You are on page 1of 2

Soalan Karangan : Kes pembuangan bayi yang semakin meningkat pada masa ini amat

membimbangkan masyarakat di negara kita.

Huraikan langkah-langkah yang perlu diambil oleh ibu bapa untuk menangani masalah
ini.
Fenomena pembuangan bayi kian membimbangkan masyarakat marcapada. Isu ini seolah-olah
sudah menjadi trend atau ikutan dalam kalangan masyarakat, khususnya golongan remaja. Acap
kali isu ini kita lihat dan terpampang di dada-dada akhbar, dihebahkan di corong-corong radio dan
disiarkan di kaca televisyen. Hal ini akan menyebabkan negara kita mendapat imej yang buruk dan
pandangan yang tidak baik daripada negara-negara luar. Oleh itu, pihak yang bertanggungjawab
mestilah mengambil langkah yang proaktif untuk menangani masalah ini daripada terus
membelenggu masyarakat. Pihak yang paling penting dan perlu memainkan peranan mereka
untuk menangani masalah ini ialah ibu bapa.

Ibu bapa merupakan penjaga dan pendidik kepada anak-anak mereka sama ada di luar
mahupun di dalam rumah. Ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti anak mereka dan mereka perlu
mengambil tahu tentang kawan-kawan anak mereka dan cara pergaulan anak-anak. Perkara ini
penting kerana kadangkala anak-anak hanya berpura-pura menjadi seorang yang baik di hadapan
ibu bapa mereka sahaja. Sebagai contohnya, anak-anak mengatakan bahawa mereka ingin ke
sekolah tetapi hakikatnya mereka pergi ke pusat-pusat membeli-belah atau ponteng sekolah. Oleh
sebab itu, ibu bapa perlu memantau setiap aktiviti dan perlakuan anak-anak agar mereka tidak
terlibat dengan aktiviti pergaulan bebas.

Selain itu, ibu bapa perlu memberikan sepenuh perhatian terhadap anak-anak, walaupun
sibuk bekerja. Hal ini demikian kerana, perhatian daripada ibu bapa dapat mengeratkan hubungan
sesama ahli keluarga. Anak-anak juga akan sentiasa mengingati pesanan ibu bapa apabila setiap
kali mereka hendak melakukan kesalahan. Kasih sayang yang ikhlas daripada ibu bapa juga dapat
mengubah sikap negatif seseorang anak kepada sikap yang positif. Oleh itu, ibu bapa perlu
sentiasa meluangkan masa dengan anak-anak, seperti makan bersama-sama, pergi bersiar-siar,
solat berjemaah dan sebagainya. Perkara ini akan menyebabkan mereka berasa disayangi dan
mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat seperti seks bebas.

Menghantar anak-anak ke kem-kem motivasi ataupun seminar jati diri juga merupakan
langkah yang berkesan untuk menangani masalah pembuangan bayi. Hal ini akan menyebabkan
minda mereka terbuka dan melihat sesuatu perkara itu dari sudut pandangan yang berbeza. Di
dalam kem-kem motivasi, biasanya mereka akan didedahkan dengan isu-isu semasa yang melanda
negara. Mereka akan diberikan informasi atau maklumat tentang kesan-kesan buruk sesuatu isu
itu. Sebagai contohnya, kes pembuangan bayi akan menyebabkan nyawa si ibu terancam akibat
proses melahirkan anak yang salah dan tidak normal tanpa pengawasan doktor. Perkara itu akan
menimbulkan kesedaran dalam diri anak-anak khususnya para remaja tentang implikasi kes
pembuangan bayi. Hal ini bersesuaian dengan peribahasa Melayu, Mencegah lebih baik daripada
mengubati.

Di samping itu, nilai-nilai agama yang tinggi perlu diterapkan dalam diri setiap remaja. Ibu
bapalah yang bertanggungjawab untuk menerapkan dan mendidik anak-anak mereka dengan
didikan agama yang sebenarnya. Perkara ini demikian kerana, pengisian nilai-nilai keagamaan
dalam diri remaja dapat membina kekuatan dalaman mereka. Hati mereka tidak akan mudah
terusik dengan anasir-anasir yang tidak baik kerana mereka sudah mempunyai pengetahuan
agama yang tinggi dan dapat membezakan dosa dengan pahala. Penerapan nilai agama ini perlu
dilakukan sejak mereka kecil lagi dan secara perlahan-lahan, nilai-nilai tersebut akan sebati dengan
diri mereka bak kata pepatah, Sehari selembar benang, lama-lama jadi kain, begitu jugalah
dengan anak-anak. Hal ini dapat menjauhkan mereka daripada mendekati zina dan terlibat dalam
kancah maksiat.

Ibu bapa juga perlu mendidik anak-anak dengan tegas, tetapi ketegasan yang sesuai
dengan situasi. Terdapat sesetengah ibu bapa yang mendidik anak mereka dengan cara seperti
seorang askar. Hal ini bertujuan untuk mendisiplin anak-anak mereka. Dengan disiplin yang tinggi
dan ketegasan ibu bapa, anak-anak akan akur dengan arahan dan kehendak ibu bapa. Mereka juga
akan taat terhadap perintah ibu bapa mereka. Namun begitu, remaja tidak boleh dididik dengan
cara yang tegas. Ibu bapa perlu mendidik merekabagai menatang minyak yang penuh. Dengan
perkataan lain, mereka perlu dibelai dengan penuh kasih sayang, tetapi jangan sampai mereka
memijak kepala ibu bapa pula. Dalam kelembutan, sertakan sedikit ketegasan yang membuat
mereka hormat kepada ibu bapa. Dengan cara ini, ibu bapa mudah untuk mengetahui aktiviti-
aktiviti anak mereka di luar. Perkara ini dapat mengelakkan mereka daripada terjebak dengan
aktiviti pembuangan bayi.

Konklusinya, jelaslah bahawa ibu bapa memainkan peranan yang sangat penting dalam
usaha untuk menangani kes pembuangan bayi ini. Selain ibu bapa, pihak lain juga mestilah
menggembleng tenaga bagi menangani fenomena ini. Dengan cara ini, kes pembuangan bayi
dapat diatasi dengan efektif kerana semua pihak terlibat dalam usaha untuk membendungnya.
Remaja pula merupakan golongan yang sangat berharga untuk masa depan negara pada masa
akan datang. Oleh itu, didikan yang baik perlu diberikan kepada mereka sejak kecil lagi kerana
mereka ibarat kain putih, dan ibu bapalah yang mencorakkannya. Hal ini juga bersesuaian dengan
peribahasa Melayu, Melentur buluh biarlah dari rebungnya.

You might also like