You are on page 1of 11

Cerita: Rumah Pak Abu Terbakar

Pada suatu petang, aku terdengar bunyi pelik di luar rumah lalu segera keluar untuk melihat apa yang sedang
berlaku. Di luar rumah, aku melihat asap berkepul-kepul di udara. Rupa-rupanya rumah Pak Abu telah terbakar.

Aku segera pergi memberitahu ibu dan bapaku. Tanpa berlengah, bapaku terus pergi meminta pertolongan
penduduk kampung. Manakala, aku pula segera menelefon pihak bomba. Ramai penduduk kampung yang
datang membantu. Mereka bertungkus-lumus memadamkan kebakaran tersebut namun api terus marak. Kira-
kira 20 minit kemudian, barulah bomba sampai ke tempat kejadian. Setengah jam berikutnya, api yang marak itu
berjaya dipadamkan tetapi malangnya rumah Pak Abu telah pun musnah sama sekali.

Menurut pihak bomba, kebakaran itu berpunca daripada kebocoran dapur gas. Ini kerana, kebakaran tersebut
bermula dari dapur dan didapati tong gas di situ telah meletup. Aku bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa
berlaku. Namun, kerugian dianggarkan lebih daripada RM300,000.

Selepas api berjaya dipadamkan, Pak Abu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang datang
menolong memadamkan kebakaran rumahnya. Memandangkan Pak Abu adalah jiran terdekat kami, ibu bapaku
mengajak Pak Abu sekeluarga menumpang di rumah kami untuk sementara waktu.

Semasa di rumah kami, Pak Abu selalu kelihatan muram kerana mengenangkan peristiwa pahit yang melanda
keluarganya. Selang tiga bulan kemudian, rumah Pak Abu telah siap dibina semula. Pak Abu berasa amat
gembira dan mengucapkan terima kasih kepada keluarga kami yang banyak membantu mereka. Akhirnya, Pak
Abu dan keluarganya telah mengambil keluargaku sebagai keluarga angkat mereka.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2010/02/rumah-pak-abu-terbakar-aku-segera.html

Melengkapkan Cerita
Tulis sebuah cerita dan akhiri cerita kamu dengan ayat-ayat di bawah.

.......... aku bersyukur kepada Tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air mata.

Aku sungguh kecewa dengan keputusan peperiksaan yang aku peroleh baru-baru ini. Begitu juga dengan kedua-
dua rakan karibku iaitu Azlan dan Mahir. Kami kecewa dengan keputusan peperiksaan tersebut kerana kurang
baik, bahkan merosot daripada sebelumnya.

Setelah berbincang bagi membaiki keadaan tersebut, akhirnya kami membuat keputusan untuk belajar bersama-
sama dengan menubuhkan kumpulan belajar.

Kemudian, kami berbincang untuk menentukan masa dan tempat yang sesuai untuk kami berkumpul. Akhirnya
kami bersetuju berkumpul pada setiap petang Ahad di rumah kami secara bergilir-gilir. Kami belajar bermula pada
pukul 4 petang hingga pukul 6 petang. Jika ada kelapangan pula, kami akan pergi ke perpustakaan untuk
membuat rujukan dan sebagainya.

Aku sangat seronok belajar secara berkumpulan kerana melalui cara ini kami dapat berbincang untuk
menyiapkan kerja rumah atau membuat latihan. Kami juga dapat bertukar-tukar nota. Aku berasa lebih
bersemangat untuk belajar kerana banyak masalah pelajaran sebelum ini berjaya di atasi setelah kami belajar
bersama-sama.

Tibalah masanya keputusan akhir tahun diumumkan. Akhirnya kami berjaya mendapat keputusan yang sungguh
cemerlang. Aku bersyukur kepada tuhan. Kedua-dua rakanku terus memelukku sambil menitiskan air
mata.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2014/04/melengkapkan-cerita.html
Diari/Catatan
Soalan : Andaikan bahawa ibu anda sakit kuat . Ibu anda dimasukkan ke hospital . Tuliskan
suatu catatan selama ibu anda berada di hospital.

2 Januari

Ibu sakit kuat. Bapa menghantar ibu ke Hospital Dutches of Kent Sandakan. Doktor yang
merawat ibu memberitahu kami bahawa ibu menghidap penyakit barah. Ibu terpaksa dirawat di
hospital. Selepas pulang dari sekolah , aku dan bapa melawat ibu. Aku berasa sedih melihat
keadaan ibu.

3 Januari

Hari ini ibu akan dibedah. Menurut doktor , pembedahan hanya sebagai pembedahan biasa dan
tidak perlu dirisaukan. Di sekolah , aku tidak dapat menumpukan perhatian terhadap pelajaran.
Cikgu Halim memujuk aku supaya bersabar. Aku sentiasa berdoa agar ibu selamat.

4 Januari

Ibu selamat dibedah. Menurut doktor ibu akan dibenarkan pulang tidak lama lagi. Datuk dan
nenek dari kampung datang ke hospital untuk melawat ibu.

5 Januari

Selepas waktu sekolah , aku , Cikgu Halim dan tiga orang kawanku menziarahi ibu. Aku
mendapati ibu semakin pulih. Dari jauh ibu tersenyum menyambut kedatangan kami. Aku
bersyukur kepada Tuhan kerana telah memakbulkan doaku.

6 Januari

Aku membantu nenek mengemas rumah. Sebentar lagi ibu akan pulang bersama dengan ayah
dan datuk. Aku berasa tidak sabar untuk menyambut kepulanganya. Hadiah istimewa telah
kusediakan untuk ibu.

Autobiografi: Aku Sebuah Basikal


Aku berasal dari "Negara Matahari Terbit". Aku dibuat di sebuah kilang di negara maju itu. Badanku terdiri
daripada besi, getah, kaca dan plastik.

Setelah siap dipasang, aku digelar basikal. Aku dan kawan-kawanku yang lain ditempatkan di sebuah bilik di
kilang itu sementara menunggu untuk dipasarkan. Aku berasa sungguh gembira kerana ramai kawan-kawan
memuji kecantikanku.

Tidak lama kemudian, aku dan kawan-kawanku dihantar ke sebuah pelabuhan untuk menaiki sebuah kapal
dagang. Aku berasa sungguh seronok apabila mendapati kami akan dihantar ke Malaysia. Melalui perbualan
beberapa orang kelasi kapal itu, aku dengar ramai kanak-kanak di Malaysia ingin memiliki kami. Aku semakin
bangga.

Nasib kami sungguh malang. Tanpa disangka kapal yang kami naiki karam setelah dipukul ombak besar. Aku
dan kawan-kawanku tenggelam ke dasar laut. Setahun kemudian, aku dijumpai oleh seorang penyelam.
Waktu itu badanku sudah berkarat. Penyelam itu membawa aku dan kawan-kawanku naik ke daratan.
Akhirnya kami dihantar ke kilang kitar semula.

Aku berasa sungguh kesal kerana telah menjadi bahan terbuang sebelum sempat mencurahkan baktiku
kepada orang Malaysia. Bagaimanapun, itu tidak penting kerana aku yakin semuanya adalah ketentuan
Tuhan.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2010/02/autobiografi_23.html
Fakta: Kegunaan Komputer
Penggunaan komputer amat penting pada masa kini. Komputer membolehkan kita melakukan pelbagai
perkara seperti belajar, berhibur, berkomunikasi, bekerja dan sebagainya lagi. Justeru, ramai orang ingin
memiliki komputer untuk kegunaan mereka semasa di rumah atau di mana-mana sahaja.

Komputer membolehkan kita belajar seperti belajar secara dalam talian. Komputer juga memudahkan
pelajar mendapatkan sumber rujukan menerusi laman sesawang yang boleh di akses daripada komputer
yang dilengkapi sambungan internet. Komputer juga akan memudahkan pelajar menyiapkan tugasan
mereka.

Kita boleh berhibur dengan lebih mudah dengan menggunakan komputer. Melalui komputer kita boleh
menonton video, mendengar muzik, bermain permainan video dan sebagainya lagi. Dengan itu, kita akan
lebih mudah untuk menenangkan fikiran setelah penat belajar atau bekerja.

Komputer juga memudahkan kita berhubung dengan orang lain. Pelbagai aplikasi boleh kita gunakan untuk
berkomunikasi seperti email, forum, `facebook` dan sebagainya lagi. Secara tidak langsung ini akan
mengeratkan persahabatan dan persaudaraan antara kita.

Kebanyakan pekerjaan dapat dilakukan dengan lebih mudah apabila menggunakan komputer . Misalnya,
untuk menaip, menyimpan data atau maklumat dan mengira. Oleh itu, tidak hairanlah kebanyakan pejabat
seperti di bank akan dilengkapi dengan berpuluh-puluh komputer.

Kesimpulannya, komputer amat diperlukan pada masa kini kerana banyak memberi faedah kepada
manusia. Walau bagaimanapun kita mesti mengawal diri daripada terlalu leka menggunakan komputer
kerana ia juga boleh mendatangkan masalah seperti tidak fokus kepada pelajaran dan sebagainya.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2014/03/fakta-kegunaan-komputer.html

Wawancara/Dialog
Azman : Tahniah,Siva kerana kamu berjaya dalam pertandingan syarahan itu.

Siva : Terima kasih. Saya berharap supaya kejayaan ini akan menaikkan semangat pelajar-
pelajar bukan Melayu yang lain untuk mempelajari Bahasa Melayu.

Azman : Saya kagum melihat kamu bersyarah pada hari ini. Setiap perkataan yang awak
ucapkan jelas dan lancar. Bagaimanakah cara kamu mempelajari Bahasa Melayu ?

Siva : Keluarga saya menggalakkan saya membaca buku-buku Bahasa Melayu yang bermutu .
Disamping itu, saya mempelajari tatabahasa dengan baik. Saya selalu membuka kamus untuk
mempelajari ejaan dan makna kata-kata yang saya baca. Saya melatih diri saya menggunakan
bahasa baku apabila membaca atau bercakap

Azman : Kalau begitu ,tidak hairanlah saya apabila kamu berjaya mengalahkan saya dan
beberapa pelajar Melayu yang lain dalam pertandingan itu. Saya malu,Siva.

Siva : Mengapa ?

Azman : Selama ini saya menganggap Bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah kerana itu
adalah bahasa ibunda saya. Rupa-rupanya saya silap.

Siva : Baguslah, Azman,kalau kamu sudah sedar. Sama-samalah kita belajar menguasai bahasa
kebangsaan negara kita.

Azman : Ya,baiklah ,Siva...


Laporan
Laporan kempen Kebersihan Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1.

Pada 4 Mac 2013, Sekolah Kebangsaan Bukit Beruntung 1 (SKBB1) telah mengadakan aktiviti
Kempen Kebersihan 2013. Majlis telah dilancarkan oleh Tuan Guru Besar, En Mohd Ali Hassan.
Semua murid menghadiri majlis perasmian yang diadakan di perkarangan sekolah.

Tuan Guru Besar dalam ucapannya mahu aktiviti yang dijalankan selama seminggu ini
mampu melahirkan murid yang mencintai kebersihan. Baginya, kebersihan merupakan budaya
murid yang cemerlang. Oleh itu, beliau mahu menjadikan sekolah sebagai tempat melatih murid
yang tahu menghargai kebersihan.

Selepas majlis pelancaran itu, semua murid bersama-sama membersihkan persekitaran


sekolah. Murid-murid menunjukkan sikap ringan tulang mengutip sampah, mencabut rumput,
dan menyusun kedudukan pasu bunga. Setiap kelas dibahagikan kepada kawasan tertentu yang
diawasi oleh guru kelas masing-masing.

Sekolah juga mengadakan pertandingan kebersihan. Pertandingan itu menyebabkan


murid-murid berlumba-lumba membersih, menghias dan menceriakan kelas masing-masing. Tiga
orang guru telah memeriksa setiap kelas untuk menentukan kelas yang layak menjadi juara.

Murid-murid juga digalakkan menyumbang pokok bunga kepada sekolah. Kempen


tersebut mendapat sambutan yang baik dari pada ibu bapa. Sejumlah 236 pokok bunga telah
diterima oleh pihak sekolah.

Majlis penutupan telah diadakan pada 8 Mac 2013 di dewan besar. Kelas 6 Intan telah
diumumkan sebagai kelas terbersih. Secara keseluruhannya, kempen yang dijalankan telah
mencapai matlamat untuk mewujudkan suasana sekolah yang ceria dan indah.

Laporan disediakan oleh,


11 Mac 2013

__________________________________
Surat Kiriman Tidak Rasmi: Persediaan
menghadapi UPSR
Anda diminta menulis surat kepada rakan anda untuk menceritakan tentang persediaan yang anda
lakukan untuk menghadapi peperiksaan UPSR.

No. 74, Taman Seri Merapoh,


27210 Merapoh,
Kuala Lipis,
Pahang. Darul Makmur.

26 Januari 2011

Assalamualaikum. Menemui sahabatku Amir yang kini berada di Pulau Pinang, semoga
dalam keadaan sihat sejahtera di samping keluarga. Saya dan keluarga di sini sihat-sihat sahaja.

Sahabatku,

Apa khabar saudara sekarang? Bagaimana dengan persediaan saudara untuk


menghadapi peperiksaan UPSR yang akan kita hadapi pada bulan September nanti? Untuk
pengetahuan saudara, saya telah membuat beberapa persediaan bagi menghadapi peperiksaan
tersebut. Antara persediaan yang saya buat ialah mengulang kaji pelajaran dari pukul 8.00 malam
hingga pukul 11.00 malam setiap hari.

Semasa belajar di kelas pula, saya akan menumpukan perhatian yang sepenuhnya
terhadap pengajaran guru. Jika pada masa itu saya kurang faham, saya akan segera bertanya
guru supaya saya terus dapat mengikuti pengajarannya.

Selain itu, ibu bapa saya pula telah menghantar saya belajar ke kelas tambahan
sebanyak dua kali seminggu untuk memastikan saya cemerlang dalam pelajaran. Saya amat
berterima kasih atas usaha mereka itu. Saya berazam akan belajar bersungguh-sungguh untuk
tidak menghampakan harapan kedua-dua ibu bapa saya.

Di samping itu, saya juga selalu pergi ke perpustakaan sekolah dan Perpustakaan Awam
Merapoh untuk meminjam buku-buku rujukan. Biasanya saya akan pergi ke Perpustakaan Awam
Merapoh pada hujung minggu sekiranya ada kelapangan masa. Di situ juga saya boleh
berbincang dengan kawan-kawan tentang topik-topik yang agak sukar dan bertukar-tukar nota.

Itulah antara persediaan saya untuk menghadapi peperiksaan UPSR. Saya berharap kita
akan dapat menjawab soalan dengan mudah dalam peperiksaan itu nanti. Sama-samalah kita
berdoa agar mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan tersebut dan seterusnya
berjaya melanjutkan pelajaran ke salah sebuah sekolah menengah yang terpilih.

Setakat ini sahaja yang dapat saya coretkan buat tatapan saudara kali ini. Akhir sekali,
sambutlah salam ingatan saya untuk saudara serta keluarga.

Sahabatmu,

.............................
(Khairi bin Zaideen )

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2011/02/surat-kiriman-tidak-rasmi-persediaan.html
Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000 Jerteh,
Terengganu.
______________________________________________________________________________

Ketua Pengarang,
Unit Akhbar Dalam Darjah ( ADD ) ,
Berita Harian Sendirian Berhad,
31, Jalan Riong,
59100 Kuala Lumpur. 10
JANUARI 2017

Tuan,

Permohonan Mengadakan Lawatan Sambil Belajar

Saya bagi pihak Persatuan Bahasa Melayu sekolah ini ingin memaklumkan bahawa
persatuan kami bercadang untuk mengadakan lawatan sambil belajar ke Unit Akhbar
Dalam Darjah
( ADD) pada 27 Januari 2017 jam 9.30 pagi.

2. Rombongan kami terdiri daripada 30 pelajar dan tiga guru pengiring. Tujuan
kami mengadakan lawatan ini adalah untuk mengetahui matlamat unit ADD
ditubuhkan dan bagaimana mengendalikannya.

3. Oleh itu, saya berharap permohonan ini akan diluluskan oleh pihak tuan.

4. Segala kerjasama tuan, saya ucapkan terima kasih.

Sekian.

Yang benar,
Nazimah
..
( NAZIMAH NAZIM )
Setiausaha Persatuan Bahasa Melayu,
Sekolah Kebangsaan Darau,
22000 Jerteh,
Ucapan: Tanggungjawab Anak-anak Terhadap Ibu
Bapa
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar, guru-guru, serta rakan-rakan sekalian. Tajuk
Ucapan saya pada pagi ini ialah "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa".

Hadiran sekalian,

Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan penuh
kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati.

Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan
apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual dengan ibu
bapa sebagai tanda menghormati mereka.

Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan daripada
memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya.

Rakan-rakan sekalian,

Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa seperti
membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung oleh mereka
akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli keluarga.

Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar bersungguh-
sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran. Janganlah
mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya.

Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa mereka tidak
akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita mendoakan kesejahteraan
mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu bapa kita.
Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian ibu
bapa kita tidak akan ada gantinya.

Sekian, terima kasih.


Ucapan: Tanggungjawab Anak-anak Terhadap
Ibu Bapa
Yang dihormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang berusaha Tuan Guru Besar. Yang dihormati guru-guru, serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk Ucapan saya pada pagi ini ialah "Tanggungjawab anak-anak terhadap ibu bapa".

Hadiran sekalian,

Anak-anak mestilah bertanggungjawab kepada kedua-dua ibu bapa yang telah membesarkan mereka dengan
penuh kasih sayang. Antara tanggungjawab tersebut ialah menghormati ibu bapa dengan sepenuh hati.

Kita mestilah sentiasa menunjukkan rasa hormat kepada ibu bapa seperti bersalaman dengan mencium tangan
apabila berjumpa atau semasa ingin berpisah dengan mereka. Bertuturlah dengan sopan apabila berbual
dengan ibu bapa sebagai tanda menghormati mereka.

Sebagai anak, kita mestilah menjaga nama baik ibu bapa dengan menjaga tingkah laku atau moral. Elakkan
daripada memalukan ibu bapa seperti melanggar disiplin sekolah dan sebagainya.

Rakan-rakan sekalian,

Ibu bapa terlalu banyak tugas dalam mengurus keluarga setiap hari. Oleh itu, kita mesti membantu ibu bapa
seperti membasuh pinggan, mengemas rumah, dan sebagainya lagi. Dengan ini, beban kerja yang ditanggung
oleh mereka akan menjadi lebih ringan, di samping dapat menambahkan kasih sayang antara setiap ahli
keluarga.

Anak-anak juga perlulah berusaha mengembirakan hati ibu bapa. Antara caranya ialah dengan belajar
bersungguh-sungguh kerana ibu bapa sudah pasti ingin melihat anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran.
Janganlah mengecewakan harapan mereka dengan bermain-main semasa belajar dan sebagainya.

Di samping itu, anak-anak mestilah senantiasa mendoakan kesejahteraan ibu bapa. Sesungguhnya jasa
mereka tidak akan terbalas dengan apa cara sekalipun. Oleh hal yang demikian, amat wajarlah kita
mendoakan kesejahteraan mereka terutamanya setiap kali selepas sembahyang.

Sebelum saya mengundur diri, saya ingin menyeru rakan-rakan agar hormatilah dan sayangilah ibu bapa kita.
Janganlah kita lupa akan jasa mereka apabila besar atau berjaya dalam kehidupan nanti. Ingatlah, pemergian
ibu bapa kita tidak akan ada gantinya.

Sekian, terima kasih.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2010/02/tanggungjawab-anak-anak-kepada-ibu-bapa.html
Syarahan: Faedah Menabung
Terima kasih Tuan Pengerusi Majlis. Yang berusaha Guru Besar. Yang dihormati guru-guru serta
rakan-rakan sekalian. Tajuk syarahan saya pada pagi ini ialah Faedah Menabung.

Hadirin sekalian,

Menabung bermaksud menyimpan sebahagian wang perbelanjaan untuk keperluan pada masa
hadapan. Sebagai contoh, kita boleh mengumpul lebihan wang perbelanjaan seharian untuk
disimpan di bank sebagai tabungan kita. Wang tabungan yang kita simpan itu bolehlah kita
gunakan untuk pelbagai perkara yang penting pada masa hadapan.

Hadirin sekalian,

Antara faedah menabung ialah dapat membantu kita pada masa diperlukan. Contohnya
menggunakan wang tabungan tersebut untuk membeli barang keperluan sekolah. Ini tentu dapat
mengembirakan ibu bapa kita terutamanya jika waktu itu mereka kekurangan wang dan
sebagainya.

Selain itu, menabung juga akan memupuk amalan berjimat-cermat. Kita akan merancang
perbelanjaan agar sebahagian wang perbelanjaan dapat disimpan. Ini akan menjadikan kita
berjimat-cermat dan sentiasa berwaspada agar wang tidak dibelanjakan sesuka hati.

Di samping itu, menabung boleh mengelakkan kita daripada terlepas sesuatu peluang baik yang
muncul tanpa diduga. Contohnya, kita dapat membeli buku idaman yang jarang-jarang ditemui
dengan menggunakan wang simpanan. Ini tentu mengembirakan kita kerana memperoleh apa
yang sudah lama diidamkan sedangkan pada masa itu ibu bapa kita mungkin kurang mampu
untuk membelinya.

Hadirin yang dihormati sekalian,

Amalan menabung juga dapat mengelakkan pembaziran. Orang yang menabung akan lebih
berhati-hati ketika berbelanja kerana mereka telah membuat perancangan awal menguruskan
wang perbelanjaan. Ini sudah pasti mengelakkan pembaziran kerana mereka hanya berbelanja
untuk perkara-perkara yang betul-betul perlu sahaja.

Seterusnya, menabung juga membolehkan kita membantu orang lain. Contohnya, kita boleh
meminjamkan sebahagian wang simpanan kita untuk bayaran yuran sekolah adik jika pada masa
itu ibu bapa kita memerlukannya. Ini akan mengeratkan tali persaudaraan kerana membantu
mereka ketika dalam kesusahan.

Setakat ini sahajalah syarahan saya pada pagi ini. Akhir kata, saya menyeru kepada rakan-rakan
supaya menjadikan amalan menabung sebagai amalan hidup kerana banyak faedah yang boleh
kita diperolehi daripada amalan ini.

Sekian, Terima kasih.


Berita
JOHOR BAHRU, 29 JANUARI 2017- Banjir di Johor semakin pulih dengan 1,899 mangsa dari 529
keluarga masih ditempatkan di 29 pusat pemindahan di tiga daerah. Pengerusi Jawatankuasa
Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat, berkata sehingga jam 6 petang tadi,
seramai 1,220 mangsa daripada 326 keluarga ditempatkan di 21 pusat pemindahan sementara
di daerah Segamat. Katanya, di daerah Tangkak, seramai 269 mangsa daripada 83 keluarga
ditempatkan di empat pusat pemindahan."Seramai 410 mangsa daripada 120 keluarga
ditempatkan di empat pusat pemindahan di daerah Muar," katanya dalam satu kenyataan, di
sini, hari ini. Katanya, empat jalan di daerah Segamat iaitu Jalan Pogoh-Tekam, Jalan Kuala Paya-
Balai Badang, Tumang Batu Anam - Kawasan Ladang dan laluan ke Lubuk Lanjut, masih ditutup
kepada semua lalu lintas. Beliau berkata, Jalan Muar-Labis di kilometer 61 dan jambatan
Kampung Sungai Pinggan di Pontian, masih ditutup.

SUMBER : http://www.bharian.com.my/node/241442

SURAT RASMI

Perbincangan: Kerajinan
Tulis sebuah karangan yang membincangkan tentang Kerajinan.

Sememangnya sudah menjadi lumrah kehidupan, orang yang rajin berusaha akan lebih berjaya manakala
yang malas atau berat tulang pula akan ketinggalan. Sehubungan dengan hal ini, kita mestilah rajin menimba
ilmu pengetahuan kerana orang tua-tua pernah berkata bahawa orang yang tidak berilmu ialah orang yang
tidak berjaya.

Sebenarnya, setiap kejayaan yang kita kecapi bertitik tolak daripada daya usaha dan kerajinan. Oleh sebab
itu, jangan biarkan kemalasan menjadi penghalang kepada kemajuan dan kesejahteraan hidup kita.

Bakat semula jadi dan ilmu yang ditimba perlulah digilap dan diasah dengan kesungguhan, kecekalan dan
kerajinan agar kejayaan dan kecemerlangan dapat kita kecapi. Bak kata peribahasa belakang parang, kalau
diasah lagikan tajam. Oleh itu, kita haruslah senantiasa bersikap rajin untuk mengejar cita-cita atau impian
kita.

Jika kita suka membaca serta menjadikannya budaya hidup, sudah tentu ini akan mematangkan fikiran kita.
Akhirnya, kematangan itu dapat kita gunakan dalam menempuh gelombang kehidupan yang mencabar demi
memperoleh kejayaan hidup.

Sikap rajin juga akan mendorong kita agar senantiasa berusaha dan tidak mudah berputus asa dalam
mengejar cita-cita. Kegagalan pula bukanlah bermaksud kita akan terus gagal dalam kehidupan kita.
Soalnya, kita hendaklah terus mencuba dan mencuba lagi walaupun laluan yang kita lalui itu sukar dan
mencabar.

Sesungguhnya, tidak ada apa-apa yang mustahil di dunia ini dan kerajinanlah penawarnya yang paling
mujarab bagi kegagalan seseorang. Ingatlah, Rajin berusaha tangga kejayaan.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2012/10/perbincangan-kerajinan.html
Perbahasan: "Belajar Secara Kendiri Lebih Baik
Berbanding Belajar Secara Berkumpulan".
Yang Dihormati Tuan Pengerusi Majlis, panel hakim yang arif lagi bijaksana, barisan pencadang serta hadirin
sekalian. Selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk perbahasan kita pada pagi ini ialah ''Belajar Secara Kendiri
Lebih Baik Berbanding Belajar Secara Berkumpulan''. Namun sebagai pembangkang, saya tetap menyatakan
bahawa belajar secara kumpulanlah yang lebih baik berbanding belajar secara kendiri.

Hadirin yang dikasihi,

Belajar secara kumpulan membolehkan kita berkongsi idea melalui sesi perbincangan atau sumbang saran. Oleh
itu, pembelajaran berkumpulan pasti dapat memantapkan ilmu dan meningkatkan kemahiran berfikir.

Di samping itu, belajar secara kumpulan juga membolehkan pelajar berkongsi nota dan bertukar-tukar maklumat
dalam masa yang singkat. Mampukah pelajar yang belajar secara kendiri memperoleh faedah sedemikian? Saya
yakin, tidak!

Hadirin yang budiman,

Belajar secara berkumpulan juga dapat memupuk kerjasama. Pemupukan ini penting untuk melahirkan pelajar
yang prihatin dan bertanggungjawab. Bukankah ini antara cara yang terbaik membentuk masyarakat yang
cemerlang.

Selain itu, pelajar dapat memupuk pelbagai sikap positif terutama semangat berpasukan dan semangat berjuang
untuk sama-sama memperoleh kejayaan. Sikap sebegini sukar diperoleh sekiranya anda belajar secara kendiri.

Berasaskan hujah-hujah tadi, jelaslah bahawa belajar secara kumpulan memang lebih baik berbanding belajar
secara kendiri. Justeru, amalkanlah belajar secara berkumpulan demi kecemerlangan bersama.

Sekian hujah saya.Terima kasih.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2012/09/perbahasan-belajar-secara-kendiri-lebih.html

Peribahasa: Kalau Tak Dipecahkan Ruyung


Manakan Dapat Sagunya
Amiera merupakan pelajar tingkatan lima. Dia merupakan anak tunggal dan tinggal bersama ibunya setelah
kematian ayahnya sejak dia berumur enam tahun lagi.

Sejak kematian ayahnya, kehidupan Amiera sangat daif. Ibunya terpaksa menjual kuih untuk menyara hidup
mereka berdua. Sejak darjah lima lagi, Amiera mula menolong ibunya menjual kuih-kuih pada setiap pagi
sebelum pergi ke sekolah. Dia sedar, dia perlu membantu ibunya yang semakin tua untuk mencari nafkah bagi
mereka berdua.

Pada waktu malam, Amiera menolong ibunya membuat kuih. Dalam masa yang sama juga, Amiera berusaha
mengulang kaji pelajaran. Rakan-rakan Amiera yang mampu akan pergi ke kelas bimbingan di pekan tetapi
Amiera hanya belajar di rumah tanpa bimbingan daripada sesiapa. Dia percaya, "Kalau tak dipecahkan ruyung,
manakan dapat sagunya". Oleh sebab itu, Amiera bertekad untuk berlajar bersungguh-sungguh.

Pada hari Isnin, guru besar memberitahu bahawa peperiksaan SPM akan bermula pada minggu hadapan. Guru
besar berharap agar semua calon SPM di sekolahnya mengulang kaji pelajaran dengan lebih tekun lagi. Amiera
berusaha bersungguh-sungguh untuk mengulang kaji pelajaran. Ibunya pula sentiasa berdoa dan memberi
dorongan kepadanya agar Amiera berjaya mendapat keputusan yang cemerlang nanti.

Berkat doanya dan ibunya serta usaha Amiera yang gigih, dia telah berjaya dengan cemerlang dalam
peperiksaan SPM itu. Dia ditawarkan untuk melanjutkan pelajarannya ke menara gading. Amiera amat bersyukur
dan berasa sungguh gembira.

Guru-guru dan rakan-rakannya sangat bangga atas kejayaan Amiera. Apatah lagi ibunya yang amat
mengharapkan kejayaan anaknya itu. Amiera berjanji akan terus berusaha supaya dapat membantu ibunya
kelak. Akhirnya, Amiera telah mendapat segulung ijazah dan pekerjaan yang terjamin. Kini ibunya hidup lebih
senang bersamanya.

SUMBER: http://karangansr.blogspot.my/2010/03/kalau-tak-dipecahkan-ruyung-manakan.html

You might also like