You are on page 1of 17

Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Hashim Hj Musa
dan
Adi Yasran Abdul Aziz

ABSTRAK

Sesuatu bahasa dan bentuk tulisannya akan terus hidup dan berkembang
bila terdapat satu masyarakat bahasa yang menggunakannya secara aktif
dan terdapat sehimpunan persuratan yang mencatat khazanah ilmu
pengetahuan dan kesusasteraannya untuk digunakan, disebar luas, dinikmati
dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Kini tulisan Rumi telah
mendominasi tulisan bahasa Melayu kerana digunakan dalam semua bentuk
persuratannya, iaitu sejak tahun 1963 apabila diisytiharkan sebagai tulisan
rasmi bahasa Melayu, dan sekali gus meminggirkan tulisan Jawi. Tulisan
Jawi tidak lagi menjadi bahan pendidikan di sekolah, kecuali untuk segelintir
pelajar di sekolah Arab/Agama Islam. Kini ramai anak bangsa kita tidak
mahir lagi dalam tulisan Jawi, bahkan ada yang terus menjadi buta Jawi,
kerana status dan fungsi tulisan Jawi sudah tidak lagi mempunyai sebarang
makna. Kemahiran Jawi tidak membantu penguasaan sebarang ilmu atau
memperoleh sebarang nilai tambah. Oleh itu, untuk mengembalikan
kedudukan tinggi tulisan Jawi yang menjadi tulisan asli bahasa Melayu
sejak hampir 1000 tahun, maka langkah-langkah yang berkaitan dengan
pengayaan penggunaan tulisan Jawi dalam persuratan ilmiah, awam dan
bahan-bahan pendidikan perlu dicari dan dikemukakan kepada badan-
badan pelaksana pengajaran dan pengguna tulisan Jawi. Makalah ini akan
cuba mengetengahkan beberapa langkah dan strategi ke arah pengisian
keperluan ini. Satu daripadanya ialah menerbitkan kembali dalam bentuk
terkini khazanah ilmu tradisional Melayu yang tercatat di atas ratusan
manuskrip lamanya dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan seperti
teknologi persenjataan, perubatan tradisional, perkapalan, seni bina, dan
lain-lain, selain daripada puisi dan kesusasteraan Melayu tradisional. Bahan-
bahan terbitan demikian boleh digunakan sebagai alat bantu mengajar Jawi
ataupun disebarluaskan untuk pembacaan umum.
Kata Kunci: Tulisan Jawi, buku pendidikan, bacaan umum, pengajaran dan
pembelajaran, persuratan Melayu.

159

Bab 9.pmd 159 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Pengenalan

Sebelum pengaruh tulisan Jawi terhakis dan akhirnya terluntur terus,


umat Melayu di seluruh Kepulauan Melayu mengenali diri mereka sebagai
orang Jawi, bangsa Jawi, dari tanah Jawi dengan berbahasa Jawi yang
bertulisan Jawi. Oleh itu Jawi pada masa itu bukan setakat satu sistem
tulisan tetapi sinonim dengan istilah Melayu, iaitu orang Jawi ialah
orang Melayu, bangsa Jawi ialah bangsa / umat Melayu, tanah Jawi
ialah negeri-negeri Melayu, bahasa Jawi ialah bahasa Melayu dan
tentu sekali tulisan Jawi ialah tulisan Melayu. Oleh yang demikian
tidak hairanlah bila Sultan Aceh menulis surat kepada seorang nakhoda
Inggeris (kemungkinan Sir James Lancaster) pada tahun 1011 Hijriah
(1602 Masihi) maka surat itu dinamakan Jawi yang dipersembahkan
kepada Kapten Inggeris itu, iaitu surat dalam bahasa Jawi (maksudnya
bahasa Melayu).
Istilah Melayu atau Jawi merangkumi pelbagai suku bangsa dan
etnik yang menduduki Kepulauan di Tenggara Asia termasuk
Semenanjung Tanah Melayu. Yang menjadi elemen penyatuan dan
kesepunyaan bagi seluruh rumpun Melayu daripada ratusan suku kaum
dan etnik (Aceh, Minang, Batak, Mandailing, Jawa, Sunda, Madura,
Ambon, Bali, Sasak, Bugis, Banjar, Iban, Kadazan, Murut, Dusun,
Melanau, Suluk, Tausug, Meranau, dan lain-lain) tidak lain dan tidak bukan
ialah bahasa Melayu yang bertulisan Jawi. Penggunaan tulisan Jawi
mengimplikasikan mereka beragama Islam. Oleh itu bahasa Melayu
dengan tulisan Jawi menandakan satu jati diri yang khusus bagi orang
Melayu, iaitu: berbahasa Melayu, berbudaya Melayu yang diwarnai oleh
agama Islam. Oleh itu sesiapa yang masuk Islam dianggap sebagai
masuk Melayu dan bagi lelaki seharusnya mesti berjawi atau
bersunat bila sampai umur baligh. Bila mubaligh Kristian barat datang
mereka menterjemahkan kitab Injil ke dalam bahasa Melayu dengan
menggunakan tulisan Jawi untuk mengkristiankan orang Melayu, dengan
ini memecahkan identiti orang Melayu ini sekali gus memecahbelahkan
perpaduan dan homogeniti seluruh kepulauan Melayu.
Jati diri Melayu demikian berlangsung selama ratusan tahun,
sehinggalah abad ke-20 apabila tulisan Jawi terhakis sedikit demi sedikit
dengan kedatangan kuasa penjajah Barat dan terus luntur pada tahun
1963 apabila Akta Bahasa Kebangsaan mengisytiharkan tulisan rasmi
bahasa Melayu ialah tulisan Rumi. Dengan demikian tulisan Jawi tidak
lagi digunakan dalam pentadbiran dan media massa, dan juga dalam semua

160

Bab 9.pmd 160 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

mata pelajaran termasuk mata pelajaran bahasa Melayu kecuali


Pendidikan Islam. Seterusnya beberapa majalah dan akhbar yang
diterbitkan dalam tulisan Jawi misalnya Majalah Dian, Majalah Mestika,
Utusan Qiblat, dan lain-lain telah menukarkan sistem ejaan Jawi kepada
ejaan Rumi, kecuali Utusan Melayu / Utusan Zaman yang meneruskan
penerbitannya walaupun menanggung kerugian kerana pasaran yang
mengecut akibat berkurangnya mereka yang celik Jawi, setelah bertahun-
tahun pengajaran tulisan Jawi diabaikan di sekolah.
Apabila Syarikat Utusan Melayu di Malaysia mengumumkan
bahawa akhbar Utusan Melayu bertulisan Jawi akan diberhentikan
penerbitannya pada tahun 2006 (kemudian diterbitkan kembali sebagai
sisipan akhbar Rumi Utusan Malaysia edisi hari Isnin), maka telah muncul
satu macam ketakutan dan kebimbangan di kalangan orang Melayu.
Apakah rasa takut dan bimbang itu? Ketakutan dan kebimbangan itu
adalah tentang kemungkinan yang orang Melayu akan kehilangan satu
daripada unsur jati diri mereka yang menjadi sebahagian sifat dan identiti
mereka yang mewarnai bangsa Melayu selama hampir 1,000 tahun.
Kehilangan satu elemen jati diri bangsa demikian sudah pasti akan
menjejas maruah dan harga diri mereka sendiri, dan yang lebih serius
lagi boleh membawa kepada kepupusannya.

Jawi Dihidupkan Kembali dan Implikasinya

Pada tahun 1981, iaitu 18 tahun sesudah pelaksanaan dasar tulisan Rumi,
Jawatankuasa Mengkaji Semula Penggunaan Bahasa Malaysia
Kementerian Pendidikan telah mengesyorkan supaya ejaan Jawi dikaji
semula dan diperkemas dan dikeluarkan sebuah Daftar Ejaan Rumi-
Jawi dengan tujuan untuk digunakannya di sekolah. Pada tahun 1983
Dewan Bahasa dan Pustaka telah menubuhkan Jawatankuasa Ejaan
Jawi untuk mengemaskinikan sistem ejaan Jawi Zaba dan mengajukan
satu sistem tulisan Jawi bagi penggunaan Kementerian Pendidikan.
Hasilnya ialah penerbitan buku Pedoman Ejaan Jawi yang
Disempurnakan pada tahun 1986 (edisi kedua 1987, edisi ketiga 1993).
Seterusnya Daftar Ejaan Rumi-Jawi dan Pedoman Ejaan Jawi Bahasa
Melayu diterbitkan pada tahun 1996 (Cetakan Ketujuh 2002).
Pada tahun 1992 Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia telah
mengeluarkan arahan supaya menggunakan sistem ejaan Jawi yang
disempurnakan itu, iaitu:

161

Bab 9.pmd 161 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Mulai tarikh ini (22 Januari, 1992) Pedoman Ejaan Jawi yang
Disempurnakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (PEJYD) itu
hendaklah digunakan di semua sekolah rendah, menengah, maktab-
maktab perguruan, oleh Lembaga Peperiksaan dan Majlis
Peperiksaan Malaysia serta dalam semua sektor dan masyarakat di
seluruh negara. (Sila lihat salinan surat di Lampiran 1)
Maktab Perguruan Islam (MPI) (kini Institut Perguruan Islam
Malaysia (IPIM)) dan Bahagian Pendidikan Islam Kementerian
Pendidikan telah mempelopori gerakan penyebaran dan pemapanan
tulisan Jawi dengan melatih para guru dalam kemahiran Jawi,
memperkemas ejaan dan menulis buku-buku teks pendidikan Islam dalam
tulisan Jawi. Langkah-langkah yang telah diambil oleh MPI sejak tahun
1984 setelah tulisan Jawi diperkenalkan kembali dalam sistem pendidikan
Malaysia, termasuklah:
1. mencipta lambang-lambang (abjad) yang sesuai dengan tulisan Jawi
dan tidak menggunakan lambang Rumi,
2. menetapkan sistem penggunaan baris di samping kaedah vokal
dalam ejaan Jawi bagi membantu pelaksanaan pengajaran dan
pembelajaran al-Quran,
3. menetapkan pola (wazn) bagi perkataan pinjaman daripada bahasa
Arab yang digunakan secara meluas dalam bahasa Melayu,
4. mengenal pasti formula atau kaedah pengajaran Jawi bagi
memudahkan guru-guru pelatih mengguna dan mengajar Jawi,
5. memberikan kursus seni khat untuk memperbaik mutu tulisan Jawi.
(Mahmud et al., 1991)

Kementerian Pendidikan pada tahun 1992 telah memasukkan


pelajaran Jawi dalam Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR)
yang menekankan kemahiran membaca dan menulis Jawi. Satu Sukatan
Pelajaran (SP) dan Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) bagi tulisan Jawi
telah dibentuk daripada tahun 1 hingga tahun 6. Satu semakan kedua-
dua itu telah dibuat pada tahun 2000 untuk dilaksanakan pada tahun
2003. Pengajaran tulisan Jawi juga telah dimasukkan ke dalam program
Jawi-Al-Quran, Bahasa Arab dan Fardu Ain (j-QAF) dalam tahun 2003
iaitu sebagai Kelas Jawi kepada murid-murid biasa dan kelas Pemulihan
Jawi kepada yang tercicir Jawi, iaitu 2 waktu seminggu untuk 6 bulan
pertama pada tahun 1, dan 1 waktu seminggu seterusnya.
Sehingga kini (2009) program j-QAF telah berjalan selama 5 tahun,
iaitu sehingga Darjah 5 sekolah rendah, dan beberapa buah buku pelajaran

162

Bab 9.pmd 162 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Jawi (buku teks, buku aktiviti oleh panel penulis telah diterbitkan oleh
Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Dewan Bahasa dan Pustaka,
selain daripada buku-buku pendidikan Islam yang telah diterbitkan sekian
lama sama ada oleh Dewan Bahasa dan Pustaka atau lain-lain penerbit.
Penulis-penulis yang lain juga telah menerbitkan buku-buku pelajaran
Jawi dan yang paling produktif ialah Pak Matlob dengan 20 siri Bacaan
Tambahan j-QAF dan siri Pandai Jawi Pandai Khat. Kebanyakan
buku-buku ini merupakan buku-buku pengajaran Jawi atau buku panduan,
latihan dan kemahiran Jawi. Kekecualian ialah buku Siri Bacaan
Tambahan j-QAF oleh Pak Matlob terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka
bertujuan untuk dijadikan sebagai bahan bacaan tambahan demi
memahirkan murid dalam ejaan Jawi di samping menikmati isi kandungan
yang terdiri daripada episod pendek yang ada hubungan dengan alam
kanak-kanak. Namun buku-buku bacaan dalam tulisan Jawi untuk
penikmatan dan apresiasi misalnya novel kanak-kanak, cerpen, puisi (syair,
sajak, gurindam, pantun, dan lain-lain), sastera klasik dan cerita rakyat,
alam sains dan teknologi dengan taraf penulisan yang sesuai dengan
tahap murid-murid, perlu diperbanyakkan lagi demi melebarkan pilihan
dan kerencamannya.
Bahan-bahan pengajaran dan pembelajaran (P&P) dan bahan
bacaan Jawi yang ada sekarang termasuklah buku teks KBSR Pelajaran
Jawi bermula dari tahun satu hingga tiga (buku aktiviti) tahun empat
hingga enam (buku teks), HSP KBSR: Pendidikan Islam tahun satu hingga
tahun enam (dua jilid setiap peringkat), buku HSP Kurikulum Bersepadu
Sekolah Menengah (KBSM): Pendidikan Islam dari tingkatan satu hingga
tingkatan lima, yang kesemuanya diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka. Selain itu, terdapat juga buku-buku teks dan latihan yang
menggunakan tulisan Jawi yang dikeluarkan oleh jabatan agama negeri
untuk kegunaan di sekolah-sekolah agama dalam negeri tersebut seperti
yang terdapat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan dan Pulau Pinang.
Selain buku teks terdapat juga buku latihan tambahan berdasarkan
buku teks tersebut yang dikeluarkan oleh pelbagai penerbit. Berdasarkan
tinjauan bahan bacaan yang terdapat di pasaran, buku latihan Jawi
peringkat sekolah rendah adalah yang paling banyak. Antara penerbit
yang telah menerbitkan buku latihan yang telah lengkap dari tahun 1
hingga 6 ialah ialah Sasbadi, Pelangi, Attarbiah, Cerdik Publications, dan
Pustaka Ilmi. Di peringkat prasekolah pula terdapat beberapa penerbit
yang menerbitkan buku latihan Jawi seperti Tadika Generasi Al-Quran
Profesional, Tadika Sri Kancil Bestari, dan United Publishing House.

163

Bab 9.pmd 163 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Bahan-bahan bacaan umum pula terdiri daripada buku agama,


sastera dan majalah. Tinjauan di pasaran mendapati bahawa buku
agamalah yang paling banyak. Antaranya ialah buku agama yang
diterbitkan oleh JAKIM seperti Mastika Hadith (3 jilid), Bulugh al-
Maram (2 jilid), Riad al-Salihin (5 jilid), Terjemah Sahih Bukhari (5
jilid), buku agama yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka
seperti Ajaran Sesat (Abdul Fatah Harun, 1994), Ulum al-Hadith (Buda
@ Udah Mohsin, 1995), buku agama yang diterbitkan oleh Darulfikir
seperti Panduan Tartil Al-Quran (3 siri) dan Buku Qawaid al-
Taranum (Nik Jaafar), Panduan Tasrif (Ilyas Cek), buku agama dan
kitab Jawi klasik yang diterbitkan semula oleh Khazanah Fathaniyah,
dan beberapa penerbit yang lain. Buku bacaan sastera pula didapati amat
terhad bilangannya. Hanya terdapat beberapa buah novel yang diterbitkan
oleh Dewan Bahasa dan Pustaka yang masih beredar di pasaran seperti
Hidayah 31 Ogos (Ghazali Ngah Azia, 1994), Duta Kecil (Jamiah Abu
Bakar, 1994), Wira Anak Berjasa (Zaharah Nawawi, 1993), dan Rakit
Batang Pisang (Sahul Hamid, 1989). Manakala satu-satunya majalah
lama bertulisan Jawi yang masih bertahan di pasaran ialah majalah
Pengasuh yang diterbitkan dua bulan sekali oleh Majlis Agama Islam
Kelantan dan satu majalah baharu, Apa Dia yang diterbitkan oleh
Synergymate Sdn. Bhd. Bagaimanapun, edaran kedua-duanya agak
terhad.
Namun sehingga kini tulisan Jawi hanya diajar dalam mata pelajaran
Pendidikan Islam dan bukannya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu,
atas penjelasan pihak Peguam Negara yang berbunyi:
Tidak ada percanggahan dari segi Perlembagaan menjadikan Jawi
sebahagian daripada pelajaran Bahasa Malaysia dan
memasukkannya dalam Sukatan Pelajaran. Juga tidak ada
percanggahan undang-undang bagi Kementerian (Pendidikan)
menyuruh sekolah mengajar pelajaran Jawi, tetapi adalah
bercanggah dengan semangat Akta Bahasa Kebangsaan 1963
memaksa penuntut-penuntut mempelajari Jawi sebahagian daripada
(pelajaran) Bahasa Malaysia.
(Aishah Rabi`ah binti Muhammad Saleh, 2002)
Dengan berpandukan penjelasan pihak Peguam Negara itu, maka
tulisan Jawi yang telah diajar dalam mata pelajaran Pendidikan Islam
sahaja bukannya dalam mata pelajaran bahasa Melayu, telah membawa
beberapa implikasi yang serius, iaitu:

164

Bab 9.pmd 164 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

1. Tulisan Jawi dikaitkan secara jelas dan khusus dengan agama Islam
bukan dengan bahasa Melayu secara umum, oleh itu tidak sesuai
digunakan di luar konteks agama Islam, misalnya bagi nama jalan,
bangunan, bandar dan lain-lain (kejadian terbaru ialah bantahan
parti pembangkang terhadap DBKL menamakan jalan-jalan dalam
tulisan Jawi di Kuala Lumpur),
2. Tulisan Jawi diajar untuk pelajar Islam bagi memahami agama Islam,
dan pengajaran tulisan Jawi kepada pelajar bukan Islam dianggap
memaksa mereka mempelajari agama Islam yang bertentangan
dengan prinsip kebebasan beragama bagi semua rakyat Malaysia
seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia (Constitution
of Malaysia 2009), iaitu:
Article 3
1. Islam is the religion of the Federation but other religions may
be practiced in peace and harmony...
Article 12
3. No persons shall be required to receive instructions or take part in
any ceremony or act of worship of a religion other than his own.
3. Oleh sebab kurangnya bahan bertulis dalam tulisan Jawi yang berada
di pasaran (selain daripada Utusan Melayu sisipan dalam Utusan
Malaysia edisi hari Isnin dan buku-buku mata pelajaran Pendidikan
Islam), maka kemahiran Jawi tidak dapat dibudayakan dalam
masyarakat Malaysia, terutama sekali di kalangan belia dan generasi
muda. Oleh yang demikian kemahiran itu tidak banyak nilai
tambahan dan kegunaannya, menyebabkan kehilangan insentif untuk
mempelajarinya dalam kalangan pelajar Melayu sendiri. Bagi pelajar
bukan Melayu peluang dan insentif mempelajarinya langsung tidak
ada.
Berdasarkan implikasi yang serius tentang P&P tulisan Jawi tersebut,
maka tidak dapat dinafikan bahawa P&P Jawi kini sedang bergerak di
dalam keadaan realiti yang senget dan tempang, iaitu seperti sebuah
kereta yang bergerak di atas roda sebelah kanan sahaja, yang sebelah
kiri statik, menyebabkan pergerakannya berputar di satu tempat sahaja,
dan tidak maju ke mana-mana. Oleh yang demikian tidak hairanlah selepas
belajar Jawi sekian lama melalui mata pelajaran Pendidikan Islam, ramai
belia masih lagi mengalami keadaan buta Jawi, kerana tidak ada peluang
untuk mempraktikkannya ataupun tidak banyak aplikasi dan
penggunaannya dalam kehidupan seharian.

165

Bab 9.pmd 165 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Daya usaha untuk memperkasakan kembali tulisan Jawi bergantung pada


objektif dan matlamatnya. Untuk apa kita mahu memperkasakannya
kembali? Siapakah kumpulan sasar yang kita mahu mahir dalam tulisan
Jawi? Berikut ini dikemukakan beberapa pandangan dan cadangan dalam
usaha memperkasa kembali Jawi:
1. Kita memperkasa kembali Jawi kerana Jawi ialah jati diri orang
Melayu: bangsa Jawi ialah bangsa Melayu, tanah Jawi ialah tanah
Melayu, bahasa Jawi ialah bahasa Melayu, tulisan Jawi ialah tulisan
Melayu, yang menjadi sebahagian sifat dan identiti kita yang
mewarnai bangsa Melayu selama hampir 1,000 tahun (seperti dalam
ceraian 1 di atas); kehilangan satu elemen jati diri bangsa demikian
sudah pasti akan menjejas maruah dan harga diri kita sendiri, dan
yang lebih serius lagi boleh membawa kepada kepupusan kita sedikit
demi sedikit
2. Bagi orang Melayu Jawi ada kaitan secara langsung dengan
pengajian al-Quran, al-Hadis dan kitab-kitab agama Islam; buta
Jawi boleh menjejas secara serius kebolehan membaca al-Quran
dan kitab-kitab Melayu lama mengenai agama Islam oleh ulama-
ulama tersohor Melayu seperti Hamzah Fansuri, Abdul Rauf Singkel,
Nuruddin al-Raniri, Abdul Samad Falimbani, Muhammad Zain
Jalaluddin Aceh, Muhammad Arshad al-Banjari, Daud al-Fathani,
Muhammad bin Ismail Daud al-Fathani, Ahmad Khatib Sambas,
Tuan Tabal, dan lain-lain, yang kini sudah tidak diketahui lagi oleh
generasi muda Melayu
3. Oleh sebab Perlembagaan Malaysia tidak mengizinkan sesiapa pun
menerima pengajaran agama selain daripada agamanya secara
paksaan, maka jika kita hendak memperkenalkan tulisan Jawi sebagai
tulisan bahasa Melayu kepada pemeluk agama lain, maka kita mesti
mengadakan bahan bacaan dan bahan P&P yang berjenis umum,
iaitu tidak terkhusus kepada pengajaran agama Islam, tetapi
merangkumi pelbagai tema dan genre secara kreatif dan inovatif.
Pembangunan bahan-bahan Jawi demikian juga akan memperkaya
kepustakaan dan persuratan dalam tulisan Jawi yang sangat penting
demi meningkatkan nilai, kegunaan, dan tarikan mempelajari dan
menggunakannya.
4. Langkah yang paling baik ialah memasukkan pembelajaran tulisan
Jawi dalam subjek bahasa Melayu bukan setakat dalam subjek

166

Bab 9.pmd 166 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

pendidikan Islam sahaja. Tulisan Jawi hendaklah dikaitkan dengan


khazanah persuratan Melayu yang berjumlah beribu-ribu karya
dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan misalnya falsafah dan
pemikiran, kesusasteraan, kebudayaan, surat-menyurat, perubatan
tradisional, teknologi perkapalan, persenjataan, perjalanan, pelbagai
petua, jampi serapah, dan sebagainya.
5. Memperbanyak penerbitan khazanah persuratan Melayu dalam
bidang-bidang yang disebutkan itu untuk menjadi bahan bacaan
dan kajian semasa, dan disebarkan ke perpustakaan, sekolah-
sekolah, IPTA dan IPTS di seluruh negara, melalui publisiti dan
hebahan pihak berkuasa dengan biaya badan-badan berkanun dan
swasta sebagai tanggungjawab sosial dan negara bangsa.
6. Menerbitkan kembali akhbar Utusan Melayu tetapi diintegrasikan
dengan Utusan Malaysia sebagai sisipan halaman tengahnya (ini
telah dilaksanakan dengan berjayanya). Untuk menarik minat
pembacaan hendaklah diterbitkan artikel dan bahan yang menarik
terutama sekali daripada khazanah persuratan Melayu lama,
mungkin pada permulaan keluarannya dilakukan transliterasi
Ruminya dengan memasukkan panduan membaca dan menulis Jawi.
7. Mencetak kembali dalam format yang besar surat-surat emas raja-
raja dan pembesar Melayu dan juga manuskrip Melayu lama yang
mempunyai iluminasi yang menarik dan indah (bersekali dengan
transliterasinya) dan disebarluaskan dengan publisiti besar-besaran
untuk dijadikan gambar hiasan di bangunan-bangunan kerajaan,
badan berkanun dan juga swasta, sebagai satu pelestarian warisan
bangsa dan negara yang bernilai tinggi (lihat contoh manuskrip di
Lampiran 2).
8. Memperbanyak lagi hasil karya lukisan seni khat kontemporari yang
merakamkan selain al-Quran dan Hadis, juga kata-kata hikmat,
syair, gurindam, pepatah dan peribahasa Melayu, tunjuk ajar Melayu,
dan lain-lain untuk dijadikan hiasan di bangunan-bangunan yang
tersebut di atas.
9. Membudayakan tulisan Jawi pada hari-hari kebesaran masyarakat
Melayu, misalnya pada Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil
Adha, Maulidur Rasul, Tahun Baru Hijrah, dan lain-lain dengan
menuliskan hari-hari perayaan itu di atas sebarang kertas hiasan
dan direntangkan di pintu rumah, bangunan, pejabat, masjid, surau
dan lain-lain.
10. Mengadakan minggu tulisan Jawi di setiap sekolah, institusi pengajian
tinggi dan sebagainya dengan mengadakan bengkel dan peraduan

167

Bab 9.pmd 167 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

tulisan Jawi dan seni khat, pameran seni tulisan Jawi dan seni khat,
pameran surat-surat emas raja-raja, dokumen-dokumen sejarah
yang penting misalnya perisytiharan kemerdekaan, manuskrip-
manuskrip karya agung Melayu, dan lain.
11. Menulis dalam tulisan Jawi pepatah, gurindam, syair, simpulan
bahasa dan tunjuk ajar Melayu dalam seni khat dan iluminasi yang
indah, untuk dijadikan bahan hiasan dan pameran di rumah,
bangunan, pejabat-pejabat dan lain, demi menghayati warisan
peradaban dan persuratan Melayu.
12. Mengadakan kerjasama yang erat untuk menggemburkan,
menyubur dan mempromosikan tulisan Jawi dan seni khat dengan
dunia Melayu yang lain, iaitu Brunei, Indonesia, Singapura, Thai
Selatan, Vietnam, Kampuchea dan Filipina Selatan, yang masih
ada warisan kitab-kitab Jawi dan manusia yang masih boleh
menggunakan Jawi. Pada permulaannya dipamerkan khazanah
Melayu Jawi dan seni khat yang indah dan menarik yang menjadi
warisan 1000 tahun khazanah Melayu. Seterusnya diadakan
persidangan, seminar dan bengkel antarabangsa untuk
menghidupkan kembali minat dan keupayaan membudaya,
memperkasa dan melestarikan Jawi di seluruh Dunia Melayu.

Jawi Sebagai Citra dan Jati Diri Bangsa


Malaysia

Satu-satunya milik asli negara bangsa Malaysia ialah bahasa Melayu


dengan tulisan Jawi yang diciptanya sendiri yang berumur hampir 1,000
tahun, berbanding dengan tulisan Rumi yang kita gunakan kurang dari 50
tahun. Di Korea, Jepun dan China, bahasa Korea, Jepun dan China ialah
milik negara bangsa masing-masing, dan setiap rakyat mereka untuk
memasuki pengajian di Universiti mesti lulus bahasa mereka dengan tulisan
mereka sendiri supaya dapat dikekalkan dan disemaikan jati diri, citra
dan semangat patriotik dan cinta akan tanah air rakyat jelata mereka.
Demikianlah juga kita bangsa Malaysia, jika kita berasa bangga dengan
khazanah warisan bangsa kita dan mahu membina jati diri Malaysia yang
tersendiri supaya dapat dibentuk citra asli negara bangsa Malaysia
tersendiri demi perpaduan yang utuh di kalangan rakyat jelatanya,
mengapa kita tidak terus menekankan polisi bahasa Melayu ini dan
ditambahkan lagi dengan kemahiran tulisan Jawinya?

168

Bab 9.pmd 168 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Jikalau pada zaman penjajah dahulu, pegawai-pegawai penjajah


dan pembesarnya bila berhubung dengan Raja-Raja dan pembesar
Melayu, mereka menulis dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi,
bahkan seorang ketua Paderi Kristian Werndly telah menterjemahkan
Kitab Injil ke dalam bahasa Melayu dengan tulisan Jawi, menunjukkan
bahawa Jawi telah digunakan untuk tujuan selain daripada Islam. Apakah
yang menghalang kita negara bangsa Malaysia mengkanunkan balik
tulisan Jawi dalam Akta Pendidikan supaya diajar sebagai tulisan yang
Melayu yang sebenar, di samping tulisan Rumi.
Seperti yang dinyatakan di atas, tuduhan yang mengatakan bahawa
dengan mempelajari Jawi maka pelajar-pelajar dipaksa masuk Islam,
adalah tuduhan yang palsu dan penuh prasangka yang buruk. Bahkan
semua pelajar yang menguasai tulisan Jawi tidak akan mengalami
sebarang kerugian, malah mereka akan bernilai tinggi kerana dapat
menimba secara langsung khazanah warisan ilmu pengetahuan dan
kebijaksanaan yang turun-temurun sebuah tamadun besar di rantau Asia
Tenggara iaitu tamadun Melayu. Di samping itu satu jati diri yang asli
dan utuh dapat disemai dan dipupuk sebagai milik khusus negara bangsa
Malaysia.

Kesimpulan

Tulisan Jawi bukan sahaja penting sebagai satu warisan bangsa, malah
ia merupakan citra dan jati diri bangsa Melayu itu sendiri.
Memperkasakan tulisan Jawi bermakna memperkasakan bahasa dan
bangsa Melayu itu sendiri di samping mempereratkan perpaduan antara
kaum melalui wadah bahasa. Sebanyak 12 pandangan dan cadangan
telah dikemukakan untuk memperkasakan tulisan Jawi, termasuklah
melalui sistem pengajaran dan pembelajaran, iaitu dengan memasukkan
pembelajaran tulisan Jawi dalam subjek bahasa Melayu dan bukan setakat
dalam subjek pendidikan Islam sahaja. Pengajaran Jawi dalam subjek
pendidikan Islam sahaja telah banyak memberikan kesan negatif kepada
perkembangan tulisan Jawi seolah-olah tulisan Jawi hanya sesuai untuk
agama dan umat Islam sahaja. Oleh itu, pandangan dan cadangan
memperkasakan Jawi yang disuarakan dalam makalah ini diharap
mendapat perhatian dan tindakan semua pihak khususnya pihak berwajib.

169

Bab 9.pmd 169 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Bibliografi

Abdul Rahman Hj Abdullah (1990). Pemikiran Umat Islam di


Nusantara. Kuala Lumpur: DBP.
Aisyah Rabiah Muhammad Saleh (2002). Pelaksanaan Jawi di Sekolah:
Satu Penyelesaian, kertas kerja sempena Mesyuarat Agung
PENJAWIM 2002.
Al-Attas, S. M. Naquib (1984). The Correct Date of the Terengganu
Inscription, Kuala Lumpur: Muzium Negara.
Al-Attas, S. M. Naquib (1969). Preliminary Statement on A General
Theory of the Islamization of the Malay-Archipelago. Kuala
Lumpur: DBP.
Al-Attas, S. M. Naquib (1988). The Oldest Known Malay Manuscript:
A 16th Century Translation of the `Aqaid of al-Nasafi. Kuala
Lumpur: University of Malaya Press.
Amat Juhari Moain (1996). Sejarah Aksara Jawi. Kuala Lumpur: DBP.
Bruinessen (1999). Kitab Kuning: Pesantren dan Tarekat. Bandung:
Penerbit Mizan.
Casparis, J. G. de (1980). Ahmad Majnun Tombstone at Pengkalan
Kempas, JMBRAS, Vol. 53, Pt. 1, h. 1-12.
Constitution of Malaysia (2009). (dalam talian) http://en.wikisource.org/
wiki/Constitution_of _Malaysia#Article_1.
Daftar Ejaan Rumi-Jawi (2002). Kuala Lumpur: DBP.
Hashim Hj Musa (2006). (Edisi Kedua: Siri Lestari Bahasa), Sejarah
Perkembangan Tulisan Jawi. Kuala Lumpur: DBP.
Hashim Hj Musa (1999). A Brief Survey on the Study of he Malay
Sastera Kitab on Malay-Islamic Thought. Kuala Lumpur:
APMUM.
Hashim Hj Musa (2006). (Edisi Kedua: Siri Lestari Bahasa), Epigrafi
Melayu: Sejarah Sistem Tulisan dalam Bahasa Melayu. Kuala
Lumpur: DBP.
Ismail Dahaman & Mashoor bin Hj Ahmad (peny.) (2000). Pedoman
Ejaan Jawi bahasa Melayu. Kuala Lumpur: DBP.
Mahayudin Hj Yahaya (1994). Naskhah Jawi: Sejarah dan Teks, Jil.
1. Kuala Lumpur: DBP.
Mahmud Hj Shaari, Ahmad Hj Hasbullah, Faridah Hj Majid, Kertas kerja
III, Konvensyen Tulisan Jawi 1991, Pusat Islam, hlm. 3.
Matlob (2003). Pandai Jawi. Shah Alam: Cerdik Publications Sdn Bhd.

170

Bab 9.pmd 170 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Mohd Nor Ngah (1980). Some Writing of the Traditional Malay Muslim
Scholars Found in Malaysia, Tamadun Islam di Malaysia. Kuala
Lumpur: Persatuan Sejarah Malaysia.
Mohd Yusoff Hashim (1989). Kesultanan Melayu Melaka. Kuala
Lumpur: DBP.
Omar bin Awang (1985). The Terengganu Inscription as the Earliest
Known Evidence of the Finalisation of the Jawi Alphabet, Islamika
III. Kuala Lumpur: Jabatan Pengajian Islam, Universiti Malaya.
Othman Mohd Yatim & Abdul Halim Nasir (1990). Epigrafi Islam
Terawal di Nusantara. Kuala Lumpur: DBP.
Wan Mohd Shaghir Abdullah (1996). Koleksi Kertas Kerja Ilmiah Hj
Wan Mohd Shaghir Abdullah. Kuala Lumpur: Khazanah
Fathaniyah.
Winstedt, R. O. (1977). A History of Classical Malay Literature. Kuala
Lumpur: Oxford University Press.

HASHIM HJ MUSA, (Prof. Dr.) Profesor Bahasa Melayu di Pusat


Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh
dihubungi melalui e-mel: hashim_musa@upm.edu.gov.my
ADI YASRAN ABDUL AZIZ, (Dr.), pensyarah kanan di Pusat Bahasa
Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia. Beliau boleh dihubungi
melalui e-mel: adiyasran@upm.edu.gov.my

171

Bab 9.pmd 171 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

Lampiran 1

Salinan Surat Arahan Kementerian Pendidikan Malaysia

172

Bab 9.pmd 172 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

Lampiran 2

Contoh Manuskrip

173

Bab 9.pmd 173 10/6/2009, 3:46 PM


Jurnal ASWARA

174

Bab 9.pmd 174 10/6/2009, 3:46 PM


Pemerkasaan Kembali Tulisan Jawi

175

Bab 9.pmd 175 10/6/2009, 3:46 PM

You might also like