You are on page 1of 2

KEPENTINGAN BERSUKAN KEPADA MASYARAKAT DAN NEGARA

Antara keistimewaan sukan adalah membantu meningkatkan tahap kesihatan


pengamalnya. Misalnya, cara rentak kuda melompat dan berlari dalam sukan berkuda seperti
equestrian menyebabkanvetebra tulang belakang penunggan kuda tersebut bergesel antara satu
sama lain dalam keadaan harmoni. Keadaan ini secara tidak langsung dapat mengurangkan
masalah yang berkaitan dengan tulang belakang manusia. Selain itu, sukan renang pula mampu
menguatkan mental dan fizikal perenang kerana sukan ini memerlukan satu gerakan yang
berkoordinasi antara anggota kaki dan tangan di samping meransang system kardiovaskular
mereka. Ringkasnya, semua aktiviti sukan memiliki kemaslahatannya yang tersendiri terhadap
kesihatan pengamalnya justeru setiap individu perlu melakukan aktiviti ini agar terhindar
daripada sebarang penyakit berbahaya kerana mencegah lebih baik daripada mengubati.

Sebagai tambahan, ekonomi negara juga dapat dipertingkatkan melalui aktiviti


sukan. Contohnya, penganjuran sukan di peringkat antarabangsa seperti Sukan Komanwel, Le
Tour de Langkawi, Sukan SEA dan Formula 1 telah banyak menyumbang pendapatan kepada
negara. Tidak dapat dinafikan bahawa penganjuran sukan komanwel pada tahun 1998 telah
membantu menangani kemelesetan ekonomi negara pada tahun tersebut. Contoh lain pula,
Amerika Syarikat yang pernah menganjurkan Sukan Olimpik di Atlanta telah mendapat
keuntungan sebanyak USD20 billion. Pendapatan negara terjana melalui kedatangan pelancong
yang ramai untuk menyaksikan temasya sukan yang berprestij itu kerana ada gula, ada
semut. Pengaliran wang asing masuk ke negara ini akan bertambah rancak sekaligus
meningkatkan ekonomi sekaligus menjana sumber ekonomi negara. Mantan Menteri Belia dan
Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek telah menyatakan dalam MSEI 2012 bahawa bidang
sukan tidak boleh dilihat dari segi taruhan pingat atau rekreasi semata-mata, sebaliknya bertindak
sebagai penggerak ekonomi negara. Jelaslah bahawa sumber pendapatan negara diperoleh
daripada aktiviti sukan yang dilangsungkan secara besar-besaran.

Di samping itu, sukan juga mampu memupuk semangat perpaduan dalam kalangan
masyarakat yang berbilang kaum di negara ini. Sebagai tamsilannya, sesebuah pasukan bola
sepak mesti terdiri daripada pelbagai latar belakang. Untuk membentuk sebuah pasukan yang
kuat dan digeruni oleh pihak lawan, mereka mesti mewujudkan persefahaman yang antara satu
sama lain. Situasi ini sangat penting untuk mencapai kemenangan dalam setiap perlawanan yang
disertai bak kata peribahasa, "Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh." Bukan setakat pemain
sahaja semangat perpaduan itu terjalin tetapi juga penyokong atau penonton yang menyaksikan
perlawanan juga mendapat manfaat yang sama. Mereka berkesempatan untuk berkenal-kenalan
dan bertukar-tukar pendapat semasa acara tersebut diadakan. Jalinan persahabatan ini akan
mengurangkan sentimen perkauman atau kenegerian yang mampu menggugat keharmonian
negara. Tun Dr. Mahathir Mohammad pernah menyatakan bahawa pengalaman kita dan juga
pengalaman orang lain telah membuktikan betapa padahnya jika isu perkauman tidak diawasi
dan dibendung sebaiknya. Oleh itu, para atlet dan peminat sukan tanah air patut
bertanggungjawab dalam memelihara perpaduan di negara ini. Pendek kata, penglibatan dalam
bidang sukan sama ada secara langsung atau secara tidak langsung mampu mengeratkan
perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk agar negara sentiasa aman seperti air dalam
terenang.
Tuntasnya, penglibatan secara konsisten dalam sukan mempunyai banyak kelebihannya
kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, pihak kerajaan haruslah menambah frasarana sukan
seperti gelanggang, dewan, padang dan sebagainya untuk menarik minat masyarakat terutamanya
di kawasan luar bandar. Sementara itu, masyarakat pula perlu menyahut seruan kerajaan supaya
menjalani gaya hidup yang sihat dengan melibatkan diri dalam satu bidang sukan yang digemari
kerana tepuk tangan sebelah takkan berbunyi. Ibu bapa pula perlu menggalakkan anak-anak
untuk bergiat dalam sukan dengan menghantar anak-anak menjalani kem sukan atau membelikan
kelengkapan sukan yang digemari oleh anak-anak mereka. Tindakan ini perlu dilakukan kerana
Nabi Muhammad S.A.W pernah mengatakan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh
Imam Bukhari dan Muslim mafhumnya, "Ajarilah anak-anak kamu berkuda, berenang dan
memanah". Maka sudah terang lagi bersuluh bahawa sukan semestinya membawa sejuta
manfaat kepada semua sehingga Nabi Muhammad S.A.W telah menggalakkan umatnya supaya
aktif bersukan sejak kecil lagi.

You might also like