You are on page 1of 5

(a) Mengenalpasti realiti Tamadun Malaysia yang unik

Malaysia merupakan salah sebuah negara yang berada dalam rantau Asia
Tenggara. Kedudukan Malaysia yang unik telah menarik minat ramai pedagang dan
orang luar untuk mendudukinya sejak kurun ke-15 lagi. Disebabkan pelbagai faktor
penarik, akhirnya negara Malaysia kini telah didiami oleh rakyat daripada pelbagai
kaum dan agama. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), tamadun
bermaksud cara hidup yang maju dan mempunyai peradaban. Tamadun Malaysia
merupakan tamadun yang dibentuk berasaskan kepada nilai keagamaan, nilai
keunggulan, identiti diri, nilai seni dan budaya, nilai politik dan perundangan. Asas nilai
ini mempunyai peranan yang penting dan menjadi teras pembinaan tamadun Malaysia.
Asas tersebut juga menjadi corak kepada langkah kerja pembinaan ketamadunan
Malaysia.

Prinsip ketamadunan seperti penempatan yang tersusun, kepakaran rakyat


yang pelbagai, penggunaan bahasa rasmi iaitu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris
sebagai bahasa kedua serta pegangan kepada agama menjadi prinsip utuh dalam
pembinaan negara Malaysia. Selain itu, sistem perundangan serta pemupukan nilai
murni dalam diri masyarakat juga menjadi dinding konkrit kepada pembangunan
Tamadun Malaysia. Walaupun hidup dalam berbilang bangsa, namun ciri-ciri ini
membolehkan rakyat Malaysia hidup dalam suasana yang harmoni. Setelah lebih
setengah abad mencapai kemerdekaan, tanpa disedari juga budaya dan amalan kaum-
kaum yang ada telah berasimilasi antara satu sama lain untuk menyesuaikannya
dengan persekitaran kehidupan dalam bermasyarakat. Pertembungan budaya ini
secara tidak langsung telah melahirkan pelbagai realiti ketamadunan Malaysia yang
unik dan pelbagai. Realiti yang terhasil ini meliputi keseluruhan gaya kehidupan seperti
bahasa, makanan, budaya, pendidikan dan juga perayaan.

(b) Menghurai dan menganalisis realiti yang berkenaan

Dari segi pendidikan, rakyat Malaysia diberikan peluang yang sama untuk
menuntut ilmu. Pelbagai jenis sekolah seperti sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah
jenis kebangsaan (SJK) telah diperkenalkan oleh kerajaan untuk memastikan rakyat
Malaysia mendapatkan pendidikan yang terbaik. Hal ini berbeza dengan situasi pada
zaman dahulu di mana pendidikan bagi rakyat tidak ditekankan semasa penjajahan
British. (IbrahimSaad, 1986). Di sekolah, murid diajar untuk membaca, menulis dan
mengira di samping pembangunan sahsiah dan jati diri yang unggul. Walaupun semasa
peringkat pendidikan rendah dan menengah murid-murid diwajibkan untuk mempelajari
Bahasa Melayu, namun mereka turut dibenarkan untuk mempelajari bahasa lain seperti
Bahasa Cina dan Bahasa Tamil. Dengan adanya Bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan, tentulah hubungan antara kaum di Malaysia dapat dieratkan dan tidak
akan berlaku perselisihan faham antara kaum. Tulisan yang digunakan kini juga telah
diseragamkan iaitu menggunakan tulisan rumi, dan bukan lagi tulisan jawi seperti yang
digunakan dalam Tamadun Melayu suatu masa dahulu.

Selain itu, Tamadun Malaysia juga unik dari aspek budaya. Hal ini kerana Malaysia
terdiri daripada penduduk yang berlainan bangsa dan mempunyai kebudayaan yang
tersendiri. Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, etnik Bumiputera mencatatkan
peratusan tertinggi bagi kategori penduduk warganegara di Malaysia iaitu sebanyak
68.6 peratus. Ini diikuti oleh etnik Cina (23.4%), India (7.0%) dan lain-lain (1.0%).
Walaupun berbilang bangsa, namun rakyat Malaysia hidup dalam komuniti yang sama
dan bercampur-campur antara satu sama lain. Hal ini berbeza dengan zaman dahulu di
mana setiap kaum hidup dalam kawasan masing-masing, kesan daripada
pemerintahan secara pecah dan perintah yang dibawa oleh British. Hasil daripada
interaksi ini juga telah membawa kepada wujudnya kesenian kaum yang menarik.
Kesenian seperti tarian dan muzik daripada pelbagai kaum ini telah menjadi aset yang
sangat penting kepada negara.

Selain itu, Tamadun Malaysia juga unik dari aspek agama dan perayaan. Malaysia
terdiri daripada penduduk yang berbagai keturunan dan menganuti berbagai agama,
khususnya agama Islam, Buddha, Hindu, Tao, Nasrani (Kristian) dan lain-lain. Di bawah
Perlembagaan Persekutuan, Islam adalah agama rasmi di Malaysia, sementara
agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan bebas. Terdapat pelbagai jenis
perayaan disambut pada sepanjang tahun kerana kepelbagaian kaum dan agama yang
terdapat di negara ini. Tamsilnya, bagi umat Islam, tiga perayaan utama diraikan, iaitu
Hari Raya Puasa (Aidilfitri), Hari Raya Haji (Aidiladha) dan Maulidul Rasul. Rakyat
Malaysia berketurunan Cina pula merayakan Tahun Baru Cina pada hari pertama di
dalam bulan pertama kalendar Cina pada bulan Januari atau Februari setiap tahun.
Bagi penganut agama Hindu, Deepavali atau perayaan Cahaya diraikan pada bulan
Aippasi mengikut kalendar keturunan Tamil (Oktober dan November) merupakan masa
untuk kaum keluarga dan sanak-saudara bergembira. Jika dahulu, setiap kaum
menyambut perayaan masing-masing sahaja. Kini, perayaan-perayaan ini disambut
secara besar-besaran oleh seluruh negara dengan penganjuran rumah terbuka dan
sebagainya. Situasi ini telah mengeratkan hubungan antara pelbagai kaum di Malaysia.

Seterusnya, hasil daripada kepelbagaian kaum yang mengamalkan cara hidup


yang berbeza-beza telah membawa kepada wujudnya kepelbagaian makanan di
negara ini. Sebagai contoh, nasi lemak daripada kaum Melayu, kuih Bulan daripada
kaum Cina, Muruku dan roti canai dari kaum India dan ayam pansuh daripada kaum
Iban. Menurut kajian Salleh et al, (2013) , faktor kedua penarikan pelancong ke
Malaysia adalah kewujudan pelbagai jenis makanan. Kepelbagaian ini sememangnya
menjadi tumpuan pelancong daripada luar dan dalam negara. Hal ini kerana makanan-
makanan ini senang didapati di mana-mana sahaja bahagian di negara ini. Kalau
dahulu sesuatu restoran hanya akan menyediakan makanan yang tertentu. Tamsilnya,
bagi restoran Melayu mereka hanya akan menyediakan makanan tradisional kaum
Melayu. Namun kini sesebuah restoran akan menyediakan makanan lebih daripada
satu kaum. Misalnya, kita boleh membeli nasi lemak di restoran Cina. Dengan ini,
rakyat Malaysia boleh menikmati makanan tradisional daripada pelbagai kaum dengan
mudah.

Akhir sekali, sistem perundangan yang digunakan kini juga telah digubal sesuai
dengan keadaan Tamadun Malaysia yang mempunyai pelbagai kaum. Undang-undang
berada di kedudukan paling tinggi dalam hierarki negara dan kuasanya tidak dibatasi
oleh pangkat mahupun perbezaan kaum. Hal ini berbeza dengan Tamadun Melayu
dahulu di mana undang-undang Islam diguna pakai kepada orang Islam sahaja dan
kaum lain terikat di bawah undang-undang sivil. Namun begitu, undang-undang yang
diguna pakai kini turut digubal sesuai dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi
persekutuan. Kedaulatan undang-undang yang ada di Malaysia telah menjadikan ia
sebuah tamadun yang unggul, selamat dan harmoni.

(c) Membincangkan kepelbagaian interaksi yang berlaku di antara kaum di


Malaysia

Kepelbagaian berbahasa telah mencipta satu realiti yang unik dalam tamadun
Malaysia. Hal ini kerana walaupun secara umumnya rakyat Malaysia bertutur dalam
Bahasa Melayu, namun bahasa yang digunakan adalah bahasa rojak ataupun bahasa
pasar yang kadang-kalanya bercampur dengan bahasa lain. Bahasa rojak menjadi
satu tanda baharu bagi kewujudan fenomena bahasa kacukan (Awang Sariyan, 2007).
Hasil kajian Suad Awad (2007) pula, beliau berpendapat bahawa bahasa rojak
menggambarkan penggunaan bahasa yang sebenar di Malaysia.Contohnya, interaksi
yang berlaku antara kaum Melayu dengan kaum Cina telah membawa kepada
penggunaan perkataan seperti cau atau pokai dalam perbualan seharian. Perkataan
cau dan pokai adalah berasal daripada Bahasa Cina Hokkien. Namun, perkataan-
perkataan ini sering digunakan dalam perbualan seharian oleh kebanyakan rakyat
negara ini.

Selain itu, interaksi antara kaum Melayu dan kaum India di negara ini juga telah
membawa kepada penyerapan perkataan-perkataan baharu ke dalam Bahasa Melayu.
Penambahan perkataan seperti duka dan derhaka dalam Kamus Dewan secara tidak
langsung menyerikan lagi keunikan dalam berbahasa rakyat Malaysia. Oleh itu dapat
disimpulkan bahawa interaksi bahasa antara kaum telah mewujudkan satu realiti yang
unik dalam ketamadunan di Malaysia.

Hasil interaksi antara kaum di Malaysia juga telah melahirkan budaya campuran
yang diamalkan oleh satu komuniti masyarakat di Malaysia. Komuniti tersebut ialah
komuniti Baba-Nyonya. Hasil perkahwinan pendatang Cina dengan penduduk tempatan
di bandar Melaka sekitar tahun 1613M telah melahirkan budaya kacukan Cina-Melayu
yang unik dinamakan Baba dan Nyonya. Budaya Baba-nyonya adalah budaya
sekelompok orang Cina di Melaka yang telah menerapkan beberapa aspek budaya
Melayu ke dalam cara hidup mereka, di samping terus mengekalkan bahagian-
bahagian tertentu seperti kepercayaan Cina. (Hanapi Dollah & Ajid Che Kob,
(2004))Contohnya, majlis perkahwinan Baba-Nyonya yang banyak mengetengahkan
tradisi Cina merupakan antara perkahwinan tradisi yang paling berwarna-warni di
Malaysia. Majlis diserikan dengan lagu berima spontan dondang sayang yang dinyanyi
dalam bahasa Melayu.

Selain itu, kepelbagaian makanan juga telah mewujudkan satu realiti yang
menarik dalam masyarakat Malaysia. Kepelbagaian makanan merupakan satu
pemangkin perpaduan yang menceritakan latar belakang kehidupan masyarakat yang
terdiri daripada pelbagai etnik. (Utusan Online, (2003))Setiap warisan makanan adalah
istimewa dan beraneka warna dan berbeza daripada cara memasaknya. Ianya juga
mempunyai sejarah tersendiri, resipinya boleh dipelajari bersama-sama dan bahkan
dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia. Lebih menarik lagi, makanan ini tidak hanya
dimakan oleh etnik tertentu sahaja tetapi kesemua makanan ini boleh dimakan oleh
sesiapa sahaja meskipun oleh bangsa asing yang datang ke Malaysia. Misalnya, kari
merupakan makanan tradisional orang India. Ianya dibawa ke negara ini oleh imigran
daripada negara itu. Dahulu, kari hanya dimakan oleh kaum India sahaja namun kini
kari dimakan oleh semua kaum tidak kiralah sama ada kaum Melayu, Cina ataupun
kaum-kaum lain. Kini juga, kari dimasak oleh semua kaum sebagai makanan harian.

Di samping itu, menurut Utusan Malaysia (2008) tradisi kunjung-mengunjung


telah menjadi satu kemestian buat rakyat Malaysia setiap kali musim perayaan tiba.
Budaya rumah terbuka sudah menjadi satu kebiasaan dalam masyarakat. Rumah
terbuka biasanya diadakan setiap kali perayaan dan dihadiri oleh sana-saudara dan
rakan-rakan daripada pelbagai kaum. Dengan adanya rumah terbuka, kaum-kaum di
Malaysia akan meraikan semua perayaan bersama-sama. Selain itu, perayaan-
perayaan ini juga sedikit sebanyak mendapat pengaruh daripada kaum lain.
Contohnya, apabila Hari Raya Aidilfiti tiba, kanak-kanak Melayu akan bermain bunga
api pada waktu malam untuk meraikan perayaan tersebut. Sebenarnya, budaya ini
dibawa oleh kaum Cina. Bunga api dan mercun seringkali dimainkan oleh kaum Cina
semasa perayaan Tahun Baru Cina. Oleh itu, memang tidak dapat dinafikan bahawa
interaksi antara kaum dapat dilihat dalam perayaan di Malaysia.

Inilah Malaysia, sebuah negara yang istimewa dengan pelbagai etnik. Tamadun
Malaysia merupakan sebuah negara yang menarik kerana menerima pengaruh
daripada tamadun-tamadun lain yang mempunyai latar belakang yang pelbagai.
Sebuah negara bangsa yang maju dan berdaya saing bukan sahaja menumpukan pada
pembangunan dari sudut ekonomi ataupun kemajuan teknologi tetapi juga menekankan
pembangunan mentaliti masyarakat yang beridentiti dan berbilang kaum. Tidak dapat
dinafikan, interaksi antara tamadun-tamadun lain memberi kesan yang banyak dan
penting kepada tamadun Malaysia. Oleh hal yang demikian, kita sebagai rakyat
Malaysia hendaklah mempunyai azam untuk mencapai cita-cita kebangsaan negara
sebagai sebuah negara etnik yang maju daripada negara membangun. Mari kita
menunjukkan kekuatan daripada keunikan dan kepelbagaian ini dan membentuknya
menjadi pasak kekuatan untuk mencapai kemajuan dan kejayaan negara.

You might also like