You are on page 1of 9

Memahami Waran Panggilan

Kandungan

Penolak Tuntutan

Pengenalan

Waran

Ciri-ciri Panggilan Waran

Waran Panggilan yang Diterbitkan di Malaysia

Terma dan Syarat Waran Panggilan

Mengguna Hak Waran Panggilan

Pelarasan

Berdagang dalam Waran Panggilan

Penyelesaian Urus Niaga Waran Panggilan

Penggantungan/Pengeluaran Syer Pendasar Daripada Senarai

Penetapan Harga Waran Panggilan

Risiko

Apakah yang Berhak Anda Terima Daripada Broker Saham

Daftar istilah
Penolak Tuntutan

Dokumen ini bukan merupakan syor untuk membeli atau menjual sekuriti. Ianya hanya bertujuan
memberikan maklumat kepada anda. Dokumen ini tidak mengandungi nasihat atau maklumat
lengkap tentang perkara tajuk risalah ini. Dokumen ini juga tidak patut digunakan sebagai ganti
nasihat undang-undang atau pelaburan. Sekiranya terdapat keraguan, para pelabur benar-benar
disyorkan supaya mendapatkan nasihat profesional berhubung risiko-risiko melabur dalam waran
panggilan sebelum membeli atau menjual sebarang waran.

Walaupun usaha yang teliti telah dibuat semasa mengarang risalah ini, namun Suruhanjaya
Sekuriti tidak bertanggungjawab terhadap sebarang maklumat yang tidak tepat atau tidak
lengkap yang terkandung di dalam risalah ini.

Pengenalan

Risalah ini disediakan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Ianya mengandungi penerangan tentang waran
panggilan dan beberapa maklumat tambahan tentang waran panggilan yang tersenarai dan
diniagakan di Bursa Saham Kuala Lumpur, serta juga risiko yang patut diketahui oleh bakal
pelabur. Pada penghujugn risalah ini terdapat daftar istilah yang patut dirujuk sebagai panduan
untuk membaca dan memahami kandungannya.

Jika anda mempunyai sebarang soalan lanjut tentang waran panggilan atau hak serta obligasi
anda sekiranya anda melabur dalam waran panggilan, sila berunding dengan broker saham anda
atau penasihat profesional yang berkaitan terlebih dahulu. Jika broker atau penasihat anda tidak
dapat memberikan maklumat yang diperlukan, anda bolehlah menelefon Unit Hal Ehwal Korporat
di Suruhanjaya Sekuriti yang akan cuba menjawab pertanyaan anda.

Waran

Waran ialah satu opsyen yang biasanya ditawarkan oleh sesebuah institusi dan yang mungkin
kemudiannya disenaraikan dan diniagakan di sesebuah bursa.

Terdapat dua jenis waran : waran panggilan dan waran jual. Waran panggilan memberikan hak,
tetapi bukan obligasi, untuk membeli dengan kuantiti tetap sesuatu aset (seperti syer) dengan
harga tertentu dalam tempoh masa terhad. Waran jual pula memberikan hak, tetapi bukan
obligasi, untuk menjual sesuatu aset dengan harga tertentu dalam tempoh masa terhad.

Maklumat yang terkandung di dalam risalah ini adalah berhubung dengan waran panggilan
berdasarkan syer.

Ciri-ciri Waran Panggilan

Terdapat tiga ciri waran panggilan -


a. Aset Pendasar
Waran panggilan diterbitkan bagi set pendasar seperti syer sesebuah syarikat. Waran ini
memberikan pemegang waran hak tetapi bukan obligasi, untuk membeli daripada penerbit
sebilangan tertentu syer dalam syarikat pendasar dengan harga yang dipersetujui sebelum atau
pada suatu tarikh yang akan datang.
b. Harga Guna Hak
Harga ini ialah harga pada mana pemegang waran panggilan boleh memilih untuk menggunakan
hak bagi membeli syer pendasar. Harga guna hak ditetapkan pada masa waran itu diterbitkan.
c. Tempoh Guna Hak
Waran panggilan hanya boleh diguna hak dalam satu tempoh terhad di mana pada akhir tempoh
itu waran tersebut akan luput. Tarikh peluputan waran itu juga dikenali sebagai "tarikh matang".

Terdapat dua jenis gaya guna hak: gaya Amerika dan gaya Eropah. Gaya Amerika membolehkan
pemegang mengguna hak pada bila-bila masa sehingga dan termasuk tarikh matang; waran
gaya Eropah pula hanya boleh diguna hak pada tarikh matang.

Waran Panggilan yang Diterbitkan di Malaysia

Pada 6 Disember 1994, Suruhanjaya Sekuriti telah menyiarkan garis panduannya bagi terbitan
awam panggilan ("Garis Panduan"). Di bawah Garis Panduan itu, waran panggilan yang
diterbitkan atau ditawarkan di Malaysia hendaklah sekurang-kurangnya memenuhi syarat-syarat
berikut:

Syer-syer pendasar

Waran panggilan hanya boleh diterbitkan berhubung syer-syer yang diterbitkan sebagai modal
bagi sesebuah syarikat tersenarai yang mempunyai:

?? Purata pemodalan pasaran harian minimum sebanyak RM2 bilion berterusan selama tiga
bulan sebelum tarikh diterbitkan;
?? Purata putaran bulanan minimum sebanyak 2 juta syer dalam 12 bulan yang lalu;
?? Bilangan minimum seramai 2,000 pemegang saham yang berdaftar;
?? Rekod keuntungan selepas cukai berterusan selama 5 tahun; dan
?? Bilangan minimum sebanyak 100 just syer terapung awam.

Gaya guna hak

Waran panggilan hendaklah mempunyai guna hak gaya Amerika.

Terma-terma lain

Waran panggilan hendaklah diterbitkan atas dasar bahawa setiap satu waran itu boleh diguna
hak bagi satu syer (tertakluk kepada pelarasan keberhakan yang disebutkan di bawah ini).
Apabila waran itu digunakan hak, penerbit mempunyai opsyen untuk menyerahkan syer ataupun
membayar wang tunai sebagai penyelesaian obligasi mereka. Jika penerbit memilih untuk
membayar sejumlah wang tunai, jumlah wang itu hendaklah merupakan selisih di antara harga
guna hak dengan nilai yang lebih tinggi daripada:

?? Nilai pasaran bagi syer itu pada tarikh sebelum tarikh guna hak itu; atau
?? Purata harga penutup bagi setiap syer bagi satu tempoh tiga puluh hari pasaran sebelum
tarikh guna hak itu.

Waran panggilan akan diterbitkan pada dasar berdaftar. Pendaftar hendaklah merupakan sebuah
syarikat yang dilantik oleh penerbit untuk merekodkan semua pindahhak bagi waran panggilan
dan sijil terbitan kepada pemegang waran. Masa yang diperlukan bagi mendaftarkan mana-mana
pindahhak hendaklah tidak melebihi lima hari pasaran.
Pelarasan keberhakan

Harga guna hak dan keberhakan pemegang waran adalah tertakluk kepada pelarasan dalam
keadaan yang dibutirkan di bawah tajuk PELARASAN dalam risalah ini.

Terma dan Syarat Waran Panggilan

Terma dan syarat waran panggilan akan dibentangkan dalam satu suratcara yang dilaksanakan
oleh penerbit untuk pemegang-pemegang waran. Beberapa waad oleh penerbit berhubung
dengan waran panggilan akan juga dipegang oleh seorang pemegang amanah bagi kepentingan
pemegang waran. Pemegang waran boleh memeriksa suratikatan amanah dan akan dianggap
sudah mendapat notis tentang terma-terma dan syarat-syarat terbitan dan juga peruntukan
suratikatan amanah.

Terma dan syarat penting bagi waran panggilan akan diserlahkan oleh penerbit dalam
prospektus. Semua bakal pemegang waran dinasihatkan supaya membaca dan memahami terma
dan syarat waran panggilan itu.

Bagi memudahkan pelaburan dan pemahaman terma waran panggilan. Suruhanjaya Sekuriti
menghendaki supaya beberapa terma dan syarat penting terbitan diselaraskan setakat mana
yang boleh dipraktikkan. Ringkasan beberapa daripada terma tersebut dinyatakan di bawah ini.

Seseorang pemegang waran yang menghendaki penjelasan tentang terma dan syarat waran
panggilan hendaklah berunding dengan broker saham atau penasihatnya.

Mengguna Hak Waran Panggilan

Jika seseorang pemegang waran ingin menggunakan hak waran panggilannya, sijil waran itu
hendaklah didaftarkan atas namanya. Waran panggilan hanya boleh diguna hak dalam gandaan
integral 1,000 waran (tertakluk kepada bilangan yang lebih kecil seperti yang ditentukan oleh
Suruhanjaya). Pemegang waran akan dikehendaki menyerahkan notis guna hak yang lengkap
dengan melampirkan pembayaran bagi harga guna hak itu kepada pendaftar.

Penerbit akan memberitahu pemegang waran secara bertulis tidak lewat daripada lima hari
pasaran selepas tarikh guna hak itu jika penyelesaiannya melibatkan pembayaran sejumlah wang
tunai sebagai ganti penyerahan syer pendasar. Penerbit kemudiannya mempunyai obligasi untuk
membayar secara tunai atau menyerahkan dalam tempoh 10 hari pasaran sijil syer berhubung
syer pendasar itu bersama-sama borang pindahmilik yang dilaksanakan dengan sempurnanya.

Pelarasan

Pelarasan akan dibuat oleh penerbit kepada harga guna hak dan/atau bilangan syer pendasar
dalam keadaan berikut:

?? Terbitan Hak

Harga guna hak dan bilangan syer pendasar boleh dilaraskan sewajarnya bagi terbitan
hak dengan syarat tidak ada pelarasan dibuat bagi terbitan yang mengakibatkan
perubahan nilai pasaran bagi syer-syer yang kurang daripada tiga peratus (3%).

?? Terbitan Bonus
Harga guna hak dan bilangan syer pendasar boleh dilaraskan sewajarnya bagi terbitan
bonus dengan syarat tidak ada pelarasan dibuat bagi terbitan yang mengakibatkan
perubahan nilai pasaran syer yang kurang daripada tiga peratus (3%).

?? Pecahan atau Penyatuan Syer

Penerbit juga hendaklah melaraskan bilangan syer pendasar dan harga guna hak
sekiranya berlaku pecahan atau penyatuan syer.

Pelarasan Lain

Pelarasan boleh dibuat dalam keadaan lain yang tidak disebutkan di atas. Pelarasan seumpama
itu hendaklah dibuat oleh penerbit dengan adil dan saksama selepas berunding dengan sesebuah
bank saudagar berlesen.

Berdagang dalam Waran Panggilan

Oleh sebab waran panggilan disenaraikan dan disebut harga di Bursa Saham Kuala Lumpur,
maka proses dagangan dan fee pembrokeran yang dikenakan adalah sama dengan yang
digunapakai bagi sekuriti ekuiti tersenarai yang lain. Waran panggilan boleh dipindahmilik dalam
gandaan integral 1,000 dengan menyerahkan borang pindahmilik untuk pendaftaran kepada
pendaftar bersama-sama sijil waran dan membayar fee yang dikenakan oleh pendaftar.

Penyelesaian Urus Niaga Waran Panggilan

Sebarang penjualan atau pembelian waran panggilan yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala
Lumpur hendaklah diselesaikan melalui sistem penyerahan dan penyelesaian tetap (Fixed
Delivery and Settlement System atau FDSS) yang dikendalikan oleh SCANS dengan cara yang
sama seperti penyelesaian urus niaga syer pada masa sekarang.

Sekiranya berlaku peristiwa yang menggangu penyelesaian (iaitu peristiwa di luar kawalan
penerbit yang menyebabkan penerbit tidak dapat menyerahkan syer pendasar selepas
penggunaan hak waran panggilan) penerbit boleh menyerahkan syer itu dengan mana-mana
cara yang berpatutuan dari segi perdagangan seperti yang dianggap sesuai oleh penerbit, atau
menangguhkan penyerahan syer pendasar seumpama itu.

Penggantungan/Pengeluaran Syer Pendasar Daripada Senarai

Jika seseorang pemegang waran menggunakan hak sesuatu waran semasa dagangan syer-syer
pendasar di bursa saham digantung dan penerbit tidak dapat menyerahkan syer-syer itu sebagai
penyelesaian, maka pemegang waran akan dianggap sebagai telah menggunakan hak waran itu
pada hari pasaran pertama selepas penggantungan itu dibatalkan. Penggantungan dagangan
bagi syer pendasar mungkin dilanjutkan melebihi tarikh matang waran yang menyebabkan
tempoh guna hak itu dilanjutkan sehingga penggantungan itu berakhir.

Sekiranya syer pendasar itu dikeluarkan daripada senarai rasmi bursa saham, penerbit boleh
membuat pelarasan yang perlu kepada hak-hak yang ada pada waran panggilan yang terlibat
selepas berunding dengan sebuah bank saudagar berlesen.
Penetapan Harga Waran Panggilan

Harga waran panggilan dikenali sebagai premium.

Harga guna hak bagi sesuatu waran adalah tetap (tertakluk kepada pelarasan); sebaliknya,
premium boleh berubah-ubah. Ini mencerminkan nilai waran tersebut pada sesuatu masa.
Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi nilai premium sesuatu waran:

?? Harga Syer Pendasar

Harga pasaran bagi syer pendasar merupakan faktor paling utama yang mempengaruhi
premium sesuatu waran. Harga pasaran yang lebih tinggi akan tercermin dengan
premium yang lebih tinggi.

?? Volatiliti

Volatiliti menyukat turun naik harga pasaran saham pendasar untuk sesuatu tempoh
tertentu. Apabila volatiliti saham pendasar itu lebih tinggi, maka lebih tinggilah pula nilai
premium bagi waran panggilan kerana ia dapat memberikan peluang yang lebih baik bagi
waran dapat-wang (in-the-money).

?? Tempoh Sehingga Peluputan

Semakin panjang tempoh sebelum peluputan waran, maka lebih tinggi pula nilai
premiumnya, kerana terdapat masa yang lebih lama bagi harga syer untuk bergerak ke
arah yang betul untuk meletakkan waran itu dalam keadaan dapat-wang.

?? Dividen

Dividen tunai biasanya merendahkan harga syer pada tarikh selepas dividen. Hal ini akan
menyebabkan premiu bagi waran panggilan menjagi kurang bernilai.

?? Kadar Faedah

Kadar faedah yang lebih tinggi memungkin premium yang lebih tinggi bagi waran
panggilan.

Risiko

Adalah penting bagi pemegang waran untuk mengetahui sendiri risiko-risiko yang berkait dengan
waran panggilan sebelum melabur. Berikut merupakan butiran beberapa risiko penting yang
dihadapi oleh pemegang waran tetapi bukanlah senarai lengkap risiko-risiko berkenaan.

Risiko pasaran

Para pemegang waran akan hanya mendapat keuntungan daripada pelaburan dalam wara jika
syer-syer pendasar bertambah dengan jumlah yang melebihi harga (juga dikenali sebagai
premium opsyen) yang dibayar bagi waran itu ditambah dengan kos urus niaga dan bayaran
faedah, jika ada.
Para pemegang waran hendaklah mengambil perhatian bahawa harga bagi waran panggilan
mungkin turun nilainya secepat yang ia naik. Jika harga syer pendasar jatuh di bawah harga
guna hak apabila waran telah matang, maka para pemegang waran akan mengalami kerugian
sepenuhnya bagi pelaburan mereka. Walaubagaimanapun, kerugian ini terhad kepada harga
yang dibayar bagi waran itu serta kos urus niaganya.

Berikut merupakan gambar rajah untung rugi berhubung sesuatu pelaburan dalam waran
panggilan pada tarikh matang di mana premium yang dibayar ialah RM3 dan harga guna hak
ialah RM12.

Dalam contoh ini, keuntungan hanya diperolehi jika harga syer melebihi RM15. Keuntungan
ditakrifkan sebagai [harga syer - (harga guna hak + premium)]. Jika harga syer adalah di antara
RM12 dengan RM15, maka apabila menggunakan hak, pemegang waran akan mendapat
kerugian antara RM0 hingga RM3.

Risiko guna hak

Jika waran matang dalam keadaan dapat-wang, maka para pemegang waran hendaklah
mengambil perhatian bahawa mereka perlu membayar harga guna hak bagi waran itu sebelum
mereka boleh menerima daripada penerbit syer-syer pendasar atau penyelesaian tunai menurut
terma alternatif tunai yang boleh dipilih oleh penerbit.

Jika pemegang waran memegang sesuatu waran sehingga tarikh matang dan waran itu berada
dalam keadaan dapat-wang, maka pemegang waran tersebut hendaklah menggunakan hak
waran itu untuk mendapatkan apa jua nilai yang ada pada waran itu. Jika waran itu tidak diguna
hak, nilai itu akan hilang selepas tarikh matang tersebut.

Risiko kredit

Waran panggilan adalah obiligasi tak bercagar am penerbit. Apabila waran panggilan dibeli,
pemegang waran bergantung kepada kepercayaan kredit penerbit; iaitu keupayaan penerbit
untuk memenuhi obligasi pemegang waran dan penerbit serta maklumat kewangan berhubung
penerbit dan pengurus risiko, jika ada. Bakal pemegang waran hendaklah mengkaji maklumat
yang terkandung di dalam prospektus itu dengan teliti sebelum membuat keputusan untuk
melabur.

Setiap terbitan waran panggilan disertakan dengan prospektus yang mengandungi maklumat
penting tentang syer pendasar, hak dan obligasi pemegang waran dan penerbit serta maklumat
kewangan berhubung penerbit dan pengurus risiko, jika ada. Bakal pmegang waran hendaklah
mengkaji maklumat yang terkandung di dalam prospektus itu dengan teliti sebelum membuat
keputusan untuk melabur.
Apakah yang Berhak Anda Terima Daripada Broker Saham

Syarikat broker saham hendaklah menyediakan satu penyata penzahiran risiko kepada pelanggan
dan mendapatkan tandatangannya sebelum melaksanakan arahan pertama daripada pelanggan
itu untuk berniaga dalam waran panggilan. Mereka juga hendaklah mengambil langkah-langkah
yang munasabah untuk memberikan sebarang maklumat kepada pelanggan mereka dengan jelas
dan tepat pada masanya bagi membolehkan mereka membuat keputusan yang tertimbang dan
termaklum.
Daftar istilah

Dapat-wang merujuk kepada waran yang mempunyai nilai intrinsik.

Harga guna hak bermaksud harga yang perlu dibayar oleh pemegang waran apabila mengguna
haknya di bawah waran panggilan.

Nilai intrinsik bermaksud nilai positif yang diperolehi dengan menolak harga guna hak daripada
harga syer.

Pemegang waran atau pemegang bermaksud organ atau orang-orang yang didaftarkan
sebagai empunya sesuatu waran.

Penerbit berhubung dengan waran, bermaksud entiti yang menerbitkan waran.

Pengurus risiko bermaksud sebuah syarikat yang mengikat kontrak dengan penerbit untuk
mengurus risiko pasaran penerbit akibat terbitan waran panggilan oleh penerbit.

Syarikat pendasar bermaksud sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala
Lumpur dengan syer pendasar menjadi sebahagian daripada modalnya.

Risk manager means a company that has contracted with an issuer to hedge the issuer's
market exposure resulting from the issuer having issued call warrants.

Syer pendasar bermaksud syer yang menjadi subjek waran panggilan.

Tarikh matang bermaksud hari terakhir pemegang boleh mengguna haknya di bawah waran
panggilan. Istilah matang dan kematangan mempunyai maksud yang sepadan.

Waran panggilan atau waran bermaksud had untuk membeli sebilangan tertentu syer, yang
boleh diguna hak terhadap penerbit hak tersebut pada atau sebelum satu tarikh akan datang
yang telah ditetapkan terlebih dahulu.

You might also like