Kertas Penerangan 1.1

You might also like

You are on page 1of 10

KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA

KURIKULUM STANDARD KOLEJ VOKASIONAL


MODUL PENDIDIKAN UMUM
PENGAJIAN MALAYSIA
KERTAS PENERANGAN

KURSUS/ COURSE MODUL PENDIDIKAN UMUM PENGAJIAN MALAYSIA

SEMESTER SEMESTER 1

NO. DAN TAJUK MODUL/ 01 - SEJARAH DAN POLITIK


MODULE NO. AND TITLE 1.1 LATAR BELAKANG SEJARAH AWAL NEGARA

Melahirkan kesedaran tentang penderitaan penduduk


KEBOLEHAN / ABILITIES
Tanah Melayu untuk mendapat kemerdekaan.

PELAJAR AKAN MENDAPAT:


1.1.1 Menyatakan faktor kejayaan Jepun menakluk Tanah
Melayu.
OBJEKTIF MODUL / 1.1.2 Menyatakan kesan pendudukan Jepun di Tanah
Melayu.
MODULE OBJECTIVE 1.1.3 Mengumpul maklumat tentang perjuangan pemimpin
tempatan menentang British.
1.1.4 Menjelaskan kesan pemerintahan Jepun kepada
masyarakat Malaysia.

NO. KOD/ CODE NO WPA 5012 Page : 1 of 10

TAJUK: LATAR BELAKANG SEJARAH AWAL NEGARA.


1.1.1 FAKTOR JEPUN BERJAYA MENAKLUKI TANAH MELAYU

(a) Perang Dunia Kedua

Kejayaan Jepun menguasai seluruh Tanah Melayu dalam tempoh 70 hari sahaja didorong oleh
pelbagai faktor. Perang Dunia Kedua yang meletus di Eropah menjadi pemangkin utama kepada
kejayaan pihak Jepun tersebut. Pihak British bukan tidak menyedari kemungkinan bahawa pihak
Jepun akan menyerang Tanah Melayu tetapi lebih menumpukan perhatian kepada peperangan
yang meletus di Eropah lebih mendesak. Pihak Britain yang mempunyai tanah jajahan di Afrika
dan Asia telah diminta untuk membantu Rusia, Perancis dan Belanda apabila keadaan semakin
terdesak. Hal ini menyebakan tanah jajahan di Asia Tenggara terutamanya Tanah Melayu terbiar
dan membuka peluang kepada Jepun untuk menyerangnya. Pihak British juga tidak bersungguh-
sungguh mempertahankan Tanah Melayu. Pertahanan di Timur telah diserahkan kepada Amerika
Syarikat yang berpengkalan di Pearl Habour, Hawaii. Kesan daripada pengeboman Jepun di
Pearl Habour telah melumpuhkan terus pertahanan di Timur.
(b) Sikap Pihak Barat
CODE NO A16 600 Page : 2 of 10

Selain itu, sikap pihak barat yang memandang rendah terhadap kemampuan Jepun menjadi
salah satu faktor kejayaan Jepun. Pihak British cukup yakin dengan kemampuan tentera laut
dan udara mereka yang dianggap bahawa ianya boleh menandingi kekuatan tentera Jepun
dengan mudah. Pihak British juga cukup yakin dengan adanya kedua-dua kapal perang mereka.
Akibatnya apabila pihak Jepun dengan mudah menenggelamkan kapal-kapal tersebut, ianya
telah mengaibkan British yang terkenal sebagai kuasa laut pada Perang Dunia Pertama.

(c) Persediaan dan Perancangan Jepun

Persediaan dan perancangan Jepun yang teratur juga menjadi pemangkin kepada kejayaan ini.
Penubuhan unit Perisikan Khas berjaya mendapatkan maklumat kekuatan tentera Britsh di Tanah
Melayu dan memudahkan pihak Jepun untuk merancang strategi. Selain perisik tempatan, Jepun
juga menghantar orang Jepun sendiri ke Asia Tenggara termasuk Tanah Melayu untuk
menjalankan pengintipan. Mereka telah menyamar dengan menjalankan pelbagai jenis pekerjaan
seperti membuka kedai tukang gambar, kedai ikan peliharaan dan keda gula-gula. Mereka
mengambil gambar bangunan, jalan raya, jambatan, mengkaji sungai-sungai dan jalan di dalam
hutan dengan alasan untk mencari ikan untuk jualan. Semua maklumat ini digunakan oleh
tentera Jepun untuk mengkaji kedudukan pertahanan Tanah Melayu sebelum memulakan
serangan. Maklumat-maklumat tentang kubu British, landasan kapal terbang dan lokasi kem
tentera telah diperoleh terlebih dahulu. Hal ini memudahkan serangan Jepun ke Tanah Melayu.

(d) Penyebaran Dakyah Anti-British

Selain itu, Jepun juga, melalui Doro Nawa telah berjaya menyebarkan dakyah anti-British dalam
kalangan askar-askar India yang berkhidmat dengan pasukan British di Tanah Melayu untuk
meninggalkan perkhidmatan mereka. Jepun telah berjaya menarik orang India yang berkhidmat
dengan British untuk bekerjasama dengan Jepun. Seorang nasionalis radikal India, Subhas
Chandara Bose telah datang ke Tanah Melayu dan menubuhkan pasukan yang dikenali sebagai
Indian National Army (INA) untuk membantu Jepun. Jepun juga berjanji untuk membebaskan
India daripada penjajahan British. Pihak Jepun juga berjaya mempengaruhi penduduk tempatan
seperti golongan nasionalis radikal daripada Kesatuan Melayu Muda (KMM) di bawa pimpinan
Ibrahim Hj. Yaakob. Hal ini memudahkan penguasan Jepun di Tanah Melayu berjalan dengan
lancar.

(e) Kelengkapan Senjata Perang Jepun

Salah satu faktor juga ialah kelengkapan senjata pihak Jepun. Tentera Jepun telah
memperkuatkan serangannya dengan mengadunkan kekuatan baik dari segi laut, udara
mahupun darat. Angkatan udara Jepun telah mengambil kira jarak dan sasaran, dari pengkalan-
pengkalan baru mereka di Indo-China seterusnya telah menggunakan kapal terbang pejuang
yang dianggap lebih moden daripada pihak British. Pesawat pejuang ini juga memberikan
perlindungan kepada pesawat pengebom untuk memusnahkan instalasi penting British termasuk
yang berada di pedalaman. Begitu juga dengan bantuan perlindungan rapat kepada pesawat-
pesawat pengangkut dan logistik. Mereka juga dibantu dengan tembakan meriam daripada
kapal-kapal pemusnah Jepun yang berlabuh dekat pantai untuk melemahkan pertahanan utama
British di sekitar landasan kapal terbang Pengkalan Chepa. Secara kesuruhannya, kekuatan
tentera Jepun diperkuat sepenuhnya dengan persenjataan, kelengkapan, bekalan peluru,
makanan dan ubat-ubatan.
CODE NO A16 600 Page : 3 of 10

(f) Kelemahan Tentera British

Kelemahan tentera British dan kekurangan kelengkapan senjata perang juga menjadi faktor
kekalahan British di tangan Jepun. Pasukan tentera British yang dipertanggungjawabkan untuk
mempertahankan Tanah Melayu dan Singapura kurang terlatih dan berpengalaman. Mereka juga
bukan berasal dari kalangan satu bangsa atau terdiri daripada orang tempatan. Hal ini
menyebabkan mereka tidak mempunyai semangat cintakan tanah air yang mendorong mereka
untuk berperang bersungguh-sungguh. Kelewatan tentera bantuan dari London dan India juga
merumitkan lagi keadaan. Kelewatan ini berlaku berikutan masalah kewangan yang dihadapi
oleh kerajaan British.

Kekurangan kelengkapan senjata perang juga memudahkan Jepun untuk menewaskan British.
Pihak British hanya bergantung kepada dua buah kapal perangnya iaitu kapal Prince of Wales
dan Repulse untuk menjaga peraiaran Tanah Melayu. Apabila pihak Jepun berjaya
menenggelamkan kedua-dua kapal tersebut, tentera Jepun mengusai sepenuhnya kawalan
sekitar perairan Tanah Melayu. Keadaan di pengkalan laut juga tidak memuaskan. Pengkalan
laut di Singapura hanya disiapkan pada tahun 1938 dan tidak digunakan sepenuhnya kerana
tidak ada kapal laut yang dihantar oleh kerajaan British. Dari segi pertahanan udara, ruang
angkasa Tanah Melayu dikawal oleh beberapa ratus pesawat udara sahaja dan tidak begitu baik
jika dibandingkan dengan kemampuan kapal terbang Jepun. Kekuatan pertahanan British juga
hanya bergantung kepada tiga pasukan tentera iaitu Pasukan ke-8, Pasukan ke-9 (Australia)
dan Pasukan ke-11 (India) dengan jumlah tentera seramai 89 000 orang berbanding dengan
tentera Jepun seramai 150 000 orang.

Pihak British juga kalah di tangan Jepun disebabkan mereka kurang bersedia. Pihak British
menyangka Jepun akan memulakan serangan dari arah selatan (Singapura) kerana pusat
pentadbiran British terletak di situ. Sebaliknya, Jepun memulakan serangan dari arah utara
(Kelantan) dan menakluk negeri-negeri Melayu satu demi satu. Oleh itu,semasa serangan Jepun,
semua meriam dan senapang telah dihalakan ke laut. Kemaraan Jepun dari utara sememangnya
di luar jangkaan British.

(g) Semangat Juang yang Tinggi

Faktor yang tidak kurang pentingnya juga ialah unsur moral dan semangat juang yang tinggi
dalam kalangan tentera Jepun. Pihak Jepun bukan sahaja memiliki kekuatan dari segi bilangan
tetapi mereka sangat terlatih dan mempunyai semangat juang dan disiplin yang tinggi. Tentera
Jepun di samping bermoral tinggi dan bersemangat juga menganggap perjuangan mereka itu
adalah perjuangan suci bagi Negara dan Maharaja.

1.1.2 KESAN-KESAN PENDUDUKAN JEPUN


CODE NO A16 600 Page : 4 of 10

1. Politik

Selepas menguasai Tanah Melayu, Jepun menyusun semula pentadbiran dengan


meletakkan Tanah Melayu di bawah pentadbiran tentera yang dikenali sebagai Malaya
Military Administration (MMA) sesuai dengan keadaan peperangan ketika itu. Matlamat
utama MMA ialah untuk memulihkan ketertiban awam, mengeksploitasikan sumber-sumber
penting untuk menampung ekonomi perang dan menjamin bekalan yang cukup bagi
keperluan tenteranya di Tanah Melayu. Dalam menjalankan pentadbiran, MMA dibantu oleh
Polis Rahsia Jepun dan Badan Perisikan Jepun yang dikenali sebagai Kempeitai Tekkikan
dan Toko. Negeri-negeri Selat (NNS) ditadbir secara langsung oleh Jepun manakala sistem
kerajaan di negeri-negeri lain diteruskan dan diletakkan di bawah kawalan langsung seorang
Gabenor Jepun. Majlis Mesyuarat Negeri ditukarkan menjadi Majlis Penasihat. Majoriti
ahlinya adalah orang Jepun dan orang Melayu. Walau bagaimanapun, kuasa sebenar
berada di tangan Jepun. Untuk mendapat sokongan orang Melayu, Jepun mengekalkan
institusi Sultan sebagai pentadbir bersama-sama dengan pihak Jepun.
Pada peringkat awal pendudukan Jepun, Sumatera digabungkan dengan Tanah Melayu di
bawah satu pentadbiran yang berpusat di Singapura yang dikenali sebagai Shonan. Walau
bagaimanapun, penyatuan ini gagal dan Sumatera dipisahkan dari NNM daripada segi
pentadbiran pada tahun 1944.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan kesedaran politik yang mendalam di kalangan


penduduk Tanah Melayu terutamanya orang Melayu. Hal ini dijelaskan oleh Yoji Akashi
dalam bukunya The Japanese Military Administration in Malaya. Anthony Hill dalam
bukunya Division in Malaya menegaskan The Japanese regime and its aftermath
awakened for the first time the political consciousness among the Malay People. They
certainly developed it, leading its solidarity and direction. Manakala John Fustons dalam
bukunya Malay Politic in Malaysia menegaskan yang pendudukan Jepun telah politicize
the Malay Peasantry to the extent that they were available for mass mobilization immediately
after the war. Penderitaan yang dialami dan propaganda Jepun Asia untuk Asia telah
membangkitkan kesedaran penduduk tempatan untuk berjuang menuntut kebebasan politik
dan kemerdekaan.

Dalam menjalankan pentadbiran Jepun lebih mengutamakan orang Melayu kerana ia


menganggap Tanah Melayu sebagai hak orang Melayu. Dalam buku yang sama Yoji Akashi
menjelaskan In the early stage of accupation, the MMA was obliged to regard the Malays as
the rightful owner of Malaya while the Chinese and Indian as subordinate races. Orang
Melayu diberi peluang memegang jawatan-jawatan pentadbiran seperti Pegawai Daerah dan
sebagainya. Dalam Majlis Penasihat bilangan ahli Melayu melebihi bilangan bangsa-bangsa
lain. Sebagai contoh, di Perak 14/20, di Negeri Sembilan 7/12 dan di Pahang 5/9.
Pengalaman dalam pentadbiran yang diterima oleh orang Melayu telah memberi keyakinan
diri dan menyedarkan mereka bahawa orang Melayu mampu mentadbir negeri mereka
sendiri.

Dasar Jepun terhadap orang India agak memuaskan kerana ia mengharapkan sokongan
mereka dalam usaha untuk menjayakan rancangan Jepun untuk menguasai India. Orang
CODE NO A16 600 Page : 5 of 10

India digalakkan bekerjasama dengan Jepun bagi membebaskan India daripada British.
Mereka diminta menganggotai Tentera Kebangsaan India (MIA) yang ditubuhkan oleh Jepun
di Tanah Melayu. Dengan tujuan mendapatkan sokongan orang India juga, Jepun
menubuhkan Kerajaan India Buangan yang dikenali sebagai Azad Hind di Singapura di
bawah pimpinan Subhas Chandra Bose. Dasar Jepun terhadap orang India telah
menimbulkan masalah dalam usaha untuk mewujudkan semangat kenegaraan di kalangan
orang India di Tanah Melayu.

Dasar orang Jepun terhadap orang Cina amat berbeza daripada dasar mereka terhadap
orang Melayu dan India. Selepas menguasai Tanah Melayu mereka melakukan pembunuhan
beramai-ramai dan lain-lain kezaliman ke atas orang Cina. Keadaan ini berlaku kerana
permusuhan di antara Negeri Jepun dan Negeri China. Selain itu, Jepun marah kepada
orang Cina di Tanah Melayu yang telah membantu Negeri China semasa Jepun menyerang
China 1937. Akibat daripada tindakan Jepun, ramai orang Cina melarikan diri ke dalam hutan
bagi mengelakkan penindasan Jepun dan seterusnya menganggotai Parti Komunis Malaya
(PKM). Dasar Jepun terhadap orang Cina dan India telah menebalkan lagi semangat
kecinaan dan keindiaan di kalangan orang Cina dan India di Tanah Melayu.

Kekalahan British dengan begitu mudah telah menjatuhkan maruah British dan telah
melenyapkan mitos superioriti yang menganggap kuasa Barat tidak boleh dikalahkan oleh
kuasa Timur. Cara mereka diusir oleh Jepun serta cara tawanan dilayan telah menjatuhkan
lagi maruah British. Kekalahan British menyedarkan penduduk tempatan bahawa mereka
tidak boleh bergantung kepada British untuk mempertahankan Tanah Melayu. Keadaan ini
menyedarkan penduduk tempatan supaya berusaha sendiri bagi mempertahankan hak-hak
dan kepentingan serta tanah air mereka.

Tindakan Jepun menyerahkan Negeri-negeri Melayu Utara kepada Siam pada Ogos 1943
menyedarkan penduduk tempatan bahawa Jepun tidak berminat untuk memberi
kemerdekaan kepada Tanah Melayu. Jepun yang dianggap sebagai pembebas yang akan
membebaskan Tanah Melayu juga merupakan kuasa penjajah. Apa yang berlaku
sebenarnya ialah penjajahan British digantikan dengan penjajahan Jepun malah penjajahan
Jepun lebih kejam daripada penjajahan British.

Permusuhan yang timbul dengan orang Cina akibat pendudukan Jepun telah menyedarkan
orang Melayu untuk bangun memperjuangkan hak-hak kepentingan mereka sebagai
bumiputera Tanah Melayu. Jepun dengan nasionalis-nasionalis Melayu telah menimbulkan
lagi semangat nasionalisme. Jepun memberi sokongan kepada Kesatuan Melayu Muda
(KMM) pimpinan Ibrahim Yaacob. Ia juga telah menubuhkan Pasukan Tentera Sukarela
(PETA) atau Pembela Tanah Air yang lebih dikenali sebagai Giyu Gun di bawah pimpinan
Ibrahim Yaacob. Selepas menduduki Tanah Melayu, Jepun membebaskan nasionalis-
nasionalis yang dipenjarakan oleh British seperti Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad dan
Ahmad Boestamam. Pembebasan telah membolehkan perjuangan nasionalisme diteruskan.

Pendudukan Jepun telah memberi peluang kepada PKM untuk berkembang. Ia mula
mendapat sokongan ramai terutamanya daripada orang Cina dan dianggap sebagai
pelindung mereka daripada penindasan Jepun. Apabila Tanah Melayu dikuasai Jepun,
anggota-anggota PKM lari ke dalam hutan untuk meneruskan perjuangan. Mereka telah
menyertai Malayan Anti-Japanese Union (MAJU) yang ditubuhkan oleh British.
PKM seterusnya menubuhkan Tentera Anti Jepun Rakyat Malaya atau Malayan People anti-
Japanese Army (MPAJA). MPAJA mendapat bantuan seperti senjata, makanan, ubat-ubatan
dan latihan daripada pihak Berikat terutamanya Pasukan 136. Pengalaman dalam
CODE NO A16 600 Page : 6 of 10

peperangan di hutan dan senjata yang diperolehi semasa pendudukan Jepun amat
menguntungkan PKM terutamanya dalam usaha untuk menjayakan matlamat mereka.
Semasa pendudukan Jepun, mereka menyerang hendap tentera Jepun dan menjalankan
pengintipan bagi pihak British. Selepas pendudukan Jepun, PKM muncul sebagai parti yang
kuat dan teratur. Mengenangkan jasa PKM membantu British menentang Jepun, ia diterima
sebagai parti yang sah sejak tahun 1945. Kegagalan untuk mencapai matlamat melalui
perlembagaan telah mendorong PKM melakukan pemberontakan bersenjata sejak 16 Jun
1948 bagi menjayakan matlamat mereka menguasai Tanah Melayu dan seterusnya
menubuhkan Republik Komunis Malaya.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan munculnya kesedaran politik secara berparti dan
berpersatuan di kalangan penduduk Tanah Melayu selepas pendudukan Jepun. Di antara
parti-parti yang wujud ialah UMNO, MCA, MIC, API, AWAS, PKMM, Hizbul Muslimin dan
sebagainya. Idea kemerdekaan juga didapati akibat daripada pendudukan Jepun. Ia telah
berjanji untuk memberi kemerdekaan kepada Tanah Melayu di bawah lingkungan Indonesia
Raya. Untuk tujuan tersebut, Kesatuan Rakyat Indonesia Semenanjung (KRIS) telah
ditubuhkan pada Julai 1945. Rundingan telah diadakan di antara pemimpin Tanah Melayu
iaitu Ibrahim Yaacob dan Dr. Burhanuddin dengan pemimpin Indonesia iaitu Sukarno dan
Hatta untuk menjayakan matlamat kemerdekaan bersama. Rundingan diadakan di
Singapura pada 8 Ogos 1945 dan Taiping pada 12 Ogos 1945. Walau bagaimanapun, KRIS
gagal memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu akibat daripada kekalahan Jepun pada
15 Ogos 1945.

2. Ekonomi

Ekonomi dan taraf hidup rakyat Tanah Melayu mengalami kemerosotan semasa pendudukan
Jepun. Ekonomi Tanah Melayu yang bergantung kepada eksport bijih timah dan getah
mengalami kemerosotan kerana pengeluaran berkurangan akibat peperangan dan juga
kerana dasar Bumi Hangus yang diamalkan oleh British dimana mereka telah merosakkan
pokok-pokok getah, kilang-kilang, lombong-lombong dan jentera perlombongan sebelum
beundur dari Tanah Melayu bagi mengekalkannya daripada jatuh ke tangan Jepun. Tanah
Melayu juga telah putus daripada pasaran antarabangsa bijih timah dan getah kerana Jepun
mengharamkan eksport keduanya kecuali Jepun.

Selain itu, Jepun juga mengeksploitasikan sumber-sumber yang diperlukan di negeri Jepun
terutamanya besi dan bauksit. Semasa pendudukan Jepun, Tanah Melayu mengalami
kekurangan barang pengguna khususnya tekstil dan makanan. Pada tahun 1943, Tanah
Melayu hanya menghasilkan 37.5% daripada beras penduduknya. Walaupun Burma yang
banyak menghasilkan beras juga dikuasai oleh Jepun tetapi import beras dari Burma
tergendala kerana masalah peperangan. Beberapa langkah telah dijalankan atas arahan
Jepun bagi menambahkan pengeluaran beras Tanah Melayu. Di antara langkah-langkah
tersebut ialah menggalakkan penanaman padi 2 kali setahun, memperkenalkan benih padi
daripada Taiwan, membuka tanah pertanian baru dan sebagainya. Walau bagaimanapun,
pengeluaran beras Tanah Melayu tetap tidak mencukupi untuk keperluan penduduknya.
Akibatnya penduduk Tanah Melayu terpaksa bergantung kepada tanaman lain seperti
jagung, pisang, ubi kayu dan sebagainya. Semasa Jepun, Tanah Melayu mengalami inflasi
kerana pengedaran wang kertas yang tidak terkawal dan kekurangan barang pengguna
terutamanya makanan.
Pada tahun 1945, pengedaran wang kertas di Tanah Melayu berjumlah $4000 juta
sedangkan sebelum pendudukan Jepun pengedaran wang kertas hanya $200 juta.
Kemusnahan sistem perhubungan dan lain-lain infrastruktur yang tidak dibaiki oleh Jepun
CODE NO A16 600 Page : 7 of 10

telah mengakibatkan kemerosotan ekonomi Tanah Melayu. Walapun Jepun melaksanakan


beberapa industri seperti kilang kasut, tayar dan sebagainya, tetapi ia tidak mencapai
kejayaan.

3. Sosial

Pendudukan Jepun telah menimbulkan pelbagai penderitaan pada rakyat Tanah Melayu.
Kekejaman polis rahsia Jepun khususnya Kempeitai telah menambahkan lagi penderitaan
rakyat Tanah Melayu terutamanya mereka yang anti-Jepun seperti orang Cina. Ramai orang
Cina telah dibunuh dan dizalimi oleh Jepun menyebabkan mereka lari ke dalam hutan.
Mereka tinggal di dalam hutan dan menanam tanaman makanan untuk keperluan sendiri.
Tidakan orang Cina telah membawa kepada permulaan wujudnya masalah setinggan
selepas Perang Dunia Kedua. Semasa Jepun, terutamanya orang India telah dijadikan buruh
paksa dan dihantar ke sempadan Thai-Burma untuk membina jalan keretapi. Kekurangan
makanan dan penyakit menyebabkan ramai meninggal dunia sehingga jalan keretapi itu
dikenali sebagai Jalan Keretapi Maut. Kekurangan makanan terutamanya beras telah
menimbulkan pelbagai penyakit. Di antara penyakit yang banyak membawa maut ialah
malaria dan beri-beri. Masalah penyakit semakin serius kerana kekurangan ubat lebih-lebih
lagi bila ubat-ubat telah dirampas oleh tentera Jepun bagi keperluan mereka di Tanah
Melayu.

Pendudukan Jepun telah mengakibatkan wujudnya permusuhan kaum di antara orang


Melayu dengan orang Cina akibat daripada dasar Jepun yang berbeza kepada kaum-kaum
tersebut. Layanan baik Jepun kepada orang Melayu telah menimbulkan kemarahan orang
Cina. Malah Jepun telah mengambil orang Melayu untuk dijadikan polis dan tentera dimana
mereka digunakan oleh Jepun untuk menentang MPAJA yang terdiri daripada orang Cina.
Tindakan orang Melayu menjadi pengintip Jepun telah menambah lagi kemarahan orang
Cina. Akibatnya selepas pendudukan Jepun, berlaku pergaduhan kaum di antara orang
Melayu dengan orang Cina terutamanya di Perak dan Johor. Pendudukan Jepun telah
menimbulkan semangat rajin dan berdikari di kalangan orang Melayu seperti menghasilkan
barang daripada daun nanas dan gula dari nira kelapa. Pendudukan Jepun turut
menimbulkan kesedaran orang Melayu terhadap pentingnya pengajaran, dimana selepas
perang sekolah-sekolah Melayu tumbuh dengan pesatnya di seluruh negara.

1.1.3 PERJUANGAN PEMIMPIN TEMPATAN MENENTANG BRITISH

(a) Maksud Gerakan Nasionalisme.


CODE NO A16 600 Page : 8 of 10

Usaha masyarakat tempatan menentang apa sahaja bentuk tekanan atau penjajahan terhadap
mereka oleh kuasa luar.

(b) Sebab-Sebab Penentangan Masyarakat Tempatan Terhadap British.

(i) Dasar Penaklukan British


Dasar penaklukan British terhadap negeri-negeri Melayu bertujuan mengukuhkan
kedudukan politiknya.
Penguatkuasaannya semakin luas dan kawasan itu terikat dengan perintah dan
peraturannya.
Misalnya, penduduk Naning dipaksa menjadi jajahan takluk British dan perlu bayar ufti.

(ii) Eksploitasi Terhadap Ekonomi Tempatan


British ditentang kerana berhasrat kuasai ekonomi tempatan bagi kepentingan mereka.
Ini dilakukan melalui perjanjian dengan pemimpin tempatan.
Melalui perjanjian ini, saudagar NNS dibenarkan menjalankan perlombongan dan
perdagangan bijih timah sehingga timbulkan kemarahan penduduk tempatan.

(iii) Pelaksanaan Pentadbiran British Terhadap Masyarakat Tempatan


British memaksakan sistem pentadbiran Barat kepada penduduk tempatan.
British perkenalkan sistem cukai, undang-undang dan peraturan-peraturan tanah utk dptkan
hasil yang maksimum.
Contohnya, penentangan berlaku di Terengganu kerana British menetapkan setiap tanah
yang hendak dibuka mestilah mendapat keizinan mereka dan dikenakan cukai tanah.

(iv) Campur tangan British dalam Adat Resam Tempatan


Penentangan juga berlaku kerana campur tangan British dalam adat resam tempatan.
British memaksa penduduk terima nilai-nilai British yang amat bertentangan dengan budaya
masyarakat tempatan.
Misalnya, di Perak, British J.W.W Birch campur tangan dalam amalan menggunakan orang
suruhan membuatkan beliau ditentang penduduk tempatan.

(v) Pembesar Tempatan Kehilangan Kuasa dan Pengaruh


Pembesar tempatan kehilangan kuasa dan pengaruh terhadap kawasan dan anak buah
apabila British menjajah kawasan mereka.
Ini menimbulkan rasa tidak puas hati di kalangan mereka dan mendorong mereka
menentang British.

(vi) Kesulitan penduduk tempatan.


Penentangan pemimpin tempatan mendapat sokongan anak buah mereka yg tertekan dgn
pelaksanaan undang-undang British yang menyulitkan kehidupan mereka.
Kesetiaan kepada pembesar tempatan sebagai ketua mendorong mereka beri kerjasama
untuk tentang British.

(c) Tokoh-Tokoh Tempatan Menentang Penjajah.

(i) Penentangan di Naning


CODE NO A16 600 Page : 9 of 10

Penghulu Dol Said menentang British kerana tidak setuju dengan tindakan British
meletakkan Naning sebagai sebahagian daripada wilayah mereka yang menjadi
takluknya.

(ii) Penentangan di Sarawak.


James Brooke yang digelar Raja Putih Sarawak pada tahun 1842 berusaha untuk kuasai
beberapa daerah pedalaman sehingga timbulkan bantahan daripada pemimpin tempatan.
Linggir, pemimpin kaum Iban di Saribas menentang penaklukan James Brooke pada
1849.
Rentap, pemimpin Iban menentang James Brooke pada 1853 kerana bertindak hapuskan
orang Iban di Sungai Skrang yang dianggap sebagai lanun.
Penentangan orang Melayu di bawah pimpinan Syarif Masahor dan Datu Patinggi Abdul
Gapur berlaku kerana mereka menolak penguasaan James Brooke di wilayah mereka
iaitu di Sg Rajang pada tahun 1857.

(iii) Penentangan di Sabah


Penentangan berlaku terhadap Syarikat Borneo Utara British (SBUB) oleh Mat Salleh
disebabkan sistem cukai kepala dan surat perahu.

(iv) Penentangan di Perak.


Penguasaan British di Perak yang didalangi oleh J.W.W Birch ditentang oleh penduduk
tempatan yang dipimpin oleh Dato Maharaja Lela yang tidak menghormati sistem sosial
tempatan dan tidak tahu berbahasa Melayu.

(v) Penentangan di Negeri Sembilan.


Penentangan di Negeri Sembilan dilakukan oelh Yam Tuan Antah Sri Menanti dan Dato
Syahbandar Sungai Ujong, iaitu Abdullah Tunggal. Kedua-dua pemimpin tempatan ini
berebut kawasan sempadan utk kenakan cukai kepada pedagang bijih timah dari Negeri-
negeri Selat.

(vi) Penentangan di Pahang.


Pada tahun 1888, apabila J.P Rodgers dilantik sebagai Residen Pahang yang pertama,
Dato Bahaman menolak pelaksanaan undang-undang British yang bertentangan dengan
adat resam dan sistem politik tempatan seperti sistem kehakiman, pemungutan hasil
tanah, sistem cukai dan penubuhan pasukan polis luar.

(vii) Penentangan di Kelantan.


Penentangan terhadap penjajahan British berlaku di Pasir Puteh apabila Sistem
Penasihat British diperkenalkan pada tahun 1910.British memaksa penduduk tempatan
menerima sistem cukai yang diperkenalkan.Tok Janggut membantah pelaksanaan sistem
ini dan enggan membayar cukai.

(viii) Penentangan di Terengganu.


Haji Abdul Rahman Limbong yang merupakan seorang ulama menentang British kerana
tidak berpuas hati dgn sistem cukai dan undang-undang tanah Britsh yg diperkenalkan
kepada org tempatan.

(d) Iktibar Perjuangan Pemimpin-Pemimpin Tempatan.


CODE NO A16 600 Page : 10 of 10

Mereka menunjukkan semangat setia negara yang tinggi kerana sanggup berkorban untuk
bangsa.
Sifat bekerjasama dan tolong-menolong antara pemimpin dgn pengikut dlm menentang
penjajahan British telah menyumbangkan kejayaan.
Sikap berdisiplin dan gigih berusaha dapat hasilkan perjuangan yang berjaya.
Kekalahan mereka dalam perjuangan itu kerana mereka kekurangan ilmu dan senjata
moden.
Generasi hari ini perlu berusaha lengkapkan diri dgn segala ilmu pengetahuan yang baik
supaya tidak terjajah lagi atau terpaksa tunduk terhadap mana-mana bentuk penjajahan.

1.1.4 KESAN PENJAJAHAN JEPUN KEPADA MASYARAKAT MALAYSIA


Marah kepada penjajah.
Muncul semangat nasionalisme.
Penderitaan mental dan fizikal.
Bersatu menentang penjajah.
Berhati-hati dengan penjajah.

RUJUKAN / REFERENCE(S):

1. Mardiana Nordin dan Hasnah Hussin, PENGAJIAN MALAYSIA, Edisi kelima, Oxford
Fajar.

You might also like