You are on page 1of 5

Kepentingan semangat kejiranan

Nusa tercinta kita Malaysia merupakan negara yang mempunyai anak watan berbilang kaum dan hidup secara
bersama sehati sejiwa ibarat peribahasa seikat bak sirih, serumpun bak serai. Sehubungan dengan itu, kebanyakan
anggota masyarakat yang hidup berjiran di kawasan bandar ataupun di kawasan luar bandar dan mereka saling
berhubung, bertemu dan berurusan antara satu sama lain. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, jiran boleh
ditakrifkan sebagai orang yang tinggal berhampiran dengan rumah seseorang. Namun begitu, terdapat lakaran
suram yang menyelubungi kita bahawa ada pandangan yang menyatakan bahawa amalan kehidupan berjiran dalam
kalangan masyarakat Malaysia pada masa ini dikatakan semakin sirna ibarat hidup segan mati tak mahu. Sebahagian
rakyat yang hidup dalam dunia yang dilingkari kemajuan sains dan teknologi ini lebih cenderung kepada sifat nafsi
ataupun individualistik dan bersilengah. Mereka ini tidak menyedari akan kepentingan hidup berjiran terutamanya
dalam kehidupan hari ini yang berwarna-warni. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah
apakah kepentingan hidup berjiran kepada individu, masyarakat dan negara?
Salah satu signifikan hidup berjiran ialah semangat kerjasama dalam kalangan anggota masyarakat di sesuatu
tempat dapat dipupuk. Semangat kerjasama amat penting dalam kehidupan berkomuniti untuk mewujudkan
kehidupan yang harmoni dengan tolong-menolong antara satu sama lain. Tanpa kerjasama antara satu sama lain
sudah pasti sesuatu kerja yang sukar tidak dapat diselesaikan dengan mudah. Kerjasama ini mampu dipupuk
menerusi penglibatan anggota masyarakat secara holistik dalam menjayakan aktiviti yang dilaksanakan di kawasan
perumahan mereka. Kerjasama ini boleh dipupuk melalui penglibatan anggota masyarakat dalam pelbagai aktiviti
yang diadakan di kawasan tempat mereka tinggal. Aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, majlis sambutan
perayaan atau perjumpaan bulanan komuniti dapat mempertemukan semua jiran, saling berkenalan dan
merapatkan hubungan. Mereka akan lebih mesra, saling membantu bagai aur dengan tebing tanpa membezakan
warna kulit, bangsa atau kepercayaan. Menurut laporan majalah The Times di Australia, kegiatan gotong -royong
yang diamalkan di Malaysia merupakan antara yang terbaik di dunia. Impaknya, dengan melaksanakan aktiviti-
aktiviti berfaedah seperti ini akan membawa anjakan paradigma bukan sahaja kepada kawasan perumahan malah
kepada kesihatan anggota masyarakat itu sekali. Hal ini kerana dengan mengadakan aktiviti gotong-royong kawasan
perumahan bukan sahaja akan kelihatan kemas bahkan juga membawa kebaikan kepada kesihatan masyarakat itu
sendiri. Tegasnya, sikap kerjasama dapat dipupuk melalui kehidupan berjiran dan seterusnya dapat membentuk
ukhuwah yang kukuh dan ampuh.
Selain itu, hidup berjiran juga penting kerana dapat membentuk semangat kekitaan dan melahirkan
masyarakat yang bersatu padu. Hal ini kerana apabila setiap rakyat hidup berjiran maka secara tidak langsung
dapatlah menyahut proklamasi Perdana Menteri Malaysia , Dato Seri Najib Tun Razak iaitu 1Malaysia yang
menekankan semangat perpaduan antara kaum di Malaysia. Sinergi dan usahasama sebeginilah sewajarnya
dijadikan panduan dan diaplikasikan dalam institusi masyarakat bagi mencetuskan semangat kejiranan yang utuh
persis peribahasa Melayu, ibarat telur sesangkak, pecah sebiji pecah semua. Contoh pendekatan yang boleh
diambil untuk memupuk semangat perpaduan dan bersatu padu dalam kalangan rakyat adalah dengan mengadakan
aktiviti-aktiviti yang melibatkan semua kaum dalam pada masa yang sama seperti mengadakan Rumah Terbuka
Kebangsaan bagi setiap perayaan yang terdapat di Malaysia. Melalui pengimplimentasian program ini, semangat
kejiranan dapat dijalinkan dalam masyarakat yang berbilang kaum ini agar boleh meluaskan horizon pemikiran dek
kerana berpeluang mempelajari perbezaan budaya dan sistem sosial masyarakat lain seterusnya memahami
sensitiviti mereka agar dapat diterapkan dengan nilai saling menghormati, bertolenrasi dan saling menyayangi antara
satu sama lain. Secara tidak langsung, tragedi 13 Mei 1969 yang merupakan sejarah hitam negara di mana berlaku
perbalahan antara kaum di Malaysia sehingga mengakibatkan rakyat huru-hara dan negara kucar-kacir hanya akan
berada dalam kotak memori sahaja, dan bukan untuk diulangi lagi kelak. Ringkasnya, hidup berjiran mampu
membentuk masyarakat berbilang kaum yang stabil dari segi spiritual serta fizikal dan seterusnya dapat memacu
pembangunan negara ke arah kegemilangan.
Di samping itu, hidup berjiran juga penting kepada negara kerana dapat memudahkan kerajaan melaksanakan
pelbagai program pembangunan dan membawa kemajuan kepada rakyat. Slogan Negara Maju Rakyat Sihat
menunjukkan apabila rakyat hidup dalam keadaan sihat sejahtera maka pelbagai rancangan pembangunan dapat
diatur, dirancang dan dilaksanakan secara lancar tanpa sebarang kekangan. Jika masyarakat dapat hidup bersama
dalam suasana yang aman dan harmoni maka segala kemajuan yang disediakan oleh kerajaan di seluruh pelosok
tanah air akan dapat dinikmati bersama-sama secara adil dan saksama. Sebagai contohnya, kerajaan telah berupaya
membina pelbagai kemudahan dan infrastruktur di kawasan taman-taman perumahan seperti dewan orang ramai,
balai raya, taman permainan kanak-kanak mahupun pusat komuniti atas inisiatif kehidupan berjiran dan perpaduan
yang ditunjukkan oleh anggota masyarakat di sesetengah kawasan tempat tinggal. Kesannya, bukan sahaja
masyarakat akan menikmati pelbagai keselesaan yang disediakan bahkan juga masyarakat akan pembangunan
modal insan yang seimbang dapat dicapai. Situasi ini dapat dikatakan sambil menyelam minum air. Jelaslah bahawa
kehiduppan berjiran penting bagi membantu anggota masyarakat dalam suatu kawasan kejiranan menikmati
pelbagai kemudahan awam yang disediakan oleh pihak kerajaan sekali gus membantu kerajaan melaksanakan
pembagai program rakyat.
Kehidupan berjiran juga merupakan salah satu elemen penting dan vital yang membantu melahirkan anggota
masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara. Negara yang cemerlang lahir
daripada rakyatnya yang berhemah tinggi dan hidup bersatu padu seia sekata. Jika masyarakat dapat berganding
bahu dan saling mengekalkan kehidupan yang harmoni maka negara akan melakar kejayaan yang gemilang. Melalui
hubungan kejiranan, pelbagai aktiviti berbentuk pemupukan nilai-nilai patriotisme dapat diimplimentasikan seperti
mengibarkan jalur gemilang, mengadakan pameran sempena ulang tahun kemerdekaan negara ataupun menyertai
perarakan dalam sesebuah pesta. Datuk Azhar Bin Mansor merupakan contoh paling jelas, dan atas sokongan rakyat
Malaysia membolehkan beliau melakukan pelayaran solo mengelilingi dunia sambil mengibarkan Jalur Gemilang
dengan penuh kejayaan. Hal Ini jelas menunjukkan keharmonian kehidupan rakyat Malaysia membolehkan mereka
melakukan sesuatu hal dan perkara yang amat hebat bagi melonjakkan Malaysia di persada antarabangsa.
Ringkasnya, anggota masyarakat yang harmoni, mempunyai jati diri dan semangat cinta akan negara dapat
dilahirkan melalui kehidupan berjiran.
Dari sudut yang berbeza, hidup berjiran yang wujud dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berbilang
kaum juga penting sebagai produk pelancongan. Sesungguhnya, kedatangan pelancong asing ke negara ini banyak
disebabkan kehidupan masyarakat Malaysia yang unik, mempunyai pelbagai seni budaya yang menarik dan hidup
secara harmoni dalam komuniti kejiranan. Sesungguhnya, perpaduan masyarakat banyak membantu menarik
kehadiran pelancong terutamanya ketika musim perayaan besar dan mampu memikat hati barisan pemimpin dunia
untuk mempelajari formula Malaysia dalam mengekalkan perpaduan antara rakyat seperti yang diutarakan Mantan
Timbalan Perdana Menteri Britain, John Presscott suatu ketika dahulu. Sebagai contohnya, pada sambutan Hari
Kemerdekaan, Majlis Rumah Terbuka dan sambutan pesta-pesta tertentu menampilkan perpaduan masyarakat
berbilang kaum di negara kita yang amat disukai oleh para pelancong asing tersebut . Selain di kawasan bandar,
produk pelancongan seperti Program Homestay atau Inap Desa di kawasan luar bandar juga dapat menunjukkan
kemaslahatan hidup berjiran dalam kalangan masyarakatnya. Secara implisitnya, ekonomi negara yang
memberangsangkan akan dapat dicapai oleh Malaysia. Pendek kata, kehidupan berjiran dalam kalangan masyarakat
Malaysia sangat berfaedah dalam industri pelancongan negara.
Kalau ditelusuri dari sudut yang lain, hidup berjiran dalam kalangan masyarakat akan membawa impak positif
kepada masyarakat konvensional itu sendiri iaitu kesedaran hidup berjiran mampu membawa kepada jaminan
keselamatan penduduk setempat. Hal ini kerana dengan wujudnya Rukun Tetangga yang terdiri daripada ahli-ahli
masyarakat di kawasan kejiranan itu sendiri, mereka akan menjalankan rondaan pada waktu malam secara
berkumpulan bagi memastikan kawasan perumahan mereka berada dalam keadaan selamat sejahtera. Program ini
juga mampu membantu pihak polis dalam usaha untuk mengurangkan kegiatan jenayah yang biasa berlaku di
kawasan perumahan seperti pecah masuk rumah. Jika perkara ini tidak ditegah secara serius, dikhuatiri akan
membawa kepada banyak implikasi seperti harta benda dirompak dan yang paling memilukan jika membawa maut
kepada ahli rumah yang menjadi mangsa keadaan dalam kegiatan kebejatan moral ini. Maka, apabila terlaksananya
program sebegini yang melibatkan semua pihak, purata kes jenayah dalam negara akan berkurangan dari semasa ke
semasa. Secara tidak langsung, nama Malaysia juga harum di segenap seantero mayapada dek kerana Malaysia
merupakan antara negara paling selamat untuk didiami di dunia hasil daripada kajian yang dilakukan oleh The
World Justice Project yang bertempat di New York, Amerika Syarikat. Hal ini sama dengan cogan kata jiran sepakat
membawa berkat. Tegasnya, semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat mampu menjana kawasan
perumahan yang harmoni dan aman.
Secara intihanya, sudah terang lagi bersuluh bahawa kehidupan berjiran merupakan sebahagian daripada
amalan dan menjadi budaya masyarakat di Malaysia yang signifikan. Amalan yang murni ini menjadikan negara kita
unik pada pandangan masyarakat di luar sana malah dikenali di seluruh dunia. Oleh itu, semua rakyat Malaysia perlu
bangkit dan lari daripada kealpaan tentang mengamalkan kehidupan berjiran ini. Rakyat Malaysia tidak seharusnya
mempunyai sikap evasif dan bernafsi-nafsi bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing malah perlu
berganding bahu ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing dalam usaha untuk menjayakan amalan kejiranan
ini. Diharapkan agar komitmen padu daripada semua pihak ini dapat memupuk dan meningkatkan lagi semangat
perpaduan dan bekerjasama dalam sanubari setiap rakyat Malaysia yang sangat dituntut untuk mengekalkan
keamanan yang telah dikecapi. Semoga aspirasi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk menjadikan Malaysia sebagai
sebuah negara maju pada tahun 2020 akan tercapai jua dengan terzahirnya permuafakatan dalam kalangan rakyat
berbilang bangsa. Ingatlah bahawa rakyat bersatu, negara maju!
Langkah-langkah memupuk semangat patriotik
Setiap negara mempunyai sejarah yang tersendiri. Di Malaysia, sejarah yang ada telah membentuk identiti negara
kita. Negara kita terdiri daripada rakyat yanhg berbilang kaum iaitu Melayu, Cina, India, Kadazan, Dusun dan
sebagainya. Perpaduan kaum yang terbentuk pada masa dahulu sehingga kini merupakan satu pencapaian negara
yang amat membanggakan. Rakyat yang berbilang kaum ini dapat hidup bersama secara aman damai kerana mereka
mempunyai semangat patriotik yang kukuh dan kental dalam diri mereka. Walau bagaimanapun, masyarakat pada
zaman moden ini, asyik dengan perkembangan dunia sehingga mengabaikan kepentingan semangat patriotik dalam
diri mereka. Amat jelas dapat dilihat bahawa masyarakat kini kurang berpengetahuan tentang sejarah pembentukan
negara hasil perjuangan oleh tokoh pejuang bangsa seperti Dato Maharajalela, Dato Bahaman, Tok Janggut dan
sebagainya. Masyarakat kini kurang bersyukur dengan keamanan dan kemakmuran yang terdapat di negara kita.
Oleh itu, pelbagai usaha perlu dilakukan oleh pelbagai pihak bagi menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa
masyarakat. Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak?
Tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Ibu bapa seharusnya sentiasa membawa anak-anak melawat ke tempat-
tempat yang bersejarah. Contohnya, ibu bapa hendaklah membawa anak-anak ke Bandar Bersejarah, Melaka. Di
situ, terdapat pelbagai barang dan bangunan tinggalan sejarah. Amalan ini dapat menimbulkan dan melahirkan
minat anak-anak untuk mengetahui latar belakang dan asal-usul pembentukan negara dan seterusnya akan wujud
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Tempat-tempat bersejarah seperti Lembah Bujang, Seri Menanti, Kota
Belanda di Perak dan sebagainya boleh dijadikan sebagai destinasi lawatan. Aktiviti lawatan ke tempat yang
bersejarah merupakan langkah bagai serampang dua mata kerana anak-anak bukan sahaja dapat menimba ilmu
pengetahuan, tetapi juga dapat mengekalkan hubungan silaturahim yang erat antara keluarga. Jelasnya, lawatan ke
tempat yang bersejarah boleh dijadikan amalan setiap kali cuti persekolahan oleh ibu bapa sebagai cara menerapkan
semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Jelaslah, Sesungguhnya tidak dapat dinafikan bahawa ibu bapa
memainkan peranan yang utama dalam menerapkan dan menyuburkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak
Selain itu, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel
bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana melalui
proses pembacaan, anak-anak dapat mengetahui lebih banyak perkara berkaitan dengan sejarah. Buku-buku sejarah
dan novel dapat membantu menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak kerana buku-buku tersebut
mempunyai isi kandungan yang berunsur patriotisme. Hal ini amat jelas menunjukkan bahawa usaha ibu bapa dalam
memilih buku-buku yang sesuai untuk anak-anak adalah amat penting. Oleh itu, ibu bapa haruslah memilih buku-
buku yang tinggi nilai ilmunya dan bukannya buku-buku komik yang tidak bermanfaat. Dengan membaca buku-buku
berunsurkan patriotisme, pasti semangat patriotik dapat diterapkan dalam jiwa anak-anak. Amalan membaca buku-
buku tersebut hendaklah dipupuk sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Apabila anak-
anak membesar nanti, mereka akan sentiasa bersemangat patriotik dan suka membaca kerana kalau asal benih yang
baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora dan dicampak ke bumi menjadi penawar.
Tegasnya, ibu bapa juga hendaklah membeli buku-buku yang berkaitan dengan sejarah atau buku-buku novel
bertemakan semangat patriotik dan semangat cinta akan negara kepada anak-anak.
Di samping itu, ibu bapa juga haruslah menjadi role model atau suri teladan kepada anak-anak. Ibu bapa perlu
sedar bahawa segala perbuatan, perlakuan, amalan, pertuturan dan pemikiran mereka akan diikuti oleh anak-anak.
Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah sentiasa menunjukkan sikap yang positif kepada anak-anak. Sebagai
contohnya, ibu bapa boleh mengibarkan bendera di rumah atau melakukan aktiviti yang boleh menunjukkan
sokongan terhadap negara. Ibu bapa janganlah menyertai apa-apa protes terhadap negara kerana perbuatan
sedemikian hanya akan menjadi seperti ketam mengajar anak berjalan betul, tetapi diri sendiri tidak betul.. Oleh itu,
ibu bapa harus sentiasa menunjukkan contoh yang tebaik kepada anak-anak kerana ke mana tumpahnya kuah kalau
tidak ke nasi. Ibu bapa boleh membawa anak-anak menyertai program larian 1 Malaysia, ceramah tentang Sejarah
Negara, atau lawatan ke Muzium Negara. Ibu bapa haruslah melakukan usaha dengan sepenuh hati agar anak-anak
yang dibesarkan dapat menjadi insan yang cinta akan negara dan bersemangat patriotik. Tegasnya, ibu bapa perlu
menjadi suri teladan kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang berwawasan.
Seterusnya, ibu bapa perlu meluangkan masa untuk bercerita mengenai peristiwa-peristiwa atau kisah yang
berkaitan dengan sejarah kepada anak-anak bagi melahirkan generasi muda yang bersemangat patriotik. Bak kata
pepatah, pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Sebagai contohnya, sebelum anak-anak masuk tidur, ibu
bapa boleh membacakan cerita mengenai pejuang-pejuang bangsa kepada anak-anak seperti kisah perjuangan
Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela, Mat Kilau, Kapten Hasan dan lain-lain ketika menentang Inggeris. Ibu bapa
bolehl juga menceritakan sendiri pengalaman nenek moyang terdahulu,betapa mereka menderita dizalimi dan
didera semasa zaman penjajahan di negara kita. Anak-anak yang bijak sudah pastinya dapat membandingkan
kehidupan mereka sekarang berbanding dahulu. Hal ini boleh menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-
anak. Ibu bapa juga boleh melayari internet untuk mendapatkan maklumat-maklumat yang diperlukan untuk
bercerita kepada anak-anak. Dengan mempunyai maklumat yang tepat, anak-anak akan mendapat informasi yang
betul dan setelah itu, anak-anak akan sentiasa teringat-ingat tentang kisah sejarah. Mereka akan belajar sesuatu
melalui sejarah lalu timbullah semangat patriotik dalam jiwa mereka. Oleh itu, ibu bapa perlulah sentiasa mencari
peluang atau kesempatan untuk menceritakan pengalaman diri atau berbincang dengan anak-anak mengenai topik-
topik berunsurkan negara bagi menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Amalan-amalan ini haruslah
dilaksanakan dengan berterusan kerana alah bisa tegal dek biasa. Anak-anak akan cuba mengingati setiap cerita
yang pernah didengarnya terutama tentang sejarah negara. Oleh sebab itu, ibu bapa perlu melaksanakan
tanggungjawab dengan baik bagi membentuk jiwa anak-anak yang bersemangat patriotik.
Akhir sekali, ibu bapa juga haruslah membawa anak-anak menyertai sambutan-sambutan negara seperti Hari
Kebangsaan pada 31 Ogos, Hari Malaysia pada 16 September dan sebagainya. kita Dengan menyertai sambutan hari
kemerdekaan ini, semangat patriotik dapat disemai dalam diri mereka. Sebagai contohnya, apabila anak-anak dapat
bersama-sama mengibarkan jalur gemilang, mendengar deklamasi sajak serta mendengar cerita-cerita tentang
kesengsaraan para pejuang tanah air untuk memerdekakan negara. Anak-anak dapat melihat sendiri kemeriahan
sambutan kemerdekaan sekali gus memahami objektif sebab-sebab sambutan sebegini diadakan. Kisah disebalik
kemewahan dan kedamaian negara akan dapat dirungkai dan seharusnya dapat menghadirkan keinsafan dalam diri
mereka bahawa banyak harta benda dan nyawa yang harus dikorbankan demi melihat Malaysia gagah seperti
sekarang. Dengan menyertai aktiviti sambutan ini juga, kita akan mendapat peluang untuk melihat persembahan
daripada kaum lain dan berkenal-kenalan antara satu sama lain. Secara tidak langsung, perpaduan antara kaum akan
tercapai dan wujudlah masyarakat yang harmoni yang bersemangat patriotik. Jelaslah bahawa, jika ibu bapa dapat
membawa anak-anak menyambut hari Kemerdekaan setiap tahun sejak mereka kecil lagi sudah pasti semangat
patriotik dapat dipupuk dengan mudah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan bahawa ibu bapa memainkan peranan yang penting
dalam menerapkan semangat patriotik dalam jiwa anak-anak. Hadis Riwayat At-Tarmizi ada menyatakan bahawa
tiada anugerah yang dapat diberikan oleh seorang ayah kepada anaknya selain tunjuk ajar dan budi pekerti yang
mulia. Hal ini amat jelas membuktikan betapa besarnya tanggungjawab seorang ibu atau bapa kepada pembinaan
personaliti anak-anak. Oleh itu, ibu bapa haruslah melaksanakan tanggungjawab dan peranan bagi melahirkan
individu yang bersemangat patriotik, cinta akan negara dan berwawasan.

You might also like