You are on page 1of 3

Kenali Tokoh Pemimpin Negara

Dr Mahathir Mohamad
Adik-adik, pada 20 Disember 1925 lahirlah negarawan dari Kedah, iaitu di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor
Setar. Mahathir namanya. Bapanya bernama Mohammad dan ibunya Wan Tempawan.

Mahathir mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Laki-laki Seberang Perak, Kedah. Kemudian beliau
melanjutkan pelajaran ke sekolah menengah, iaitu Sekolah Inggeris Alor Setar. Semasa Perang Dunia Kedua,
Mahathir berkecimpung dalam perniagaan di Pekan Rabu, Alor Setar. Setelah perang tamat, beliau menyambung
semula pengajiannya pada tahun 1945 sehingga Senior Cambridge. Pada tahun 1947, beliau melanjutkan ke
Universiti Malaya di Singapura dalam bidang kedoktoran.

Pada tahun 1946, beliau menjadi ahli Umno Kedah. Semasa zaman muda, beliau banyak menulis. Che Det nama
penanya. Tulisan tersebut dihantar ke akhbar 'Strait Times' dan 'Sunday Times'.

Tahun 1952, Mahathir lulus dengan ijazah perubatan MBBS. Tahun 1953, beliau menerima ijazah Sarjana Muda
Perubatan dan Pembedahan. Beliau berkhidmat di Hospital Alor Setar dan di Pulau Langkawi. Pada tahun 1957,
beliau membuka klinik swasta bernama MAHA.

Pada 5 Ogos 1956, beliau dijodohkan dengan Dr. Asmah Mohd. Ali. Mereka dikurniai tujuh orang cahaya mata,
iaitu Marina, Mirzan, Melinda, Mokhazani, Mukhriz, Maizura, dan Mazhar.

Pada tahun 1964, beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Star. Pada tahun 1969, beliau dipecat daripada ahli UMNO
oleh Tunku Abdul Rahman Al-Haj kerana mengkritik pucuk pimpinan dalam peristiwa tragedi 13 Mei 1969 dan
menulis buku 'The Malay Dilema'. Mahathir menyertai semula dalam UMNO setelah Tun Abdul Razak menjadi
Perdana Menteri yang kedua. Pada tahun 1972, beliau memenangi kerusi Majlis Tertinggi UMNO. Pada tahun 1973,
beliau dilantik menjadi Senator.

Dalam Pilihan Raya 1974, beliau menang tanpa bertanding. Pada 6 Oktober 1974, beliau dilantik sebagai Menteri
Pelajaran. Pada Jun 1975, beliau menjadi Naib Presiden UMNO dan Timbalan Perdana Menteri.

Mahathir menjadi Perdana Menteri yang keempat pada 18 Julai 1981. Pada tahun itu juga beliau menang tanpa
bertanding sebagai Presiden UMNO.

Mahathir banyak memperkenalkan dasar baru seperti Sistem Punch Card, Dasar Pandang Ke Timur, Program
Pengswastaan, Dasar Pengsyarikatan Malaysia, Dasar Perindustrian Negara, dan lain-lain. Hasil daripada ini lahirlah
kereta nasional pertama, iaitu 'Proton Saga'.

Tahun 1993 melibatkan pula pengeluaran pesawat terbang ringan. Malah, Malaysia mempunyai satelit tersendiri.
Pada tahun 1995 pelancaran MEASAT 1 dan pada tahun 1996 pula pelancaran MEASAT 2.

Seterusnya, projek lebuh raya menghubungkan utara-selatan, timur-barat. Mahathir turut memperkenalkan
Transit Aliran Ringan (LRT). Pada 1996 pula ialah pembinaan Pusat pentadbiran persekutuan 'Putrajaya'.

Selain itu, projek lain lagi ialah pembinaan menara konkrit yang tingginya 451.9 meter, pembinaan bangunan 88
tingkat Menara Berkembar Petronas, Empangan Bakun sebuah empangan terbesar di Asia, dan sebuah lapangan
terbang yang tercanggih di rantau ini, iaitu Lapangan Terbang Antara Bangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Pada tahun 1997, beliau memperkenalkan Koridor Raya Multimedia (MSC) dan sebuah bandar ultra-tekno
'Cyberjaya' dibina. Sekolah Bestari (smart school) pula beroperasi penuh pada tahun 2000.

Di peringkat antarabangsa, Mahathir suaranya lantang membela negara-negara miskin yang tertindas oleh kuasa
besar. Malaysia membantu negara-negara yang ketandusan kepakaran dengan menghulurkan bantuan teknikal.
Malaysia juga membuat pelaburan terbesar di negara Kemboja, Myanmar, Afrika Selatan, Zimbabwe, dan Maldives.
Malah, Mahathir juga meninggalkan 'Wawasan 2020' berkonsep rakyat berdaya saing maju, dan moden.

Pada 22 Jun 2002, Tun Dr. Mahathir mengumumkan pesaraannya sebagai presiden UMNO. Pada Oktober 2003,
mengumumkan persaraan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang keempat dan digantikan oleh timbalannya, Datuk
Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Tun Hussein Onn

Adik-adik, Tun Hussein dilahirkan pada 12 Februari 1922 di Johor Bahru, Johor. Bapanya seorang pengasas UMNO
bernama Datuk Onn bin Jaafar dan ibunya Datin Halimah Hussein.

Tun Hussein Onn mendapat pendidikan awal di English College (kini Maktab Sultan Abu Bakar), Johor Bahru.

Dalam Perang Dunia Kedua, beliau menyertai dalam Pasukan Tentera Johor (Johor Military Forces) dan
mendapat latihan ketenteraan di Maktab Tentera Sandhurst di India. Pada tahun 1942, beliau menyandang sebagai
kapten dan terlibat secara aktif dalam peperangan di Mesir, Syria, Palestine, dan Iraq.

Pada tahun 1945, beliau pulang ke tanah air dan bertugas sebagai Pemerintah Polis Depot, di Johor Bahru.
Beliau bersara daripada angkatan tentera British dengan berpangkat kapten setelah enam tahun berkhidmat. Beliau
dikenali sebagai seorang yang berdisiplin dan menepati masa. Kemudian beliau berkhidmat di bawah perkhidmatan
Pentadbiran Melayu dan bertugas di beberapa tempat di Johor dan Selangor sebagai Penolong Pegawai Daerah.

Tun Hussein Onn menurut jejak ayahandanya menentang Malayan Union. Apabila UMNO ditubuhkan, beliau
menjadi ahli UMNO dan dilantik sebagai Penolong Setiausaha Agung UMNO. Pada umurnya 28 tahun, beliau dipilih
menjadi Ketua Pergerakan Pemuda UMNO. Beliau menjadi Setiausaha Agung UMNO dan pada masa itu Tun Ab.
Razak Hussein menjadi Ketua Pemuda UMNO.

Pada tahun 1950, beliau dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Persekutuan, di samping menduduki Majlis
Mesyuarat Perundangan Negeri Johor dan Majlis Kerja Negeri Johor. Pada tahun 1951, beliau mengikuti ayahanda
keluar dari UMNO dan menubuh Indenpendent of Malaya Party (IMP) dan kemudian Parti Negara. Beliau
melanjutkan pelajaran di Lincoln Inn, England dalam bidang undang-undang pada tahun 1958.

Beliau berumah tangga dengan Toh Puan Suhaila binti Tan Sri Hj. Mohd Noah dan mendapat enam orang
cahaya mata. Sebagai biras kepada Tun Ab. Razak, beliau menyertai semula dalam UMNO. Pada Jun 1969, beliau
dilantik sebagai ahli jawatankuasa Kerja UMNO (kini Majlis Kerja Tertinggi UMNO) dan pada tahun itu beliau
memenangi kerusi Parlimen kawasan Johor Bahru Timur.

Pada tahun 1970, beliau dilantik menjadi Menteri Pelajaran oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak. Pada tahun
1972, beliau dipilih menjadi salah seorang daripada tiga orang Naib Presiden. Berikutan kematian Tun Dr. Ismail,
beliau dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 13 Ogos 1973, merangkap Menteri Perdagangan dan
Perindustrian.

Apabila Tun Razak selaku Perdana Menteri meninggal dunia secara mengejut, Tun Hussein Onn dilantik menjadi
Perdana Menteri ketiga, dan memangku Presiden UMNO. Dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi UMNO pada
17 Januari 1976, beliau disahkan sebagai Presiden UMNO. Pada 15 Januari 1976, beliau mengangkat sumpah
sebagai Perdana Menteri di Istana Negara.

Dalam tadbiran, beliau meneruskan agenda Tun Razak, iaitu 'Dasar Ekonomi Baru'. Beliau memperhebatkan
usaha membanteras komunis di hutan Malaysia. Pada April 1981, beliau melancarkan Rancangan Malaysia ke-4.
Pada 20 April 1981, beliau melancarkan pula Skim Amanah Saham Nasional (ASN).

Pada 15 Julai 1981 atas sebab kesihatan, beliau melepaskan jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia
keempat dan diambil alih oleh Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohammad pada 18 Julai 1981.

Atas sikap kesederhanaan dan semangat kepada perpaduan, beliau digelarkan 'Bapa Perpaduan Malaysia'.

You might also like