You are on page 1of 6

MENINGKATKAN PENGAJARAN KEMAHIRAN MENULIS SIMPULAN BAHASA DENGAN

MENGGUNAKAN TEKNIK PERMAINAN RODA MISTERI

Oleh :
Dineswari A/P Perumaly
Tn.Hj. Jalalluddin Bin Ibrahim
dines900209146400@gmail.com

PISMP SEMESTER 8 (BAHASA MELAYU)

ABSTRAK
Kajian ini bertujuan untuk membantu murid meningkatkan kemahiran menulis
simpulan bahasa dengan menggunakan teknik permainan Roda Misteri.
Objektif kajian ini adalah untuk mengenal pasti keberkesanan teknik Roda Misteri
dalam pengajaran dan pembelajaran simpulan bahasa. Selain itu, teknik ini juga
bertujuan untuk membantu murid meningkatkan penguasaan simpulan bahasa
dengan menggunakan Roda Misteri. Peserta kajian terdiri daripada lima orang
murid di salah sebuah sekolah jenis kebangsaan di pinggir daerah Port Dickson,
Negeri Sembilan. Instrumen kajian yang telah digunakan dalam kajian ini ialah soal
selidik, pemerhatian, dan analisis dokumen. Instrumen soal selidik digunakan untuk
mendapatkan maklumat latar belakang peserta kajian dan keberkesanan
penggunaan Roda Misteri manakala pemerhatian digunakan untuk melihat
keberkesanan penggunaan Roda Misteri dalam proses pengajaran dan
pembelajaran yang dijalankan. Dapatan kajian ini tertumpu kepada murid yang lemah
dalam penulisan simpulan bahasa. Apabila murid menggunakan Roda Misteri
mereka akan berasa seronok dan menunjukkan minat dalam penulisan simpulan
bahasa. Sehubungan dengan itu, jelaslah bahawa pengajaran dan pembelajaran
simbulan bahasa ini dapat meningkatkan penguasaan simpulan bahasa.

Kata kunci : kemahiran menulis, simpulan bahasa, permainan bahasa

PENGENALAN

Teknik permainan bahasa bukanlah aktiviti tambahan untuk bergembira semata-mata,


tetapi teknik permainan ini boleh digolongkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang
berhasrat untuk memberikan peluang kepada pelajar mengaplikasikan kemahiran
bahasa yang telah dipelajari di dalam bilik darjah, Penulis telah memilih teknik
permainan bahasa untuk mengukur keupayaan murid menguasai kemahiran menulis.
Oleh itu, peserta kajian perlulah dibimbing dalam aspek penulisan simpulan bahasa
untuk dinikmati dan digunakan secara meluas dalam kehidupan seharian mereka. Pada
sesi praktikum ketiga, semua guru pelatih IPG perlu membuat penyelidikan tindakan.
Oleh itu, saya ingin membantu peserta kajian saya untuk menulis simpulan bahasa
dengan menggunakan Roda Misteri.

FOKUS KAJIAN

Saya memilih untuk memfokuskan kajian tentang simpulan bahasa supaya subjek kajian
dapat meningkatkan kemahiran menulis simpulan bahasa dengan betul dan tepat
melalui permainan Roda Misteri. Hasil pemerhatian saya, semasa sesi pengajaran dan
pembelajaran yang hanya menggunakan kaedah latih tubi menulis, kaedah pengajaran
kurang menunjukkan keberkesanannya.Subjek kajian hanya dapat menulis makna
simpulan bahasa tersebut dalam jangka masa yang pendek sahaja.
OBJEKTIF DAN SOALAN KAJIAN

Objektif Kajian

I) Mengenal pasti keberkesanan teknik Roda Misteri dalam pengajaran dan


pembelajaran simpulan bahasa.
II) Membantu murid meningkatkan penguasaan simpulan bahasa dengan
menggunakan Roda Misteri

Soalan Kajian

I) Bagaimanakah Roda Misteri dapat membantu penguasaan murid tentang


simpulan bahasa di dalam bilik darjah?
II) Sejauh manakah saya dapat mengingkatkan penguasaan kemahiran menulis
simpulan bahasa dengan menggunakan teknik Roda Misteri dalam
kalangan murid Tahun 3 USM?

PESERTA KAJIAN

Peserta kajian saya terdiri daripada lima orang murid tahun tiga dari salah sebuah
sekolah jenis kebangsaan di pinggir daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Mereka
merupakan murid yang menghadapi masalah dalam kemahiran menulis simpulan
bahasa. Peserta kajian yang dipilih ialah dua orang murid lelaki dan tiga orang murid
perempuan berbangsa India. Mereka merupakan murid yang telah saya kenal pasti
menghadapi masalah menulis simpulan bahasa dengan betul pada peringkat awal.

TINDAKAN YANG DIJALANKAN

Pada awalnya saya telah melakukan perbincangan dengan pensyarah penyelia dan
saya telah memilih untuk membuat kajian dalam aspek kemahiran menulis. Kajian saya
berfokus kepada pengajaran kemahiran menulis simpulan bahasa dengan
menggunakan teknik permainan Roda Misteri. Setelah saya mengenal pasti aspek
kemahiran melalui objektif dan soalan kajian, saya telah mencipta bahan berbentuk
permainan yang telah dinamakan sebagai permainan Roda Misteri. Bahan ini dijangka
dapat meningkatkan pengajaran kemahiran menulis simpulan bahasa.

Dalam fasa kedua saya telah telah menyediakan satu Rancangan Pengajaran
Harian (lampiran 1) yang sesuai dengan tajuk kajian saya. Seterusnya, saya telah
merakam proses pengajaran dan pembelajaran saya di dalam kelas selama 1 jam dan
saya juga telah menggunakan bahan saya, Roda Misteri sebagai teknik permainan bagi
melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran.

Dalam fasa ini saya telah menonton rakaman video yang telah diambil dengan
bantuan rakan praktikum saya. Daripada video tersebut saya telah bercadang untuk
menggunakan tiga jenis instrumen kajian untuk mengumpulkan data, iaitu borang soal
selidik, senarai semak, dan pemerhatian sepanjang proses pengajaran dan
pembelajaran yang dilaksanakan.

Saya telah menjalankan proses mereflek pelaksanaan tindakan dengan


mengenal pasti sama ada penyelidkan tindakan yang saya jalankan ini mencapai
objektif atau tidak. Selain itu, fasa ini juga membolehkan saya untuk mengenal pasti
kekuatan dan kelemahan yang dilihat daripada proses pengajaran dan pembelajaran
yang dijalankan. Langkah ini dijalankan untuk memahami kajian yang telah dijalankan
dan mencadangkan beberapa langkah penambahbaikan
.
Secara keseluruhannya, saya telah melaksanakan keempat-empat fasa seperti
yang dicadangkan dalam model Stephen Kemmis (1988) dalam buku penyelidikan
tindakan Khairuddin Mohammad (2014).

DAPATAN

Secara kesuruhannya, berdasarkan dapatan kajian daripada ketiga-tiga


instrumen,obejktif kajian saya telah berjaya dicapai. Implikasi kepada guru ialah guru
dapat mencapai objektif dalam proses pengajaran dan pembelajaran yang ditetapkan.
Hal ini dikatakan demikian kerana, semua perserta kajian saya telah memperoleh
markah lulus. Kedua, guru berjaya menerapkan kemahiran berfikir dalam kalangan
murid. . Hal ini dikatakan demikian kerana apabila guru dapat melihat tiga daripada lima
orang murid telah memadankan pada gambar yang membawa makna simpulan bahasa
dengan betul.Peserta kajian diminta memadankan gambar kaki dan ayam itu pada
makna yang betul dan tuliskan simpulan bahasa berserta maknanya. Murid perlu
berfikir secara kritis sebelum memadankan dua jenis gambar yang berbeza pada
gambar makna yang disediakan itu. Tambahan pula, tugas guru menjadi mudah apabila
murid-murid mudah untuk dapat maklumat daripada bahan bantu mengajar yang telah
saya dicipta iaitu, Roda Misteri dan slaid Power Point. Selain itu, guru dapat
menggunakan teknik pengajaran dan saling bekerjasama dengan murid dan bersepadu
secara sosial. Saya telah menggunakan teknik permainan bahasa dalam kajian ini.
Seterusnya guru berasa seronok apabila melihat semua peserta kajian memberikan
respons yang baik. Hal ini dapat dilihat apabila inovasi yang saya cipta dapat
memberikan kesan kepada peserta kajian saya. Semua peserta kajian saya telah
menunjukkan minat serta aktif dalam proses pengajaran dan pembelajaran ini.

Daripada kajian yang telah saya laksanakan ini instrumen yang saya gunakan
adalah berwarna-warni. Penggunaan warna-warna asas yang terang seperti kuning,
merah, biru dan hijau dapat mendekatkan lagi minat murid untuk menggunakannya dan
pada masa yang sama mereka belajar cara bermain. Selain itu, instrumen yang saya
gunakan ini murah. Saya telah menggunakan barang buangan seperti kotak, plastik
untuk menyiapkan bahan inovasi saya ini. Tambahan pula, instrumen yang telah saya
gunakan ini mempunyai sifat mesra pengguna. Hal ini dikatakan demikian kerana Roda
Misteri yang telah saya cipta ini sama tinggi arasnya dengan peserta kajian saya.
Mereka berasa selesa apabila menggunakannya dan dapat menarik minat peserta
kajian saya. Saya telah menggunakan gambar yang bersaiz besar dan saiznya juga
sesuai dengan kad yang akan digunakan. Selain itu, alat ini juga berwarna-warni dan
mempunyai ruang yang secukupnya untuk menulis makna simpulan bahasa

Implikasi kepada peserta kajian pula menunjukkan bahawa peserta kajian berasa
seronok mengikuti proses pembelajaran. Perkara ini terbukti apabila rakaman video
menunjukkan kesemua peserta kajian saya telah bertepuk tangan apabila dapat
menjawab dengan betul. Lebih-lebih lagi, peserta kajian telah menunjukkan minat
sepanjang aktiviti pengajaran dan pembelajaran ini berjalan. Mereka begitu peka kepada
permainan yang telah saya jalankan dan bersungguh-sungguh untuk memainkan
permainan tersebut. Seterusnya, murid melibatkan diri secara aktif dalam proses
pengajaran dan pembelajaran ini. Hasil pemerhatian yang telah saya jalankan, saya
dapati bahawa kesemua peserta kajian saya telah mengambil bahagian secara aktif
dalam aktiviti yang saya laksanakan ini. Selain itu, murid dapat meningkatkan keyakinan
diri. Hal ini dapat dibuktikan apabila peserta kajian saya berasa malu untuk tampil ke
hadapan pada awal proses pembelajaran. Namun, pada akhir sesi pengajaran mereka
begitu yakin untuk tampil ke hadapan dan membetulkan kesilapan yang dibuat oleh
rakan. Selanjutnya, peserta kajian saya telah memberikan respons yang baik. Peserta
kajian juga mengangkat tangan untuk menjawab soalan yang diajukan oleh guru.
Daripada kajian, saya dapati bahawa murid dapat menguasai aktiviti pengajaran
tersebut. Kelima-lima peserta kajian saya dapat menjawab semua soalan yang
diberikan dengan betul.

Secara keseluruhannya, penggunaan Roda Misteri ini merupakan satu teknik yang
menyeronokkan dan berupaya membantu murid meningkatkan kemahiran menulis
simpulan bahasa. Bukti-bukti telah saya kemukakan berserta dengan pendapat yang
menyokong setiap bukti yang telah saya kemukakan.

REFLEKSI

Kajian ini dijalankan untuk menjawab dapatan kajian saya, iaitu bagaimanakah teknik
Roda Misteri dapat meningkatkan pengajaran kemahiran menulis simpulan bahasa.
Saya dapat mencapai objektif pengajaran dan pembelajaran yang telah saya tetapkan.
Hal ini dikatakan demikian kerana semua peserta kajian telah menjawab semua latihan
yang diberikan. Sehubungan dengan itu, semua peserta kajian saya telah menguasai
proses pengajaran dan pembelajaran ini. Menurut B.S.Bloom (1956), dalam kajian
tindakan Noor Rohana Mansor (2009) menyatakan bahawa, definisi objektif pengajaran
ialah penyataan mengenai perubahan yang diharapkan dalam pemikiran, tindakan dan
perasaan pelajar-pelajar akibat daripada sesuatu kursus atau program pendidikan.
Beliau juga menyatakan bahawa perkembangan tahap pemikiran seseorang adalah
secara logikal dan rasional.

Saya dapat menggunakan teknik pengajaran dan saling bekerjasama dengan


murid dan bersepadu secara sosial. Saya telah menggunakan teknik permainan bahasa.
Hal ini disokong oleh Cropley (1997) dalam kaljian tindakan Mohamad Mohsin Mohamad
Said & Nasruddin Yunos (2008) yang menyatakan bahawa ciri-ciri tingkah laku guru
perlu memupuk kreativiti dalam bilik darjah serta menggalakan pelajar untuk belajar
secara bebas di samping memiliki stail pengajaran yang saling bekerjasama dengan
pelajar dan bersepadu secara sosial.

Seterusnya, dalam kajian ini saya dapat menerapkan kemahiran berfikir. Hal ini
dikatakan demikian kerana apabila murid telah memadankan gambar dengan betul
mengikut simpulan bahasa yang diberikan oleh guru. Hal ini disokong oleh Rosnah bt
Yunus (2016), yang menyatakan bahawa kemahiran kognitif merupakan kebolehan
individu untuk berfikir, memberi pendapat, memahami dan mengingati perkara-perkara
yang berlaku di persekitaran masing-masing. Kemahiran kognitif melibatkan aktiviti
mental seperti ingatan, mengkategori, merancang, menaakul dan lain-lain lagi.

Tambahan lagi, dapatan kajian ini menunjukkan tugas saya menjadi mudah. Hal
ini dapat dibuktikan apabila saya menjalankan sesi pengajaran, murid-murid mudah
dapat maklumat daripada bahan bantu mengajar seperti Roda Misteri dan slaid Power
Point. Menurut Zainuddin et.al (2008) dalam kajian tindakan Siti Fatimah Ahmad &
Ab.Halim Tamuri(2010) yang menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran Malaysia
(KPM) berusaha untuk menyediakan pelbagai prasarana seperti rangkaian komputer
bagi memudahkan lebih banyak mata pelajaran dapat diajarkan dengan menggunakan
teknologi interaktif multimedia dan pengajaran menerusi laman web.

Akhirnya, saya telah menggunakan permainan Roda Misteri serta


mengaplikasikan konsep permainan dalam kajian saya. Melalui permainan ini, saya
berupaya melihat keberkesanan permainan ini yang dapat menarik minat peserta kajian
untuk terus melibatkan diri dalam ativiti pengajaran yang telah saya jalankan. Hal ini
disokong oleh Jame Paul Gee (2013), dalam kajian tindakan Muhammad Alif Iqbal Bin
Mohd Noor (2013) yang menyatakan bahawa pembelajaran berkonsepkan permainan
lebih berkesan daripada pembelajaran berkonsepkan pengalaman lepas murid.
Tambahan pula, murid lebih aktif sekiranya mendapat bermain sewaktu sesi pengajaran
dan pembelajaran.

CADANGAN DAN TINDAKAN SUSULAN


Setelah menilai kesemua hasil dapatan yang saya peroleh, saya yakin dan percaya
bahawa penggunaan teknik permainan Roda Misteri ini berupaya untuk meningkatkan
penguasaan kemahiran menulis simpulan bahasa. Walau bagaimanapun, beberapa
penambahbaikan perlu dilaksanakan supaya pengunaan teknik ini terus boleh dinilai
keberkesanannya. Berikut merupakan antara beberapa cadangan yang boleh
dipertimbangkan.

Perkara pertama yang saya cadangkan adalah penggunaan teknik ini dalam
mata pelajaran lain seperti Sains, Matematik, Bahasa Inggeris, Bahasa Tamil dan
sebagainya. Saya melihat bahawa teknik permainan merupakan satu teknik yang selari
dengan jiwa dan minat kanak-kanak.

Seterusnya saya juga mencadangkan supaya jumlah peserta kajian ditambah.


Dalam konteks ini, jumlah peserta kajian mungkin boleh ditambah menjadi sepuluh
orang. Melalui cara ini, data yang diperoleh lebih terjamin kesahan dan
kebolehpercayaannya. Lebih-lebih lagi, saya hanya menggunakan tiga instrumen kajian
sahaja iaitu pemerhatian, soal selidik dan analisis dokumen. Oleh yang demikian, saya
mencadangkan supaya ditambahkan jumlah instrumen kajian untuk kajian seterusnya.
Contohnya instrumen kajian seperti temu bual juga boleh digunakan dalam kajian ini.

Saya juga berpendapat bahawa sekiranya permainan Roda Misteri ini diubah
kepada bentuk digital yang interaktif, pastinya akan lebih menarik dan menepati
kehendak zaman sekarang. Permainan Roda Misteri interaktif yang menggunakan ICT
ini dapat menarik minat sekali gus selaras dengan kemajuan teknologi yang semakin
pesat pada masa ini. Kita seharusnya sedar bahawa kemajuan teknologi telah
menguasai setiap aspek kehidupan termasuklah bidang pendidikan, malah kerajaan
juga telah menggalakan guru-guru menggunakan ICT dalam proses pengajaran dan
pembelajaran mereka.

Seterusnya, kajian ini dijalankan bagi murid tahun tiga sahaja. Saya
mencadangkan agar intervensi yang digunakan bagi kajian ini juga boleh diaplikasikan
bagi murid tahun lain. Contohnya, peserta kajian boleh terdiri daripada murid prasekolah
hingga murid tahun enam. Hal ini demikian kerana kelemahan penguasaan dan
peningkatan kemahiran menulis simpulan bahasa boleh di atasi dari kecil lagi.

Kesimpulannya, inilah antara cadangan yang boleh dilaksanakan supaya


penggunaan teknik Roda Misteri ini lebih berkesan dan menyeronokkan. Cadangan ini
sekiranya berjaya dilaksanakan akan lebih memberikan manfaat kepada yang
mengguankan teknik ini. Justeru, cadangan ini perlu difikirkan dengan lebih teliti supaya
perubahan yang dilaksanakan masih mengekalkan konsep asal teknik permainan Roda
Misteri.

RUJUKAN

Khairuddin Mohamad, Ibrahim Yusof, Zuridah Ramli.(2014). Penyelidkan dalam


Pendidikan Bahasa Melayu. Petaling Jaya: Sasbadi Sdn.Bhd.

Noor Rohana Mansor.(2009). Model Analisis Aras Soalan Kognitif Kajian terhadap Buku
Teks Bahasa Melayu Sekolah Menengah Atas.Jurnal Melayu:UKM

Mohamad Mohsin Mohamad Said & Nasruddin Yunos.(2008). Peranan Guru dalam
Memupuk Kreativiti Pelajar.Jurnal Pengajian Umum Asia Tenggara 9, 57-71.

Muhammad Alif Iqmal Bin Mohd Noor.(2013).Meningkatkan Amalan Pengajaran


Kemahiran Membaca Perkataan Suku Kata KV+KV Berbentuk Permainan Dadu
Ajaib.Penyelidikan Tindakan: IPGKRM.

Rosnah Yunus.(2016). Keberkesanan Kad Imbasan Bergambar dalam Meningkatkan


Kemahiran Membaca Suku Kata Jawi dalam Kalangan Murid Tahun 5 Sekolah
Kebangsaan Parit Jawa, Muar, Johor. Penyelidikan Tindakan: USIM.

Siti Fatimah Ahmad & Ab.Halim Tamuri.(2010). Persepsi Guru Terhadap Penggunaan
BBM Berasaskan Teknologi Multimedia dan Pengajaran j-QAF.Jurnal Pendidikan
Islam dan Arab,2(2), 2010 53-64.UKM.

Muhammad Alif Iqmal Bin Mohd Noor.(2013).Meningkatkan Amalan Pengajaran


Kemahiran Membaca Perkataan Suku Kata KV+KV Berbentuk Permainan Dadu
Ajaib.Penyelidikan Tindakan: IPGKRM.

You might also like