You are on page 1of 21

Kanak-kanak Keperluan Khas

Kanak-kanak Keperluan Khas:

Pengenalan:

Perbezaan kognitif, sosial, emosi, fizikal dan rohani di kalangan kanak-kanak di dalam sebuah bilik darjah
merupakan perkara biasa. Selain daripada pengaruh baka dan persekitaran, kanak-kanak berkembang
pada tahap dan kadar yang berbeza. Oleh yang demikian di dalam sesebuah kelas akan terdapat murid
yang cergas serta berkebolehan dan ada murid yang menghadapi kesukaran dalam mengikut
pengajaran. Murid-murid mungkin berbeza daripada rakan-rakannya yang lain dari segi kemampuan
mereka menyelesaikan masalah, kebolehan berbincang dan bergaul dengan rakan, mengawal perasaan
atau menjalani kegitan fizikal.

Namun, kadang kala kita akan berjumpa kanak-kanak yang perbezaanya agak ketara dan tidak mengikut
norma-norma perkembangan seperti kanak-kanak lain. Perbezaanya ini juga mungkin akan
menyebabkan kanak-kanak ini tidak dapat mengikut pengajaran di dalam bilik darjah seperti rakan-
rakannya yang lain dan akhir terpinggir dan ketinggalan dalam pelajarannya. Kanak-kanak ini
menunjukkan ciri-ciri perkembangan yang berbeza daripada kanak-kanak biasa, misalnya keupayaan
kogintif, fizikal yang terhad, kesukaran berinteraksi dan berkomunikasi.

Kanak-kanak ini mungkin menghadapi masalah tertentu seperti masalah fizikal, masalah penglihatan,
pendengaran, pertuturan, tingkah laku, masalah pembelajaran, terencat akal dan pintar cerdas. Kanak-
kanak ini dikategorikan sebagai kanak-kanak berkeperluan khas. Satu bentuk pendidikan yang khusus
perlu dirancang dan dilaksanakan untuk kanak-kanak lain. Pendidikan yang disediakan untuk kanak-
kanak ini dinamakan pendidikan khas.

Di Malaysia, pendidikan untuk kanak-kanak ini terletak di bawah pengendalian Kementerian Pelajaran
Malaysia dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluaraga dan Masyarakat. Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menyediakan perkhidmatan untuk kanak-kanak yang
menghadapi masalah seperti cacat fizikal teruk, terencat akal sederhana dan teruk, pelbagai kecacatan
dan kecacatan yang tidak membolehkan kanak-kanak tersebut belajar di sekolah-sekolah yang
disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Kementerian Pelajaran Malaysia pula menyediakan
perkhidmatan pendidikan untuk murid-murid pemulihan khas dan keperluan khas.
Menurut dasar pendidikan khas di Malaysia, murid-murid berkeperluan khas merujuk kepada murid-
murid yang mengalami kecacatan penglihatan, pendengaran dan masalah pembelajaran. Kategori
kanak-kanak yang bermasalah pembelajaran di bawah tanggungjawab Kementerian Pelajaran termasuk
sindrom down, autism ringan, attention deficit hyperaktie disorder (ADHD), terencat akal minimum dan
masalah pembelajaran spesifik seperti disleksia. Antara program yang dirancang di bawah Kementerian
Pelajarn Malaysia termasuk program Pendidikan Khas Bermasalah Penglihatan. Program Pendidikan
Khas Integrasi, Program Pendidikan Khas Prasekolah, Program Pendidikan Khas Teknik dan Vokasional
serta Program Pendidikan Khas Inklusif.

Pendidikan inklusif bermasud kanak-kanak berkeperluan khas ini dimasukkan ke dalam sistem
pendidikan untuk kanak-kanak biasa. Kanak-kanak ini mungkin memerlukan perkhidmatan tertentu yang
lain namun beliau akan mengikut kurikulum seperti kanak-kanak lain. Ia melibatkan tanggungjawab
bersama antara guru biasa dan guru pendididkan khas. Pendidikan inklusif memberi peluang kanak-
kanak berkeperluan khas untuk berinteraksi dengan kanak-kanak lain.

Masalah kanak-kanak berkeperluan khas ini mungkin disebabkan oleh faktor-faktor seperti
perkembangan prenatal yang kurang sempurna kerana penyakit, kekurangan zat makanan ataupun
dadah. Kerumitan semasa proses kelahiran boleh memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.
Persekitaran kanak-kanak seperti kekurangan makanan berzat, penyakit-penyakit, penderaan dan
kurang kasih sayang juga merupakan faktor penting dalam perkembangan kanak-kanak. Kanak-kanak
keperluan khas memerlukan perhatian, penjagaan yang khusus dan sentiasa menuntut kasih sayang,
perhatian dan kesabaran serta komitmen guru yang sangat tinggi.

Kategori Kanak-kanak keperlaun khas

i. Masalah kecacatan fizikal

ii. Masalah penglihatan

iii. Masalah pendengaran

iv. Masalah pertuturan

v. Masalah pembelajaran

vi. Masalah tingkahlaku

vii. Lembab ( slow learner)


viii. Terencat akal ringan

ix. Autisme

x. Pintar cerdas

xi. Sindrom Down

xii. Attention Defict / Hyperactivity disorder ADD/ADHD

xiii. Disleksia

Ciri-ciri kanak-kanak kecacatan fizikal

Masalah Kecacatan Fizikal:

Masalah kecacatan fizikal merujuk kepada kanak-kanak yang mengalami ketidakupayaan fizikal,
dan memerlukan perubatan atau peralatan khas seperti pendakap (brances) atau kerusi roda. Ia
termasuk ketidakupayaan berbentuk neurologi yang melibatkan otak dan urat saraf yang rosak ( Mohd
Sharani, 2006 ) serta kecederaan ortopedik yang melibatkan tulang, sendi dan otot. Antara masalah
yang dikategorikan sebagai kecacatan fizikal ialah seperti cerebral palsy, epilepsy, spina bifida, muscular
dystrophy, limb deficiencies, asthma, diabetes dan leukemia.

Kecacatan fizikal

Cerebral palsy

Kesukaran bergerak kerana tidak dapat mengkoordinasi badan. Ia disebabkan oleh neurologi motor yang
tidak dapat berfungsi dengan baik kerana kecederaan di bahagian otak. Kecederaan ini mungkin berlaku
sebelum, semasa atau selepas kelahiran. Pada umumnya kanak-kanak ini juga akan mempunyai
kecacatan lain seperti masalah penglihatan, pertuturan atau terencat akal.

Epilepsi

Penyakit sawan yang disebabkan oleh masalah neurologi yang menyebabkan kanak-kanak mengeletar.
Spina bifida

Kecacatan pada tulang belakang yang boleh menyebabkan kelumpuhan pada bahagian bawah badan. Ia
adalah satu keadaan yang berlaku sejak kelahiran tetapi boleh dibantu dengan pembedahan.

Muscular dystrophy

Kemerosotan kekuatan otot secara progresif sehingga kanak-kanak akan memerlukan kerusi roda.
Kecerdasan kanak-kanak tersebut tidak terjejas.

Limb deficiencies

Kanak-kanak yang anggota badannya tidak sempurna ini mungkin disebabkan oleh kemalangan atau
kecacatan semasa kelahiran. Kanak-kanak ini boleh dilatih menggunakan anggota palsu.

Asthma

Masalah penafasan yang berlaku apabila tiub bronkial daripada saluran pernafasan kerongkong menjadi
sempit. Masalah ini dibantu dengan dadah dan penggunaan nebulisec

Diabetes

Kencing manis ialah penyakit yang disebabkan oleh pankreas yang tidak dapat berfungsi untuk
menghalang peningkatan gula dalam darah manusia. Seperti asthma, penyakit ini boleh dikawal dengan
dadah serta pemakanan yang betul.

Leukemia

Satu bentuk kanser yang biasa di kalangan kanak-kanak. Penyakit ini disebabkan peningkatan secara
mendadak sel darah putih dalam tulang sum-sum. Kimoterapi merupakan satu cara yang digunakan
untuk membantu mengawalnya.
Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

Guru perlu mengetahui tentang masalah yang dihadapi oleh muridnya. Misalnya guru mesti
mengetahui prosedur bagaimana mengurus seorang murid yang diserang penyakit sawan atau asthma.
Guru juga perlu jelas tentang kesan masalah fizikal ini ke atas perkembangan psikososial kanak-kanak
tersebut. Kanak-kanak ini kadang kala tidak memahami hidup mereka dan sering menghadapi masalah
penyesuaian.

Selain itu, guru juga perlu peka kepada keperluan murid. Misalnya seseorang kanak-kanak
cerebral palsi boleh menggunakan komputer atau pen ataupun pensil yang tidak memerlukan tekanan
yang kuat sekiranya ada tugasan melibatkan penulisan. Penggunaan pemegang buku (book holders)
ataupun buku teks elektronik dapat membantu kanak-kanak yang tidak berupaya memegang buku.

Masalah penglihatan

Kanak-kanak yang diketegorikan sebagai mempunyai masalah penglihatan jika kerosakan


penglihatan tersebut tidak dapat diperbetulkan dan menganggu pembelajaran. Kanak-kanak yang
bermasalah penglihatan berkemungkinan mempunyai penglihatan yang terbatas atau buta. Masalah
penglihatan terbatas bermaksud tahap penglihatan kanak-kanak berada di antara 20/70 dan 20/200
dengan penggunaan lensa. Penglihatan kanak-kanak ini terhad kepada objek yang dekat sahaja.

Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai buta tidak dapat menggunakan penglihatan untuk
pembelajaran. Mereka bergantung kepada pendengaran dan sentuhan. Kanak-kanak ini pada kebiasaan
mempunyai kecerdasan yang normal seperti kanak-kanak lain dan boleh belajar seperti biasa jika
kemudahan serta perkhidmatan sokongan disediakan untuk mereka.
Kanak-kanak yang buta juga kadang kala mempunyai masalah pendengaran dan perkembangan
psikomotor mereka agak terhad. Keupayaan motor mereka sebenarnya tidak terjejas daripada segi
neuron tetapi dipengaruhi oleh pergerakan mereka yang terhad. Mereka tidak boleh meneroka
persekitaran seperti kanak-kanak normal yang lain. Ini juga boleh memberi kesan ke atas perkembangan
personaliti.

Kanak-kanak ini mungkin mempunyai konsep kendiri yang rendah dan perhatian lebih yang
diberikan kepada mereka boleh menggalakkan pergantungan kepada guru atau rakan untuk sentiasa
membimbing mereka. Di samping itu, pengalaman mereka yang terhad dalam dunia visual memberi
kesan kepada perkembangan bahasa. Misalnya, seseorang kanak-kanak normal boleh memberi pelbagai
contoh untuk perkataan bulat menghuraikannya dengan jelas jika dibanding dengan kanak-kanak yang
mempunyai masalah penglihatan.

Seseorang guru boleh mengesan mereka yang berpontensi mengalami masalah penglihatan
melalui simptom-simptom yang ditunjukkan pada kanak-kanak ini. Kanak-kanak bermasalah penglihatan
biasanya akan mengerutkan mata atau menutup sebelah mata untuk tujuan penglihatan . Selain itu
mereka juga asyik menggosok mata tanpa sebab dan menyebabkan mata merah dan bengkak. Kanak-
kanak juga sering mengadu pening kepala atau loya. Apabila membaca kanak-kanak akan memegang
buku terlalu dekat atau terlalu jauh untuk mengimbangkan penglihatan mereka.

Implikasi kepada pengjaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

Guru boleh menyediakan bahan pembacaan yang mempunyai saiz yang besar dan sesuai ataupun
bahan audio untuk membantu pembelajaran. Sediakan bahan bacaan yang jelas, misalnya hurufnya
mempunyai perbezaan warna yang ketara dengan latar belakang kertas yang terlalu banyak perkataan
atau ayat dalam satu muka surat. Semasa tulis di papan putih guru boleh menyebut secara lisan bahan
yang tulis untuk kemudahan kanak-kanak ini. Pengalaman kanak-kanak ini telah diperluaskan dengan
memberi mereka aktiviti hands-on.

Guru juga perlu memberi perhatian kepada susunan bilik darjah dan pastikan kedudukan kanak-
kanak tersebut berhampiran dengan papan. Susunan bilik darjah seharusnya memudahkan pergerakan
kanak-kanak di sekitar bilik darjah dan memberi mereka akses yang mudah berada dalam bahan-bahan
pembelajaran.
Masalah pendengaran:

Terdapat dua kategori masalah pendengaran iaitu separa pekak dan pekak. Separa pekak
bermaksud penggunaan alat pendengaran akan membolehkan kanak-kanak ini menerima pendidikan
secara audio. Kanak-kanak yang dikategorikan sebagai pekak perlu menerima pendidikan menggunakan
teori lain seperti penglihatan. Tahap kehilangan keupayaan mendengar diukur dengan audiometer
dalam unit decibel. Seseorang dikategorikan sebagai pekak jika tahap kehilangan keupayaan mendengar
lebih daripada 10 decibel. Mereka yang tergolong sebagai separa pekak mempunyai tahap kehilangan
keupayaan mendengar antara 20 hingga 60 decibel.

Masalah pendengaran terdiri daripada beberapa tahap dan ada yang dapat dikenal pasti apabila kanak-
kanak tersebut telah berumur beberapa tahun. Seseorang guru peka kepada petanda masalah ini
menunjukkan symptom seperti kerap meminta orang mengulang apa yang telah disebut. Mereka juga
menghadapi kesukaran untuk mengikut arahan dan salah faham kerap berlaku. Pertuturan kanak-kanak
ini tidak lancar kerana mereka sering salah sebutan dan mempunyai nada suara yang lebih tinggi atau
rendah dan memusingkan kepala untuk mendengar.

Masalah pendengaran menjejaskan komunikasi dan juga pembelajaran individu. Ketidakupayaan


berkomunikasai ini memberi kesan kepada perkembangan sosial, emosi , bahasa dan kognitif individu
tersebut.

Implikasi Kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah

Kanak-kanak bermasalah perdengaran perlu mendapat latihan awal yang baik di sekolah-sekolah khas
untuk kehidupan yang lebih baik seperti kanak-kanak normal yang lain. Guru-guru diingatkan supaya
bercakap dengan jelas dan jangan membelakangkan kanak-kanak ini semasa memberi arahan atau
mengajar. Kanak-kanak ini boleh ditempatkan di baris hadapan kelas untuk memudahkan mereka
melihat wajah guru. Elakkan daripada menjerit atau meninggikan suara. Sebarang lisan boleh diikuti
dengan illustrasi grafik atau visual untuk memudahkan kefahaman murid. Sediakan persekitaran
pembelajaran yang tidak diganggu oleh bunyi bising atau gangguan bunyi lain.

Penggunaan bahasa isyarat adalah satu cara efektif untuk berkomunikasi dengan kanak-kanak ini, Guru
perlu dilatih dan didedahkan kepada cara menggunakan jari tangan untuk mengeja. Tetapi hari ini
komunikasi secara keseluruhan digalakkan dimana ia melibatkan pertuturan, pembacaan, bahasa isyarat
dan bahasa badan.
Masalah pertuturan

Masalah pertuturan boleh dikategorikan kepada empat iaitu masalah sebutan, masalah gagap,
masalah suara, masalah bahasa.

Masalah sebutan ialah kecenderungan meninggalkan suku kata atau mengubah bunyi sesuatu
perkataan, misalnya perkataan saya menjadi caya. Kanak-kanak pada kebiasanya akan melalui fasa
ini dalam tempoh perkembangan mereka. Ia biasanya tidak dipandang serius namun jika masalah ini
berlanjutan ia perlu diberi perhatian.

Gagap merupakan ganguan terhadap kelancaran percakapan. Aliran pertuturan terganggu di


mana seseorang itu mungkin mengulang, memberhenti seketika atau mencelah dengan suku kata atau
perkataan. Gagap kerap berlaku apabila individu tersebut teruja dan ingin menyatakan sesuatu dengan
kadar yang cepat.

Masalah suara berkaitan dengan kualiti suara seseorang. Ia mungkin terlalu lantang, lembut,
garau, kasar, sengau, nada yang tinggi atau rendah atau nada yang sama dan tidak berubah.

Masalah bahasa berkaitan dengan sistem saraf pusat. Menurut Myklebust (1971) masalah ini
mengganggu kefahaman atau penngunaan perkataan. Istilah yang digunakan ialah aphasia. Ia bermakna
seseorang menghadapi kesukaran mentafsir bahasa dalam sesuatu perbualan. Ia juga melibatkan
kesukaran dalam menggunakan perkataan yang sesuai semasa komunikasi.

Masalah perkataan seperti masalah sebutan, gagap dan suara boleh menimbulkan rasa malu dan
menyebabkan kanak-kanak tersebut merasa tidak selesa dalam situasi sosial. Ia mungkin tidak
mengganggu pembelajaran seperti mana masalah bahasa. Masalah bahasa memberi kesan kepada
perkembangan kognitif kanak-kanak.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah


Kanak-kanak ini perlu diberi masa yang mencukupi untuk memberi respon. Mereka boleh
digalakkan memberi respon secara bertulis. Selain itu, guru boleh menggunakan pendekatan yang
melibatkan penggunaan pelbagai deria. Guru juga boleh membantu kanak-kanak dengan menjadi model
yang sesuai, misalnya mengulang perkataan secara jelas dan perlahan, ayau menggunakan alat audio.
Kanak-kanak yang menghadapi masalah sebutan atau gagap boleh dibantu melalui terapi.

Masalah pembelajaran

Masalah pembelajaran diandai sebagai masalah neurologi. Ia tidak berkaitan dengan IQ seseorang
kerana selalunya, IQ individu tersebut berada pada tahap normal. Kanak-kanak yang mengalami masalah
pembelajaran sering ditafsir sebagai malas, tidak memberi perhatian atau tidak berminat. Mereka
mungkin menunjukkan sikap yang tidak matang, sukar memberi tumpuan dan mudah lupa. Oleh kerana
mereka menunjukkan cirri-ciri yang sama seperti kecacatan yang lain, masalah mereka sukar
dikenalpasti dan sering disalahtafsir.

Masalah pembelajaran berkaitan dengan cara otak menerima, memproses, menganalisis dan
menyimpan maklumat. Ia merupakan kecelaruan dalam satu atau lebih daripada satu proses psikologi
yang melibatkan kefahaman atau penggunaan bahasa, sama ada lisan atau bertulis.Kecelaruan ini boleh
menjejaskan keupayaan mendengar, berfikir,bertutur, membaca, menulis,megeja ataupun mengira.
Selain itu, masalah ini mungkin disebabkan oleh aphasia. Ia mengakibatkan kadar pembelajaran murid
tersebut berbeza dengan murid yang tidak menghadapi masalah tersebut. Namun, masalah ini juga
sering dikaitkan dengan masalah tingkah laku dan emosi.

Antara masalah yang dikaitkan dengan masalah pembelajaran termasuk masalah pembelajaran
akademik, masalah bahasa, ingatan, sosio-emosi, kemahiran motor dan koordinasi, metakognitif, kurang
memberi perhatian dan hiperaktiviti.

Masalah pembelajaran akademik

Ciri-ciri

Membaca
Banyak kesilapan semasa membaca dengan kuat, kerap mengulang atau berhenti.

Menterbalikkan perkataan misalnya b dan d, 21 dan 12 atau on dan no.

Sebutan yang tidak betul atau menggunakan perkataan yang salah yang bunyinya sama.

Pembelajaran bahasa lewat dan mungkin mempunyai perbendaharaan kata yang terhad.

Kesukaran dalam mengenalpasti idea utama dari bahan bacaan, mengingati fakta asas dan
peristiwa dalam aturan yang betul serta membuat kesimpulan dan analisis bahan yang telah dibaca.

Menulis

Tulisan yang tidak kemas dan cara pegang pensil yang janggal.

Ejaan

Kesukaran menjelaskan idea melalui penulisan.

Tidak dapat memikirkan perkataan yang sesuai dalam penulisan.

Mengira

Keliru dengan simbol Matematik dan salah baca nombor.

Kesukaran mengingati fakta Matematik

Kesukaran dalam kiraan

Menukar aturan nombor

Jadual 1: cirri-ciri masalah pembelajaran akademik.

Disleksia

Merupakan masalah pebelajaran yang berkaitan denga bahasa, membaca dan ia merangkumi mengeja,
menulis dan menyebut. Kanak-kanak yang mghadapi masalah ini biasanya membaca dengan perlahan
kurang tepat, lemah dalam ejaan dan tulisan serta mencampur-aduk perkataan yang berbunyi sama.
Mereka juga mempunyai kurang kesedaran dan minat terhadap buku. Menurut kajian, masalah ini
diwarisi dan mungkin kelihatan pada beberapa anggota keluarga yang sama. Kajian juga menunjukkan
masalah disleksia berlaku empat kali lebih kerap terdapat pada kanak-kanak lelaki berbanding kanak-
kanak perempuan ( Stoppard, 1997.)

Attention Defict / Hyperactivity disorder ADD/ADHD

Kanak-kanak Attention Defict / Hyperactivity disorder ADD/ADHD tidak dapat mengekalkan perhatian
dan mudah mengalih perhatiannya, sukar menyiapkan satu tugasan, pelupa dan sentiasa memerlukan
penyeliaan. Kanak-kanak ini juga bersikap impulsif dan sering menggangu perbualan, aktiviti atau
menyatakan sesuatu tanpa berfikir. Sifat hiperaktif dan pergerakkan fizikal yang keterlaluan juga
merupakan ciri-ciri kanak-kanak ADHD.

Punca masalah ADHD ialah kekurangan neurotransmiter yang spesifik iaitu noreprinephrine dan dopa
atau dopamine dalam sel litar otak. Pada hari ini, ADD/ADHD boleh dikawal dengan pengaruh dadah
tetapi tahap tumpuan mereka masih tidak sama dengan kanak-kanak yang tidak mempunyai ADD/ADHD
(Barbaresi & others, 2006: Tucha & others, 2006).

Namun penggunaan dadah tidak berkesan bagi semua kanak-kanak ADD/ADHD dan kesan jangka
panjang dadah ini masih tidak dketahui. David Nylund (Woolfolk A & Margetts K, 2007) mencadangkan
satu bentuk terapi di mana kanak-kanak tersebut menggunakan kekuatan dalam dirinya untuk
mengawal masalah tersebut. Nylund cuba memberi perspektif baru kepada ADHD, bahawa kesukaran
boleh dikawal dan semua sifat yang menghalang pembelajaran sebagai faktor yang boleh diasingkan
daripada kanak-kanak tersebut. Beliau mencadangkan guru menggunakan masa yang singkat semasa
kanak-kanak dapat memberi perhatian untuk menguasai diri dan tingkah laku mereka. Tetapi bukan
semua kanak-kanak yang hiperaktif atau kurang memberi penumpuan ialah ADD/ADHD. Pengesahan
masalah ini perlu dibuat oleh pakar.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Oleh kerana kanak-kanak ini sukar memberi penumpuan, guru boleh menempatkan mereka di sudut
yang senyap dan kurang aktivti yang boleh mengalihkan perhatian mereka. Kedudukan tempat duduk
kanak-kanak ini seeloknya berhampiran tempat duduk guru. Ini akan memberi peluang kepada guru
untuk menegur dan memberi motivasi kepada murid-murid ADHD. Guru juga boleh menggunakan
prinsip peneguran di mana kanak-kanak ini diberi peneguran positif apabila mereka menunjukkan
tingkah laku yang dikehendaki.

Peraturan dan prosedur dalam bilik darjah mesti dinyatakan dan dipaparkan dengan jelas. Guru perlu
memastikan murid faham peraturan tersebut. Objektif pembelajaran juga harus dinyatakan dengan
eksplisit dan murid diberi maklum balas dengan segera. Semasa mengajar, arahan perlu ringkas dan
diulang. Beri peluang kepada murid hiperaktif ini untuk mengambil bahagian dalam aktiviti yang aktif.
Beri tugasan yang ringkas.

Masalah tingkah laku.

Masalah tingkah laku di kalangan kanak-kanak adalah perkara biasa. Namun, kanak-kanak yang
menunjukkan tingkah laku kurang sesuai pada tahap serius dan berterusan akan mengakibatkan konflik
sosial, tidak bahagia dan kegagalan di sekolah. Tingkah laku yang dikaitkan dengan masalah ini termasuk
agresif, kesukaran membentuk perhubungan sosial, menunjukkan tingkah laku sosial yang tidak boleh
diterima masyarakat, hiperaktif, menipu, mencuri, masalah pembelajaran dan kebimbangan. Ia boleh
diklasifikasikan kepada masalah tingkah laku dalaman dan masalah tingkah laku luaran.

Tingkah laku masalah dalaman

Tingkah laku masalah luaran

Kebimbangan, perasaan takut

Mengingkar

Sedih, murung

Menentang

Bersikap apatetik (tidak memperdulikan)

Agresif

Suka menyendiri, penarikan diri

Argumentatif (suka berhujah)

Kecenderungan menyalahi diri sendiri, perasaan serba salah


Tidak mempercayai, kecenderungan menyalahkan orang lain.

Perasaan rendah diri

Destruktif

Malu, terlalu sensitif

Menipu, mencuri

Keasyikan pemikiran tentang suatu perkara

Sukar mengawal diri

Cemburu

Jadual 2: klasifikasi tingkah laku bermasalah.

Kanak-kanak menunjukkan masalah tingkah laku mungkin menunjukkan ciri-ciri seperti berikut:

Tingkah laku kurang sesuai dalam situasi-situasi biasa. Misalnya kanak-kanak yang mengunyah dan
makan dalam bilik darjah semasa guru sedang mengajar.

Tidak dapat mengawal perasaan dan tingkah laku mereka. Misalnya kanak-kanak yang cepat marah
apabila rakan terambil pensel atau pemadamnya.

Menunjukkan simptom-simpton fizikal yang berkaitan dengan masalah peribadi atau masalah di sekolah.
Misalnya kanak-kanak yang mengadu sakit perut atau deman maka tidak boleh ke sekolah.

Tidak berupaya membentuk perhubungan interpersonal dengan rakan atau gurunya. Kanak-kanak ini
biasanya pendiam dan tidak mahu bergaul dengan kanak-kanak lain.

Menghadapi masalah pembelajaran tetapi ketidakupayaan ini tidak dapat dijelaskan oleh faktor-faktor
kesihatan, sensori atau intelek.

Ada beberapa faktor yang menyumbang kepada masalah ini. Sesetengah kanak-kanak menwarisi sifat
atau tingkah laku bermasalah. Ini juga mungkin disebabkan oleh ketidakseimbangan biokimia dalam diri
seseorang, masalah nuerologi ataupun kecederaan kepada sistem saraf pusat. Faktor behavioral seperti
kegagalan mempelajari tingkah laku menyesuaikan diri atau membentuk tingkah laku kurang sesuai
akibat tekanan daripada persekitaran juga memberi kesan kepada tingkah laku kanak-kanak. Daripada
segi sosiologi pula, tindakan seperti melabel individu kerana beliau daripada latar belakang tertentu dan
pengaruh budaya sesuatu masyarakat juga boleh menimbulkan masalah tingkah laku. Selain daripada
itu, perubahan dalam sesebuah keluarga misalnya penceraian, kehadiran adik yang baru atau ibu/bapa
tidak boleh menimbulkan rasa kurang selamat atau kurang yakin. Kadang-kala masalah tingkah laku
seperti agresif atau melawat menunjukkan tingkah laku tersebut. Masalah tingkah laku yang berkait
dengan masalah pembelajaran menyebabkan murid ponteng kelas, tidak hadir ke sekolah, pencapaian
rendah dan tercicir daripada sekolah.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pengurusan tingkah laku yang boleh digunakan di dalam bilik darjah termasuk:

Peneguran positif.

Guru boleh memberi peneguran positif kepada murid sebaik sahaja murid menunjukkan tingkah laku
yang diingini. Misalnya seorang murid yang sebelum ini sentiasa menghantar kerja rumah lewat dan
tiba-tiba hari ini menghantarnya pada masa yang ditetapkan boleh diberi galakan atau pujian atas
tindakannya.

Time-out

Murid tersebut diasingkan daripada rakannya untuk satu masa tertentu. Diharapkan masa persendirian
memberi peluang kepada murid memikirkan tentang tingkah lakunya.

Tidak penduli

Guru tidak memberi perhatian kepada murid yang menunjukkan tingah laku yang tidak diingini.

Mengajar tingkah laku yang dikehendaki. Misalnya guru menggalakkan murid meluahkan perasaannya
tentang sesuatu perkara yang dia tidak suka. Ini lebih bermakna dan sihat daripada menunjukkan
tingkah laku seperti misalnya mengelak perkara yang murid tidak minat.

Kanak-kanak dengan masalah tingkah laku memerlukan sesuatu persekitaran di sekolah yang boleh
membantu penglibatan mereka dalam aktiviti sekolah. Mereka tidak seharusnya disisih sehingga tercicir
daripada sisitem persekolahan. Mereka juga dibimbing cara-cara mengawal emosi serta kemahiran
mengurus diri.

Lembab (Slow Learner)


Perkembagan kanak-kanak lembab ini agak lambat sejak peringkat bayi, di mana bayi ini lambat senyum,
lambat bertindak balas terhadap bunyi atau suara ataupun tidak balas menggenga masih belum hilang
walaupun usia bayi lebih 3 bulan.

Kanak-kanak lembab ini biasanya tidak dapat mengikuti pelajaran yang diajar oleh guru yang
menggunakan kaedah biasa. Ini kerana mereka tidak dapat memberi tumpuan dan minat terhadap
proses pengajaran dan pembelajaran.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Gunakan bahasa yang mudah. Arahan mesti dinyatakan dengan jelas dan perlu diulang. Ia boleh diberi
dalam bentuk visual atau dipaparkan pada papan hitam atau papan kenyataan kelas. Bahan pengajaran
dan pembelajaran perlu dinyatakan dalam langkah-langkah yang pendek dan ringkas.

Strategi pengajaran dan pembelajaran diubahsuai untuk membina keyakinan dan memberi perasa
kejayaan, misalnya meminta seorang kanak-kanak disleksia untuk memberi laporan secara lisan
manakala rakan-rakannya memberi laporan bertulis (Woolfolk A & Margetts K, 2007)

Tugasan dan penilaian harus sesuai dengan tahap kanak-kanak terseut. Ia boleh diberi dalam bentuk
tugasan-tugasan kecil yang kanak-kanak mampu lakukan. Tempoh masa yang lebih boleh diberikan
untuk kanak ini untuk menyiapkan tugasan mereka.

Tugasan dan kerja rumah yang diberikan setiap minggu boleh ditampal pada papan notis kelas sebagai
peringatan. Satu salinan boleh juga diserahkan kepada ibu bapa.

Terencat Akal

Persatuan Kerencatan Akal Amerika (AAMR) mendefinisikan terencat akal sebagai satu ketidakupayaan
yang dapat dilihat melalui fungsi intelek serta tingkah laku penyesuaian seperti komunikasi, penjagaan
diri dan kemahiran sosial yang amat terhad.

Kanak-kanak yang mengalami kerencatan akal ringan menunjukkan ciri-ciri seperti berikut:

Kurang koordinasi motor.

Sukar menumpukan perhatian.

Kemahiran membaca dan bahasa yang lemah serta berada pada tahap yang rendah dapada mereka yang
sebaya.
Sukar mengaplikasi sesuatu yang dipelajari dalam situasi baru.

Kesukaran dalam memahami konsep yang abstrak dan membuat kesimpulan.

Kanak-kanak ini sukar menurut arahan dan tidak berupaya memilih aktiviti secara sendirian. Mereka
juga menghadapi masalah koordinasi mata dan tangan. Mereka mempelajari bahasa dan kemahiran
dengan perlahan, tidak seperti kanak-kanak biasa.

Paras rupa kanak-kanak ini seperti kanak-kanak biasa dan mereka biasanya dibenarkan masuk ke
sekolah biasa. Kurikulum di sekolah digubal untuk kanak-kanak biasa dan merupakan cabaran bagi
kanak-kanak dengan masalah terencat akal. Kebanyakan kanak-kanak ini gagal di sekolah kerana IQ
mereka yang rendah iaitu antara 55/60 dan 85/90. IQ kanak-kanak normal adalah 90 ke atas.

Namum begitu, kebanyakan kanak-kanak bermasalah terencat akal ringan boleh ke sekolah dan boleh
mempelajari pelbagai kemahiran akademik seperti kemahiran vokasional sosial untuk membantu
menjadikan meraka sebagai individu yang produktif.

Simdrom Down

Sindrom Down berpunca daripada masalah yang disebabkan daripada masalah berlebihan kromosom.
Dalam kebanyakan kes ia melibatkan kepada kecacatan dalam pasangan kromosom yang ke-21.
Menurut kajian, ia berlaku dalam setipa 800 kelahiran. Akibat daripada Sindrom Down ini termasuklah
terencat akal, masalah ringan dan pertuturan dan perkembangan motor yang lambat. Kanak-kanak
Sindrom Down mempunyai tahap IQ yang rendah antara 30 hingga 80. Kanak-kanak ini mempunyai ciri-
ciri yang boleh dikenal past antaranya:

Mulut sentiasa terbuka atau tidak tertutup rapat.

Lidah yang tebal, kasar dan pendek serta cenderung untuk terjelir

Mata sentiasa berair dan merah.

Mata sepet dan bentuk muka yang kecil.

Berbadan gempal dan pendek serta aan yang agak bongkok.

Suka bermanja, bermain dan dapat bergaul dengan baik.

Mereka juga selalunya mengalami masalah kataraks mata, masalah jantung dan kecacatan usus.
Sebelum ini, penghidap Sindrom Down kerap meninggal dunia sebaik sahaja memasuki alam dewasa
disebabkan oleh masalah-masalah yang dihadapi tetapi, kini dengan kemajuan perubatan mereka boleh
menjalani kehidupan yang sihat seperti individu normal.

Kanak-kanak Sindrom Down memerlukan penjagaan yang lebih rapi. Disebabkan oleh keadaan fizikal
muka mereka yang rata, mereka cenderung mengalami masalah penafasan dan sukar untuk makan.
Mereka juga lemah dalam koordinasi mata dan otot dan kurang upaya meneroka persekitaraan. Walau
bagaimanapun dengan sokongan ibu bapa dan penjaga mereka boleh dibimbing dan diasuh untuk
berdikari dan menguasai kemahiran.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Guru perlu bersabar dalam menangani pembelajaran kanak-kanak yang mempunyai masalah Sindrom
Down. Proses pengajaran perlu dijalankan dengan kadar yang perlahan mengikut kebolehan kanak-
kanak tersebut.

Ini juga memberi peluang bagi mereka mencapai kemahiran dan meningkatkan emosi mereka yang
mereka juga berupaya untuk berjaya. Setiap tugasan, aktiviti atau arahan perlu dirancang dengan rapi. Ia
perlu disampaikan dengan jelas, betul, khusus dan lengkap. Ini adalah kanak-kanak Sindrom Down sukar
untuk memahami arahan dan perkataan. Setiap arahan perlu lengkap dengan butiran yang terpenciri.
Contohnya: Ambil buku yang berwarna kuning di atas meja dan bawa buku itu kepada cikgu.

Guru perlu memberi bimbingan dan bantuan yang berkesan semasa pengajaran akademik. Kanak-kanak
Sindrom Down kurang mempunyai keupayaan untuk mengingat dan memproses maklumat. Guru perlu
menyediakan mereka dan menarik perhatian mereka. Guru juga boleh mengajar kemahiran mengingat
yang mudah. Ia boleh dikaitkan dengan perkara yang mereka sukai.

Masukkan elemen vokasional dan kemahiran kendiri di dalam kurikulum mereka. Ini adalah supaya
mereka berupaya menjaga keperluan asas diri dan berupaya mencari kerjaya yang sesuai apabila tamat
persekolahan nanti.

Autisme
Autisme merupakan kecacatan mental seumur hidup yang terlalu sukar untuk dipulihkan. Kanak-kanak
autisme ini menghadapi masalah komunikasi kerana mereka tidak boleh mengenali atau mentafsir air
muka, gerak isyarat atau nada suara yang berlainan.

Selain itu, kanak-kanak ini juga menunjukkan tabiat yang tidak suka bertentang mata dan tidak
menunjukkan sebarang reaksi dalam apa-apa situasi.

Mereka lebih minat kepada barang permainan daripada berinteraksi atau berhubung dengan orang di
sekitarnya.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Pendidikan kanak-kanak ini berfokus kepada kemahiran-kemahiran kesediaan untuk berlajar, misalnya
duduk dan memberi perhatian kepada guru, kemahiran psikomotor misalnya penggunaan alat, gunting,
dan kemahiran sosial seperti berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya. Ia harus menekankan kemahiran
yang dapat membantu kanak-kanak berdikari. Misalnya, membaca notis, surat khabar dan mengisi
borang permohonan. Bimbing kanak-kanak ini mengurus diri misalnya, dengan membantu mereka
menyediakan jadual kerja dan menyenaraikan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada hari itu.

Beri latihan dan peluang untuk mempraktikkan apa yang telah mempelajari misalnya dengan mengulang
langkah atau konsep yang telah dipelajari.

Kanak-kanak ini memerlukan rutin. Perubahan ialah sesuatu yang sukar diterima oleh mereka. Amalan
rutin harus dipraktikkan di dalam bilik darjah.

Pintar cergas

Kanak-kanak yang pintar cerdas berbakat dan berkebolehan memerlukan sokongan yang lebih daripada
yang sedia ada dalam sesebuah bilik darjah untuk membantu mereka merealisasikan sepenuhnya
potensi yang ada dalam diri mereka.
Kanak-kanak yang pintar cerdas menunjukkan ciri-ciri berikut:

Menunjukkan kebolehan mempelajari sesuatu dengan lebih cepat jika dibandingkan dengan rakan
sebaya.

Menunjukkan keinginan untuk mengetahui yang lebih jika dibanding dengan rakan sebaya.

Menetapkan matlamat yang tinggi untuk pencapaiannya.

Motivasi yang tinggi dalam menghadapi tugasan yang mencabar.

Kemahiran berbahasa, membaca dan perbendaharaan kata yang luas.

Kebolehan untuk memimpin.

Mengambil berat dan menunjukkan empati terhadap orang lain.

Implikasi kepada pengajaran dan pembelajaran di dalam bilik darjah.

Kanak-kanak pintar cerdas boleh dibantu melalui tiga jenis program: pengasingan, pemecutan
(acceleration) atau pengayaan.

Dalam program pengasingan, kanak-kanak diasingkan daripada rakan sebaya di mana mereka disediakan
kurikulum khas yang mampu menggalakkan kebolehan istimewa mereka. Pengasingan ini bertujuan
mengeluarkan kanak-kanak daripada kelas biasa yang tidak dapat mebantu perkembangannya secara
optima.

Program pemecutan pula boleh dilaksanakan dengan dua cara. Satu cara ialah di mana kanak-kanak ini
dikeluarkan daripada bilik darjah mereka untuk subjek-subjek spesifik. Mereka dimasukkan ke kelas
untuk subjek tersebut. Maka mereka akan belajar dengan murid atau pelajar yang lebih tua daripada
mereka. Cara kedua ialah di mana murid tersebut disediakan dengan rancangan khas dalam kelas yang
sama. Rancangan ini membantu mereka belajar sesuatu bidang kemahiran mereka pada kadar yang
lebih cepat berbanding rakan sebaya.

Program pengayaan melibatkan pendekatan yang menyediakan pengalaman pengayaan sama ada di
dalam atau di luar kelas. Misalnya aktiviti tambahan seperti lawatan ke muzium atau perpustakaan
negara. Selain itu guru boleh merancang projek atau aktiviti lain yang memerlukan murid mencari
maklumat yang lebih mendalam tentang sesuatu topik dan dilakukan oleh murid secara bersendirian.
KESIMPULAN

Aspek penting dalam pengajaran kanak-kanak keperluan khas ialah sikap guru serta kemahiran guru
dalam membantu kanak-kanak ini. Guru perlu percaya bahawa pendidikan adalah untuk semua kanak-
kanak. Kerjasama antara guru pendidikan khas dan guru kelas biasa amat penting. Guru-guru ini
seharusnya mempunyai kesanggupan untuk berkongsi kemahiran demi kebaikan kanak-kanak tersebut.
Hubungan yang baik dan kerjasama dengan ibu bapa, pihak hospital dan kebajikan masyarakat juga
penting dalam usaha membantu kanak-kanak ini.

Guru perlu peka dan sensitif kepada keperluan kanak-kanak. Misalnya, guru tidak harus membuat
perbandingan antara kanak-kanak. Dapatkan perhatian kanak-kanak berkeperluan khas dengan
menghampiri mereka dan bukan dengan memanggil namanya beberapa kali secara negatif. Gunakan
bahasa isyarat jika hendak menyuruh kanak-kanak supaya bertenang atau jangan bising. Seterusnya
guru boleh menggunakan pelbagai kaedah dan ransangan misalnya kad-kad yang mudah untuk menarik
minat dan perhatian murid.

Kanak-kanak berkeperluan khas khas boleh dibenarkan bekerja dalam kumpulan-kumpulan yang dapat
menerima dan membimbing mereka. Sekiranya kanak-kanak ini tidak dapat mencatat nota atau
melakukan sesuatu aktiviti spesifik, tugas itu boleh diberikan kepada rakan sekelas untuk membantu.
Kesimpulannya, interaksi dengan persekitaran yang menyokong dan pembelajaran yang aktif boleh
membantu perkembangan kanak-kanak ini.
Rujukan:

Jas Laile Suzana Jaafar (1996), Psikologi kanak-kanak dan Remaja. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala
Lumpur.

2. Ilmu Pendidikan Untuk KPLI, Sekolah Rendah: Komponen 1&2, Psikologi Pendidikan & pedagogi.
Mok Soon Sang, 2008. Kumpulan Budiman SDN BHD, Subang Jaya.

3. Perkembangan Kanak-kanak untuk Program Izajah Sarjana Muda Perguruan, Edisi Kedua. Haliza
Hamzah, Joy N. Samuel, 2009. Kumpulan Budiman SDN BHD, Kuala Lumpur.

4. Psikologi Kanak-kanak, Mohd Sharani Ahmad 2006, PTS PROFESSIONAL (Plublishing SDN BHD. )

www.scribd.com

You might also like