You are on page 1of 13

3.

0 TUGASAN 1

3.1 Mukadimah

Krisis pendidikan sesebuah negara hanya muncul sekiranya terdapat kepimpinan


guru yang lemah dan tidak berwawasan serta tidak mempunyai kredibiliti dan karisma untuk
berkhidmat dalam profesion ini. Intipati artikel yang berjudul Kepemimpinan Pengajaran
Dan Sikap Guru Bahasa Melayu (Malay Language Teachers Instructional Leadership And
Attitude) oleh Mohd Khairuddin Abdullah di Universiti Malaysia Sabah juga membincangkan
isu yang sama. Dalam konteks pendidikan, sikap guru dikaitkan dengan istilah kriteria traits
yang mencakupi aspek-aspek personaliti atau keperibadian termasuklah aspek sosial, moral
dan juga tingkah laku. Kepimpinan profesion keguruan yang berasaskan traits
sememangnya menentukan kebolehan, kecemerlangan, kewibawaan dan profesionalisme
keguruan. Kajian yang dihuraikan dalam artikel ini telah membuktikan bahawa sikap
seseorang guru yang berfungsi sebagai pemboleh ubah dalam kepimpinan pengajaran.
Komponen kepimpinan pengajaran yang diberi keutamaan dalam artikel ini disokong oleh
empat lagi komponen yang lain seperti pengurusan kurikulum, iklim pembelajaran dan
pemantauan kemajuan murid.

3.2 Ulasan Kritikal Artikel

Julung kali, kajian yang memperkaitkan hubungan antara kepimpinan pengajaran


guru dan sikap guru khususnya guru bahasa Melayu sekolah rendah ini menegakkan
bahawa walaupun hasil data memanifestasikan kepimpinan pengajaran guru berada pada
tahap tinggi namun terdapat juga ruang yang perlu diperbaiki. Berlandaskan artikel, data
kajian telah juga telah membuktikan bahawa kelayakan ikhtisas dan pengalaman
mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu bukannya satu aspek utama dalam
menentukan kepimpinan pengajaran dalam kalangan guru. Malah data yang positif
menjelaskan kepimpinan pengajaran sebagai faktor penting dalam pelaksanaan proses
pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah. Merenung balik pengalaman berpraktikum
selama tiga bulan di sebuah sekolah kluster kecemerlangan di Bandar Mentakab, saya
mengaku polemik ini bahawa aspek kepimpinan pengajaran dan sikap seorang yang
mempengaruhi kecemerlangan sesebuah sekolah.

Berdasarkan pengalaman saya sepanjang berada di sana, kepimpinan para guru


khususnya dalam aspek pengajaran sangat menonjol selaras dengan sikap masing-masing
yang sungguh berwibawa dalam mencerminkan dirinya sebagai guru cemerlang. Tidak
hairanlah sekolah itu antara sekolah yang merekodkan prestasi cemerlang dalam kurikulum
dan juga kokurikulum di daerah Temerloh. Golongan guru yang berkhidmat di sekolah ini
layak digelar sebagai unsung heroes ataupun dalam bahasa Melayu Wira yang Tak
Didendang kerana kesanggupan mereka untuk berkorban tanpa menghiraukan kepentingan
diri sendiri, keluarga dan juga masa demi mengekalkan kecemerlangan
sekolah.Kesanggupan para guru di sekolah ini sungguh menghairankan kerana daripada
hasil pemerhatian saya dalam tiga bulan ini saya tidak pernah nampak sikap lewa dalam diri
mana-mana guru di sekolah ini dan kadang-kala mereka akan meluangkan masa sampai
malam tanpa menghiraukan keluarga sendiri di sekolah untuk menyelesaikan tugasan
sekolah. Secara ringkasnya, warga pendidik di sekolah ini merupakan tonggak kepada
prestasi kecemerlangan sekolah ini.

Menelusuri komponen pemantauan murid dalam artikel, pentingnya seseorang


guru memiliki sikap analitikal terhadap perkembangan tingkah laku dan juga akademik untuk
mendapatkan maklum balas terhadap pembelajaran murid. Dalam memastikan kelancaran
pengajaran dan pembelajaran (PdP), pentingnya memantau kemajuan seseorang anak didik
dari semasa ke semasa sebagai satu aspek ukuran penguasan dan minat murid secara
menyeluruh dan berterusan. Daripada hasil tinjauan saya, ketika berada Sekolah
Kecemerlangan Kluster SJK (T) Bandar Mentakab sepanjang praktikum fasa ketiga yang
lalu, dari segi aspek pemantauan pelbagai kaedah telah digunakan oleh pihak sekolah bagi
mengukur tahap pencapaian akademik murid di dalam bilik darjah. Antaranya, mengadakan
latihan pengayaan dan pemulihan pada setiap sesi pengajaran dan pembelajaran selaras
dengan prinsip Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) 2017. Komponen pemantauan
ini turut dijalankan menerusi refleksi PdP oleh para guru yang dicatatkan dalam rekod
pengajaran dan juga tidak terlepas bentuk-bentuk ujian seperti Ujian Penilaian 1 dan Ujian
Penilaian 2 yang dikenali sebagai ujian bulanan dalam sistem pentaksiran sebelum ini serta
Ujian Penggal 1 dan Ujian Penggal 2 yang dikenali sebagai ujian pertengahan tahun dan
ujian akhir tahun dalam sistem pentaksiran sebelum ini.

Isu yang berkaitan dengan komponen pemantauan dan pengajaran ini agak
kritikal apabila merujuk kepada Laporan Jemaah Nazir bagi tahun 2013 yang
mendapati sebahagian guru di Malaysia masih berada pada tahap harapan iaitu
sebanyak 52% dan 31% pada tahap memuaskan yakni tahap yang masih boleh
diperbaiki (Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti KPM, 2013). Hanya 12% berada
pada taraf baik dan cemerlang. Dengan erti kata lain, masih terdapat beberapa
kelemahan guru yang perlu diperkasakan. Aspek kelemahan yang telah dikenal
pasti adalah berkaitan dengan pembelajaran berpusatkan murid secara hands--
on yang kurang dipraktikkan. Sementara itu laporan tersebut juga menemukan
bahawa pengintegrasian Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dalam
Pengajaran dan Pembelajaran masih kurang dilaksanakan sepenuhnya di dalam
bilik darjah. Daripada penilaian yang dilakukan ke atas aspek-aspek kualiti
Pengajaran dan Pembelajaran Standard 4: Pembelajaran dan Pengajaran, iaitu
aspek-aspek 4.1 hingga 4.9 yang meliputi penglibatan murid, penguasaan
pembelajaran murid, hasil kerja murid, perancangan dan persediaan guru,
kaedah penyampaian, kemahiran komunikasi, penggunaan sumber pendidikan,
penilaian dan teknik penyoalan), didapati sebanyak 30% masih berada pada skor
memuaskan dan ke bawah, manakala teknik penyoalan yang digunakan oleh guru di
dalam bilik darjah adalah berbentuk soalan aras rendah dan kurang mencabar
pemikiran kreatif dan kritis murid.

Komponen seterusnya yang dibincangkan dalam artikel Kepimpinan Pengajaran dan


Sikap Guru Bahasa Melayu adalah menjurus kepada pengurusan kurikulum atau
pengurusan pengajaran yang dianggap sebagai peranan dominan seorang guru. Operasi
sistem pendidikan di sekolah adalah sememangnya bergantung pada kecekapan guru
mengurus kurikulum dan melaksanakan pengajaran yang berkesan. Pengurusan
pengajaran sangat ditekankan oleh kerajaan kita kerana acuan asas kepada ekosistem
pendidikan ialah kurikulum, yang di dalamnya ialah pedagogi pentaksiran, teknologi dan
psikologi yang menjadi pakaian harian seorang pendidik. Mengaitkan pengalaman praktikum
saya sebelum ini, hampir lapan puluh peratus guru di sekolah berkenaan berjaya
menjalankan sesi pengajaran dan pembelajaran dengan mengikuti kandungan kurikulum
seperti yang dirancang dalam Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP). Para
guru di sekolah ini juga tidak terlepas daripada mengaplikasikan strategi pengajaran yang
berasaskan pembelajaran abad ke-21 dalam pengajaran mereka seperti pembelajaran
koperatif, pembelajaran kontekstual, teknik round table, jigsaw, hot seat dan sebagainya
dalam usaha membina kognitif murid yang berdaya untuk digunakan sepenuhnya.

Dalam dunia pendidikan kini yang semakin rencam dengan gelombang transformasi
yang datang begitu deras dan pantas, skop pengurusan kurikulum termasuklah
pengaplikasian Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT), pengurusan bilik darjah abad ke-21.
Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) 2017 dalam kurikulum abad-21 ini yang telah
dibilas, diberi nafas baru dan sebutan kontemporari, disukat kematangannya dan diberi
unjuran baru supaya cukup mapan dan mampu menyambut dasar besar negara seperti
dasar Transformasi Nasional 2050 (TN50). Sebagai impaknya, cabarannya pula diletakkan
pada bahu golongan warga pendidik melaksanakan pembaharuan dalam kurikulum pada
peringkat sekolah lagi. Seseorang guru yang gagal termasuklah guru bahasa Melayu
melengkapi dirinya dengan kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi selaras
dengan kurikulum abad-21 ini, sudah tentu hasrat transformasi pendidikan seperti yang
dirancang oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tidak dapat dijayakan. Tuntas
kata, kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam pelaksanaan pengajaran
berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah
Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan abad ke-21 seperti
dihasratkan Kementerian Pendidikan Malaysia mulai tahun 2014, iaitu selaras dengan
transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-
2025).

3.3 Rumusan Keseluruhan Ulasan

Setelah menganalisis data dalam kajian artikel ini, dapat dirumuskan bahawa proses
pengajaran yang dibantu oleh sikap guru yang positif, komitmen guru, cara penyampaian
guru, aktiviti yang dilaksanakan oleh guru dan kaedah pengajaran guru mempunyai
hubungan yang signifikan dengan kecemerlangan akademik dan tahap kefahaman ilmu.
Guru-guru juga dikenal pasti mempunyai pengaruh terhadap perkembangan akhlak dalam
kalangan remaja dan pelajar sekolah menengah. Pengaruh ini diterapkan dalam peranan
guru sebagai 'role model ', muaddib, murabbi dan muallim (Ab. Halim et al., 2004).
4.0 TUGASAN 2

4.1 Mukadimah

Segala kecemerlangan yang dilanda oleh negara kita tidak datang secara tiba-tiba.
Sudah pasti kejayaan tersebut dicapai menerusi asuhan dan bimbingan daripada ramai guru
yang mengasuh dan membimbing pemimpin kerajaan, arkitek, jurutera, doktor, peguam dan
sebagainya. Tambahan pula, keberhasilan pendidikan yang diterjemahkan dengan
pembangunan modal insan yang berkualiti masih merupakan sandaran negara ke arah
negara maju. Amanah ini merupakan tanggungjawab besar yang perlu dihayati oleh semua
warga pendidikan terutama guru-guru di bilik darjah. Sepanjang berkhidmat sebagai seorang
pendidik, pengorbanan dan cabaran yang ditempuhi olehnya bukan sangat mudah. Peranan
seorang guru sebagai ejen perubahan kepada kemajuan masyarakat adalah sangat
mustahak. Guru yang berkualiti dan bersedia menghadapi cabaran menjadi sandaran
Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan transformasi pendidikan negara seperti
dihasrat melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 2025. (PPPM Selaras
dengan TN50, Majalah Pendidik, Mac 2017)

Menurut Kamaruddin Hussin (1995), sejak menjejakkan kaki ke alam


persekolahan, para pelajar adalah amat bergantung kepada tunjuk ajar para guru
memandangkan jumlah masa mcreka bersama para guru. Oleh yang demikian para guru
memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan pelajar. Guru adalah orang
yang penting dalam kchidupan pelajar. Hubungan guru dengan pelajar adalah sangat rapat
dan hubungan ini merupakan peranan yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran.
Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2) bukannya sesuatu yang
baharu kepada warga pendidikan yang sedang berkembang seiras dengan transformasi
pendidikan negara. Standard ini menyatakan pembelajaran dan pemudahcaraan merupakan
perkara yang sangat penting dalam menentukan standard kualiti pengurusan kurikulum
sesebuah sekolah. Standard ke-4 dalam SKPMg2 meletakkan guru berperanan sebagai
pemudah cara dalam pembelajaran dan pengajaran yang berkesan untuk
memperkembangkan potensi murid secara menyeluruh dan pencapaian pelajar pada tahap
optimum yang berrterusan. Terdapat enam aspek dalam Standard 4 SKPMg2 iaitu guru
sebagai pengawal, guru sebagai pembimbing, guru sebagai pendorong, guru sebagai
penilai dan murid sebagai pembelajar aktif.

4.2 Konsep peranan atau amalan guru dalam kemenjadian murid

Menurut Kamus Dwan Edisi Keempat, peranan didefinisikan sebagai tugas yang
dijalankan untuk menjayakan sesuatu. Jadi, dalam konteks menjayakan segala transformasi
yang dilakukan oleh kerajaan dalam sistem pendidikan negara tugas seorang guru adalah
sangat mustahak. Peranan guru dalam kemenjadian murid memang sangat luas daripada
peranan mana-mana pihak lain. Kemenjadian murid bukan bermakna mereka hanya
berjaya dalam bidang akademik semata-mata. Kemenjadian murid yang diharapkan hasil
daripada sistem pendidikan kita adalah menyeluruh atau holistik, iaitu termasuk sahsiah diri,
memiliki budi pekerti yang tinggi, memiliki semangat patriotik dan cinta akan negara serta
sentiasa berpegang kepada nilai-nilai murni sejagat yang berpaksikan pegangan agama
yang kukuh. Jadi bebannya diletakkan atas bahu seorang guru sebagai pendukung aspirasi
membentuk modal insan yang holistik.

Peranan guru bukan sekadar melahirkan pelajar cemerlang tetapi lebih utama
membimbing generasi bersahsiah mulia. Masa depan negara bergantung kepada
keupayaan guru melahirkan generasi berkemahiran, menghayati nilai murni dan memenuhi
cita rasa bangsa dan Negara. Menurut Mohd Kamal Hassan (2009) seorang guru perlu
mempunyai sahsiah yang baik untuk dicontohi dalam pembentukan sahsiah pelajar.
Manakala Abdul Halim al-Muhammadi (2009) pula menjelaskan bahawa guru ialah ejen
kepada keberkesanan pendidikan. Kesepaduan antara kemahiran keilmuan dengan
keluhuran peribadi adalah kriteria peribadi pendidik yang tidak boleh dipisahkan, sebaliknya
menjadi contoh yang berkesan. Pendek kata, guru memainkan peranan yang tidak terhingga
demi memastikan lonjakan kepada pembaharuan pendidikan yang cemerlang terhadap
kemenjadian murid.

4.2 Peranan dan amalan guru terhadap kemenjadian murid

Berpaut pada tajuk perbincangan, mengikut arus transformasi sistem pendidikan


peranan utama seorang guru dalam pembelajaran abad ke-21 adalah untuk menyediakan
pembelajaran yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan
mengurus bilik darjah atau ruang pembelajaran yang lebih dinamik. Namun cabaran
utama adalah bagaimana guru-guru menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi
serta maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti
serta relevan dengan perkembangan semasa. Untuk mendepani cabaran ini, guru secara
berterusan perlu mengemaskini pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi
(pedagogi PdP) supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan akan datang. Di
bawah Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM), guru-guru diberi sokongan dalam
bentuk Pembangunan Profesionalisme Berterusan (CPD), Latihan dalam Perkhidmatan
(LDP) dan bantuan daripada SISC+ untuk mengaplikasi KBAT dalam PdP. Perkongsian
dalam Professional Learning Community (PLC) juga merupakan salah satu cara bagaimana
guru boleh meningkatkan pengetahuan dan kemahiran tentang KBAT, selain pembelajaran
akses kendiri. Pentadbir sekolah dan ibu bapa juga diberi sokongan untuk membantu
mengaplikasi KBAT melalui hebahan media dan sesi interaksi dasar-dasar Kementerian.

Dalam usaha mewujudkan persekitaran pembelajaran KBAT, peranan guru adalah


sebagai pemudah cara yang melaksanakan pelbagai aktiviti berpusatkan murid,
menyediakan aktiviti yang dapat mencabar minda murid dan penyoalan aras tinggi secara
berperingkat bagi mendorong murid memberi pandangan serta membuat penyelidikan dan
membuat penerokaan secara terancang dan berstruktur. Ironinya terhadap kemenjadian
murid pula ialah murid akan mula bertindak lebih aktif dan suka bertanya serta boleh
memberi cadangan penyelesaian berdasarkan pengetahuan yang sedia ada. Penggunaan
bahan rangsangan seperti soalan aras tinggi dapat menggalakkan murid berfikir dengan
lebih mendalam, membuat kesimpulan dan refleksi, seterusnya mengaplikasikan
pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar. Ini secara tidak langsung membentuk satu
generasi yang berakhlak tinggi yang boleh berfikiran luar kotak. Tuntas kata berlandaskan
isu yang dimanifestasikan, guru juga sesuai digelar sebagai pengamal ilmu dan
kemahiran.

Sementelahan pula, sebagai agen perubahan kepada pembelajaran Abad ke-21


bertanggungjawab untuk melahirkan murid yang produktif tinggi, mahir dalam
komunikasi, mempunyai kemahiran berfikir aras tinggi serta mahir dalam penggunaan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Oleh yang demikian bagi memastikan objektif
pengajaran dapat dicapai, guru-guru perlu terlebih dahulu melengkapkan diri dengan
kemahiran-kemahiran tersebut sebelum dalam melaksanakan pengajaran dengan berkesan.
Dalam arus modenisasi ini, guru-guru juga berhadapan dengan murid-murid yang jauh
berbeza dengan murid-murid masa lalu. Tamsilannya, murid-murid kini lebih terdedah
dengan maklumat yang diperolehi daripada pelbagai sumber dan mempunyai
kecenderungan untuk mengetahui dan bertanya dengan lebih mendalam. Murid pada alaf
baharu ini lebih mempunyai akses kepada maklumat kerana lebih terdedah kepada
kepesatan teknologi. Justeru, sebagai guru yang berwibawa, guru-guru perlu melengkapkan
diri kemahiran tertentu bagi memudahkan mereka menghadapi cabaran pendidikan abad ke-
21. Jadi, usaha-usaha ini memerlukan pengorbanan dan komitmen yang tidak sedikit dan
sebagai bagi guru yang komited, segala kepayahan dan cabaran akan terbayar jika anak
didiknya mampu dibentuk dan berjaya dalam pelajaran dan kehidupannya.

Selain peranan guru sebagai agen perubahan, seorang pendidik turut berperanan
sebagai penyelidik. Konsep ini kerap kali dibincangkan dalam literatur pendidikan guru
terutamanya berkaitan dengan reformasi pendidikan dan peningkatan profesionalisme guru.
Guru-guru digalakkan menerapkan budaya penyelidikan untuk memahami persekitaran
pembelajaran serta amalan dan tindakan diri demi mempertingkatkan kualiti
profesionalisme mereka. Dalam usaha meningkatkan profesionalisme guru, satu trend
menarik dalam perkembangan pendidikan di negara telah diwujudkan bagi pemantapan
komuniti pembelajaran profesional dalam kalangan pendidik. Trend yang dimaksudkan ialah
pelaksanaan Komuniti Pembelajaran Profesional (Professional Learning Communities, PLC)
dalam kalangan guru dan pemimpin sekolah yang merupakan satu aktiviti Pembangunan
Profesional Berterusan. Usaha ini selaras dengan Anjakan 4 dalam PPPM untuk
membudayakan kecemerlangan berasaskan teladan rakan setugas di bawah inisiatif
mentransformasi profesion keguruan menjadi profesion pilihan.

Lantaran itu, Professional Learning Community (PLC) merujuk kepada para


pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam membuat
inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid
mereka. PLC yang merujuk kepada amalan kolaboratif dalam kalangan pendidik yang
komited dan secara bersama-sama menetapkan matlamat atau membina wawasan dan
berusaha secara kolektif mencapai matlamat yang ditetapkan. Contohnya, matlamat bagi
guru adalah untuk memastikan pembelajaran murid dilaksanakan dengan lebih
berkesan bagi membangunkan murid yang holistik. Manakala bagi kepimpinan dan
pakar bidang khusus, matlamatnya adalah untuk memastikan rakan pemimpin dan rakan
kepakaran sentiasa cemerlang dan berwibawa. Kerjasama bagi mencapai matlamat yang
sama ini menggalakkan rasa kesepunyaan nilai, misi, kejelekitan dan memberikan peluang
kepada guru dan pemimpin sekolah untuk melibatkan diri dalam meningkatkan
pembelajaran mereka sendiri. Hasilnya, pembangunan profesionalisme dapat ditingkatkan
secara berterusan sepanjang kerjaya. Setiap hari seseorang guru perlu membuat berbagai-
bagai keputusan yang berkaitan dengan pengajaran dan pengurusan bilik darjah. Dengan
ini, peranan guru sebagai penyelidik adalah nyata apabila aktiviti guru berdasarkan PLC ini
dicatat atau didokumentasikan secara nyata atau formal dan secara sistematik. Hal ini
membolehkan seseorang guru untuk melibatkan diri dalam proses inkuiri dengan tujuan
memperbaiki amalan pengajaran dan pencapaian murid. Pendek kata, menerusi usaha
sebegini, segala peranan, fungsi, amalan, budaya dan norma di sekolah lebih difahami oleh
guru berbanding dengan penyelidik pihak ketiga. (Buletin Anjakan_Buletin Transformasi
Pendidikan Malaysia Bil 7/2015)

Sekali lagi, mengaitkan tajuk perbincangan, guru yang bertanggungjawan dalam


memastikan kecemerlangan seseorang murid dikatakan berfungsi sebagai seorang
perancang berlandaskan aspek standard 4 dalam Standard Kualiti Pendidikan Malaysia
Gelombang 2 (SKPMg2). Kementerian menggariskan peranan seorang pendidik sebagai
perancang kerana tugasnya dikhususkan kepada merancang rancangan pelajaran, sumber
pendidikan, pentaksiran dan tempat pembelajaran bersesuaian dengan masa, objektif, aras
keupayaaan murid, Dokumen Standard Kurikulum (DSK) dan Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI).
Perancangan yang rapi perlu dibuat oleh seorang widyaiswara dalam memastikan
perkembangan murid secara menyeluruh dari segi jasmani, rohani, emosi, intelek dan
sosial. Jelas kata, guru bertindak sebagai perancang untuk memastikan kesediaan dan
persediaan rapi dalam melaksanakan pembelajaran dan pemudahcaraan
(PdPc) secara profesional dan sistematik dalam memastikan kemenjadian murid yang stabil.

Had atau kawalan amat penting dalam setiap perkara yang kita lakukan dalam
kehidupan seharian kita. Dalam isu pendidikan, guru berperanan sebagai pengawal yang
mengawal isi atau skop pembelajaran, masa, penyertaan murid, komunikasi dan perlakuan
murid, susun atur kedudukan murid, dalam hal menepati objektif, sikap berhemah dan juga
pelbagai aras keupayaan murid. Berdasarkan Standard 4 Standard Kualiti Pendidikan
Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2), pentingnya guru bertindak sebagai pengawal
pelaksanaan pdpc untuk memastikan kelancaran proses pembelajaran mengikut
perancangan. Hal ini dikatakan demikian kerana, perkara ini membolehkan seseorang
pendidik untuk mengelola isi pelajaran dan peruntukan masa serta memberi peluang kepada
penyertaan aktif murid dengan menepati objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan
secara berterusan dalam pembelajaran dan pemudahcaraan (PdPc).

Menelusuri topik perbincangan dengan lebih lanjut, peranan guru sebagai


pembimbing dan juga sebagai pendorong dinyatakan sebagai dua peranan yang berbeza
dalam konteks Standard 4 Standard Kualiti Pendidikan Malaysia Gelombang 2 (SKPMg2)
padahal, kedua-duanya membawa maksud yang sama secara kesuluruhannya. Apa yang
membezakannya ialah guru sebagai pembimbing berfokuskan perihal pedagogi dan
konteks pembelajaran yang menekankan perkembangan intelek seseorang murid,
manakala guru sebagai pendorong pula berfokuskan sifat dan nilai seseorang murid yang
menekankan aspek perkembangan sosial dan rohani. Dengan lebih lanjutnya, guru yang
bertindak sebagai pembimbing untuk membolehkan murid menguasai pengetahuan,
kemahiran dan mengamalkan nilai berdasarkan objektif pelajaran. Misal kata, dengan
memberi tunjuk ajar dalam menguasai isi pelajaran dan kemahiran, memandu murid
membuat keputusan dan menyelesaikan masalah serta menggunakan sumber pendidikan,
dan mengabung isi pelajaran dengan kemahiran atau mata pelajaran lain mengikut
keperluan dan keupayaan murid dengan betul, tepat secara berhemah dan bersungguh-
sungguh. Pada masa yang sama, guru yang bertindak sebagai pendorong untuk
meningkatkan motivasi murid dalam pembelajaran serta mendorong minda murid
melaksanakan aktiviti pembelajaran secara terancang. Contohnya, mendorong secara
merangsang murid berkomunikasi dan berkolaboratif, mengemukakan soalan yang menjuru
kepada pemikiran kritis dan kreatif dan membuat keputusan atau menyelesaikan masalah,
mewujudkan peluang untuk murid memimpin dan mengemukakan soalan berkaitan isi
pelajaran serta memperoleh pengetahuan dan kemahiran secara kendiri berdasarkan
objektif pelajaran, mengikut keupayaan murid dan secara berterusan.

4.3 Rumusan Keseluruhan

Kesimpulannya, sekolah secara umumnya dan guru secara khususnya memainkan


peranan penting dan mempunyai pengaruh yang besar dalam kemenjadian seorang murid.
Hal ini dikatakan demikian kerana sekolah merupakan tempat murid meluangkan masa yang
lebih banyak selain rumah dan guru pula dianggap sebagai pengganti ibu bapa di
sekolah. Melalui seorang gurulah satu generasi dididik supaya berakhlak, berrnoral dan
mengamalkan budaya hidup yang mumi selain menjadi insan yang berakhlak. Tidak dapat
dinafikan bahawa guru memainkan peranan yang berkesan bagi menyemai dan
menanamkan nilai-nilai mumi sebagai langkah membentuk dan melahirkan masyarakat yang
seimbang secara holistik. Segala transformasi pendidikan negara hanya dapat direalisasikan
menerusi agen perubahan yang digelar sebagai pendidik di mata dunia.
4.0 BIBLIOGRAFI

Abd. Rahim Abd. Rashim. (2005), Professionalisme Keguruan ; Prospek dan Cabaran,

Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur.

Abdul Rashid Abdul Samad. (2001).Kepimpinan strategik: Satu dimensi baru

dalam kepimpinan kepengetuaan. Jurnal Institut Kepengetuaan,1 (1): Februari.

Abdul Ghani Ahmad (2017), Menambah Baik Martabat Guru ; Laporan Khas, Majalah

Pendidik. Terbitan Jun 2017, Wardah Communication Sdn.Bhd,

Kuala Lumpur

Abdul Halim al-Muhammadi. 15 Mei 2009. Manfaat ilmu cara terbaik hargai jasa guru :

pendidik pikul tanggungjawab berat bentuk generasi berdaya saing, pemimpin masa

depan. Berita Harian. him. 4 l.

DatoSeri Mahdzir Khalid (Menteri Pendidikan), (2017), PPPM Selaras Dengan TN50 ;

Pemikiran Mahdzir. Majalah Pendidik. Terbitan Mac 2017, Wardah Communication

Sdn.Bhd, Kuala Lumpur

Guru Abad ke-21. (2015), Buletin Anjakan ; Buletin Transformasi

Pendidikan Malaysia , Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Bil 5/2015

Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan Pelaksanaan KBAT di Sekolah. (2015), Buletin

Anjakan ; Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia , Pelan Pembangunan

Pendidikan Malaysia. Mac 2015


Kamaruddin Hj. Hussin. 1995. Dinamika sekolah don bi!ik darjah. Kual a Lumpur: Utusan

Publication and Distributors Sdn. Bhd.

Kamus Dewan Edisi Keempat (2005), Dewan Bahasa dan Pustaka,

Kuala Lumpur.

Malim Abdullah.(2017), Pembudayaan Pendidikan Sepanjang Hayat ; Rencana Umum,

Majalah Pendidik. Terbitan Jun 2017, Wardah Communication Sdn.Bhd,

Kuala Lumpur

Mohd. Kamal Hassan . 15 Mei 2009. Manfaat ilmu cara terbaik hargaijasa guru: pendidik

pikul tanggungjawab berat bentuk generasi berdaya saing, pemimpin masa depan.

Berita Harian. him. 41.

Norhailmi Abdul Mutalib (2017), Cabaran Menjadi Guru Abad 21 ; Tip Guru Pakar, Majalah

Pendidik. Terbitan Mac 2017, Wardah Communication Sdn.Bhd, Kuala Lumpur

Pembangunan Profesionalisme Malaysia. (2015), Buletin Anjakan ; Buletin Transformasi

Pendidikan Malaysia , Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. Bil 7/2015

Pembelajaran Abad Ke-21: Amalan Dan Pelaksanaan Di Sekolah. (2015), Buletin Anjakan ;

Buletin Transformasi Pendidikan Malaysia , Pelan Pembangunan Pendidikan

Malaysia. Bil 4/2015

Ridzuan Kamis (2017), Pengurusan Bilik Darjah Yang Berkesan ; Rencana Umum, Majalah

Pendidik. Terbitan Jun 2017, Wardah Communication Sdn.Bhd, Kuala Lumpur


Syed Ismail bin Syed Mustafa.Ahmad Subki bin Miskon (2010), Guru dan Cabaran Semasa,

Penerbitan Multimedia, Puchong, Selangor.

https://www.moe.gov.my/

[atas talian : 28 JULAI 2017]

http://utusanonline.com.my
[atas talian : 02 0GOS 2017]

http://bharianonline.com.my
[atas talian : 02 OGOS 2017]

https://ms.wikipedia.org/wiki/Transformasi_Nasional_2050

[atas talian : 01 OGOS 2017]

You might also like