You are on page 1of 3

PELANCONGAN

SEBAB-SEBAB MEMILIH MALAYSIA SEBAGAI TEMPAT/ DESTINASI


PELANCONGAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang istimewa. Ramai pelancong memilih
negara kita sebagai destinasi pelancongan. Apakah sebab-sebab rakyat
Malaysia memilih untuk melancong di negara sendiri? Malaysia sebenarnya
mempunyai pelbagai jenis industri pelancongan yang boleh dikomersialkan.
Antaranya termasuklah destinasi pelancongan berasaskan Kebudayaan, Industri
Kraftangan, Makanan Tradisi, Tempat-tempat Menarik, Sukan dan Agrotourism.
Klasifikasi ini penting kerana pelancong mempunyai minat yang berbeza dan
memudahkan mereka membuat pilihan untuk melancong ke tempat-tempat
tersebut. Kebiasaannya, tempat tersebut wujud kerana keunikan identiti dan
keistimewaan tersendiri. Contohnya, destinasi pelancongan berasaskan tempat-
tempat menarik seperti Pulau Pangkor, Pulau Tioman, Pulau Redang dan Taman
Negara Bako. Selain itu, destinasi pelancongan berasaskan Sukan dapat
direalisasikan melalui penganjuran Sukan Antarabangsa seperti Formula 1 di
Sepang dan Le Tour De Langkawi yang menjadi acara tahunan di Pulau
Langkawi. Jelaslah sektor pelancongan yang mempunyai identiti tersendiri dapat
menarik minat pelancong.

Antara sebabnya ialah keindahan alam sekitar yang menarik terdapat di negara
ini. Malaysia mempunyai hutan yang menarik. Tempat-tempat ini boleh
menenangkan fikiran kita contohnya, Taman Negara Endau, Rompin, Gua Niah
di Sarawak dan lain-lain. Promosi ini keunikan dan keindahan alam semula jadi
telah diwara-warakan melalui iklan-iklan di media cetak dan media elektronik
termasuklah di laman-laman web. pameran di tempat-tempat awam seperti
pasar raya, pertandingan-pertandingan dan pesta jualan. Contohnya
pertandingan memancing Joran anjuran Berita Harian yang diadakan saban
tahun secara tidak langsung turut mempromosikan tempat-tempat menarik di
Malaysia seperti Pulau Tioman, Tasik Kenyir dan Empangan
Temenggor. Ringkasnya, Promosi destinasi pelancongan yang giat dilakukan
dalam usaha memperkenalkan destinasi menarik di Malaysia merupakan
pemangkin Malaysia menjadi lokasi tarikan utama pelancong kerana tak kenal
maka tak cinta.

Pada masa yang sama, kemajuan industri pelancongan tanah air dibantu oleh
wujudnya keunikan budaya di negara kita. Memandangkan Malaysia merupakan
sebuah negara yang memiliki masyarakat majmuk maka pelbagai budaya
menarik terdapat di sini. Gabungan budaya masyarakat Melayu, Cina dan India
telah berjaya meningkatkan kunjungan pelancong asing ke Malaysia. Kaum
Melayu umpamanya terkenal dengan tarian inang dan zapin manakala kaum
Cina pula terkenal dengan tarian naga. Selain itu, Malaysia juga kaya dengan
pelbagai makanan tradisional yang dapat dinikmati oleh para pelancong.
Masyarakat Melayu misalnya terkenal dengan makanan seperti sate, ketupat dan
rendang manakala kaum India pula terkenal dengan masakan kari, tosei, idali
dan lain-lain. Justeru keunikan budaya masyarakat di Malaysia telah berjaya
menjadi daya tarikan kepada para pelancong untuk berkunjung ke negara kita
yang menjadi faktor serampang dua mata dalam menjana ekonomi negara. .

Malaysia juga mempunyai pantai-pantai yang menarik. Apabila melancong di


pantai, pulau, dan kawasan tanah tinggi, kita dapat menghilangkan tekanan dan
mendapat hiburan. Rakyat Malaysia yang melancong bersama-sama keluarga
boleh mengeratkan hubungan sesama ahli keluarga. Sebagai contoh Pulau
Pinang, Pulau Tioman, Pulau Langkawi, Port Dickson, Desaru Kota Tinggi,
Tanah Tinggi Cameron, Tanah Tinggi Genting dan lokasi lain yang boleh
dijadikan destinasi pelancongan keluarga. Sebagai contohnya, Malaysia
memiliki kawasan rekreasi di tanah tinggi yang mempunyai suhu sejuk seperti
Cameron Highlands dan Genting Highlands. Di kawasan ini, para pelancong
dapat menikmati keindahan alam semula jadi yang unik di samping melihat
pelbagai tanaman hawa sederhana iaitu sayur-sayuran serta buah-buahan
tropika. Malaysia juga mempunyai hutan semula jadi iaitu hutan hujan
Khatulistiwa yang berusia lebih dua juta tahun. Di kawasan hutan semula jadi ini
pelancong dapat menjalankan aktiviti riadah sambil menikmati keindahannya
mahupun menjalankan kajian tentang flora dan fauna yang terdapat di situ.
Justeru, kewujudan kawasan reakrasi seperti ini menjadi faktor
dominan menarik pelancong dari dalam dan dari luar negara.

Malaysia juga popular dengan pusat-pusat beli-belah yang terkenal. Contohnya,


Mega Mall di Kuala Lumpur, Mahkota Parade di Melaka, The Summit. Alamanda,
Mid-Valley dan lain-lain. Barangan yang dijual di negara kita setanding dengan
negara di luar negara. Selain itu, terdapat juga pelbagai kraftangan yang boleh
dijadikan cenderamata. Pelancong sangat suka barangan kraftangan Malaysia
kerana menarik dan terdapat pelbagai tawaran harga murah oleh pelbagai
pihak. Pada setiap tahun juga, diadakan promosi harga barangan dan jualan
mega. Contohnya seperti yang telah dilakukan oleh First World Hotel. Agensi
tersebut telah menyediakan pakej yang murah, serendah RM 88.00 untuk satu
malam meliputi penginapan, makan malam, sarapan, makan tengah hari dan
lawatan ke taman tema. Jelasnya, melalui tawaran pakej istimewa
tersebut, sudah pasti pelbagai golongan masyarakat dapat memenuhi hasrat
kerajaan untuk memajukan sektor pelancongan di negara kita. Oleh itu, rakyat
Malaysia tidak perlu melancong luar negara kerana Malaysia mempunyai
segala-galanya.

Tuntasnya, jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya, jika


usaha yang dilakukan amat kurang dan terbatas, bagaimanakah hasrat untuk
melihat sektor pelancongan di negara kita merentasi benua dan dunia akan
menjadi nyata. Segala usaha yang dirancang dan direncana memerlukan
bantuan dan kerjasama daripada semua pihak. Semoga melalui keprihatinan dan
rasa bertanggungjawab serta cinta akan negara , nama Malaysia akan menjadi
sebutan dan pilihan utama seluruh penduduk dunia sebagai destinasi
merehatkan minda.

You might also like