You are on page 1of 3

Peranan Penting Belia Dalam Membangunkan dan

Memajukan Negara
Posted on October 18, 2017by admin
Sebagai seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang
mempunyai peranan penting dalam membangunkan dan memajukan
negara ini. Ulaskan penyataan di atas.
Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang
merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial.
Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan
paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara
sarjana, Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi
mudanya pada hari ini. Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah
mengungkap, Jika diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu
menterbalikkan perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang
muda, nescaya aku dapat mengegarkan dunia. Bait-bait susunan retorik yang penuh
puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan golongan belia
dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia
yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya
perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan
pembangunan negara.

Peranan saya yang signifikan ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk
mencapai kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik
merupakan salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang pemimpin
negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang cerah terutamanya
dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana untuk
menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya perlu
proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga menuntut segala
pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik melalui pelbagai wahana,
seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan
sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai
kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung.
Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk
dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati
mati, ikut rasa binasa. Seorang tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa
petanda runtuhnya sesuatu bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat
mencintai hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka
pembangunan negara akan terbantut.

Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat menjamin


pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak memiliki kesihatan
fizikal dan mental yang seimbang. Generasi muda yang ingin membangunkan negara
perlu memiliki kekuatan fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada
alaf baharu yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki
kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa
supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan generasi muda di
negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan mental, saya patut mengamalkan
pemakanan seimbang, menjaga kebersihan diri dan persekitaran, bersenam,
bersukan, beriadah dan tidak terlibat dalam pelbagai angkara sosial seperti minum
arak, merokok, kegiatan maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak
perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan
belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa
kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan
dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan
mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.

Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan
muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana
melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan
segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang
dangkal imannya sudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial. Saya
mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan diri daripada
melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah, berzina dan mencuri.
Selain menitikberatkan ajaran agama dan pendidikan moral, golongan muda juga
harus dibimbing supaya melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial,
misalnya bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan
kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam serta
terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya dapat membantu
pembangunan negara dengan memastikan negara bebas daripada ancamana
masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan belia negara harus bersahsiah
mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan berkasih sayang agar dapat melahirkan
negara yang maju sama ada secara luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.

Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan
negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang sentiasa
berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi kejayaan
yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan maklumat (ICT), umat
yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu akan menikmati buah kejayaan
yang manis. Rentetan daripada itu, golongan remaja dan belia kita harus dilatih
supaya berani berimaginasi dan berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang
teratur. Ibu bapa harus memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak
terhingga jika anak mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian
itu bukan rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong dengan
praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam pelbagai bidang sama
ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan berupaya menjanakan
kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata, pembangunan negara akan tercapai jika
negara kita mempunyai barisan pelapis negara yang kreatif dan inovatif.

Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan
negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita mempunyai
sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan pandangan orang lain.
Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan kepada negara kita. Kita dapat
menjamin kestabilan politik, ekonomi dan sosial negara. Kitalah yang akan menjadi
pendukung untuk mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi
mewujudkan kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa
mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan visi
negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung yakni, satu
bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya perlu mengamalkan
perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat lain. Dengan ini,
keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan negara dapat dijalankan
dengan lancar dalam suasana negara yang aman harmoni. Maka, sifat keterbukaan
golongan muda yang belum keras ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan
mereka menjadi pemimpin yang mampu membangunkan negaranya dengan penuh
komited dengan dipayungi perpaduan antara rakyatnya.

Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya mempunyai
tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan pembangunan
negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi
negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah
merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti
akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing
dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara hanya sekadar
imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti. Oleh itu, generasi yang
merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada lena dan keasyikan serta
melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia supaya dapat menempatkan diri
sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita
dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju
yang lain dan terkenal di seantero dunia.

You might also like