You are on page 1of 5

Penubuhan Malayan Union

Malayan Union

Pengenalan
Kekalahan British di Tanah Melayu atas tangan Jepun dalam tempoh yang singkat
menyedarkan British terhadap kelemahan pentadbiran mereka di Tanah Melayu sebelum
perang. Akibat pada Julai 1943, Malayan Planning Unit (MPU) telah ditubuhkan di London
untuk merangka perlembagaan baru yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu selepas tamat
perang nanti. Pada 31 Mei 1944, kabinet perang telah meluluskan syor penyatuan politik
Tanah Melayu yang dikemukakan oleh MPU. Pada 10 Oktober 1945, Setiauaha Pejabat
Tanah Jajahan British, George Hall, telah mengumumkan parlimen mengenai penyatuan
politik Tanah Melayu yang dikenali sebagai Malayan Union (MU). Pada 11 Oktober 1945,
Harold MacMichael dihantar ke Tanah Melayu untuk mendapatkan tandatangan Sultan-
sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Beliau melaksanakan tugasnya dari 18 Oktober
hingga 21 Disember 1945. Parlimen British telah mengeluarkan kertas putih yang
mengandungi cadangan-cadangan MU.

Cadangan-cadangan MU
Cadangan Perlembagaan MU mengandungi 2 fasal utama, iaitu yang berkaitan dengan
pentadbiran dan kerakyatan.
1. Pentadbiran
a. Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan), Negeri-
negeri Melayu Tidak Bersekutu (Kedah, Perlis, Kelantan, Terengganu) dan 2 buah Negeri-
negeri Selat (Pulau Pinang dan Melaka) digabungkan sebagai satu unit politik yang dikenali
sebagai MU.
b. Singapura diasingkan dari MU kerana jumlah penduduk Cinanya yang ramai, kedudukan
yang strategik dan taraf pelabuhan bebas. Singapura menjadi wilayah yang berasingan dan
ditadbir oleh seorang Gabenor.
c. Kedudukan Sultan-sultan dikekalkan tetapi kekuasaan serta kewibawaan mereka
dikurangkan. Sultan tidak mempunyai kuasa dalam pentadbiran. Kuasa Sultan hanya
tertumpu dalam hal ehwal agama Islam dan adat resam Melayu di mana mereka dilantik
sebagai Pengerusi Majlis Penasihat Melayu negeri masing-masing.
d. Majlis Mesyuarat Negeri dikekalkan sebagai badan yang menguruskan hal-ehwal
tempatan tetapi diletakkan di bawah kawalan langsung kerajaan pusat.
e. MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British dengan pemusatan pentadbiran yang
diketuai oleh Gabenor di Kuala Lumpur.
f. Gabenor akan menjalankan pentadbiran dengan bantuan Majlis Mesyuarat Kerja dan
Majlis Perundangan Pusat. Selain itu, Majlis Penasihat juga ditubuhkan.
g. Seorang Gabenor Jeneral dilantik untuk mengawasi pentadbiran MU, Singapura dan
wilayah Borneo.
2. Kerakyatan
Perlembagaan MU memberi hak dan peluang yang sama kepada semua warganegara tanpa
mengira bangsa dan keturunan. Syarat kerakyatan:
a. Lahir di Tanah Melayu atau Singapura.
b. Tinggal di Tanah Melayu selama 10 tahun daripada tempoh 15 tahun yang terdahulu
sebelum 15 Februari 1942.
c. Lahir di luar Tanah Melayu tetapi ibu atau bapa atau kedua-duanya warganegara MU.
d. Mereka yang tidka layak mengikut syarat atas boleh memohon menjadi warganegara
selepas tinggal di Tanah Melayu selama 5 tahun.

Sebab penubuhan MU
1. Mewujudkan keseragaman dan kecekapan
MU dilaksanakan supaya dapat mewujudkan keseragaman atau kecekapan dalam
pentadbiran di seluruh Tanah Melayu. Sebelum perang, terdapat 3 bentuk pentadbiran
yang tidak seragam, iaitu Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Negeri-negeri Melayu Tidak
Bersekutu dan Negeri-negeri Selat. James V. Allen dalam bukunya The Malayan Union
menegaskan bahawa sistem pentadbiran tersebut bukan sahaja janggal tetapi mahal.
Sistem pentadbiran sebelum perang perlu dihapuskan kerana ianya mempunyai banyak
kelemahan. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya bukan
sahaja dapat mewujudkan keseragaman dan kecekapan dalam pentadbiran, tetapi juga
menjimatkan belanja pentadbiran.
2. Melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu
Penubuhan MU bertujuan untuk melahirkan semangat cintakan Tanah Melayu terutamanya
di kalangan orang-orang Cina dan India. Taat setia orang Cina dan India masih lagi ke
negara asal mereka. Diharapkan dengan pemberian kerakyatan yang longgar, orang Cina
dan India akan menumpukan taat setia kepada Tanah Melayu apabila mereka menjadi
warganegara MU.
3. Mengimbangi perkembangan ekonomi
MU juga bertujuan untuk mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
Sebelum perang, perkembangan ekonomi antara negeri tidak seimbang. Secara umunya,
Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu lebih maju daripada Negeri-negeri
Melayu Tidak Bersekutu. Sekiranya semua negeri digabungkan sebagai satu unit politik,
ianya akan mengimbangi perkembangan ekonomi di seluruh Tanah Melayu.
4. Persiapan ke arah berkerajaan sendiri
Mengikut British, MU merupakan persiapan Tanah Melayu menuju ke arah berkerajaan
sendiri. Sebelum hasrat ini tercapai pentadbiran yang stabil perlu diwujudkan. Selain itu,
kesedaran nasional perlu ditanam di kalangan penduduk seluruh Tanah Melayu.
5. Meneruskan usaha British
MU juga dilaksanakan bagi meneruskan usaha British untuk menggabungkan semua negeri
di Tanah Melayu sebagai satu unit politik seperti yang dijalankan sebelum Perang Dunia
Kedua. Buktinya: desentralisasi dilaksanakan dengan tujuan mempengaruhi Negeri-negeri
Melayu Tidak Bersekutu menyertai persekutuan.
6. Meneruskan penguasaan politik dan ekonomi
Penubuhan MU akan membolehkan British meneruskan penguasaannya ke atas politik dan
ekonomi Tanah Melayu kerana Malayan Union akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota
British.
7. Membalas dendam
MU juga dilaksanakan dengan tujuan untuk membalas dendam terhadap orang Melayu
kerana menyokong Jepun. James V. Allen dalam bukunya The Malayan Union
menegaskan sejak kekalahan British di tangan Jepun, majoriti pegawai British bersikap
anti-Melayu kerana mereka kecewa dengan tindakan orang Melayu yang bekerjasama
dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang Melayu, terutamanya
yang berkaitan dengan hak keistimewaan dan kekuasaan serta kewibawaan Sultan.
8. Mengenang jasa
James V. Allen juga mendakwa penubuhan MU bertujuan mengenang jasa orang Cina yang
telah bekerjasama dengan British untuk menentang Jepun. Majoriti orang Cina menjadi
anggota Malayan People Anti-Japanese Army (MPAJA) dan bersama-sama British dalam
usaha mengusir Jepun dari Tanah Melayu. Akibatnya, perlembagaan MU dirangka sebegitu
rupa yang menguntungkan orang Cina yang berkaitan dengan kerakyatan.
9. Menghalang usaha ke arah kemerdekaan
MU dilaksanakan bagi menghalang usaha ke arah kemerdekaan yang diperjuangkan oleh
penduduk Tanah Melayu, terutamanya orang Melayu. Sejak pendudukan Jepun, orang
Melayu telah berusaha untuk mendapatkan kemerdekaan. Usaha mereka akan terhalang
kerana MU akan menjadi Tanah Jajahan Mahkota British.
10. Menyusun strategi pertahanan
Penubuhan MU bertujuan memudahkan British menyusun strategi pertahanan. Sebelum
Perang Dunia Kedua, British mendapati sukar untuk menyusun strategi pertahanan Tanah
Melayu kerana bukan semua negeri ditadbir secara langsung oleh British. Sekiranya semua
negeri digabungkan sebagai satu unit politik, ianya akan memudahkan British menyusun
strategi pertahanan yang berkesan.

Penentangan MU oleh orang Melayu


Pengenalan dan penubuhan MU telah menimbulkan penentangan hebat dari orang Melayu.
Sebabnya:
1. Cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan Sultan-sultan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan cara Harold MacMichael mendapatkan tandatangan
Sultan bagi mempersetujui penubuhan MU. Semasa diminta menandatangani persetujuan
tersebut, Sultan-sultan tidak diberitahu cadangan-cadangan yang terkandung dan
perlembagaan MU. Sultan-sultan juga tidak diberi masa cukup untuk meneliti kebaikan dan
keburukan MU. Selain itu, mereka juga tidak dibenarkan berbincang dengan pembesar atau
Majlis Mesyuarat Negeri sebelum menandatangani persetujuan penubuhan MU. Ugutan
Harold MacMichael telah menambahkan kemarahan orang Melayu. Sekiranya mana-mana
Sultan enggan menandatangani persetujuan penubuhan MU, Sultan tersebut akan dianggap
pro-Jepun dan disingkirkan dari takhta. Contoh yang jelas ialah Sultan Badlishah yang
diberi kata dua sama ada menandatangani persetujuan penubuhan MU atau turun dari
takhta.
2. Kekuasaan dan kewibawaan Sultan
Penubuhan MU akan menjejaskan kekuasaan dan kewibawaan Sultan. Walaupun kedudukan
Sultan dikekalkan, tetapi kekuasaan dan kewibawaan mereka dikurangkan. Sultan tidak
mempunyai kuasa pentadbiran. Kuasa Sultan hanya tertumpu dalam hal-ehwal Islam dan
adat resam Melayu. Malah kuasa Sultan dalam hal-ehwal Islam juga terjejas apabila British
mencadangkan penubuhan Majlis Mesyuarat Agama yang dipengerusikan oleh Gabenor.
Sultan-sultan dianggap sebagai pelindung orang Melayu. Kemerosotan kuasa Sultan bererti
kehilangan kuasa orang Melayu.
3. Hak istimewa
Penubuhan MU akan menghapuskan hak-hak istimewa yang dinikmati oleh orang Melayu
sebagai bumiputera Tanah Melayu kerana perlembagaan MU memberi hak dan peluang
yang sama kepada semua warganegara tanpa mengira bangsa dan keturunan. Orang Melayu
tidak mahu hak istimewa dinikmati oleh orang Cina dan India yang dianggap pendatang
yang menumpang di Tanah Melayu. Penghapusan hak istimewa menyebabkan orang Melayu
bimbang penguasaan ekonomi oleh orang Cina akan bertambah besar dan ini akan
meluaskan jurang ekonomi antara orang Melayu dengan Cina.
4. Hak kerakyatan
Orang Melayu tidak bersetuju dengan syarat kerakyatan yang longgar mengikut prinsip jus
soli. Orang Melayu tidak mahu orang Cina dan India diberi syarat kerakyatan yang longgar
kerana merek masih tidak yakin dengan taat setia orang Cina dan India terhadap Tanah
Melayu. Pemberian taraf kerakyatan yang longgar akan menyebabkan ramai orang Cina dan
India menjadi warganegara Tanah Melayu. Orang Melayu bimbang orang Cina yang
sudahpun menguasai ekonomi akan menguasai politik apabila bilangan mereka melebihi
orang Melayu. Kebimbangan mereka bertambah kerana pada tahun 1947, jumlah Melayu
hanya 49.46% daripada jumlah penduduk Tanah Melayu.
5. Balas dendam
Orang Melayu juga menentang MU kerana mereka menyedari perlembagaan MU merupakan
balas dendam British terhadap orang Melayu kerana menyokong Jepun. James V. Allen
dalam bukunya The Malayan Union mendakwa sejak kekalahan British di tangan Jepun,
majoriti pegawai British bersikap anti Melayu kerana kecewa dengan tindakan orang
Melayu bekerjasama dengan Jepun. Akibatnya, perlembagaan MU amat merugikan orang
Melayu, terutamanya yang berkaitan dengan hak istimewa dan kekuasaan serta
kewibawaan Sultan.
6. Masa cemas
MU dilaksanakan pada masa cemas dalam hubungan antara orang Melayu dan Cina akibat
pemerintahan Jepun. Oleh itu, orang Melayu mendakwa perkembangan ini dilaksanakan
dalam suasana anti Melayu dan pro Cina kerana MU merugikan orang Melayu dan
menguntungkan orang Cina.
7. Orang Melayu tidak terlibat
Orang Melayu tidak terlibat dalam merangka perlembagaan MU. Perlembagaan itu
dirancang oleh Pegawai British dalam MPU di London. Pendapat orang Melayu langsung
tidak diminta oleh British semasa mereka merangka perlembagaan tersebut.

Bentuk penentangan
1. Akhbar
Akhbar-akhbar telah memainkan peranan penting dalam membangkitkan penentangan
orang Melayu terhadap MU. Akhbar-akhbar telah mendedahkan keburukan dan kerugian
yang akan dialami oleh orang Melayu jika MU dilaksanakan. Orang Melayu telah diseru
supaya bersatu dalam usaha menentang MU. Orang Melayu juga diseru supaya memulihkan
pertubuhan yang telah wujud dan menubuhkan pertubuhan baru. Pertubuhan-pertubuhan
ini perlu digabungkan bagi menguatkan penentangan orang Melayu terhadap MU. Berita
tentang penentangan orang Melayu dimuatkan dalam akhbar untuk pengetahuan orang-
orang Melayu di seluruh Tanah Melayu. Di antara akhbar-akhbar tersebut ialah Utusan
Melayu, Warta Negara, Majlis dan Pelita Malaya.
2. Kerjasama
Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah bersatu dan bekerjasama
dalam usaha menentang MU. Mereka telah menulis surat kepada Raja British dan bekas
pegawai British yang pernah berkhidmat di Tanah Melayu memohon sokongan mereka
terhadap perjuangan orang Melayu. Mereka juga mendesak Kerajaan British dan Pejabat
Tanah Jajahan membatalkan rancangan penubuhan MU dan merangka perlembagaan baru
yang sesuai dijalankan di Tanah Melayu khususnya yang dapat melindungi kepentingan
orang Melayu. Bekas pegawai British tersebut telah menulis dalam akhbar di Britain,
terutamanya akhbar Times untuk menyatakan sokongan mereka terhadap perjuangan
orang Melayu. Antara bekas pegawai British tersebut ialah Frank Swettenham, Authur
Richard, Cecil Clementi, Rolland Braddle dan Winstreadt. Orang-orang Melayu telah
mengadakan perarakan dan perhimpunan di semua ibu negeri dan di bandar-bandar lain di
Tanah Melayu untuk menunjukkan bantahan mereka terhadap MU. Sebagai contoh: pada 15
Disember 1945, 10 ribu orang telah berkumpul di hadapan istana di Kota Bahru semasa
Harold MacMichael menemui Sultan untuk mendapatkan tandatangan. Pada 25 Januari
1946, hampir 5000 orang telah mengadakan perhimpunan di Padang Mahkamah, Alor Setar.
Pada 10 Februari 1946, perhimpunan yang dihadiri oleh 15 ribu orang diadakan di Johor
Bahru. Satu perhimpunan raksasa yang dihadiri lebih 50 ribu orang diadakan di Kuala
Kangsar pada 10 Mac 1946.
3. Kongres
Hasil dari daya usaha Kesatuan Melayu Selangor dan Dato Onn bin Jaafar, Kongres Melayu
Se-Malaya diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 1-4 Mac
1946. Kongres tersebut dihadiri 107 perwakilan dan 56 pemerhati dari 41 pertubuhan
Melayu di seluruh Tanah Melayu. Kongres tersebut telah mendesak orang Melayu supaya
bersatu dan berusaha untuk menentang MU. Kongres tersebut juga mencadangkan supaya
ditubuhkan sebuah pertubuhan Melayu yang akan dianggotai oleh orang Melayu di seluruh
Tanah Melayu. Pada 29 dan 30 Mac 1946, Kongres Melayu Se-Malaya Kedua diadakan di
Kuala Lumpur bagi membincangkan penubuhan pertubuhan Melayu tersebut. Akibatnya
lahirlah Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu yang lebih dikenali sebagai UMNO dalam
Kongres Melayu Se-Malaya Ketiga di Johor Bahru pada 11 Mei 1946. Dato Onn bin Jaafar
dilantik sebagai Presiden UMNO yang pertama.
4. Pemulauan
Walaupun mendapat tentangan orang Melayu, British tetap mahu melaksanakan MU.
Akibatnya, Sultan-sultan, pembesar-pembesar dan orang-orang Melayu telah memulaukan
upacara panubuhan MU dan perlantikan Edward Gent sebagai Gabenor pertama pada 1
April 1946.
5. Perkabungan
Selama seminggu sejak penubuhan MU, orang Melayu telah mengadakan perkabungan
untuk menunjukkan betapa sedihnya mereka akibat penubuhan MU. Dalam perkabungan
tersebut, lelaki Melayu memakai songkok yang dililit kain putih manakal wanita Melayu
melilitkan kain putih di lengan baju. Perkabungan orang Melayu mendapat simpati orang
asli. Diberitakan dalam akhbar Pelita Malaya, bertarikh 5 April 1946, orang-orang Sakai di
Ulu Langat telah keluar ke Pekan dengan memakai bunga-bunga kabung.
6. Ahli Melayu
Ahli-ahli Melayu dalam Majlis Penasihat menarik diri untuk menunjukkan bantahan mereka
terhadap MU.

Kesimpulan
Akibat tentangan orang Melayu dan perakuan Edward Gent serta Malcolm MacDonald, maka
British telah menghantar satu perwakilan ahli Parlimen British yang diketuai oleh L.D.
Grammant dan D.R. William untuk meninjau kehendak orang Melayu. Hasil daripada
laporan mereka, British bersetuju membubarkan MU dan menubuhkan Persekutuan Tanah
Melayu pada 1 Februari 1948. Persekutuan Tanah Melayu menjadi lindungan British. Dalam
perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, hak-hak istimewa orang Melayu dan kekuasaan
serta kewibawaan Sultan dikekalkan. Selain itu, syarat kerakyatan telah diperketatkan.

You might also like