You are on page 1of 3

NURHAZWANI BINTI DARUS (A144392)

ISU PENGASINGAN DISPENSARI (DS)

Baru-baru ini Malaysia menjadi heboh dengan isu pengasingan klinik dan farmasi (pengasingan
dispensari) yang menjadi bualan orang ramai. Rata-rata orang ramai tidak bersetuju dengan idea
pengasingan dispensari (DS) ini kerana mereka berpendapat bahawa kos sara hidup dari segi
kesihatan akan semakin meningkat rentetan pelaksanaan cukai barangan dan servis (GST).
Namun demikian, isu ini seharusnya dipandang dari sudut yang positif memandangkan banyak
kebaikan yang dapat diperoleh daripada pelaksanaanya. Hakikatnya pada waktu ini, cadangan
pengasingan dispensari ubat tidak boleh berlaku selagi kerajaan tidak membentuk satu sistem
kesihatan bersepadu, menggabungkan sektor awam dan swasta dengan rawatan kesihatan serta
ubat ditanggung kerajaan.

Tujuan utama bagi permohonan isu pelaksanaan DS ini adalah untuk mengelakkan kesalahan
dalam memberi ubat kepada pesakit. Menurut Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), mereka
menegaskan bahawa langkah pengasingan fungsi klinik dan farmasi yang belum diamalkan di
klinik swasta perlu dilaksanakan bagi mengurangkan kesilapan memberi preskripsi kepada
pesakit sehingga boleh mendatangkan kecederaan atau kematian. Selain itu, Timbalan Presiden
MPS iaitu Amrahi Buang berkata bahawa proses saringan preskripsi daripada doktor di klinik
swasta hanya dilakukan oleh pembantu perubatan yang tidak bertauliah, justeru wujudnya risiko
tinggi untuk berlaku kesilapan dalam pemberian ubat. Hal ini merupakan satu realiti yang dapat
kita lihat di setiap klinik-klinik swasta yang gemar mengambil pelajar lepasan SPM sebagai
pembantu perubatan yang akan mendispen ubat dan memberikan patient counselling kepada
pesakit tanpa mempunyai sebarang asas dalam ilmu farmasi. Tegasnya di sini saringan preskripsi
tersebut sepatutnya dijalankan oleh ahli farmasi profesional dengan satu matlamat utama iaitu
ingin memastikan keselamatan pesakit terjamin.

Disamping itu, amalan pengasingan ini juga telah disarankan oleh Pertubuan Kesihatan Sedunia
(WHO) yang mengatakan bahawa sistem ini adalah yang terbaik untuk dilaksanakan dalam
sistem perubatan demi kesejahteraan pesakit. Sistem ini telah lama dipraktikkan di negara maju
seperti United Kingdom, United States dan Jepun serta negara sedang membangun seperti
Indonesia dan India. Hal ini menunjukkan bahawa pelaksaanaan sistem pengasingan dispensari
merupakan satu titik kemajuan dari segi penjagaan kesihatan di Malaysia kerana kita mengambil
contoh daripada negara-negara luar yang terus maju dan berkembang pesat. Memandangkan
rakyat Malaysia telah lama terikat dengan sistem yang sedia ada jadi mereka amat membantah
dengan cadangan pelaksanaan DS kerana mereka merasakan bahawa sistem yang baru ini akan
menyebabkan berlakunya monopoli oleh pihak tertentu yang akan mengakibatkan caj perubatan
yang terpaksa ditanggung oleh rakyat melambung tinggi. Hal ini dapat dielakkan sekiranya
perancangan teliti dilakukan agar tidak membebankan pengguna. Jelasnya di sini, klinik swasta
tidak boleh berfungsi sendirian sebaliknya di setiap kawasan perlu dilengkapi dengan farmasi
komuniti sebagai kemudahan kepada rakyat.
Pengasingan tugas doktor dan ahli farmasi adalah bertujuan untuk membantu ahli farmasi
menjalankan tugasnya sebagai seorang yang pakar dan profesional dalam bidang ubat-ubatan.
Memandangakan doktor mempunyai tugas untuk membuat diagnosis dan menulis preskripsi, jadi
sebagai ahli farmasi tugas mereka adalah untuk menyemak preskripsi dan mendispen ubat demi
memastikan keselamatan pesakit. Sekiranya diteliti dengan baik, pelaksanaan DS adalah untuk
menyamaratakan tugas seorang doktor dan ahli farmasi kerana masing-masing mempunyai
pengkhususan yang tertentu. Sebagai contoh, seorang doktor pengkhususannya lebih kepada
mendiagnosis pesakit tanpa perlu mengambil alih peranan ahli farmasi untuk mendispen ubat.
Oleh itu, jelaslah bahawa doktor di klinik swasta seharusnya bekerjasama dengan pegawai
farmasi di farmasi komuniti kerana preskripsi yang diberikan kepada pesakit dapat disemak
dengan terperinci dari segi dos, jenis ubat, nama ubat, kekuatan ubat, interaksi sesuatu ubat
dengan ubat yang lain bagi mengelakkan sebarang risiko berbahaya.

Seterusnya berkenaan isu kewangan seharusnya tidak patut dijadikan isu. Hal ini kerana
sekiranya DS berjaya dilaksanakan, sistem kesihatan negara juga perlu diubah menjadi lebih
mesra pesakit. Kerajaan sebagai pemacu negara perlu menyatukan klinik swasta, farmasi dan
klinik kerajaan dalam satu sistem yang sama supaya pesakit mempunyai pilihan tanpa perlu
memikirkan soal bayaran kerana ia akan dibiayai oleh kerajaan. Kerajaan boleh mewujudkan
sistem kewangan kesihatan nasional dan senarai ubat kebangsaan bagi menentukan ubat yang
akan dibiayai oleh kerajaan. Analogi bagi pembiayaan ini samalah seperti pembiayaan oleh
majikan di klinik panel di mana mereka telah menetapkan satu garis panduan kepada pekerja
yang mendapatkan rawatan di sesebuah klinik panel. Selain itu, dana untuk kesihatan boleh
dikumpulkan secara bayaran bulanan atau tahunan oleh rakyat sendiri. Dengan cara ini, sesiapa
sahaja boleh mendapatkan akses kepada perkhidmatan swasta tanpa perlu mengira taraf
kehidupan.

Sistem yang digunakan Malaysia dari 1950-an sehingga ke hari ini telah sebati dalam jiwa rakyat
negara ini. Rakyat akan mudah terkesan dengan kenaikan harga ubat serta kos rawatan di klinik
dan hospital swasta kerana terpaksa membayarnya dengan duit sendiri. Pada hari ini, klinik
swasta langsung tidak dikawal oleh kerajaan sehingga mereka mengenakan caj rawatan dan ubat
yang tinggi kepada pesakit. Jadi, kawalan harga ubat di sektor swasta perlu dikukuhkan dengan
memaparkan harga cadangan sebagai rujukan di laman web berkaitan. Disebabkan hal
sebeginilah, pelaksanaan DS yang terperinci perlu diteruskan kerana kita ingin mengurangkan
monopoli pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap pesakit. Amalan doktor yang membuka
klinik sendiri dan ahli farmasi yang memiliki farmasi perlu diubah kerana kedua-dua pihak ini
tidak benar-benar profesional tetapi mereka hanyalah ahli perniagaan yang mengutamakan
keuntungan semata-mata. Oleh itu, doktor dan ahli farmasi perlu bekerjasama untuk
mengembalikan semula fungsi utama mereka sebagai ahli profesional kesihatan.
Selain itu, mengenai isu farmasi yang hanya beroperasi lebih kurang 12 jam sahaja tidak wajar
dijadikan isu untuk menolak pelaksanaan pengasingan dispensari kerana farmasi juga boleh
beroperasi 24 jam jika diperlukan seperti klinik swasta. Mengenai kurangnya bilangan premis
farmasi di sesebuah kawasan juga dapat dibendung sekiranya pelaksanaan DS diteruskan kerana
bilangan ahli farmasi yang berdaftar sudah cukup untuk memberikan khidmat mereka kepada
rakyat Malaysia. Jika dibandingkan dengan era dahulu, memang benar kita kekurangan ahli
farmasi, namun pada masa ini lebih kurang 13000 ahli farmasi telah berdaftar dan 19 buah
sekolah farmasi di Malaysia akan mengeluarkan lebih 1000 ahli farmasi setiap tahun. Sebarang
dakwaan yang mengatakan bahawa ahli farmasi di negara ini tidak mencukupi untuk
menjalankan pengasingan ini dapat ditolak. Terdapat juga sesetengah doktor yang bimbang
mengenai isu ini akan membawa kepada faktor self-medicate (berubat sendiri) yang mana
pesakit hanya terus membeli ubat di farmasi tanpa ke klinik. Hal ini tidak salah sekiranya pesakit
mendapat pendidikan yang betul mengenai penggunaan ubat daripada ahli farmasi bertauliah.
Tetapi, ahli farmasi bertugas perlulah bertanya pelbagai soalan berkaitan kesihatan sebelum
menjual sebarang ubat kepada pesakit tersebut terutamanya mengenai tanda dan simptom bagi
sakit ringan. Ringkasnya, tiada masalah besar yang akan melanda sekiranya pelaksanaan DS
diteruskan jika setiap rakyat di Malaysia mampu berfikir 360o dan 3 dimensi yang bermaksud
berfikir dari pelbagai segi tanpa hanya mencari alasan mengenai keburukan DS sahaja,
sedangkan kebaikan DS terus dipinggirkan.

You might also like