You are on page 1of 1

Di suatu sudut pasar Madinah Al-Munawarah, terdapat seorang pengemis tua yang buta berbangsa Yahudi, setiap hari

apabila ada orang yang menghampirinya, dia selalu berkata, Wahai saudaraku jangan dekati Muhammad, dia itu orang
gila, pembohong, tukang sihir, apabila kamu mendekatinya kamu akan dipengaruhinya.
.
Setiap pagi Rasulullah Sallallahualaihi wasallam mendatanginya dengan membawa makanan dan tanpa berkata sepatah
perkataan pun, Baginda Sallallahualaihi wasallam menyuapkan makanan yang dibawanya kepada pengemis itu walaupun
pengemis itu selalu berpesan agar tidak mendekati orang yang bernama Muhammad. Rasulullah Sallallahualaihi wasallam
melakukannya sehingga menjelang Baginda wafat.
Setelah kewafatan Nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam, tidak ada lagi orang yang membawakan makanan setiap
pagi kepada pengemis Yahudi buta itu.
.
Suatu hari Abu Bakar, Radi-Allahu anhu, as-Siddiq berkunjung ke rumah anaknya Aisyah Radi-Allahu anha. Beliau
bertanya kepada anaknya, Wahai anakku, adakah sunnah kekasihku yang belum aku kerjakan?
Aisyah Radi-Allahu anha menjawab pertanyaan ayahandanya, Wahai ayah engkau adalah seorang ahli sunnah, hampir
tidak ada satu sunnah pun yang belum ayah lakukan kecuali satu sunnah saja.
Apakah itu wahai anakku?Tanya Abu Bakar Radi-Allahu anhu.
Setiap pagi Rasulullah Sallallahualaihi wasallam selalu pergi ke hujung pasar dengan membawakan makanan untuk
seorang pengemis Yahudi yang buta yang berada di sana. Jawab Aisyah Radi-Allahu anha.
.
Keesokan harinya, Abu Bakar Radi-Allahu anhu membawakan makanan dan menemui pengemis Yahudi buta tersebut.
Pengemis Yahudi buta ini selalu menjerit-jerit dan berkata kepada orang yang mendekatinya; Wahai saudaraku
janganlah kamu mendekati Muhammad. Jangan sampai kamu terpedaya dengan tipu dayanya. Dia itu orang gila,
tukang sihir, suka menyebarkan fitnah dengan agama barunya..!!
Kata-kata itu kerap meluncur keluar dari mulut si pengemis tanpa henti setiap hari. Perkataan buruk yang merendahkan
darjat seorang nabi. Abu Bakar Radi-Allahu anhu pun kehairanan, kenapa Nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam
tetap memberi makan kepada orang yang menghinanya setiap hari.
.
Sesampai sahaja di hadapan pengemis itu, Abu Bakar Radi-Allahu anhu terus memberikan makanan. Ketika Abu Bakar
Radi-Allahu anhu mulai menyuapinya, pengemis itu mengherdik sambil berteriak, Siapakah engkau?
Abu Bakar Radi-Allahu anhu menjawab, Aku adalah orang yang setiap hari dating dan memberi kamu makan..
Abu Bakar Radi-Allahu anhu meyakinkan bahawa beliau adalah orang yang setiap hari memberikan ia makanan. Akan
tetapi pengemis Yahudi buta itu tidak percaya kerana orang yang selalu memberinya makanan jauh lebih lembut dan lebih
sabar dalam menyuapinya.
Bukan! Engkau bukan orang yang biasa setiap hari memberiku makan..! Kata si pengemis buta itu.
Apabila dia (Rasulullah Sallallahualaihi wasallam) datang ke sini, aku tidak pernah kesusahan memegang
makananku dan tidak susah mulut ini mengunyah. Orang yang biasa mendatangiku itu selalu menyuapiku, tapi terlebih
dahulu dihaluskannya makanan tersebut dengan mulutnya setelah itu dia berikan padaku dengan mulutnya sendiri,
tambah pengemis itu menyambung kata.
Abu Bakar Radi-Allahu anhu tidak dapat menahan air matanya kerana terharu mendengar akhlak dari Rasulullah
Sallallahualaihi wasallam. Baginda Sallallahualaihi wasallam selalu datang memberi makan dan menyuapi mulut orang
yang setiap hari dari kata mulut itu, hanyalah ucapan kotor dan hina yang merendahkan dan melecehkan diri Baginda.
Ucapan kotor dan umpatan dibalas dengan suapan makanan dengan kasih sayang. Allahu Akhbar!
.
Dengan linangan air mata, Abu Bakar Radi-Allahu anhu menangis sambil berkata kepada pengemis itu, Aku memang
bukan orang yang biasa datang setiap hari memberimu makan, aku adalah salah seorang dari sahabatnya. Beliau tidak
akan datang lagi ke sini untuk memberimu makan.
Mendengar hal itu, pengemis itu menangis dan berkata, Apa salahku sehingga dia sudah tidak mahu menemuiku lagi?
Sampaikan permintaan maafku sehingga dia mahu mendatangiku lagi..
Orang yang mulia itu telah tiada. Beliau sudah meninggalkan dunia ini dan akulah yang akan menggantikan Beliau.
Aku adalah Abu Bakar sahabat Muhammad Sallallahualaihi wasallam. Nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam
adalah orang yang setiap hari menyuapimu.. Kata Abu Bakar Radi-Allahu anhu.
.
Setelah pengemis itu mendengar cerita Abu Bakar Radi-Allahu anhu, seketika itu juga linangan air mata pengemis Yahudi
buta makin deras membasahi pipinya, dia menangis menyesal dan kemudian berkata, Benarkah demikian?, selama ini
aku selalu menghinanya, memfitnahnya dan melecehkan harga dirinya, dia tidak pernah memarahiku sedikit pun, dia
tetap mendatangiku setiap hari dengan membawa makanan dan dengan sabar menyuapiku, dia begitu mulia.
.
Kalau begitu, aku mahu kamu menjadi saksi. Aku ingin mengucapkan kalimah syahadah dan aku memohon
keampunan Allah. Ujar pengemis buta itu lagi.
Ketika itu juga, pengemis Yahudi tua yang buta tersebut mengucapkan dua kalimat Syahadah dan memeluk Islam di
hadapan Abu Bakar Radi-Allahu anhu. Keperibadian Rasulullah Sallallahualaihi wasallam telah memikat jiwa pengemis
itu untuk mengakui ke-Esaan Allah SWT..
.
Dari cerita ini, jelas sudah betapa tingginya akhlak Nabi Muhammad Sallallahualaihi wasallam. Baginda tidak pernah
membenci orang yang mengumpatnya. Bahkan Rasulullah Sallallahualaihi wasallam tidak pernah membenci orang Yahudi
atau Nasrani.

You might also like