You are on page 1of 4

Kementerian Pelajaran Malaysia. Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

Kajian Penglibatan PIBG di Sekolah Rendah. Kuala Lumpur: BPPDP, 2003.

1.0 Latar Belakang

Dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia sekolah dan masyarakat mempunyai peranan yang
salin berhubungan dalam membentuk generasi Malaysia yang bersatu padu melalui sistem
persekolahan yang wujud sekarang. Keadaan ini boleh dicapai sekiranya hubungan guru dan ibu
bapa dieratkan agar dapat meningkatkan kemajuan pendidikan, kebajikan pelajar, pembangunan
negara dan seterusnya pembinaan bangsa Malaysia.

Berdasarkan Akta Pendidikan 1996 di bawah Seksyen 130 (2) (i) memperuntukkan semua
sekolah hendaklah menubuhkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG). Sehubungan itu setiap
ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah perlulah melibatkan diri dan bergerak aktif dalam
PIBG dan aktiviti-aktiviti yang dijalankannya. Sebagaimana yang termaktub dalam Peraturan-
peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa Guru) 1998, penubuhan PIBG adalah untuk
membantu sekolah dalam kebajikan dan kemajuan pendidikan pelajar bagi meningkatkan imej
sekolah.

2.0 Penyataan Masalah

Bentuk-bentuk penglibatan PIBG di sekolah adalah berbeza antara sebuah sekolah dengan
sekolah yang lain. Isunya ialah adakah penglibatan PIBG turut mencakupi pengurusan dan
pentadbiran atau tertumpu kepada meningkatkan prestasi pelajar dalam bidang kurikulum,
kokurikulum, keceriaan, kebajikan dan disiplin pelajar serta sumbangan kewangan sahaja?
Berdasarkan tinjauan awal, PIBG hanya terlibat dalam aktiviti atau program keceriaan,
mendapatkan sumber kewangan dan meningkatkan prestasi akademik pelajar. Di samping itu,
tinjauan awal mendapati terdapat PIBG yang terlibat secara aktif dalam meningkatkan kejayaan
sekolah. Namun begitu terdapat PIBG yang tidak berfungsi seperti tujuan penubuhannya. Isunya
ialah apakah faktor yang mempengaruhi tahap penglibatan PIBG di sekolah.

Peraturan-peraturan Pendidikan (PIBG) 1998 telah menggariskan batasan penglibatan PIBG di


sekolah. Isunya ialah sehingga kini sejauh manakah PIBG telah mematuhi peraturan-peraturan
yang telah digariskan dan adakah peraturan tersebut memberi kesan dalam melicinkan
perjalanan aktiviti PIBG. Apakah wajar peraturan-peraturan berkaitan dengan PIBG dikekalkan
atau perlu kepada pengubahsuaian supaya peraturan tersebut bersesuaian dengan
perkembangan dan tuntutan semasa?

Untuk mendapatkan gambaran yang jelas berkaitan dengan penglibatan dan permasalahan PIBG
di sekolah, satu kajian perlu diadakan supaya input-input baru dapat diberikan kepada pemutus
dasar untuk membantu PIBG mengoptimumkan fungsi dan peranannya di sekolah di samping
memantapkan lagi Peraturan-peraturan Pendidikan (PIBG) 1998.

3.0 Objektif Kajian

Secara amnya, kajian ini cuba mengkaji penglibatan PIBG di sekolah rendah. Secara khususnya,
kajian ini bertujuan untuk meninjau:
a. bentuk-bentuk penglibatan PIBG di sekolah;
b. penglibatan PIBG dalam membantu meningkatkan kejayaan sekolah;
c. persepsi guru besar dan guru-guru terhadap penglibatan PIBG di sekolah;
d. sejauh mana PIBG mematuhi peraturan-peraturan penubuhan PIBG; dan
e. Isu-isu yang timbul akibat penglibatan PIBG di sekolah.

1
4.0 Soalan Kajian

Berdasarkan kepada objektif khusus di atas, beberapa soalan kajian telah dibentuk untuk dikaji.

a. Apakah bentuk-bentuk penglibatan PIBG di sekolah?


b. Sejauh manakah penglibatan PIBG dapat membantu meningkatkan kejayaan kepada
sekolah?
c. Apakah persepsi guru besar dan guru terhadap penglibatan PIBG di sekolah?
d. Sejauh manakah PIBG mematuhi Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa-
Guru) 1998?
e. Apakah isu-isu yang timbul akibat daripada penglibatan PIBG di sekolah?
f. Apakah faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penglibatan PIBG di sekolah?
g. Apakah cadangan untuk meningkatkan keberkesanan penglibatan PIBG?

5.0 Metodologi Kajian

5.1 Sampel Kajian

Populasi kajian ini terdiri daripada guru besar, guru dan ibu bapa sekolah rendah di seluruh
negara. Sampel kajian dipilih berasaskan kaedah persampelan rawak berstrata. Kaedah ini dipilih
kerana populasi adalah tidak seragam dari segi bilangan sekolah rendah mengikut negeri.
Sekiranya persampelan secara rawak mudah dilakukan dalam keadaan populasi yang tidak
seragam, besar kemungkinan penyelidik akan menghadapi masalah peningkatan ralat
persampelan (Mohd. Majid, 1990). Oleh itu, teknik persampelan rawak berstrata digunakan
supaya setiap strata dalam populasi mempunyai wakil yang secukupnya untuk perbandingan
berdasarkan persoalan kajian. Dengan cara ini membolehkan penyelidik membuat kesimpulan
yang lebih tepat dan meyakinkan.
5.2 Instrumen Kajian

Instrumen yang digunakan dalam kajian ini terdiri daripada soal selidik guru besar, guru dan ibu
bapa bagi mendapatkan maklumat berkaitan penglibatan PIBG di sekolah rendah.

5.3 Analisa Data Kajian

Data yang dipungut menggunakan kaedah kuantitatif atau melalui pentadbiran soal selidik
dianalisis dengan menggunakan pakej SPSS. Analisis dilakukan secara deskriptif dengan
menggunakan kekerapan, peratusan, min, sisihan piawai, ralat piawai dengan 95% selang
kepercayaan.

6.0 Dapatan Kajian

6.1 Bentuk-bentuk Penglibatan PIBG di Sekolah

Pada keseluruhannya guru besar dan guru telah menyatakan persetujuan yang sama berhubung
bentuk penglibatan PIBG dalam aktiviti yang berbentuk kegiatan gotong-royong yang dianjurkan
oleh pihak sekolah. Seterusnya ibu bapa yang menjadi ahli jawatankuasa PIBG menyatakan
bahawa kebanyakan bentuk penglibatan PIBG adalah dalam aktiviti yang berbentuk keceriaan
dan diikuti dengan aktiviti yang berbentuk program motivasi, kokurikulum dan kerohanian yang
dianjurkan oleh pihak PIBG atau sekolah.

6.2 Penglibatan PIBG dapat membantu meningkatkan kejayaan kepada sekolah.

Penglibatan PIBG terutamanya dalam aspek kewangan, keceriaan, kurikulum, kokurikulum,


prasarana sekolah dan disiplin sekolah sangat membantu dalam meningkatkan kejayaan
sekolah. Namun demikian, kebanyakan guru besar menyatakan penglibatan PIBG dalam aspek
pentadbiran dan pengurusan sekolah kurang membantu pihak sekolah dalam meningkatkan

2
kejayaan sekolah. Bagi ibu bapa yang menjadi ahli jawatankuasa PIBG, bersetuju bahawa
penglibatan PIBG telah meningkatkan prestasi dan pencapaian pelajar dalam akademik, temasya
sukan, kewangan dan keceriaan sekolah.

6.3 Persepsi guru besar dan guru terhadap penglibatan PIBG di sekolah

6.3.1 Persepsi Guru Besar

Keseluruhan guru besar berpandangan PIBG merupakan persatuan yang penting dalam sistem
persekolahan. Penglibatan mereka sebagai penasihat PIBG tidak mendatangkan masalah dan
membebankan tugas mereka sebagai guru besar. Ini disebabkan mereka mendapat kerjasama
daripada PIBG dan guru apabila ingin melaksanakan aktiviti yang dirancang. Penglibatan PIBG
ini perlu diperluaskan dengan melibatkan tenaga guru dan pelajar.

6.3.2 Persepsi Guru

Kebanyakan guru berpandangan PIBG merupakan persatuan yang penting di sekolah dan
penglibatan PIBG dalam aktiviti dan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah tidak
menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah. Mereka juga menyatakan
bahawa mereka merupakan tenaga penggerak utama dalam menjayakan aktiviti yang dianjurkan
oleh PIBG dan bukannya ibu bapa. Walau bagaimanapun, ibu bapa memberikan kerjasama bagi
menjayakan aktiviti yang dirancang oleh PIBG. Mereka kurang bersetuju PIBG dilibatkan
bersama dalam proses pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah dan dalam urusan
pentadbiran dan pengurusan sekolah. Mereka juga menyatakan bahawa PIBG / ibu bapa perlu
dilibatkan secara aktif dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan sama ada oleh pihak sekolah atau
PIBG.

6.4 PIBG mematuhi Peraturan-peraturan Pendidikan (Persatuan Ibu Bapa dan Guru) 1998

Pada keseluruhannya guru besar dan guru mengakui PIBG di sekolah mereka telah mematuhi
peraturan-peraturan yang telah digariskan oleh Kementerian Pendidikan. Walau bagaimanapun,
bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa secara aktif dalam aktiviti PIBG mereka sangat
bersetuju supaya peraturan yang sedia ada disemak semula supaya ibu bapa / PIBG boleh
berperanan secara maksimum dan bergerak dengan lebih aktif serta berkesan.

6.5 Isu-isu yang timbul akibat daripada penglibatan PIBG di sekolah.

Guru besar dan guru bersetuju bahawa isu-isu yang sering timbul antara pentadbir sekolah dan
PIBG mengikut susunan kepentingan adalah kewangan, penglibatan ibu bapa, penglibatan staf
sokongan, penglibatan guru dan kerjasama dari pegawai PPD serta JPN.

6.6 Faktor-faktor yang mempengaruhi tahap penglibatan PIBG di sekolah.

Guru Besar dan guru menyatakan bahawa sokongan guru besar dan kerjasama AJK PIBG serta
guru merupakan faktor-faktor yang mempengaruhi penglibatan PIBG dalam aktiviti-aktiviti dan
program-program yang dirancang oleh pihak sekolah dan PIBG.

6.7 Cadangan untuk meningkatkan keberkesanan penglibatan PIBG


Guru Besar dan guru mencadangkan kewangan PIBG perlu diperkukuhkan kerana kebanyakan
aktiviti dirancang oleh PIBG atau sekolah sering melibatkan peruntukan kewangan yang banyak.
Seterusnya dicadangkan ibu bapa tidak dilibatkan dalam proses pengajaran dan pembelajaran.
Manakala guru mencadangkan agar PIBG dilibatkan secara aktif dalam membantu pihak sekolah
meningkatkan kejayaan sekolah. Bagi ibu bapa pula mencadangkan supaya aktiviti-aktiviti PIBG
diperbanyak dengan melibatkan ibu bapa dan guru serta mengadakan mesyuarat AJK PIBG
dengan lebih kerap.

3
7.0 Cadangan Kajian

i. Memandangkan banyak aktiviti yang dirancang oleh PIBG memerlukan sumber


kewangan maka dicadangkan supaya diberikan peruntukan kewangan/geran tahunan
kepada PIBG terutamanya di luar bandar.
ii. AJK PIBG perlu diberi kursus mengendalikan pesatuan supaya pemimpin PIBG yang
dipilih memahami tentang peranan dan tugas mereka.
iii. Mengadakan buku panduan secara terperinci mengenai pengurusan PIBG yang seragam
bagi kegunaan AJK PIBG dan pentadbir sekolah supaya persatuan boleh berjalan lancar
serta mematuhi Peraturan-peraturan Pendidikan PIBG 1998.
iv. PIBG hendaklah tidak mencampuri proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.
v. Mengekalkan pucuk pimpinan PIBG yang memiliki ciri-ciri kepimpinan yang dikehendaki
oleh ibu bapa mahupun pihak pentadbiran. Tetapi jika pemimpin itu masih tidak dapat
membawa sebarang perubahan kepada kemajuan PIBG perubahan kepada pimpinan
hendaklah dilakukan.
vi. Aktiviti-aktiviti yang dirancang oleh PIBG hendaklah mengambilkira sumbangan yang
boleh diberikan oleh ibu bapa secara langsung kerjasama para guru dalam
meningkatkan pencapaian pelajar terutama dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.

9.0 Penutup

Kajian ini telah menunjukkan penglibatan PIBG di sekolah rendah banyak tertumpu kepada
aktiviti berbentuk keceriaan, kokurikulum dan program motivasi. Manakala aktiviti berbentuk
kurikulum dan kewangan kurang mendapat kerjasama daripada ibu bapa. Di samping itu, kajian
ini dapat memaparkan PIBG sebagai sebuah persatuan yang penting dalam sistem persekolahan
di mana PIBG dapat memberi sumbangan penting dalam meningkatkan kejayaan sekolah
terutama dalam aspek kewangan, keceriaan dan peningkatan prestasi akademik pelajar.

Akhirnya cadangan-cadangan yang dikemukakan oleh guru besar, guru dan ibu bapa
menunjukkan banyak perkara yang perlu diberikan perhatian oleh pihak berwajib bagi
meningkatkan keberkesanan PIBG dalam membantu kejayaan sekolah.

Kesimpulannya, Kementerian Pendidikan Malaysia perlulah menyusun langkah-langkah untuk


terus memantapkan peranan PIBG dengan memastikan PIBG mematuhi Peraturan-peraturan
Pendidikan PIBG 1998. Asas-asas yang kukuh dan jitu adalah perlu untuk kesinambungan
pendidikan di peringkat sekolah rendah.

Tajuk perkara:
Parent teacher relationships Research; Education Parent participation
Research.

KP 371.103 KEM

You might also like