You are on page 1of 11

Setiap individu yang yang hidup dengan kewarasan yang normal akan mengalami

pelbagai jenis emosi. Emosi yang gembira digambarkan sebagai emosi yang positif
manakala emosi yang kurang menyenangkan dikenali dengan emosi negatif. Perbezaan
antara individu dari segi persekitaran, pengaruh keluarga, rakan sebaya, dan juga latar
belakang didikan agama mewujudkan emosi yang berbeza-beza antara satu sama lain.
Keunikan penciptaan manusia oleh Allah SWT membolehkan setiap manusia mempunyai
perasaan dan emosi. Perkataan emosi sebenarnya berasal daripada bahasa Perancis,
emotion, dan mouvoir yang bermaksud kegembiraan.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, emosi bermaksud perasaan jiwa yang kuat,
seperti sedih, gembira, takut dan lain-lain. Mengikut Bruno (1984), menterjemahkan emosi
sebagai suatu keadaan yang mampu mengganggu kitaran bendalir di dalam badan. Oleh itu,
Beliau melihat emosi daripada prespektif ini kerana apabila seseorang itu mengalami emosi,
hampir keseluruhan keadaan sistem badanya terganggu dengan pelbagai perubahan
fisiologi yang berlaku dalam tubuhnya. Kadang- kala kesihatan individu yang mengalami
gangguan emosi juga semakin terjejas. Gangguan emosi pula boleh ditakrifkan sebagai satu
situasi yang menunjukkan satu atau lebih perwatakan oleh murid-murid. Dalam satu kajian
yang dijalankan Kementerian Kesihatan pada tahun 2006, iaitu Kajian Kesihatan Morbiditi
Kebangsaan Malaysia mendapati masalah kesihatan mental dalam kalangan kanak-kanak
dan remaja adalah 20.3%, meningkat sebanyak 13% berbanding tahun 1996 (Utusan
Melayu, 2011). Bilangan peningkatan dalam masa 10 tahun ini agak membimbangkan.

Sistem pendidikan di negara kita yang lebih berorientasikan peperiksaan sedikit


sebanyak juga mengakibatkan ganngguan emosi di kalangan murid di sekolah. Sistem
pendidikan di Malaysia telah mengalami pelbagai transformasi yang mengikut peredaran
zaman sesuai dengan kehendak cabaran semasa. Sebelum kehadiran penjajah British ke
Tanah Melayu, sistem pendidikan yang ada tidak tersusun, ianya lebih kepada sistem
pendidikan yang berteraskan sistem pondok yang diadakan di madrasah dan sekolah-
sekolah agama. Semasa zaman penjajahan British, sistem pendidikan di Malaysia
mengalami sedikit transformasi. Penjajah British memperkenalkan sistem pendidikan
Vernakular merujuk kepada sekolah yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa
penghantar di sekolah terbabit. Terdapat tiga jenis sekolah aliran Vernakular iaitu sekolah
aliran Melayu, sekolah aliran Cina dan aliran India. Selepas Tanah Melayu mendapat
kemerdekaan, pelbagai laporan dan penyata telah dibentangkan sebagai penentu hala tuju
sistem pendidikan negara. Antaranya termasuklah Laporan Barnes (1950), Laporan Fenn-
Wu (1951), Penyata Razak (1956), Laporan Rahman Talib (1960). Selepas dari Laporan
Rahman Talib 1960, muncul pula laporan-laporan seperti Laporan Hussein Onn (1971) dan
Laporan Mahathir 1976. Kedua-dua Laporan ini adalah untuk mengkaji semula Dasar
Pendidikan Negara yang sebelumnya berdasarkan Laporan Razak dan Laporan Rahman
Talib.

Sistem pendidikan terus mengalami perubahan yang dinamik dan berterusan.


Kurikulum sekolah rendah mula diperkenalkan pada tahun 1983 dengan menggunakan
nama Kurikulum Baru Sekolah Rendah. Pada tahun 1993, Kurikulum Bersepadu Sekolah
Rendah (KBSR) diperkenalkan. KBSR disemak semula pada tahun 2003 kerana dasar
Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). KBSR
(semakan) telah digubal semula menjadi Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR)
selaras dengan teras kedua Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP).

Semua sekolah rendah di Malaysia telah menggunakan satu kurikulum baru yang
dikenali sebagai Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kurikulum ini dijalankan
secara berperingkat di seluruh Malaysia bagi murid Tahun Satu 2011. Ia selaras dengan
perkembangan dan permintaan semasa yang menuntut modal insan yang lebih berkualiti
sejajar dengan zaman yang serba maju dan mampu bersaing di peringkat global. Proses
pengajaran dan pembelajaran akan menggunakan modul yang akan menggantikan buku
teks.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang menitik beratkan perkembangan yang


seimbang dirangka sebagai penetapan pegangan buat guru dalam menentukan hala tuju
murid mereka.
Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi
potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang
dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan
kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu
pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan
mencapai kesejahteraan diri, serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan
kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.
Ketidakupayaan murid dalam menghadapi permasalahan mereka akan
menyebabkan mereka mudah mengalami gangguan emosi. Sebagai seorang guru, kita
seharusnya bijak menangani masalah murid agar gangguan emosi yang mereka hadapi
tidak berada di tahap yang kritikal. Masalah gangguan emosi memang dihadapi oleh semua
orang. Terpulang pada tahap mana seseorang itu berupaya untuk menanganinya.

Jenis-jenis gangguan emosi


Terdapat pelbagai jenis gangguan emosi yang dihadapi oleh murid di sekolah. Jenis
gangguan ini diterjemahkan oleh mereka dengan memperlihatkan sikap mereka pada
sesuatu ketika. Secara umumnya gangguan emosi di kalangan murid di sekolah boleh
dikenali dengan melihat perubahan sikap yang mereka alami. Sebagai seorang guru, kita
hendaklah bijak menangani keadaan gangguan emosi murid agar keadaan murid tidak
menjadi lebih kritikal.

Gangguan emosi secara umumnya terbahagi kepada tiga kategori iaitu


i. Gangguan emosi ringan
ii. Gangguan emosi sederhana, dan
iii. Gangguan emosi berat

Gangguan emosi ringan

Gangguan emosi ringan adalah jenis gangguan pada peringkat permulaan. Murid
yang mengalami gangguan emosi ringan ini, tidak begitu kelihatan ciri-ciri luarannya kerana
pada peringkat ini murid mampu untuk mengawal diri dan perasaan masing-masing.
Kebiasaanya murid di sekolah tidak begitu ketara pada peringkat gangguan ini, mereka
masih boleh bergaul dan berinteraksi sesame mereka tanpa menjejaskan komunikasi.
Namun secara relatifnya gangguan emosi ringan tidak bersesuaian dengan tahap
perkembangan umur murid. Sebagai contohnya, suasana di dalam bilik darjah, bersesuaian
dengan naluri kanak-kanak yang ingin bermain dan berkongsi peralatan bersama dengan
murid lain, tetapi ada juga terdapat segelintir murid yang merasa kurang senang apabila
peralatan mereka dikongsi dengan orang lain.

Gangguan emosi sederhana

Sifat penentangan dan berbagai jenis perasaan jelas menonjol pada gangguan jenis
ini. Kesedihan, ketakutan dan berbagai emosi jenis negatif sering mengganggu kehidupan
muird di sekolah. Sikap menyendiri, pemarah adalah sikap yang yang ditunjukkan oleh murid
yang mengalami gangguan jenis sederhana. Emosi yang sepatutnya bersifat normal dan
tidak mampu dihadapi oleh murid menyebabkan mereka sering bertindak di luar kawalan.
Perasaan tidak puas hati akan dizahirkan dengan pemberontakan secara senyap pada
peringkat awalnya bertukar kepada secara teran-terangan. Ada kalanya murid akan
menangis untuk menunjukkan perasaan meraka terganggu. Malahan mereka akan bertindak
di luar kebiasaan sikap normal mereka seperti menjerit, memukul diri sendiri atau
merosakkan harta benda sekolah.

Terdapat juga murid yang terbawa-bawa masalah dirumah hingga ke sekolah,


sebagai contohnya apabila dirumah, ketegangan masalah ibu bapa menyebabkan murid
mempunyai perasaan dengki terhadap rakan mereka. Murid berkenaan akan cuba mencari
jalan untuk melepaskan perasaan mereka dengan bertindak mencuri peralatan murid lain.
Mereka beranggapan murid lain juga tidak berhak mendapat kasih sayang seperti mana
yang mereka alami. Di dalam bilik darjah, murid menunjukkan penolakan mereka terhadap
arahan guru dengan membuat mimik muka. Murid menunjukkan protes dengan tidak
menyiapkan latihan yang disediakan malahan sering menimbulkan gangguan kepada murid
lain.

Gangguan emosi berat

Gangguan emosi berat adalah peringkat yang paling teruk. Guru dapat melihat
dengan jelas murid berkenaan sedang mengalami gangguan emosi. Tingkahlaku, pertuturan,
perbuatan murid sememangnya kelihatan berlainan dari kebiasaanya. Tingkahlaku ini bukan
sahaja membahayakan diri mereka malahan kepada murid lain. Kebiasaannya murid akan
mengamuk, merosakkan harta benda dan mengeluarkan perkataan yang kesat. Jika
perlakuaan seperti ini tidak dibendung dari awal, murid tersebut tidak akan mampu untuk
mengawal emosinya apabila dewasa kelak seterusnya mengganggu proses
pembelajarannya.
Pada peringkat yang lebih teruk, murid yang mengalami gangguan emosi berat
mudah diserang histeria. Ada pandangan yang mengatakan histeria adalah kecelaruan
mental yang dihasilkan daripada kemurungan yang tinggi. Penyakit ini dicirikan oleh
kekurangan kawalan ke atas tingkah laku dan emosi diri. Sering kali histeria menyebabkan
luahan emosi yang keterlaluan seperti menjerit-jerit. Dalam kalangan ahli psikologi, mereka
mengaitkan histeria dengan faktor psikologikal. Bagi tentera yang berperang misalnya,
trauma perang itu dianggap puncanya.

Punca-punca gangguan emosi di kalangan murid

Berdasarkan pengalaman mengajar saya di sekolah, murid menunjukkan pelbagai sikap


dan tingkahlaku yang boleh dikenalpasti. Tingkahlaku tersebut amat berlainan seperti
kebiasaanya. Sebagai guru, kepekaan dengan apa juaperkembangan murid. Sebarang
perubahan tingkah laku yang ketara dalam kalangan murid perlu diberikan perhatian.
Contohnya apabila murid yang selama ini aktif dan ceria, tiba-tiba menjadi muram serta
pasif. Guru perlu melakukan kaji selidik punca masalah tersebut dan membantu murid sebaik
mungkin. Gangguan emosi sering berlaku dalam kalangan murid. Masalah tersebut mungkin
berpunca daripada situasi persekitaran sekolah, masalah keluarga, cara pengajaran guru
dan masalah rakan sebaya.

i. Persekitaran sekolah

Menurut Case (1985), keadaan pelajar yang bersesak dan pada di dalam bilik darjah
yang kecil boleh mendatangkan masalah tekanan dan disiplin di kalangan mereka. Keadaan
bilik darjah yang terlalu panas dan padat dengan bilangan murid-murid akan mendorong
murid-murid membuat sesuatu yang bercanggah dengan undang-undang sekolah.

Susun atur biilik darjah yang tidak efiesen menambahkan lagi suasana yang rimas.
Pertambahan bilangan murid seiring dengan pertambahan bilangan penduduk di sesuatu
tempat mengakibatkan bilangan murid juga akan bertambah. Sekolah yang berada di
kawasan bandar keadaannya bertambah sesak dan padat. Persekitaran sekolah yang tidak
kondusif menyebabkan murid kurang berminat untuk mengikuti pembelajaran. Suasana yang
tidak menyeronokkan akan mengakibat sekelompok kecil murid menimbulkan gangguan
kepada murid lain. Menurut Noriati et.al (2010), murid yang mengalami gangguan emosi
akan menunjukkan sikap-sikap seperti liar, ganas, tidak sabar, kerap mengamuk dan
berkecenderungan menunjukkan tingkah laku yang kurang sesuai dengan situasi-situasi
normal.

Kelompok murid yang menimbulkan gangguan di dalam kelas mengakibatkan


gangguan emosi kepada murid yang berminat untuk mengikuti pembelajaran. Gangguan
yang ditimbulkan akhirnya akan menjejaskan tumpuan murid lain. Ini secara tidak langsung
akan menarik rakan yang lain untuk berbuat demikian. Masalah sebegini jika dibiarkan
berlarutan akan menimbulkan masalah kepada pihak sekolah di kemudian hari. Sehingga
sampai ke peringkat murid-murid yang mengalami masalah gangguan emosi ini mengalamai
kemerosotan prestasi akedemik mereka. Kedaan seperti ini akan merugikan murid tiu
sendiri, seterusnya pihak sekolah juga akan merasa tempiasnya.

Persekitaran suasana perkampungan di Felda sedikit sebanyak juga tidak jauh


bezanya dengan sekolah di bandar. Secara puratanya bilangan murid di dalam sesebuah
kelas seramai 25 orang. Pengaruh media massa dan ledakan kepesatan teknologi peranti
banyak mempengaruhi kehidupan kanak-kanak pada masa kini.
ii. Masalah keluarga

Latar belakang kehidupan keluarga yang bermasalah memberi kesan yang


mendalam kepada emosi murid. Peristiwa keretakan rumah tangga ibu bapa menyebabkan
murid kehilangan tempat kasih sayang. Perasaan rendah diri dan menganggap diri sendiri
berada di dalam serba kekurangan menyebabkan tumpuan mereka di dalam kelas semakin
berkurangan. Murid yang mengalami sejarah silam yang negatif juga akan terbawa-bawa
ingatan tersebut di sepanjang kehidupan mereka. Penderaan, kematian, kehilangan orang
yang tersayang membuatkan murid berkenaan mengalami tekanan emosi yang berlanjutan.

Menurut Sandtorm (1968), perasaan ketegangan ini akan terluah sabagai perlakuan
salah penyesuaian yang dilakukan di rumah dan di sekolah. Murid-murid akan mengeluarkan
ketegangan emosi ini semasa berada di sekolah. Murid-murid yang mengalami ketegangan
emosi ini memerlukan kasih sayang daripada keluarganya. Oleh kerana tidak dapat
perhatian daripada keluarganya, maka mereka melakukan tindakan-tindakan yang luar biasa
untuk mendapatkan perhatian daripada guru.

Keluarga yang tidak mesra, menjadikan murid mengambil contoh daripada keadaan
tersebut dan memendam perasaan sehingga menunggu masa untuk dilepaskan. Tindakan
luaran yang dapat dikesan oleh guru termasuklah murid menjadi pendiam, pemarah dan
bersikap biadab. Guru seharusnya bijak mengesan sebarang perubahan tingkahlaku murid
agar kesan gangguan emosi murid dapat ditangani pada peringkat awal lagi. Peranan
keluarga dalam membentuk dan mencorakkan kehidupan murid mempengaruhi hala tuju
mereka. Keluarga yang harmoni akan melahirkan murid yang seimbang dari segi emosi dan
cemerlang dalam semua bidang yang diceburi.

iii. Pengaruh rakan sebaya

Kehidupan di zaman kanak-kanak memang mudah dipengaruhi oleh rakan sebaya.


Minat dan kecenderungan mereka bergantung dan mengikut minat rakan sebaya mereka.
Penerimaan rakan-rakan terhadap murid akan membentuk personaliti diri di sekolah. Rakan
sebaya yang disenangi mudah untuk didekati, dan menjadi ikutan rakan-rakan yang lain.
Murid yang diterima oleh kumpulannya, dari segi penampilannya lebih menyakinkan dan
emosinya berada dalam keadaan tenang dan seimbang. Sikap mereka yang ceria, suka
membantu, bersemangat dan bertolenrasi mengundang kesenangan kepada rakan-rakan
yang lain. Menurut Tan Toh Wah (1995), pengaruh rakan sebaya memang memberi kesan
kepada pembentukan peribadi pelajar. Rakan sebaya merupakan tempat murid-murid
mencurahkan masalah terutama bagi golongan yang mempunyai masalah keluarga di
rumah.

Emosi murid yang terganggu menyebabkan mereka sering bersikap agresif,


sombong dan sering menimbulkan masalah. Murid yang dipulaukan oleh rakan-rakan
mereka sering mengalami masalah gangguan emosi. Gangguan yang dihadapi oleh murid
sekiranya tidak terkawal akan mengakibatkan murid berkenaan bertindak di luar kawalan.

iv. Gaya pengajaran guru

Sebagaimana yang kita ketahui, guru memainkan peranan yang amat penting dalam
menyampaikan ilmu pengetahuan kepada murid. Keberkesanan dalam proses pengajaran
guru melahirkan murid yang serba boleh. Keyakinan murid terhadap guru semakin
bertambah jika gaya penyampaian guru tidak membosankan. Kaedah chalk and talk bukan
sahaja menimbulkan kebosanan malahan menambah lagi gangguan emosi kepada murid.
Ketidakupayaan murid mencapai apa yang dihajati oleh guru dan pihak sekolah boleh
menjadikan satu bebanan terhadap diri mereka.

Tambahan pula, sistem penggredan murid lebih berorientasikan peperiksaan


menjadikan murid mengejar sebanyak mana gred A yang boleh diperolehi. Murid yang
mendapat markah yang tinggi sering diberi penghargaan manakala murid yang berada di
kelompok lemah merasa semakin terpinggir. Menurut Syed Lutri (1994), guru bertanggung
jawab untuk mencemerlangkan pelajar-pelajarnya dengan memperbanyakkan latihan, tunjuk
ajar, kelas tambahan dan sebagainya untuk memastikan pelajar memahami dan
memanfaatkan sepenuhnya apa yang diajar. Namun demikian, dalam sistem exam-oriented
pelajar akan menumpukan sepenuh masa membaca bahan-bahan yang berpotensi akan
disoal dalam peperiksaan dengan meninggalkan bahan-bahan bacaan ringan dan berat
(pengetahuan am) yang boleh membantu mencabar pemikiran mereka dalam masyarakat
global masakini.

Personaliti guru yang tidak digemari juga mempengaruhi personaliti murid. Bagi
matapelajaran yang tidak disukai oleh murid mereka akan menunjukkan rasa tidak puas hati
dengan menjawab sambal lewa. Perasaan serba kekurangan akan terus mengusai murid
dan seterusnya menyebabkan emosi mereka terganggu.
v. Tindakan guru

Tuntutan untuk mengejar kecemerlangan membuatkan segelintir guru memberikan


tugasan yang banyak. Kegagalan murid dalam menyiapkan tugasan dalam tempoh yang
ditetapkan menyebabkan mereka menghadapi tekanan emosi. Masalah keciciran dan
kurangnya bimbingan daripada pihak guru menyebabkan murid mengalami masalah emosi
yang serius. Tugasan yang gagal disiapkan mengakibatkan murid merasa tidak selesa
dengan guru berkenaan. Akhirnya mereka mengambil jalan pintas dengan berdiam diri,
menyendiri dan kurang bergaul dengan rakan sebaya.

Pihak guru seharusnya dapat mengesan simpton-simpton awal masalah gangguan


emosi yang berlaku di kalangan murid. Kebijaksanaan guru menangani gangguan emosi
murid dapat mengelakkan murid daripada terjerumus ke masalah yang lebih besar seperti
gejala ponteng sekolah, merokok dan penyalah gunaan dadah.

vi. Tuntutan gaya hidup

Perubahan gaya hidup yang menuntut murid bergelumang dengan ledakan teknologi
masa kini. Pendedahan terhadap perkembangan peranti terbaru seperti telefon pintar
memaksa murid mencari ikhtiar untuk mendapatkan peranti terbaru di pasaran. Bagi
mendapatkannya mereka memerlukan kewangan yang banyak. Murid akan cuba menuntut
daripada keluarga agar mereka juga standing dengan rakan-rakan yang lain. Bagi keluarga
yang berada diluar kemampuan mereka tidak mampu untuk menyediakannya. Perasaan
rendah diri akan sentiasa membelenggu diri murid. Perasaan sebegini sedikit sebanyak
menganggu emosi mereka. Masalah kemiskinan juga membuatkan murid merasa dirinya
tidak sepadan dengan orang lain. Murid yang mengalami masalah ini akan mengambil sikap
menyendiri dan kurang fokus terhadap pembelajaran
Kesan masalah gangguan emosi

Guru yang sentiasa berhadapan dengan karenah murid dapat mengesan kesan dan
akibat daripada gangguan emosi, antaranya seperti berikut ;
o Kerap tidak hadir ke sekolah
o Mengantuk di dalam kelas
o Lesu
o Sakit perut
o Sakit kepala
o Mudah di serang penyakit
o Menyendiri
o Prestasi akedemik yang merosot
o Cemas, takut dan pemarah
o Suka berbohong
o Mencuri
o Bertingkah laku ganjil
o Suka berkhayal
o Dengki
o Memprotes

Langkah menangani gangguan emosi di kalangan murid

Murid yang mengalami masalah gangguan emosi perlu diberi perhatian dan bantuan yang
sewajarnya. Langkah pencegahan awal harus dimainkan oleh semua pihak yang terlibat
dengan murid, ini termasuklah peranan ibu bapa dan guru. Gangguan emosi jika dibiarkan
berlarutan akan menjejaskan perkembangan mental murid dan mengakibatkan murid
mengalami kemerosotan prestasi akedemik. Antara langkah yang boleh diusahakan
termasuklah:

i. Peranan ibu bapa

Tanggungjawab berat yang sedia menanti setiap ibu bapa dalam mendidik anak
mereka seharusnya diambil perhatian. Anak ibarat kain putih, yang akan mencorakkannya
pengaruh asuhan ibu bapa. Hasil dapatan kajian cendiakawan mendapati, cara bagaimana
murid itu dibesarkan banyak mempengaruhi personaliti dan akhlaknya. Masalah keluarga
yang sentiasa mempunyai konflik dalaman menyebabkan murid menjadi mangsa keadaan.
Ahli keluarga terdekat sebaiknya mencari jalan penyelesaian untuk menyelesaikan sebarang
konflik yang timbul. Murid yang merasakan diri mereka dihimpit masalah gangguan emosi
sebaiknya cuba mencari jalan keluar. Mereka boleh mencari rakan sebaya, guru, pemimpin
masyarakat yang dipercayai untuk mencurahkan masalah.

Perbincangan sesama ahli keluarga hendaklah sentiasa menjadi rutin pada setiap
masa. Ibu bapa juga hendaklah sentiasa mengambil berat keadaan pembelajaran anak di
sekolah. Kedapatan segelintir murid bijak menyimpan rahsia mereka. Secara kesimpulannya
keutuhan insitusi kekeluargaan bukan sahaja menjamin sebuah masyarakat yang harmoni
malahan ianya menjadi asas kearah pembangunan modal insan yang cemerlang.
ii. Peranan guru

Murid yang sedang membesar, sebahagian hidupnya berkisar di kawasan sekolah.


Suasana pembelajaran banyak mencorakkan emosi murid. Persekitaran yang kondusif
ditambah lagi dengan sikap guru yang sentiasa mengambil berat, mesra, mudah didekati
memberikan suasana yang selesa kepada murid untuk mencurahkan perasaan mereka
sekaligus dapat membentuk emosi yang yang stabil semasa murid itu membesar. Menurut
Mok Soon Sang (2008), peranan guru yang menjalankan tanggungjawab dengan penuh
dedikasi, tidak memilih kasih akan menjadikan suasana bilik darjah yang kondusif untuk
murid menjalani proses pengajaran dan pembelajaran.

Gaya pengajaran guru yang bersifat autokratik menimbulkan perasaan yang tidak
puas hati kepada setiap murid. Sikap guru yang mengawal murid dengan memberikan
hukuman mewujudkan suasana stress daan menjejaskan emosi murid di dalam bilik darjah.
Gaya Demokratik, dimana seorang guru memberikan kebebasan tetapi dalam kawalan
menimbulkan suasana pengajaran yang lebih menarik. Persekitaran proses pengajaran dan
pembelajaran yang menarik mengakibatkan murid sentiasa berada di dalam keadaan ceria
dan menyeronokkan. Sikap murid dapat diperhatikan dengan memberikan respon yang
positif, emosi yang terkawal dan sentiasa aktif di dalam sebarang aktiviti yang dirancang.

iii. Dididikan Agama

Agama adalah benteng segala-galanya. Semua agama yang diamalkan di Malaysia


menjurus kepada nilai-nilai murni. Di dalam amalan agama Islam, solat adalah tiang agama,
dengan menunaikan solat seseorang murid yang beragama Islam secara tidak langsung
dapat mengawal diri mereka daripada terjebak kepada perkara-perkara yang melalaikan.
Malahan ketaatan mengerjakan suruhan agama dapat memberikan ketenangan, jiwa yang
tenang menghasilkan emosi yang stabil. Menurut Morsi (1998), kesihatan jiwa dalam Islam
adalah suatu keadaan jiwa manusiayang merasakan redha dan puas apabila mempunyai
akhlak yang baik terhadap Allah S.W.T diri sendiri dan orang lain. Manakala Al-Zahrani
(2005) mendefinisikan kesihatan jiwa sebagai;
kematangan emosi dan sosial seseorang yang disertai dengan adanyakesesuaian
dengan dirinya dan persekitarannya. Dia juga mampu untuk memikultanggungjawab
kehidupan, serta mampu untuk menghadapi segala
permasalahan yang menghalangnya dengan perasaan menerima realiti kehidupan, rasa red
hadan kebahagiaan dengan apa yang berlaku.

Mahmud Audah (1994) berpendapat bahawa kesihatan jiwa adalah keadaan


sesorang yang hidup di atas fitrahnya sebagai manusia yang mendekatkan diri kepada Allah
s.w.t,sejahtera dengan orang lain, harmoni dengan diri sendiri, sejahtera jasadnya dan
Berjaya dalam kehidupan.

Kesimpulan

Menangani gangguan emosi di kalangan murid adalah tanggung bersama, baik di


kalangan ibu bapa, masyarakat dan juga guru. Pencegahan pada peringkat awal, dapat
mengelakkan masalah yang lebih serius pada masa murid tersebut dewasa kelak. Ibu bapa,
guru juga seharusnya memainkan peranan mereka dengan penuh tanggungjawab.
Kemahiran untuk menangani gejala gangguan emosi hendaklah dipelajari serba sedikit oleh
guru. Emosi murid yang stabil akan menghasilkan murid yang berprestasi cemerlang dan
melahirkan masyarakat yang harmoni, seterusnya menjadi daya penggerak ke sebuah
negara yang aman dan sejahtera.

You might also like