangkaian aktiviti pertanian
dengan aktiviti sektor lain. Rangkaian ini termasuk
penyelidikan dan pembangunan (P&P) serta penjanaan
teknologi, pengeluaran dan pemprosesan primer,
pengeluaran produk-produk pertengahan dan guna akhir,
pengedaran dan perkhidmatan pemasaran serta produk
akhir kepada pengguna.

11. Berasaskan pendekatan dan teras strategi yang baru


ini, sektor pertanian dijangka mencapai kadar pertumbuhan
sebanyak 2.4% setahun di sepanjang tempoh DPN3.
Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK dijangka turun
daripada 13.5% dalam tahun 1995 kepada 7.1% dalam
tahun 2010. Penurunan ini adalah selaras dengan
perubahan keseluruhan struktur ekonomi yang dialami oleh
kebanyakan negara maju di mana sektor pertanian adalah
didorong oleh peningkatan produktiviti melalui penggunaan
teknologi secara intensif, petani yang berpengetahuan di
dalam amalan-amalan pertanian serta pembangunan
industri-industri baru yang berasaskan pertanian.
Kekurangan tenaga buruh yang berterusan dan persaingan
faktor-faktor pengeluaran yang lain dijangka mengurangkan
lagi sumbangan getah dan koko kepada KDNK pertanian,
masing-masing daripada 10.6% dan 4.4% dalam tahun 1995
kepada 5.1% dan 2.9% dalam tahun 2010. Sumbangan kayu
gergaji juga dijangka turun daripada 13.9% kepada hanya
5.3% dalam tempoh yang sama, seiring dengan dasar
pengurusan hutan yang mampan.

12. Sektor pertanian dijangka memperolehi sumber


pertumbuhan yang baru daripada hasil pelbagai inisiatif
untuk menggalakkan pertumbuhan kumpulan industri baru
seperti perhutani, produk asli istimewa, buluh dan rotan,
produk bioteknologi, florikultur dan ikan hiasan. Sektor kecil
makanan juga dijangka mengalami pertumbuhan ketara
berikutan langkah-langkah intensif yang telah diambil untuk
mengatasi kekangan-kekangan yang dihadapi berkaitan
dengan pengeluaran, serta daya usaha lain untuk
memperkukuhkan asas ekonomi sektor kecil ini. Sumbangan
sektor kecil makanan kepada KDNK pertanian dijangka
meningkat daripada RM4.3 bilion dalam tahun 1995 kepada
RM7.4 bilion dalam tahun 2010. Permintaan kukuh yang kian
meningkat terhadap minyak sawit di pasaran antarabangsa
akan mempergiatkan lagi pertumbuhan industri ini. Nilai
ditambah sektor kecil ini dijangka meningkat daripada
RM6.8 bilion kepada RM10.3 bilion bagi tempoh tersebut,
sementara sumbangannya kepada KDNK pertanian dijangka
meningkat daripada 42.1% kepada 44.6%.

13. Sektor pertanian khususnya sektor-sektor kecil


tanaman industri dan perhutanan akan terus memainkan
peranan penting sebagai pembekal utama bahan mentah
kepada industri berasaskan sumber. Sumbangan sektor
pertanian kepada KDNK dijangka akan menjadi lebih penting
apabila lebih banyak bahan mentah pertanian diproses dan
dijadikan produk akhir untuk dieksport. Bagi menampung
pengeluaran dalam negara dan memenuhi permintaan yang
kian bertambah daripada industri hiliran, perolehan
strategik bahan mentah melalui pelaburan di luar negara
akan diusahakan.

14. Jumlah tenaga kerja dalam sektor pertanian akan


berkurangan sebanyak 2.8% setahun daripada 1,429,000
pekerja dalam tahun 1995 kepada 930,000 pekerja dalam
tahun 2010. Ia akan dilaksanakan melalui usaha-usaha
mempertingkatkan penggunaan sistem pengeluaran intensif
berautomasi dan mekanisasi serta mengurangkan
perusahaan-perusahaan pertanian yang berintensif buruh.
Peningkatan kawasan penggunaan tanah pertanian dijangka
akan menjadi terhad dalam tempoh ini disebabkan
kekurangan tanah, tenaga buruh serta peningkatan kos
pengeluaran. Oleh itu, pengeluaran dijangka bertambah
melalui peningkatan produktiviti. Produktiviti pekerja
dijangka meningkat daripada RM11,360 kepada RM24,730
setiap pekerja dalam tempoh yang sama. Ini mencerminkan
penekanan yang diberi kepada teknologi jimat buruh,
inovasi dan pengurusan ladang yang lebih cekap.

15. Di dalam tempoh DPN3, pertumbuhan pertanian


dijangka akan terus meningkat melalui penggunaan tanah
yang lebih intensif walaupun peluasan guna tanah adalah
sederhana. Tanaman getah, padi, kelapa dan koko masing-
masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas 494,000
hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar.
Kebanyakan kawasan ini akan ditanam semula dengan
perhutani, kelapa sawit, buah-buahan dan sayur-sayuran.
Pembukaan tanah baru pula akan hanya dilaksanakan di
Sabah dan Sarawak di mana masih terdapat kawasan tanah
yang luas. Dengan itu, peningkatan keluasan guna tanah
dijangka meningkat hanya pada tahap 0.5% setahun iaitu
daripada 5.7 juta hektar kepada 6.2 juta hektar.

You might also like