You are on page 1of 55

Strategi Survival Melayu Dan Bumiputera

Dr. Abdul Halim Ramli

Pendahuluan

Survival Melayu/Bumiputera bermaksud kelangsungan hak penguasaan dan kedudukan


etnik Melayu yang terjamin di negara ini yang merupakan negara tumpah darah dan
warisan nenek moyang mereka yang perlu dipertahankan. Survival Melayu mesti
dipertahankan dan diperkukuhkan dalam politik, ekonomi, sosial, pendidikan,
pembangunan dan sebagainya. Tanpa pengukuhannya, ia akan memberi kesan langsung
kepada kestabilan politik dan perpaduan kaum. Peristiwa 13 Mei 1969 memberi
indikator yang jelas, apabila etnik Melayu merasakan survival mereka tergugat dan
digugat oleh etnik lain, ia mencetuskan rasa panik dan mewujudkan ketegangan
hubungan etnik. Justeru itu, selepas berlakunya Peristiwa 13 Mei, kerajaan telah
mengambil iktibar daripada peristiwa tersebut dengan mengambil pelbagai langkah
proaktif mengukuhkan survival Melayu/bumiputera di negara ini.

Politik

Semenjak Perikatan/ Barisan Nasional ditubuhkan, kuasa Melayu yang diwakili oleh
UMNO telah menjadi kuasa teras dalam pakatan politik yang dianggotai oleh pelbagai
etnik. Melalui kuasa teras ini, walaupun etnik Melayu hanya diwakili oleh UMNO dalam
Barisan Nasional, namun ia dapat menguasai kerajaan dan menjadi kuasa penentu.
Melalui juga, kerajaan dapat merancang dan melaksanakan segala dasar dan program
bagi memperkukuhkan survival Melayu di negara ini. Formula politik perkongsian kuasa
yang diamalkan oleh Barisan Nasional telah dapat menangani ketegangan politik yang
berlaku dan seterusnya dapat membantu menstabilkan keadaan politik negara.
Perkongsian kuasa ini menjadi alat kepada pengurusan konflik yang baik di Malaysia
dan ia diakui adalah antara paling berjaya dalam kalangan negara dunia ketiga (Jayum A.
Jawan, 1994, 45).

Walaupun semenjak merdeka, Barisan Nasional yang ditunjangi oleh etnik


Melayu menguasai kerajaan tetapi keputusan pilihan raya ke 12 (2008) dan ke 13
(2013), memperlihatkan kerajaan BN telah hilangan sokongan daripada rakyat pelbagai
etnik. Walaupun daripada kajian yang telah dijalankan, etnik Melayu masih
mengekalkan sokongan mereka kepada UMNO tetapi sokongan etnik Melayu, khususnya
generasi muda terhadap UMNO/BN mula terhakis. Pengundi muda etnik Melayu lebih
cenderung menyokong parti pembangkang sama ada PAS, PKR atau DAP. Manakala
pengundi etnik bukan Melayu, khususnya Cina lebih cenderung menyokong parti
pembangkang seperti yang dizahirkan dalam PRU ke 12 dan 13. 1[1] Senario ini

1[1] Misalnya dalam PRU ke 12, BN kehilangan majoriti 2/3 kerusi parlimen apabila memenangi 140 kerusi berbanding 82
kerusi oleh pakatan pembangkang yang terdiri daripada PKR, DAP dan PAS. Pakatan BN dilihat agak goyah apabila pakatan
pembangkang hanya memerlukan antara 30-40 buah kerusi untuk membentuk kerajaan melalui majoriti mudah. Dalam
pilihan raya 2008, prestasi UMNO agak merosot berbanding pilihan raya 2004 apabila memenangi 79 kerusi daripada 117
kerusi yang ditanding (67.5 peratus). (Amer Saifude Ghazali et al., 2011).
membimbangkan etnik Melayu kerana kemerosotan tersebut lambat laun akan
menghakis kuasa Melayu dalam kerajaan.

Kebimbangan tersebut membawa sebahagian daripada etnik Melayu mengutarakan


keperluan pembentukan kerajaan perpaduan yang membawa masuk parti-parti politik
Melayu seperti PAS ke dalam kerajaan bersama UMNO bagi mengukuhkan kuasa politik
Melayu bagi menghadapi cabaran tuntutan etnik lain. Kedua-dua parti politik Melayu ini
boleh mewujudkan kerja sama demi kepentingan Melayu dan Islam. Cadangan
pembentukan kerajaan perpaduan telah diutarakan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang selepas PRU 12. Konsep kerajaan perpaduan ialah parti-parti kerajaan dan
pembangkang akan membentuk satu pasukan pemerintahan dalam menguruskan
pentadbiran negara tanpa perlu mengorbankan ideologi parti masing-masing (Amer
Saifude Ghazali et al., 2011).
Dalam PRU 13 (2013), BN sekali lagi mengalami kekalahan teruk terutama
peralihan sokongan majoriti pengundi etnik Cina kepada parti pembangkang terutama
DAP dan PKR. Senario tersebut digambarkan oleh banyak pengkaji dan penganalisis
politik sebagai tsunami politik. Peralihan sokongan etnik Cina terhadap parti
pembangkang melahirkan persepsi dalam kalangan etnik Melayu bahawa undi etnik
Cina tidak boleh diharapkan lagi untuk menyokong kerajaan. Kerajaan yang dipimpin
oleh UMNO disarankan lebih memberi perhatian terhadap tuntutan dan pembangunan
etnik Melayu terutama di luar bandar yang rata-rata masih teguh menyokong BN.
Kemerosotan prestasi BN tersebut juga telah melahirkan kembali cadangan supaya
kerajaan perpaduan dapat direalisasikan dan keperluan mengukuhkan kembali
perpaduan Melayu supaya nanti tidak menjadi seperti Pak Kadok menang sorak tapi
kampong halaman tergadai.

Ekonomi

Walaupun selepas merdeka pelbagai dasar dan pendekatan telah dilakukan oleh
kerajaan untuk memperkukuhkan pecapaian ekonomi orang Melayu, namun sehingga
kini statistik pencapaian ekonomi orang Melayu masih rendah tidak seperti yang
diharapkan.2[2] Pelaksanaan DEB walaupun berjaya mengurangkan kemiskinan dan
ketidakseimbangan pencapaian ekonomi antara etnik, namun pelaksanaan telah dikritik
kerana membawa kepada peningkatan kos menjalankan perniagaan disebabkan
merentir (rent-seeking), kuasa naungan dan proses perolehan kerajaan yang tidak telus.
Perkara ini membawa kepada penularan gejala rasuah (Model Ekonomi Baru, UPU).
Justeru itu, pendekatan baru yang telah digubal oleh kerajaan untuk memacu
pencapaian ekonomi Malaysia adalah dengan memperkenalkan Model Ekonomi Baru
(MEB). MEB mempunyai matlamat utama untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah
Negara maju yang berpendapatan tinggi dengan ciri keterangkuman dan
kebolehmampanan menjelang tahun 2020.

2[2] Misalnya pendapatan kasar bulanan isi rumah purata Bumiputera pada tahun 2007 ialah RM3,158, 2008 RM3,624
berbanding Cina RM4,853 (2007), RM5,011 (2008), India RM3,799 (2007) dan RM3,999 (2008) (Perangkaan pendapatan dan
kemiskinan isi rumah, UPU).
Walau bagaimanapun, MEB yang disusun oleh Majlis Penasihat Ekonomi Negara
(MPEN) telah dikritik beberapa pihak kerana tidak mengutamakan agenda bumiputera.
Setengah pihak menyifatkan dokumen MEB menyerang bangsa Melayu dan DEB. Agenda
MEB dituduh tidak memberi keutamaan kepada bumiputera (Malaysiakini, 29 Mei
2010). Dokumen MEB menyebutkan bahawa penumpuan berlebihan pada pengagihan
sumber berasaskan etnik menimbulkan jurang keterpisahan dan konflik etnik (Model
Ekonomi Baru, UPU). Walau bagaimanapun MEB ada menyebutkan agenda bumiputera
dengan mensasarkan bantuan kepada isi rumah dalam kumpulan 40 peratus terendah-
yang 77.2 peratus daripada mereka ialah etnik bumiputera di Sabah dan Sarawak.

Pembentangan Rancangan Malaysia Kesepuluh di Dewan Rakyat pada 10 Jun


2010 masih lagi meletakkan agenda Melayu/bumiputera sebagai teras strategik ketiga
di bawah tajuk pembangunan sosio-ekonomi secara inklusif. Di bawah teras strategik
ketiga ini, kerajaan tetap meletakkan agenda pembangunan dan penyertaan bumiputera
dalam ekonomi Negara. Melalui agenda ini keutamaan diberikan kepada aspek
meningkatkan keupayaan syarikat bumiputera yang berpotensi dengan kerajaan
menyokong peningkatan keupayaan syarikat tersebut secara optimum. Bagi
memperkasakan agenda pembangunan bumiputera, melalui RMK 10, kerajaan telah
mengenal pasti lima inisiatif untuk dilaksanakan iaitu meningkatkan pemilikan ekuiti
bumiputera melalui penginstitusian, mempertingkatkan pemilikan hartanah
bumiputera, menambahbaik program pembangunan kemahiran dan keusahawanan
serta pembiayaan melalui pelbagai agensi pembangunan bumiputera, membangunkan
guna tenaga professional bumiputera secara lebih tuntas dan menubuhkan satu Majlis
peringkat tertinggi untuk merancang, menyelaras dan memantau pelaksanaan agenda
pembangunan bumiputera (Rancangan Malaysia Kesepuluh, 2011-2015).

Satu lagi kebimbangan etnik Melayu ialah kebimbangan mereka terhadap


implikasi pelaksanaan perjanjian perkongsian Negara Pasifik atau TPPA (Trans-Pacific
Partnerships Agreement). Matlamat utama TPPA ialah untuk mewujudkan blok ekonomi
Asia Timur yang berkiblatkan Amerika Syarikat bagi mengekang kuasa ekonomi Cina.
Cadangan MITI untuk ikut serta dalam rundingan TPPA telah menimbulkan
kebimbangan daripada orang Melayu mengenai kesannya terhadap ekonomi
bumiputera dan Malaysia. Pelaksanaan TPPA dikhuatiri akan membunuh semua Industri
Kecil Sederhana (IKS) kerana tidak dapat bersaing dengan standard yang ditetapkan
oleh TPPA sendiri. TPPA dilihat sebagai serampang dua mata untuk menghapuskan DEB
apabila peluang perniagaan diliberalisasikan (Utusan Malaysia, 21 Ogos 2013). Tun Dr.
Mahathir Mohamad turut mengkritik TPPA kerana sebaik kerajaan menandatangani
TPPA, kaki dan tangan Malaysia akan terikat. Ini kerana kerajaan tidak akan boleh lagi
membuat kawalan modal dan apabila ia berlaku, Malaysia akan dijajah lagi (ABN News,
13 Julai 2013). Justeru itu, kerajaan disaran oleh pelbagai pihak untuk mengkaji secara
mendalam kesan TPPA terhadap ekonomi Malaysia pada masa depan. Kesan daripada
kritikan tersebut menyebabkan kerajaan tidak akan menadatangi perjanjian tersebut
yang dijangkan akan ditanda tangani pada Oktober 2013 Utusan Malaysia, 23 Ogos
2013).

Pemarkasaan pendidikan
Peranan kerajaan dalam melindung dan mempertahankan survival Melayu/bumiputera
telahpun dijalankan semenjak daripada pengubalan Laporan Razak 1956, sehingga
kepada penggubalan Akta Pelajaran 1996 dan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia
(PPPM) 2013-2025. Akta Pelajaran 1996 melalui Perkara 13 (1) telah menetapkan
bahasa kebangsaan sebagai pengantar utama sistem pendidikan. Kesemua dasar dan
Akta pendidikan yang telah digubal adalah mengarah kepada pemarkasaan sistem
pendidikan kebangsaan dan pengukuhan peranan bahasa Melayu sebagai medium
utama sistem pendidikan dan alat penyatuan kaum serta pemarkasaan pendidikan
agama sebagai asas utama survival ummah.
Dasar dan Akta pendidikan juga berperanan mengukuhkan survival
Melayu/bumiputera. Misalnya Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia, 2013-2025
mengariskan 11 anjakan. Di antara ajakan tersebut ialah memastikan setiap murid
profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Anjakan ini dapat dilakukan
melalui memantapkan penguasaan Bahasa Malaysi. Kementerian akan memperkenalkan
kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi semua
sekolah jenis kebangsaan. Dengan perlaksanaan kurikulum ini, Kelas Peralihan di
sekolah menengah kebangsaan akan dimansuhkan mulai 2017. Kerajaan juga akan
menggalakkan murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, India, Tamil,
Arab serta bahasa ibunda yang lain. Manakala melalui anjakan melahirkan rakyat
Malaysia yang menghayati nilai, PPPM menyatakan;

bagi memupuk semangat patriotisme di kalangan murid dalam usaha membina satu
identiti nasional yang kukuh dan jitu, Kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan
Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang 2017. Pedagogi untuk Pendidikan
Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak
aktiviti main peranan (role-play), simulasi, perbincangan dan tugasan dalam kumpulan
kecil. Bagi murid bukan Islam, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman
tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji
membolehkan murid bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat
diajar.

Secara keseluruhannya PPPM bertujuan untuk meningkatkan mutu pelajaran di


sekolah kebangsaan di mana bahasa pengantarnya adalah bahasa Melayu supaya
standing dengan Negara maju dan menarik minat pelbagai etnik memasukinya. PPPM
dilancarkan pada bulan September 2013. Walau bagaimanapun, sebelum PPPM
dilancarkan, ia telah mendapat bantahan daripada Dong Zhong kerana mendakwa PPPM
akan menghapuskan bahasa Mandarin dan sekolah vernakular. Kenyataan dan
penolakan yang dibuat oleh Dong Zhong itu telah dikritik oleh banyak pihak.

Peranan NGO

Peranan NGO Melayu/Islam amat penting bagi memastikan segala agenda pembangunan
yang dijalankan di Negara ini menguatkan lagi survival Melayu/Islam. Terdapat pelbagai
NGO yang ditubuhkan dengan matlamat dan pendekatan perjuangan yang berbeza.
Penubuhan pelbagai NGO tersebut menjadi golongan pendesak yang kritis terhadap
setiap perkara yang ada hubungannya dengan etnik Melayu. Mereka akan memastikan
setiap langkah dan pendekatan yang dilakukan tidak merugikan atau membawa
implikasi negatif terhadap survival Melayu. Misalnya, penubuhan Pribumi Perkasa
Malaysia atau Perkasa yang berasaskan kemelayuan yang disertai oleh orang Melayu
tanpa mengira fahaman politik mereka. Matlamat penubuhan Perkasa adalah untuk
mempertahankan hak-hak orang Melayu dan bumiputera di dalam Perlembagaan.
Justeru itu, Perkasa sentiasa bersifat kritis terhadap mana-mana pihak yang menafikan
atau melemahkan hak Melayu/bumiputera yang dijamin dalam Perlembagaan. Misalnya,
dalam isu penggunaan kalimah Allah, Perkasa menentang percubaan mana-mana pihak
bukan Islam menggunakan kalimah dalam apa-apa penerbitan mereka. Begitu juga
perkasa lantang mempertahankan kedudukan raja-raja daripada dicabar atau
diperlekehkan mana-mana pihak. Perkasa juga mempertahankan dasar-dasar
pendidikan kebangsaan, terutama menyokong penuh pelancaran Pelan Pembangunan
Pendidikan Malaysia 2013-2025.

Manakala Gabungan Pelajar-Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pula yang


ditubuhkan pada tahun 1948 adalah untuk meningkatkan pendidikan dan menjaga
kebajikan pelajar Melayu. Dalam mencapai matlamat penubuhannya, GPMS
memperjuangkan agenda Melayu terutama dalam pendidikan dengan tidak melupakan
peranannya memperjuangkan isu-isu Melayu seperti mempertahankan hak-hak etnik
Melayu yang dilindungi oleh Perlembagaan. Misalnya, GPMS bersama dengan gabungan
NGO-NGO Melayu mempertahankan kenyataan yang dibuat oleh YAA Dato Mohd Noor
Bin Abdullah, Bekas Hakim Mahkamah Rayuan Malaysia di Wacana Post Morterm PRU-
13 : Bicara Kepimpinan dan Survival Ummah pada 12/5/2013 dalam mempertahankan
hak-hak Melayu dalam Perlembagaan. Pandangan beliau tersebut telah disalah tafsir
sehingga dituduh bersifat perkauman. Gabungan NGO bersama GPMS telah
mengeluarkan kenyataan antara lain berbunyi:

kenyataan yang dibuat oleh Dato Mohd Noor tersebut telah Kami Gabungan NGO
Malaysia ingin mempersoalkan apakah motif Malaysiakini menyiarkan secara terpilih
kenyataan-kenyataan yang diolah seumpama dan memberikan gambaran seolah-olah
YAA Dato Mohd Noor Bin Abdullah bersikap rasis? Adakah seseorang itu menjadi rasis
hanya kerana beliau menyatakan tentang sesuatu yang telah termaktub dalam
Perlembagaan? Ataupun pihak yang menunggu peluang untuk merampas kuasa bagi
meminda Perlembagaan itu yang bersifat rasis?.

Peranan NGO Melayu dalam mempertahankan dasar-dasar negara dan


Perlembagaan Persekutuan terserlah melalui Kongres Perdana Mengenai Pendidikan
yang dianjurkan oleh Majlis Perundingan Melayu (MPM) pada 27 Ogos 2013. Kongres
tersebut telah mengeluarkan 10 resolusi di antaranya memberi peringatan kepada
kerajaan supaya berhenti menjadi mangsa peras ugut pihak tertentu. Kongres mahu
kerajaan berhenti melayan tuntutan tidak munasabah dan bercanggah dengan
Perlembagaan Persekutuan. Mereka mendesak supaya Perdana Menteri dan
Kementerian Pendidikan bersikap tegas dengan mewujudkan sistem pendidikan tunggal
negara ini. Mereka meminta kerajaan jangan melayan tuntutan Dong Zhong yang
dipercayai lebih menjaga kepentingan individu tertentu dalam pertubuhan berkenaan.
MPM mengingatkan semua pihak agar tidak membiarkan golongan tertentu bermain
dengan bom jangka bersiri yang memporak-perandakan perpaduan nasional dan
keutuhan Perlembagaan Persekutuan. Mereka turut menuntut supaya pihak
Kementerian menjadikan bahasa Melayu sebagai penghantar utama di institusi
pengajian awam dan swasta manakala pemberian dana penyelidikan serta syarat-syarat
kenaikan pangkat perlu mengutamakan penyelidikan dan karya ilmiah dalam bahasa
Melayu (Utusan Malaysia, 28 Ogos 2013).

Peranan Islam

Semenjak kedatangan Islam ke Malaysia, Islam telah membawa perubahan besar kepada
etnik Melayu. Transformasi besar-besaran yang berlaku kepada tamadun Melayu telah
banyak dibahaskan oleh sarjana seperti Syed Muhammad Naquib al-Attas dan lain-lain.
Perubahan yang besar tersebut telah mengangkat darjat etnik Melayu daripada bangsa
yang tidak mempunyai ketamadunan yang tinggi hingga menjadi bangsa bertamadun.
Semenjak daripada itu, Islam tidak dapat dipisahkan daripada Melayu sehingga definisi
Melayu dihubungkan dengan agama Islam. Semasa Malaysia di jajah British, penindasan
serta perencanaan penjajah yang tidak seimbang, telah menyebabkan masyarakat
Melayu mula memikirkan survival bangsa. Agama telah menjadi tenaga pendorong dan
penguat kepada kesedaran dan perjuangan orang Melayu. Agama Islam telah menjadi
kekuatan untuk orang Melayu melindungi survival bangsa mereka daripada ancaman
penjajah atau golongan lain. Bertapa kuatnya ikatan orang Melayu dengan Islam
mendorong mereka memperjuang Islam menjadi menjadi agama bagi Persekutuan
semasa proses pembentukan Perlembagaan Negara dilakukan. Natijah daripada
perjuangan tersebut, Islam kemudiannya menjadi salah satu asas penting Perlembagaan
Persekutuan.

Kedudukan yang diberi oleh Perlembagaan tersebut telah membolehkan ajaran


Islam diperkukuhkan di Negara ini dalam pelbagai bidang seperti undang-undang,
ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, pembangunan dan lain-lain. Islam telah
menjadi asas kepada penyatuan Melayu, mendidik mereka menjadi bangsa yang tinggi
semangat toleransi dan berbudi bahasa, menjadi tenaga yang dinamis mengerakkan
kemajuan Negara dan menjadi bangsa berfahaman sederhana atau wasathiyyah. Tanpa
Islam, Malaysia tidak akan mencapai ke tahap sekarang dan survival Melayu akan
menghadapi masalah. Peranan yang dimainkan oleh Islam menyebabkan banyak
percubaan telah dilakukan oleh musuh-musuh Islam untuk memisahkan Melayu
daripada Islam dan mencabar kedudukan Islam yang telah diberikan oleh
Perlembagaan. Sehingga kini percubaan tersebut berjaya ditangkis walaupun ia datang
bertali arus dalam berbagai bentuk dan versi.
Nov, 26 2013

Penglibatan PKM dalam Rusuhan


Kaum 1969

Penulisan mengenai konflik kaum yang berlaku pada 13 Mei 1969 banyak
menimbulkan minat dalam kalangan penulis dan pengkaji. Penulisan mengenai
konflik kaum terburuk dalam sejarah Negara tersebut secara umumnya mencari
punca utama kenapa berlakunnya konflik tersebut. Sekurang-kurang ada tiga buah
buku yang secara langsung menulis peristiwa tersebut. Antaranya buku tulisan Tunku
Abdul Rahman yang merakamkan peristiwa tersebut berdasarkan pengalaman beliau
sebagai Perdana Menteri ketika peristiwa hitam tersebut berlaku. Buku tersebut
bertajuk 13 Mei Sebelum dan Selepas yang ditulis ketika beliau dimasukkan ke
hospital selama 10 hari bermula 6 Jun 1969. Buku ini dihasilkan berdasarkan
pengalaman beliau sebagai Perdana Menteri pertama yang berhadapan dengan
berbagai-bagai cabaran dalam usaha untuk mengisi kemerdekaan. Sebagai seorang
Perdana Menteri, beliau tentulah memahami dengan lebih mendalam sesuatu isu,
tambahan pula beliau mendapat maklumat daripada berbagai sumber sama ada
secara lisan atau dokumen. Berasaskan kepada latarbelakang tersebut, dalam buku
ini beliau menekankan bahawa di antara faktor yang menjadi punca konflik berdarah
tersebut ialah pengaruh dan gerakan Parti Komunis Malaya yang menyusup masuk
dalam pertubuhan tertentu dan menghasut rakyat melakukan penentangan kepada
kerajaan terutama selepas 11 orang anggotanya dihukum gantung pada Jun 1968
kerana membantu Sukarno menyerang Malaysia (Tunku Abdul Rahman, 2007, 8-9).
PKM telah melancarkan kempen besar-besaran dari rumah ke rumah dengan tujuan
menimbulkan rasa simpati orang ramai terhadap 11 orang yang dihukum bunuh itu
(kemudiannya hukuman tersebut telah diringankan). Menurut Tunku, peristiwa
tersebut telah dieksploitasikan oleh gerakan kiri untuk menimbulkan kekacauan. Parti
Komunis juga telah mensasarkan golongan muda untuk dipengaruhi pemikiran
mereka terutama fahaman radikal yang tidak mahu lagi mengakui adanya kuasa
politik di tangan Melayu. Mereka beranggapan konsep Malaysian Malaysia yang
dianjurkan oleh Lee Kuan Yew selari dengan cita-cita mereka (Tunku Abdul Rahman,
2007, 16-17).

Padangan Tunku mengenai ancaman dan peranan PKM dalam menimbulkan


ketidakstabilan politik di Malaysia terutama pada tahun 1969 tentunya berasas.
Tambahan pula ancaman PKM tersebut telah didedahkan melalui penerbitan Kertas
Putih (1968) yang bertajuk The Parth of Violence to Absolute Power yang
mendakwa a new form of threat has now cast its sinister shadow over the nation
and that the Communist party is preparing to return to a program of violence. Sama
ada PKM benar-benar memberi ancaman kepada kerajaan Malaysia telah dianalisis
oleh U.S. Department of State, Director of Intelligence and Research dengan
mengeluarkan Reserch Memorandum bertarikh 3 Januari 1969 bertajuk The
Malaysian Communist: Serious Menance or Perpetual Irritant? Seperti yang
dimuatkan dalam unclassifed document, FCO 24/474 (Part A), Jan-March 1969.
Memorandum ini mengakui hakikat bahawa PKM masih komited untuk mencapai
matlamat lama mereka untuk mendapatkan kuasa melalui kekuatan senjata.
Walaupun demikian, PKM telah menghadkan aktiviti bersenjata mereka semenjak
berakhirnya darurat pada tahun 1960. Sebagai gantinya, Memorandum tersebut
menyebutkan its activities have been mainly devoted to preserving and, if possible,
expanding its guerrilla forces in the Thai border areas, and stimulating anti-
government militant action in a variety of political, social, labor, and educational
organizations within West Malaysia. Until recently, the Communist were also
promoting a united front in Malaysia and Singapore through legal parties they had
succeeded in penetrating.

Dalam analisis lanjut Memorandum tersebut mengenai ancaman Komunis di


Malaysia, ia menyebutkan From the end of the Emergency until very recently, the
Communist concentrated on building a united front through the legal parties they
have penetrated, the Labor Party and Partai Rakyat in West Malaysia and the Barisan
Socialis in Singapore. Both the Malaysian and the Singapore governments-since 1963
at least-have been gradually curtailing the illegal activities of these parties and other
organizations penetrated by the Communists.

Tunku Abdul Rahman secara konsisten mengaitkan pengaruh Komunis sebagai


salah sebab yang membawa kepada berlakunya Peristiwa 13 Mei tersebut walaupun
dakwaan tersebut tidak berasaskan kepada bukti yang kukuh. Tun Dr. Ismail dalam
perbualannya dengan A.A. Duff yang direkodkan pada 30 Mei 1969 menyebutkan
bahawa maklumat yang diperolehi dari Special Branch menyebutkan tiada bukti yang
kukuh mengaitkan Komunis dengan rusuhan kaum tersebut. Sebaliknya Tun Dr.
Ismail mengaitkan rusuhan tersebut disebabkan oleh kumpulan Kongsi Gelap.
Kumpulan kongsi gelap tersebut bukan sahaja dianggotai oleh kaum Cina tetapi juga
kaum Melayu. Kumpulan kongsi gelap tersebut telah mengeksplotasi ketegangan
yang wujud sehingga menggangu ketenteraman Negara (Record of Coversation with
Tun Dr. Ismail, FCO24/486, Part C, 1969). Pandangan Tun Dr. Ismail yang mengaitkan
Kongsi Gelap sebagai sebagai salah satu punca rusuhan kaum telah dinyatakan oleh
Tunku dalam bukunya mengenai 13 Mei. Menurut Tunku, dalam kempen pilihan raya
lepas, mereka (kumpulan kongsi gelap) telah mengambil peranan yang baru sebagai
wakil calon dan pekerja pilihanraya untuk calon yang bertanding dalam pilihan raya.
Mereka menjalankan pelbagai tipu helah jahat kerana hanya itu yang mereka tahu
lakukan. Pengundi-pengundi telah diugut supaya mengundi calon yang tidak mereka
sukai. Disebabkan gerakan-gerakan jahat mereka itu, maka perjalanan pilihan raya
mengikut lunas-lunas demokrasi yang sentiasa diamalkan sebelumnya telah
terganggu (hlm. 18-19).

Walaupun tidak ada bukti yang kukuh untuk mengaitkan Komunis dengan
rusuhan kaum 13 Mei seperti yang telah dihuraikan namun dokumen British telah
mencatatkan beberapa peristiwa sebelum meletusnya rusuhan kaum 13 Mei ada
kaitannya dengan perarakan yang dibuat pada 9 Mei 1969 oleh mereka yang
bersimpati dengan gerakan Komunis. Dalam surat yang dihantar oleh British High
Commission, Kuala Lumpur bertarikh 28 Mei 1969 kepada Michael Stewart, Secretary
of State For Foreign and Commonwealth menyebutkan:

Permission was granted for the young mans body to be carried in procession
through the streets of Kuala Lumpur on Friday, 9 May, the day before polling
for the General Elections. The cortege, variously estimated as being from 2000
to 10000 strong, and well thickened with Communist sympathizers place there
by the L.P.M (Labour Part), ignored the official route and moved through parts
of the city particularly prone to communal unrest. The march covered eight
miles, lasted many hours, and was complete with Communist banners and
Maoist posters and songs well in evidence. It was described by Reuters as the
largest peaceful Communist demonstration in Malaysias history. Although
there were few incidents, many resentments were created and many rumors
spread ( FCO 24/486).

Maklumat yang diperolehi daripada dokumen sulit British tersebut


mengukuhkan pandangan Tunku yang mengaitkan pengaruh Komunis di sebalik
rusuhan tersebut walaupun penglibatan mereka tidaklah secara langsung. Pandangan
ini dikuatkan melalui Laporan yang dikeluarkan oleh MAGERAN atau National
Operation Council pada 9 Oktober 1969 mengenai Tragedi 13 Mei tersebut. Laporan
tersebut menyebutkan since it was driven underground several years ago, the
Malayan Communist Party had remained dormant as a militant force. Its members
had not, however, given up hope of seizing power. In recent years they have quietly
been re-organizing themselves for a political come-back. MCP activities show a
definite strategy: to weaken the nation by exploiting every sensitive and divisive issue,
mainly economic and racial, in the country in a long-term softening-up process
(The May 13 Tragedy, A Report The National Operation Council, 9 October 1969).
Nov, 7 2013

Aplikasi Maqasid Syariah dalam


Hubungan Etnik

Maqasid al-Syari`ah ialah suatu disiplin ilmu yang menerbitkan suatu kaedah umum,
menjelaskan kaedah-kaedah (qawaid fiqhiyyah) atau methode yang digariskan dalam
ilmu usul al fiqh berkaitan dengan nas-nas syarak yang sesuai untuk diaplikasikan di
sepanjang masa dan zaman justeru ia perlu difahami oleh setiap individu muslim.
Dengan kata lain maqasid atau objektif Syariah ialah objektif yang diletakkan oleh
syara' dalam mensyariatkan hukum. Antara istilah popular yang digunakan ialah
maqasid al-syariah, maqasid al-Syari' dan al-maqasid al- syar'iyyah.

Maqasid shariah terdiri daripada dua perkataan iaitu maqasid dan


syariah. Kedua-duanya mempunyai pengertian yang berlainan jika ia didefinisikan
secara berasingn. Namun sebagai satu perkataan maqasid al Shariah didefinisikan
sebagai berikut: Al-Ghazali mengatakan Maqasid syariah sebagai objektif dalam
kehidupan manusia mencakupi lima perkara iaitu menjaga agama, nyawa, akal,
keturunan dan hartabenda. Oleh itu apa sahaja yang terkandung dalam penjagaan lima
perkara tersebut adalah maslahah (kebaikan) dan pengabaian terhadapnya membawa
kepada mafsadah (kerosakan). Dr.Wahbah Zuhaili pula berpendapat maqasid syariah
sebagai makna dan matlamat yang dapat diperhatikan di sebalik setiap atau
kebanyakan hukum syarak. Dengan lain perkataan ianya merupakan objektif syariah
dan rahsia (hikmah) yang mana Allah SWT letakkan pada setiap hukum yang terdapat
dalam syariah.

Para ulamak telah membahagikan maqasid syariah kepada lima:

1. Memelihara agama
2. Memelihara nyawa

3. Memelihara kehormatan atau keturunan

4. Memelihara akal

5. Memelihara harta benda

Dalam kontek hubungan etnik, kelima-lima maqasid syariah ini boleh diaplikasikan
bagi mengukuhkan perhubungan antara etnik.

Menjaga agama dalam konteks hubungan etnik adalah memastikan kedudukan


Islam sebagai agama bagi Persekutuan hendaklah sentiasa terperlihara. Tidaklah boleh
sekiranya untuk menjaga hubungan antara etnik, kedudukan dan kepentingan Islam
sebagai agama Negara diketepikan bagi mewujudkan faham kesaksamaan antara kaum
dan agama. Ataupun atas dasar toleransi beragama, maka kita menerima konsep
pluralisme agama/menyamakan semua agama atau melihat bahawa tidak ada mana-
mana agama yang mempunyai kebenaran yang final atau not the sole and exlusive
source of truth, justeru itu, sebahagian kebenaran itu juga dimiliki oleh agama lain
(lihat penerangan mengenai pluralisme agama dalam Budhy Munawar-Rachman,
2010, 3).

Maqasid syariah, bermakna, umat Islam wajib berpegang kepada faham


ekslusif (melihat Islam hanya satu-satunya agama yang benar) bukan inklusif
(berpendapat semua agama adalah sama) demi menjaga kesucian dan ketinggian
agama Islam di Negara ini. Dengan itu, fahaman pluralisme agama yang cuba
diketegahkan oleh sesetengah pihak adalah bertentangan dengan kehendak maqasid
syariah. Toleransi yang dibenarkan oleh Islam ialah hak anutan dan amalan
kepercayaan agama selain Islam dibenarkan dalam konteks penganut agama itu
sendiri. Mengikut Perlembagaan dan Enakmen Undang-undang Islam, penganut
agama lain tidak boleh menyebarkan pegangan mereka kepada penganut agama Islam
(Perkara 11 (4), Perlembagaan Persekutuan). Umat Islam wajib menyakini bahawa
tidak ada agama selain Islam yang diakui benar, melainkan hanya Islam itu satu-satu
agama yang hak, tinggi dan akui sah oleh Allah. Adalah menepati maqasid syariah,
apabila umat Islam melakukan apa saja tindakan bagi memastikan ketinggian dan
kesucian Islam sentiasa terpelihara dan tidak membiarkan mana-mana anasir merobek
kedudukan tersebut. Manakala penganut agama lain mestilah menghormati kedudukan
yang telah diberi oleh Perlembagaan dan tidak mencabar kedudukan tersebut kerana
sebarang cubaan untuk merungkai kedudukan itu akan membawa kepada konflik
antara agama dan etnik.

Aplikasi maqasid syariah dalam hubungan etnik dari aspek mengawal nyawa
ialah dengan mempastikan Islam sebagai agama keselamatan, kedamaian dan
perpaduan dapat direalisasikan. Adalah menepati maqasid syariah apabila dasar-dasar
kerajaan yang digubal mengarah kepada perpaduan antara etnik dan mengelakkan
permusuhan. Ciri dan matlamat Islam di atas dapat dicapai melalui penyemarakan
faham kesederhanaan atau wasthiyah sebagai satu pendekatan dalam apa juga bidang
di Negara ini. Segala permasalahan yang berlaku sama ada yang melibatkan hubungan
inter etnik atau intra etnik perlu dilakukan melalui mesyuarah, rundingan dan dialog
berpaksikan kepada ilmu dan hikmah supaya tercapainya titik pertemuan dan
persefahaman. Segala unsur provokatif hendaklah dielakkan di samping sebarang
pertelingkahan tidak harus dipolemikkan. Umat Islam seharusnya menjauhkan diri
mereka daripada unsur-unsur yang membawa kepada pertumpahan darah dalam
menyelesaikan sebarang pertelagahan inter etnik. Semangat Islam yang lebih menitik
beratkan soal keharmonian dan perpaduan terserlah melalui Perjanjian Hudaibiyah
yang dipelopori oleh Nabi Muhammad S.A.W. Perjanjian ini yang berlaku pada 6
Hijrah memaparkan sikap Islam yang cintakan keamanan dan berusaha mengelakkan
peperangan serta memaparkan sikap toleransi Islam yang sangat tinggi.

Manakala aplikasi maqasid syariah dalam konteks hubungan etnik dalam aspek
memelihara keturunan ialah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan pelbagai
usaha untuk membangun, memaju dan membebaskan diri daripada kemiskinan,
kemunduran dan kejahilan agar sejajar dengan kedudukan etnik lain. Justeru itu,
peruntukan Perlembagaan yang memberi jaminan terhadap kedudukan istimewa orang
Melayu adalah memenuhi maqasid syariah. Peruntukan tersebut bukanlah bermaksud
untuk meletakkan etnik Melayu lebih agung daripada etnik lain atau
mendiskriminasikan etnik lain. Peruntukan tersebut adalah kaedah yang dirangka dan
dipersetujui bersama untuk memajukan etnik Melayu dalam aspek ekonomi apabila
data-data ekonomi menunjukkan etnik Melayu jauh ketinggalan daripada etnik lain.
Sekiranya peruntukan tersebut tidak ada, nescaya etnik Melayu akan terus berada
dalam kemunduran. Walaupun orang Melayu mendapat keistimewaan seperti yang
termaktub dalam perlembagaan, namun tidak melalui rampasan harta orang bukan
Melayu sebaliknya mendapatkannya dari tambahan kepada ekonomi keseluruhan.
Ketidakseimbangan pencapaian ekonomi jika tidak dibetulkan akan menghasilkan
mafsadah yang boleh mencetuskan konflik etnik seperti mana yang berlaku di negara-
negara lain. Sedangkan mafsadah merupakan perkara yang dituntut oleh Islam untuk
menjauhinya.

Feb, 6 2013
INGATAN UNTUK PARA PEMIMPIN

Dalam al-Quran, Allah telah menceritakan kegagalan dan kemusnahan sesuatu kaum,
kerajaan atau pemerintah dalam banyak surah. Tujuan Allah menceritakan kisah
tersebut bukan sahaja untuk membuktikan kebenaran al-Quran tetapi untuk manusia
terutama orang-orang Islam mengambil iktibar dari peristiwa tersebut. Allah jua yang
memberi kekuasaan kepada golongan yang dikehendaki-Nya dan Dia juga mencabut
atau meruntuhkan mana-mana kekuasaan yang dikehendaki-Nya. Tetapi Allah tidak
mencabut atau melemahkan sesuatu kekuasaan secara sewenang-wenangnya tanpa ada
sebab musabab. Jika sebab-musabab yang boleh meruntuh dan melemahkan sesuatu
kekuasaan itu diulangi-ulangi oleh manusia dalam sejarah dan kehidupan mereka,
maka ia pasti berakhir dengan keruntuhan atau kehilangan kekuasaan mereka. Dengan
sebab itu, Allah menyuruh manusia sentiasa mengambil pengajaran dari sejarah dan
apa yang berlaku dalam kehidupan nyata manusia. Kata pepatah Melayu, sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tiada berguna. Sesal dahulu bermakna, menyesal dan
mengaku akan kesalahan kita dahulu lebih baik, yakni beruntung, daripada tidak
berasa kesal dahulu dan menanggung akibat buruknya kemudian.

Orang Melayu dalam sejarah mereka telah mengalami peristiwa sejarah yang
menyebabkan mereka kehilangan kuasa sehingga dijajah oleh Barat selama hampir
450 tahun lamanya. Keruntuhan kekuasaan mereka bukan disebabkan jumlah mereka
yang sedikit atau kedunguan mereka, tetapi disebabkan oleh penyakit lama orang
Melayu iaitu PEPECAHAN. Sebenarnya dari fakta sejarah bahawa orang Melayu
tidak dihancurkan oleh musuh luar mereka atau bangsa asing tetapi kehancuran atau
kelemahan bangsa dan negara mereka adalah disebabkan oleh bangsa Melayu itu
sendiri. Tangan-tangan mereka sendirilah yang menyebabkan bangsa mereka dijajah
dan dihina. Pertelagahan sesama sendiri ketika ketiadaan musuh, merasa lebih selesa,
mementingkan keuntungan diri sendiri dan menjual maruah bangsa adalah faktor
kelemahan dan kehilangan dominasi mereka seperti pantun yang dinukilkan oleh
Prof.HAMKA:

Jangan tergesa menjatuhkan hukuman,

Portugis Belanda jangan kutuki,

Jangan Inggeris lekas cemarkan,

Ketahui dahulu salah sendiri


Adakah cita-cita akan tercapai,

Adakah dapat apa diingini,

Jika berbalik sebelum sampai,

Mengorbankan darah tiada berani

Fikirkan pula penjual negeri,

Harapkan emas perak bertimba,

Untuk keuntungan diri sendiri,

Biar bangsanya menjadi hamba

Apabila pertelagahan, perebutan jawatan dan kuasa menjadi prioriti utama orang
Melayu, maka akhirnya maruah agama, bangsa dan negara akan tergadai seperti kisah
malang Pak Kaduk:

Ayuhai malang Pak Kaduk,

Ayamnya menang kampung tergadai,

Ada nasi dicurahkan,

Awang pulang kebuluran,

Ada isteri dibunuh,


Nyaris mati tak makan,

Mudik menongkah surut,

Hilir menongkah pasang,

Masa belayar kematian angin,

Sauh dilabuh bayu berpuput,

Ada rumah bertandang duduk,

Rumah runtuh, awak menumpang.

Ibnu Khaldun seorang ahli sejarawan dan sosiologi Islam terkenal abad ke 14
M telah mengingatkan kita bahawa faktor utama kekuatan sesuatu
pemerintahan/kerajaan atau tamadun itu adalah semangat kekitaan (asabiyah) atau
kesetiakawanan atau kecintaan masyarakatnya (patriotisme) terhadap agama, bangsa
dan negaranya. Tetapi jika faktor ini mulai melemah dalam sesuatu masyarakat, maka
lahirlah sifat-sifat pengkhianatan yang lambat laun pasti membawa kepada kehancuran
sesuatu pemerintahan tersebut. Ditambah lagi apabila mula membiak dalam
masyarakat tersebut sifat hasad dengki, adu domba, fitnah, kepuakan, kemewahan,
kemalasan dan lain-lain sifat mazmumah, maka sifat-sifat ini menjadi pemangkin
kepada kelemahan dan keruntuhannya.

Sifat kesetiakawanan, kesetiaan atau solidariti sosial akan mewujudkan


kekuatan kepada sesuatu pemerintahan kerana ia menumbuhkan semangat
pengorbanan harta, benda dan nyawa demi agama, bangsa dan negara. Sifat ini
diperkuatkan oleh nilai-nilai agama yang memandu sifat-sifat tersebut ke arah sifat-
sifat yang positif yang lain. Sifat-sifat ini kelihatannya semakin menipis dalam
masyarakat
Pejuang-pejuang Melayu dahulu, motivasi utama perjuangan mereka adalah
demi survival agama dan bangsa mereka. Hari ini nilai dan sifat-sifat tersebut telah
mulai terhakis. Apa yang menjadi perkiraan utama mereka adalah untuk mendapat
kuasa atau kedudukan. Perhitungan mereka adalah kebendaan, kemewahan hidup,
projek dan prestij, bukannya kehidupan yang sederhana atau kerelaan untuk
berkhidmat kepada masyarakat dengan ikhlas, jujur, mudah didampingi oleh rakyat
dan menunjukkan contoh teladan yang baik kepada masyarakatnya. Tidak hairanlah
begitu ramai yang ghairah melobi kepimpinan tertinggi untuk dipilih sebagai calon
walaupun rekod kepimpinan mereka adalah buruk dan ditolak oleh rakyat. Sekiranya
mereka tidak terpilih, mereka akan merajuk dan tidak membantu calon yang terpilih.
Mereka mengamalkan budaya politik menikam dari belakang. Mereka juga
mengamalkan budaya ketam Melayu (lihat Ibrahim Shah, 2007:7), iaitu
menjatuhkan kaumnya sendiri yang mempunyai potensi untuk naik ke atas kerana
perasaan hasad dengki dan bukan untuk membantunya.

Pemimpin-pemimpin seharusnya menonjolkan keperibadian yang mulia, hidup


dalam kesederhanaan walaupun mampu hidup dalam kemewahan, mudah didampingi
oleh rakyat, mendengar dan menyelesaikan dengan segera masalah rakyat serta
menjadi pemimpin yang efektif. Era pemimpin yang hanya hadir dan mendampingi
rakyat semasa musim kempen pilihan raya sudah berlalu. Rakyat telah muak dengan
hipokrasi ini. Pendekatan sedemikian untuk menarik sokongan rakyat sudah lapuk.
Rakyat hari ini mendambakan pemimpin yang berjiwa rakyat, memiliki keperibadian
yang mithali, berpengetahuan, merendah diri dan bersedia berkhidmat untuk rakyat.
Syarat utama pemimpin atau bakal pemimpin yang dilantik harus memiliki nilai-nilai
kepimpinan yang tinggi dan diterima rakyat.

Jan, 16 2013

Reaksi PAS Mengenai Pelaksanaan Kedudukan Islam Dalam


Perlembagaan

oleh:

ABDUL HALIM RAMLI

(Tulisan ini merupakan sebahagian daripada artikel yang


dimuatkan dalam Jurnal Sejarah, Universiti Malaya, No. 20, 2012.
Untuk melihat lebih lanjut tulisan ini boleh dapatkan Jurnal
Sejarah, di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya).
Berasaskan kepada latar belakang sejarah bahawa Islam telah pun
menjadi agama rasmi bagi negeri-negeri Melayu (sebelum
pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu 1957) serta
persetujuan yang telah dicapai oleh semua pihak, terutama parti
Perikatan telah berjaya meletakkan Islam sebagai agama bagi
Persekutuan Tanah Melayu (Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan
1957). Sebenarnya sebelum Memorandum Perikatan disiapkan dan
dihantar kepada pihak Suruhanjaya Reid pada 27 September 1956,
kedudukan agama Islam dinyatakan sebagai agama bagi Malaysia
hendaklah agama Islam, rencana Pengarang majalah Pengasuh
keluaran bulan Februari 1956 telah menyeru kepada rakyat yang
beragama Islam di negara ini supaya bersatu dalam satu suara yang
bulat mendesak Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja Melayu dan
wakil-wakil Melayu dalam Dewan Undangan Persekutuan supaya
menjadikan kedudukan agama Islam pada masa akan datang sebagai
agama rasmi Persekutuan, bukan sekadar agama rasmi di negeri-
negeri Melayu semata-mata. Tuntutan tersebut menurut Pengarang
majalah Pengasuh ialah memang menjadi hak kita yang asasi. Kita
sudah cukup bertoleransi berlapang dada dalam segi kebangsaan,
tetapi segi ini kita terpaksa berdiri teguh, kerana inilah saja benteng
kita yang akhir untuk mengawal keutamaan dan keagungan bangsa
kita.i[54]

Kejayaan meletakkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan


seperti yang dicadangkan oleh UMNO-Perikatan melalui
Memorandumnya yang dihantar dan dijadikan asas dalam Laporan
Suruhanjaya Reid dan dipersetujui sebulat suara di Dewan Undangan
Persekutuan pada Julai 1957 telah disambut dengan perasaan
gembira oleh orang Islam. Mereka memahami bahawa peruntukan
tersebut hanya meliputi perkara-perkara yang biasa dijalankan pada
zaman penjajahan Inggeris dahulu dan tidak mengimplikasikan
pelaksanaan hukum-hukum Islam secara menyeluruh.ii[55] Walau
bagaimanapun, PAS yang tujuan penubuhannya memperjuangkan
sebuah masyarakat dan pemerintahan di negara ini yang
melaksanakan nilai-nilai hidup dan hukum-hukum Islamiii[56] secara
konsisten sama ada sebelum dan selepas merdeka mengkritik
kelemahan peruntukan tersebut (Islam sebagai agama rasmi), di
samping bertindak menolak Perlembagaan Persekutuan kerana
bercanggah dengan al-Quran dan Sunah. Melalui majalah Suara Islam
yang diterbitkan pada tahun 1957 dan menjadi wadah penyaluran
idealisme PAS, PAS menyifatkan kata-kata Islam agama rasmi dalam
Perlembagaan adalah huruf-huruf yang kaku dan mati yang tidak
mempunyai daya dan tenaga apa-apa yang boleh mengembalikan
kedaulatan Islam di negara ini. Peruntukan tersebut hanya kulit
bukannya isi, manakala Islam masih terjajah walaupun negara telah
mencapai kemerdekaan. Peruntukan tersebut hanya lebih bererti
kalau segala aspek perundangan di negara ini berdasarkan al-Quran
dan Sunnah.iv[57]

Kemerdekaan penuh bagi PAS ialah melainkan berjalan hukum


Islam pada orang seorang, masyarakat dan negara. Pendirian PAS
ialah bahawa tiap-tiap hukum yang tidak sesuai dengan al-Quran
dan Sunah adalah batal dan tidak sah. Maka termasuklah
Perlembagaan yang tidak sesuai dengan al-Quran dan Sunnah adalah
batal pada pandangan dan pendirian Islam. Justeru itu, pengakuan
Islam sebagai agama rasmi adalah tidak terpakai pada sisi hukum
Islam, kalau sekadar hanya dituliskan sahaja Islam sebagai agama
rasmi, kecuali bolehlah dipakai apakala aturan-aturan dan hukum-
hukum serta undang-undang asasi didirikan oleh kerajaan itu dibina
di atas undang-undang Islam.v[58] Manakala hukum atau undang-
undang yang dijalankan merupakan lanjutan dari hukum-hukum
jahiliah, hukum yang berasal dari Rom, Parsi atau Greek serta
dikeluarkan oleh golongan manusia yang meyakinkan mereka berasal
daripada monyet.vi[59] Pendirian tersebut diulangi oleh PAS pada
tahun 1958, kali ini PAS menyifatkan Perlembagaan Persekutuan
Tanah Melayu tidak sesuai dengan jiwa orang Melayu dan tidak
menurut aqidah serta semangat keislaman.vii[60] Matlamat
perjuangan PAS adalah untuk membebaskan umat Islam di negara ini
daripada belenggu sistem jahilliyah yang menguasai masyarakat dan
negara. PAS mahu membebaskan masyarakat daripada belenggu
sistem jahilliyah yang terus menerus dipertahankan oleh UMNO.
Matlamat PAS adalah untuk menegakkan sebuah negara Islam dan
ketiadaan negara Islam adalah mungkar yang besar.viii[61]

Walaupun terdapat gesaan daripada sebahagian orang Melayu


dan umat Islam yang inginkan Islam itu dilaksanakan dalam semua
aspek penghidupan sesuai dengan kedudukan dan taraf Islam seperti
yang dimaktubkan dalam perlembagaan, namun Tunku Abdul
Rahman sering kali mengulangi pendiriannya bahawa Malaysia tidak
akan menjadi sebuah negara Islam dan kekal dengan statusnya
sebagai sebuah negara sekular. Pendirian tersebut diucapkannya di
Dewan Undangan Persekutuan pada tahun 1958, I would like to
make it clear that this country is not an Islamic State as it is generally
understood, we merely provide that Islam shall be the official religion of
the state.ix[62] Pendirian yang sama diulanginya pada tahun 1959
yang dipetik dalam akhbar New Straits Time, bertarikh 1 Mei 1959. Di
samping itu, Dr. Ismail bin Dato Abdul Rahman (Menteri Luar Negeri)
semasa membahaskan usul memberhentikan Loteri Kebajikan
Masyarakat yang dibuat oleh PAS di Dewan Rakyat pada 14 Disember
1959 turut menegaskan perkara yang sama. Menurut Dr. Ismail:

Jadi supaya hendak menarik perhatian kita, diingatkan semula


apa yang telah berlaku dalam Pilihan Raya (1959). Sebagai parti
Perikatan kita berkata iaitu jika kita diangkat menjadi kerajaan,
kita sanggup menjadikan agama Islam agama rasmi dan
pentadbiran bukanlah mengikut cara Islam. Dan bagi PAS pula
kalau menjadi kerajaan, dia bukan sahaja menjadikan agama
Islam agama rasmi bahkan akan menjalankan pentadbiran
dengan cara Islam. Parti Perikatan telah menang, jadi mengikut
demokrasi pentadbiran negeri ini berjalalah dengan tidak secara
Islam, tetapi Islam menjadi agama rasmi negeri ini...x[63]

Tunku turut menegaskan bahawa agama tidak boleh


dicampuradukkan dengan politik, kalau agama dicampuradukkan
dengan politik maka akan mendatangkan bahaya kepada Tanah
Melayu. Tunku membidas PAS yang menggunakan agama sebagai
camouflage their dirty game.xi[64] Sementara itu, Tun Abdul Razak
pula menyifatkan tindakan PAS menggunakan agama sebagai satu
dosa dan akan memecah belahkan orang Melayu.xii[65] Tunku
melihat tindakan tersebut amat membahaya, kerana agama Islam
telah menjadi tunggak orang Melayu pada masa lampau ketika
mereka dijajah oleh bangsa asing.xiii[66]
Tuntutan dan perjuangan PAS yang berterusan untuk
menjadikan Tanah Melayu sebagai sebuah negara Islam menyebabkan
Tunku Abdul Rahman mencabar PAS supaya menunjukkan sebuah
negara di dunia ini yang mengamalkan pemerintahan Islam seperti
yang dikehendaki oleh PAS. Tunku menyelar PAS dengan membuat
beberapa kesimpulan antaranya, amalan hukum-hukum Islam tidak
dapat dilaksanakan di dunia, kecuali 100 peratus rakyatnya terdiri
daripada orang-orang Islam dan sekiranya hukum-hukum Islam
dilaksanakan maka huru hara akan berlaku. Kenyataan Tunku ini
kemudiannya telah diulas oleh Pengarang majalah Qalam dengan
menyatakan bahawa menegakkan sebuah negara Islam adalah wajib
bagi setiap umat Islam. Majalah Qalam mengingatkan Tunku supaya
berhati-hati mengeluarkan tuduhan kepada parti lawan kerana
terkadang-kadang telah menyentuh perasaan orang-orang yang
beragama seperti apa yang disebutkan di atas, kerana umat Islam
mengerti dan yakin bahawa kalau hukum Allah dijalankan di negara
ini akan aman, berbahagia dan makmur serta diberkati Tuhan.xiv[67]

Islam yang menjadi asas perjuangan PAS, terutama untuk


mewujudkan sebuah negara Islam dan faham kebangsaan Melayu
yang penuhxv[68] sentiasa ditegaskan oleh Dr. Burhanuddin al-Helmy
dalam ucapan-ucapannya. Matlamat tersebut telah menjadi ikrar dan
iltizam PAS dalam perjuangannya selepas merdeka serta menjadi
senjata utama PAS bagi menarik sokongan rakyat terutama orang
Melayu yang berada di luar bandar dan negeri-negeri di pantai timur
yang kuat dengan pengaruh golongan agama. Isunya seperti, untuk
menjadikan agama Islam sebagai agama rasmi negara, semakan
semula terhadap Perlembagaan 1956 bagi memulangkan semula
kedaulatan orang Melayu sebagai peribumi, menjadikan bahasa
Melayu sebagai bahasa pengantar sekolah kebangsaan dan
menentukan hanya orang Melayu sahaja yang boleh menjadi Menteri
Besar telah dijadikan Manifesto PAS dalam pilihan raya 1959.xvi[69]
PAS sebagai sebuah parti pembangkang Melayu/Islam
berterusan mendesak kerajaan Perikatan supaya lebih tegas
melaksanakan amalan Islam selaras dengan kedudukan yang diberi
dalam Perlembagaan. Misalnya, pada bulan Disember 1963, semasa
membahaskan The Suplly Bill 1963, Dr. Burhanuddin al-Helmy telah
mendesak kerajaan Perikatan melaksanakan tiga perkara penting.
Pertama, beliau mendesak kerajaan supaya mengambil langkah-
langkah yang tegas bagi mengiktiraf agama Islam sebagai agama
rasmi Persekutuan. Beliau tidak mahu penyataan itu hanya sekadar
di atas kertas sahaja. Kedua, sistem perundangan negara ini
menggunakan hukum-hukum Islam yang berdasarkan al-Quran dan
Sunah sebagai semangat dan jiwa pentadbiran negeri ini. Ketiga,
kerajaan perlu menyusun semula sistem pendidikan agama dan para
gurunya wajar menerima gaji yang lebih baik.xvii[70] Persoalan guru
agama yang dibayar dengan gaji yang rendah telah dibangkitkan oleh
Abdul Karim bin Abu (Ahli Dewan Rakyat dari Melaka Selatan) di
Dewan Rakyat pada 26 Mei 1965. Menurut beliau, walaupun Islam
telah dijadikan agama rasmi di negara ini tetapi yang menyedihkan
guru agama hanya dibayar gaji sekitar $80 atau $90 sebulan.
Keadaan ini membawa makna bahawa kerajaan seolah-olah
merendahkan pengakuan atau nilaian pelajaran agama Islam yang
diagungkan menjadi agama rasmi di negara ini.xviii[71]

Dalam pilihan raya 1964, PAS telah menjadikan isu


mewujudkan sebuah negara Islam dalam Perlembagaan negara
sebagai isu utama dalam kempen politik mereka dalam pilihan raya
tersebut. PAS berjanji akan melaksanakan prinsip-prinsip Islam
sekiranya mereka mendapat kuasa dalam pilihan raya tersebut.
Dalam kempen PAS, UMNO terus dituduh mengkhianati Islam bukan
sahaja kerana UMNO telah mengorbankan nilai-nilai rohaniah untuk
kemajuan kebendaan, tetapi kerana kerjasamanya dengan MCA dan
MIC dalam Perikatan. PAS telah berkempen dari rumah ke rumah
untuk memberi amaran kepada pengundi Melayu bahawa mereka
akan melanggar ajaran Islam (kafir) sekiranya mereka mengundi calon
bukan Islam atau mengundi UMNO yang menjalinkan hubungan
kerjasama yang erat dengan bukan Islam (Parti Perikatan).xix[72] PAS
telah menjadikan nas-nas al-Quran sebagai alasan untuk menentang
perikatan antara UMNO-MCA-MIC. Ayat-ayat al-Quran daripada
Surah ali-Imran (28) dan lain-lain surah telah dijadikan rujukan bagi
membuktikan betapa Allah melarang penganut Islam berikat dengan
orang-orang bukan Islam atau menjadikan mereka sebagai
pemimpin.xx[73]

Untuk menunjukkan sejauh mana UMNO telah mengabaikan


islam, PAS mendakwa kerajaan Perikatan bertanggungjawab
membenarkan kaum Cina memelihara babi berhampiran dengan
rumah orang Melayu.xxi[74] Dalam usaha UMNO untuk mengimbangi
perjuangan PAS, UMNO berhujah bahawa mereka juga turut
menyumbang kepada pembangunan Islam, misalnya, kerajaan
Perikatan telah membelanjakan sejumlah wang yang besar untuk
mendirikan masjid dan surau di seluruh negara. Manakala PAS yang
mendakwa dirinya sebagai penjaga Islam, tidak melakukan perkara
tersebut, hatta di Kelantan sendiri yang dikuasai oleh PAS.xxii[75]
UMNO mendakwa bahawa mereka telah meletakkan agama dalam
semua aspek pembangunan negara. Misalnya dalam aspek pelajaran,
pelajaran agama Islam telah diajarkan di semua sekolah rendah,
menengah, pengajian tinggi dan menubuhkan Kolej Islam yang
merupakan sebuah pusat pengajian tinggi agama di negara
ini.xxiii[76] Bagaimanapun PAS masih melihat dasar pembangunan
negara yang dilaksanakan oleh UMNO sebagai satu pembangunan
yang mungkar. Ini disebabkan pembangunan tersebut masih
berasaskan sistem kapitalis dan sosialis. Menurut PAS, pembangunan
yang tidak berasaskan panduan Allah adalah pembangunan yang
meruntuhkan.xxiv[77]

Setiap kali PAS mengkritik kelemahan UMNO dalam


memperkukuhkan kedudukan orang Melayu dalam aspek ekonomi,
bahasa, pendidikan termasuk agama Islam maka UMNO bertindak
menjawab kembali tuduhan tersebut dengan mendedahkan
kelemahan pemerintahan PAS di negeri yang dikuasainya seperti di
Kelantan (PAS menguasai Kelantan semenjak pilihan raya 1959).
Umpamanya, penolakan dan kritikan keras PAS terhadap Akta
Bahasa Kebangsaan 1967 yang dibahaskan di Dewan Rakyat pada 3
Mac 1967 telah membawa Tun Abdul Razak (Timbalan Perdana
Menteri ketika itu) mendedahkan kelemahan kerajaan PAS di
Kelantan. Menurut Tun Razak:
Di negeri Kelantan saya kata tadi 7-8 tahun PAS memerintah
satu apa kemajuan tidak dapat dijalankan. PAS yang
mengagong-agongkan agama Islam sebuah masjid pun tidak
didirikan. UMNO, Perikatan, telah dirikan beribu-ribu masjid di
bandar dan di kampung. Masjid yang ada di ibu kota Negeri
PAS, di Kota Baharu, masjid sudah buruk. Orang-orang Islam di
Kota Baharu terpaksa sembahyang di tepi tangga di atas
rumput. Inilah keadaan negeri yang diperintah oleh PAS...Ada
kuasa tidak boleh menjalankan satu apa. Negeri PAS sekarang
ini papa. Kalau saya tidak beri pertolongan, kerajaan PAS
Kelantan tidak dapat membayar gaji pegawai-pegawai
kerajaan.xxv[78]

Menurut Tun Razak, pembangunan Kelantan di bawah


pemerintahan PAS telah tercicir 10 tahun berbanding negeri-negeri
lain. Kerajaan Perikatan telah membelanjakan kira-kira $1.6 juta
untuk membina masjid, surau dan sekolah agama di Kelantan pada
tahun 1968.xxvi[79] Tindakan yang dilakukan oleh kerajaan tersebut
selaras dengan kedudukan Islam sebagai agama rasmi negara.

Tunku Abdul Rahman dalam ucapan perasmiannya dalam


Perhimpunan Agung UMNO pada 14 hingga 15 Oktober 1967 juga
mengambil peluang dalam perhimpunan tersebut untuk mengutuk
PAS yang menyebarkan dakyah bahawa orang Melayu selepas
merdeka berada dalam kerugian. Tunku mengibaratkan dakwaan
tersebut sebagai iblis dan syaitan yang hendak mengabui mata dan
menutup pintu hati manusia yang boleh membawa manusia kepada
jalan yang sesat dan merosakkan fikiran yang sihat. Tunku sama
seperti Tun Razak mengkritik kelemahan kerajaan PAS Kelantan yang
tidak banyak membantu orang Melayu. Kemunduran Kelantan
menurut Tunku telah menyebabkan orang Kelantan berhijrah ke
merata-rata negeri yang berada di bawah pemerintahan Perikatan
untuk mendapatkan tanah, menumpang hidup dan mengecap nikmat
kebahagiaan yang tidak mereka dapati di negeri mereka sendiri di
bawah pemerintahan PAS. Tunku turut menempelak PAS, kerana
tindakan PAS menyebelahi Sukarno dan Subandrio untuk
menceroboh Malaysia pada zaman konfrantasi Malaysia-Indonesia
(1964).xxvii[80] PAS berjanji kepada rakyat Kelantan jika mereka
menang dalam pilihan raya umum, mereka akan memberi
kemudahan kepada rakyat dari segi ekonomi dan meninggikan ajaran
Islam. PAS juga berikrar untuk menjadikan Kelantan sebagai baldatul
taiibatun warabulghafur. Walau bagaimanapun janji tersebut tidak
dapat dilaksanakan kerana melihat realiti pembangunan dan
perlaksanaan ajaran Islam tidak banyak berubah di
Kelantan.xxviii[81]

Kritikan yang berterusan PAS terhadap UMNO kerana


kegagalannya melaksanakan ajaran Islam secara menyeluruh di
dalam urusan negara menyebabkan UMNO terpaksa merangka
strategi bagi memulihkan persepsi orang Melayu terhadap UMNO
sebagai sebuah parti politik yang turut mendaulatkan ajaran Islam.
Dalam makalah yang bertajuk Tugas Kita Terhadap Negara yang
terdapat dalam buku Gerakan Tahan Lasak Pemuda UMNO yang
menjadi panduan bagi Pemuda UMNO menghadapi Pilihan raya 1969,
UMNO menyedari bahawa parti tersebut akan hilang keperibadiannya
jika mereka meninggalkan agama dan membelakangkan atau
meninggalkan orang yang berpengaruh dalam agama.xxix[82] Justeru
itu, UMNO mesti meyakinkan orang Melayu bahawa UMNO adalah
sebuah parti yang berjuang untuk agama. Perjuangan mereka untuk
memartabatkan agama adalah sama dengan perjuangannya dalam
bidang-bidang lain seperti yang terkandung dalam Perlembagaan
UMNO. UMNO berkewajiban melayani kehendak-kehendak agama
dan ajaran agama mestilah sama besarnya dengan kepentingan-
kepentingan nasional dan tidak mungkin dilakukan berat
sebelah.xxx[83] UMNO perlu menarik orang agama berjuang dalam
UMNO. Perbuatan yang menjauhkan orang beragama daripada UMNO
mestilah ditinggalkan, supaya UMNO tidak dicop sebagai parti yang
mempermain-mainkan agama.xxxi[84]
Isu-isu berhubung hak orang Melayu dan kedudukan agama
Islam telah dimainkan oleh PAS dan Parti Negara dalam pilihan raya
1959 yang menyaksikan negeri-negeri yang majoriti Melayu seperti
Kelantan dan Terengganu jatuh ke tangan penguasaan PAS dan
kemenangan Dato Onn (Parti Negara) di Terengganu. Paridah Ali telah
menyimpulkan beberapa faktor utama kemenangan PAS tersebut
seperti kelemahan jentera UMNO setempat, krisis dalaman Perikatan
(Julai 1959), kesilapan UMNO yang terlalu yakin dan tidak melihat
kepentingan rakyat setelah berjaya dalam pilihan raya 1955. Selain
itu, cita-cita politik Islam telah diterima oleh rakyat Kelantan dan
Terengganu serta ideologi yang diperjuangkan PAS mempunyai
kesesuaian dengan jiwa masyarakat negeri tersebut yang mempunyai
pegangan agama yang teguh.xxxii[85] Justeru itu, PAS yang
menjadikan Islam sebagai dasar perjuangannya dengan bercita-cita
untuk menubuhkan sebuah negara Islam dilihat sebagai umpan yang
sangat menarik bagi menarik perhatian orang Melayu untuk
menyokongnya.xxxiii[86]

PAS juga telah menggunakan pengaruh tokoh-tokoh setempat


bagi mendapatkan kepercayaan pengundi seperti pengaruh sekolah-
sekolah pondok dan alim ulamak tempatan bagi mendorong rakyat
memilih calon PAS.xxxiv[87] Tunku Abdul Rahman telah menuduh
PAS menggunakan agama bagi mendapatkan sokongan orang Melayu
kerana orang Melayu keseluruhannya berpegang kuat dengan agama
tersebut. PAS menurut Tunku tidak mempunyai pengetahuan untuk
mengubal satu dasar ekonomi yang membangun sebagaimana yang
patut dibuat oleh sebuah parti politik.xxxv[88] Dalam ucapannya di
Padang Muar dan Parit Medan, Johor pada bulan Mac 1959, Tunku
telah mengecam PAS kerana menggunakan agama demi kepentingan
politiknya dan menuduh PAS bersimpati dengan komunisme.
Menurut Tunku lagi, PAS mahukan supaya undang-undang darurat
ditarik balik. PAS juga dikatakan telah menghantar wakil mereka ke
Konferensi Pemuda Afro-Asian yang diadakan di Kaherah pada tahun
1959 sedangkan Rusia adalah dalang di sebalik penganjuran
konferensi tersebut.xxxvi[89]
Selain itu, tindakan PAS yang menganjurkan supaya Singapura
bercantum dengan Tanah Melayu dijadikan hujah oleh Tunku yang
mendakwa PAS sebagai Pro-Komunis. Ini disebabkan di Singapura
terdapat bilangan anggota komunis yang ramai sehingga boleh
menghancurkan Tanah Melayu. Pada masa yang sama, PAS juga telah
mendakwa Tunku menentang perjanjian pertahanan antara Tanah
Melayu dengan Britain di mana tujuan utama perjanjian tersebut
adalah untuk menjamin keselamatan Tanah Melayu daripada
ancaman komunis. PAS juga telah melantik Khatijah binti Sidek
sebagai Ketua Wanitanya sedangkan Khatijah merupakan bekas
tahanan (dipenjara dua tahun di Singapura).xxxvii[90]

Konflik yang berterusan antara UMNO dengan PAS akibat


daripada perbezaan dasar perjuangan mereka dan keghairahan
kedua-dua parti politik meraih sokongan daripada orang Melayu
serta ingin memaparkan perjuangan mereka adalah lebih Islamik
telah menyebabkan timbulnya isu kafir-mengkafir. Isu ini mula
timbul, terutama menjelang pilihan raya Persekutuan 1959. UMNO
telah menuduh PAS mengkafirkannya, namun tuduhan itu telah
ditolak oleh Dr. Buhanuddin al-Helmy. Menurut Dr. Burhanuddin al-
Helmy, dasar perjuangan PAS bukanlah kafir mengkafirkan sesiapa.
Tujuan PAS adalah memperjuangkan cita-cita Islam dan hendak
membela kembali hak ketuanan Melayu kerana itulah dikatakan hak
dan keadilan yang sebenarnya.xxxviii[91] Walaupun isu
mengkafirkan UMNO tidak dilakukan oleh para pemimpin utama PAS
seperti Dr. Burhanuddin al-Helmy, Zulkefli Muhammad dan Mohamed
Asri Muda, namun terdapat juga golongan ulamak daripada PAS
dituduh mengeluarkan fatwa mengkafirkan UMNO. Misalnya pada
tahun 1963, tok guru terkenal dari Pasir Mas, Haji Omar Daud
dituduh mengeluarkan fatwa mengkafirkan UMNO.xxxix[92]

Isu kafir mengkafir ini kemudiannya berterusan dalam pilihan


raya 1964 dan 1969. Tindakan tersebut didakwa telah digunakan oleh
PAS untuk melemahkan sokongan rakyat kepada UMNO dalam
pilihan raya tersebut. Justeru itu, tindakan tersebut lebih bertujuan
politik untuk melemahkan sokongan orang Melayu terhadap UMNO
terutama di negeri Pantai Timur di mana pengaruh PAS lebih
dominan. Dengan sebab itu, isu kafir mengkafir ini lebih ketara
timbul apabila sesuatu pilihan raya umum diadakan. PAS telah
menggunakan kelemahan UMNO melaksanakan Islam secara
menyeluruh dan kerjasamanya dengan parti politik non-muslim
sebagai alasan untuk menuduh UMNO sebagai sebuah parti politik
yang tidak Islamik. Walaupun sebenarnya PAS tidak menyebutkan
UMNO secara langsung dalam fatwa yang dikeluarkan oleh Dewan
Ulamaknya. Misalnya, pada bulan Ogos 1963, satu mesyuarat telah
diadakan di kediaman Menteri Besar Kelantan, Dewan Ulamak PAS
telah membuat keputusan mengeluarkan fatwa, ...orang-orang Islam
yang berkongsi dengan orang-orang kafir untuk memerintah negara
menjadi kafir atau haram, sesiapa yang mengundi di atas parti-parti
yang berkongsi itu menjadi haram, jika redha menjadi kafir, tetapi jika
tidak menjadi haram sahaja.... Berikutan dengan fatwa tersebut,
seorang ahli Dewan Ulamak PAS, iaitu Haji Yaakob bin Ishak telah
menyatakan bahawa orang Perikatan adalah kafir dengan alasan
berikut,

1) apabila keputusan ini diambil saya berpendapat bahawa


seseorang umat Islam yang memasuki parti yang berkongsi
dengan orang-orang kafir, jikalau redha menjadi kafir. Orang-
orang Islam menjadi ahli Perikatan jikalau redha menjadi
kafirlah mereka....

2) sekiranya seorang ahli Perikatan menyembelih lembu atau


binatang lain, ahli-ahli PAS tidak boleh makannya kerana ahli-
ahli Perikatan kafir.xl[93]

Fatwa tersebut diakui oleh Haji Abu Bakar Abdul Rahman


(seorang pendakwah PAS Kelantan) telah dikeluarkan oleh PAS.
Menurut beliau apa yang difatwakan oleh Dewan Ulamak PAS itu
adalah menurut hukum yang sebenar dan fatwa itu telah disahkan
oleh mufti Kelantan sendiri.xli[94] Fatwa yang dikeluarkan oleh PAS
menyebabkan Tunku Abdul Rahman mengeluarkan amaran akan
bertindak tegas terhadap golongan yang menyebarkan fatwa tersebut.
Amaran Tunku telah menimbulkan reaksi keras daripada pemimpin
dan ulamak PAS Kelantan. Umpamanya, Haji Abu Bakar Abdul
Rahman mensifatkan cabaran Tunku tersebut sebagai menentang
hukum Allah dan berlawanan dengan ajaran Islam. Nik Abdullah Hj.
Arshad (ahli Dewan Undanagan Kelantan) pula mencabar golongan
yang menentang fatwa Dewan Ulamak PAS yang mengkafirkan
penyokong-penyokong Perikatan supaya membakar al-Quran.
Sementara Ketua Pemuda PAS Kelantan, En. Abdul Samad pula
menuduh Tunku seorang yang suka menentang ajaran Islam dan
mencabar Tunku menangkap dirinya sendiri sebelum menangkap
ulamak-ulamak PAS.xlii[95]

Isu kafir mengkafir kesan daripada fatwa yang dikeluarkan oleh


Dewan Ulamak PAS telah menyebabkan Jawatankuasa Tetap Agama
Bagi Majlis Raja-raja Melayu mengadakan mesyuarat pada 27 dan 28
Mei 1963 bagi membincangkan isu tersebut. Jawatankuasa tersebut
telah mengeluarkan fatwa melarang kafir mengkafir sesama umat
Islam. Keputusan mesyuarat jawatankuasa mengulas bahawa:

...dengan sebulat suara ahli-ahli jawatankuasa berpendapat


adalah kafir mengkafirkan seorang Islam itu satu daripada
perkara yang dipandang tersangat berat dalam agama Islam,
kiranya orang yang dihadapkan kepadanya perkataan itu tidak
tepat sifat-sifat yang menjadikan dia murtad, maka kembalilah
hukum murtad itu kepada orang yang berkata itu pula...oleh itu
inilah ahli-ahli Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-
raja mendatangkan nasihat kepada sekalian ikhwan muslimin
iaitu kalimah kafir mengkafirkan seseorang Islam itu hendaklah
dipelihara lidah masing-masing daripadanya, sama ada dalam
kempen-kempen atau perbualan hari-hari atau lainya.xliii[96]
Terdapat desakan supaya Tunku bertindak menangkap
golongan tersebut, terutama sebelum pilihan raya 1964
berlangsung.xliv[97] Fatwa mengkafirkan tersebut telah
menyebabkan 10 orang yang terlibat ditahan di bawah Akta
Keselamatan Dalam Negeri termasuk Haji Omar bin Daud (ahli Dewan
Ulamak PAS dan ahli Dewan Negeri Bandar Pasir Mas) pada tahun
1963 dan 1964. Isu kafir mengkafir ini menjadi reda apabila PAS
berjaya mengekalkan kuasa di Kelantan dan Terengganu dalam
pilihan raya 1964 dan 1969. Isu ini terhenti selepas Peristiwa 13 Mei
1969, setelah pembentukan kerajaan campuran PAS-Perikatan pada
tahun 1973.xlv[98]

Kesimpulan

Secara kesimpulannya ternyata PAS memang merupakan penentang


kuat terhadap Laporan Suruhanjaya Reid. Ini kerana laporan
tersebut merupakan satu pengkhianatan yang besar dan merugikan
orang Melayu terutama cadangannya untuk mengkaji semula
kedudukan istimewa orang Melayu selepas 15 tahun merdeka,
menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan rasmi
tunggal hanya selepas 10 tahun merdeka, penggunaan prinsip jus soli
dalam memberi hak kerakyatan kepada kaum bukan Melayu,
penolakan terhadap kebangsaan Melayu dan interprestasi yang rigid
Islam sebagai agama bagi Persekutuan. Laporan Reid dan Kertas
Putih yang diterbitkan hasil dari Konferensi London secara jelas
mentafsirkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan tidak
membawa pengertian bahawa negara ini bukan sebuah Negara
Keduniaan atau Secular State, tidak menghalang kebebasan beragama
di negara ini dan tidak menggugat kedudukan Raja-raja Melayu
sebagai Ketua Agama bagi negeri masing-masing.

Persetujuan lisan yang dicapai antara pemimpin parti Perikatan


mengenai kedudukan Islam dalam Perlembagaan cuba dipertahankan
oleh Tunku Abdul Rahman pada zaman pemerintahannya. Justeru
itu, beliau sering mengulangi pendiriannya bahawa Tanah Melayu
(ketika itu) tidak akan menjadi sebuah negara Islam dan kekal
statusnya sebagai sebuah negara sekular. Padahal perkataan sekular
atau kenyataan yang menunjukkan bahawa negara ini adalah sebuah
negara sekular tidak wujud secara bertulis dalam Perlembagaan
Persekutuan 1957. Bagaimanapun, PAS sebagai sebuah parti politik
yang memperjuangkan pembentukan sebuah negara Islam telah
menolak kedudukan Islam yang diberikan oleh Perlembagaan
(berasaskan Laporan Reid) kerana kedudukan tersebut tidak
membawa kepada perlaksanaan Islam secara menyeluruh, terutama
dalam soal undang-undang. Perbezaan pandangan ini telah membawa
konflik dan pertembungan yang sengit di antara PAS dan UMNO
sehingga menimbulkan ketegangan hubungan sesama Melayu dan
antara faktor yang melatarbelakangi timbulnya isu takfir bermula
semenjak tahun 1959.

Konflik kedua-dua parti yang didukung oleh orang Melayu ini


berpunca daripada perbezaan pendekatan dan matlamat politik
namun menjalar kepada persoalan aqidah. Kelemahan UMNO
melaksanakan kehendak Perkara 3 iaitu Islam sebagai agama bagi
Persekutuan, telah digunakan oleh PAS untuk menarik sokongan
orang Melayu kepadanya dan berjaya menguasai Kelantan dan
Terengganu, terutama dalam pilihan raya 1959. Untuk melemahkan
pengaruh PAS yang semakin meningkat, UMNO bertindak menuduh
PAS sebagai parti yang dipengaruhi Komunis dan menggunakan
agama demi kepentingan politik mereka. Bagaimanapun tuduhan
tersebut tidak berupaya melemahkan pengaruh PAS, bahkan
sokongan orang Melayu terhadap parti tersebut tidak banyak berubah
dalam pilihan raya 1969 (memenangi 12 kerusi Parlimen).
Kemenangan tersebut disebabkan PAS menggunakan kelemahan
UMNO dalam melaksanakan Islam dan memperjuangkan hak-hak
orang Melayu sebagai isu sehingga parti tersebut dianggap sebagai
sebuah parti radikal Melayu. Ringkasnya, isu agama yang
dibangkitkan oleh PAS dan UMNO telah berperanan meningkatkan
ketegangan kaum, terutama dalam konteks hubungan sesama
Melayu. PAS berjaya melemahkan pengaruh UMNO di kalangan orang
Melayu. Ini dapat dibuktikan di kawasan pilihan raya yang didominasi
oleh kaum Melayu (lebih 90 peratus pengundi Melayu), calon PAS
lebih berjaya disebabkan isu-isu Melayu yang dimainkan oleh PAS
dalam pilihan raya tersebut. Kesan daripada perkembangan tersebut,
menyebabkan UMNO dan Perikatan semakin hilang kawalan ke atas
kerajaan dalam pilihan raya 1969.
Nota

[1] Lihat Suara Islam Kearah Menegak Daulah Islamiah, Bil. 7, April, 1981, hlm. 8. Lihat juga
Funston, Malay Politics in Malaysia, Kuala Lumpur: Heinemann Asia, 1980, hlm. 91.

xlvi[2] Lihat Ishak Saat, Sejarah Politik Melayu Pelbagai Aliran, Shah Alam: Karisma Publications
Sdn. Bhd., 2007, hlm. 228-233.

xlvii[3] Lihat AGP/4/B, Parti Islam SeMalaysia, Riwayat Penubuhan PAS dan Dewan Ulamak, Kuala
Lumpur: Jabatan Penerangan PAS Pusat, 1991.

xlviii[4] N.J. Funston, Malay Politics in Malaysia: A Study of UMNO & PAS, hlm. 94-95.

xlix[5] Ibid., hlm. 95.

l[6] Ismail Said, Dr. Burhanuddin al-Helmi Perjuang Melayu Sejati, Shah Alam: Karisma Publication
Sdn. Bhd., 2008, hlm. 41.

li[7] FCO 24/251(32), British High Commission to Secretary of State For Commonwealth Affairs, 6
April 1967.

lii[8] Ramlah Adam, Biografi Politik Tunku Abdul Rahman Putra, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan
Pustaka, 2004.

liii[9] Joseph M. Fernando, The Making of the Malayan Constitution, The Malaysian Branch of the
Royal Asiatic Society, 2002.

liv[10] Lihat CO 1030/257, Report of the Federation of Malay Constitutional Conference Held in
London, January and February, 1956.

lv[11]Lihat Federation of Malay Constitution Commission, 1956-1957, hlm. 1.

lvi[12] DO 35/6275, Lihat Constitutional Commission on the Federation of Malaya, 1956. DO 35/6275

lvii[13] Lord Reid dilahirkan pada tahun 1890 dan mempunyai pengalaman yang luas sebagai
pegumbela dan hakim. Beliau juga pernah menjadi ahli parlimen untuk beberapa tahun. Beliau pernah
menjadi Salitor-General bagi negara Scotland dari tahun 1930 hingga 1941. Beliau menjadi Lord
Advocate dari tahun 1941 hingga 1945 dan Dekan Fakulti Undang-undang dari tahun 1945 hingga
1948. Semenjak tahun 1948, beliau dilantik sebagai Lord of Appeal, CO 1030/136, Federation of
Malaya Constitutional Commission Membership, 1956.

lviii[14] Beliau dilahirkan pada tahun 1903. Beliau pernah menjadi ahli Suruhanjaya Pendidikan di
Malaya pada tahun 1947. Pada tahun 1948 dilantik sebagai ahli Suruhanjaya Perlembagaan Ceylon.
Dari tahun 1954 hingga 1955 dilantik sebagai penasihat Perlembagaan dan ketua Draftsman bagi
Perlembagaan Pakistan. Beliau juga dilantik sebagai Pengerusi Suruhanjaya Diraja undang-undang
Tanah Common Law. Ibid.
lix[15] Beliau pernah bertugas sebagai Governor-Genarl Australia dari tahun 1947 hingga 1953. Pernah
menjawat pelbagai jawatan seperti Menteri Keadilan dan Penolong Treasurer dari tahun 1925 hingga
1927, Menteri Kerajaan Tempatan 1930-1931. Ibid

lx[16] Dilahirkan pada tahun 1903. Mendapat pendidikan di Edwards Mission College di Peshawar dan
University Punjab dan Lohore. Pernah menjawat jawatan sebagai Secretary Legislative Assembly di
N.W.F.P pada tahun 1932 hingga 1938. Menjadi hakim kanan pada tahun 1938-1947. Pernah
bekhidmat di Kementerian Undang-undang dan dilantik sebagai Hakim Mahkamah Tinggi pada tahun
1955. Ibid.

lxi[17] DO 35/6275, Extract From Official Report, Report of Columns 45-46, 14 Mac 1956.

lxii[18] Federation of Malay Constitutional Commission, 1956-1957, hlm. 3. Menurut Laporan


Suruhanjaya Reid, antara yang menghantar memorandum tersebut ialah Raja-raja Melayu, Kerajaan
Persekutuan, Parti Perikatan, Persatuan Erusian, Pertubuhan Tamil Malaya, Pertubuhan Cina Negeri
Selat British, rakyat British di Melaka, Dewan Perniagaan Cina Malaya, Dewan Perniagaan Melayu
Persekutuan Tanah Melayu, Dewan Perniagaan Pulau Pinang, Parti Buruh Malaya, Haji Baharudin bin
Samsudin (N. Sembilan), R. Mallai (Perak), Persatuan Islam Malaya, cawangan Johor, Pertubuhan
Guru-guru Sekolah Cina, Henry T. Wong (Kuala Lumpur), Pertubuhan India Kelahiran Malaya,
Persatuan Cina Melaka, Dato Naning, Haji Mohd Tahir (N. Sembilan), R.n. Veerappan dan lain-lain
(Lihat Ibid., hlm. 107). Lihat kandungan memorandum tersebut dalam CO 889/6, Federation of Malaya
Constitutional Commission 1956, Memoranda Submitted by Individuals and Various Organisations.

lxiii[19] Ismail Said, Dr.Burhanuddin al-Helmi: Pejuang Melayu Sejati, hlm. 49.

lxiv[20] Joseph M. Fernando, The Making of the Malayan Constitution, hlm. 81.

lxv[21] Ibid., hlm. 147.

lxvi[22] Utusan Melayu, 18 Mac 1957.

lxvii[23] Lihat Laporan Ulasan PAS Terhadap Penyata Perlembagaan Reid yang dibentang dan
dibahaskan dalam Sidang Mesyuarat Agung Khas PAS pada 2 Mei 1957 di Kuala Lumpur, Arkib
Negara Malaysia.

lxviii[24] Ibid.

lxix[25] Ibid.

lxx[26] Ibid.

lxxi[27] Ibid., hlm. 73.

lxxii[28] Joseph M. Fernando, The Making of the Malayan Constitutional, hlm. 127.

lxxiii[29] Lihat Memorandum to the Reid Constitutional Commission, 27 September 1956 dlm. Fail
UMNO/SUA No. 108/1956, Arkib Negara Malaysia.

lxxiv[30] Ibrahim Mahmood, Sejarah Perjuangan Bangsa, Kuala Lumpur: Penerbit Pustaka Antara,
1981, hlm. 564.

lxxv[31] Persatuan Islam Sa-Malaysia (PAS), Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Suruhanjaya
Reid, Sidang Menyuarat Agong Khas Persatuan Islam Sa-Malaysia, 2 Mei 1957, Kuala Lumpur,
Arkib Negara Malaysia, hlm. 8-9.

lxxvi[32] Perenggan 165, Laporan Reid menyebutkan; We found little opposition in any quarter to the
continuance of the present system for a time, but there was great opposition in some quarters to any
increase of the present preferences and to their being continued for any prolonged periode. We are of
opinion that in present circumstance it is necessary to continue these preferencesOur
recommendations are made on the footing that the Malays should be assured that the present position
will continue for a substantial period, but that in due course the present preferences should be reduce
and should ultimately cease so there should then be no discrimination between races or communities.
Lihat Federation of Malaya Constitutional Commission, 1956-1957, hlm. 72.

lxxvii[33] Perenggan 166, Laporan Reid menyebutkan; With regard to land we recommend (Art.82)
that, subject to two qualifications, there should be no further Malay reservations, but that each State
should be left to reduce Malay reservations in that State at an appropriate time .Ibid.

lxxviii[34] Perenggan 167, Laporan Reid menyebutkan; We recommend that after 15 years there
should be a review of the whole matter and the procedure should be that the appropriate Government
should cause a report to be made and laid before the appropriate legislature; and that legislature
should then determine either to retain or to reduce any quota or to discontinue it entirely. Ibid.

lxxix[35] Persatuan Islam Sa-Malaysia (PAS), Ulasan Terhadap Penyata Perlembagaan Suruhanjaya
Reid, Sidang Menyuarat Agong Khas Persatuan Islam Sa-Malaysia, 2 Mei 1957, Kuala Lumpur,
Arkib Negara Malaysia, hlm. 10.

lxxx[36] Ibid., hlm. 11.

lxxxi[37] Laporan Reid menyebutkan Islam as a State Religion seperti yang dicadangkan oleh Parti
Perikatan. Di dalam bahagian Apendix Laporan tersebut dinyatakan Islam shall be the religion of the
state of Malaya Lihat Federation of Malaya Constitutional Commission, 1956-1957, hlm. 100. PAS
dalam laporannya yang mengandungi kritikan terhadap Laporan Suruhanjaya Reid telah menggunakan
istilah Islam sebagai agama rasmi bukannya Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

lxxxii[38] Ulasan PAS Terhadap Penyata Perlembagaan Suruhanjaya Reid yang dikeluarkan pada 2
Mei 1957

lxxxiii[39] Ibid.

lxxxiv[40] Ibid.

lxxxv[41] Menurut Fernando dari 22 Febuari hingga 27 April 195 , perbincangan telah diadakan
sebanyak 23 kali. Lihat Joseph M. Fernando, The Making of the Malayan Constitution, hlm. 149.
Wakil Perikatan ialah Tunku Abdul Rahman (Ketua Menteri Persekutuan/UMNO), Datuk Abdul Razak
(UMNO), Ong Yoke Lin (MCA), V.T. Sambanthan (MIC), wakil dari Raja-raja ialah Tuan Haji
Mustapha Albakri bin Haji Hassan, Shamsudin Nain, Tunku Ismail bin Tunku Yahya dan Neil Lawson.
Turut menganggotai Working Party ialah Sir David Watherson (Ketua Setiausaha Kerajaan), T.V.A.
Brodie (Peguam Negara) dan E.O. Laird (sebagai Setiausaha Working Party). Ibid., hlm. 149.

lxxxvi[42] Ibid.

lxxxvii[43] Ibid.

lxxxviii[44] Ibid., hlm. 165.

lxxxix[45] CO 1030/496, Federation of Malaya Constitutional Talks, Summary Record of the Fourth
Plenary Meeting held in Church House on Tuesday 21st May 1957.

xc[46] CO 1030/494 (109), Federation of Malaya-Constitutional Talks, 20 June 1957.

xci[47] Tunku Abdul Rahman, Malaysia The Road to Independence,Subang Jaya: Pelanduk
Publications (M) Sdn. Bhd., hlm. 177.
xcii[48] R.K. Vasil, Ethnic Politics in Malaysia, New Delhi: Radiant Publishers, 1980, hlm. 33-34.

xciii[49] K.J. Ratnam, Communalism and the Political Process, Kuala Lumpur: University of Malaya
Press, 1965, hlm. 61.

xciv[50] Utusan Melayu, 1 Julai 1957.

xcv[51] Kebimbangan PAS bahawa Pulau Pinang dan Melaka masih menjadi hak baginda Queen ada
kaitannya dengan perjuangan PAS sebelum merdeka yang mengesyorkan supaya Negeri-negeri Selat
iaitu Melaka dan Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada negeri-negeri Melayu. Dengan cara
tersebut, kedudukan istimewa orang Melayu akan dapat diperluaskan ke negeri-negeri ini dan
dilindungi. (Lihat G.P. Means, Malaysian Politics, London: Hodder and Stoughton, 1976, hlm. 228).
Bagaimanapun dalam Laporan Suruhanjaya Reid, kedudukan Negeri-negeri Selat telah dijelaskan
seperti berikut, iaitu Constitution of Penang and Melacca have been drafted on the footing that these
Settlements will cease to be parts of Her Majestys dominions and become autonomus States within the
Federation on Merdeka Day (Lihat Federation of Malaya Constitutional Commission, 1956-1957,
Kuala Lumpur: Government Printers, 1957, hlm. 95). Di samping itu, draf Akta Kemerdekaan Tanah
Melayu yang akan dibentangkan di Parlimen British pada bulan Julai 1957ada menyebutkan bahawa
perjanjian yang dibuat antara baginda Queen dengan Sembilan Raja-raja Melayu akan memasukkan (a)
provide for the formation of the nine States with the Settlements of Penang and Malacca into a new
independent Federation under a Constitution specified in the Agreement and for the application to
those Settlements, as State of the new Federation, of the State Constitutions which would also be
specified in the Agreement dan (b) provide for the termination of the Queens sovereignty and
jurisdiction in respect of the Settlements and Her power ang jurisdiction in the Malay States and
Federation as a whole Lihat CO 1030/494, Constitution Talks On Malaya in London May 1957.

xcvi[52] Suara Islam, Bil. 9, Tahun 1, Ogos 1957, hlm.8.

xcvii[53] Suara Islam, Bil. 10, Tahun 1, September 1957, hlm. 9.

Sep, 11 2012

Parti Komunis Malaya dan Pepecahan


Kaum Sebelum Merdeka

Pada umumnya banyak pendapat yang cuba mengaitkan perpecahan atau pemusuhan
antara kaum di Tanah Melayu sebelum merdeka banyak disebabkan oleh dasar pecah
dan perintah yang dijalankan oleh Inggeris. Pendekatan tersebut memang diakui
sebagai salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya ketegangan hubungan
antara kaum, khususnya antara orang Melayu dengan kaum Cina. Satu hakikat yang
diakui sendiri oleh MacDonald (Gabenor-Jeneral Malaya), katanya Before the war,
due to divergent opinions, the harmony between the Malays and Chinese was
impaired. Punca utama ketegangan kaum ini menurut editor akhbar Vanguard Press
(6 Januari 1948) adalah disebabkan polisi pecah dan perintah. Dengan menggunakan
polisi ini, membolehkan British terus menjaga statusnya sebagai arbitrator (orang
tengah untuk menyelesaikan sesuatu pertikaian) (CO 537/3750 (1), Review of Chinese
Affairs, March 1948).

Walau bagaimanapun, satu faktor lain yang lebih penting lagi membawa kepada
permusuhan antara kaum ialah faktor perjuangan Parti Komunis Malaya yang
menggunakan cara kekerasan bagi mencapai matlamat perjuangan mereka telah
menyebabkan berlakunya permusuhan yang hebat bukan sahaja dalam konteks antara
orang Melayu dengan kaum Cina, bahkan di kalangan kaum Cina sendiri. Permusuhan
antara orang Melayu dengan kaum Cina disebabkan persepsi orang Melayu sebelum
merdeka terhadap kaum Cina sama ada anggota Parti Komunis Malaya ataupun
pendukung Komunis. Walaupun pada hakikatnya bukan semua anggota PKM adalah
kaum Cina, ia juga dianggotai oleh kaum Melayu, India dan kaum lain. Seorang
sejarawan Taiwan yang mengkaji pergerakan komunis Malaya menjelaskan tentang
adanya persepsi keliru bahawa kerana lebih 84 peratus keanggotaan parti adalah
orang Cina, maka menjadi orang Cina bererti komunis, komunis bererti Cina, anti-
komunis bererti anti Cina dan anti Cina bererti anti-komunis. Dengan sebab itu di
Malaya ketika itu menjadi Cina hampir sama menjadi komunis. Walaupun majoriti
keanggotaan parti terdiri dari kaum Cina namun jumlah mereka merupakan peratusan
yang kecil daripada golongan kaum Cina di Malaya (Abdullah Dahana 2002, 63).

Konflik kaum dan pepecahan masyarakat yang dicetuskan oleh perjuangan PKM
berkait rapat dengan keadaan sosial samasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu di
antara tahun 1941 hingga 1945. Faktor yang menyumbang kepada berlakunya konflik
antara kaum pada waktu tersebut, antaranya disebabkan orang Melayu telah diberi
tempat yang baik dalam jabatan polis, tentera sukarela dan pentadbiran Jepun. Orang
Melayu yang bekerja di bawah pemerintahan Jepun telah digunakan untuk menekan
gerakan penentangan, khususnya terhadap orang Cina. Perkara ini telah menanamkan
perasaan dendam orang Cina terhadap orang Melayu kerana membantu Jepun
memerangi MPAJA yang dianggotai sebahagian besarnya oleh kaum Cina (Ho Hui
Ling, 128). Bagaimanapun kaum India telah diberi layanan yang sama seperti orang
Melayu. Tetapi sebaliknya berlaku kepada orang Cina apabila kira-kira 50,000 orang
Cina telah dibunuh oleh tentera Jepun di Singapura dan Tanah Melayu serta
dikongkong dalam bidang ekonomi, sosial dan politik. Menurut Andaya dan Andaya,
pemerintah Jepun telah membunuh 5,000 dan 25,000 orang Cina terutama kaum lelaki
dalam minggu pertama setelah menduduki Tanah Melayu (Andaya dan Andaya, 1983,
hlm. 292).

Parti Komunis Malaya yang telah diharamkan telah bangkit dan mendapat dukungan
yang cukup kuat dari orang Cina dan ramai yang ikut serta di dalam unit gerila
MPAJA. Walaupun ada orang Melayu dan India yang menjadi ahli MPAJA tetapi
bilangan mereka tidak melebihi sepuluh atau lima belas peratus sahaja. Pendudukan
Jepun telah mencetuskan persengketaan perkauman antara orang Melayu dan orang
Cina dengan berlakunya pertempuran pertama antara dua kaum tersebut di Batu Pahat,
Johor (Cheah 1984, 84-85). Konflik ini bermula apabila segerombolan PKM dari
sayap Bintang Tiga (MPAJA) telah menyerang dan membunuh orang Melayu di
daerah tersebut kerana membalas dendam. Mereka menuduh orang Melayu bersubahat
dengan Jepun dan khianat hingga membunuh orang Cina. Mereka turut membunuh
pegawai Daerah Batu Pahat yang bernama Ismail bin Dato Abdullah. Berita tentang
perbuatan komunis menangkap orang Melayu, mencampakkan mereka ke dalam
kawah yang penuh dengan air yang menggelegak, mencurahkan air ke badan mangsa,
menyelamkan mereka ke dalam air hingga mati dan menikam dan menembak mereka
sesuka hati telah membangkitkan kemarahaan orang Melayu di seluruh Batu Pahat dan
seluruh Tanah Melayu. Peristiwa ini telah mendorong Kiai Salleh memimpin orang
Melayu Batu Pahat melancarkan gerakan membalas dendam dan melancarkan perang
jihad menentang komunis yang anti tuhan dan ingin memerintah Tanah Melayu
menggunakan kekerasan. Di kalangan kaum bukan Melayu, golongan komunis telah
menyebarkan berita angin kononnya sekumpulan orang Melayu telah membunuh
orang Cina dan India di Batu Pahat di satu kawasan terletak berhampiran sebuah stor
makanan yang dikawal rapi tentera Jepun. Dalam keadaan berlakunya ketegangan
antara kaum tersebut, Jepun telah mengarahkan Dato Onn berpindah ke Batu Pahat
menjadi pegawai Daerah dan mengambil tindakan untuk menghentikan konflik
perkauman yang semakin tegang. Beliau kemudiannya telah mengatur pertemuan
dengan ketua komunis bagi mencari jalan perdamaian dan menghentikan pertempuran
yang meletus (Anwar Abdullah 2005, hlm. 115-125). Menurut Chin Peng, konflik
antara Melayu dengan Cina di Batu Pahat telah mengorbankan kira-kira 1,000 orang,
di mana MPAJA dipersalahkan sebagai sebab utama berlakunya trajedi tersebut (Chin
Peng, My Side of History, hlm. 127).

Ketegangan antara kaum turut berlaku di Perak, Kedah, Kelantan, Perlis, Pahang dan
Terengganu yang menyebabkan kedua-dua kaum tersebut mengalami kesengsaraan
dan penderitaan (Cheah 1987, 18-175). Menurut Li Chuan Siu, persengketaan kaum
juga berlaku di daerah Kuala Pilah (Negeri Sembilan), iaitu di kampung Padang Lebar
(berhampiran Batu Kikir) yang berlaku pada 6 November 1945 (Lihat Victor Purcell,
hlm..268-269). Konflik kaum turut berlaku di Lambar Kanan, Telok Anson, Kuala
Kangsar (Perak) dan Raub (Pahang) (Siu 1967, 78).

MPAJA terlibat dalam strategi-strategi sabotaj terhadap Jepun, pegawai daerah dan
juga penghulu Melayu. Pegawai-pegawai ini dianggap sebagai pro Jepun kerana
mengenakan cukai yang tinggi dan membuat tuntutan material dari penduduk
tempatan. Perjuangan MPAJA boleh dianggap berbaur perkauman akibat serangannya
yang dilancarkan ke atas pegawai-pegawai Melayu (Balasubramaniam 1998, 94).
Serangan ini dilakukan kerana semasa pendudukan Jepun, ramai orang Melayu telah
menjadi tali barut Jepun yang dikenali sebagai junsa (mata-mata) atau kempeitai
(mata-mata gelap) (Abdul Majid, 2004, p. 91). Permusuhan ini ditambah lagi selepas
kekalahan tentera Jepun, orang Melayu enggan berkerjasama dengan komunis untuk
menubuhkan sebuah republik yang dikuasai bersama oleh tiga kaum iaitu Melayu,
Cina dan India. Dengan sebab itu, ahli PKM yang majoriti didominasi oleh kaum Cina
menggunakan kekerasan dan ancaman bagi mencapai matlamat perjuangan mereka
sehingga orang Melayu sukar hendak membezakan antara Cina komunis daripada
Cina Malaya yang bukan komunis (Anwar Abdullah, 2004, pp. 142-143). Justeru,
Ratnam (1965) merumuskan semasa pendudukan tentera Jepun, ketiga-tiga kaum tidak
mempunyai kepentingan atau asas perjuangan yang dikongsi bersama. Menurutnya,
kaum Cina mengambil sikap menentang Jepun, kaum India pula sibuk menumpukan
perhatian mereka terhadap kemerdekaan India, manakala kaum Melayu pula
mengambil sikap membantu Jepun dengan hasrat untuk mengembalikan kedaulatan
politik Melayu di negara ini (K.J.Ratnam, 1965, p. 19).

Apabila Jepun menyerah kalah secara yang tidak dijangka pada 14 Ogos 1945, ia telah
meninggalkan kekosongan politik di Malaya beberapa hari. Keadaan ini telah diambil
kesempatan oleh MPAJA (sayap militer PKM) untuk menguasai beberapa kawasan
yang ditinggalkan oleh tentera Jepun selama dua minggu. Dalam jangka masa tersebut
telah digunakan oleh MPAJA yang ditaja oleh PKM membuat pembersihan ke atas
orang yang menyokong Jepun atau bersubahat. Kebanyakan mereka yang menjadi
sasaran penyerangan dan pembunuhan MPAJA adalah orang Melayu yang membantu
Jepun dan enggan menyebelahi MPAJA semasa perang. Perkara ini telah mencetuskan
rusuhan antara kaum Melayu dengan Cina ( Ho Hui Ling, hal.129; Stockwell, hal. 15-
16).

MPAJA dan PKM telah merangka strategi untuk bekerjasama dan mengalu-alukan
kedatangan semula British ke Malaya. Mereka telah menggunakan beberapa slogan
seperti setiap kaum seharusnya bersatu untuk mendirikan sebuah Malaya yang
demokratik dan mengeluarkan satu kenyataan bersama yang mengharapkan
Pentadbiran Tentera British (BMA) akan mentadbir dengan adil dalam usaha
mewujudkan kesenangan dan kebebasan. Mereka mengharapkan pentadbiran British
dapat memberikan kepada mereka hak dan peluang untuk bekerjasama dengan
kerajaan British. Mereka mengharapkan juga semua parti politik dan kaum
bekerjasama dengan mereka untuk mendirikan sebuah Malaya Baru di bawah
bendera demokrasi (Ching, 2000, pp. 81-82). Bagaimanapun kekalahan tentera Jepun
dan kelewatan pihak British menghantar pasukan tentera untuk mengambil alih kuasa
di negeri-negeri Melayu telah memberi kesempatan kepada gerila komunis untuk
melakukan beberapa perbuatan kejam terhadap penduduk pelbagai kaum. Bagi orang
Melayu, kekejaman gerila ini menambahkan perasaan benci mereka terhadap kaum
Cina. Perasaan ini juga wujud di kalangan orang Cina terhadap kaum Melayu sehingga
mewujudkan beberapa peristiwa berdarah (Mahathir 2006, 162).

Selepas dua bulan tentera Jepun menyerah kalah dan sebulan selepas British kembali
memerintah Malaya Parti Kebangsaan Melayu Malaya atau PKMM telah ditubuhkan
di Ipoh, Perak pada 17 Oktober 1945. Ia ditubuhkan oleh ahli PKM dari bangsa
Melayu bersama-sama dengan tokoh-tokoh KMM dan tokoh nasionalis Melayu
lainnya. Antara mereka yang menghadiri mesyuarat penubuhan PKMM ialah
Mokhtaruddin Lasso, Arshad Ashaari, Baharuddin Tahir, Rashid Maidin dan Abdullah
C.D. dari golongan komunis. Sementara Ahmad Boestamam dan Dahari Ali dari
golongan bukan komunis (Mohamed Salleh Lamry, hlm. 61). Tujuan penubuhan
PKMM adalah untuk mencapai kemerdekaan penuh atau seratus peratus bagi Malaya.
Parti ini ingin menjadi sebuah parti persis Parti Nasional Indonesia di bawah pimpinan
Soekarno dan Hatta. Pada awal penubuhannya, PKMM telah dipimpin oleh
Moktaruddin Lasso sebagai Yang Dipertu Agung, Dahari Ali sebagai Setiausaha
Agung, Bendahari disandang oleh Arshad Ashari, manakala Dr. Burhanuddin al-
Helmy dilantik sebagai Naib Yang Dipertua Agung (Ahmad Boestamam, hlm.135).

Dalam masa tiga bulan dari tarikh mesyuarat penubuhan itu, PKMM telah mendapat
sokongan yang menggalakkan dari seluruh negara. Sokongan itu menjadi jelas apabila
PKMM mengadakan kongresnya yang pertama, iaitu pada 30 November hingga 3
Disember 1945, di Ipoh. Kongres pertama meluluskan sebulat suara bahawa merdeka
menjadi slogan parti dan benderanya ialah merah putih serta mengeluarkan lapan
resolusi yang menjadi matlamat perjuangan parti. Lapan resolusi ini menurut Victor
Purcell (1967) mirip dengan lapan perkara yang menjadi perjuangan PKM. Lapan
perkara tersebut ialah: (1) menyatukan hak bangsa Malaya bagi semua bangsa; (2)
kebebasan bercakap, akhbar, bersidang dan lain-lain ; (3) meningkatkan ekonomi
rakyat; (4) meningkatkan kegiatan pertanian dan tiada cukai yang dikenakan ke atas
tanah pertanian; (5) layanan yang baik ke atas warga buruh, memperbaiki taraf hidup
dan membataskan masa mereka bekerja; (6) memberi kebebasan penuh kepada orang
Melayu mendirikan sekolah kebangsaan mereka, iaitu tempat mereka dapat belajar
dengan bahasanya secara percuma; (7) memperkasa hubungan yang baik antara kaum,
dan (8) menyokong Gerakan Nasionalis Indonesia dengan segala matlamat dan
sumbernya (Victor Purcell, 1967, hlm.277; Mohemad Salleh Lamry, hlml.62-63).
Wujudnya persamaan antara lapan perkara yang menjadi matlamat perjuangan PKMM
dengan lapan teras perjuangan PKM disebabkan kepimpinan awal PKMM adalah
terdiri daripada ahli PKM seperti Mokhtaruddin Laso (Mokhtaruddin Laso adalah
bekas anggota Parti Komunis Indonesia (PKI) yang lari ke Tanah Melayu),
Taharuddin, Arshad dan Khatijah Ali yang mempunyai pengaruh terhadap PKMM.
Bahkan menurut Mokhtaruddin Laso, PKM telah memberi sokongan moral, politik
dan ekonomi yang penuh terhadap PKMM (Abdullah C.D., hlm.52-53).

Walaupun PKMM sebuah pertubuhan politik Melayu yang menggabungkan tokoh-


tokoh Melayu PKM dan para pejuang nasionalis Melayu yang beraliran kiri, namun
parti ini tidak menyifatkan diri mereka sebagai sebuah parti perkauman. Parti ini tidak
melihat kaum Cina dan India sebagai ancaman kepada kaum Melayu. PKMM
menyatakan bahawa perjuangan mereka adalah mewujudkan negara Malaya yang
demokratik di mana kaum Melayu hendaklah bekerjasama dengan kaum lain yang
tinggal di negara ini. PKMM berbeza dengan UMNO yang memperjuangkan
nasionalisme Melayu, manakala PKMM pula memperjuangkan nasionalisme Malaya
yang mengandungi kaum Cina dan India. Musuh utama PKMM adalah kuasa penjajah
British tetapi malangnya PKMM tidak mendapat sokongan dari kaum tani yang masih
kuat berpegang kepada tradisi feudal. Oleh itu, kempen PKMM menentang Malayan
Union tidak mendapat sokongan yang luas berbanding dengan gerakan penentangan
yang dilancarkan oleh UMNO (Mohamed Salleh Lamry, hlm. 66-67). Di samping itu,
sifat militan PKMM dan faktor PKMM dikuasai oleh tokoh Melayu PKM turut
menjadi sebab utama orang Melayu tidak meluas memberi sokongan mereka terhadap
parti tersebut. Tambahan pula, PKMM cuba membuang kedudukan raja (anti-feudal)
dan menggantikan kepimpinan pembesar dengan rakyat biasa dalam konteks
totalitarian. PKMM cuba melaksanakan suatu pembaharuan dalam politik apabila ia
cuba menonjolkan kuasa rakyat sebagai struktur dasar dalam pemikiran politik
partinya (Ahmad Boestamam, hlm. 138). Bagaimanapun, Ahmad Boestamam dalam
Memoirnya (2004) menafikan bahawa PKMM tidak mendapat sokongan yang kuat
dari orang Melayu (Ibid., hlm 138).

Apabila Inggeris kembali berkuasa di Tanah Melayu, terdapat beberapa usaha yang
dilakukan untuk menyatupadukan rakyat Malaya yang terdiri dari berbilang kaum
dengan memperkenalkan polisi baru. Keinginan Inggeris untuk mewujudkan satu
polisi yang baru terhadap Malaya mula ditimbulkan dalam Parlimen British pada 10
Oktober 1945, apabila Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris telah memberikan
jawapannya terhadap polisi baru British di Malaya. Menurutnya, pertimbangan yang
sewajarnya diberikan kepada masa depan Malaya dan mewujudkan rasa kesatuan serta
kewarganegaraan yang sama bagi membangunkan kekuatan negara dan pemerintahan
sendiri dalam lingkungan Komanwel British. Justeru itu, polisi pemerintahan British
mestilah mengarah kepada pengwujudan perlembagaan kesatuan Malaya dan
penginstitusian kerakyatan bangsa Malaya yang memberi hak yang sama kepada
semua kaum yang mendakwa Malaya sebagai tanahair mereka. Bagi mencapai
matlamat ini, maka satu persetujuan yang baru perlu dirangka dengan Raja-raja
negeri-negeri Melayu, iaitu dengan menubuhkan Malayan Union yang mengandungi
sembilan buah negeri-negeri di Tanah Melayu dan dua buah Negeri Selat. Manakala
Singapura berkedudukan terasing dari pentadbiran Malayan Union dan mempunyai
perlembagaannya sendiri (Victor Purcell, hlm. 282).
Perisytiharan penubuhan Malayan Union ini tidak lama kemudian telah menyebabkan
berlakunya ketegangan antara kaum. Di bawah rancangan ini, Inggeris ingin
menubuhkan sebuah negeri yang bersatu padu dan mengadakan satu kewarganegaraan
yang sama rata untuk semua kaum. Orang Melayu akan menjadi warganegara secara
automatik, manakala orang bukan Melayu yang ingin menjadi warganegara perlu
memenuhi kelayakan-kelayakan seperti dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura.
Mereka juga boleh diberikan hak kewarganegaraan apabila tinggal 10 daripada 15
tahun di negeri-negeri Melayu atau lima tahun di Singapura (Ibid., hlm. 284).

Penubuhan Malayan Union ini akan disahkan dengan perjanjian-perjanjian baru antara
Raja-raja Melayu dan kerajaan Inggeris, di mana Raja-raja Melayu diminta
menyerahkan kedaulatan di negeri masing-masing kepada Baginda Raja Inggeris.
Penubuhan Malayan Union ini dilihat oleh orang Melayu sebagai satu ancaman
terhadap hak orang Melayu dan sebaliknya berfaedah kepada orang bukan Melayu.
Orang Melayu telah bangkit menentang Malayan Union dan kemuncaknya apabila
Mesyuarat Kongres Seluruh Melayu telah diadakan di Kuala Lumpur pada 1-4 Mac
1946. Kongres tersebut telah dihadiri oleh 125 wakil dan 49 pemerhati yang mewakili
berbagai pertubuhan Melayu seluruh Malaya. Mesyuarat tersebut telah mengambil
keputusan untuk menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO
(Laporan 10 Tahun UMNO 1946-1956, hlm. 33) yang bertujuan untuk melancarkan
kempen seluas-luasnya bagi membantah Malayan Union. Kongres juga telah
mengambil keputusan untuk menghantar taligram ke Menteri Jajahan Inggeris yang
mengandungi isi bantahan orang Melayu terhadap Malayan Union dan mengesa
kerajaan Inggeris berfikir panjang sebelum melaksanakan gagasan tersebut (Siu 1967,
hlm. 82). Sekiranya gagasan Malayan Union ini berjaya dilaksanakan, maka raja-raja
Melayu akan kehilangan kedaulatan mereka, British akan dapat memerintah secara
langsung di negara ini dan akan wujud hak kewargenegaraan yang sama untuk semua
kaum. Menurut Cheah Boon Kheng, jika Malayan Union dapat dilaksanakan secara
keseluruhannya ia akan menjadikan Malaya sebagai Malayan nation-state dari
Malay nation-state (Cheh Boon Kheng, hlm. 2).

Apabila Malayan Union diisytiharkan pada 22 Januari 1946, kaum Cina pula mulanya
tidak memperlihatkan sokongan mereka terhadap gagasan tersebut tidak seperti yang
dijangkakan oleh Inggeris. Akhbar-akhbar Cina tidak memberikan komen mereka
terhadap Malayan Union sehinggalah pada 31 Januari 1946. Menurut Victor Purcell,
akhbar-akhbar Cina hanya menunjukkan minat yang kecil terhadap isu Malayan
Union. Kritikan awal akhbar Cina terhadap Malayan Union dibuat oleh akhbar
komunis, iaitu The New Democracy (Sin Min Chu) pada 12 Oktober 1945. Akhbar ini
telah mengkritik pemisahan Singapura dari Malaya lanjutan dari dasar pecah dan
perintah Inggeris. Akhbar ini juga pada 3 Mei 1946 menyebutkan tidak ada gunanya
dibuat perdebatan mengenai hak kewarganegaraan dan pilihan raya sekiranya masalah
yang asas tidak diselesaikan terlebih dahulu. Apa yang penting ialah gangguan
terhadap hak-hak sivil bukannya kesaksamaan kerakyatan (Lihat Victor Purcell, hlml.
286-287). Kaum Cina lebih bimbang kepada permasalahan ekonomi dan gangguan
terhadap hak sivil mereka pada waktu tersebut. Majoriti kaum Cina melihat cadangan
perlembagaan Malayan Union tidak membawa apa makna kepada mereka kecuali jika
ia memberi kesan kepada kehidupan peribadi mereka sendiri. Manakala di kalangan
ahli politik yang mempunyai kesedaran untuk memperjuangkan nasib kaum Cina juga
berbeza pendapat. Ahli Kuomintang dan kaum Cina yang dilahirkan di China tidak
menunjukkan minat mereka terhadap Kertas Putih cadangan Malayan Union.
Kesetiaan politik mereka hanyalah kepada negara asal mereka (Ibid., hlm. 286).

Bagi kaum Cina penerimaan terhadap kewarganegaraan yang dicadangkan melalui


Malayan Union hanya akan menimbulkan masalah terhadap status kewarganegaraan
mereka sebagai warganegaraan China. Menurut akhbar Chung Hwa sekiranya kaum
Cina inginkan hak kewargenegaraan Malaya, mereka harus secara terbuka
mengisytihar atau secara diam menyatakan bahawa mereka sudah terpisah dari negara
asal mereka. Keadaan ini agak menyukarkan orang-orang Cina untuk menerima
kewarganegaraan Malayan Union sedangkan mereka ingin terus mengekalkan
kewarganegaraan China. Manakala akhbar Cina yang lain seperti Modern Daily telah
menentang peranan sultan-sultan Melayu sebagai pemimpin tradisional dan ketua
agama bagi Malayan Union. Akhbar Sin Min Chu dalam laporannya bertarikh 24
Januari 1946 secara tegas mengkritik Malayan Union yang disifatkannya masih jauh
dari memperkasa status politik rakyat Malaya dan hanya mengukuhkan kedudukan
British di Malaya dan Singapura (Oong Hak Ching, hlm.97-98).
Manakala golongan radikal kaum Cina yang diwakili oleh PKM telah menolak
Malayan Union kerana ia tidak menyediakan pilihan raya yang menyebabkan kuasa
Gabenor dianggap berlebihan dan pemisahan Singapura dianggap tidak logik dari
sudut politik dan ekonomi. Golongan radikal Cina ini memperjuangkan penubuhan
sebuah negara sosialis. Manakala golongan Cina yang moderat tidak begitu menentang
Malayan Union kerana tertarik dengan peluang untuk mendapatkan kewarganegaraan
melalui gagasan tersebut (Ampalavanar, 1981, p. 80).

Manakala kaum India juga tidak banyak memberikan respons mereka terhadap
gagasan Malayan Union. Editor akhbar kaum India tidak menyentuh cadangan
Malayan Union sehinggalah pada 1 Februari 1946. Ini kerana penumpuan akhbar
Tamil pada waktu tersebut adalah terhadap isu kekurangan makanan, peningkatan
harga barangan dan industri. Bagaimanapun isu Malayan Union mula menjadi
tumpuan komuniti India apabila akhbar Jananayagam (akhbar golongan sayap kiri
kaum India) pada 23 Mac 1946 telah mengkritik Malayan Union dengan
menyifatkannya sebagai satu metode untuk memperteguhkan pentadbiran British dan
menjarah negara ini. Ia adalah satu rancangan untuk memecah belahkan Malaya
mengikut kehendak kaum imperialis. Akhbar India lain yang turut mengecam Malayan
Union ialah The Tamil Press, Malaya Nanban, Tamil Murasu dan lain-lain. Sikap
komuniti India yang berpecah dalam isu Malayan Union berlaku disebabkan
penumpuan politik kaum India sehingga pertengahan tahun 1946 adalah terhadap
perkembangan politik yang berlaku di India. Bagaimanapun mulai pertengahan tahun
1946, majoriti kaum India telah mengalu-alukan rancangan untuk memberikan
kewarganegaraan Malaya yang sama kepada semua kaum dan pemusatan kerajaan.
Apabila MIC ditubuhkan pada bulan Ogos 1946, barulah kaum India melalui MIC
membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan perlembagaan dan kesan Malayan
Union terhadap kaum India di negara ini (Ampalavanar, 1981, pp. 79-80).

MIC seperti UMNO juga telah menentang Malayan Union kerana ia dilaksanakan
dengan paksaan tanpa persetujuan rakyat asal negara ini. Pandangan umum di
kalangan komuniti India ketika itu ialah Malaya adalah negara Melayu dan hakikat ini
mestilah dikekalkan. Kaum India juga tidak menerima sebarang pembaharuan
perlembagaan yang tidak diterima oleh orang Melayu sendiri. Justeru itu, John Thivy
(Presiden MIC) dalam ucapannya pada 7 Jun 1947 ketika Mesyuarat Tahunan MIC di
Kuala Lumpur telah menyakinkan orang Melayu bahawa kaum India; would never
appeal over the heads of the Malays to the British for any particular right or privilege
in the task of establishing a constitution for Malaya; if we do so we would be sowing
the seeds of communal dissensions (dipetik dlm. Ampalavanar 1981, 83).

Pada bulan Disember 1946, satu perjanjian telah dicapai untuk membubarkan Malayan
Union dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu yang diwujudkan pada 1
Februari 1948. Raja-raja Melayu yang telah mendapat kembali kedaulatan mereka
juga bersetuju menawarkan kewarganegaraan kepada 300,000 orang bukan Melayu
yang layak menjadi warganegara (Cheah 1984, 85-87). Menurut Comber (1985),
Persekutuan Tanah Melayu merupakan asas kepada Perlembagaan Malaysia hari ini
dan penubuhannya merupakan kejayaan kepada orang Melayu. Ini kerana Perjanjian
Persekutuan Tanah Melayu menyatakan bahawa Pesuruhjaya Tinggi Inggeris akan
bertanggungjawab menjaga hak istimewa orang-orang Melayu dan kepentingan sah
kaum bukan Melayu (The Federation of Malay Agreement, 1948, hlm.10).
Perjanjian Persekutuan merupakan tolak ansur orang-orang Melayu dan Cina.
Sungguhpun orang-orang Cina tidak dimasukkan dalam Jawatankuasa Kerja tetapi
pandangan mereka telah diperoleh sebelum Perjanjian itu menjadi undang-undang.
Menurut Comber lagi, orang-orang Melayu bersetuju memberi kerakyatan
Persekutuan kepada mereka yang mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bagi
kepada negara ini mengikut syarat yang telah disebutkan dalam Perjanjian tersebut.
Orang Melayu kebanyakannya telah berpuas hati dengan perlembagaan baru ini tetapi
tidak berapa mendapat sambutan dari orang-orang Cina disebabkan undang-undang
kerakyatan yang ketat (Comber 1985, 43-44).

Menurut Laporan Tahunan (1948) yang dikeluarkan oleh Department of Chinese


Affairs, memperlihatkan bahawa tahun 1948 merupakan tahun yang sukar bagi
komuniti Cina di Persekutuan Tanah Melayu. Pertama, disebabkan ketidaktentuan
masa hadapan mereka disebabkan polisi kerajaan Persekutuan yang memberikan
Sultan dan wakil-wakil Melayu menguasai perundangan dan mengenakan hak
kewarganegaraan yang ketat terhadap kaum Cina. Kedua, disebabkan Parti Komunis
Malaya telah melancarkan pemberontakan menentang pemerintah Malaya. PKM pula
telah mendapat sokongan dari kaum Cina. Tindakan kerajaan melancarkan gerakan
memburu gerila komunis telah memberi kesan terhadap kaum Cina. Sebahagian
daripada usaha kerajaan memerangi komunis meliputi kawasan yang luas dan
menangkap kaum Cina yang disyaki. Ia juga turut melibatkan pemusnahan
perkampungan Cina seperti kampung Kachau di Selangor. Orang Cina juga menjadi
sasaran komunis kerana sebahagian mereka yang menyokong Kuomintang ataupun
keengganan sebahagian daripada mereka memberi sokongan dan bantuan kepada
gerila komunis (Ching, 2000, pp. 139-140.).

Berdasarkan latar belakang di atas, Department of Chinese Affairs yang ditubuhkan


oleh British merasakan amat penting diwujudkan satu dasar atau polisi mengenai
kaum Cina yang baru. Dasar ini mungkin akan dapat meningkatkan keyakinan kaum
Cina terhadap kerajaan Persekutuan yang prihatin terhadap kehidupan mereka dan
meningkatkan hubungan di antara kerajaan dengan kaum Cina. Henry Gurney yang
menggantikan Edward Gent sebagai Persuruhjaya Tinggi Malaya telah menulis surat
kepada Creech Jones, Setiausaha Tanah Jajahan pada 5 Julai 1949. Beliau telah
menyatakan bahawa Inggeris perlu mewujudkan satu polisi yang khusus terhadap
kaum Cina dan mengingatkan bahawa proses Malayanisasi kaum Cina di negara ini
akan mengambil masa yang lama dan melalui proses yang sukar. Justeru itu, ia
memerlukan langkah yang bijaksana dan sokongan pada setiap tahap atau tindakan
yang diambil (Ching, 2000, pp. 140-141).
Kerajaan British menyedari untuk menarik sokongan dan Malayanisasi kaum Cina
memerlukan British memperuntukan hak kewarganegaraan Persekutuan yang terhad
kepada kaum Cina. Keadaan ini tentulah akan menimbulkan tentangan dari kaum
Melayu. Justeru itu, British perlu menggalakkan kaum Melayu mengambil satu sikap
akomodatif terhadap tuntutan kaum Cina. Dalam waktu yang sama, kerajaan British
juga menyedari kegusaran pemimpin Melayu terhadap kuasa ekonomi yang dimiliki
oleh kaum Cina. Justeru itu, kerajaan telah menggalakkan pemimpin Melayu dan Cina
menyelesaikan masalah mereka melalui perundingan dan permuafakatan di antara
mereka (Ching, 2000, pp. 142-143).

Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948 sebagai satu strategi British
untuk mengawal negeri-negeri Melayu secara berpusat dan menjaga hak politik dan
hak keistimewaan orang Melayu telah menimbulkan tentangan dari sebahagian
pemimpin dan komuniti Cina. Mereka tidak berpuas hati dengan cadangan
Persekutuan disebabkan syarat-syarat kerakyatan Persekutuan yang ketat. Pemimpin-
pemimpin yang menjadi jurucakap kaum Cina telah membentuk gerakan anti-
Persekutuan. Persekutuan menurut Dixon (1991, 143), represented a victory for the
Malays and causes great dissent amongst the other ethnic groups, particularly the
Chinese (Mohammad Agus, 2006, pp. 54-55). Di Kuala Lumpur, All-Malaya Council
of Joint Action (AMCJA) yang diketuai oleh Tan Cheng Lock telah menentang
cadangan Persekutuan. Mereka telah menganjurkan aktiviti yang membantah
cadangan tersebut dengan mengadakan tunjuk perasaan dan pemulauan terhadap
Cheesemen Consultative Comitte yang ditubuhkan bagi mendapatkan pandangan dari
kaum bukan Melayu mengenai cadangan Persekutuan. Golongan saudagar Cina dalam
satu persidangan mereka telah bersetuju mengadakan hartal satu hari di seluruh Tanah
Melayu yang diorganisasi oleh AMCJA. Tarikh hartal yang ditetapkan ialah pada 20
Oktober 1947 (Mohammad Agus, 2006, p. 56). Tarikh tersebut dipilih kerana ialah
hari pembukaan Parlimen British (Khong Kim Hoong, 1984, hlm. 116).Mengikut
pandangan Albert Lau (1991), hartal yang telah diadakan di seluruh Malaya pada 20
Oktober tersebut telah melumpuhkan hampir semua bandar-bandar di Malaya tetapi
British masih tidak berganjak dengan posisinya yang tidak berkompromi dengan
sebarang gerakan anti-Persekutuan (Albert Lau, hlm. 241). Akhbar Straits Times pada
21 Oktober 1947, melaporkan:

Hunderds of thousands of dollars were lost by goverment, industry, and business


today when the hartal kept labour away from the ports, rubber estates, tin mines,
business houses and streets. Industry in Selangor almost entirely took a forced
holiday....

Kaum India pula melalui MIC turut membantah cadangan syarat kewarganegaraan
yang dinyatakan dalam Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu. Pada tahun 1948, MIC
telah menyuarakan pandangan mereka bahawa Malaya adalah sebuah negara majmuk
bukan hanya negara bagi orang Melayu semata-mata. Oleh kerana itu, hak
kewarganegaraan yang sama rata perlu diberikan kepada semua kaum. Pada tahun
1947, MIC melalui keahliannya dalam AMCJA telah membuat kempen untuk
menentang cadangan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Pada April 1948,
MIC telah memulaukan keanggotaan mereka dalam Majlis Persekutuan dan Negeri
yang diwujudkan melalui Perjanjian Persekutuan. Bagaimanapun terdapat beberapa
ahlinya yang menerima pencalonan mereka sebagai ahli dalam Majlis tersebut. MIC
telah meluluskan satu resolusi pada bulan Mac 1948 untuk memulaukan Perlembagaan
Persekutuan dan memecat mana-mana ahlinya yang menganggotai Majlis yang
diwujudkan oleh kerajaan ketika itu. Bagaimanapun pemulauan tersebut telah
mendapat tentangan dari beberapa cawangan penting MIC. Dalam bulan Mac 1948,
Regional Indian Congress telah menasihatkan MIC meninggalkan gabungan AMCJA
dan menghadkan kerjasama mereka dengan kerajaan (Ampalavanar, hlm. 91).

Bantahan sebahagian dari kaum Cina dan India terhadap cadangan Perjanjian
Persekutuan tidak menghalang penubuhan Persekutuan Tanah Melayu yang
diisytiharkan secara rasmi pada 1 Februari 1948. Sejurus penubuhan Persekutuan
Tanah Melayu, Parti Komunis Malaya (PKM) telah mengumumkan kempen
penentangannya terhadap kerajaan secara gerila dan bersenjata bagi mendapatkan
kuasa memerintah. Beberapa orang penulis tentang gerakan komunis di negara ini
sependapat bahawa PKM telah mengambil keputusan untuk melancarkan perjuangan
bersenjata terhadap Inggeris sebelum penjajah Inggeris mengisytiharkan Undang-
undang Darurat pada pertengahan Jun 1948. Misalnya menurut Barber (1971, 28)
antara pertengahan Mei hingga awal Jun 1948, Politburo PKM yang mengadakan
mesyuarat sulit di hutan Pahang telah memutuskan untuk melancarkan perjuangan
bersenjata terhadap Inggeris (Mohamed Salleh, 2006, p. 97). Dalam usaha PKM
mencapai matlamat perjuangannya, mereka telah melakukan kegiatan sabotaj dan
tindakan ganas. Di antara bulan Oktober 1945 hingga bulan Disember 1947, sebanyak
191 kejadian culik dan pembunuhan dilakukan oleh PKM. Dalam masa enam bulan
pertama 1948, sejumlah 107 penculikan dan pembunuhan telah dilakukan oleh PKM
(R.Thompson 1966, hlm. 26-27).

Dianggarkan terdapat 4,000 atau 5,000 gerila komunis yang berada di dalam hutan di
mana lapan puluh hingga lapan puluh lima peratus adalah bangsa Cina, manakala yang
lain terdiri dari bangsa Melayu, India dan lain-lain (Ucapan Tan Cheng Lock
mengenai Keadaan darurat di Malaya pada 13 November 1950). Kekacauan dan
keganasan yang pertama PKM dilakukan di Perak (Sungai Siput) pada bulan Jun 1948
dan akhirnya merebak ke seluruh Tanah Melayu sehingga mendesak kerajaan Inggeris
mengumumkan pemerintahan darurat di seluruh Persekutuan pada 12 Julai 1948.
Pemberontakan PKM telah menyebabkan banyak kemusnahan harta benda dan nyawa
sehingga membawa kerajaan Inggeris mengharamkan pergerakan PKM. PKM telah
diharamkan pada 23 Julai 1948. Pengharaman PKM telah membawa pemimpin kaum
Cina memikirkan alternatif lain bagi menyalurkan aspirasi perjuangan mereka yang
membawa kepada penubuhan MCA pada 27 Februari 1949 (Mohammad Agus, 2006,
p. 56) .

Pemerintahan darurat yang dilaksanakan oleh Inggeris pada tahun 1948 bagi
membendung pemberontakan Komunis telah membawa berbagai implikasi. Antaranya
Inggeris terpaksa menggunakan peruntukan yang banyak untuk membiayai kos operasi
ketenteraan. Menurut Stockwell (2006), dari bulan Jun 1948 sehingga Ogos 1957,
Inggeris telah membelanjakan sebanyak 700 juta Pound Sterling semasa Darurat di
mana 520 juta Pound Sterling datangnya dari wang pembayar cukai British.Ia juga
menyebabkan kehidupan rakyat bertambah susah, sistem pengangkutan yang
terganggu akibat serangan hendap komunis (Duncanson, 1951, pp. 62-63) dan
memperluaskan jurang antara kaum di Tanah Melayu. Ia juga meneruskan lagi konflik
perkauman antara orang Cina dengan orang Melayu seperti yang terjadi pada zaman
pemerintahan Jepun. Ini kerana darurat didominasi oleh kelompok kaum Cina yang
sebahagian besarnya menganggotai PKM yang ditentang oleh pasukan bersenjata
Tanah Melayu kebanyakan terdiri daripada orang Melayu. Justeru itu, konfrontasi
yang sebenarnya terjadi antara pemerintah Inggeris dengan gerila komunis menurut
Zainal Abidin (1983) bagaikan perang komunal antara kelompok Melayu melawan
kelompok Cina (Abdullah Dahana 2002, 51, (Ching, 2000, p. 140).

Menurut Abdullah Dahana (2002), statistik yang dikumpulkan oleh pemerintah China
sejak Jun 1948, ketika Darurat dilaksanakan hingga akhir Ogos 1950, Inggeris telah
menangkap 10,857 orang keturunan Cina di Malaya serta menghantar pulang sekitar
35,000 orang Cina ke negara China. Penangkapan dan pemulangan tersebut telah
menyebabkan Kementerian Luar China menghantar nota bantahan dan
menyifatkannya sebagai sebahagian dari perlakuan keterlaluan terhadap warga
Republik Rakyat China yang tinggal di Malaya oleh Inggeris. Nota bantahan China
itu juga mencatatkan tentang bermacam kekejaman terhadap warga China dalam
bentuk memenjarakan mereka di berbagai kem tahanan, penjara rahsia dan
penempatan secara paksa ke pendalaman (Abdullah Dahana, 2002, p. 88). Apa yang
disebutkan oleh Abdullah Dahana itu telah disebutkan oleh Duncanson (1951).
Menurutnya:

...and the biggest number of casualities, after those in the security Forces, has been,
socially and economically, amongst the prominent Chinese population. They have
suffered very badly indeed...(Duncanson 1951, 63).

Menurut Stockwell (2006), apabila Setiausaha Tanah Jajahan British datang ke


Malaya pada penghujung tahun 1951, terdapat 200,000 telah ditahankan kurang dari
28 hari, 25,000 orang telah ditahan lebih dari 28 hari dan 6,000 yang ditahan tanpa
dibicarakan (Stockwell 2006, 281). Menurut Tan Cheng Lock (1950) pula, pada awal
darurat diperkenalkan dianggarkan seramai 1,129 orang awam telah dibunuh di mana
759 daripadanya adalah orang Cina, 183 Melayu, 72 India, 50 Eropah, 49 orang Asli,
10 Indonesia, 2 Siam dan 4 orang dari bangsa-bangsa lain. Fakta ini membuktikan
bahawa bukan sahaja kaum Cina sahaja mengalami penderitaan ketika Darurat
dilaksanakan tetapi juga penderitaan turut dirasai oleh kaum Melayu dan kaum-kaum
lain.

Semasa Darurat diisytiharkan, tokoh-tokoh dan anggota PKM, PKMM, API, AWAS,
BATAS, Hizbul Muslimin dan lain-lain lagi telah menjadi sasaran penangkapan
beramai-ramai Inggeris. Mereka juga dituduh sebagai komunis atau bersimpati dengan
pergerakan komunis. Menurut Cheah (2003) pula, dianggarkan 1,000 orang Melayu
telah ditangkap termasuk kader-kader Melayu dalam PKM seperti Kamarulzaman
Teh, Rashid Maidin dan Abdullah C.D (Mohamed Salleh, 2006, p. 100) termasuk juga
Ahmad Boestamam. Fakta ini menyokong pendapat Zainal Abidin Wahid dan Nik
Anuar Nik Mahmud yang menyatakan bahawa Darurat mengandungi matlamat
tersurat dan tersirat. Matlamat tersurat adalah untuk membendung kegiatan komunis
manakala matlamat tersirat ialah membendung dan menangkap golongan radikal
Melayu. Keadaan ini telah melumpuhkan gerakan kebangkitan gerakan radikal
Melayu dari mendapat sokongan terus dari orang Melayu (Ishak Saat 2007, hlm. 149).

Darurat juga mendorong kerajaan Inggeris menggunakan komunikasi massa secara


meluas bagi menyebarkan konsep bangsa Malayan yang menaungi semua kaum.
Namun usaha bagi menyatupadukan semua kaum pada waktu itu tidak berapa berhasil
apabila melihat kepada penolakan kaum Cina dan India terhadap National Service
yang diperkenalkan oleh Inggeris pada tahun 1951. Keengganan kaum Cina dan India
menyertai Khidmat Negara terserlah apabila ramai di kalangan kaum Cina dan India
telah meninggalkan negara apabila skim ini diperkenalkan. Kira-kira 6,000 orang Cina
telah memohon visa dari kerajaan untuk kembali ke negara Cina. Perkara ini dapat
dibuktikan melalui pembatalan 6,000 kad pengenalan belia dalam umur Khidmat
Negara di Tanah Melayu berikutan pengeluaran kad pengenalan Singapura.
Antaranya, pada 28 Mac 1951, 500 Cina belayar dengan kapal Mei Ann dan pada 4
April 1951, 400 Cina menggunakan kapal See Chuang pulang ke China (Ho Hui Ling,
hlm.134).

Alasan mereka ialah kerana pelajaran mereka terganggu, untuk menziarahi keluarga
dan lain-lain. Fakta ini dikuatkan lagi dengan jumlah kaum Cina yang menganggotai
pasukan keselamatan untuk menentang komunis adalah amat sedikit (K.J.Ratnam,
1965, pp. 20-21). Sebahagian orang Cina termasuk akhbar Cina begitu lantang
menentang National Service yang mewajibkan belia-belia berumur 18 tahun hingga 24
tahun menganggotai perkhidmatan tentera. Tan Cheng Lock sendiri telah
menerangkan bahawa orang Cina dari segi tradisinya mencurahkan taat setia yang
utama kepada keluarga mereka dari negara. Beliau memohon pengecualian diberikan
kepada anak lelaki yang sulung dan tunggal daripada menganggotai National Service.
Sikap kaum Cina terhadap National Service telah menimbulkan kritikan dari akhbar
Melayu. Keadaan ini telah menyemarakkan lagi syak wasangka kaum Melayu
terhadap kaum Cina walaupun di bantah oleh pemimpin Cina seperti Tan Cheng Lock.
Beliau telah menjelaskan bahawa orang Cina di Tanah Melayu telah menganggap
Tanah Melayu sebagai negara mereka sendiri serta mencurahkan taat setia mereka
yang tidak berbelah bagi terhadap negara ini (Comber 1985, 50). Bagaimanapun
terdapat juga akhbar Cina yang mengkritik tindakan pemuda Cina melarikan diri dari
menyertai Khidmat Negara. Umpamanya akhbar Chung Shing bertarikh 1 Mei 1951
telah menyifatkan tindakan mereka yang melarikan diri daripada tanggungjawab
mempertahankan negara adalah satu perbuatan yang memalukan. Tindakan mereka
juga menunjukkan belia Cina diracuni propaganda komunis (Ho Hui Ling, hal.135).
Henry Gurney cuba untuk menggalakkan lebih ramai lagi kaum Cina menyertai
pasukan keselamatan tetapi berakhir dengan kegagalan. Pada tahun 1952, Henry
Gurnet telah berkata:

... I am calling on the Chinese community, to show their loyalty to the country in
which they live and to the cause of freedom. This call particularly to the young
men...to express their loyalty by volunteering to join the federation Police Force. I ask
parents to put aside prejudice and fear and to co-operate to this end. I am asking for
2,000 young Chinese volunteers to come forward...2,000 is a small number to ask
from among three million Chinese living this county...(dipetik oleh Oong Hak Ching
2000, 180).
Jeneral Templer juga mengambil tindakan yang sama untuk menggalakkan kaum Cina
terutama generasi mudanya menyertai pasukan keselamatan dengan menubuhkan satu
unit baru dikenali sebagai Federation Regiment yang anggotanya terbuka untuk
pelbagai kaum termasuk kaum Melayu. Templer juga membuat perancangan untuk
menubuhkan sebuah Akademi Ketenteraan yang juga terbuka untuk semua kaum. Di
bawah Templer, semua unit di bawah tentera Malayan menjadi unit yang multi-etnik,
kecuali Rejimen Askar Melayu. Bagaimanapun hanya sebilangan kecil dari kaum Cina
menganggotai pasukan keselamatan Malaya ketika itu (Oong Hak Ching 2000, 180-
181). Bagi memerangi ancaman komunis, Inggeris telah menggunakan pelbagai
pendekatan seperti yang telah disebutkan. Inggeris memahami usaha mereka untuk
memerangi ancaman komunis tidak akan berjaya jika Inggeris tidak berjaya
memenangi hati orang Cina dan mendapat kerjasama dari mereka. Hakikat ini
memang tidak dapat dinafikan kerana 90 peratus anggotai PKM adalah terdiri dari
kaum Cina. Kaum Cina juga perlu disedarkan bahawa PKM bukanlah satu tempat
pergantungan yang baik dan boleh dipertanggungjawabkan untuk mereka. Tambahan
pula, PKM telah melakukan keganasan terhadap semua kaum dalam rangka mencapai
matlamat perjuangan mereka. Justeru itu, kerajaan Inggeris telah menggalakkan
pemimpin Cina menubuhkan sebuah pertubuhan bagi mengalih pandangan orang Cina
daripada PKM dan kegiatan komunis (Ling, 2002/2003, p. 54). Tambahan lagi apabila
PKM diharamkan pada tahun 1949 telah melahirkan political vacuum di kalangan
kaum Cina. Oleh itu, British telah menggalakkan supaya MCA ditubuhkan sebagai
satu kekuatan baru yang berorientasikan tempatan di kalangan masyarakat Cina di
Malaya (Oong Hak Ching 2000, 143). Perkara ini disebutkan oleh Henry Gurney yang
menjadi Persuruhjaya Tinggi British (dari tahun 1948 hingga 1951) yang
menginginkan MCA menjadi sebuah pertubuhan yang lebih kuat dari PKM dan
menjadi alternatif utama kaum Cina (K.J.Ratnam, 1965, p. 153). Hal yang sama
disebutkan dalam akhbar Sin Chew Jit Poh, 15 Januari 1949. Menurut akhbar ini;

Pesuruhjaya Tinggi British menyambut baik berita penubuhan sebuah persatuan di


Tanah Melayu. Persatuan ini bertujuan untuk memupuk kerjasama antara kerajaan
dengan seluruh lapisan masyarakat, mengembalikan keamanan dan peraturan di Tanah
Melayu. Pesuruhjaya berharap penubuhan persatuan itu dapat menjadi kenyataan dan
menjadi satu tenaga penggerak yang berkesan dalam melawan komunis (Ling
2002/2003, hlm. 55)

Idea penubuhan MCA telah disuarakan oleh Tan Cheng Lock dan melalui beberapa
tahap sebelum penubuhannya menjadi kenyataan. Evolusi sejarah penubuhan MCA
bermula apabila Tan Cheng Lock telah memaklumkan Setiausaha Tanah Jajahan
British pada September 1943 tentang hasratnya untuk menubuhkan sebuah pertubuhan
Cina Malayan. Namun hasratnya itu tidak dapat dilaksanakan kerana tidak mempunyai
sumber organisasi dan dukungan untuk mencapai hasratnya itu. Pada 5 Disember
1948, sekali lagi Tan Cheng Lock menimbulkan hasratnya itu dalam ucapannya
kepada Pertubuhan Saudagar Cina Melaka. Ideanya itu telah disokong oleh Federal
Council (Majlis Undangan Persekutuan) dan Department of Chinese Affairs (DCA).
Dalam laporan tahunan DCA yang dikeluarkan pada tahun 1948 telah menyatakan
support for the proposed Malayan Chineses Affairs was undoubtedly the most
important features...(of Britains new)..policy (Oong Hak Ching 2000, 144).

Pada 29 Disember 1948, perbincangan antara Cina dan kaum Melayu telah diadakan
di Johor Bahru yang dihadiri oleh Tan Cheng Lock, Dato Onn dan beberapa orang
lagi pemimpin Melayu dan Cina. Thio Chan Bee yang turut hadir dalam perbincangan
itu telah menyebutkan bahawa Tan Cheng Lock ingin mendapat sokongan dari
pemimpin Melayu tentang penubuhan MCA. Tan Cheng Lock telah memaklumkan
bahawa penubuhan MCA adalah untuk bekerja sama dengan orang Melayu bagi
membina negara bangsa baru (Oong Hak Ching 2000, 145). Akhirnya di bawah
tajaan 16 peniaga Cina yang mewakili kaum Cina dalam Majlis Undangan
Persekutuan (Federal Council) dan Majlis Eksekutif, MCA telah ditubuhkan pada 27
Februari 1949. Dalam Mesyuarat Tahunan MCA itu, Tan Cheng Lock telah dipilih
sebagai Presiden, Yong Shook Lin sebagai Setiausaha Kehormat dan Khoo Teik Ee
sebagai Bendahari Kehormat (Oong Hak Ching 2000, 147, Ling 2002/2003, 57).
Menurut Vasil (1980), para pemimpin Cina yang terlibat dalam penubuhan MCA
seperti Tan Cheng Lock, Leong Yew Koh, Yong Shook Lin, H.S. Lee, Khoo Teik Ei
dan lain-lain adalah dari golongan ahli perniagaan yang kaya-raya atau yang
mempunyai hubungan dengan perniagaan. Kebanyakan dari mereka adalah
berpendidikan Inggeris dan mempunyai hubungan yang rapat dengan pentadbiran
British (R.K.Vasil, 1980, p. 78). Kebanyakan daripada mereka juga dilahirkan di
Malaya (Heng Pek Koon 1988, 59).

Pada 27 Februari 1949, dalam Mesyuarat Tahunan MCA, Tan Cheng Lock semasa
mengumumkan penubuhan MCA telah menyebutkan matlamat penubuhan MCA
mempunyai dua matlamat penting iaitu untuk mewujudkan perpaduan dan
menyatukan kaum Cina dari berbagai lapisan dan memperjuangkan keharmonian
antara kaum. Selanjutnya Tan Cheng Lock menegaskan, ...it is a matter of supreme
significance and an indispensable necessity that a basic purpose of this organization
must be the attainment of inter-communal understanding and friendship, particularly
between the Malays and the Chinese... (The Starits Times, 28 Februari 1947). Apa
yang disebutkan oleh Tan Cheng Lock tersebut telah dimasukkan ke dalam objektif
penubuhan MCA yang telah diterbitkan pada 18 Mac 1949 iaitu untuk memperjuang
dan menjaga kesejahteraan dan keharmonian antara kaum, untuk menggalak dan
menjaga sosial, politik, budaya dan kebajikan ekonomi kaum Cina Malaya yang sah
dari segi undang-undang atau Perlembagaan. Menggalak dan membantu dalam
menjaga kedamaian, supaya keamanan dapat dicapai dan kemajuan dapat berjalan
dengan baik di Malaya (Chin 2002/2003, 57).

Pada mula MCA ditubuhkan, ia bukan sebuah organisasi politik tetapi merupakan
sebuah organisasi kebajikan untuk menjaga kepentingan setinggan Cina yang
dipindahkan ke kampung-kampung baru dan sumber kewangannya diperoleh dari
derma dan hasil jualan loteri. MCA kemudiannya telah menjadi wahana penting bagi
Inggeris bagi membantu mereka mengatasi ancaman dan melemahkan pengaruh
komunis terutama ke atas orang Cina. Bagi melemahkan pengaruh dan ancaman
komunis, Inggeris telah mewujudkan kira-kira 440 (sehingga penghujung tahun 1952)
kampung baru yang diasaskan oleh Lt. Jeneral Harold Briggs (pengurus operasi ) pada
pertengahan tahun 1950. MCA pula telah menggunakan hasil keuntungan dari jualan
loteri yang diwujudkannya dalam menjaga kebajikan dan memberi perkhidmatan
sosial (R.K. Vasil 1980, 80) kepada 500,000 orang Cina di kampung baru. Misalnya,
pada tahun 1951, MCA telah menyumbang kira-kira $1,266, 205.75 kepada penduduk
yang terlibat dalam skim penempatan semula tersebut (Chin 2002/2003, 60, Oong Hak
Ching 2000, 149). Pada penghujung tahun 1951, Tun Tan Cheng Lock telah
menetapkan supaya MCA menjadi sebuah organisasi politik (Milne & Mauzy,
1982:161-162).
Bagaimanapun, penubuhan kampung-kampung baru atau penempatan semula kaum
Cina sebenarnya dianggap sebagai faktor penyumbang kepada kerenggangan
hubungan kaum dan menebalkan lagi perasaan kecurigaan. Ini disebabkan dengan
menempatkan kaum Cina di tempat yang terasing dengan kaum Melayu telah
menyebabkan pergaulan antara kaum menjadi terbatas. Perasaan saling mengerti tidak
mungkin timbul disebabkan pergaulan yang terbatas. Penempatan semula juga
mengakibatkan kemarahan di kalangan orang Melayu kerana kemudahan dan
perkhidmatan sosial disediakan kepada orang Cina di kampung baru tetapi tidak
diberikan kepada kampung Melayu. Ini kerana pihak British ingin memisahkan
penduduk Cina daripada PKM, dengan harapan dapat memenangi sokongan dan
kerjasama penduduk Cina atau sekurang-kurangnya mereka berhenti daripada
membantu komunis. Oleh itu, mereka diberikan pelbagai kemudahan. Orang Melayu
di kampung merasakan mereka tidak diberikan layanan yang saksama dan ini
membangkitkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka. Orang Melayu, sebagai
penduduk setia, sanggup mengorbankan nyawa demi mempertahankan negara, tetapi
kampung mereka tidak diberikan sebarang kemudahan asas seperti yang terdapat di
kampung baru. Kerenggangan hubungan kaum terus meningkat apabila orang Melayu
menyedari bahawa pemberian hak milik tanah kepada setinggan Cina boleh dilakukan
walaupun mereka belum menjadi warganegara Tanah Melayu. Keadaan ini timbul
kerana sultan terpaksa menyerahkan tanah untuk rancangan perkampungan baru
kerana Peraturan 17F, Undang-undang Darurat 1948. Menurut Akta Tanah, 1948,
kerajaan berhak meminta atau meminjam tanah di sesuatu kawasan yang dirasakan
sesuai dan perlu untuk tujuan Darurat seperti rancangan menempatkan semula
setinggan tanpa sebarang bayaran pampasan. Peraturan ini mula dikuatkuasakan pada
7 Julai 1948 (Ho Hui Ling, 132-134).

Sementara itu, kaum Cina telah menyambut baik penubuhan MCA. Dalam
jangkamasa 10 bulan selepas penubuhannya, MCA telah berjaya mengumpul 100,000
orang ahli. Pada April 1951, keahlian MCA telah meningkat kepada 159,229 orang
dan pada akhir tahun 1952, keahliannya telah mencecah kepada 200,000 orang
sehingga mencapai 250,000 pada Februari 1953 (Chin 2002/2003, 57). Walaupun
kaum Cina memberikan reaksi yang positif kepada penubuhan MCA, tetapi Parti
Komunis Malaya tidak menyenangi penubuhan MCA. Ini kerana penubuhan MCA
telah menyatupadukan kaum Cina dan menyekat matlamat perjuangan PKM. Oleh
yang demikian, PKM telah mengatur rancangan untuk menunjukkan tentangan dan
mengagalkan perjuangan MCA. Antaranya, komunis menggunakan sabotaj bom
tangan (seperti yang terjadi pada Tan Cheng Lock dalam satu pertemuan MCA pada
bulan April 1949), menembak pemimpin MCA dan menggelarkan MCA sebagai a
British bandit-supported organ of puppets and running dogs (Chin 2002/2003, 63-
64).

Semasa menerajui MCA, Tan Cheng Lock selalu menekankan betapa perlunya MCA
memainkan peranan untuk mendidik kaum Cina di Tanah Melayu untuk melihat
Tanah Melayu sebagai satu-satunya negara yang perlu ditumpahkan kesetiaan mereka
kepadanya. Pada tahun 18 Januari 1951 ketika berucap di Seremban, Tan Cheng Lock
telah menyebutkan bahawa MCA mestilah secara politik mendidik orang-orang Cina
menjadi warga Tanah Melayu yang tulen dan bekerja sama dengan kaum-kaum lain.
Justeru itu, menurutnya, one Malayan Nationality animated by Malayan
consciousness and Malayan patriotism would be realized in the near future. Perkara
yang sama ditegaskan kembali ketika beliau berucap di mesyuarat MCA pada 21 April
1951 dengan menyebutkan bahawa penubuhan MCA adalah:

...foster and engender a truly Malayan outlook, consciousness and patriotism among
the domiciled Chinese in order to forge and fortify their ties with this country and
unity as an intergral part and parcel of the Malayan people, and to help develope their
sense of civil responsibility, duty and obligation to their country of adoption (dipetik
dlm. Heng Pek Koon 1988, 86).

Pada 27 Disember 1953, ketika berucap dalam Mesyuarat Tahunan Komiti MCA di
Singapura, Tan Cheng Lock (1953) sekali lagi menegaskan bahawa kaum Cina di
Malaya mestilah menjadikan negara ini sebagai tanah air mereka yang kekal dan objek
kesetiaan mereka. Menurutnya lagi, we must become wholeheartedly Malayans first
and combine and unite with the Malays and others to constitute a truly United
Malayan Nation with which we must completely identify ourselves....

Dalam usaha mengurangkan kecurigaan orang Melayu terhadap penglibatan orang


Cina dalam menghapuskan komunis di Tanah Melayu, MCA berusaha memujuk orang
Cina supaya menyertai pasukan keselamatan. Dengan itu, jurang hubungan antara
kaum dapat dirapatkan. MCA juga turut memberi insentif kepada pemuda Cina yang
menyertai pasukan polis dengan memberi mereka elaun khas, pemberian hak
kerakyatan kepada belia Cina setelah tiga tahun berkhidmat dalam pasukan polis dan
bonus $200 kepada setiap ahli baru yang mendaftar menjadi anggota polis (Ho Hui
Ling, hlm. 149). Di samping itu, MCA juga menggalakkan penyertaan orang Cina
dalam pasukan Home Guard bagi menjaga kampung mereka daripada ancaman
komunis. Untuk tujuan itu, MCA menggerakkan jentera publisiti dan propaganda ke
seluruh Persekutuan untuk menyeru orang Cina mendaftarkan diri meyertai Home
Guard. Hasil dari usaha berterusan MCA ini berlaku pertambahan bilangan orang Cina
menganggotai Home Guard, iaitu dari 3,500 pada tahun 1950 meningkat kepada
79,587 orang pada pertengahan tahun 1953 daripada jumlah 244,645 keseluruhan
Home Guard yang ada (Ho Hui Ling, hlm. 150).
Loading
Send feedback
Dynamic Views template. Powered by Blogger.

i[54] Pengasuh, Februari 1956, hlm. 1.

ii[55] Qalam, November 1958, hlm. 3.

iii[56] Lihat Perlembagaan PAS, Kuala Lumpur: Pejabat Agung Parti Islam Malaysia, 1977, hlm. 2.

iv[57] Suara Islam, bil. 11, tahun 1, Oktober 1957, hlm. 4.

v[58] Suara Islam, bil. 10, tahun 1, September 1957, hlm. 9-10.

vi[59] Suara Islam, bil. 9, tahun 1, Ogos 1957, hlm. 17.

vii[60] Suara Islam, bil. 8, tahun 2, Julai 1958, hlm. 16.

viii[61] Lihat Islam pragmatik, umat Islam mesti waspada, dlm. Suara Islam Ke arah Menegak Daulah
Islamiah, Bil. 6, Safar 1401H/Dis. 1980. Matlamat perjuangan PAS bukan sekadar untuk membela
bangsa dan negara seperti yang diperjuangkan oleh parti politik lain, tetapi bertujuan menegakkan
Islam dan hukum Allah yang memberi jaminan kepada semua tanpa mengira keturunan dan bangsa.
PAS melihat politik adalah sebahagian daripada agama dan politik tidak mungkin dipisahkan dari
agama. Melaksanakan hukum Allah dalam aspek undang-undang, ekonomi, politik, sosial dan
sebagainya tidak mudah dilaksanakan melainkan dengan diwujudkan sebuah pemerintahan Islam.
Kuasa adalah syarat utama untuk melaksanakan hukum Allah. Dengan sebab itu, PAS berjuang untuk
mendapatkan kuasa politik bagi wasilah untuk melaksanakan hukum Allah. (Lihat Memahami dan
Mengenali Perjuangan PAS, Kuala Lumpur: Jabatan Penerangan PAS Pusat, t.t., hlm. 6-7).

ix[62] Lihat Federal Legislative Council Debates, 1 May 1958, hlm. 4671-4672.

x[63] Parliamentary Debates, First Parliament Dewan Rakayat, Volume 1 Ist Session, September 1959-
February 1960, hlm. 1550..

xi[64] Berita Harian, 20 November 1968.

xii[65] The Straits Times, 9 Mac 1959.

xiii[66] Berita Harian, 7 Disember 1968.

xiv[67] Qalam, bil.105, April 1959, hlm. 5.

xv[68] Dalam mesyuarat agung PAS yang diadakan di Kuala Lumpur pada 24 dan 25 Ogos 1957, PAS
telah berazam dan berikrar akan:
i). Bahawa Persatuan Islam SaMalaya tetap terus memperjuangkan hasrat kebangsaan Melayu
menurut anggaran dasar perjuangan PAS.

ii). Bahawa dalam persidangan agung PAS 1956 dahulu telah menetapkan agar kemerdekaan negeri ini
tidak boleh diganjak daripada tarikh 31 Ogos 1957; maka dalam persidangan ini setelah mempelajari
dan meneliti nyatalah bahawa nilai merdeka 31 Ogos ini masih kosong daripada cita-cita perjuangan
PAS. Maka persidangan ini dengan sebulatnya berazam dan berikrar akan berjuang terus bagi mengisi
kemerdekaan yang isytiharkan pada 31 Ogos ini dengan hasrat kebangsaan Melayu yang penuh bagi
menegakkan keadilan masyarakat, keamanan dan kemakmuran rakyat negeri ini. Sesuai dengan cita-
cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS.

iii). Bahawa cita-cita Islam yang diperjuangkan oleh PAS ialah mengambil tempat yang sesuai dengan
ayat ummatan wassatan dengan menjalankan perintah menyeru ke arah kebaikan dan mencegah
kemungkaran hingga berdirilah sebuah Negara Islam buldatan tayyaibah wa rabun ghafur di tanah
air kita ini (Lihat Suara Islam, bil. 10, tahun 1, September1957, hlm. 4. Menurut Da Abdul Jalil bin Hj.
Awang (wakil dari Terengganu), walaupun PAS memperjuangkan Melayu sebagai kebangsaan, namun
ini tidak bererti PAS akan menyingkirkan hak kaum lain atau menzalimi hak orang bukan Melayu,
tetapi yang ingin ditegaskan dan dikawal oleh orang Melayu ialah hak politik dan kaum Melayulah
menjadi tuan punya negeri ini. Akibat hak kerakyatan yang diberi terlampau longgar, keadaan ini amat
membimbangi orang Melayu bahawa hak mereka akan terhapus di tanah airnya sendiri. Lihat
Perbahasan Parlimen Dewan Negara, Parlimen Pertama Penggal Kelima, Jilid V 1963-1964, hlm. 268-
269.

xvi[69] Ramlah Adam, Dato Onn Jaafar, cet. 5, Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, hlm.
380.

xvii[70] Ismail Said, Dr.Burhanuddin al-Helmi, hlm. 97.

xviii[71] Parliamentary Debates, Dewan Raayat Official Report, Second Session of the Second
Parliament of Malayasia, Vol. II, No. 1, 26 May 1965, hlm. 161.

xix[72] K.J. Ratnam and R.S. Milne, The Malayan Parliamentary Election,of 1964, Singapore: University
of Malaya Press, 1967, hlm. 120-121.

xx[73] Mohamad Bakar, Konservatisme dan Konflik: Isu Kafir Mengkafir dalam Politik Kepartian
Melayu, Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu, 21-23 Ogos 1989, Jabatan Pengajian Melayu,
Universiti Malaya.

xxi[74] K.J. Ratnam and R.S. Milne, The Malayan Parliamentary Election, hlm. 120-121.

xxii[75] Ibid., hlm. 121.

xxiii[76] Lihat Tugas Kita Terhadap Negara, dlm. Gerakan Tahan Lasak Pergerakan Pemuda UMNO
Malaysia, t.t., hlm. 23-24.

xxiv[77] Islam Pragmatik, Umat Islam Mesti Waspada, dlm. Suara Islam Ke arah Menegak Daulah
Islamiah, Bil. 6, Safar 1401/Dis. 1980.
xxv[78] Parliamentary Debates, Dewan Raayat Official Report, Third Session of the Second Parliament
rd
of Malaysia, Vol. III, No. 46, 3 March 1967, hlm. 6195.

xxvi[79] Warta Malaysia, 23 Januari 1969.

xxvii[80] Lihat Penyata UMNO 1967, hlm. 33-34.

xxviii[81] Lihat Masjid Usang Kawasan PAS, Berita Harian, 19 Disember 1968.

xxix[82] Gerakan Pemuda Tahan Lasak telah ditubuhkan oleh Senu Abdul Rahman ketika beliau
menjadi Ketua Pemuda UMNO untuk Penggal 1964/1965. Lihat Zin Mahmud et al., Kepimpinan &
Perjuangan Pemuda UMNO, hlm. 42-43.

xxx[83] Lihat Tugas Kita Terhadap Negara, dlm. Gerakan Tahan Lasak Pergerakan Pemuda UMNO
Malaysia, t.t., hlm. 23.

xxxi[84] Ibid.

xxxii[85] Lihat Paridah Ali, Sejarah PAS di Kelantan 1953-1959, JEBAT, Bil. 3/4, 1973/9/1974/5, hlm.
84-86, lihat juga Ismail Said, Dr. Buhanuddin al-Helmy, hlm. 80-83.

xxxiii[86] Straits Budget, 5 Ogos 1959.

xxxiv[87] Berita Harian, 1 Julai 1959.

xxxv[88] Tunku Abdul Rahman, 13 Mei, hlm. 22.

xxxvi[89]The Straits Times, 6 Mac 1959. Tuduhan ini sama dengan kebimbangan British terhadap
potensi PKM menggunakan agama Islam bagi meningkatkan sokongan orang Melayu terhadap
perjuangan mereka. Menurut sebuah Laporan sulit yang dikeluarkan oleh Special Branch, Polis
Persekutuan Tanah Melayu mencatatkan The MCP views the exploitation of the Islamic religion as its
most powerful weapon for obtaining increased support from the Malay community. Thus MCP
propaganda towards the Malay follows almost identically the dual themes produced by such Pan-
Islamic organizations as the World Muslim Brotherhood namely: a) that Malay should not be ruled by
infidel imperialist Government; b) that the depressed Muslim peoples should struggle for improved
economic and education standards. The MCP Malay Department of Work, which has been created
specifically for the task of drawing the Malay community into the anti-British and anti-colonial united
front, is currently producing well thought-out propaganda on these lines and has been given, among its
priority targets for penetration, Malay Religious teachers Malay youth, and Malay religious schools.
Lihat CO 1035/20, The Pan-Islamic Movement in Malaya, 1954-1956.

xxxvii[90] The Straits Times, 10 Mac 1959. Pemimpin UMNO dalam pilihan raya 1969 mengulangi
dakwaan yang sama bahawa. PAS berkerjasama dengan Komunis. Dakwaan ini telah dibuat oleh Senu
Abdul rahman (Menteri Penerangan) ketika berucap di Kelantan pada pertengahan bulan April 1969.
Menurutnya, beliau telah menerima laporan bahawa Komunis telah menyeberang sempadan
Malaysia-Thailand dan menyusup masuk ke dalam kampong di Batu Melintang dan Batu Gajah
menyeru orang ramai menyokong PAS. Lihat R.K. Vasil, The Malaysian General Election, hlm. 27.

xxxviii[91] Berita Harian, 21 Julai 1959.


xxxix[92]Lihat Ahmad Zaki Hj. Abd Latiff, Pengaruh Gerakan Islam Timur Tengah Dalam
Perkembangan Pemikiran Agama dan Politik Masyarakat Melayu (1971-1998), Tesis Doktor Falsafah,
Jabatan Sejarah, Universiti Malaya, 2008 , hlm. 164.

xl[93]Lihat 1998/0018115, Memorandum Daripada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam,
Kafir Mengkafir Sesama Islam, Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam,
Malaysia, 3 Disember 1984, Arkib Negara Malaysia.

xli[94] Utusan Melayu, 5 November 1963.

xlii[95] Ibid.

xliii[96]Lihat 1998/0003417, Siaran Jawatankuasa Tetap Agama Bagi Majlis Raja-Raja Berkenaan Kufur
Mengkufurkan Seseorang Yang selalu Terjadi Dalam Kempen Parti-Parti Siasah Atau Lainnya, 4 Julai
1963, Arkib Negara Malaysia.

xliv[97] Lihat 2002/0006773, PAS Anggap Sepi Amaran Tunku, Arkib Negara Malaysia.

xlv[98] Ibid.

You might also like