You are on page 1of 8

PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

Prosiding Kolokium Antarabangsa Siswazah Pengajian Islam (KASPI) 2015


disunting oleh: Muhammad Adib Samsudin, Ahmad Munawar Ismail, Azmul Fahimi Kamaruzaman,
Ezad Azraai Jamsari, Latifah Abdul Majid, Rosmawati Mohamad Rasit, Zainab Ismail & Zuliza Mohd. Kusrin
Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor
ISBN 978-983-9368-69-7 (2015), http://conference.ukm.my/kaspi/KASPI15

Sistem Pengajian Pondok di Yayasan al-Jenderami

Fatin Nabilah Mohd Tahir & Nozira Salleh

Abstrak: Institusi pengajian pondok telah melalui fasa-fasa kegemilangan dan kejatuhannya
sepanjang sejarahnya terutama sejak pertengahan kurun ke-20 Masihi. Pengajaran dan
pembelajaran yang berpusat di rumah-rumah, masjid dan surau kemudiannya berkembang menjadi
institusi pondok berjaya membuka tabir ilmu pengetahuan agama Islam dan merupakan satu-
satunya ejen yang berkesan bagi sebuah masyarakat mengaplikasikan ilmu dan amal dalam
kehidupan seharian. Namun, arus modenisasi yang tidak dapat dielakkan menjadikan institusi
pondok berada dalam dilema. Ia dihadapkan pada dua tuntutan yang berbeza iaitu memahami
keperluan masyarakat moden dan mempertahankan misinya sebagai sebuah institusi khusus bagi
mengkaji ilmu-ilmu keagamaan. Sehubungan dengan itu, kertas kerja ini akan menganalisis
sejarah penubuhan dan perkembangan Yayasan al-Jenderami sebagai sebuah institusi pengajian
pondok moden dan sistem pengajian yang diamalkan. Pendekatan kualitatif seperti temu bual semi
struktur dan pemerhatian penyertaan tanpa kawalan dipilih sebagai metodologi penyelidikan untuk
mendapatkan hasil data yang berkualiti. Kajian mendapati bahawa penubuhan Yayasan al-
Jenderami adalah untuk menghidupkan kembali sebuah perkampungan yang hidup secara
berjemaah dan bermasyarakat berlandaskan nilai-nilai ilmu dan amalan daripada pembelajaran dan
pentarbiyahan kitab-kitab kuning karangan ulama Ahli Sunah wal Jamaah. Sistem pengajiannya
terdapat dalam dua bentuk pengajian iaitu pengajian umumi dan pengajian khususi. Pengajian
pondok di Yayasan al-Jenderami masih mengamalkan sistem pengajian tradisional yang
merangkumi penggunaan kitab-kitab kuning, sistem menadah kitab, pembelajaran di masjid yang
terdiri daripada murid-murid pondok, tenaga pengajar dan masyarakat sekitar.

PENGENALAN

Institusi pengajian pondok merupakan institusi yang tertua di Tanah Melayu. Tidak dapat dipastikan dengan
tepat bilakah tarikh mula sekolah pondok diperkenalkan di Tanah Melayu memandangkan ia wujud tanpa
dirancang. Kewujudannya boleh dikatakan bermula daripada abad ke-18 sehingga abad ke-20 apabila proses
pembelajaran ilmu dilihat lebih tersusun, lengkap dan sempurna (Abdullah Ishak 1995: 187). Kemunculan
dan perkembangannya mengikut keperluan dan sambutan orang ramai yang belajar di satu-satu tempat yang
mempunyai Tok Guru yang mahir mengajar ilmu-ilmu agama (Khadijah Zon & M. Khalid Taib 1989: 15).
Namun, selepas institusi pondok mengalami kemerosotan akibat daripada penubuhan Sekolah Melayu oleh
pihak British, institusi pondok kurang mendapat sambutan daripada masyarakat dan menjadi wadah
pendidikan alternatif bagi pelajar-pelajar untuk mempelajari ilmu agama (Edy 2007: 41). Begitu juga dengan
perubahan masa dan arus modenisasi yang tidak dapat dielakkan menjadikan institusi pondok berada dalam
dilema. Untuk mengekalkan kelestariannya dalam mendidik anak bangsa, institusi ini dihadapkan dengan
tuntutan modenisasi iaitu memahami keperluan masyarakat moden dan dalam masa yang sama ia mesti
mempertahankan misinya sebagai institusi khusus bagi mengkaji ilmu-ilmu keagamaan (Saeful 2007: 92).
Hal ini tidak menjadi halangan bagi Yayasan al-Jenderami untuk meneruskan pengajaran secara tradisional
kepada masyarakat sekitar. Penubuhan Yayasan al-Jenderami yang terletak berhampiran dengan
pembangunan pesat seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, asalnya merupakan sebuah
perkampungan yang berorientasikan kesyumulan Islam. Matlamat utamanya adalah sebagai pusat pengajian
Islam yang mengembalikan semula kegemilangan institusi pondok kepada masyarakat yang cinta akan
pengajian ilmu agama secara tradisional. Justeru timbul persoalan, bagaimanakah sejarah penubuhan dan
perkembangan Yayasan al-Jenderami sebagai sebuah institusi pengajian pondok? Apakah sistem pengajian
yang dilaksanakan kepada para pelajar dan masyarakat setempat? Dan dengan sistem pengajian yang
diamalkan, apakah sumbangannya kepada masyarakat Islam?

97
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

METODOLOGI

Metodologi penyelidikan bagi kajian ini berupa kajian kualitatif dengan mengambil pendekatan kajian kes.
Kajian kualitatif dipilih kerana ia tidak melibatkan penyelidikan yang bersifat uji kaji data numerik dan
statistik. Yayasan al-Jenderami telah dipilih sebagai lokasi tunggal dalam kajian ini kerana ia merupakan
sebuah institusi baru yang masih mengamalkan sistem pengajian secara tradisional kepada para pelajar dan
masyarakat sekitar. Pengkaji menggunakan kaedah temu bual dalam usaha mengumpul data di peringkat
lapangan yang melibatkan seramai tenaga pengajar, pelajar dan individu yang pernah berkhidmat di Yayasan
al-Jenderami. Pengkaji juga menggunakan kaedah pemerhatian tanpa kawalan dengan melibatkan diri dalam
program-program yang diadakan. Kesemua peserta kajian dipilih melalui kaedah purposive sampling untuk
mencapai objektif kajian yang telah ditentukan. Kaedah penganalisisan data bagi kajian ini ialah pendekatan
deskriptif bagi menepati objektif kajian ini.

HASIL KAJIAN

Perbincangan hasil kajian akan dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu; (a) sejarah penubuhan dan
perkembangan Yayasan al-Jenderami; (b) sistem pengajian pondok yang diamalkan oleh tenaga pengajar dan
pelajar serta; (c) sumbangan sistem pengajian ini kepada masyarakat Islam setempat.

Sejarah Penubuhan dan Perkembangan Yayasan al-Jenderami

Yayasan al-Jenderami ialah satu nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat Selangor, terutama bagi mereka
yang tinggal di sekitar Hulu Langat dan Sepang. Ia merupakan pondok moden generasi baru yang ditubuhkan
pada tahun 1985 dengan awal penubuhannya sebagai sebuah madrasah kecil iaitu Madrasah Islamiah
Jenderam Hilir. Dari segi kedudukan geografi, Yayasan al-Jenderami terletak di Lot 27719, Kampung Baru,
Jenderami Hilir, Dengkil, Selangor. Keluasannya ialah sekitar tiga puluh ekar persegi yang mempunyai enam
fasa pembangunan. 26 ekar merupakan lot tanah perumahan penduduk sekitar dan empat ekar tanah
diwakafkan untuk pengajian secara cumumi dan khususi, kompleks warga emas dan pejabat pentadbiran
(Rokiah Zahaman 2015).
Penubuhan Yayasan al-Jenderami boleh dibahagikan kepada dua peringkat bertahap iaitu awal
penubuhannya sebagai Madrasah Islamiah Jenderam Hilir (1985- 2003) dan peringkat kedua apabila ia mula
berdaftar sebagai sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan dikenali dengan nama Yayasan al-Jenderami.
Dalam menjelaskan peringkat pertama penubuhan yayasan ini, Haji Ahmad Roee (2015) menjelaskan
bahawa sebelum Madrasah Islamiah Jenderam Hilir dibuka, beliau bersama-sama dengan beberapa orang
sahabat termasuk Haji Muhammad Hafidz bin Selamat giat menghadiri pengajian agama secara berkitab
dengan beberapa orang guru agama di sekitar Cheras dan Kajang. Kelas pengajian agama disusun dengan
teliti agar masa yang terluang dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya. Tempoh pengajian kitab dianggarkan
tiga jam pada satu hari iaitu satu jam pada waktu tengah hari, satu jam selepas asar dan satu jam pada waktu
malam. Pada hujung minggu pula, mereka menghadiri kuliah subuh di Madrasah Taufiqiyah, Kajang. Dalam
kalangan kumpulan ini, Haji Muhammad Hafidz lebih gigih dan bersungguh dalam belajar ilmu agama
terutamanya ilmu nahu. Dua orang guru yang berjasa dalam pengajian secara berkitab ialah Tuan Guru Haji
Hashim bin Abdul Aziz (1925-1999) dan Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama (1908-1992).
Setelah lama mengikuti pengajian berkitab, akhirnya mereka berbincang dan bersepakat untuk membeli
tanah bagi membuka pondok madrasah dengan menempatkan dua orang tuan guru di pondok. Cadangan
membuka sebuah pondok pengajian adalah supaya dalam jangka masa panjang akan memudahkan anak dan
isteri serta masyarakat yang tinggal berhampiran dengan pondok hadir menuntut ilmu. Pemilihan lokasi tanah
dikenal pasti untuk mendirikan pondok antaranya Batu 13 Kajang dan Semenyih. Disebabkan harganya yang
mahal pada ketika itu dan lokasinya yang tidak sesuai, akhirnya mereka memilih kawasan Jenderam Hilir
yang asalnya merupakan kawasan pertanian ladang kelapa sawit.
Maka, mereka mula merangka satu kertas kerja dengan menyatakan syarat-syarat pembelian dan syarat-
syarat untuk menetap di perkampungan ini. Pencarian bakal-bakal pembeli tanah yang ingin menyertai
dimulakan dengan keutamaan kepada mereka yang selalu menghadiri kelas pengajian dan berminat kepada
kertas kerja tersebut. Akhirnya, Haji Muhammad Hafidz bersama beberapa orang sahabat beliau dan
kakitangan UDA membeli tanah asal di Jenderam Hilir seluas 3.59 ekar secara perkongsian bersama dari
Bank Islam melalui bithamin ajil dengan nilai RM95, 000. Kerja-kerja pembersihan tanah dimulakan pada
tahun 1985 untuk mendirikan sebuah pondok dengan dinamakan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir. Setiap
pembeli diwajibkan datang bergotong-royong pada setiap hari Sabtu selepas waktu pejabat, hari Ahad dan
cuti umum. Mereka membina rumah kecil dan menggali perigi untuk memudahkan aktiviti gotong-royong.
Pada peringkat awal, kerja-kerja pembersihan dilakukan dengan menggunakan kudrat tangan untuk
menjimatkan kos. Bagi meratakan tanah pula, mereka menyewa dan menggunakan jentolak untuk beberapa

98
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

hari. Gotong-royong ini berterusan hampir setahun. Kesukaran membuka kampung ini amat dirasai (Ahmad
Roee, 15 Januari 2015).
Pada peringkat awal sekitar 1985, hanya beberapa orang murid sahaja yang tinggal di pondok ini. Tuan
Guru Haji Hashim bin Abdul Aziz dan Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama tidak dapat menetap di
pondok yang dibuka kerana mereka telah lama menetap di Kajang. Atas inisiatif dan kesungguhan mahu
menuntut ilmu dengan guru-guru tersebut, maka mereka berulang alik dengan dijemput dan dihantar oleh
murid-muridnya. Setelah setahun kerja-kerja pembersihan tanah dan pembinaan rumah kayu untuk Haji
Muhammad Hafidz, Ustaz Mahmud dan surau sebagai tempat pengajian (madrasah), maka bermulalah
pengajian bersama Tuan Guru Haji Hashim dan Tuan Guru Haji Muhammad Zain pada awal tahun 1987.
Pengajian bersama dua orang tuan guru ini diadakan secara bergilir pada setiap minggu. Pengajian cumumi
menggunakan kitab kuning tulisan Jawi lama. Pengajian pertama diadakan di rumah Haji Muhammad Hafidz
dengan dihadiri oleh para pembeli yang terlibat dan tidak terbuka kepada orang ramai ketika itu. Di awal
pengajian, mudir madrasah banyak menekankan bab tarbiyah dengan menggunakan kitab Pelita Penuntut
dengan tujuan untuk merapatkan ukhwah sesama sendiri dan membina peribadi yang mantap bagi
membangunkan perkampungan yang serba kekurangan. Kemudian, pengajian ini dibuka kepada orang luar
dari Jenderam. Dalam hal yang berkaitan dengan peringkat pertama ini, Ustazah Rokiah (2015) mengatakan
bahawa mereka sangat mementingkan pengajian secara bertalaqi dan mendapat sanad pengajian secara
langsung dengan guru-guru yang bertauliah. Para jemaah juga digalakkan untuk mendalami ilmu atau kitab-
kitab tertentu untuk membolehkan mereka mengajar orang lain di kemudian hari.
Peringkat kedua penubuhan madrasah ini (2003-sekarang) ialah apabila pihak madrasah mengasaskan
sebuah yayasan yang dinamakan Yayasan al-Jenderami. Dengan sebuah organisasi yang teratur dan tertakluk
di bawah Akta Syarikat 1965 dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, ia memudahkan perjalanan pihak
pengurusan madrasah mencari sumbangan dana melalui derma dari pihak-pihak perseorangan atau syarikat
yang mahu menyumbang dan menginfakkan harta (Ahmad Roee 2015). Di sini dapat diperhatikan bahawa
usaha dan pengorbanan para jemaah di Yayasan al-Jenderami dalam membangunkan sebuah institusi
pengajian pondok dengan menggunakan harta dan wang ringgit di samping menerima sumbangan daripada
masyarakat sekitar. Kesungguhan mereka terhadap Madrasah Islamiah Jenderam Hilir dan Yayasan al-
Jenderami sedikit sebanyak memberi nilai tambah dalam kehidupan sebuah masyarakat yang cinta akan ilmu
agama. Dengan tertubuhnya Yayasan al-Jenderami ini, maka matlamatnya adalah untuk menghidupkan
peradaban al-ilmu wa al-ulama dan mewujudkan kembali sebuah perkampungan yang hidup secara
berjemaah dan bermasyarakat berlandaskan nilai-nilai ilmu dan amalan daripada pembelajaran dan
pentarbiyahan kitab-kitab kuning karangan ulama Ahli Sunah wal Jamaah.
Tujuan dan matlamat penubuhan Yayasan al-Jenderami tentunya untuk memenuhi beberapa tujuan dan
matlamat bagi membina masyarakat yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi:

Menghidupkan semula peradaban ilmu dan ulama iaitu menghidupkan adab-adab dan ketinggian ilmu
dan seterusnya melahirkan ulama yang mahir dalam ilmu agama.
Menjadi pusat kepada masyarakat Islam untuk mencari ilmu agama dan meningkatkan kerohanian diri
dengan amalan zikir, qasidah, wirid dan sebagainya. Selain itu, Madrasah Islamiah Jenderam Hilir
mampu melahirkan alim agama yang beramal dengan ilmu dan boleh mengajarkan ilmu tersebut kepada
orang lain.
Menjadi model sistem perkampungan pondok dan madrasah bagi mereka yang mempunyai cita-cita
untuk membina madrasah dan perkampungan seumpama Yayasan al-Jenderami.
Perintis kepada pembukaan cawangan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir di tempat-tempat lain seperti
yang telah dibina di Kampuchea demi untuk menegakkan iktikad Ahli Sunnah wal Jamaah (Maisnews
2011: 6-7).

Yayasan al-Jenderami juga mempunyai visi dan misi yang tidak terhad dalam bidang keagamaan dan
pendidikan sahaja bahkan seiring dengan matlamat untuk mengumpul, menjana dan menguruskan dana bagi
tujuan kebudayaan, sosial dan kebajikan umat Islam. Walaupun Madrasah Islamiah Jenderam Hilir pada
asalnya merupakan sebuah pusat menuntut agama dan mengamalkan Islam secara syumul, ia tidak
menghalang Yayasan al-Jenderami memberi tumpuan kepada pembangunan bidang lain seperti ekonomi,
kemanusiaan dan tenaga kerja, kemasyarakatan dan kebajikan, modal insan, kesejahteraan sejagat dan
hubungan antarabangsa untuk dimajukan.

Pentadbiran Yayasan al-Jenderami

Pentadbiran Madrasah Islamiah Jenderam Hilir mempunyai organisasi yang sistematik, teratur dan terancang.
Sistem pentadbiran ini berdasarkan pimpinan seorang mudir dan dibantu oleh beberapa orang pembantu yang
merupakan amalan pentadbiran perkampungan pondok. Mudir madrasah, Haji Muhammad Hafidz

99
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

merupakan pengerusi madrasah dan organisasi pentadbiran telah dipecahkan kepada dua bahagian iaitu
Jawatankuasa Qariah yang dipengerusikan oleh Tuan Haji Yusof Tan dan Jawatankuasa Madrasah yang
diketuai oleh Haji Muhammad Hafidz sendiri (Galeri Yayasan al-Jenderami). Walau bagaimanapun, segala
urusan dalaman yang bersangkutan dengan hal ehwal pondok seperti jadual pengajian, disiplin pelajar,
aktiviti serta pengurusan pembelajaran adalah di bawah bidang kuasa mudir dan dibantu oleh Ahli
Jawatankuasa kecil yang terdiri daripada guru-guru pembantu dan penuntut senior.
Yayasan al-Jenderami pula diterajui oleh barisan pimpinan ahli lembaga pemegang amanah seramai dua
belas orang. Mereka terlibat dalam menyambut cabaran untuk merealisasikan segala perancangan yang diatur
terutamanya keperluan dana untuk menjana segala perbelanjaan infrastruktur dan pembangunan.
Jawatankuasa ini bertanggungjawab terhadap pengurusan dan perjalanan hal ehwal yang bersangkutan
dengan perkara-perkara am. Kebanyakan ahli jawatankuasa dalam organisasi Yayasan al-Jenderami terdiri
daripada ahli kariah dan jemaah yang memainkan peranan penting bagi membantu menguruskan hal ehwal
luaran seperti berurusan dengan pihak kerajaan dan NGO lain, merancang pembangunan pondok,
keselamatan dan lain-lain lagi (www.aljenderami.com.my).

Dana Pengurusan Yayasan al-Jenderami

Tidak dapat dinafikan bahawa Madrasah Islamiah Jenderam Hilir mempunyai kekangan kekurangan dana
kewangan untuk menguruskan pengurusan pembangunan kawasan madrasah. Pada peringkat awal, dana
madrasah bergantung pada kewangan para jemaahnya sendiri. Pihak pengurusan juga melakukan pelbagai
inisiatif seperti menyertai pameran dan mengedarkan risalah kecil di masjid-masjid luar daerah dan berjumpa
dengan golongan elit yang berminat untuk memberikan sumbangan kepada madrasah. Setelah berdaftar
sebagai sebuah yayasan, ia memudahkan perjalanan pihak pengurusan madrasah mencari sumbangan dana
melalui derma dari pihak syarikat kerana mereka dikecualikan daripada cukai pendapatan daripada Jabatan
Hasil Dalam Negeri. Selain derma dan sumbangan daripada orang ramai, Yayasan al-Jenderami juga
mengamalkan sistem wakaf terutama kepada golongan yang berminat untuk mewakafkan harta mereka di
jalan Allah SWT. Hasil dana ini kebiasaannya digunakan untuk memperbaiki kerosakan dan membayar bil
elektrik bangunan yang berada di atas tanah wakaf (Ahmad Roee 2015).

Sistem Pengajian Yayasan al-Jenderami

Sistem pengajian pondok di Yayasan al-Jenderami masih lagi mengamalkan sistem pengajian tradisional
dengan sedikit penerapan sistem pengajian moden. Sistem pengajiannya merangkumi penggunaan kitab-kitab
lama, sistem menadah kitab, pembelajaran informal di rumah tenaga pengajar dan surau bersama pelajar-
pelajar senior. Antara guru-guru yang amat berjasa dalam penubuhan Madrasah Islamiah Jenderam Hilir
ialah Tuan Guru Haji Muhammad Zain bin Tama dan Tuan Guru Haji Hashim bin Aziz. Mereka merupakan
ulama yang amat dikenali bagi penuntut ilmu kitab Jawi khususnya di daerah Hulu Langat, Selangor. Walau
bagaimanapun, selepas dua orang tuan guru ini meninggal dunia, Haji Muhammad Hafidz bin Selamat pula
meneruskan pengajian berkitab yang diamanahkan oleh gurunya. Mudir madrasah dibantu oleh tenaga-tenaga
pengajar yang lain. Tenaga pengajar di Yayasan al-Jenderami terdiri daripada ahli jemaah yang mahir
membaca kitab kuning dan bekas pelajar. Mereka ini bukan sahaja terdiri daripada pelajar lepasan pondok
malah ada antaranya lepasan universiti atau pusat pengajian tinggi tempatan dan luar negara. Tenaga
pengajar yang berkhidmat di sini terdiri daripada empat orang guru lelaki dan enam belas orang guru wanita.
Mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan seperti ekonomi, kejuruteraan, matematik dan
pendidikan agama khususnya.
Para pelajar di sini bukan sahaja berasal dari sekitar kawasan Jenderam malah meliputi seluruh negeri di
Malaysia dan ada juga dari Kemboja dan Indonesia. Sepanjang penubuhan Yayasan al-Jenderami tiga puluh
tahun, ia telah mengumpulkan lebih dari 5, 000 orang pelajar. Pelajar terdiri daripada lelaki dan perempuan
yang berumur antara tujuh hingga enam belas tahun. Peringkat pengajian pula boleh dibahagikan kepada tiga
bahagian. Pelajar yang berumur tujuh hingga dua belas tahun merupakan peringkat rendah yang dikhususkan
di Pusat Kecemerlangan Insan al-Jenderami. Peringkat pertengahan pula dibahagikan khusus kepada pelajar
lelaki di Pondok Lelaki dan pelajar perempuan di Madrasah al-Nafisah lil Banat.
Syarat utama penerimaan kemasukan di madrasah ini ialah minat dari pelajar sendiri untuk mengikuti
pengajian secara pondok. Kemasukan pelajar juga diambil kira berdasarkan pengetahuan dan kemahiran
mereka membaca al-Quran dan menulis Jawi. Pelajar-pelajar ini dibiayai oleh ibu bapa dengan membayar
yuran atau mendapat elaun daripada mudir madrasah. Bagi pelajar yang membayar yuran bulanan mereka
berada di bawah penjagaan Ustaz Zainal Abidin manakala pelajar yang mendapat elaun berada di bawah
penjagaan mudir madrasah. Bagi pelajar peringkat rendah pula, syarat kemasukan terbuka kepada pelajar
lelaki dan perempuan yang berumur tujuh hingga dua belas tahun. Yuran pengajian dikenakan ke atas setiap
pelajar. Bagi pelajar warganegara Malaysia yuran adalah sebanyak RM110 manakala bagi pelajar bukan

100
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

warganegara pula yuran yang dikenakan ialah RM150. Murid-murid juga dikenakan yuran mengaji al-Quran
sebanyak RM10 dan yuran makan RM50 setiap seorang. Ibu bapa yang menghantar anaknya ke Yayasan al-
Jenderami digalakkan oleh mudir untuk menghadiri pengajian cumumi yang diadakan. Ini bertujuan agar
hubungan silaturahim terjalin antara ibu bapa dengan ahli kariah ke arah menimba ilmu, mendalami suasana
dan sejarah tempat belajar anak-anak mereka menuntut ilmu.
Dua bentuk pengajian pondok yang terdapat di sini ialah pengajian cumumi dan khususi. Pengajian
cumumi ialah kuliah umum yang disampaikan oleh mudir madrasah dengan dihadiri oleh semua murid
pondok dan penduduk kampung sekitar. Pengajian cumumi disampaikan oleh Haji Muhammad Hafidz bin
Selamat dan beberapa orang tenaga pengajar yang lain. Pengajian cumumi ini diadakan pada waktu pagi dan
petang untuk golongan warga emas dan penduduk sekitar manakala pada sebelah malamnya untuk semua
pelajar, warga emas dan penduduk sekitar.
Pengajian khususi pula ialah pengajaran yang dikhususkan untuk pelajar-pelajar sepenuh masa dengan
menggunakan sistem nizami (madrasah). Pengajiannya meliputi sukatan pelajaran, waktu belajar, sistem
peperiksaan dan penilaian, aktiviti murid, disiplin dan pengelasan murid di madrasah. Pengajian ini
dibahagikan kepada tiga pengkhususan iaitu khususi rendah Pusat Kecemerlangan Insan al-Jenderami
Jisadani (PKIJJ), khususi pelajar perempuan Madrasah al-Nafisah lil Banat dan khususi untuk pelajar lelaki
di Pondok Lelaki. Pelajar lelaki dan perempuan dibahagikan kepada dua kumpulan. Bagi pelajar lelaki Banin
Satu dan Banin Dua manakala bagi pelajar perempuan pula disebut Banat Satu dan Banat Dua. Antara
aktiviti harian pelajar ialah seperti berikut:

Jadual 1 Jadual aktiviti harian pelajar-pelajar Yayasan al-Jenderami.

Waktu Masa Pembelajaran dan Aktiviti pelajar


Banin Satu Banin Dua Banat Satu Banat Dua PKIJ

Pagi 5.00-6.00 Bangun tidur dan bersiap


6.00-7.00 Solat Subuh berjemaah dan mengaji
7.00-8.00 Khidmat dan sarapan
8.00-1.00 Belajar
Petang 1.00-3.00 Rehat, Makan tengah hari, solat Zuhur
3.00-4.30 Kelas Nahu dan Saraf bersama Kelas kemahiran dan pengajian
pelajar senior, khidmat kitab
4.30-7.00 Solat Asar berjemaah, mengaji dengan warga emas, khidmat
Malam 7.00-8.30 Solat Maghrib berjemaah, bacaan wirid al-Jenderami
8.30-10.30 Pengajian cumumi, bacaan Yaasin, muzakarah
11.00 Tidur

Sumber: Kompilasi Pengkaji (2015)

Pada peringkat pertama, pengajian hanya diadakan pada sebelah malam dan hujung minggu sahaja
kerana majoriti ahli jemaah bekerja di siang hari. Selepas kemasukan pelajar di Pondok Lelaki pada tahun
1998, barulah jadual pengajian disusun secara teratur. Pada peringkat kedua pula, jadual pembelajaran
diperkemaskan lagi apabila pengajian khususi untuk pelajar perempuan, Madrasah al-Nafisah lil Banat
ditubuhkan pada tahun 2001. Kemudian pada tahun 2008 pula kelas pengajian peringkat rendah iaitu Pusat
Kecemerlangan Insan al-Jenderami pula dibuka. Masa belajar yang ditetapkan pada waktu pagi, petang dan
malam.
Jadual pengajian cumumi bagi mudir madrasah ditetapkan pada sebelah malam hari Isnin, Rabu dan
Sabtu di kompleks Yayasan al-Jenderami manakala pada sebelah pagi pula hari Rabu, Khamis dan Jumaat di
Madrasah al-Taufiqiyah, Kajang dan Taman Tun Dr. Ismail di Kuala Lumpur. Semua pelajar Pondok Lelaki
wajib mengikuti pengajian cumumi yang disampaikan oleh mudir madrasah sama ada di dalam dan luar
kompleks Yayasan al-Jenderami. Jadual pengajian bagi pelajar-pelajar disusun mengikut sistem nizami pada
sebelah pagi. Penyusunan jadual ini memudahkan pelajar dan tenaga pengajar mengurus masa pengajaran
dan pembelajaran secara terancang.
Buku atau kitab pelajaran yang digunakan ialah kitab jawi atau kitab kuning. Kitab-kitab yang
digunakan adalah daripada karangan ulama tempatan, ulama Pattani dan ulama Timur Tengah yang
muktabar. Antara kitab-kitab asas yang diajar di Yayasan al-Jenderami kepada para pelajar dan penduduk
sekitar ialah:
Bidang Usuluddin
al-Durr al-Thamin
Permulaan Tauhid
Risalat al-Tauhid

101
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

Bidang Fiqh
Matla al-Badrayn
Kifayah al-Muhtadin
Imbuhan Penuntut
Zayn al-Talibin
Hidayat al-Subyan
Kifayat al-Muhtadi
Zaad al-Mutaalim

Bidang Akhlak dan Tasawuf


Siyar al-Salikin
Adab Perempuan 1 & 2
Hidayah al-Salikin
Muhimmah

Bidang Hadis
Bahr al-Madhi
Jawhar al-Mawhub

Bidang al-Quran
Tafsir Nur al-Ihsan

Bidang Nahu dan Saraf


Kitab Suluh Matan Jurumiah
Mukhtasar
Matan Bina
Matan al-Jurumiyyah
Kawakib

Bidang Sirah dan Sejarah


Pohon Nabawiyah
Sirah Nurul Yaqin
Koleksi Ulama Semenanjung
Tokoh Ulama Selangor

Kurikulum pengajian di Yayasan al-Jenderami menitikberatkan asas-asas agama Islam yang meliputi
pengajian al-Quran, Usuluddin, Fekah, Akhlak, Tasawuf, Tafsir, Hadis, Nahu, Saraf, Bahasa Arab dan
Sejarah Islam. Di samping pelajaran yang berkaitan dengan agama, pelajara akademik asas seperti Bahasa
Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan Pengetahuan Am juga diajarkan kepada pelajar-pelajar. Namun
pelajaran akademik ini tidak diberikan penekanan. Pengajaran akademik oleh guru-guru tidak mengikut
sukatan pelajaran sekolah seperti di sekolah aliran kebangsaan. Guru-guru bebas menggunakan bahan
pengajaran sendiri dan tidak terikat dengan silibus pelajaran (Zulfah Zainal Abidin 2014). Bahan
pengajarannya menggunakan kitab-kitab kuning tulisan Jawi lama sama ada dalam bahasa Melayu klasik
atau bahasa Arab. Pelajaran menggunakan kitab-kitab yang berautoriti dan merupakan kitab rujukan asas
yang kebiasaannya digunakan di setiap institusi pondok.
Kaedah pengajaran dan pembelajaran yang diamalkan di Yayasan al-Jenderami masih berbentuk
tradisional iaitu pelajar-pelajar duduk menghadap guru dalam bentuk lingkaran. Kaedah ini dinamakan
halakah di mana guru membaca kitab manakala pelajar pula mencatat apa yang disayarahkan oleh guru.
Selain pembelajaran secara halakah, kaedah hafalan juga sangat diberi penekanan terutama hafalan matan-
matan kitab seperti Matan al-Ujrumiyyah, Matan Aqidah al-Awwam, Matan al-Sanusi, Matan Jauhar al-
Tauhid, Hidayat al-Azkiya dan Manzumah al-Tafsir (Nur Qur Ratul Aain 2015). Kaedah perbincangan juga
dilakukan dalam kalangan pelajar terhadap sesuatu persoalan yang tidak difahami. Kumpulan perbincangan
diadakan untuk memudahkan pelajar-pelajar berbincang dan melakukan kerja-kerja latihan dan hafalan
(Sufina 1 Mac 2015).
Aktiviti ko-kurikulum bagi pelajar-pelajar tidak diabaikan oleh pihak madrasah. di samping aspek
keilmuan yang menekankan penguasaan ilmu, aspek kemahiran juga sangat diberi perhatian. Antara aktiviti

102
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

ko-kurikulum yang melibatkan semua pelajar ialah hadrah dan qasidah. Selain itu, pelajar perempuan (Banat)
diajarkan kemahiran memasak dan menjahit manakala pelajar lelaki (Banin) pula dilatih oleh pentadbir
yayasan melakukan kerja-kerja pentadbiran dan pengurusan. Pelajar juga digalakkan melakukan khidmat
seperti gotong-royong membersihkan kawasan sekitar kompleks Yayasan al-Jenderami dan membantu warga
emas.

Sumbangan Sistem Pengajian Pondok kepada Masyarakat Islam

Di samping pengajian cumumi dan pengajian khususi, program kemasyarakatan juga diadakan untuk
masyarakat Islam setempat. Antaranya ialah:
a. Menziarahi para ulama di pondok-pondok yang terdapat di Semenanjung Malaysia dan tempat-tempat
bersejarah di sekitar Patani, Singapura, Kemboja, Indonesia dan Timur Tengah. Peluang menziarahi
pondok-pondok atau madrasah sama ada di dalam negara atau luar negara apabila Yayasan al-Jenderami
mendapat jemputan menghadiri majlis maulid di tempat tersebut.
b. Sambutan majlis kebesaran Islam dan majlis hol. Majlis Maulidurrasul merupakan program utama yang
dianjurkan oleh Yayasan al-Jenderami kepada masyarakat Islam. Majlis ini diadakan pada setiap tahun
dalam bulan Rabiul Awwal selama tiga hari. Majlis Maulidurrasul di Yayasan al-Jenderami dihadiri
oleh para ulama pondok dari Indonesia, Thailand, Mesir, Madinah, Mekah dan Yaman. Antara
pengisian dalam majlis ini ialah bacaan Maulid Simt al-Durar al-Habshi, tausiyah dari ulama, seminar
dan bacaan qasidah memuji Rasulullah s.a.w. Majlis hol pula ialah program memperingati ulama-ulama
yang banyak berjasa dalam penyebaran ilmu tradisi Islam.
c. Daurah Arbain atau Daurah al-Jenderami merupakan program kursus jangka pendek yang diadakan
selama 10 hari. Daurah ini dihadiri oleh mereka yang berminat untuk mengetahui ilmu-ilmu agama
yang patut dipelajari dan diamalkan secara berjemaah bersama-sama warga al-Jenderami dan merasai
suasana ibadat dalam kompleks komuniti Islam. Program ini kebiasaannya diadakan pada setiap dua
bulan sekali dengan dihadiri oleh kaum muslimat yang berusia lapan belas tahun ke atas. Pengisian
program dalam daurah ini adalah pengenalan kepada asas-asas al-Quran dan tajwid dan ilmu fardu ain.
Rujukan ilmu fardu ain ini menggunakan kitab-kitab kuning sebagai panduan.
d. Kem cuti sekolah diadakan pada waktu cuti sekolah umum. Kem ini bukan sahaja dianjurkan untuk
murid-murid di Yayasan al-Jenderami tetapi juga kepada murid-murid luar. Ia terbuka kepada murid
yang berumur sembilan hingga enam belas tahun yang berminat untuk meningkatkan pengetahuan
tentang agama Islam dan amalan ibadat berjemaah.

KESIMPULAN

Yayasan al-Jenderami adalah antara pondok yang bergiat aktif sebagai pusat pendidikan Islam tradisional.
Dari segi sistem pengajian, Yayasan al-Jenderami masih mengekalkan elemen-elemen tradisionalnya
walaupun pihak pengurusan menyediakan pelbagai prasarana moden dan terkini. Pendidikan tidak hanya
diberikan kepada pelajar muda di dalam kelas bahkan Yayasan al-Jenderami juga memberikan tumpuan
pengajian kepada warga emas yang menghabiskan usia hidup mereka dengan ilmu agama. Usaha
menghidupkan kembali sebuah institusi yang mengamalkan sistem pengajian pondok tentunya memakan
masa yang lama dan memerlukan sokongan daripada jiwa-jiwa yang cinta akan ilmu agama. Penubuhan awal
sebagai sebuah madrasah kecil tidak menghalang ahli jemaahnya untuk bergerak maju seiring dengan arus
modenisasi sehingga ia dikenali dengan Yayasan al-Jenderami. Pihak yayasan berjaya memperlihatkan
pelbagai aspek kemajuan sama ada dari segi pentadbiran dan organisasi, keseluruhan sistem pengajiannya
mahupun kemudahan penempatannya. Tidak dapat dinafikan institusi seperti ini kurang mendapat tempat di
hati masyarakat, namun ia wajar dipertahankan kelestariannya mengikut keperluan dan tuntutan masyarakat
sekarang.

RUJUKAN

Abdullah Ishak. 1995. Pendidikan Islam dan Pengaruhnya di Malaysia. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka.
Ahmad Roee Abidin. 2015. Sejarah Peubuhan Yayasan al-Jenderami. Temu bual 15 Januari.
Anon. 2011. Perkembangan Yayasan al-Jenderami Membina Generasi Rabbani. Mais News. 6-8.
www.mais.gov.my [31 Disember 2013].
Edy Sutrisno. 2007. Pondok Pesantren: Lembaga Pendidikan Alternatif. Dlm. Abdull Rahman Mahmood,
Wan Fariza Alyati Wan Zakaria & Zulazmi Yaakob (pnyt.). Prosiding Seminar Antarabangsa Agama
dan Pembangunan III, hlm. 40-44. Bangi: Jabatan Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

103
PROSIDING KOLOKIUM ANTARABANGSA SISWAZAH PENGAJIAN ISLAM (KASPI) 2015, 8 DISEMBER 2015

http://www.aljenderami.com.my
Khadijah bt Zon & M. Khalid Taib. 1989. Pengisntitusian pendidikan dan pendidikan berterusan di kalangan
orang-orang Melayu Semenanjung Malaysia: Falsafah, amalan dan signifikannya. Kertas kerja
Persidangan Antarabangsa Tamadun Melayu ke-2 (Jilid II). Anjuran Kementerian Kebudayaan dan
Pelancongan Malaysia. Kuala Lumpur. 15-20 Ogos.
Maryam Ahmad Roee. 2015. Kurikulum pengajian pondok Yayasan al-Jenderami. Temu bual, 20 Februari.
Nur Qur Ratul Aain. 2015. Kaedah pembelajaran pelajar-pelajar pondok. Temu bual,15 Februari.
Rokiah Zahaman. 2015. Perkembangan Yayasan al-Jenderami. Temu bual, 15 Januari.
Saeful Bahri. 2007. Kyai Haji Ahmad Rifai Arief: Biografi dan Pemikirannya tentang Sistem Pendidikan
pondok pesantren di Banten Indonesia. Disertasi Sarjana. Pengajian Islam.Universiti Kebangsaan
Malaysia.
Sufina. 2015. Kaedah pembelajaran pelajar-pelajar pondok. Temu bual,1 Mac.
Zainal Abidin Ahmad. 2015. Sistem pengajian pondok di Yayasan al-Jenderami. Temu bual, 5 Februari.
Zulfah Zainal Abidin. 2014. Sistem pengajian di Yayasan al-Jenderami. Temu bual, 20 November.

104

You might also like