You are on page 1of 7

KECEMERLANGAN SEKTOR PERTANIAN DAN

DASAR PERTANIAN NEGARA KETIGA (DPN3) 1998-2010)

1. Sektor pertanian telah memainkan peranan penting di dalam


pembangunan sosial dan ekonomi Malaysia. Di peringkat awal, penanaman
tanaman makanan seperti padi, sayur-sayuran, buah-buahan serta
kegiatan menangkap ikan dan menternak telah menyediakan sumber
makanan, mewujudkan peluang pekerjaan dan pendapatan pada
penduduk-penduduk tempatan. Kegiatan pertanian pada masa itu adalah
pertanian sara diri dan tradisional. Tanaman industri iaitu getah mula
diperkenalkan pada tahun 1887 apabila benih getah ditanam di Kuala
Kangsar, Perak. Penubuhan Institut Penyelidikan Getah pada tahun 1926
telah mengorak langkah menjadikan Malaysia sebagai pengeluar utama
getah asli di dunia untuk beberapa abad sehinggalah akhir tahun 1980an.
Tanaman kelapa sawit mula diperkenalkan dan dimajukan pada awal
1960an diikuti dengan koko pada tahun 1970an. Seterusnya penubuhan
Institut Penyelidikan Kelapa Sawit (PORIM) pada tahun 1979 telah
menjadikan kelapa sawit sebagai satu tanaman strategik kepada ekonomi
Malaysia. Sumbangan terhadap Keluaran Kasar Dalam Negara (KDNK) telah
meningkat kepada RM6.8 bilion pada tahun 1995, berbanding RM3.6 bilion
pada tahun 1985 iaitu peningkatan sebanyak 5.6 peratus. Jumlah kawasan
tanaman sawit telah meningkat daripada 1.5 juta hektar pada tahun 1985
kepada 2.5 juta hektar pada tahun 1995. Penubuhan Lembaga Koko
Malaysia pada tahun 1988 untuk menjalankan penyelidikan mengenai
pengeluaran pemerosesan, penyimpanan dan penggunaan mengukuhkan
lagi kedudukan tanaman koko sebagai tanaman selingan dalam sektor
pertanian Malaysia.

2. Penubuhan institusi-institusi pembangunan kawasan, penyatuan dan


pemulihan tanah seperti FELDA, FELCRA, RISDA dan agensi-agensi
pembangunan wilayah telah mempergiatkan lagi pembukaan tanah baru
untuk tanaman industri di samping mencapai matlamat membasmi
kemiskinan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Sementara itu, penubuhan agensi-
agensi khusus seperti FAMA(1965), Bank Pertanian Malaysia (BPM) (1969),
MARDI (1969), Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) (1971), Lembaga
Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) (1971), Lembaga Kemajuan Pertanian
Muda (MADA) (1970), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA)
(1972), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) (1973) dan beberapa agensi
yang lain telah menyediakan kemudahan pemasaran, penyelidikan, kredit
dan khidmat sokongan kepada kumpulan sasar dan mempergiatkan lagi
pembangunan sektor pertanian.

3. Semenjak pertengahan tahun 1980an, Malaysia telah mengalami


pertumbuhan ekonomi yang amat pesat sekali di mana ia telah mencapai
pertumbuhan KDNK melebehi 8 peratus setahun selama sembilan tahun
berturut-turut. Pertumbuhan yang pesat ini yang telah diterajui oleh sektor
pembuatan dan perkhidmatan sementara sektor pertanian telah
mengalami kadar pertumbuhan yang kecil dan sederhana 2-3 peratus
setahun. Pada tahun 1987 sektor pembuatan telah mengatasi sektor
pertanian dari segi sumbangan kepada keluaran dalam negara kasar
(KDNK), peluang pekerjaan dan pendapatan eksport akibat daripada dasar
menggalakkan perindustrian.

4. Sejak pelaksanaan DPN1 mulai 1984 dan DPN2 mulai 1992, sektor
pertanian telah mencatat kadar pertumbuhan purata tahunan sebanyak
3.2%. Jumlah nilai-ditambah pertanian telah meningkat dari RM11.9 bilion
pada tahun 1985 kepada RM16.2 bilion pada tahun 1995. Nilai eksport
barangan pertanian pula telah meningkat daripada RM 13.9 bilion tahun
1985 kepada RM 35.4 bilion pada tahun 1995 yang merupakan
pertumbuhan purata tahunan sebanyak 9.8%. Sungguhpun demikian,
perkembangan pesat dalam ekonomi sejak tahun 1991 dan kegawatan
ekonomi yang dihadapi sekarang telah menimbulkan cabaran baru dalam
pengurusan sektor pertanian. Cabaran tersebut melibatkan masalah dan
kekangan yang lazimnya berhubungkait dengan ekonomi yang berkembang
pesat secara berterusan, terutamanya ekonomi yang mencapai tahap
gunatenaga penuh serta menghadapi masalah defisit imbangan
perdagangan. Di antara cabaran-cabaran baru yang dihadapi oleh sektor
pertanian adalah seperti berikut:-

Keperluan untuk menjamin bekalan makanan yang mencukupi, selamat,


berkhasiat serta bermutu tinggi pada harga yang berpatutan.

ii. Keperluan untuk mengurangkan penggunaan buruh dalam kegiatan


pertanian.

iii. Keperluan untuk memaksimakan penggunaan sumber-sumber terhad


yang sedia ada seperti tanah dan air.

iv. Keperluan untuk memperkukuhkan daya saingan sektor pertanian


negara.

v. Keperluan untuk meningkatkan pelaburan swasta dalam pengeluaran


makanan.

vi. Keperluan untuk merubah sektor pekebun kecil .

vii. Keperluan untuk menyokong perindustrian negara dan pelaburan luar


negara.

viii. Keperluan bagi memastikan pembangunan pertanian dan perhutanan


yang mampan.

5. Untuk menghadapi cabaran-cabaran tersebut dasar pertanian negara


yang baru (DPN3) telah digubal bagi menjamin pembangunan pertanian
dan perhutanan yang dapat disesuaikan dengan perkembangan-
perkembangan terbaru yang berlaku di dalam dan di luar negara. Strategi
pembangunan sektor pertanian dan perhutanan disepadukan untuk
mengatasi masalah kekurangan sumber, terutamanya tanah dan buruh:
menggalakkan petani-petani mengamalkan teknik-teknik pertanian moden
melalui sistem bersepadu yang menggabungkan tanaman, perikanan dan
ternakan serta dilengkapi dengan aktiviti agropelancongan.

6. Di samping itu, dasar-dasar bagi pengurusan ekonomi makro sektor-


sektor lain perlu diambilkira bagi mempastikan dasar pertanian adalah
konsisten, melengkapi, relevan dan selari dengan dasar-dasar
pembangunan yang dilaksanakan oleh pelbagai Kementerian. Dasar-dasar
tersebut ialah dasar perindustrian, sains dan teknologi, kepelbagaian
biologi dan alam sekitar. DPN3 melengkapkan pendekatan pembangunan
berkelompok industri berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti dalam
Pelan Induk Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian
dalam dan antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan
dan peluasan industri sokongan dan perantaraan. Pembangunan industri
baru seperti bioteknologi, produk kimia semulajadi yang dihasilkan
daripada sumber biologi dan produk biomass kelapa sawit adalah selaras
dengan dasar pembangunan sains dan teknologi. Strategi untuk
pemuliharaan sumber biologi dan semulajadi seperti hutan, marin dan air
pula akan memenuhi kehendak dasar kepelbagaian biologi dan alam
sekitar. Rantaian pertanian dengan sektor industri dan penekanan kepada
pemuliharaan sumber semulajadi akan mengukuhkan lagi sektor pertanian
dan menjamin pembangunan mampan. Oleh itu, DPN3 telah digubal
dengan tujuan menjadikannya satu dasar yang komprehensif, melengkapi
dasar-dasar yang lain (complementary), pragmatik serta fleksibel.

Dasar Pertanian Negara Ketiga (DPN3), 1998-2010

7. Objektif utama DPN3 adalah untuk memaksimakan pendapatan


melalui penggunaan sumber secara optima dalam sektor ini. Ia meliputi
usaha memaksimakan sumbangan sektor pertanian kepada Keluaran
Dalam Negara Kasar (KDNK), pendapatan eksport serta pendapatan petani,
penternak dan nelayan. Secara spesifik, objektif DPN3 adalah untuk:

i Meningkatkan sekuriti makanan (food security)

ii Meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pertanian

iii Mengukuhkan pertalian dengan sektor-sektor lain


iv Mewujudkan sumber pertumbuhan yang baru untuk sektor pertanian

v Memulihara dan menggunakan sumber-sumber asli secara mampan

8. Semua ini memerlukan pendekatan dan teras strategik yang baru untuk
mempertingkatkan sumbangan sektor pertanian dan perhutanan kepada
petumbuhan ekonomi. Justeru itu, DPN3 memperkenalkan dua
pendekatan strategik yang baru iaitu pendekatan perhutani (agroforestry
approach) dan pendekatan berasaskan produk (product-based approach).

9. Pendekatan perhutani bertujuan untuk memberi perhatian kepada


masalah kekurangan sumber-sumber termasuk tanah, buruh dan bahan
mentah. Di bawah pendekatan ini, kegiatan pertanian dan perhutanan
dilihat sebagai dua kegiatan yang serasi dan saling melengkapi, justeru,
membuka peluang untuk dibangunkan bersama. Integrasi pertanian dan
perhutanan juga adalah bertujuan membentuk asas pengeluaran yang
lebih luas bagi kedua-dua sektor tersebut. Pendekatan ini akan memberi
manfaat-manfaat berikut:

mewujudkan ruang yang lebih luas kepada pelbagai gabungan


perusahaan perhutanan dan pertanian, mengoptimakan penggunaan
sumber terutama tanah dan meningkatkan potensi penjanaan
pendapatan dari pelaburan-pelaburan perhutani;

membolehkan pengeluaran hasil pertanian dan perhutanan daripada


tanah yang sama dan dengan ini mengurangkan tekanan permintaan
untuk tanah pertanian yang baru;

menyokong pelbagai perhubungan simbiotik seperti penanaman spesis


pokok hutan dengan tanaman industri untuk mengoptimakan
penggunaan tanah dan memaksimakan pulangan; dan

memberikan peluang hasil pulangan yang awal dan berterusan daripada


komponen pertanian di dalam perusahaan campuran tersebut. Ini akan
menggalakkan penyertaan sektor swasta di dalam kegiatan tanaman
hutan komersil dan dengan demikian meningkatkan bekalan balak untuk
industri berasaskan kayu.

10. Pendekatan strategik baru yang kedua ialah pendekatan berasaskan


produk. Melalui pendekatan ini, produk-produk dan pasaran-pasaran
utama dikenalpasti berdasarkan permintaan, potensi pasaran dan cita
rasa pengguna. Pendekatan berasaskan komoditi yang diamalkan sekarang
telah menghadkan keupayaan dan keberkesanan sektor pertanian untuk
menembusi pasaran yang bersegmen dan bernilai tinggi. Dengan
menggunakan pendekatan berasaskan produk, ia akan memberi
penekanan kepada keperluan dan cita rasa pengguna serta pasaran khusus
di seluruh dunia. Permintaan dan keperluan pasaran ini digunakan untuk
menggubal strategi-strategi pengeluaran pertanian huluan. Ini akan
mewujudkan peluang untuk menambah pengeluaran dan meningkatkan
keupayaan pemasaran hasil-hasil pertanian. Pendekatan ini akan dapat :-

melengkapkan pendekatan pembangunan berkelompok industri


berasaskan pertanian yang telah dikenalpasti di dalam Pelan Induk
Perindustrian 2 (1996-2005) melalui pengukuhan pertalian dalam dan
antara sektor ekonomi yang akan merangkumi pembangunan dan
peluasan industri sokongan dan perantaraan.

meningkatkan pengeluaran pertanian yang lebih khusus melalui


penyampaian petunjuk-petunjuk pasaran serta pola citarasa pengguna
kepada pengeluar di peringkat ladang. Ini akan menggalakkan
pengeluaran produk-produk pertanian yang bermutu dan bernilai tinggi,
membantu penghasilan perbezaan produk dan meningkatkan nilai
ditambah produk-produk pertanian bagi memenuhi keperluan pelbagai
segmen pasaran tempatan dan antarabangsa.

mengenalpasti dan memperluaskan peluang-peluang pasaran.


Penggunaan petunjuk-petunjuk pasaran yang disalurkan kepada
pengeluar akan memudahkan mereka membuat keputusan
mengeluarkan bahan-bahan mentah yang diperlukan untuk menyokong
aktiviti pengeluaran berasaskan pertanian dan aktiviti ekonomi yang lain.
Ini akan meluaskan lagi skop pembangunan pertanian dan perhutanan
serta mewujudkan peluang-peluang perniagaan dalam bidang-bidang
perniagaan yang lebih luas melalui satu sistem rangkaian aktiviti
pertanian dengan aktiviti sektor lain. Rangkaian ini termasuk
penyelidikan dan pembangunan (P&P) serta penjanaan teknologi,
pengeluaran dan pemprosesan primer, pengeluaran produk-produk
pertengahan dan guna akhir, pengedaran dan perkhidmatan pemasaran
serta produk akhir kepada pengguna.

11. Berasaskan pendekatan dan teras strategi yang baru ini, sektor
pertanian dijangka mencapai kadar pertumbuhan sebanyak 2.4% setahun
di sepanjang tempoh DPN3. Sumbangan sektor pertanian kepada KDNK
dijangka turun daripada 13.5% dalam tahun 1995 kepada 7.1% dalam
tahun 2010. Penurunan ini adalah selaras dengan perubahan keseluruhan
struktur ekonomi yang dialami oleh kebanyakan negara maju di mana
sektor pertanian adalah didorong oleh peningkatan produktiviti melalui
penggunaan teknologi secara intensif, petani yang berpengetahuan di
dalam amalan-amalan pertanian serta pembangunan industri-industri baru
yang berasaskan pertanian. Kekurangan tenaga buruh yang berterusan dan
persaingan faktor-faktor pengeluaran yang lain dijangka mengurangkan lagi
sumbangan getah dan koko kepada KDNK pertanian, masing-masing
daripada 10.6% dan 4.4% dalam tahun 1995 kepada 5.1% dan 2.9% dalam
tahun 2010. Sumbangan kayu gergaji juga dijangka turun daripada 13.9%
kepada hanya 5.3% dalam tempoh yang sama, seiring dengan dasar
pengurusan hutan yang mampan.

12. Sektor pertanian dijangka memperolehi sumber pertumbuhan yang


baru daripada hasil pelbagai inisiatif untuk menggalakkan pertumbuhan
kumpulan industri baru seperti perhutani, produk asli istimewa, buluh dan
rotan, produk bioteknologi, florikultur dan ikan hiasan. Sektor kecil
makanan juga dijangka mengalami pertumbuhan ketara berikutan langkah-
langkah intensif yang telah diambil untuk mengatasi kekangan-kekangan
yang dihadapi berkaitan dengan pengeluaran, serta daya usaha lain untuk
memperkukuhkan asas ekonomi sektor kecil ini. Sumbangan sektor kecil
makanan kepada KDNK pertanian dijangka meningkat daripada RM4.3
bilion dalam tahun 1995 kepada RM7.4 bilion dalam tahun 2010.
Permintaan kukuh yang kian meningkat terhadap minyak sawit di pasaran
antarabangsa akan mempergiatkan lagi pertumbuhan industri ini. Nilai
ditambah sektor kecil ini dijangka meningkat daripada RM6.8 bilion kepada
RM10.3 bilion bagi tempoh tersebut, sementara sumbangannya kepada
KDNK pertanian dijangka meningkat daripada 42.1% kepada 44.6%.

13. Sektor pertanian khususnya sektor-sektor kecil tanaman industri dan


perhutanan akan terus memainkan peranan penting sebagai pembekal
utama bahan mentah kepada industri berasaskan sumber. Sumbangan
sektor pertanian kepada KDNK dijangka akan menjadi lebih penting apabila
lebih banyak bahan mentah pertanian diproses dan dijadikan produk akhir
untuk dieksport. Bagi menampung pengeluaran dalam negara dan
memenuhi permintaan yang kian bertambah daripada industri hiliran,
perolehan strategik bahan mentah melalui pelaburan di luar negara akan
diusahakan.

14. Jumlah tenaga kerja dalam sektor pertanian akan berkurangan


sebanyak 2.8% setahun daripada 1,429,000 pekerja dalam tahun 1995
kepada 930,000 pekerja dalam tahun 2010. Ia akan dilaksanakan melalui
usaha-usaha mempertingkatkan penggunaan sistem pengeluaran intensif
berautomasi dan mekanisasi serta mengurangkan perusahaan-perusahaan
pertanian yang berintensif buruh. Peningkatan kawasan penggunaan tanah
pertanian dijangka akan menjadi terhad dalam tempoh ini disebabkan
kekurangan tanah, tenaga buruh serta peningkatan kos pengeluaran. Oleh
itu, pengeluaran dijangka bertambah melalui peningkatan produktiviti.
Produktiviti pekerja dijangka meningkat daripada RM11,360 kepada
RM24,730 setiap pekerja dalam tempoh yang sama. Ini mencerminkan
penekanan yang diberi kepada teknologi jimat buruh, inovasi dan
pengurusan ladang yang lebih cekap.

15. Di dalam tempoh DPN3, pertumbuhan pertanian dijangka akan terus


meningkat melalui penggunaan tanah yang lebih intensif walaupun
peluasan guna tanah adalah sederhana. Tanaman getah, padi, kelapa dan
koko masing-masing dijangka akan berkurangan iaitu seluas 494,000
hektar, 302,600 hektar, 73,400 hektar dan 30,700 hektar. Kebanyakan
kawasan ini akan ditanam semula dengan perhutani, kelapa sawit, buah-
buahan dan sayur-sayuran. Pembukaan tanah baru pula akan hanya
dilaksanakan di Sabah dan Sarawak di mana masih terdapat kawasan tanah
yang luas. Dengan itu, peningkatan keluasan guna tanah dijangka
meningkat hanya pada tahap 0.5% setahun iaitu daripada 5.7 juta hektar
kepada 6.2 juta hektar.

You might also like