You are on page 1of 2

Gejala buli semakin di sekolah semakin membimbangkan masyarakat

terutamanya ibu bapa. Pada asasnya, gejala buli ini boleh dibahagikan kepada
dua iaitu buli mental dan buli fizikal. Buli mental ialah aktiviti buli yang
melibatkan kutuk-mengutuk, ejek-mengejak, dan menyindir seseorang. Buli
fizikal pula melibatkan pukul-memukul dan sepak terajang hingga menyebabkan
kecederaan kepada mangsa buli. Memang tidak dapat dinafikan, gejala buli
mendatangkan pelbagai kesan buruk terutamanya kepada pelajar sekolah. Oleh
itu, langkah-langkah yang sesuai perlu dilakukan untuk mengatasi masalah buli
di sekolah.

Pada pendapat saya, kesan utama gejala buli di sekolah ialah pelajar-pelajar
yang dibuli akan berasa takut datang ke sekolah. Kita sedia maklum bahawa
kebanyakan mangsa buli biasanya bersaiz lebih kecil dari segi fizikal jika
dibandingkan dengan pembuli. Oleh sebab itu, mereka tidak mampu melawan
kerana takut dengan pembuli. Pembuli biasanya akan menyuruh mereka
melakukan sesuatu untuk kepentingan pembuli sendiri. Jika mereka
membantah, mereka akan dipukul dan didera. Terdapat sesetengah pembuli
yang membawa kawan-kawannya untuk membelasah pelajar yang dibuli. Bagi
pelajar-pelajar perempuan pula, mereka suka menyindir dan mengutuk sesama
sendiri. Perbuatan ini boleh menyebabkan mangsa tertekan dan ketakutan. Ini
menyebabkan pelajar yang dibuli akan berasa takut dan tidak berani datang ke
sekolah lagi. Jelaslah bahawa kadar ponteng sekolah dalam kalangan pelajar
yang dibuli akan meningkat disebabkan mereka takut datang ke sekolah.

Selain itu, kesan lain yang tidak boleh dikesampingkan ialah mangsa buli tidak
dapat memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap pelajaran. Kejadian kes buli
secara tidak langsung telah menyukarkan mangsa untuk melibatkan diri dalam
proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas. Hal ini demikian kerana
mereka sentiasa memikirkan tentang hal tersebut. Mereka juga sering ketakutan
dan sentiasa memikirkan perkara yang dilakukan oleh pembuli ke atas diri
mereka. Mereka akan menjadi pasif dan tidak ceria. Mereka tidak berani
berkomunikasi dengan rakan-rakan dan guru-guru mereka. Mereka lebih suka
menyendiri sambil memikirkan nasib mereka yang malang. Hal ini demikian
kerana mereka telah diugut supaya tidak melaporkan kejadian mereka dibuli
kepada ibu bapa dan guru. Jika mereka melaporkan pembuli mengancam akan
melakukan sesuatu yang lebih buruk ke atas diri mereka. Akibatnya, mereka
selalu ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli. Ini
menyebabkan prestasi akademik mereka merosot dan akhirnya mereka gagal
dalam peperiksaan.

Selanjutnya, gejala buli yang keterlaluan boleh menyebabkan mangsa buli


bertindak untuk membunuh diri bagi menamatkan penderitaan yang mereka
tanggung. Sudah terang lagi bersuluh, mangsa buli biasanya akan mengalami
trauma dan ketakutan sepanjang masa. Berdasarkan kajian dan bukti yang
diperoleh, terdapat kes-kes yang tragik di mana mangsa buli telah membuat
keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan
mereka adalah dengan membunuh diri sendiri.
Gejala buli tidak boleh dibiarkan berleluasa. Sebelum nasi menjadi bubur,
beberapa langkah yang pragmatik dan sistematik untuk mengatasi masalah ini
hendaklah dilakukan. Antara langkah yang boleh digunakan untuk mengatasi
gejala buli di sekolah adalah dengan memperkukuh peranan ibu bapa. Ibu bapa
hendaklah menerapkan ajaran agama, moral dan nilai murni kepada anak-anak
sejak kecil lagi. Ibu bapa harus mendidik anak-anak mereka mengamalkan sikap
saling menghormati dan bertolenransi pada setiap masa. Kasih sayang dan
perhatian yang secukupnya akan membantu anak-anak mereka membesar
dengan sempurna. Anak yang berkeperibadian terpuji merupakan anak-anak
yang membesar dalam sebuah keluarga yang bahagia. Mereka tidak akan
tergamak untuk menyakiti dan membuli orang lain kerana ibu bapa telah
menyemai ajaran-ajaran yang baik dan berguna di jiwa mereka sejak kecil, bak
kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.

Seterusnya, peranan guru bimbingan dan kaunseling di sekolah hendaklah


diperhebat. Hal ini demikian kerana di sesetengah sekolah, guru kaunseling
sibuk membuat kerja lain daripada berjumpa dengan pelajar bermasalah untuk
menyelesaikan masalah mereka. Pelajar pula tidak mahu berjumpa dengan guru
kaunseling kerana mereka tidak yakin dengan kemampuan dan kebolehan guru
tersebut. Oleh itu, guru bimbingan dan kaunseling harus memainkan peranan
lebih aktif. Mereka hendaklah mengesan dan memberikan kaunseling motivasi
kepada pelajar yang selalu dibuli. Biasanya, mangsa buli tidak mahu berkongsi
masalah mereka dengan orang lain kerana takut. Dengan ini, guru bimbingan
dan kaunseling dapat memulihkan semangat mangsa buli. Mereka juga akan
lebih yakin untuk melaporkan kes yang hadapi. Akhirnya, pihak sekolah dapat
mengambil tindakan yang tegas kepada pelajar-pelajar yang terlibat.

Selanjutnya, tindakan disiplin dan undang-undang ke atas pembuli hendaklah


dikaji dan dimurnikan semula. Tindakan mengampunkan pembuli dengan alasan
mereka masih muda dan tidak sesuai dikenakan hukuman penjara haruslah
dikaji semula bagi kes-kes buli yang ekstrem kerana zaman berubah dan musim
berbunga.

Kesimpulannya, masalah ini perlu ditangani dengan segera kerana jika gejala ini
menjadi semakin serius, mangsa buli akan berdepan dengan pelbagai risiko
termasuk kehilangan nyawa. Lebih-lebih lagi, kebanyakan kes buli berlaku di
kawasan sekolah yang merupakan institusi formal untuk kita menjana modal
insan yang bakal memimpin negara pada masa hadapan. Kita tidak mahu
melahirkan generasi muda yang kejam, dan suka menindas orang lain untuk
kepentingan dirinya sendiri. Dengan ini diharapkan, semua pihak seperti ibu
bapa, guru sekolah, masyarakat, dan pihak berkuasa perlu bekerjasama dalam
menangani masalah ini.

You might also like