You are on page 1of 5

BERAPA ramai lelaki sanggup membuang rasa malu untuk menjalani

pemeriksaan alat sulit bagi mengesan kehadiran kanser prostat?


Hakikatnya, perasaan rendah diri dan bimbang jika disahkan menghidap
penyakit ini menyebabkan ramai lelaki lebih rela menanggung
kesakitan dalam diam dari berusaha mendapatkan rawatan awal.

Bagi kebanyakan orang, pengalaman penyakit kanser memang susah.


Mereka mendapati diri mereka menghadapi rawatan yang susah, gangguan
kepada cara hidup serta mengalami cabaran menghadapi kehidupan yang
tidak menentu.

Kadang-kadang mereka begitu tertekan dengan keadaan yang mereka


lalui. Perasaan takut merupakan perasaan yang menakutkan.

Seseorang yang dibelenggu perasaan takut terhalang daripada berfikir


secara logik dan waras. Perasaan tersebut juga menyebabkan seseorang
terburu-buru membuat keputusan.

Kebanyakan orang mula-mula mengharapkan sokongan keluarga dan kawan-


kawan. Tetapi terdapat sejenis sokongan yang ramai pesakit kanser
(di antara lima sehingga 12 orang) mendapati, paling memuaskan
adalah sokongan daripada seorang pesakit yang pernah melalui
pengalaman yang sama.

Terdapat pelbagai cara di mana seseorang pesakit atau


penghidap kanser prostatboleh mendapat sokongan moral dan spiritual.
Antaranya daripada ahli keluarga terdekat dan mereka yang tersayang,
rakan- rakan dan sahabat karib, komuniti keagamaan, doktor
perubatan, komuniti-komuniti sokongan atau kumpulan sokongan.

Ramai antara pesakit kanser amnya dan kanser prostat khususnya


menggunakan kombinasi sistem sokongan yang dinyatakan seperti di
atas. Ahli-ahli keluarga merupakan orang yang penting dan dapat
memberi sokongan yang amat bermakna kepada si pesakit.

Selain memberi sokongan moral, ahli keluarga juga perlu melengkapkan


diri dengan maklumat yang relevan tentang penyakit kanser prostat.

Mereka juga perlu sentiasa memberi galakan kepada pesakit dan


mempunyai perwatakan yang positif supaya pesakit mendapat perangsang
daripada mereka yang dikasihi. Pesakit perlu digalakkan
berkomunikasi dan membincangkan perasaan mereka.

Ada sesetengah daripada pesakit kanser mendapati bahawa mereka


mendapat kekuatan melalui kepercayaan agama dan bersembahyang.

Dalam soal ini, komuniti keagamaan dapat membentuk sistem sokongan


yang penting juga kerana terikat dengan kepercayaan agama yang sama.

Bergantung kepada tahap keseriusan penyakit, pesakit seharusnya


digalakkan untuk keluar dari rumah dan berjumpa dengan orang lain
serta menjalani kehidupan seperti biasa.

Hal ini adalah kerana adalah perlu untuk pesakit agar tidak terlalu
berfikir tentang penyakitnya kerana keadaan sedemikian dapat
menjejaskan perasaan dan emosinya.

Pendidikan dan kegiatan penyelidikan yang mendalam dapat membantu


pesakit serta kaum kerabat yang terdekat mempelajari tentang kanser
prostat.

Pengetahuan ini seterusnya akan dapat membantu pesakit membuat


pilihan-pilihan gaya hidup, diet, dan sebagainya yang terbaik bagi
dirinya. Dalam hal ini, doktor perubatan boleh membantu memberi
tunjuk ajar dan nasihat yang terbaik untuk pesakit menghadapi
cabaran Tuhan.

Dengan adanya Internet pada zaman sekarang, adalah menjadi lebih


mudah bagi seseorang mencari maklumat secara dalam talian.

Bahan-bahan rujukan dari seluruh dunia dapat diakses dengan hanya


beberapa klik pada tetikus. Walau bagaimanapun, pesakit perlulah
berbincang dengan doktor tentang pilihan mereka.

Kajian juga menunjukkan kebaikan yang ketara daripada menyertai


kumpulan sokongan rakan sebaya pesakit kanser untuk membantu mereka
menghadapi krisis hidup mereka.

Mereka boleh membantu anda mencari azam dan tekad dalaman yang baru
serta cara menghadapi masalah yang timbul akibat kanser bersama
rakan yang lebih berkesan.

Kumpulan sokongan ini dapat membuka jalan kepada si pesakit untuk


mempelajari lebih banyak tentang penyakit yang mereka hidapi kerana
ahli-ahli yang lain sememangnya pernah atau sedang mengalami situasi
yang sama.

Mereka dapat memberikan galakkan dan dorongan kepada satu sama lain
untuk menguatkan azam demi sembuh dari penyakit.

Seorang fasilitator (kaunselor professional) yang layak serta


berpengalaman akan mengendalikan kumpulan ini sekali seminggu selama
satu jam. Semua perkara yang dibincangkan dianggap peribadi.

Di Malaysia, kumpulan-kumpulan sokongan lazimnya diadakan di


hospital-hospital. Walau bagaimanapun, ada juga pertubuhan-
pertubuhan lain yang menawarkan perkhidmatan sedemikian, misalnya
Persatuan Kebangsaan Kanser Malaysia.

Apa itu prostat?


Prostat adalah kelenjar sistem pembiakan lelaki. Ia menghasilkan
sebahagian penting cecair seminal, yang membawa air mani dan sperma
sewaktu lelaki mengalami ejakulasi.

Kelenjar prostat terletak di antara/hadapan rektum, dan dasar pundi


kencing yang mengelilingi uretra/saluran kencing, iaitu saluran yang
menyalurkan air kencing dari pundi kencing ke penghujung zakar.
Prostat merangkumi 30 peratus tisu otot dan selainnya terdiri
daripada tisu glandular.

Masalah-Masalah Prostat
* Prostatitis: Kelenjar prostat mengalami radangan atau inflamasi.
Prostat menjadi bengkak, merah dan panas. Apabila lelaki mengalami
Prostatitis, beliau akan dapat merasai kesakitan ketika membuang air
kecil dan mungkin berlaku kekerapan kencing, keletihan serta demam.

* Hiperplasia prostatik benigna (BPH): Sering berlaku kepada lelaki


berumur 50 tahun ke atas. Apabila seorang lelaki semakin meningkat
usia, kelenjar prostat kian membengkak dan menjerut uretra
menghasilkan gejala seperti mengalami kesukaran dan kerumitan untuk
membuang air kecil.

Lain-lain; kerap kencing (pada waktu malam), keinginan secara tiba-


tiba untuk membuang air kecil dan aliran air kencing perlahan dan
terputus-putus.

* Kanser prostat: Keadaan di mana terdapat pembesaran sel-sel


prostat yang luar biasa.

Apakah itu Kanser Prostat?


Kanser prostat merupakan tumor barah yang merbahaya yang mula tumbuh
dalam kelenjar prostat.

Sewaktu tumor membesar, ia mungkin merebak dari satu bahagian


daripada prostat ke bahagian yang bersebelahan atau mengelilingi
bahagian tersebut.

Kanser prostat boleh merebak dari prostat sehingga ke nod limfa, dan
juga pada bahagian yang jauh seperti tulang belakang, tulang rusuk
atau bahagian tulang yang lain.

Apakah Tahap Keseriusan Kanser Prostat?


Kanser prostat merupakan penyakit yang amat serius dan boleh membawa
maut kerana keupayaannya merebak ke bahagian badan yang lain apabila
mencapai peringkat lanjut.

Faktor-Faktor Risiko Kanser Prostat


Keturunan: Lelaki dari negara Amerika dan Eropah berisiko tinggi
berbanding lelaki Asia

Umur: Bilangan pesakit kanser prostat tertinggi berada dalam


lingkungan lelaki 50 tahun ke atas

Hormon: Paras hormon testosteron tinggi menggalakkan perkembangan


tisu kanser prostat

Diet: Mengambil diet tinggi lemak, kurang sayur-sayuran dan makanan


mengandungi kandungan serat dan zink serta protein yang rendah boleh
meningkatkan risiko menghidap kanser prostat

Sejarah Keluarga: Lelaki yang mempunyai sejarah ahli keluarga lelaki


yang disahkan menghidapi kanser prostat dan ahli keluarga wanita
yang menghidap kanser berisiko tinggi menghidap kanser prostat

Gejala Kanser Prostat


Sekiranya penyakit ini dikesan pada peringkat awal, kebanyakan
lelaki tidak akan mengalami sebarang gejala. Selain daripada gejala
BPH, gejala bagi kanser prostat adalah:

* Terdapat darah dalam air kencing

* Terasa sakit atau panas semasa membuang air kecil

* Daya pengaliran air kecil yang atau hilang kawalan terhadap


pembuangan air kecil

* Ejakulasi yang menyakitkan

* Penurunan dari segi keinginan seksual

* Kurang upaya dalam mengalami rangsangan seksual

* Kesakitan pada bahagian belakang, pelvis (tulang pinggul), atau


bahagian atas paha

* Hilang selera makan

* Kesakitan tulang yang berlanjutan

Cara-Cara mengesan Kanser Prostat


* Pemeriksaan rektal digital (DRE): Memasukkan jari ke dalam rektum
(dubur) untuk merasai tisu keras (ketumbuhan) atau saiz prostat.

* pengesanan prostat spesifik antigen (PSA): Ujian ini mengukur


paras PSA di dalam sampel darah pesakit. PSA adalah protein yang
dikeluarkan oleh prostat.

* Ultrasound: Menggunakan alat menerusi gelombang bunyi untuk


mengesan kebengkakan prostat melalui imej di skrin

* Biopsi: Menggunakan jarum mengambil tisu prostat dan melihat bawah


mikroskop untuk mengesahkan tisu kanser

Rawatan Kanser Prostat


Terdapat banyak jenis rawatan untuk kanser prostat. Pilihan utama
ialah:

* Tunggu dan Lihat: Melihat perkembangan simptom kanser prostat dari


masa ke semasa

* Pembedahan: Pembuangan keseluruhan kelenjar prostat


* Radiasi: Menggunakan sinar-X untuk memusnahkan tisu kanser prostat

* Terapi Hormon: Merencatkan aktiviti testosteron. Testosteron


menggalakkan perkembangan tisu kanser prostat

* Terapi Kimia (kemoterapi): Menggunakan ubat-ubatan kanser untuk


merencat atau memusnahkan tisu kanser prostat

Kesan Sampingan Kanser Prostat


Sebilangan lelaki mungkin mengalami satu atau lebih kesan sampingan
berikut yang berpunca daripada rawatan kanser atau dari penyakit itu
sendiri iaitu masalah pembuangan air kecil, masalah usus, masalah
ereksi dan ketidaksuburan atau kemandulan.

Langkah-langkah pencegahan
Kesan awal kanser prostat boleh menyelamatkan nyawa anda, maka kerap
melakukan pemeriksaan perubatan dan lebihkan pemakanan sayur-sayuran
dan makanan yang mempunyai zat fiber yang tinggi.

Selain itu, kurangkan pengambilan makanan yang tinggi kandungan


lemaknya serta, bersenam dan amalkan gaya hidup yang sihat.

- Dr. Sulaiman merupakan Pakar Radiologi dan Perubatan Nuklear di


Pusat Kebangsaan Kanser, Kuala Lumpur. Beliau juga merupakan salah
seorang daripada ahli MayFirst Health and Wellness Council (MHWC)
panel pakar yang ditubuhkan oleh syarikat MayFirst Gold Sdn. Bhd.
untuk memberi kesedaran kepada orang ramai tentang kanser prostat,
melalui kempen CEgah KAnser Prostat (CEKAP).
Posted by Haidhir b. Kamarull Bahrin at 9:18 PG

You might also like